Dalam usaha-usaha mencari sokongan daripada rakyat, kadang-kadang parti-parti politik ini cenderung mengambil jalan singkat atau jalan mudah yang tidak bermaruah untuk menarik sokongan rakyat kepada mereka. Kadang-kadang parti-parti ini tidak dapat memisahkan atau membezakan antara matlamat untuk mencapai kemenangan dengan matlamat perjuangan parti mereka.
Kalau kita melihat suasana di Malaysia sendiri, parti-parti politik yang ada ini samada parti yang memerintah dan juga parti-parti pembangkang menggunakan kaedah politik popular ini dalam menarik sokongan rakyat kepada parti mereka. Salah satu cara yang biasa digunakan parti-parti politik ini ialah dengan menanamkan rasa benci rakyat terhadap parti lawannya. Apabila rasa benci dapat ditanamkan di hati rakyat terhadap parti lawan maka ini sudah tentu dapat menjamin rakyat tidak akan mengundi parti lawannya. Ini adalah cara yang paling berkesan sekali untuk mengalihkan sokongan rakyat kepada partinya. Lantaran itu macam-macam caralah yang digunakan supaya rakyat sentiasa berasa benci terhadap parti lawan.
Sebagai contoh pernah di kalangan ahli parti PAS disuatu masa dulu dengan memanipulasi tafsiran Quran sehinggalah keluar dakwaan ahli-ahli UMNO itu adalah kafir, sembahyang berimamkan orang UMNO tidak sah, nikah dengan menggunakan imam kerajaan juga tidak sah. Ini diakui sendiri oleh pemimpin PAS Nik Aziz. Ini semua dilakukan semata-mata untuk menanamkan rasa benci kepada parti UMNO. Mereka menggunakan agama bagi menakut-nakutkan orang ramai dari menyertai atau menyokong UMNO.
Taktik ini sungguh berkesan untuk jalan singkat bagi mencapai kemenangan, tentulah ramai orang akan berasa bimbang akan menjadi kafir kalau menyertai UMNO. Kadang-kadang kurang faham rakyat terhadap agama Islam telah diambil kesempatan oleh parti-parti politik ini.
Menggunakan sentimen agama sebagai politik murahan bukan saja berlaku di Malaysia ini tetapi berlaku juga di negara-negara lain yang mengamalkan sistem ini. Pernah di suatu masa dulu di India parti pelampau Hindu BJP telah menghasut penganut Hindu untuk merobohkan sebuah masjid tua yang tidak digunakan lagi supaya didirikan kuil Hindu setelah entah darimana mereka dapat ada dalil yang mengatakan Masjid itu adalah tapak kuil Hindu. Sebenarnya parti BJP ini boleh saja membina berapa banyak kuil Hindu di merata negara India itu kalau dia mahu, tapi cara ini tidak akan menampakkan parti itu sebagai memperjuangkan ugama Hindu.
Dengan isu yang lebih sensasi seperti hendak menggantikan masjid lama dengan kuil itu tentulah parti BJP ini nampak lebih hebat sebagai pejuang agama Hindu dan dapat meraih simpati semua penganut-penganut hindu untuk menyokongnya. Ternyata taktik begini sungguh berkesan, parti BJP telah mendapat kemenangan dalam pilihanraya selepas itu dan dapatlah mereka memerintah India.
Tetapi selepas itu nasib masjid lama itu seperti itu juga dan kuil tidak juga dibina di situ. Ini semua kerana kes masjid dan kuil itu bukanlah matlamat BJP, matalamat sebenarnya ialah untuk menang dalam pilihanraya saja.
Kalau di Malaysia pun begitu jugalah keadaannya, PAS boleh buat masjid seberapa banyak yang dia mahu di Malaysia ini sebagai sumbangannya kepada Islam tetapi perkara ini tidak pernah diberi keutamaan oleh PAS kerana ia tidak memberi atau menambah popular parti itu di kalangan rakyat, kerana rakyat tahu masjid yang disumbangkan oleh UMNO jauh lebih banyak di negara ini. Oleh itu PAS mecari-cari ruang yang tak mungkin dapat dipenuhi oleh UMNO seperti perlaksanaan hukum hudud dan Negara Islam yang bukanlah tersangat utama berbanding yang lain-lain itu.
