Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Tuesday, March 30, 2010

Dakwaan palsu oleh pengeluar alat penjimat tenaga elektrik

Mungkin anda pernah didatangi oleh jurujual alat penjimat tenaga elektrik (electric energy saver device) yang cuba mempengaruhi anda dengan dakwaan alat yang mereka jual boleh membantu menjimatkan bil elektrik sehingga 30 peratus.

Sebenarnya dakwaan mereka itu tidak pernah pun disahkan oleh mana-mana badan yang berautoriti, kalau ada pun mungkin pengesahan oleh Sirim yang hanya memperakukan alat itu selamat untuk digunakan.

Tenaga elektrik disalurkan kepada perkakasan elekrik di dalam rumah kita seperti lampu, kipas, peti sejuk, mesin basuh, periuk elektrik dan sebagainya, adalah melalui dawai-dawai elektrik.

Dawai-dawai elekrik ini dibuat dari bahan tembaga yang disalut dengan penebat. Setiap talian dawai ini mempunyai sedikit rintangan yang akan menyebabkan sedikit kehilangan tenaga elektrik apabila arus elektrik mengalir melaluinya.

Nilai rintangan dawai elektrik ini bergantung kepada saiz luas keratan rentas dawai dan panjang dawai tersebut. Untuk rumah-rumah, biasanya menggunakan dawai bersaiz luas keratan rentas 1.5 mm persegi untuk lampu dan 2.5 mm persegi untuk soket (plug).

Lagi panjang dawai yang kita gunakan, lagi tinggilah nilai rintangannya, dan lagi banyaklah tenaga elektrik yang akan hilang pada dawai tersebut.

Kehilangan kuasa elektrik pada dawai ini memang tidak boleh dihilangkan kerana tidak mungkin kita dapat menghilangkan rintangan elektrik yang wujud secara semulajadi pada setiap bahan pengalir elektrik. Kita hanya boleh mengurangkan kehilangan tenaga atau kuasa elektrik pada dawai ini dengan cara menggunakan saiz dawai yang lebih kasar (besar) atau menggunakan jarak dawai sependek yang mungkin.

Tetapi kedua-dua faktor ini mempunyai kekangan yang tersendiri. Sebagai contoh, tidak mungkin semua perkakas elektrik di rumah kita mesti terletak berhampiran dengan meter kw-j bagi mendapatkan jarak penyambungan dawai yang pendek.

Selain dari itu, satu lagi cara yang boleh digunakan untuk mengurangkan kuasa yang hilang pada dawai elektrik ialah dengan meningkatkan nilai ‘faktor kuasa’ perkakasan elektrik di rumah kita. Selalunya inilah ‘hujah’ yang biasa digunakan oleh jurujual-jurujual alat penjimat tenaga elektrik ini untuk melariskan jualannya.

Apakah faktor kuasa? Apakah kesannya kepada bil elektrik di rumah kita?

Setengah-setengah perkakas elektrik di rumah kita menggunakan elektromagnet untuk berfungsi, seperti motor pada kipas angin, ballast pada lampu fluorescence (selalu kita sebut lampu panjang atau kalimantang), motor pada mesin basuh dan motor pada peti sejuk.

Elektromagnet pada perkakasan elektrik tersebut akan menyebabkan lebihan arus elektrik diperlukan bagi digunakan untuk menghasilkan magnet. Oleh itu arus yang mengalir dalam dawai menjadi lebih tinggi berbanding dengan kuasa sebenar yang digunakan oleh perkakasan tersebut.

Sebagai contoh, kalau faktor kuasa lampu panjang bernilai serendah 0.5, ini bermakna arus elektrik yang mengalir dalam dawai adalah dua kali ganda dari yang diperlukan oleh lampu itu.

Dengan menggunakan alat-alat tertentu, faktor kuasa ini boleh dibaiki atau ditingkatkan menjadi 0.9, malah hingga ke nilai satu pun boleh. Apabila faktor kuasa lampu tadi mencapai nilai satu, ini bermakna arus yang mengalir dalam dawai sekadar cukup membekalkan kuasa yang digunakan oleh lampu itu sahaja tanpa ada lebihan arus. Secara teorinya perkara ini adalah betul dan boleh dilakukan.

Tetapi kita kena ingat, bukan semua perkakas elektrik di rumah kita mempunyai faktor kuasa rendah atau mempunyai elektromagnet untuk beroperasi. Sebagai contoh, periuk elektrik, cerek elektrik, seterika dan oven elektrik, adalah perkakasan elektrik yang berkuasa tinggi dan mempunyai faktor kuasa bernilai satu. Oleh itu untuk perkakasan elektrik seperti itu, tidak ada cara kita dapat lakukan mengurangkan arus elektrik yang mengalir melalui dawainya dengan cara mengubahsuai faktor kuasanya.

