Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Friday, April 27, 2012

Menjadi kewajiban kita untuk memperjuangkan pilihanraya yang bersih

Pilihanraya yang bebas dan adil adalah rukun utama dalam sistem demokrasi. Demokrasi tidak bermakna kalau tanpa pilihanraya yang bebas dan adil.


Banyak pemimpin-pemimpin Negara ketiga telah memunipulasi pilihanraya untuk memastikan mereka dapat terus mengekalkan kuasa mereka. Bertopengkan demokrasi untuk mengabui dunia, tetapi menggunakan mekanisma pilihanraya yang kotor dan tidak telus untuk memastikan keputusan pilihanraya akan sentiasa berpihak kepada mereka.

Demokrasi adalah satu kaedah di mana pemimpin yang terbaik yang disukai rakyat dapat terpilih untuk memimpin mereka tanpa melalui kekerasan dan pertumpahan darah. Islam, agama yang menyanjung tinggi keamanan, kedamaian dan keselamatan, sudah tentu Islam juga akan menyokong sistem yang baik seperti ini.

Dalam sejarah Islam pun telah banyak berlaku peperangan sesama sendiri dalam merebut kuasa politik, sehingga mereka pasrah untuk mengambil sistem dinasti dan raja untuk mengatasi berlakunya pertumpahan darah sesama umat ini. Alhamdulilah, kini kita telah ada sistem yang lebih baik dari sistem dinasti dan raja, iaitu demokrasi bagi menentukan pemimpin Negara.

Tetapi kita hanya akan dapat manafaat yang betul dan nasib rakyat akan terbela kalau sistem demokrasi yang kita dukung ini dapat berjalan dengan baik dan betul, barulah ia dapat mencapai matalamatnya.

Oleh itu demi kebaikan kita semua dan Negara kita, setiap dari kita mestilah sentiasa berusaha dan berjuang untuk memastikan amalan dan prinsip demokrasi sentiasa dipatuhi dan pilihanraya yang mendukung demokrasi ini hendaklah bebas, adil dan telus.

Pilihanraya hendaklah dijalankan dan dikendalikan secara adil, bebas dan telus, sehingga semua pihak yang bertanding berpuas hati.

Saya menyokong penuh usaha dan perjuangan Puan Ambiga dalam kapasitinya sebagai pejuang kepada pilihanraya yang bersih, bebas dan adil. Perjuangan beliau adalah setaraf dengan pejuang demokrasi Aung San Suu Kyi di Myanmar. Kepada saya Puan Ambiga adalah Aung San Suu Kyi Malaysia.

Adalah hak kita dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi untuk mendapat sebuah pilihanraya yang bersih, bebas dan adil.

Friday, April 20, 2012

Kalaulah monyet-monyet ini ada geran tanah



Rasa kesihan pun ada melihat monyet-monyet ini. Hari-hari ada saja warga monyet ini yang mati kena langgar kereta.


Monyet ini walaupun dikatakan sepesis haiwan yang paling hampir dengan sepesis manusia, tetapi semasa melintas jalanraya memang mereka tak pandai. Maklumlah monyet ini bukan pernah pergi sekolah macam kita. Manusia yang pergi sekolah ini pun kadang-kadang kena langgar juga oleh kereta semasa melintas jalan.

Agaknya semasa melintas jalan, monyet ini pandang kanan saja, sebab itu selalu kena langgar kereta, patutnya kenalah pandang kiri kanan barulah lintas.

Harap-harap pihak Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) dapat mengadakan talian jejantas untuk monyet-monyet ini menyeberang di kawasan biasa mereka melintas jalan. Kalau ada talian jejantas ini, bolehlah monyet-monyet ini menyeberang jalan dengan selamat dengan cara bergayut melalui tali-tali tersebut.

Talian jejantas ini mudah dan tidak mahal untuk dibina, hanya perlukan dua tiang yang ditanam di tepi kiri kanan jalan, kemudian tali atau kabel diikat bagi menyambungkan dua tiang ini bagi memudahkan monyet bergayut untuk menyeberang jalan.


Tidak dinafikan ramai juga yang tidak suka dengan kehadiran monyet-monyet ini. Monyet-monyet ini kadang-kadang mendatangkan kemarahan penduduk tempatan kerana merosakkan tanam-tanaman mereka, menyelongkar tong-tong sampah dan merosakkan harta-benda milik mereka.


Agaknya selama ini kebanyakan penduduk banyak buat aduan kepada MPJBT meminta pihak MPJBT menghapuskan monyet-monyet yang banyak mengganggu kehidupan mereka, bukan buat aduan untuk selamatkan monyet ini dari dilanggar kereta, sebab itu jugalah MPJBT tidak tergamak hendak membina talian jejantas seperti yang saya cadangkan di atas.

Penduduk lebih suka kalau monyet-monyet ini dilanggar mati oleh kereta, sekurang-kurangnya secara tidak langsung dapat mengurangkan jumlah monyet-monyet yang terdapat di kawasan kejiranan mereka dan semakin kuranglah gangguan dari monyet-monyet tersebut.

Sebenarnya siapa yang menceroboh kawasan siapa. Adakah monyet menceroboh kawasan manusia atau manusia yang telah menceroboh kawasan monyet? Taman perumahan ini dulu sebenarnya adalah bekas kawasan hutan belantara, di masa itu monyet-monyet lah yang menjadi penghuni kawasan ini. Ketika itu tanah dan hutan ini adalah tempat kediaman monyet yang sah, tetapi sayang mereka tidak mempunyai geran tanah sebagai bukti hutan dan tanah itu milik mereka.

Kalau bawa kes ini ke makamah pun monyet-monyet ini akan kalah, sebab mereka tidak ada geran dan bukti. Hutan tempat kediaman asal monyet-monyet ini telah dirampas oleh manusia. Manusia semakin rakus meneroka kawasan hutan untuk membina rumah-rumah dan bangunan bagi kegiatan hidup mereka, sedangkan kawasan kediaman monyet-monyet pula semakin sempit dan tidak siapa mahu ambil peduli tentang masalah kehidupan mereka.

Mungkin gangguan-gangguan yang ditimbulkan oleh monyet-monyet ini kepada penduduk di kejiranan yang berhampiran adalah sebagai protes menyedarkan manusia bahawa kawasan habitat kehidupan mereka semakin sempit dan sedang ditekan oleh pembangunan yang dilakukan oleh manusia.

Nabi Muhammad itu diturunkan bagi membawa rahmat kepada alam. Bukan sahaja manusia akan mendapat kebaikan dari ajaran Islam tetapi seluruh alam, termasuk haiwan seperti monyet ini juga harus mendapat kebaikan juga.

Setiap haiwan dan manusia dilahirkan oleh Tuhan ke dunia ini telah disediakan dengan keperluan asas yang sudah selesa untuk hidup dan disediakan habitat yang cukup sesuai yang dapat menyokong kehidupan mereka termasuklah oksigen, air dan tumbuh-tumbuhan.

Monyet-monyet ini Tuhan tumbuhkan bulu di seluruh badannya bagi melindungi badannya dari kesejukan. Mereka boleh hidup dengan selesa berumahkan pokok. Mereka tidak perlukan selimut dan atap genting bagi melindungi diri dari kena hujan. Kalau 200 tahun dulu, air hujan mungkin suci tanpa ada pencemaran, tetapi sekarang, saya tidak boleh bayangkan bagaimana monyet-monyet ini boleh bertahan menghadapi hujan asid dan toksid. Sedangkan mereka tidak ada hospital dan klinik untuk mendapatkan ubat kalau demam dan sakit.

Dalam begitu asyik memerhatikan sekumpulan monyet berhampiran taman perumahan saya, saya terlihat beberapa ibu monyet yang sedang mendukung anak-anak kecil mereka. Dalam hati kecil saya berkata, “Mereka tidak perlukan kereta sorong bayi (baby stroller) seperti manusia untuk membawa anak-anak mereka berjalan”.

Itulah beza haiwan lain dengan manusia. Walaupun manusia itu telah dijadikan Tuhan, selesa dengan keperluan asas yang disediakan tetapi Manusia sentiasa mencari dan mencipta keadaan yang lebih selesa. Mereka cipta berbagai mesin untuk memudahkan kerja dan urusan mereka.

Mereka telah cipta aircond untuk menyejukkan udara bilik kediaman mereka agar rasa lebih selesa. Mungkin mereka tidak sedar, aircond adalah mesin yang mengeluarkan haba panas yang terdapat dalam bangunan dan memindahkannya ke bahagian luar bangunan. Akhirnya udara luar akan menjadi lebih panas dari biasa. Tanpa kita sedar, apabila kita menambah keselesaan diri kita, sebenarnya dalam masa yang sama kita telah mengurangkan keselesaan di bahagian lain, itu adalah hukum perimbangan alam.

Cuaca buruk yang melanda dunia, gempa bumi dan berbagai bencana lagi berlaku hari ini adalah kesan dari tindakbalas bagi mencapai titik perimbangan yang telah diusik oleh manusia dalam kerakusan mengejar ‘keselesaan’.

 

Saya terdorong untuk menulis artikel ini kerana dalam perjalanan ke tempat kerja siang tadi saya terlihat seekor monyet sedang menggeletek menahan kesakitan di tengah-tengah jalan kerana dilanggar oleh kereta semasa melintas. Saya hanya mampu mengelak dari terus melanggarnya tanpa berdaya berbuat apa-apa untuk membantunya, hendak berhentikan kereta, bimbang kalau kereta di belakang akan melanggar kereta saya. Saya hanya mampu berdoa agar Tuhan memudahkan kematiannya dan menghapuskan penderitaannya. Sesungguhnya kehadiran mereka di dunia ini adalah sebahagian penyumbang manafaat kepada kehidupan kita manusia juga.

Thursday, April 19, 2012

PM Najib, Negarawan atau Durjanawan?

Semua orang mahu jasa dan nama mereka dikenang selepas mati, dan sudah tentu mereka mahu dikenang sebagai orang yang baik, bukan sebaliknya.


Pemimpin-pemimpin Negara yang telah banyak menabur jasa akan diingat sebagai negarawan, manakala pemimpin yang jahat akan diingat sebagai Durjanawan.

Abraham Lincoln dan Mahatma Ghandi adalah tokoh negarawan dunia yang akan diingat masyarakat dunia sepanjang masa. Mereka adalah pemimpin politik yang berpolitik secara bersih.

Hosni Mubarak bekas presiden Mesir mungkin dianggap negarawan oleh rakyat Mesir semasa era pemerintahaannya, dan sedikit masa lagi dia mungkin dilabel sebagai durjanawan.

Hosni mengamalkan politik kotor untuk memastikan beliau sentiasa menang dalam setiap pilihanraya yang diadakan.

Di zaman dahulu biasa kita dengar seorang pahlawan tidak akan membunuh musuhnya yang tidak bersenjata. Apabila Hang Jebat menyerahkan dirinya kepada Hang Tuah untuk membunuhnya, tidaklah Hang Tuah itu melakukannya sedemikian melainkan diberinya Hang Jebat sebilah keris untuk bertikam.

