Aku dilahirkan pada 13 Disember 1960 di kampong yang bernama Kampong Sungai Dua Kechil yang letaknya kira-kira 2 kM dari pekan Kuala Pilah.
Walaupun nama kampong ini mengambil nama sungai tetapi aku tidak nampak adanya sungai di kampong ini. Apa yang aku nampak di kampong ini terdapat sebatang tali air yang dipanggil oleh orang kampong sebagai ‘bondar’ dari hulu kampong sehinggalah ke bahagian hilirnya. Bondar adalah seperti parit kecil yang lebarnya tidak melebihi 2 meter, airnya mengalir di sepanjang kampong ini. Kampong ini terletak antara dua banjaran bukit.
Penduduk mendirikan rumah-rumah di lereng banjaran bukit ini dari sebelah hulu bersusun hinggalah kesebelah hilir. Semua rumah dibina mengadap ke bawah lereng. Walaupun terdapat dua lereng banjaran bukit tetapi kebanyakan rumah dibina di satu lereng banjaran bukit sahaja. Tidak banyak rumah-rumah di bina di bahagian lereng banjaran bukit yang satu lagi. Sehinggakan kami memanggil lereng yang tidak banyak rumah itu sebagai ‘seberang’.
Di bahagian lembah, di kawasan kiri kanan bondar tadi adalah kawasan sawah padi. Lebar kawasan sawah padi ini dari hulu ke hilir tidak ada yang melebihi 100 meter. Manakala panjang kampong kami tidak sampai 10 kM, manakala rumah yang ada di kampong ini tidak melebihi 100 buah rumah.
Dengar cerita orang tua, moyang saya datang dari Senaling. Pada mulanya ada satu keluarga dari Senaling datang ke kampong Sungai Dua Kechil untuk membuka tanah dan mencari kehidupan baru di sini. Kemudian adalah pula beberapa keluarga lain turut mencari kehidupan baru di kampong ini. Berasal dari dua atau tiga keluarga inilah kemudian berkembang biak sehinggalah penduduknya bertambah ramai.
Saya tidak tahu saya ini generasi yang ke berapa dari pendatang asal itu, apa yang saya sedar, semasa saya kecil penduduk di sini telah pun ramai. Penduduk di sini kebanyakannya bekerja sebagai petani, mereka menoreh getah sebagai sumber pendapatan dan menanam padi untuk menampung kehidupan. Di sebelah pagi mereka menoreh dan di sebelah petang mereka turun ke sawah jika musim menanam padi.
Oleh kerana pada masa itu tidak ada menggunakan jentera, kerja sawah padi banyak dilakukan secara gotong royong. Dengan bergotong royong kerja lebih cepat dapat disiapkan. Sebagai contoh hari ini giliran sawah si A, maka semua penduduk akan datang menyumbang tenaga untuk mengerjakan sawah si A, besok pula mereka ramai-ramai mengerjakan sawah si B pula, begitulah seterusnya sehingga semua mendapat giliran mereka. Mereka tidak dibayar apa-apa upah, kecuali semasa bekerja tuan punya sawah akan menyediakan sedikit makanan seperti pulut bersambal tumis, nasi lemak atau bubur kacang hijau untuk mereka. Hidangan ini kami panggil ‘kerajat’.
Kerja bergotong royong lebih baik dari kerja sendirian. Kalau kerja bersendirian, mengambil masa yang lama untuk disiapkan, sedangkan anak padi perlu di tanam pada masa serentak untuk mengurangkan serangan musuh.
Seperti keluarga lain keluarga saya juga menjalani kehidupan yang hampir sama seperti keluarga lain di kampong ini. Bezanya bapa saya telah meninggal dunia semasa umur saya baru 3 tahun. Jadi ibulah menggantikan tempat bapa, ibulah yang menoreh getah dan dialah juga membuat kerja di sawah.