Hukum Hudud dan negara Islam ini samalah seperti gunung yang tidak akan lari untuk dikejar. Malah pemimpin PAS Fadhil Nor sendiri mengakui Negara Islam itu bukanlah boleh dibentuk dalam masa yang singkat. Tetapi mereka tetap juga menggunakan isu ini untuk menampakkan partinya sebagai parti pejuang Islam. Namun begitu ramai juga dikalangan ahli-ahli PAS ini yang ikhlas menggunakan parti untuk memperjuangkan Islam. Mereka itu tidak mementingkan kemenangan sebaliknya mahu Islam itu tersebar dan dihayati oleh manusia.
Sebenarnya seorang manusia yang beriman dan takwa di parti mana pun dia berada pasti mempunyai cita-cita untuk mendirikan negara Islam dan melaksanakan hukum hudud tetapi cara dan pendekatan kearah mencapainya saja mungkin berbeza. Samalah seperti bila kita jumpa seorang bukan Islam, sebagai orang Islam mesti ada keinginan kita nak mengajak orang bukan Islam itu supaya memeluk Islam.
Satu cara kita katakan saja kepadanya, "masuklah Islam". Tetapi ada kemungkinan dia tidak masuk Islam malah tambah benci dengan ajakan kita itu. Oleh itu kita perlu bijak memilih pendekatan, ikutlah keadaan dan suasana. Kadang-kadang ada masanya niat yang murni itu lebih baik tidak dicakap-cakapkan atau dicanangkan.
Akibat menggunakan taktik menyemaikan perasaan benci kepada orang ramai terhadap parti lawan ini sangatlah buruk. Sebagai contoh orang-orang atau penyokong PAS menaruh perasaan benci bila berdepan dengan orang-orang atau penyokong UMNO, begitu jugalah sebaliknya. Ada di antara mereka itu bila berselisih jalan dengan penyokong parti lawan, mereka tidak sudi hendak memberi salam kerana dihalang oleh perasaan benci itu.
Walaupun dalam Islam dikatakan tidak sempurna iman seseorang itu kalau tidak mengasihi diri saudaranya seperti dia kasih kepada dirinya sendiri seperti tidak memberi apa-apa makna dalam dunia politik kepartian ini. Mereka seolah-olah memisahkan kehidupan politik itu dengan agamanya. Sepatutnya di dalam negara yang mengamalkan sistem dan semangat demokrasi, parti atau pihak yang kalah kena terima kekalahan mereka dengan hati yang terbuka. Tetapi oleh kerana perasaan benci telah tertanam tebal di hati mereka, perdana menteri negara ini hanya menjadi perdana menteri bagi penyokong dan parti yang menang sahaja, dan dia tidak dapat diterima sebagai perdana menteri bagi penyokong atau parti yang kalah.
Begitu juga dengan pihak yang menang, kerana benci kepada pihak yang kalah maka mereka tidak teragak-agak untuk menganaktirikan pihak yang kalah dalam melaksanakan program-program mereka. Akhirnya perasan benci sesama umat Islam makin menebal dan perasaan kasih sayang sesama saudara seIslam semakin pupus. Kita dibolehkan berbeza pendapat dan fahaman politik tetapi janganlah sampai mengorbankan persaudaraan dan kesatuan umah. Umat Islam boleh saja mempunyai berbilang parti politik tetapi biarlah bersaing secara yang sihat dan bermaruah.
Cara kedua untuk mendapat sokongan yang termasuk dalam kaedah jalan singkat ini ialah dengan cara menakut-nakutkan. Umpamanya parti pemerintah akan mengatakan kepada rakyat, jika parti pembangkang memerintah, negara ini akan mundur, tidak membangun dan rakyat jadi miskin. Ataupun kalau parti pembangkang menang negara akan jadi huru hara, pergaduhan antara kaum akan berlaku. Taktik ini samalah seperti yang digunakan oleh orang-orang tua zaman dulu bila hendak mencegah anak-anak mereka melakukan perkara-perkara yang kurang baik atau kurang sopan.