Itulah jiwa pahlawan Melayu di masa dulu, mereka lebih rela mati ditikam musuh dari membunuh musuh yang tidak bersenjata. Mereka itu lebih mengutamakan maruah dari kemenangan. Sepatutnya nilai mulia seperti ini perlu dilanjutkan kepada segala aspek kehidupan rakyat Malaysia hari ini termasuklah dalam cara kita berpolitik.

Kalau Hang Tuah di masa itu terus saja menikam dan membunuh Hang Jebat dalam keadaan Hang Jebat tidak melawan dan tidak bersenjata. Rasanya tentulah kita di hari ini tidak akan memberi pengiktirafan kepada Hang Tuah sebagai pahlawan sejati.

Ada di kalangan orang UMNO yang begitu lantang bersuara, “Demi survival orang-orang Melayu, kita akan bermatian-matian (by hook or by crook) untuk pastikan parti UMNO ini menang”.

Bermaruahkah kemenangan UMNO kalau tangan parti pembangkang diikat supaya tidak mampu untuk melawan?

Suratkhabar perdana menjadi alat kempen BN.

TV dan Radio Kerajaan, TV dan Radio Swasta menjadi alat kempen BN.

Terus berdalih dan mengelak dari mengamalkan piliharaya yang bersih dan adil.

Bolehkah pemimpin Negara seperti ini boleh terus diingat oleh rakyat sebagai negarawan, sepertimana kita mengingati Hang Tuah sebagai pahlawan sejati?

Monday, April 09, 2012

Apa kejadahnya suruh pensyarah university dapatkan P.E

Beriya-iya sangat nak suruh pensyarah di university dapatkan gelaran Professional Engineer (P.E) tu kenapa?


Kalau sekadar nak memenuhkan statistic university supaya mempunyai jumlah pensyarah yang ada P.E bagi menaikkan ranking university, rasanya macam buat kerja yang kurang cerdik.

Persepsi masyarakat di luar sana, melihat university sebagai tempat orang-orang cerdik, oleh itu eloklah kurangkan buat kerja yang kurang cerdik ini.

Cubalah teliti semula maksud tersirat dalam perkataan professional itu. Ia bukanlah sekadar gelaran saja, tetapi ia bermaksud mahir dan berpengetahuan luas dalam suatu bidang itu. Walaupun kita tidak pernah memanggil professional kepada seorang tukang ukir kayu, tetapi kalau dia mempunyai kemahiran yang tinggi dan telah lama bekerja dalam bidang tersebut, tidak ada salahnya kalau kita mengiktiraf beliau sebagai yang professional.

Apakah cukup seorang pensyarah itu diberi gelaran P.E dengan menjalani latihan industry atau membuat kerja praktikal dalam masa hanya setahun? Lebih memalukan lagi projek yang dinilai untuk mendapatkan P.E itu ada yang sekecil projek sebuah bus stop saja.

Beri sajalah gelaran P.E itu khusus kepada jurutera-jurutera yang telah lama bekerja dalam bidangnya dan kemahirannya yang memang tidak boleh dipertikaikan itu. Kenapa pula pensyarah yang kerja sepenuh masanya mengajar dan membuat penyelidikan di university disuruh pula mendapatkan P.E?

Kalau pun diberi gelaran P.E kepada pensyarah-pensyarah ini, dengan syarat-syarat minima yang telah ditetapkan, apakah gelaran P.E yang mereka dapat itu betul-betul melambangkan mereka mahir atau professional dalam erti kata yang sebenar?

Dengan pengalaman amali setahun itu saja dan kemudian kita tinggalkan untuk beberapa lama, sudah tentu kita tidak akan boleh menjadi mahir, kerana kemahiran itu hanya boleh dicapai jika sesuatu kerja atau aktiviti itu diamalkan secara berterusan, di mana pengetahuan baru dan pengalaman sentiasa bertambah untuk melayakkan diri kita dipanggil professional.

Kita tidak pertikaikan kalau ada pensyarah yang membuat atau mengamalkan kerja-kerja kejuruteraan di luar sana, dan dalam masa yang sama mengajar di university, kemudian di anugerahkan kepada mereka P.E di atas kemahiran dan pengalaman yang bertahun-tahun penglibatan mereka itu. Memang mereka layak untuk mendapat pengiktirafan itu.

Tetapi kepada pensyarah-pensyarah yang sepenuh masanya menumpukan kepada kerja-kerja pengajaran dan penyelidikan di university, rasanya tidak perlulah kita desak mereka untuk mendapatkan gelaran P.E.

Biarlah pensyarah menjadi professional dengan kerja pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan, dengan kata lain professional dalam profesyen mereka sendiri. Malah gelaran professor yang sinonim dengan kerjaya pensyarah di university itu sendiri melambangkan pengiktirafan kepada diri mereka sebagai seorang yang professional dalam bidang ilmu mereka.

Berlaku jujurlah dengan diri kita. Janganlah terlalu mabuk dengan gelaran. Sehingga semua gelaran yang ada hendak direbut, tanpa memperdulikan apakah gelaran-gelaran itu betul-betul layak untuk dipakaikan kepada diri kita? Takut nanti dengan gelaran-gelaran itu bukan membuatkan masyarakat menyanjung kita seperti yang diharapkan tetapi sebaliknya menjadi bahan cemuhan masyarakat kepada kita.

Kata orang, “dengar cakap enggang makan buah beluluk, dengar cakap orang terjun masuk lubuk”.

Monday, April 02, 2012

Myanmar telah berubah, hanya Malaysia dan Singapore yang belum

Kita di Malaysia telah memerhati dengan dekat perkembangan politik yang terbaru di Myanmar. Kita rasa teruja bila melihat rakyat Myanmar telah berani membuat perubahan yang begitu besar. Hari ini arus kebangkitan rakyat dan demokrasi tengah melanda ke serata rantau di dunia ini.


Tahniah kepada rakyat Myanmar. Tahniah juga kepada pemimpin Junta Tentera Negara itu kerana telah mengembalikan kuasa kepada rakyat melalui saluran demokrasi yang bebas dan adil, tidak sampai memaksa rakyat untuk turun ke jalanraya dan memberontak bagi menghalau pemimpin kuku besi ini.

Nampaknya pemimpin kerajaan Junta Tentera Myanmar telah bertindak bijak dan mengambil pelajaran dari perkembangan yang berlaku di dunia hari ini, terutamanya di Negara-negara Arab.

Indonesia telah berubah, demokrasi telah berjalan dengan baik di sana, pemimpin-pemimpin dari berbagai parti politik telah silih berganti menjadi pemimpin di Negara itu, mengikut selera rakyat Negara itu.

Kini hanya tinggal Malaysia dan Singapore sahaja Negara di bawah kelompok ASEAN yang masih belum membuat apa-apa perubahan politik sejak merdeka lebih 50 tahun dahulu.

Saya percaya perubahan politik ke arah demokrasi yang bebas dan adil, pemerintahan kuasa rakyat, sebenarnya adalah momentum yang sedang berada dalam setiap diri manusia sekarang ini. Semua pemikiran manusia dan rakyat adalah ke arah tersebut.

Rakyat Malaysia juga tidak ketinggalan untuk bergerak dan sedang bergerak ke arah tersebut. Mereka telah mual dengan sistem dan parti pemerintahan yang ada sekarang. Mereka bukan sekadar mahu transformasi tetapi yang mereka mahukan ialah perubahan total. Order lama tidak sesuai lagi, mereka mahu menghirup udara baru di bawah kepimpinan dan gaya baru.

Saya rasa Pakatan Rakyat perlu bersedia dan mempersiapkan diri untuk mengambil peranan sebagai alternatif kepada order lama ini. Semua rakyat mahukan perubahan, dan mereka memerlukan pemimpin yang boleh mereka percayai yang mampu membawa perubahan itu. Rakyat Malaysia mahukan seorang pemimpin pembangkang yang kental seperti Aung SanSuu Kyi.

Tidak menoleh ke belakang lagi.

Monday, March 26, 2012

Kapal dah nak tenggelam, sekarang PM Najib beri rakyat ikan, bukan lagi kail

Nasi dah jadi bubur, sudah tidak boleh buat apa-apa. Begitulah keadaan UMNO sekarang ini, seperti tidak boleh dibaiki lagi. Mungkin UMNO tidak sekadar memerlukan transformasi untuk memperbaiki parti itu, tetapi lebih dari itu, mungkin reformasi lebih sesuai.


Sejak prestasi buruk dalam pilihanraya tahun 2008, UMNO masih belum menampakkan pemulihan sokongan rakyat kepada parti itu walaupun berbagai usaha telah dilakukan oleh pucuk pimpinannya.

Pendek kata, UMNO bukan setakat sakit demam tetapi telah ditimpa penyakit barah yang tidak boleh diubati, hanya menunggu ajal saja. Sekarang sudah masuk tahun ke empat penggal pilihanraya, dengan kata lain sudah memasuki pusingan terakhir. Tahun 2012 ini adalah tahun yang amat kritikal sebelum pilihanraya diadakan menjelang Mac 2013 nanti.

PM Najib sendiri telah membuat pengakuan dalam satu majlis di PD baru-baru ini, akan ada lebih banyak lagi pengumuman yang menguntungkan rakyat bakal akan diumumkan oleh beliau menjelang pilihanraya akan datang ini. PM Najib memang seorang PM yang suka membuat pengumuman. Buat masa ini beliau memang sinonim dengan gelaran Bapa Pengumuman.

Di pusingan akhir ini PM Najib banyak memberi hadiah kepada rakyat dalam bentuk ‘ikan’, bukan lagi berbentuk ‘kail’ seperti tahun-tahun sebelum ini. Ibarat menghadapi peperangan, politik mesti ada strategi dan perkiraan.

Bermula dengan duit bantuan RM100 untuk setiap pelajar sekolah, diikuti bantuan R500 untuk setiap keluarga berpendapat rendah, kenaikan gaji penjawat awam bermula Januari 2012, penghapusan dan pengurangan bayaran tol di beberapa lebuhraya.

PM Najib nampak betul-betul bermurah hati kepada rakyat, sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh PM-PM yang lain sebelum ini.

Mungkin juga PM Najib sendiri tidak yakin UMNO dan BN boleh menang pada pilihanraya tahun 2013 nanti. Dengan itu beliau ‘memperjudikan’ wang simpanan Negara yang ada. Beliau seperti sudah nekad, kalau menang dalam pilihanraya nanti, alhamdulilah dan kalau kalah, beliau tidak akan berputih mata. Tidak berputih mata kerana semua wang simpanan Negara telah kering kerana telah ‘ditabur’ kepada rakyat, dan tidak berputih mata juga kerana parti pembangkang mengambil alih kerajaan dengan tabung Negara yang kosong.

Kerana tidak yakin boleh menang, ramai juga pemimpin-pemimpin UMNO mengambil peluang dari sisa-sisa nyawa UMNO yang ada ini untuk membuat kekayaan. Banyaklah projek-projek mereka rembat untuk membuat keuntungan dan komisyen atas angin.