Hidup tanpa bapa memang susah, khudrat ibu pun tidak sekuat kaum bapa. Hidup kami sekeluarga banyak bergantung kepada ikhsan jiran-jiran yang memang saudara kepada kami. Hidup pun hanya sekadar cukup makan dan pakai saja. Rumah pun sekadar boleh kami menumpang teduh saja. Namun begitu saya, kakak dan adik lelaki saya bersekolah seperti kanak-kanak lain. Masa itu perbelanjaan untuk bersekolah tidaklah semahal hari ini. Yuran pun kami tak pernah bayar, duit belanja ke sekolah hanyalah 10 sen sehari. Pakaian sekolah pun hanya sehelai dua sahaja, itu pun sudah lama tidak berganti. Pakainan sekolah yang koyak dan bertampal adalah suatu perkara yang biasa pada kanak-kanak di kampong ini.
Bekalan elektrik dan air paip sampai ke kampong kami hanya pada penghujung tahun 70 an. Sebelum itu kami menggunakan pelita minyak tanah untuk menerangi waktu malam. Pelita inilah menjadi lampu untuk kami belajar di waktu malam. Untuk memasak kami menggunakan kayu api sebagai bahan bakar, kayu api kami ambil dari ranting-ranting kayu getah yang telah mati dan jatuh ke tanah. Air pula kami ambil dari perigi. Saya masih ingat lagi setiap petang kakak mengambil air dari perigi dengan menggunakan baldi. Air tersebut akan disimpan dalam tempayan di rumah untuk kegunaan memasak dan membasuh pinggan. Untuk memenuhkan tempayan tersebut kakak kena berulangalik beberapa kali ke perigi. Tambah sukar lagi, antara rumah dengan perigi itu agak jauh juga, lebih kurang 100 meter. Perigi di bawah bukit manakala rumah pula di lereng bukit. Untuk membasuh pakaian dan mandi pula semua dilakukan di perigi.
Saya mempunyai ramai rakan sebaya di kampong, sebahagian besarnya bersekolah di kampong dan yang lainnya ada yang bersekolah di pekan Kuala Pilah. Selain itu kanak-kanak yang lebih tua dan lebih muda dari saya pun ramai. Suasana kampong ketika itu memang meriah dengan kanak-kanak. Ibubapa kami ketika itu masing-masing berumur antara 30 hingga 40 tahun. Umur tersebut memang tengah kuat dan aktif. Di masa itu seperti perkara biasa jiran bergaduh sesama jiran. Kejap terdengar orang
Sepanjang ingatan saya ada satu pergaduhan antara dua keluarga yang begitu hebat sehingga berdarah-darah. Inilah satu-satunya pergaduhan yang telah menjadi kes polis. Masih jelas dalam ingatan saya bagaimana orang-orang kampong telah
Oleh kerana kampong ini agak dekat dengan pekan Kuala Pilah, ramai orang dewasa lelaki keluar ke pekan, menghabiskan masa di kedai kopi. Perkara keluar ke pekan bersimbang di kedai kopi telah menjadi satu tabiat buruk kepada sebahagian orang lelaki dewasa di kampong ini. Akibatnya masa yang sepatutnya digunakan untuk membuat kerja-kerja di kampong terabai begitu saja. Semacam ada satu fahaman yang negatif telah menular kepada mereka ini yang mengatakan buat apa nak bekerja kuat untuk mengumpul harta kerana kalau ada harta banyak pun kalau dah bercerai harta tersebut tak dapat kepada mereka.
Telah menjadi adat di kampong ini, di mana jika berlaku perceraian semua harta akan jatuh ke tangan isteri. Orang lelaki akan keluar rumah dengan sehelai sepinggang. Mungkin adat ini selari dengan adat perpatih yang menjadi pegangan orang Negeri Sembilan umumnya. Pegangan seperti ini telah menjadikan mereka hilang semangat untuk berkerja keras bagi mendapatkan harta yang lebih banyak.