Yang boleh kita gunakan secara berkesan untuk mengurangkan arus elektrik yang mengalir dalam dawai menggunakan kaedah peningkatan faktor kuasa ini, hanyalah kepada lampu-lampu panjang, kipas, mesin basuh, penyaman udara dan peti sejuk.

Katakan kita ambil satu keadaan yang paling ekstrim (the worst case); untuk satu talian dawai yang menghubungkan 10 buah lampu panjang yang berkuasa 40 watt setiap satu, yang jaraknya antara satu sama lain adalah 10 meter dan fator kuasanya 0.5, didapati kehilangan kuasa elektrik pada dawai itu adalah tidak sampai 3 peratus.

Lampu adalah perkakasan elektrik yang mempunyai faktor kuasa yang bernilai rendah, selain dari kipas angin, lampu juga adalah antara perkakasan elektrik yang lama penggunaannya dalam sehari. Oleh itu sangat sesuai kalau kita ambil lampu sebagai contoh kajian kita di sini.

Kalau kita menggunakan alat penjimat tenaga elektrik yang boleh membaiki faktor kuasa lampu kepada satu, kita dapat mengurangkan arus yang mengalir dalam dawai kepada hampir separuh dan dapat mengurangkan kuasa yang hilang pada dawai sebanyak 75%.

Memang bunyinya besar, 75%. Hakikatnya 75% daripada kuasa yang hilang pada dawai. Sedangkan kuasa yang hilang pada dawai tidak pun sampai 3% dari seluruh jumlah kuasa yang digunakan oleh perkakasan elektrik dirumah kita.

Ini bermakna dengan menggunakan alat penjimat tenaga elektrik, paling bagus pun ia hanya boleh mengurangkan kehilangan kuasa pada dawai elektrik sebanyak 2.25% (75% dari 3%) daripada jumlah penggunaan kuasa elektrik di rumah kita.

Katakan kita menggunakan 300 unit tenaga elektrik setiap bulan yang harga bil elektriknya sebanyak RM90.00 sebulan (andaikan harga 30 sen untuk satu unit tenaga). Maka jumlah tenaga yang dapat dijimatkan oleh alat penjimat tenaga elektrik yang paling bagus ialah 8.25 unit (2.75% dari 300 unit). Oleh itu jumlah bil yang dapat dijimatkan pula sekitar RM2.50 sebulan.

Semua kiraan di atas adalah berdasarkan kes yang terburuk (the worst case), untuk keadaan yang sebenar, harga bil yang dapat dijimatkan mungkin lebih kecil lagi. Sedangkan jurujual yang menjual alat penjimat tenaga ini mendakwa alat tersebut boleh menjimatkan bil elektrik anda hingga 30%, bermakna bil RM90 sebulan akan turun menjadi RM63 sebulan. Dakwaan jurujual ini adalah mustahil boleh berlaku.

Palsu

Malah ada setengah pengguna mendakwa bil elektrik mereka bukan saja tidak berkurang tetapi sebaliknya meningkat bila menggunakan alat penjimat tenaga ini. Adalah tidak mustahil alat penjimat tenaga ini boleh bertindak sebaliknya.

Umpama seperti hendak menutralkan cairan yang bersifat alkali, kita perlu menambah sejumlah asid kepada cairan tadi. Tetapi kalau kita tambahkan asid kepada cairan yang sudah pun nutral sifatnya, ini akan menjadikan cairan nutral tadi bersifat asid.

Begitulah juga kalau kita memasang alat penjimat tenaga ini kepada perkakasan elektrik yang asalnya mempunyai faktor kuasa satu seperti periuk, cerek dan seterika, ia akan menyebabkan faktor kuasa perkakas tersebut menjadi kurang dari satu, dan sudah tentu arus elektrik yang mengalir dalam dawai bertambah dari yang sepatutnya.

Oleh itu tidak hairanlah kalau alat penjimat tenaga ini boleh juga menyebabkan bertambahnya kehilangan kuasa pada dawai jika ia dipasang pada perkakasan elektrik yang mempunyai faktor kuasa satu.

Tetapi kalau ada juga pengguna yang mendakwa penggunaan tenaga elektrik di rumah mereka kurang 20% sejak menggunakan alat penjimat tenaga elektrik, bagaimana ini boleh terjadi?
Seperti yang telah saya terangkan tadi, secara teorinya tidak mungkin alat penjimat tenaga elektrik ini dapat menjimatkan tenaga lebih dari 3%.

Tetapi kalau ada yang membuktikan ia boleh jimat sampai 20%, kemungkinan alat penjimat tenaga tersebut melakukannya dengan cara menyusutkan voltan yang dihubungkan ke perkakasan elektrik di rumah kita.