Kalau rakyat biasa diberi RM500 sekeluarga, tetapi pemimpin-pemimpin UMNO pula mungkin mendapat lebih dari RM5 juta setiap orang hasil keuntungan yang diperolehi dari bisnes dan projek yang menggunakan kedudukan mereka. Kalau tidak percaya, cubalah periksa nilai harta-harta yang dimiliki oleh mereka itu. Nazri Aziz sendiri pun takut untuk mengistiharkan jumlah hartanya atas alasan takut akan dirompak. Betulkah beliau takut dirompak atau beliau takut dituduh oleh rakyat sebagai ‘perompak’ kekayaan Negara?

Sikap pemimpin-pemimpin UMNO dan BN yang menggunakan kedudukan mereka untuk memperkayakan diri dan keluarga telah menjadi sebati dan amalan biasa dalam kehidupan mereka. Ia tidak lagi dianggap sebagai perbuatan yang tidak bermaruah. Sikap inilah yang sukar dikikis dari ahli-ahli UMNO masa kini, dan sikap inilah sebenarnya yang banyak menyumbang kepada kehancuran UMNO.

Ucapan slogan memperjuangkan agama, bangsa dan Negara bukan lagi ucapan yang datang dari hati mereka seperti yang pernah diucapkan oleh datuk dan moyang kita dahulu, tetapi slogan ini diucapkan sekadar untuk mengabui mata rakyat, agar rakyat terus memberi mandat kepada mereka dan dengan itu juga mereka dapat terus menimbunkan kekayaan untuk diri dan keluarga.

Sampai bila rakyat dapat diperbodoh dan ditipu? UMNO dan BN tidak boleh terus kekal dengan menipu dan memperbodohkan rakyat. Cara berfikir mereka harus berubah dengan perubahan dunia sekarang. Kalau rakyat Arab pun sekarang ini sudah pandai berfikir, apakah rakyat Malaysia juga masih bodoh?

Taktik menakut-nakutkan orang Melayu akan hilang segala-galanya kalau orang Cina memerintah, supaya orang Melayu mengundi UMNO, dan taktik menakut-nakutkan orang Cina dengan hukum hudud kalau PAS memerintah, supaya orang Cina mengundi MCA adalah amat keji sekali dan bukan amalan politik orang yang bertamadun.

Berpolitiklah dengan cara yang lebih matang, berakhlak, sesuai dengan rakyat masa kini yang rata-ratanya berilmu dan berpelajaran. Jauhi taktik kotor dan keji yang akan merendahkan martabat diri kita sendiri.

Ban Ki-Moon, Setia Usaha PBB, yang melawat Malaysia baru-baru ini telah memperingatkan pemimpin Malaysia supaya memastikan pilihanraya yang dijalankan di sini benar-benar telus dan ada kredibiliti. Kenapa belia menimbulkan isu ini dalam ucapannya? Sudah tentu beliau bercakap berasaskan fakta dan maklumat. Yang jelasnya beliau masih tidak cukup puas hati dengan perjalanan pilihanraya dan sistem demokrasi di Negara ini. Ironinya sebelum ini pemimpin BN terus mendabik dada memberitahu rakyat bahawa pilihanraya di Negara ini adalah bebas dan adil. Apakah Ban Ki-Moon yang bodoh?

Ada orang kata, UMNO perlu kalah dulu sebelum bangkit semula dan membetulkan kesilapan untuk mencapai kemenangan pada masa akan datang.

UMNO adalah satu-satunya parti politik berasaskan kaum yang masih berkuasa di dunia. Amalan Apartheid telah lenyap di dunia dan ditentang oleh manusia sejagat, oleh itu UMNO harus menjauhkan partinya dari elemen dan amalan Apartheid, kalau mahu UMNO disokong oleh rakyat semula.

Umno tidak harus mengambil pendekatan berperang dengan rakyat atau menggalakkan ‘permusuhan’ di kalangan rakyat. Sebaliknya UMNO harus bekerja bersama-sama rakyat tanpa mengira kaum untuk membawa Malaysia ke arah yang lebih gemilang. Dasar pecah dan perintah yang diwarisi dari penjajah demi untuk mengekalkan kuasa tidak patut menjadi amalan parti UMNO, kerana ia tidak baik dan tidak membantu untuk menuju kearah pembentukan Negara bangsa.

Thursday, March 22, 2012

Mencanangkan pilihanraya awal adalah strategi politik PM Najib mengelak didesak letak jawatan

Semasa Pak Lah jadi PM semula selepas BN menang pada tahun 2008, walaupun gagal mencapai majority dua pertiga, beliau tidak ada niat untuk mengadakan pilihanraya lagi sekali pada masa yang terdekat. Sebaliknya beliau sedaya upaya akan mencukupkan tempoh sepenggal (lima tahun) lagi untuk menjadi PM, atupun sekurang-kurangnya empat tahun lagi.
Tempoh lima atau empat tahun memang agak lama, ini membuatkan ahli-ahli UMNO tidak boleh bersabar. Mereka mahu Pak Lah turun sebelum UMNO dan BN bertambah tenat. Mereka mahukan perubahan kepada kepimpinan untuk memperbaiki keadaan BN yang telah mula hilang sokongan rakyat. Pak Lah telah dipersalahkan, beliau dijadikan kambing hitam atau kambing korban oleh UMNO.
‘Kelemahan’ Pak Lah telah dijadikan batu loncatan oleh DS Najib dan DS Muhyiddin untuk naik ke atas.
Yang jelasnya, perubahan pucuk kepimpinan UMNO dan BN kepada DS Najib tidak juga dapat meningkatkan sokongan rakyat kepada BN.
Sejak mula DS Najib mengambil alih pucuk pimpinan UMNO, tidak pernah lekang dari mulutnya untuk mengadakan pilihanraya awal bagi mendapatkan mandat baru. Sebagai PM baru setelah mengambil alih dari Pak Lah, orang ramai merasakan beliau perlu mendapatkan mandat baru dari rakyat.
Oleh kerana rakyat dan khususnya orang UMNO percaya PM Najib akan membubarkan Parlimen dalam masa terdekat selepas beliau mengambil alih jawatan PM, maka ahli-ahli UMNO tidaklah berasa tidak sabar untuk mengharapkan beliau meletakkan jawatan, walaupun demam UMNO dan BN masih juga belum boleh dikatakan pulih.
Sekarang sudah lebih tiga tahun beliau menjadi PM tanpa diganggu oleh suara-suara dari ahli UMNO yang mahukan beliau meletakkan jawatan. Cakap-cakapnya untuk mengadakan pilihanraya awal telah menjadi strategi yang paling baik yang dapat menyelamatkan dirinya untuk terus kekal menjadi PM hinggalah tempohnya tamat pada tahun 2013 nanti.
Selain dari itu, strategi mengheboh-hebohkan untuk mengadakan pilihanraya awal ini juga dapat memberi peringatan atau amaran kepada semua ahli-ahli UMNO supaya sentiasa dalam keadaan siap sedia untuk menghadapi pilihanraya.  Semua ahli akan terus bersemangat untuk bekerja bagi memenangkan parti dan terus berkempen hinggalah menjelang pilihanraya sebenar.

Fikiran ahli-ahli UMNO sentiasa tertumpu kepada untuk menghadapi piliharaya yang akan diadakan dalam masa terdekat, sehinggakan terlupa untuk melihat kepada kelemahan pentadbiran PM Najib. Bilakah masa yang terdekat itu? hanya PM Najib sahaja yang tahu. Mungkin langsung tidak ada sehinggalah tamat penggal pada Mac 2013 nanti.

Sunday, March 04, 2012

Dasar pendidikan negara kita pincang

Apa yang kita semai, itulah yang kita akan tuai.


Semasa pemimpin-pemimpin menamkan cerucuk asas pendidikan Negara kita kira-kira lebih 40 tahun dahulu, mereka hanya menekankan untuk memberi ilmu pengetahuan sains, teknologi dan kemahiran kepada anak-anak sekolah bagi menyediakan dan memabawa Malaysia kearah Negara maju.

Tetapi setelah melihat kepada ciri masyarakat yang terbentuk hasil melalui sistem yang ada ini, dapatlah kita membuat kesimpulan, terdapat sesuatu yang tidak kena dalam sistem pendidikan kita.

Pendidikan di sekolah dan di rumah sangat memberi kesan kepada pembentukan sahsiah sesuatu masyarakat.

Kita di semenanjung, terdiri dari tiga kaum yang terbesar iaitu Melayu, Cina dan India. Tiga-tiga kaum ini menerima pendidikan di peringkat tadika dan sekolah rendah secara berasingan. Selalunya kelompok tempat tinggal mereka juga berasingan. Kalau masa dulu, orang Cina ramai tinggal di kawasan Bandar, orang Melayu di kampong dan orang India di estet.

Di masa ini pun, walaupun ketiga-tiga kaum ini tinggal di taman perumahan, mereka masih cenderung untuk tinggal dalam kelompok kaum mereka.

Pengasingan sekolah dan kawasan penempatan mengikut kaum ini menyebabkan peluang untuk mereka berkenal lebih rapat dan bersahabat antara kaum sangat sukar sekali. Mereka hanya bertemu dalam aktiviti yang tertentu sahaja, seperti dalam urusan jual beli dan urusan pekerjaan sahaja, selain dari itu mereka seperti tidak bergantung antara satu sama lain.

Amat jarang sekali tiga kaum utama ini berpeluang menjalankan aktiviti kehidupan bersama. Ekoran dari itu, tiga kaum ini tidak berpeluang mengenal antara satu sama lain dengan lebih dekat, hasilnya mereka mempunyai aspirasi yang berlainan. Mereka tidak dapat merasakan kehendak, kemahuan dan keperluan kaum lain. Sebaliknya semua tindak tanduk dan aktiviti mereka hanya berkisar kepada kaum mereka sahaja.

Pemisahan kaum-kaum ini telah melebarkan jurang perbezaan antara mereka, akhirnya mereka terus selesa dengan keadaan demikian, mereka menganggap kaum yang lain itu sukar untuk didekati dan dicampuri. Jauh dari menjadi sahabat, sebaliknya mereka menganggap kaum lain itu sebagai ‘musuh’ yang boleh menyusahkan hidup mereka. Suatu kaum akan berusaha untuk ‘membunuh’ atau mengalahkan kaum yang lain.

Perasaan curiga dan prasangka kepada kaum lain sentiasa wujud dalam pemikiran masyarakat Malaysia. Baru-baru ini telah terjadi pergaduhan antara pekerja restoran KFC berbangsa Melayu dengan pelanggannya berbangsa Cina. Masyarakat tidak melihat siapa yang bersalah dan berkelakuan buruk secara individu yang telah menyebabkan pergaduhan itu, tetapi sebaliknya masyarakat Malaysia melihat insiden itu dengan kacamata perkauman dan melabelkan kaum A atau kaum B sebagai kurang ajar atau biadap.