Dengan sihir suami dapat di arah untuk bekerja keras dan tidak lagi duduk melepak di kedai-kedai kopi. Tetapi bagi isteri yang tidak mahu melibatkan diri dengan perbuatan terkutuk ini, suami mereka masih melekat di kedai kopi.
Ajaran agama memang tandus di kampong ini, rata-ratanya mereka tidak mengamalkan sembahyang fardhu. Walaupun mungkin mereka tahu dan pernah belajar bagaimana nak sembahyang tetapi mereka tak pernah mengamalkannya seperti yang di kehendaki agama. Kalau sembahyang pun mungkin untuk sembahyang hari raya dan sembahyang tarawikh di bulan puasa saja. Puasa pun ditinggalkan dengan sewenang-wenang saja. Ceramah agama adalah sesekali ustaz datang memberi ceramah di surau, itu pun orang perempuan saja yang mahu hadir. Ketika itu di kampong tidak ada TV, tidak macam sekarang orang boleh dengar ceramah agama dari TV dan radio.
Kalau ada pun yang mengamalkan rukun Islam serperti sembahyang dan puasa dalam kehidupannya, tidaklah ramai, adalah empat atau
Kehidupan saya masa kanak-kanak di kampong ini sungguh meriah sekali, alam kanak-kanak terasa begitu panjang. Macam-macam permainan kami mainkan bersama rakan-rakan. Dari bermain bola sepak, hoki, takraw, lastik, getah gelang, main kejar-kejar, main tarik kerbau pelepah rumbia, main kala kundi, main ketingting, main sorok sorok, main pondok pondok, memancing, mandi lubok atau ‘cempora’. Semua alat permainan yang dimainkan kami buat sendiri, ibubapa jarang sekali membelikan barang permainan seperti kanak-kanak sekarang.
Sawah yang diusahakan oleh setiap keluarga itu biasanya mencukupi untuk menampung keperluan beras sehingga sampai ke musim menuai yang akan datang. Dari pengalaman, orang-orang tua di kampong ini tahu berapa lebar sawah yang diperlukan oleh setiap keluarga. Oleh itu kalau ada tanah sawah hendak dibahagi antara adik beradik, mereka akan pastikan tanah itu tidak terlalu kecil sehingga tidak cukup menampung keperluan beras bagi semusim tuaian. Telah menjadi tradisi dari dahulu lagi, cara mengatasi kekurangan tanah sawah ialah dengan cara sebahagian dari anak-anak mereka terpaksa berpindah mencari kawasan baru, ekoran itu satu kampong baru akan dibuka.
Selain mereka tidak perlu membeli beras di kedai, penduduk kampong ini juga boleh dikatakan tidak memerlukan wang yang banyak untuk menampung kehidupan seharian mereka. Mereka tidak makan lauk seperti daging, ayam dan ikan tiap-tiap hari seperti orang di Bandar. Mereka mungkin makan nasi dengan bergulaikan sayur nangka hari ini, besok mereka gulai pisang, hari seterusnya mungkin mereka gulai jantung pula. Semua bahan-bahan yang mereka buat gulai boleh didapati di merata kampong tanpa perlu dibayar. Selain yang disebutkan tadi mereka boleh dapat pucuk ubi, pucuk paku, pucuk memperai, pucuk labu, pucuk keledek, rebung, keladi dan sebagainya dengan mudah untuk dibuat gulai.
Sambil itu mereka juga menternak ayam. Sesetengahnya ada memelihara lembu, kerbau dan kambing. Sekali-sekala mereka menyembelih ayam untuk dibuat lauk. Juga kadang-kadang mereka menangkap atau memancing ikan di lubuk atau di sawah untuk dijadikan lauk. Hanya sesekali saja mereka pergi ke pasar untuk membeli ikan dan sayur di pasar. Wang yang mereka dapat biasanya digunakan untuk membeli keperluan seperti gula, garam, kunyit, minyak tanah, tepung, pakaian dan beberapa peralatan rumah yang asas yang memang tidak boleh didapati di kampong.