Sebagai contoh, kalau kita menggunakan lampu suluh (torch light) yang mendapat bekalan 4 buah bateri, setiap bateri berkadar 1.5 volt, jadi jumlah voltah keseluruhannya ialah 6 volt. Kalau kita gunakan 3 buah bateri sahaja, jumlah voltannya kurang menjadi 4.5 volt. Walaupun jumlah voltan berkurang tetapi lampu suluh itu masih menyala, yang berbeza hanya kecerahan cahaya sahaja. Dengan voltan 4.5 volt, cahaya lampu menjadi kurang cerah berbanding voltan 6 volt.

Begitulah juga kalau alat penjimat tenaga elektrik yang dijual ini telah berfungsi sebagai penyusut voltan, ia akan menyebabkan kuasa operasi lampu, kipas, mesin basuh, seterika dan perkakasan elektrik di rumah kita tidak berada pada tahap kuasa penuh.

Kalau sebuah lampu berkuasa 32 watt, kalau dikurangkan kepada 26 watt sekalipun dengan menyusutkan sedikit voltan yang dihubungkan kepadanya, masih sukar untuk mata kita mengesan pengurangan kuasa ini.

Ini bukanlah cara penjimatan kuasa yang sebenar yang kita mahukan, sebaliknya ia lebih tepat dinamakan alat pengurang kuasa.

Apabila hari-hari kita makan dua pinggan nasi, kemudian kita kurangkan kepada satu pinggan nasi sahaja, sudah tentu perbelanjaan kita akan berkurang, tetapi apakah satu pinggan itu dapat memenuhi keperluan kita sebenar. Ini bukan penjimatan tetapi pengurangan.

Thursday, March 25, 2010

Alangkah bagusnya kalau semua ahli bebas


“Kefala ana fenin la… fenin la… mana satu yang butut la…. yang butut la. Afa sudah jadi dengan folitik la… negara kita funya folotik la”.

Ya, kalau P. Ramlee masih hidup, beliau pun pening kepala dengan politik Negara kita sekarang. Seperti sudah tidak ada kredibiliti dan integriti. Matlamat menghalalkan cara.

Beberapa pendedahan yang dibuat oleh beberapa Ahli Yang Berhormat yang keluar dan dipecat dari parti PKR akhir-akhir ini sungguh mengejutkan kita semua.

Apakah setelah menjadi ahli bebas, baru mereka mahu mendedahkan salah laku yang berlaku dalam kelompok mereka?

Kalau kita mahu menegakkan dan memperjuangkan kebenaran, tidak patut kita menyembunyikan apa saja perkara yang tidak beretika yang berlaku dalam parti dan kelompok kita.

Kadang-kadang bila kita menjadi ahli parti, kita takut hendak mendedahkan perkara-perkara yang boleh membawa imej buruk kepada parti kita sebaliknya kita tidak segan silu untuk memburukkan atau mengada-ngadakan cerita buruk parti lawan.

Semua yang kita lakukan untuk faedah politik parti kita, demi untuk menang dan berkuasa, hingga tidak lagi mempersoalkan integriti dan kredibiliti diri kita.

Sudah banyak kerosakan telah berlaku, gara-gara tuduhan liar yang kita lakukan hanya semata-mata mahu mengikutkan nafsu untuk berkuasa.

Kalau dalam PKR berlaku perkara sedemikian, maka kita tidak hairan kalau dalam parti UMNO, MCA, DAP, MIC, PAS dan lain-lain kelompok juga berlaku perkara-perkara salah laku, tetapi tidak ada ahli yang berani mendedahkannya kerana ingin menjaga imej kelompok mereka.

Alangkah bagusnya kalau kita semua menjadi ahli bebas, dengan itu saja kita akan berani mendedahkan apa saja perkara salah laku tanpa ada apa-apa kepentingan untuk menjaga nama mana-mana kelompok.

Sunday, March 21, 2010

Mudah mencari 7P, 7M dan 7K dalam Bahasa Melayu

Mungkin ramai antara kita yang masih ingat kepada satu dasar yang dipanggil 3M yang diperkenalkan di peringkat sekolah rendah pada satu masa dulu. 3M tersebut bermaksud Menulis, Membaca dan Mengira.

Di universiti awam negara kita pula ada polisi yang digelar 7P, yang menggalakkan tenaga pengajarnya terlibat secara aktif dalam 7 bidang iaitu Pengajaran, Penyelidikan, Penulisan, Penyeliaan, Pentadbiran, Perundingan dan Perkhidmatan Masyarakat.