Parti-parti politik yang wujud juga tidak terlepas dari mengikut polarisasi kaum dan ia sebenarnya adalah lanjutan hasil dari pemisahan kaum dalam kehidupan sebenar mereka. Dalam meraih sokongan, ahli politik lebih suka dilihat untuk menjadi hero kepada kaumnya.

Bila bercakap soal untuk membasmi kemiskinan dan membantu golongan miskin, mereka lebih suka bercakap untuk memperjuangkan taraf ekonomi dan kehidupan orang Melayu. Padahal kalau dia kata untuk meningkatkan ekonomi rakyat yang miskin, yang akan dibantu adalah orang Melayu juga, kerana kaum Melayu lah yang paling ramai miskin. Tetapi disebabkan untuk meraih sokongan politik, mereka lebih suka bercakap untuk membantu dan membela orang Melayu.

Sikap dan tabiat orang Melayu, orang Cina dan orang India juga berbeza. Orang Melayu dikatakan baik hati tetapi malas, orang Cina dikatakan tamak tetapi rajin, orang India pula dikatakan taat tetapi culas. Apakah sikap dan tabiat setiap kaum itu diwarisi atau dididik dari kecil. Tetapi kalau kita letakkan kesalahan ini kepada sistem pendidikan pun ada kebenarannya, kerana mereka dididik dan melalui sistem persekolahan yang berbeza, sudah tentu hasilnya juga akan berbeza.

Ada kemungkinan kalau ketiga-tiga kaum ini bersekolah dalam sistem sekolah yang sama, sikap dan tabiat mereka akan menjadi lebih kurang sama atau hampir seragam.

Orang Jepun terkenal dengan memiliki sikap-sikap yang murni seperti tidak mementingkan diri, jujur, telus, tidak mencuri, rajin, gigih, sabar, tidak membuang sampah merata-rata, bebaris mendapatkan giliran tanpa memotong barisan, sikap ingin belajar dan ingin tahu, berbangga untuk membuat kebaikan, membantu orang yang memerlukan.

Kenapa Jepun boleh menghasilkan manusia yang berakhlak mulia tetapi kita tidak boleh? Ini mesti ada yang tidak kena dengan sistem pendidikan kita. Kita patut belajar dari Jepun.

Nilai yang murni tidak cukup sekadar diceramah dan diberitahu sahaja, tetapi ia perlu dilatih untuk melakukannya supaya ia akan menjadi amalan dan budaya masyarakat.

Di universiti sekarang ini begitu ghairah dan sibuk sekali menekankan latihan generic skill atau soft skill atau kemahiran keterampilan diri. Bagi saya generic skill ini mesti bermula dan dilatih diperingkat tadika lagi, bukan di universiti baru hendak diperkenalkan kepada mereka, kerana ia melibatkan sikap, amalan dan budaya.

Kenapa anak-anak muda Melayu kita suka merempit dan melepak? Kenapa anak-anak muda kita banyak terjebak dalam masalah sosial, menghisap rokok, penyalahgunaan dadah, seks bebas. Semuanya ini memerlukan kita melihat semula kepada sistem pendidikan yang dilalui oleh anak-anak kita samada di sekolah mahupun di rumah.

Anak-anak sekolah kita lebih berbangga untuk menjadi jahat, mereka bangga kalau kenal samseng atau gangster di luar sekolah, sebaliknya murid yang ingin membuat perkara yang baik sering diperli, dikutuk dan diejek.

Penguatkuasa banyak terlibat dengan rasuah, mereka tidak amanah. Masyarakat kita juga dibelenggu dengan masalah perbezaan status yang diukur mengikut pekerjaan dan tahap ekonomi mereka. Pemungut sampah dianggap golongan rendah. Amat memalukan kalau berjalan kaki atau menggunakan pengangkutan awam. Sebaliknya menaiki dan memiliki kereta Mercedes dan BMW di pandang tinggi.

Apakah semua masalah dan kemelut yang kita hadapi hari ini ada kaitan dengan kepincangan dalam sistem pendidikan kita?

Tetapi yang pastinya, kalau kita semai benih lalang tidak mungkin kita akan menuai padi.

Friday, March 02, 2012

Ada spesis manusia yang lain di bumi sebelum Adam

Cuba perhatikan terjemahan surah Al Baqarah ayat 30 ini:


Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”. Ayat 30 Surah Al Baqarah.

Bagaimana Malaikat boleh tahu sifat manusia itu suka membuat bencana dan menumpahkan darah? Sudah tentu mereka mengetahuinya dari pengalaman yang lalu. Ayat ini menunjukkan bukti, Tuhan pernah mencipta manusia dari spesis yang lain sebelum Tuhan jadikan manusia jenis spesis Adam.

Gambar-gambar yang dipaparkan di sini menunjukkan rangka manusia yang dikatakan hidup sezaman dengan zaman dinosaur, iaitu 230 juta tahun yang lalu.

Sedangkan manusia dari spesis Nabi Adam hanya wujud tidak sampai dari 20 ribu tahun yang lalu. Kalau kita jejaki semula susur galur keturunan Nabi Muhammad hingga ke Nabi Adam, dengan merujuk kepada umur nabi-nabi sebagai rujukan umur manusia yang hidup pada zaman mereka, kita boleh anggarkan jarak masa antara manusia sekarang dengan manusia pertama (Nabi Adam) adalah antara 10 ribu hingga 20 ribu tahun sahaja.

Oleh itu kalau ada rangka manusia yang ditemui lebih dari jangka masa 20 ribu tahun, apalagi kalau 230 juta tahun seperti dalam gambar itu, ada kemungkinannya mereka bukan manusia yang sama spesis dengan kita.

Inilah Skeletons ( atau orang gergasi ) yang hidup di sezaman dengan zaman dinosaur ( Zaman Mesozoik) sejak 230 juta tahun dahulu.Penemuan bersejarah ini telah dibuat oleh Dr.Richard Owen seorang saintis yang mengkaji kehidupan manusia sejak 230 juta tahun dahulu. Dan penemuannya sungguh menggempar dunia.

Wednesday, February 29, 2012

Penilaian Prestasi (eLPPT) Pensyarah UTM yang tidak mengambil kira Pensyarah Lama

Penilaian Prestasi Staf Secara Dalam Talian (eLPPT/eLNPT/eLNPT 360) yang dilaksanakan di UTM untuk penilaian prestasi stafnya bagi tahun 2011 agak mengeciwakan beberapa pihak, terutamanya kepada pensyarah yang telah lama bertugas.


Secara umumnya jawatan pensyarah di UTM mempunyai beberapa tahap atau pangkat, bermula dari Pensyarah biasa, Pensyarah Kanan, Profesor Madya dan Profesor yang mempunyai tangga gaji berbeza antara satu sama lain.

Yang tidak adilnya, keempat-empat kategori pensyarah ini dinilai dengan menggunakan instrumen yang sama. Markah dan mata dikira mengikut berapa banyak kerja-kerja pengajaran dibuat, bilangan kertas penyelidikan yang dihasilkan, berapa buah buku yang ditulis, kerja-kerja perundingan dan perkhidmatan professional.

Setiap orang mesti melepasi markah 70 dari 100, barulah dikira sebagai baik. Dikatakan, jika tiga kali berturut-turut tidak melepasi markah 70, kenaikan gaji akan dibeku, dan mereka akan ditunjukkan ‘pintu keluar’ dari universiti.

Dalam setiap kategori tadi, terutamanya Pensyarah Kanan dan Profesor Madya, terdapat di kalangan mereka telah begitu lama memegang jawatan itu, malah ada yang hampir mencapai umur pencen. Kalau ikut logiknya, kalau mereka itu cemerlang dan berkebolehan sama, tentulah semuanya telah mencapai jawatan Profesor kerana telah lama bekerja.

Oleh itu cara penilaian untuk keempat-empat kategori pensyarah ini kenalah dibuat berasingan. Profesor misalnya mestilah menyumbang lebih besar, setimpal dengan gajinya yang tinggi, berbanding Profesor Madya, Pensyarah Kanan dan Pensyarah biasa. Kalau ikut sistem sekarang , kalau ada seorang pensyarah biasa dapat mencapai markah eLPPT sebanyak 100%, ini bermakna dia telah menyumbangkan kerja setanding dengan seorang Professor dan patutnya dia dibayar dengan mata gaji professor.

Lebih sesuai kalau tugas-tugas pensyarah ini diasingkan mengikut kemampuan mereka. Kita kena kenalpasti apakah tugas minima untuk seorang Pensyarah biasa, tugas minima seorang Pensyarah Kanan, tugas minima seorang Profesor Madya dan tugas minima atau kemampuan yang perlu ada untuk seseorang itu dinaikkan kepada jawatan Profesor.

Bila ada pengasingan begini, tidaklah Pensyarah biasa terpaksa membuat kerja-kerja yang sama seperti professor untuk mendapatkan eLPPT yang sama tinggi. Adalah lebih adil kalau markah eLPPT 70% yang dicapai oleh seorang professor adalah menunjukkan pencapaiannya dalam kategori Profesor. Begitu juga, markah eLPPT 70% yang dicapai oleh seorang Pensyarah Kanan menunjukkan pencapaiannya dalam kategori pensyarah kanan sahaja.

Keadaannya samalah seperti ahli tinju lightweight yang masuk bertanding sama kategori dengan ahli tinju heavyweight, teruklah kena belasah.

Tetapi kalau pensyarah biasa berjaya mendapat markah eLPPT 100% atau lebih dari 100% dalam kategorinya, ia memberi isyarat kepada pihak pentadbiran, dia perlu dipertimbangkan kenaikan pangkat ke jawatan lebih tinggi iaitu Pensyarah Kanan atau Profesor Madya. Begitu juga kalau seorang Profesor Madya telah dapat mencapai markah eLPPT lebih dari 100% dalam kategorinya, layaklah dia untuk dipertimbangkan ke jawatan Profesor.

Saturday, February 25, 2012

Sultan itu Bayangan Allah, boleh membawa kepada syirik

Selama ini saya menyangkakan pandangan sesetengah tamadun manusia yang menganggap Sultan atau Raja itu merupakan bayangan Tuhan atau wakil Tuhan adalah bukan dari orang Islam atau kepercayaan sebelum kedatangan Islam.


Tetapi setelah membaca artikel oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin bekas mufti Perlis yang bertajuk “BILAKAH SULTAN MENJADI BAYANGAN ALLAH DI BUMI?” terdapat beberapa hadis yang menyebut Sultan adalah bayangan Allah di bumi, walaupun bukan dari hadis-hadis yang sahih. Sukar untuk saya mempercayainya, tetapi saya terpaksa juga menerima hakikat bahawa pandangan yang mengatakan Sultan itu adalah bayangan Tuhan di bumi itu adalah juga lahir dari ‘ajaran Islam’ sendiri.

Saya lebih suka merujuk kepada Quran sebagai sumber utama ajaran Islam yang tidak boleh dipertikaikan. Bagi saya kalau ada sumber lain, termasuk hadis, apatah lagi hadis dhaif yang bertentangan dan tidak selari dengan semangat dan prinsip Quran maka wajib kita menolak yang lain-lain itu.