Pada sekitar awal tahun 70 an satu projek rancangan pinggir telah dilaksanakan di kampong ini. Projek tersebut merupakan tanaman getah yang telah ditawarkan oleh kerajaan kepada penduduk kampong. Kawasan tanah hutan di kawasan hulu kampong telah dijadikan ladang getah kemudian diagih-agihkan kepada penduduk kampong. Setiap keluarga mendapat seluas 3 ekar. Sejak pembukaan ladang getah tersebut, sawah di kampong ini terus menjadi kering. Ini mungkin selama ini tanpa disedari hutan yang ditebang itu berfungsi sebagai tempat menyimpan air yang diperlukan oleh sawah. Apabila sawah tidak boleh dikerjakan kerana tidak ada air maka penduduk terpaksalah membeli beras.
Wang lebih banyak diperlukan kerana terpaksa membeli beras. Pendapatan yang diperolehi dari menoreh getah juga tidak menentu kerana harga getah tidak menentu. Ramai dari penduduk di sini mula keluar mecari kerja di kilang-kilang berhampiran pekan Kuala Pilah. Kebetulan beberapa kilang telah dibina di Kuala Pilah. Ibu saya juga turut bekerja di kilang getah MARDEC yang terletak lebih kurang 5 kM dari kampong ini. Ibu berulang alik ke tempat kerja dengan menaiki basikal. Rata-rata penduduk di sini menggunakan basikal sebagai pengangkutan utamanya.
Pada tahun 1973 aku telah masuk ke sekolah menengah. Sekolah Menengah hanya terdapat di pekan Kuala Pilah. Untuk ke sekolah menengah kenalah naik bas sekolah. Bas sekolah tidak lalu di kawasan kampong ini kerana kampong ini tidak mempunyai jalan tar. Jadi hari-hari kita kena berjalan kaki ke kampong sebelah dan menunggu bas sekolah di
Ibu bersusah payah pergi ke pejabat Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan tiket bas sekolah percuma untuk saya dan kakak. Harga tiket bas sekolah ketika itu adalah RM2.50 sebulan. Oleh kerana kami susah dan anak yatim pula akhirnya dapat juga bantuan tiket bas. Selain dari itu saya juga dapat biasiswa bulanan dari kerajaan RM10.00 sebulan.
Tentang politik pula, setahu saya semua orang dewasa di kampong ini adalah ahli UMNO. Bila tiba musim pilihanraya penceramah UMNO selalu dijemput memberikan ceramah di Balai Raya. Dari kecil lagi saya telah didedahkan kepada ceramah politik. Pada masa itu saya tidak tahu ceramah yang saya dengar itu ceramah politik. Apa yang saya faham dan diberitahu oleh penceramah, kita tidak boleh mengundi pembangkang dan parti pembangkang seperti DAP selalunya mereka kaitkan dengan fahaman kominis. Di masa itu kita diberitahu parti DAP itu adalah penyokong kominis. Kominis sangat ditakuti dan dibenci oleh orang Melayu ketika itu. Parti seperti PAS langsung tidak mendapat tempat di kampong ini. Pada tahun 1969 peristiwa pertelingkahan kaum antara Melayu dan Cina berlaku. Ini menyebabkan orang kampong lebih kuat dan padu untuk menyokong UMNO dan benci kepada DAP kerana DAP dikaitkan dengan parti orang Cina dan kominis.