Dalam Bahasa Melayu kita tidak ada masalah untuk menamakan polisi atau dasar yang kita buat menggunakan huruf awalan yang serupa, sekalipun untuk mengumpulkannya hingga menjadi 10P atau 10M atau 10K, kalau kita mahu. Ini kerana imbuhan atau penambahan dalam Bahasa Melayu terletak di bahagian depan kata dasar (akar) di samping di bahagian akhirnya.

Imbuhan seperti ‘Per’, ‘Ke’ dan ‘Me’ adalah penambahan yang memang terletak di depan kata akar. Oleh itu apa yang dikatakan sebagai 3M atau 7P itu bukanlah melambangkan kata akar tetapi hanyalah merupakan huruf-huruf imbuhan sahaja. Kalau kita renungkan semula, sebutan kepada 3M dan 7P itu sebenarnya tidak mempunyai apa-apa keunikan. Kerana kata dasar untuk 3M itu adalah Tulis, Baca dan Kira, sepatutnya disebut TBK.

Polisi yang pernah diperkenalkan oleh kerajaan suatu masa dulu yang disebut sebagai BCA, begitu unik kerana huruf-huruf singkatan ini semuanya menggunakan kata akar dari perkataan Bersih, Cekap dan Amanah.

Oleh itu tidak hairan kalau kita melihat kepada nama-nama singkatan (kependekkan), samada ada nama polisi, nama pertubuhan, nama jabatan dan kementerian, mesti ada huruf P, atau B, atau K, atau M. Oleh kerana huruf-huruf ini seperti wajib ada dalam nama-nama singkatan, menyebabkan nama-nama ini seperti hilang keunikannya.

Singkatan ‘KK’ terkenal untuk Kementerian Kesihatan, walhal ia hanya merupakan huruf-huruf dari imbuhan ‘Ke’. LPKP merupakan panggilan singkatan untuk Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan, mengandungi imbuhan ‘Per’.

Sebaliknya dalam struktur Bahasa Inggeris pula, imbuhan banyak terletak di bahagian akhir kata dasar seperti imbuhan ‘ion’, ‘ed’, ‘ment’ dan ‘ing’. Sebagai contoh, ‘Developed’, ‘Development’ dan ‘Developing’, yang datang dari kata akar ‘Develop’.

Dapat kita perhatikan, imbuhan kepada kata akar Bahasa Inggeris tidak menjejaskan huruf awalan kata dasar itu sendiri. Apa sahaja imbuhan yang kita tambah kepada kata akar ‘Develop’, huruf awalnya terus kekal sebagai huruf ‘D’ yang melambangkan kata akar itu sendiri. Untuk mengetahui apakah imbuhan yang digunakan dalam nama yang menggunakan huruf-huruf singkatan ini, kita kenalah melihat namanya dalam tulisan yang penuh.

Singkatan ‘UN’ adalah nama untuk pertubuhan United Nations. Di dalam Bahasa Melayu ia dinamakan sebagai ‘PBB’ atau penuhnya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, yang terkandung huruf awal imbuhan ‘Per’ dan ‘Ber’. Oleh itu nama singkatan dalam Bahasa Inggeris adalah lebih unik berbanding dalam Bahasa Melayu.

Apakah kita perlu merombak dan menukar cara menulis nama yang menggunakan huruf-huruf singkatan ini?

Saya berpendapat memang baik kalau kita menggunakan huruf awalan kata dasar dalam menulis nama-nama singkatan bagi memberi keunikan dan lebih penghayatan kepada nama-nama tersebut.

Sebagai contoh nama singkatan untuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu wajar ditulis sebagai TBS yang mengambil awalan huruf kata akarnya iaitu Tubuh, Bangsa dan Satu.
Tidak patut kata imbuhan menjadi lebih penting dari kata akar, sehingga huruf awalan imbuhan menjadi sebahagian dari nama singkatan itu.

Tuesday, March 16, 2010

Warna hijau pada kanvas lori menyumbang kepada kemalangan


Kita pun tidak faham kenapa lori-lori di Negara kita menggunakan kanvas pembalut badannya yang berwarna hijau.

Kalau di siang hari warna hijau memang kelihatan cantik, tetapi bila waktu malam, warna hijau sukar untuk dilihat.

Kalau lori-lori ini dapat menukar kanvas pembalutnya kepada warna putih atau oren, tentu lebih mudah dapat dilihat oleh pengguna-pengguna jalanraya yang lain ketika di waktu malam kerana warna putih dan oren dapat memantulkan cahaya dengan baik.

Dengan menggunakan warna putih atau oren, pemandu kenderaan yang mengekori lori-lori ini dapat mengenalpasti kedudukan lori-lori tersebut dengan lebih cepat dan mempunyai masa yang cukup untuk otak mereka bertindakbalas.