Mesej utama ajaran Quran adalah mengesakan Tuhan dan membenteras perbuatan syirik. Dengan tujuan itulah juga Nabi dan Rasul diturunkan, mengajak manusia menyembah Tuhan yang Esa dan tidak mempersekutukan Tuhan.

Dalam Quran (antaranya dalam Surah Al Baqarah) jelas mengatakan manusia itu sebagai khalifah Allah di bumi. Gelaran khalifah ini sudah dimaklumi dan difahami oleh umat Islam dan tidak boleh dipertikai. Tetapi kenyataan Sultan adalah bayangan Allah di bumi tidak pernah disebut dalam Quran.

Kita bimbang gelaran bayangan Allah ini boleh disalah fahami yang boleh membawa amalan syirik. Yang telah merosakkan ajaran Nabi Isa ialah bila pengikutnya terlalu taksub dan menganggap baginda sebagai jelmaan Tuhan dalam bentuk rupa manusia di bumi. Kita bimbang ajaran mengatakan Sultan adalah bayangan Allah ini juga hampir menyamai seperti ajaran Kristian.

Oleh itu bagi membersihkan ajaran Islam yang mulia ini, adalah lebih baik kita menolak hadis-hadis yang bercanggah dengan prinsip Quran ini. Allah telah member jaminan untuk memelihara Quran dari diseleweng tetapi tidak ada jaminan yang Allah beri kepada hadis-hadis.

Tidak salah kita menolak hadis-hadis yang sedemikian itu bagi memurnikan aqidah kita kepada Allah s.w.t. Apatah lagi ianya langsung tidak menjejaskan rukun iman kita kalau tidak percaya Sultan itu adalah bayangan Allah di bumi, sebaliknya lagi bahaya kalau kita mempercayainya, kerana bimbang ia boleh membawa kepada syirik.

Inilah antara terjemahan hadis itu, “al-Sultan bayangan Allah di bumi. Jika mereka berbuat baik bagi mereka pahala dan wajib ke atas kamu syukur. Jika mereka jahat, mereka mendapat dosa, wajib ke atas kamu sabar. Janganlah kejahatannya itu menyebabkan kamu keluar dari ketaatan. Ini kerana, sesungguhnya kehinaan dalam mentaati Allah (dengan mentaati sultan yang jahat) lebih baik dari kekal dalam neraka (kerana menentang sultan). Jika tidak kerana mereka, manusia tidak akan aman”. (hadis ini dihukum oleh al-Albani sebagai ‘terlalu daif’ dalam Silsilah al-Daifah/no. 1664)

Kadang-kadang manusia ini menggunakan agama, seperti menyelewengkan pentafsiran ayat Quran dan hadis, malah mencipta hadis-hadis palsu bagi kepentingan diri mereka, termasuklah atas kepentingan politik.

Hadis di atas jelas berbau politik, ada kemungkinan kenyataan ini diwujudkan bagi menghalang orang ramai dari melakukan pemberontakan atau penentangan terhadap Sultan dan Raja. Apa yang rakyat perlu lakukan hanyalah bersabar dengan Sultan dan Raja yang menyusahkan rakyat sehinggalah baginda menemui ajalnya, dan selepas itu akan digantikan oleh puteranya yang diharapkan akan menjadi Sultan dan Raja yang lebih baik.

Pemberontakan, penentangan dan peperangan adalah lebih buruk kesannya kepada rakyat jelata. Pasti akan menumpahkan darah, dan ramai yang akan terbunuh, oleh itu jalan yang lebih baik ialah menjinakkan pemikiran rakyat dengan ‘agama’ dan hadis palsu supaya sabar dan taat setia kepada Sultan dan Raja walaupun banyak perbuatan mereka yang membebankan rakyat.

Kelompok Syiah juga banyak menghasilkan hadis-hadis yang menyokong kepimpinan Saidina Ali dan keturunannya, inilah cara mudah untuk mendapat sokongan orang ramai kepada mereka.

Dalam masyarakat Melayu pun kita juga banyak menggunakan pendekatan demikian atau jalan mudah untuk mendidik anak-anak menjadi baik. Umpamanya, anak gadis tidak dibenarkan duduk di tangga kerana nanti tidak dapat jodoh, anak gadis tidak boleh menyanyi semasa masak kerana nanti akan kawin dengan orang tua.

Walaupun larangan-larangan ini adalah bertujuan untuk mendidik anak-anak gadis mereka supaya berkelakuan baik dengan cara menakut-nakutkan, tetapi akhirnya mereka membesar dengan membawa kepercayaan itu. Malangnya anak-anak ini dibiarkan membesar tanpa diberi penjelasan disebalik larangan-larangan itu.

Apabila perkara karut ini telah melekat menjadi kepercayaan, maka akan menjadi perkara yang kurafat dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin mengambil jalan tengah, menerima kenyataan Sultan adalah bayangan Allah di bumi dengan bersyarat, di dalam konteks yang tertentu. Mungkin beliau bimbang kalau sekali lagi dilabel sebagai Wahabi kalau menolaknya bulat-bulat.

Tetapi kalau kepercayaan ini boleh mencampakkan diri kita kepada amalan syirik, memang wajar kita tolak terus sekalipun kita akan dilabel sebagai Wahabi. Yang penting kita telah mengikut jalan yang telah ditempuh dan diperjuangkan oleh para Anbiya.

Apakah Sultan dan Raja itu lebih mulia darjatnya dari Nabi dan Rasul sehingga layak mendapat gelaran Bayangan Allah di bumi?

Seperti dinyatakan dalam Surah Al Ikhlas, tiada sesuatu pun yang setara atau menyerupai Allah, mahupun yang diciptaNya atau apa saja yang dibayangkan dalam fikiran kita.

Friday, February 10, 2012

Kalau tak nak masuk suku, macam mano ekau nak kawin!

Adat Perpatih yang sinonim dengan masyarakat di Negeri Sembilan hari ini pernah di suatu masa dahulu menjadi sistem hidup bermasyarakat yang merangkumi politik, peraturan, undang-undang dan cara hidup masyarakat petani di Negeri Sembilan.


Tidak keterlaluan kalau dikatakan pemikir pengasas adat perpatih ini adalah setanding dengan pemikir Karl Marx yang telah berjaya mencipta satu kaedah atau sistem bermasyarakat yang meliputi cara politik, peraturan dan undang-undang, serta cara hidup yang terbaik bagi masyarakat yang kegiatan hidup berasaskan pertanian di zaman beliau.

Di bawah lingkungan atau dikandung adat ini telah dapat mengawal golongan masyarakat petani ini hidup dalam harmoni dan aman damai.

Setiap suku ada pemimpin yang bergelar Buapak, kepimpinan untuk hiraki yang lebih tinggi dipanggil Dato’ Lembaga dan seterusnya Dato’ Undang, pemimpin-pemimpin masyarakat ini dipilih berasaskan demokrasi. Manakala Raja atau Yam Tuan sebagai pemimpin tertinggi pula ditentukan oleh Dato’-Dato’ Undang yang mereka pilih dari salah seorang dari kalangan keluarga Diraja.

Oleh kerana kegiatan ahli-ahli masyarakat ketika itu adalah homogenous yang hanya menjalankan aktiviti-aktiviti pertanian sara diri, maka sistem Perpatih ini terus relavan untuk masa yang lama tanpa perlu diubah.

Masuk Suku

Apabila orang lelaki luar dari Negeri Sembilan atau orang yang bukan berada dalam sistem Perpatih ingin berkahwin dengan wanita Negeri Sembilan, mereka perlu menjalani proses masuk suku terlebih dahulu. Sistem Perpatih akan jadi tempang kalau seseorang itu tidak masuk suku.

Perbandingannya samalah seperti kalau kita tidak memilih salah satu dari mazhab yang empat bila hendak melakukan ibadah. Tentu kita akan menghadapi masalah kalau kita memilih dua mazhab dalam satu-satu masa. Itulah pentingnya kenapa proses masuk suku perlu dilakukan bagi menjamin kelicinan kehidupan seseorang itu.

Seperti Karl Marx yang mencipta sistem Kominis atau Sosialis, ia mungkin ideal untuk zaman dan masyarakat yang tertentu tetapi bila kegiatan masyarakat atau cara pemikiran dan kehidupan masyarakat berubah, sistem Kominis dan Sosialis tidak lagi sesuai untuk diamalkan.

Begitu jugalah dengan sistem Perpatih, cara hidup dan pemikiran masyarakat Negeri Sembilan kini telah jauh berubah. Kebanyakan mereka bukan lagi petani tradisional sebaliknya telah ramai bekerja di kilang-kilang, pejabat-pejabat, berhijrah ke bandar dan juga berhirah ke tanah rancangan Felda.

Kini hanya tinggal orang-orang tua saja menghuni rumah-rumah yang dibina di atas tanah adat di kampong. Ramai anak-anak mereka telah berhijrah mencari rezeki dan membina kehidupan di tempat lain. Generasi baru ini tidak berminat untuk memajukan atau tinggal semula di tanah-tanah adat ini. Akhirnya banyak tanah-tanah adat di Negeri Sembilan menjadi terbiar dan ditumbuhi semak samun.

Sistem Perpatih pula hanya tinggal sebagai adat istiadat sahaja, anak-anak muda pula ramai yang tidak ambil tahu soal adat, apalagi hendak mengamalkannya. Kalau ditanyakan kepada mereka, apakah suku mereka, belum tentu mereka dapat menjawabnya.

Bukanlah sesuatu yang membimbangkan kalau anak-anak muda Negeri Sembilan tidak berminat lagi mengamalkan adat perpatih, tetapi yang amat membimbangkan kita ialah kesan tinggalan dari sistem Perpatih ini kepada sosio budaya masyarakat moden hari ini, malah ada nilai-nilainya yang tidak bertepatan dengan tuntutan Islam.

Sekiranya berlaku perceraian, si suami terpaksa keluar dari rumah yang dibina di atas tanah adat yang diwarisi bekas isterinya, tanpa dapat menuntut apa-apa bahagiannya.

Tanah-tanah adat  yang diwarisi tidak mengikut sistem faraid ini juga telah memberi masalah kepada pentadbir untuk memajukan negeri ini, kerana ia tidak boleh dijual kepada orang luar untuk dibangunkan.

Pemimpin-pemimpin masyarakat dan politik perlu mencari jalan untuk menyelesaikan masalah ini. Kalau orang yang mengasaskan sistem Perpatih dulu telah melakukan usaha yang terbaik untuk kebaikan masyarakatnya pada masa itu, maka kita juga harus memikirkan pula satu jalan penyelesaian yang terbaik untuk kesejahteraan dan kemajuan rakyat yang hidup pada hari ini, sesuai dengan keperluan zaman sekarang.

Pepatah biar mati anak jangan mati adat, tidak sesuai untuk dijadi pegangan kita lagi. Sistem dan peraturan hidup akan terus berubah mengikut perkembangan masyarakat, yang perlu kita kekalkan ialah nilai-nilai baik yang dianjurkan oleh ajaran agama kita.