Di waktu itu saya dan orang-orang kampong juga telah ditanamkan dalam pemikiran mereka bahawa parti-parti pembangkang adalah musuh negara yang mesti dibenci. Nampaknya dari pengalaman yang saya lalui saya dapat melihat penduduk kampong ini dan rakyat
Di sekolah menengah kami datang dari berbagai kampong. Selain kawan sama sekolah rendah dulu, kami juga dapat kawan baru yang datang dari sekolah rendah yang lain. Pada ujian pertama yang diadakan ketika di sekolah menengah sungguh memeranjatkan saya, kerana saya telah dapat nombor satu dalam tingkatan satu. Sungguh tidak diduga, saya ingatkan ramai lagi yang lebih pandai dari saya bersekolah di situ. Tetapi sekarang saya tidak hairan kenapa saya boleh dapat nombor satu ketika itu, ini adalah kerana murid-murid yang lebih pandai dari saya telah mendapat tawaran ke sekolah berasrama. Apa pun, nombor satu dalam tingkatan itu telah mendorong dan memberi semangat kepada saya untuk terus rajin belajar.
Pada peperiksaan SRP tahun 1975 saya mendapat keputusan yang agak baik iaitu 5A1. Keputusan yang baik ini telah melayakkan saya mendapat tawaran memasuki sekolah asrama penuh Sekolah Alam Shah Cheras,
Saya merasakan kehidupan di asrama sungguh berbeza dari kehidupan di kampong. Di asrama saya dapat makan lauk ayam dan ikan hari-hari, berbanding masa di kampong, jarang sekali saya dapat makan ayam dan ikan. Kalau ada orang buat kenduri di kampong barulah kita dapat makan lauk ayam dan daging dengan puas. Nak makan ikan kita kena pergi memancing atau menimba lubuk. Di asrama kita ada lampu elektrik yang terang untuk membaca buku di waktu malam. Di asrama kehidupan lebih teratur dan tidak banyak gangguan. Kalau di kampong dulu sedikit sebanyak saya terpaksa membantu ibu dan keluarga membuat kerja-kerja rumah.
Walaupun kehidupan asrama mempunyai kemudahan yang selesa tetapi ada juga kelemahan atau kekurangannya. Kelemahan yang paling ketara, pencapaian saya dalam pelajaran tidaklah sebaik masa saya sekolah di kampong dulu. Ini mungkin disebabkan, masa di sekolah kampong dulu murid-murid lain yang kurang pandai banyak bertanya kepada kita tentang apa yang mereka kurang faham, ini membuatkan saya lebih faham dan mahir setiap kali menunjuk ajar mereka itu. Manakala di sekolah asrama ini pula, kawan-kawan kita semuanya pandai-pandai belaka, jadi mereka tidak perlu untuk bertanya kepada kita.
Oleh itu saya berpendapat, lebih baik jika anak-anak terus di sekolah biasa walaupun mendapat tawaran memasuki sekolah asrama penuh. Melainkan kalau kita tidak mampu untuk menanggung makan minum mereka barulah sesuai kita hantar mereka masuk sekolah asrama penuh itu.
Selepas peperiksaan SPM akhir tahun 1977 saya mengikut ibu bekerja di kilang MARDEC. Saya bekerja di
Ketika itu UTM terletak di Jalan Gurney atau Jalan Semarak. Saya tinggal di Asrama Blok D di dalam kampus. Tempat tinggal dan makan semua diberi percuma dan akan dipotong dari biasiswa yang bakal diterima. Semua pelajar bumiputra yang masuk ke UTM ketika itu memang dijamin mendapat biasiswa. Dengan wang yang saya kumpul semasa bekerja kilang sebelum ini, saya mampu untuk hidup berdikari tanpa bergantung bantuan kewangan dari ibu di kampong. Selepas itu saya hanya bergantung kepada wang biasiswa untuk menyara keperluan saya hinggalah tamat belajar di universiti.
Selain itu saudara-saudara dan bapa saudara saya kerap menghulurkan wang setiap kali ada kesempatan bertemu mereka. Setelah tamat pengajian saya telah memohon kerja untuk berkhidmat sebagai pensyarah di UTM. Dari saat itu bermulalah hidup saya sebagai seorang pensyarah. Saya mendapat gaji yang baik, ekonomi saya jauh lebih teguh jika dibandingkan masa belajar dulu, setiap bulan saya tidak pernah lupa untuk memberikan sedikit wang untuk ibu di kampong. Sesungguhnya jasa ibu dalam membesarkan saya memang tidak akan terbalas, pemberian sedikit wang setiap bulan itu hanyalah sekadar tanda ingatan kepadanya sahaja.