Lori-lori yang berat ini selalunya bergerak perlahan, oleh itu pemandu kereta yang lebih laju mengekorinya di waktu malam tidak dapat mengagak kelajuan lori didepannya. Sehinggalah apabila telah dekat pemandu kereta ini baru sedar lori itu bergerak terlalu perlahan. Kadang-kadang bila sedar, keadaan sudah menjadi terlalu lambat untuk bertindak dan berakhir dengan kemalangan.

Mata kita lebih peka dengan warna cerah seperti putih, kuning, merah dan oren, sebaliknya tidak peka kepada warna gelap seperti hitam dan hijau yang tidak dapat memantulkan cahaya dengan baik.

Kalaulah lori-lori yang bergerak di waktu malam ini dapat menukar kanvas pembalut badannya kepada warna putih dan oren, tentu ia dapat banyak membantu mengurangkan kemalangan yang melibatkan pelanggaran dengan lori.



Wednesday, March 10, 2010

Kenapa saya memilih ke Program SPACE (UTM)


BAGI membantu UTM mendapat pengiktirafan sebagai research university (RU), universiti kita harus mempunyai peratusan bilangan pensyarah yang mempunyai kelulusan PhD yang tinggi.

Oleh itu pihak pentadbiran universiti telah mengambil langkah wajar dengan cara ‘memindahkan’ pensyarah-pensyarah lamanya yang tidak memiliki kelayakan PhD ke Program SPACE supaya dengan ketiadaan mereka itu, angka peratusan tenaga pengajarnya yang ada PhD akan menjadi tinggi.

Pensyarah-pensyarah lama yang telah berumur melebihi umur 45 tahun ini telah dikenalpasti tidak berminat dan tidak aktif dalam penyelidikan, sebaliknya mereka lebih berminat kepada dunia pengajaran sahaja. Oleh itu amat sesuai jika mereka ini dipindahkan ke Program SPACE yang terasnya hanya menumpukan kepada pengajaran untuk program diploma dan sarjana muda.

Saya adalah salah seorang tenaga pengajar yang termasuk dalam kumpulan pensyarah lama ini. Saya mula bertugas di UTM pada tahun 1983 sebaik sahaja lulus dari program sarjana muda di UTM sendiri. Di waktu itu program utama UTM adalah program diploma, bilangan pelajar diploma jauh lebih ramai dari pelajar sarjana muda.

Di masa saya itu, hanya ada satu kelas (seksyen) untuk sarjana muda elektrik yang bilangan pelajarnya tidak sampai pun 60 orang. Jumlah tenaga pengajar di Fakulti Kejuruteraan Elektrik ketika itu pun tidak ramai, tidak sampai pun 30 orang. Tumpuan UTM ketika itu memang sepenuhnya kepada pengajaran, malah keperluan untuk mendapatkan pensyarah yang memiliki PhD hampir tidak ada di waktu itu.

Saya berminat untuk bertugas di UTM pun adalah atas dasar sebab minat untuk kerja mengajar. Ketika itu tidak ada dalam fikiran saya untuk terlibat dengan dunia penyelidikan. Ramai rakan-rakan saya menolak tawaran dari bertugas di UTM kerana mereka tidak berminat untuk mengajar dan terpikat dengan tawaran dan peluang kerjaya yang lebih hebat di luar universiti.

Pada sekitar tahun 80 an, universiti tempatan memang sukar untuk mendapatkan pelajar-pelajar kelas pertama untuk menjadi tenaga pengajarnya. Pelajar yang terbaik dan kelas pertama ini sering dilamar dan mendapat tawaran gaji yang tinggi di syarikat kerajaan dan sektor swasta, kalau ada pun yang bertugas di universiti, ini kerana minat dan kepuasan mereka untuk mengajar itu melebihi kehendak mereka kepada gaji yang tinggi.

Akhirnya universiti-universti tempatan hanya mampu mendapatkan kumpulan pelajar yang sederhana pandai dan kurang pandai sahaja untuk menjadi tenaga pengajar mereka.
Tidak boleh dinafikan keupayaan untuk membuat penyelidikan dan menemukan ilmu-ilmu baru memerlukan otak yang bergeliga dan pintar.

Bukan maksud saya hendak merendahkan sesiapa, setakat manalah kehebatan penyelidikan yang mampu dilakukan oleh orang yang tidak lulus SPM. Kebijaksanaan, kepintaran otak adalah anugerah Tuhan yang tidak boleh dipelajari, kita harus terima hakikat ini. Kelunakan suara penyanyi Siti Nurhaliza dan Mawi bukanlah suatu yang boleh dipelajari walupun kita semua boleh memasuki kelas vocal.

Untuk menjadikan universiti kita sebagai research university yang cemerlang, kita tidak ada pilihan, melainkan mesti mengambil pelajar-pelajar kelas pertama, yang luar biasa pintar dan bijaksananya bagi berkhidmat dan menyumbang tenaga di universiti ini.