Contohnya kepada anak gadis dikatakan jika duduk-duduk dimuka pintu alamat mereka tidak dipinang orang, kalau menyanyi semasa memasak alamat dapat kawin orang tua. Kaedah ini memang baik untuk mencegah mereka dari melakukan perbuatan kurang sopan itu, tetapi buruknya anak-anak ini akan terus meyakini benda-benda itu sebagai satu kepercayaan yang sudah tentu boleh merosakkan akidah mereka yang dipanggil kurafat.
Begitu jugalah kepercayaan orang ramai yang mengatakan mereka akan jadi miskin atau tidak dapat makan kalau BN tidak memerintah negara ini. Taktik menakut-nakutkan dengan kemiskinan ini memang berkesan untuk terus mendapatkan sokongan rakyat tetapi ini akan merosakkan jiwa dan akidah orang ramai yang sepatutnya perlu diyakini Allah sahaja yang sebenarnya memberikan rezeki kepada hambanya bukannya parti politik atau makhluk.
Parti pembangkang juga seperti PAS menggunakan taktik menakut-nakutkan ini untuk menarik sokongan orang ramai dengan mengatakan siapa-siapa yang menyokong UMNO boleh menjadi kafir, murtad dan sebagainya. Tentulah orang Islam takut untuk menjadi kafir atau murtad, mereka yang mudah ditakutkan dengan cara itu tidak akan berani hendak masuk UMNO. Ayat Al Quran yang bermaksud, "Barang siapa yang tidak menghukum dengan hukum Allah……" menjadi begitu popular dikalangan ceramah parti pembangkang bila menjelang pilihanraya.
Padahal ayat itu bukanlah khusus Tuhan tujukan kepada hukum hudud. Ayat itu umum sifatnya tetapi pihak yang mengambil kesempatan telah memunipulasi dan mempolitikan ayat tersebut. Apabila sesorang itu mengatakan arak, judi, babi, zina atau sebagainya yang telah terang dan jelas dihukumkan haram oleh Allah dalam Al Quran kemudian ada pula orang yang menghalalkannya maka itulah yang sebenarnya dimaksudkan dan diberi amaran oleh Allah dengan ayat barang siapa yang tidak menghukum dengan hukum Allah……….
Hukum hudud memanglah hukum yang wajib kita percayai tetapi untuk melaksanakannya perlu kepada syarat-syarat lain yang perlu dilaksanakan terlebih dahulu, dan ia tidaklah menjejaskan akidah kita kalau ia belum terlaksana di dalam sesuatu masyarakat Islam itu. Malah di zaman khalifah Omar pun hukum hudud potong tangan telah ditangguhkan buat sementara kerana keadaan tertentu yang tak mengizinkan. Oleh itu pelaksanaan hukum hudud bukanlah keutamaan kalau suasana tidak mengizinkan.
Cara yang ketiga yang biasa digunakan oleh parti-parti politik untuk meraih sokongan ialah dengan membesar-besarkan kelemahan parti lawannya. Membesarkan kesalahan dan kelemahan parti lawan ini akan dapat menonjolkan partinya sebagai parti yang lebih baik yang patut dipilih oleh rakyat. Tentulah rakyat tidak akan hendak memilih parti yang banyak melakukan kesilapan dan banyak kelemahan.
Disamping itu kalau ada kesalahan-kesalahan moral yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin parti lawan memang giat sangatlah mereka untuk menghebahkannya, lebih dari itu mereka sanggup menokok tambah untuk menambah sensasi kepada cerita-cerita itu. Gejala fitnah, mengaibkan peribadi musuh politik sudah menjadi mainan biasa untuk meraih sokongan politik dari oarang ramai.
Kadang-kadang parti-parti pembangkang sentiasa berharap kalau apa saja dasar atau projek yang dijalankan oleh parti pemerintah mengalami kegagalan atau kerugian kerana ini akan memberi peluang kepada mereka untuk dijadikan modal politik mereka. Sebaliknya pula parti-parti pembangkang juga tidak rela untuk memuji atau menghargai segala kejayaan yang dicapai oleh parti pemerintah kerana ini tidak akan menguntungkan politik mereka. Memuji kejayaan parti pemerintah dalam melaksanakan program yang dijalankannya akan hanya menambah sokongan orang ramai kepada parti tersebut.