Wednesday, February 08, 2012

Dr. Mahathir tak mampu menukar hari cuti hujung minggu Kedah kepada hari Ahad

Selain dari membina projek mega yang berbentuk infrastruktur seperti lebuh raya, Twin tower KL dan kompleks pusat pentadbiran Putrajaya, Dr. Mahathir juga banyak melakukan perubahan dalam urus tadbir perkhidmatan awam.


Antaranya, Dr. Mahathir telah menseragamkan waktu Semenanjung dengan waktu di Sabah dan Sarawak. Walaupun penukaran waktu ini telah menjejaskan sedikit sebanyak cara kebiasaan hidup rakyat di Semenanjung, tetapi lama kelamaan mereka dapat menyesuaikan diri dengan keadaan baru itu.

Akibat pertukaran waktu semenanjung yang awal 30 minit itu menyebabkan keadaan menjadi kelam kabut, kanak-kanak terpaksa bangun lebih awal untuk ke sekolah, orang dewasa pula tidak sempat hendak minum pagi di rumah sebelum ke tempat kerja.

Dr. Mahathir juga bercita-cita hendak menseragamkan cuti hujung minggu bagi semua negeri-negeri di Malaysia. Ada setengah negeri yang cuti hujung minggunya pada Sabtu dan Ahad, manakala setengah lagi cuti hujung minggunya jatuh pada hari Jumaat dan Sabtu seperti Kedah, Kelantan, Johor dan Terengganu.

Tetapi kerana mengambil kira kekangan politik, Dr. Mahathir tidak mampu untuk melakukan perubahan cuti hujung minggu ini bagi diseragamkan kepada hari Sabtu dan Ahad untuk semua negeri, kecuali negeri Johor.

Kepada umat Islam di Malaysia, seperti telah tertanam dalam fikiran mereka, telah mengaitkan hari cuti hujung minggu ini dengan keagamaan. Mereka mengatakan hari Sabtu adalah hari cuti untuk kaum Yahudi, hari Ahad pula adalah hari cuti bagi penganut Kristian. Orang Kristian pergi ke gereja mereka pada setiap hari Ahad.

Kebetulan orang Islam pula wajib sembahyang Jumaat di masjid pada setiap hari Jumaat. Oleh itu mereka bersangka adalah wajar sebagai menghormati hari Jumaat dan sesuai kalau hari Jumaat dipilih sebagai cuti hujung minggu.

Sebenarnya kaitan cuti hari Jumaat dengan agama Islam hanyalah prasangka atau andaian yang dibuat-buat sahaja. Ia bukanlah perintah, suruhan, mahupun ajaran Islam yang sebenar. Tetapi parti politik yang berlabel Islam telah memainkan isu cuti hari Jumaat ini sehingga Dr. Mahathir tidak mampu untuk menukar hari cuti hujung minggu terutamanya di Kedah kepada Sabtu dan Ahad.

Di kedah, pengaruh PAS sangat kuat, tidak hairanlah kalau dalam PRU-12 pada tahun 2008 yang dulu PAS boleh menang dengan mudah. Walaupun Dr. Mahathir adalah Ahli Parlimen dari Kedah dan menjadi Perdana Menteri, tetapi bila berdepan dengan isu sensitif yang dikaitkan dengan Islam, beliau tidak mampu berbuat apa-apa.

Semasa Johor menukar cuti hujung minggunya dari Khamis dan Jumaat kepada hari Sabtu dan Ahad, saya baru saja beberapa tahun menetap di Johor setelah pindah dari Kuala Lumpur. Semasa itu Johor di bawah Menteri Besar Muhyiddin Yasin.

Johor adalah negeri yang boleh dikatakan hampir 100% orang Melayunya menyokong UMNO. Tidak banyak tentangan dari orang Melayu Johor bila cuti hujung minggu negeri itu ditukar dari hari Jumaat kepada hari Ahad, kalau ada pun, hanya dari orang-orang yang bergelar ahli agama, termasuklah pak Imam dan guru-guru agama. Tetapi tentangan mereka itu pun bukan secara terang-terang, hanya cakap-cakap belakang saja. Lama kelamaan padam begitu saja. Apatah lagi mereka juga berpegang kuat kepada seruan agama supaya mentaati pemimpin.

Walaupun hari cuti Jumaat ditukar kepada hari Ahad, saya tidak nampak orang Johor menjadi kurang Islam. Malah dari beberapa segi ia lebih baik. Kalau sebelum ini, kenduri kahwin selalu diadakan pada hari Jumaat tetapi sekarang berpindah ke hari Ahad.

Semasa membuat kerja kenduri kahwin pada hari Jumaat, ramai orang rewang dan keluarga tuan rumah tidak pergi sembahyang Jumaat kerana masing-masing sibuk untuk menyiapkan persediaan majlis kenduri itu.

Malah dari tinjauan saya, ada warga Johor yang menyangka sembahyang Jumaat itu tidak wajib, mungkin berdasarkan pengalaman mereka membesar di Johor melihat ramai orang rewang tidak pergi masjid ketika sembahyang Jumaat.

Tidak ada nas yang menyuruh kita bercuti untuk pergi sembahyang Jumaat. Malah firman Tuhan dalam Quran hanya mengarahkan kita berhenti bekerja bila diseru (azan) sembahyang pada hari Jumaat dan selepas selesai sembahyang kita dibenarkan bertebaran mencari rezeki semula.

Alhamdulilah, kini tidak ada lagilah kelihatan warga Johor yang tidak pergi sembahyang Jumaat kerana sibuk menguruskan kenduri kawin.

Apa pun isu yang berkaitan Islam hendaklah ditangani melalui hujah yang berlandaskan nas Quran dan Hadith, tidak patut ia disensasi dan dipolitikkan demi meraih keuntungan politik.

Kerana terlalu taksub, ada beberapa orang dewasa di kampung saya tidak mahu menukar waktu jamnya semasa Dr. Mahathir menseragamkan waktu jam seluruh Malaysia dulu. Mereka beranggapan Dr. Mahathir telah melakukan perkara yang bertentangan dengan agama, tetapi saya tidak nampak apa kaitan antara waktu jam dengan agama. Mungkin dia kuat penyokong satu parti pembangkang hingga apa saja yang dibuat oleh pemimpin UMNO adalah salah.

Kalau kita mencari kebenaran melalui parti politik atau medan politik, sampai bila pun kita tidak akan jumpa kebenaran itu. Sebagai orang Islam, sumber untuk kita mencari kebenaran ialah melalui Quran. Biarlah medan politik melalui medium demokrasi kita gunakan untuk mencari pemimpin yang terbaik untuk memimpin kita.

Lihat sahajalah apa yang telah berlaku kepada pengikut Saidina Ali bin Abi Talib dan Muawiyah. Masalah asalnya hanyalah untuk memilih pucuk pimpinan Islam, atau masalah politik sahaja. Sebenarnya samada Muawiyah atau Saidina Ali yang menjadi pemimpin, ajaran Islam tetap sama saja dan tidak akan berubah disebabkan berlainan pemimpin, kerana ajaran Islam itu berpandukan Quran bukan berpandukan pemimpin.

Malangnya pertikaian politik antara pihak yang menyokong Saidina Ali sebagai khalifah terus berlarutan tanpa kesudahan. Kerana hendak mencari pengaruh politik pihak ini sanggup mereka-reka hadis dan riwayat yang dapat menyokong kumpulan mereka, hingga lahir satu fahaman atau mazhab agama yang berbeza. Mereka menggunakan agama untuk faedah dan kepentingan politik mereka. Mereka cuba melebarkan pengaruh politik dengan menggunakan agama.

Monday, January 30, 2012

Budaya nilai mulia dibentuk melalui latihan, bukan dengan cakap saja

Dalam komuniti Islam, kita diseru atau diperintahkan supaya berkelakuan baik, berakhlak mulia seperti memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan, menghormati dan tidak menyakiti hati jiran, tidak mementingkan diri sendiri, mengasihi orang tua dan anak yatim, mentaati Tuhan dan ibubapa, memuliakan tetamu dan bermacam-macam nilai mulia lagi.


Untuk mencapai matalamat menjadi manusia yang dapat menghayati akhlak mulia yang dinyatakan di atas, terdapat latihan-latihan yang perlu mereka jalani secara berterusan samada dalam bentuk harian, mingguan dan tahun.

Latihan-latihan ini biasa kita panggil sebagai ibadah khusus seperti sembahyang, puasa, sembahyang Jumaat, zakat, korban dan haji.

Sebagai contoh, ibadat zakat dan korban, melatih diri kita supaya menjadi orang yang sanggup membantu orang susah dan miskin dengan mengorbankan wang ringgit dan harta yang kita sayang. Kita juga tidak teragak-agak untuk mengorbankan masa dan tenaga kita bila diperlukan tanpa memikirkan soal balasan, upah dan bayaran.

Nilai-nilai yang baik ini tidak mungkin menjadi amalan dan sukar untuk dihayati kalau kita tidak melalui latihan-latihan tersebut.

Seorang tentera tidak akan dapat bertindak dan berfungsi dengan baik kalau mereka tidak melalui latihan fizikal dan kawat untuk menjadikan mereka berdisiplin dan kuat, dan latihan perang yang diadakan dari masa ke semasa untuk membiasakan mereka menghadapi suasana sebenar bila berlaku perperangan.

Seorang pesilat atau ahli taekwando dan kungfu tidak akan dapat mempertahankan dirinya dari serangan musuh kalau mereka belajar secara teori sahaja. Sebaliknya mereka kena berlatih setiap hari atau setiap minggu, barulah mereka dapat menghayati apa yang dipelajari dan akan bertindak tangkas bila dirinya tiba-tiba diserang.

Kita selalu dengar kisah masyarakat Jepun yang menakjubkan, bagaimana mereka sanggup berbaris panjang dengan teratur dan berjam-jam lamanya untuk mendapatkan petrol dan makanan semasa mereka ditimpa musibah gempa dan tsunami tidak berapa lama dulu.

Orang ramai sama-sama membantu menyusun semula barang-barang kedai yang berterabur dari raknya semasa gempa kuat berlaku, supaya tuan kedai dapat membuka perniagaannya secepat yang mungkin.

Sebaliknya kita di Malaysia berebut-rebut mengambil beras yang bertabur di atas jalan raya bila nampak lori beras terbalik.

Sikap yang ditunjukkan oleh orang Jepun ini bukanlah terjadi secara semula jadi, tetapi ia berlaku secara latihan yang diterapkan dari kecil lagi.

Anak-anak Jepun dilatih menyimpan sampah yang hendak mereka buang sehinggalah bertemu tong sampah.

Anak-anak Jepun semasa di sekolah rendah, tidak dibenarkan menaiki kereta dan bas untuk ke sekolah, sebaliknya mereka dimestikan berjalan kaki pergi dan balik sekolah. Sekali pandang seperti tidak masuk akal, sebuah Negara pengeluar kereta terbesar di dunia tetapi membiarkan anak-anak mereka berjalan kaki ke sekolah.