Untuk menggarap ilmu baru, menemukan ilmu baru dan membuat penyelidikan dalam bidang-bidang baru, kita perlukan orang-orang yang luar biasa dari segi kemampuan otaknya sebagai pra syarat utama. Kemudian barulah infrastruktur dan kemudahan yang lain.

Kita boleh mengajarkan ilmu kepada siapa saja yang berminat untuk belajar, tetapi tidak ada guru yang boleh mengajarkan kebijaksanaan. Kebijaksaan itu adalah anugerah Tuhan kepada siapa yang dikehendakiNya.

Akhir Tahun 80 an kita telah menghadapi kemelesetan ekonomi, kerajaan mula mengurangkan bilangan pelajar yang dihantar keluar negara. Sebaliknya bilangan pengambilan pelajar di universiti tempatan ditambah dengan banyaknya. Bilangan universiti tempatan juga turut ditambah.

Sekarang ini lepasan pelajar peringkat ijazah begitu ramai sehingga tidaklah mudah untuk memilih kerja. Universiti-universiti tempatan pun sekarang telah boleh memilih pelajar-pelajar terbaik dan kelas pertama sahaja untuk menjadi tenaga pengajarnya.

Ini adalah merupakan suasana yang baik untuk universiti kita untuk menuju tahap universiti cemerlang, kelas dunia di masa-masa depan. Tenaga-tenaga pengajar yang luar biasa pintar ini bakal menjadi professor-professor tersohor di masa depan, setanding dengan professor di negara-negara maju.

Kita tidak mahu setiap kali ada bangunan runtuh, jalan runtuh atau tanah runtuh, setiap kali itu juga Samy Velu akan ditemu bual bagi mengetahui sebab-sebab musibah itu. Sebaliknya dimasa-masa depan kita mahu ada professor dari universiti yang akan ditemubual bagi menerangkan bagaimana secara saintifiknya bagaimana keruntuhan itu boleh berlaku. Ini hanya boleh berlaku kalau professor kita lebih bijak dan tersohor dari Samy Velu.

Peluang yang diberikan oleh UTM untuk berpindah ke Program SPACE ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Saya mengambil tawaran ini sebagai perkara yang positif. Hala tuju universiti kita telah jauh berubah berbanding 20 tahun lalu, kita bergerak ke arah research university, sedangkan saya tidak dapat lagi menyesuaikan diri dengan suasana baru ini.

Universiti telah menyediakan jalan keluar bagi pensyarah-pensyarah lama seperti saya ini. Saya rasakan ini adalah jalan keluar yang terbaik setakat ini.

Saya merasakan saya tidak mampu mempamirkan prestasi atau perform seperti yang dikehendaki oleh universiti dalam mencapai research university, oleh itu tidak ada salahnya kalau saya menyahut seruan universiti untuk saya berpindah ke Program SPACE.

Sekalipun dari segi undang-undangnya, UTM tidak ada hak untuk mengarahkan saya untuk berpindah ke Program SPACE, tetapi dari segi moralnya memang wajar untuk saya berpindah, kerana dengan perpindahan itu akan dapat membantu UTM untuk mencapai research university, tanpa menjejaskan tugas saya untuk terus mengajar.

Kalau kita sendiri sudah tidak dapat membantu memberi sumbangan dalam menjayakan UTM untuk mencapai research university, sekurang-kurangnya pengorbanan kita untuk berpindah ke SPACE itu juga akan dapat membantu walaupun sedikit.

Selama ini pun saya merasakan diri saya tidak dapat memberi sumbangan yang banyak kepada UTM kerana kemampuan dan kebolehan saya yang terbatas.

Atas sebab itu jugalah saya memilih untuk bersara pada umur 55 dan tidak melanjutkan kepada umur 58. Lebih cepat saya bersara adalah lebih baik kerana akan dapat diganti dengan tenaga baru yang lebih berkemampuan untuk membawa universiti kearah yang lebih gemilang.

Tuesday, March 09, 2010

Zulkifli Nordin, kehilangan besar kepada PKR


Seorang yang bersuara lantang dan berani. Berprinsip dan terkenal sebagai pejuang penegak keadilan. Orang seperti beliau inilah yang harus ada dan amat cucuk dalam parti yang bernama Parti Keadilan Rakyat.

Parti yang membawa nama ‘Keadilan’ sepatutnya mengalu-alukan orang seperti Zulkifli Nordin ini, tetapi amat mengeciwakan kerana parti ini juga yang memecat dan menendang beliau keluar.