Pada bulan Ogos 1985 saya telah bertemu jodoh dengan gadis dari Taiping, Perak. Perkenalan dengannya tidak sampai dua bulan. Perkahwinan saya dengannya terpaksa disegerakan kerana tarikh saya berangkat ke
Berbalik semula kepada kampong saya, seperti saya, anak-anak muda yang lain juga telah ramai meninggalkan kampong berhijrah ke bandar-bandar besar seperti Seremban dan
Namun begitu pada setiap kali raya, kampong ini kembali meriah dengan kanak-kanak. Apa tidaknya, anak-anak penduduk yang balik kampong setiap kali raya akan membawa anak-anak bersama mereka. Pada setiap kali menjelang raya, bandar Kuala Pilah sibuk sekali kerana pada waktu itu anak-anak penduduk kampong akan balik kampong untuk merayakan hari raya bersama ibubapa mereka. Pada hari ‘bantai’ iaitu satu hari sebelum raya banyaklah lembu-lembu kampong di sembelih bagi memenuhi keperluan penduduk menyambut raya. Daging lembu dibuat rendang untuk dicecah dengan lemang. Lemang adalah satu makanan kemestian yang perlu ada dipagi raya.
Semasa saya kanak-kanak dulu, di hari raya ini orang lelaki dewasa beramai-ramai beraya atau berkunjung dari sebuah rumah ke sebuah rumah. Jika kunjungan bermula selepas sembahyang isya malam raya, untuk sampai ke rumah terakhir memakan masa hingga ke pukul dua pagi. Mereka akan membaca takbir raya dan doa di setiap rumah yang dikunjungi dan menjamah sedikit juadah yang dihidangkan oleh tuan rumah. Tapi sekarang amalan seperti itu tidak ada lagi, ini kerana orang-orang tersebut telah tua dan tidak berkemampuan untuk melakukannya lagi.
Di kampong sekarang kebanyakannya dihuni oleh orang-orang tua saja. Anak-anak mereka telah banyak berhijrah ke bandar besar mencari pekerjaaan dan ramai juga yang menjadi peneroka. Tanah-tanah di kampong banyak terbiar tidak dikerjakan. Kalau yang tinggal hanyalah orang-orang tua, tentulah mereka tidak mempunyai tenaga yang kuat untuk mengerjakan tanah-tanah tersebut.
Pada pertengahan tahun 90 an kerajaan melalui agensi Felcra telah membangun dan memajukan semua tanah-tanah sawah terbiar di kampong ini dengan mengusahakan tanaman kelapa sawit. Walaupun penduduk menerima pulangan yang terlalu kecil dan tidak setimpal dari pihak yang memajukan tanah ini namun itu lebih baik dari ia terus menjadi semak belukar dan menyakitkan mata memandang.
Sekarang kampong Sungai Dua Kechil dan banyak lagi kampong-kampong yang senasib dengannya hanya dihuni oleh orang-orang tua. Anak-anak mereka telah mencari penghidupan baru di bandar besar atau di rancangan felda.
Inilah senerio kampong ku dan mungkin juga kampong anda.
Salam Hormat.
2 comments:
SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL ADHA SAUDARA PENULIS!
ikhlas daripada kekwa dan keluarga bunga semua!
Salam Saudara Alias. Terima kasih kerana sudi datang ke blog saya. Terharu dapat tau Saudara ada 2 anak istimewa. Besar cabarannya. Hebat dugaannya. Semoga kita dapat terus berkongsi cerita dari semasa ke semasa. Jumpa lagi.
Post a Comment