Sebenarnya ada perkara tersirat di sebalik amalan jalan kaki ke sekolah itu, ia adalah latihan untuk mengajar anak-anak mereka tidak mementingkan diri, mengeratkan hubungan sesama mereka, memecahkan tembok status yang wujud di antara mereka.

Akhirnya dari latihan-latihan yang mereka terima telah membentuk masyarakat Jepun yang ‘self belonging’, tidak mementingkan diri, mengasihi orang lain seperti diri mereka sendiri, menepati masa, kuat bekerja, sabar, gigih, tidak putus asa, amanah, jujur dan berdisiplin.

Dasar pandang ke Timur tidak sepatutnya tertumpu kepada meniru pencapaian, kemajuan dan teknologi yang dihasilkan oleh Jepun sahaja. Tetapi kita perlu juga mengkaji bagaimana orang Jepun telah menyediakan latihan-latihan kepada anak-anak mereka hingga menjadikan mereka manusia berakhlak cemerlang, untuk diterapkan kepada masyarakat kita.

Tuesday, January 24, 2012

Demi perpaduan kaum, pemimpin BN harus menanggalkan perasaan ego

Andjar Firmanshah, rakan saya semasa bersekolah menengah yang berasal dari Bandung Indonesia telah menyatakan hasratnya untuk datang ke Kuala Lumpur setelah lebih 35 tahun tidak bertemu rakan lama dan menziarah sekolah lamanya, Sekolah Menengah Za'ba di Kuala Pilah.


Saya rasa sangat teruja untuk bertemu dengan beliau, telah sekian lama tidak bertemu, peluang yang ada itu memang tidak patut saya lepaskan begitu saja. Walaupun saya tinggal di JB, jauh dari KL, tetapi apalah sangat berbanding usaha dan susah payah beliau untuk datang jauh dari Bandung semata-mata hendak bertemu dengan kami semua.


Andjar, datang ke Malaysia ketika berumur 12 tahun, mengikut ayah beliau yang bekerja sebagai guru metamatik di Sekolah Men Za'ba pada tahun 1973. Pada masa itu negara kita yang kekurangan guru-guru metametik dan sains, telah mengambil ramai guru-guru dari Indonesia untuk berkhidmat di sini.


Andjar seorang budak yang mudah mesra dan suka berkawan dengan siapa saja tanpa mengira latar belakang kehidupan. Walaupun sebagai anak guru semasa itu, kehidupannya lebih mewah tetapi dia tidak bermasalah untuk bergaul dengan kami yang rata-ratanya hidup sederhana dan budak kampung.


Kehadiran Andjar ke kelas kami seperti memberi satu inspirasi kepada saya dan juga rakan-rakan sekelas di waktu itu. Andjar pandai dalam subjek metametik, kelihatannya dia lebih ke depan dalam subjek itu berbanding kami. Ini memberi semangat kepada saya untuk mahir dan mahu menguasai subjek metametik seperti dia juga.


Tidak dinafikan tumpuan kami kepada pelajaran terutamanya dalam subjek metametik semakin bertambah dengan kehadiran Andjar. Ini ditunjukkan dari keputusan peperiksaan umum SRP (sekarang PMR) pada tahun 1975, Sekolah Menengah Za'ba mendapat pencapaian terbaik, mengatasi sekolah-sekolah lain sekurang-kurangnya di Daerah Kuala Pilah kalau tidak pun seluruh Negeri Sembilan, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum itu. Berita itu ada tersiar dalam akhbar dan menjadi buah mulut orang setempat.

Dato'

Apabila saya melihat Anjar pada malam 22 Januari 2012 lalu, setelah 35 tahun tidak bertemu, saya merasakan dia seperti rakan semasa di sekolah dulu juga, rakan karib. Saya tidak melihatnya sebagai warga asing, malah tidak sama seperti saya melihat pendatang Indonesia yang bekerja di sini.



Itulah rakan karib, mesranya sama seperti dulu dan terus akan berstatus rakan walau sampai bila-bila. Kita akan terus memanggil nama mereka seperti dulu juga walaupun ada yang sudah bergelar Doktor, Profesor dan Dato'. Malah kita tidak segan silu untuk terus memanggil mereka dengan gelaran-gelaran nakal yang kita gelarkan kepada mereka semasa berkawan dengan mereka dulu.


Persahabatan yang akrab bukan boleh dibina dalam masa sehari atau seminggu, kita perlukan masa yang lama untuk mengenal hati budi seseorang. Dalam menjalin persahabatan, kita bukan sahaja bermain, bergurau atau bekerja bersama tetapi sering juga bergaduh dan berselisih faham, yang akhirnya membentuk satu hubungan yang utuh sehingga sanggup melindungi, membela dan mempertahankan kawan.

Sungguh amat mengeciwakan, apabila saya melihat orang Cina Malaysia, saya melihat mereka sama seperti pelancung yang datang dari Negara China dan bila melihat orang India Malaysia, saya melihat mereka sama seperti pekerja yang datang dari Negara India. Dan saya percaya orang Cina dan orang India juga melihat orang Melayu seperti orang asing kepada mereka.


Sebaliknya saya melihat Andjar tidak sama seperti saya melihat pendatang asing. Ini bukanlah disebabkan kerana dia bangsa serumpun atau seagama dengan saya tetapi kerana dia adalah sahabat karib saya. Faktor inilah yang tidak pernah ada antara kaum Melayu, Cina dan India di negara ini. Benda inilah yang kita hilang dari masyarakat berbilang kaum di negara ini, tidak ada peluang untuk mereka memupuk persahabatan.

Pemimpin-pemimpin BN samada UMNO, MCA dan MIC masih berbangga dengan sekolah diasingkan mengikut kaum dan masih tidak rela menanggalkan rasa ego dari diri mereka.


Saya terharu dengan ole-ole baju-T yang dihadiahkan oleh Andjar kepada kami semasa beliau berkunjung ke sini tempoh hari yang tertulis ayat "babaturan salamina". Terima kasih Andjar.

Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi ku bawa mati,

Kalau ada sumur di ladang
Bolehlah saya menumpang mandi
Kalau ada umur panjang
Boleh kita ketemu lagi,

Kedua-dua gambar ini dirakam di lokasi yang sama, tahun 1974 (Andjar berdiri paling kiri) dan tahun 2012 (Andjar berdiri paling kanan).

Sunday, January 15, 2012

PLKN, program ‘mee segera’

Dari tinjauan rambang pendapat ibubapa kepada anak-anak yang pernah menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), ramai yang mengatakan anak-anak mereka tidak menunjukkan perubahan sikap seperti yang mereka harapkan selepas pulang dari menjalani latihan tersebut.


Sebagai ibubapa, adalah menjadi harapan mereka untuk melihat anak-anak mereka berubah sikap kepada yang lebih baik seperti lebih berdisiplin dan menghargai masa.

Mungkin objektif yang disasarkan oleh kerajaan tidak sama seperti apa yang diharapkan oleh ibubapa, akhirnya ibubapa tidak dapat melihat sebarang faedah yang ketara apabila anak-anak mereka menjalani program PLKN ini.

Yang selalu ditonjolkan dalam program PLKN ini kepada orang ramai ialah latihan fizikal dan pakaian seragam ala pasukan tentera, yang mengaitkan dengan pembentukan disiplin diri. Oleh itu tidak hairanlah kalau ibubapa mengharapkan anak-anak mereka akan menjadi orang-orang yang berdisiplin tinggi selepas menjalani latihan PLKN ini.

Tetapi itu bukanlah objektif kerajaan, objektif kerajaan mewujudkan program PLKN ini adalah untuk melahirkan warga yang patriotik dan memupuk perpaduan di kalangan rakyat yang berbilang kaum. Tetapi setakat mana kejayaan program PLKN ini telah mencapai kejayaannya sangat sukar untuk diukur dan dikenalpasti.

Apakah dengan mengumpulkan anak-anak dari berbilang kaum yang berumur 17 tahun ini di satu tempat dalam masa tidak sampai tiga bulan, boleh dididik menjadi seorang yang patriotic dan boleh membentuk perpaduan yang utuh?

Program PLKN ini tidak ubah merupakan satu kaedah penyelesaian “mee segera”, cepat dimasak, kenyangnya cepat tetapi tidak boleh bertahan lama.

Kita mesti ada program atau polisi jangka panjang yang mana benih patriotik dan pemupukan perpaduan harus disemai ke dalam masyarakat kita.

Saya tertarik dengan filem iklan yang diterbitkan oleh Yasmin Ahmad yang bertajuk Tan Hong Ming satu ketika dulu. Bukan saya sahaja, semua rakyat Malaysia samada Cina atau Melayu suka dan terharu menonton filem iklan tersebut. Mereka suka dengan perpaduan luhur yang bukan dilakunkan seperti ditunjukkan dalam filem itu. Saya percaya ia bukan filem yang dilakunkan tetapi adalah kejadian sebenar.

Kenapa filem iklan Hong Ming tersebut menjadi sangat menarik kepada rakyat Malaysia? Filem ini menjadi menarik sebab ia lain dari yang lain. Sesuatu tidak akan jadi menarik kalau kita menonton perkara yang biasa berlaku. Kalau kisah Tan Hong Ming ini adalah satu perkara biasa di Malaysia, ia tidak akan menjadi perkara yang menarik kepada kita.

Amalan kita di Malaysia sejak merdeka hingga kini, anak-anak diasingkan belajar di tadika dan bersekolah rendah mengikut kaum masing-masing. Dengan situasi seperti itu, adalah agak mustahil peristiwa seperti dalam iklan Tan Hong Ming itu boleh berlaku, dan itulah yang telah menjadi tarikan dalam filem iklan Tan Hong Ming tersebut.

Apakah berbaloi membazirkan wang pembayar cukai yang jumlahnya berbillion ringgit itu dengan mengadakan program PLKN yang tidak pasti keberkesanannya itu, sedangkan kita ada cara yang lebih sesuai dan lebih berjaya seperti ditunjukkan dalam filem iklan Tan Hong ming itu untuk mencapai objektif yang sama, tanpa mengorbankan satu sen pun.

Apabila diserang sakit perut atau sakit kepala, kita dengan mudahnya mengambil Panadol untuk menghilangkan rasa sakit, tetapi ia bukanlah penyembuh kepada penyakit yang kita hidapi. Sebenarnya kita perlukan ubat lebih dari Panadol yang dapat menyembuhkan akar umbi penyakit.

Semasa saya disekolah rendah di tahun 60an dulu, saya membaca buku teks yang diajarkan di sekolah yang menceritakan bagaimana Ali, Tong Seng dan Ramasami merupakan kawan karib dari kaum yang berlainan. Mereka bermain, mandi sungai dan memancing bersama-sama. Sekarang kita sudah berada di tahun 2012, tetapi cerita seperti itu hanya masih relevan dalam buku teks sahaja dan tidak biasa berlaku dalam kehidupan sebenar masyarakat Malaysia.