Kita tidak terkilan jika ada ahli parti PKR yang hendak keluar dan melompat ke parti lain kerana merasakan mereka tidak lagi sehaluan dengan perjuangan parti. Tetapi memecat ahli parti boleh memberi gambaran parti itu tidak demokratik.

Kalau PKR dan PR benar-benar mahu memperjuangkan kemurnian demokrasi, tentunya pandangan yang berbeza seperti YB Zulkifli Nordin ini bukan merupakan masalah kepada parti itu, sebaliknya ia dilihat sebagai amalan yang sihat dalam demokrasi dan parti.

Itulah hak yang telah dijamin oleh sistem demokrasi, dimana setiap orang berhak dan bebas memberi pendapat selagi tidak menyalahi undang-undang dan perlembagaan Negara.

PKR dan PR tidak boleh terikut-ikut dengan cara UMNO dan BN. UMNO dan BN melihat pendapat yang berbeza sebagai ancaman kepada parti, mereka yang berbeza pendapat dengan pemimpin parti akan mengalami nasib disingkir dan dicantas.

Pada satu masa dulu sayap pemuda UMNO terkenal mempunyai pandangan yang sangat berbeza dengan pemimpin parti. Inilah yang menjadikan UMNO kuat dan dipandang tinggi ketika itu, mereka telah meraikan perbezaan pendapat. Tetapi kemudian keadaan itu tidak berlaku lagi dalam UMNO, selepas itu perbezaan pendapat berakhir dengan perpecahan, penyingkiran dan penubuhan parti baru.

PKR dan PR harus ada keunikan tersendiri, tidak harus mengikut UMNO dan BN dalam segala tindakan. Pendapat Zulkifli Nordin belum tentu betul, tetapi kita tidak boleh menghalang beliau dan orang lain dalam memberi pendapat mereka. Inilah perjuangan yang perlu ditegakkan oleh PR dan PKR, menjadikan rukun demokrasi benar-benar diamalkan di Malaysia.

Semasa DSAI diinaya oleh Firaun Besar pada masa dulu, Zulkifli Nordin dengan lantang dan berani bersama rakan-rakan yang lain menunjukkan sikap penentangannya kepada Firaun Besar semata-mata untuk menegakkan keadilan.

Oleh itu kita harus memberi peluang kepada orang seperti Zulkifli Nordin ini untuk terus berada dalam parti PKR, yang akan memperkukuhkan amalan ‘check and balance’ dalam parti itu sendiri.

Kita tidak boleh membiarkan parti PKR terus dikuasai oleh Firaun-firaun Kecil yang bernafsu tinggi untuk berkuasa dengan mengamalkan cara yang kotor, autokratik dan tidak demokratik.

Parti PKR tidak boleh membiarkan Firaun-firaun Kecil yang ada dalam parti PKR bagi menentukan samada pandangan dan tindakan saudara Zulkifli Nordin itu betul atau tidak, sebaliknya harus diserahkanlah kepada ahli-ahli parti dan orang ramai yang menentukan nasibnya, kerana di akhirnya orang ramai juga yang akan membuat pilihan.

Saya melihat pemecatan Zulkifli Nordin adalah satu kerugian besar kepada Parti Keadilan Rakyat.

Friday, March 05, 2010

Ustaz dan Ustazah yang kaya raya

Kalau kita menyorot kembali ke zaman Nabi dan Sahabat, tidak ada para sahabat yang menjadi kaya raya kerana mengajarkan agama. Malah mereka menyebarkan agama Islam ini tanpa dibayar sebarang upah. Dengan niat mereka yang ikhlas yang hanya berharap balasan pahala dari Allah semata, daya usaha mereka itu sangat berkat, hasilnya Islam telah tersebar ke serata pelusuk dunia.

Kalau ada pun sahabat yang kaya raya di masa itu, seperti Abdul Rahman bin Auf, beliau kaya disebabkan usaha perniagaannya bukan kerana menyebarkan agama Islam.

Kalau tanpa usaha mereka yang tidak kenal penat dan tidak pernah mengharapkan balasan dunia itu, belum tentu di hari ini kita yang terletak jauh di rantau sebelah sini boleh mendapat hidayah dan cahaya Islam ini.

Tetapi sekarang kita di Malaysia ramai penceramah-penceramah agama yang kita gelar sebagai ustaz dan ustazah mencipta nama, mengalahkan artis selebriti, menerima imbuhan hingga menjadi kaya raya.

Selain dari ustaz dan ustazah yang dibayar gaji bulanan secara tetap untuk mengajar agama di sekolah, di universiti dan yang bekerja di jabatan agama, terdapat juga di kalangan mereka yang begitu glamour dan terkenal. Mereka sering keluar di radio dan TV, ramai yang meminati ceramah mereka, mereka sering dijemput untuk memberi ceramah di merata pelusuk Negara. Mereka ini begitu laris dan mendapat bayaran tinggi.

Oleh itu tidak hairanlah kalau ada ustaz dan ustazah ini menjadi kaya raya, mampu memiliki kereta mewah dan mampu membeli rumah yang tersergam indah. Dengan nama dan modal yang mereka ada itu, mereka mampu pula melebarkan kekayaan mereka dengan melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung dalam perniagaan.

Apakah wajar ustaz dan ustazah menjana kekayaan dengan menggunakan agama? Inilah soalan yang telah menjadi polimek dari zaman dahulu lagi. Ada setengah orang menyifatkan perbuatan mereka ini seperti menjual agama untuk mendapat kekayaan dan keuntungan dunia.

Apabila soalan ini diajukan kepada yang punya tubuh badan, sudah tentu mereka akan menyangkal dakwaan itu dengan memberi hujah-hujah dan dalil tersendiri, bagi mengharuskan perbuatan mereka. Oleh kerana diri mereka sendiri yang terlibat, mereka juga adalah kalangan tokoh agama, sudah tentu pendapat mereka akan menenggelamkan pendapat yang mengatakan tidak wajar mengambil upah dalam menyebarkan ajaran agama.

Kadang-kadang penonton yang mendengar ceramah mereka seperti sedang menikmati suatu hiburan. Mereka seronok mendengar kerana merasa terhibur. Mungkin oleh kerana tidak ada keberkatannya, kesannya kepada penonton tidaklah seperti yang diharapkan. Akhlak masyarakat kita terus juga merudum walau telah bertimbun ceramah dihidangkan.

Kita masih dibelenggu dengan masalah anak-anak muda yang hidup berfoya-foya, bergaul bebas, menagih dadah, membuang bayi dan merempit. Masyarakat kita juga masih jauh dari mengamalkan amalan baik, seperti tidak beradab di jalan raya, mengamalkan rasuah, tidak amanah, malas, curi tulang dan perbuatan penderaan kanak-kanak sering saja berlaku.

Bantu

Walaupun majoriti masyarakat kita telah menikmati tahap kehidupan yang agak selesa, namun masih ramai lagi yang susah dan hidup dalam lingkungan miskin. Ada di kalangan mereka ini miskin kerana mereka malas bekerja atau tidak mampu untuk bekerja disebabkan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Tetapi ada juga yang miskin kerana hasil pendapatan dari pekerjaan mereka itu kecil dan tidak cukup untuk menampung kehidupan keluarga mereka.

Sebagai orang Islam kita juga punya tanggungjawab untuk membantu golongan masyarakat kita yang miskin ini. Kalau kita beri ikan kepada mereka, kita akan dapat pahala sekali sahaja, tetapi kalau kita beri mereka joran kita akan dapat pahala setiap kali mereka menggunakan joran yang kita beri itu untuk memancing ikan.

Sentiasalah kita ingat, setiap kali kita menikmati makanan lazat di restoran mewah itu, sebenarnya masih ada orang dalam masyarakat kita sedang menikmati hidangan nasi berlaukkan telor goreng dan kicap.

Kalau kita dapat berkorban tidak membeli kereta Mercedes atau BMW untuk kegunaan kita walaupun kita mampu, sebaliknya kita menggunakan Tayota Camry yang jauh lebih murah tanpa banyak mengurangkan keselesaan itu, dan duit yang lebih itu kita sumbangkan kepada orang-orang miskin sehingga mereka dapat menukar basikal yang mereka gunakan kepada motorsikal, sudah tentu ini sangat memberi kesan besar dalam kehidupan mereka.

Apakah kurangnya sedikit keselesaan disebabkan kita tidak memakai kereta Mercedes itu sama dengan kegembiraan orang miskin ini kerana dapat memiliki motorsikal yang boleh membantu menaikkan tahap kehidupannya.

Apalah salahnya kalau kita berkorban sedikit keselesaan dengan tidak menggunakan tempat duduk kelas bisnes, tetapi cukup hanya menggunakan tempat duduk kelas ekonomi ketika menaiki kapal terbang. Dan dari duit perbezaan harga tiket itu kita sumbangkan kepada orang-orang miskin. Tentu kita akan berasa gembira, disebabkan duit kita itu, orang miskin ini dapat menukar makanannya dari lauk tempeh kepada lauk ikan kembong.

Dan apa sangatlah beza keseronokan yang kita dapat menghisap cerut yang berharga RM500 dengan cerut yang berharga RM10 sebatang. Sedangkan kalau perbezaan harga sebanyak RM490 itu disumbangkan untuk membantu belanja sekolah anak-anak orang miskin, tentu ini akan memberi makna yang sangat besar dalam kehidupan mereka.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com