Tuesday, January 10, 2012

Ramai tak sangka, ending Sodomy I tak sama dengan ending Sodomy II

Jalan cerita hampir sama, modus operandi pun sama, hero sama, tetapi ending cerita tak sama. Ramai orang menduga ending cerita Sodomy I akan sama dengan Sodomy II, Anwar akan dijatuhkan hukuman penjara. Sungguh mengejutkan, tidak berlaku seperti yang diduga, Anwar dibebaskan pada ending Sodomy II.


Dalam cerita Sodomy II, ada juga melibatkan kondo seperti Sodomy I, bezanya pada Sodomy I, kondo yang dijadikan bahan bukti, belum siap dibina semasa kejadian berlaku. Manakala dalam cerita Sodomy II, ada rakaman CCTV menunjukkan Anwar di ruang legar lif kondo di mana berlakunya kejadian.

Semua kelemahan teknikal yang berlaku dalam cerita Sodomy I telah banyak diperbaiki dalam Sodomy II. Kalau cerita Sodomy I, penonton atau orang ramai seperti menonton sebuah filem komidi. Tetapi dalam Sodomy II, jalan ceritanya berat dan serius, melibatkan sumpah laknat. Oleh itu tidak hairanlah kalau ramai meramalkan pada ending Sodomy II ini, Anwar akan dijatuhkan hukuman penjara.

Tuduhan Sodomy I berlaku semasa PM Tun Mahathir Mohammad manakala Sodomy II berlaku semasa PM Datuk Seri Najib. Hakim yang mengadili kedua-dua kes ini adalah orang yang berlainan.

Apakah ada lagi sambungan kepada Sodomy II ini? sama-samalah kita tunggu. Rasanya rakyat pun dah naik mual dengan cerita Sodomy ini, tukarlah cerita lain pulak.

Sunday, January 08, 2012

Peluang BN menang lebih cerah jika Anwar dipenjara

Ramai yang mengatakan PM Najib mahu pilihanraya umum akan datang ini diadakan pada 11 Mac 2012 (hari Ahad). Mungkin ada benarnya, kerana kes liwat Anwar Ibrahim yang dibicarakan di makamah sudah pun sampai di penghujungnya. Besar kemungkinan beliau akan dipenjara sebelum pilihanraya umum diadakan.


Ini adalah sebahagian perancangan PM Najib, untuk memastikan Anwar Ibrahim berada dalam penjara semasa pilihanraya umum berjalan. Kalau kita melihat semula kepada pilihanraya umum pada tahun 2004, BN meraih kemenangan besar. Antara sebab penting BN menang besar ketika itu ialah parti pembangkang tidak bermaya kerana ketiadaan Anwar. Anwar masih dalam penjara ketika itu.

Anwar Ibrahim seorang pemimpin yang karismatik, ucapannya sangat meyakinkan dan dapat mempengaruhi orang ramai. Inilah senjata berkesan yang ada pada Anwar yang memeningkan kepala pemimpin BN.

Satu cara untuk menhilangkan pengaruh beliau ialah dengan menutup mulutnya dengan memenjarakannya. Selagi beliau berada di luar penjara, apa saja tuduhan yang dilemparkan bagi memburuk-burukkan beliau dan Pakatan Rakyat (PR) di media perdana akan dapat dibalas dan dijawab dengan baik oleh beliau.

Kalau Anwar berada di penjara adalah lebih mudah media perdana yang dikawal oleh parti pemerintah itu untuk memburuk-burukkan beliau dan lebih mudahlah kerajaan BN untuk menanamkan rasa benci rakyat terhadap diri beliau, kerana beliau tidak dapat peluang berhujah untuk membela diri.

Semua murid sekolah telahpun menerima wang bantuan RM100 mereka dan bantuan RM500 untuk keluarga yang berpendapatan kurang RM3000 sebulan sedang diproses dan dijangka akan dapat tidak berapa lama lagi. Ini adalah juga petanda menunjukkan pilihanraya semakin dekat. Semua bantuan ini adalah sebagai usaha memenangi hati rakyat untuk mereka mengundi BN pada pilihanraya umum ini.

Dan langkah terakhir, yang terpenting sekali ialah memastikan Anwar Ibrahim berada dalam penjara sebelum pilihanraya, kalau tidak, peluang untuk BN menang memang sukar.

Mereka merancang, tetapi Tuhan juga merancang.

Friday, January 06, 2012

Amalina dan tatacara wanita di Johor Bahru berpakaian

Sekitar 20 tahun dahulu, tatacara wanita di Johor Bahru berpakaian agak berlainan dengan wanita-wanita Melayu di tempat lain di Malaysia.


Mungkin pengaruh budaya Turki yang diamalkan oleh golongan elit di kawasan Johor Bahru di suatu masa dulu telah banyak mencorakkan cara wanita di sini mengenakan pakaian mereka.

Di waktu itu Turki terkenal dengan sistem sekular mereka, atau sistem dua alam. Adalah menjadi kebiasaan kalau kita melihat wanita-wanita di Johor Bahru ini akan mengenakan pakaian menutup kepala (bertudung) bila menghadiri majlis-majlis yang dikaitkan dengan agama, manakala selain dari waktu itu atau di majlis lain pula mereka boleh saja berpakaian seperti yang biasa dipakai oleh artis kita.

Majlis yang dikaitkan dengan agama adalah seperti pergi ke sekolah agama, pergi masjid, pergi majlis maulidur rasul, pergi mengaji Quran, pergi menziarah orang meninggal, pergi majlis berzanji dan marhaban. Selain dari majlis yang disebutkan itu, seperti pergi ke majlis perkahwinan, pergi membeli belah dan pergi ke pejabat, mereka boleh saja pakai baju kebaya dan berpakaian ketat tanpa mengenakan tudung.

Oleh itu kepada orang tua-tua atau generasi lama di Johor Bahru, cara Amalina berpakaian yang kepada kita agak kontraversi itu, tidaklah ganjil dan salah kepada mereka. Itu adalah cara wanita-wanita Johor Bahru berpakaian, berpakaian mengikut keadaan dan suasana, atau boleh dua alam.

Tetapi sekarang cara wanita berpakaian hampir sama saja di seluruh Malaysia kerana perkembangan semasa dan fesyen sentiasa dapat diikuti dengan cepat melalui berbagai saluran media.

Kebanyakan wanita sekarang telah bertudung kerana ia adalah trend zaman sekarang, berbagai fesyen tudung telah direka dan dihasilkan untuk memenuhi permintaan mereka. Mereka bertudung untuk kelihatan lebih cantik dan untuk menyembunyikan bahagian badan yang tidak cantik dari dilihat orang ramai.

Tetapi ada juga wanita yang bertudung yang betul-betul sebab patuh dengan ajaran Islam, menutup perhiasan diri dan kecantikan dari dilihat oleh lelaki bukan muhrim.

Apa pun, pakaian takwa itulah yang lebih utama.

Tuesday, January 03, 2012

Jabatan Kerajaan jadi tidak efisyen kerana mengutamakan saudara dari meritokrasi

“Kalau kenal orang dalam, mudah sikit nak dapat kerja”, ini adalah ungkapan yang sangat biasa kita dengar semasa kita hendak mencari pekerjaan.


Inilah yang selalu menjadi amalan dalam jabatan-jabatan kerajaan terutamanya semasa mengambil pekerja jawatan rendah dalam perkhidmatan awam. Saudara dan kenalan rapat lebih diutamakan berbanding kemampuan dan keterampilan seseorang.

Akibatnya untuk jangka masa panjang, pekerja-pekerja ini banyak menimbulkan masalah, perkhidmatan awam menjadi tidak efisyen kerana tidak dapat mengambil pekerja yang benar-benar berkebolehan, dedikasi dan komited.

Walaupun ada pekerja-pekerja yang berprestasi buruk dan ada masalah disiplin, sukar untuk diambil tindakan tatatertib kerana perlindungan undang-undang yang ketat. Tidaklah mudah untuk mengambil tindakan tatatertib kepada kakitangan kerajaan.

Kesilapan dan tidak ada rasa tanggungjawab sesetengah pegawai, yang mengutamakan kepentingan diri dan keluarga semasa mengambil pekerja akhirnya memberi imej buruk kepada perkhidmatan kerajaan.

Amalan memilih saudara dan memilih bulu melebihi kebolehan seseorang dalam mengambil pekerja dan dalam kenaikan pangkat mestilah dihentikan.

Kalau kita mahu melihat perkhidmatan awam dan lain-lain organisasi sentiasa efisyen dan berdaya saing, amalan meritokrasi hendaklah menjadi keutamaan kita. Kerana faedahnya akan kembali kepada kita rakyat Malaysia juga. Tidak akan ada lagilah rungutan orang ramai yang terpaksa menunggu berbulan-bulan untuk perkhidmatan yang boleh diselesaikan dalam masa sehari.

Apabila kakitangan awam dapat dipilih dari orang-orang yang kompeten dan dedikasi terhadap kerja, tidak timbullah lagi pada masa akan datang tuduhan sinis yang mengatakan kakitangan kerajaan, “kerja untuk sehari dibuat seminggu”.

Polisi kerajaan sekarang ialah kearah rakyat berpendapatan tinggi. Tidak ketinggalan pekerja-pekerja di sector kerajaan juga akan turut menikmati gaji yang tinggi pada masa akan datang. Oleh itu pengambilan pekerja dalam jabatan kerajaan juga harus diperketatkan setimpal dengan gaji yang mereka dapat. Pastikan mereka yang diambil bekerja itu mestilah benar-benar minat dengan tugasnya, dedikasi, amanah dan bertanggungjawab.

Kita mahu orang yang bekerja bukan semata untuk mendapatkan gaji tetapi yang kita hendak ialah orang yang minat dengan tugasnya dan mahu berbakti kepada orang ramai. Pekerja yang bersikap mengharapkan kalau diberi gaji lebih barulah dia hendak bekerja rajin, tidak patut ada dalam jabatan.

Pekerja yang bekerja hanya untuk gaji saja ini memang tidak ada semangat untuk berbuat baik dan sikap berkorban langsung tidak wujud di sanubari mereka.

Undang-undang dan peraturan untuk kakitangan yang ada dalam organisasi kerajaan, hanya tercatat cantik di atas kertas sahaja, tidak ada siapa peduli kalau peraturan-peraturan yang dibuat itu dilanggar.

Ada yang menjadikan bekerja di pejabat kerajaan itu sebagai perkara kedua selepas hal-hal peribadi. Ada di antara mereka sewenangnya keluar di waktu pejabat untuk menghantar dan mengambil anak sekolah. Keluar minum dan alasan keluar pergi bank berjam-jam lamanya.

Malah yang lebih teruk lagi, ada yang membuat kerja ‘part time’ lebih utama dari tugas ‘full time’ nya di pejabat kerajaan.

Kalau ada sepasang suami isteri yang suaminya kerja kilang dan isterinya kerja kerajaan, apabila ada urusan hal anak di sekolah, si isteri yang kerja kerajaan itulah yang akan pergi ke sekolah untuk menguruskannya. Kenapa tidak si suami yang kerja kilang itu?

Kalau kerja kilang, waktu minum pun tidak boleh keluar dari ‘gate’.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com