Di sini nampak tidak adanya keikhlasan dalam tindak tanduk atau ucapan yang dibuat oleh parti-parti politik ini. Mereka akan melakukan sesuatu itu jika dirasakan menguntungkan atau dapat memenangkan parti mereka. Jadilah seperti ada udang di sebalik batu. Pembelaan seorang gadis Melayu oleh Lim Guan Eng dianggap oleh sesetengah orang ada udang di sebalik batu, pembelaan Anwar Ibrahim oleh parti PAS pun di anggap oleh sesetengah orang semata untuk mengambil kesempatan politik. Pendek kata setiap tindakan oleh parti politik sentisa dicurigai keikhlasannya walaupun tak semua begitu.
Kerana ingin mendapat nama dan menjadi popular maka kita lihat banyak parti-parti politik ini bila memberi sumbangan atau menganjurkan satu-satu majlis, nama parti mereka ditonjolkan sebesar-besar yang boleh. Kalau ada wartawan atau pemberita buat liputan lagi bagus. Walaupun dalam Islam menekankan keikhlasan itu amat penting, sehingga kalau tangan kanan yang memberi jangan sampai tangan kiri tahu, tetapi demi menjaga keuntungan politik nilai yang baik itu kena diketepikan.
Pernah satu ketika di dalam forum di internet seorang telah tersalah lapor mengatakan parti PRM telah menganjurkan satu ceramah di Johor Bahru, tetapi sebenarnya parti PAS yang menganjurkan. Ini menyebabkan orang-orang PAS jadi marah dengan laporan itu. Kes itu dah jadi seperti peribahasa susu punya susu sapi dapat nama. Kalau kerja-kerja kita ikhlas kerana Allah tentulah masalah ini tidak timbul. Tetapi sebab niat mereka nak menang dalam pilihanraya maka nama yang popular itu menjadi sangat penting kepada mereka.
Tidak menghargai atau memperleceh apa saja kebaikan dibuat yang dibuat oleh parti lawan telah menjadi budaya kepada parti-parti politik di Malaysia ini. Memuji atau menghargai sumbangan parti lawan akan hanya menambah atau seperti menggalakkan orang ramai memberi sokongan kepada parti lawannya. Pernah di suatu masa dulu bila kerajaan parti BN menubuhkan Bank Islam, maka kedengaran komen parti PAS mengatakan membina Bank Islam di negara ini samalah seperti memasak daging halal bersama daging babi.
Walaupun parti PAS adalah dikatakan pendokong Islam tetapi kerana takutkan rugi dari segi sokongan politik dia tetap memperlecehkan usaha kerajaan BN itu, sekalipun Bank Islam itu memang selaras dengan Islam. Lagi satu contoh yang suka saya bawakan di sini berkaitan perkara ini ialah pada satu masa dulu kerajaan PAS di Kelantan telah mengharamkan papan-papan iklan yang menggunakan gambar wanita yang tidak menutup aurat, lalu di sambut oleh Menteri Agama UMNO Datuk Hamid Othman dengan komen, langkah kerajaan Kelantan itu akan hanya menyebabkan kehilangan pelabur-pelabur asing untuk melabur di Kelantan dan Kelantan tidak akan maju akibatnya. Walaupun dalam Islam cadangan kerajaan parti PAS itu memang baik, sesuai dengan akhlak Islam tetapi demi tidak mahu rugi dari segi sokongan politik terpaksalah dicari alasan supaya rancangan baik itu dapat diperlecehkan.
Mereka ini (parti-parti politik) menjadi rosak kerana kemenangan menjadi matlamat mereka. Mereka sanggup mengenepikan maruah dan prinsip semata-mata untuk menang. Kadang-kadang walaupun nama parti mereka parti Islam tetapi di dalam beberapa tindak tanduk mereka untuk memenangkan parti mereka, nampak bercanggah dengan nilai Islam itu sendiri. Kita kena ingat parti-parti politik ditubuhkan adalah untuk memberi pilihan kepada rakyat untuk memilih pemimpin atau parti yang terbaik untuk memerintah.
Sepatutnya parti-parti ini saling lengkap melengkapi, saling hormat menghormati dan saling bantu membantu dalam membina negara yang sama. Tetapi apa yang kita lihat di Malaysia parti pembangkang menganggap parti pemerintah sebagai pengkhianat negara manakala parti pemerintah menganggap parti pembangkang pula sebagai musuh negara. Mereka sanggup menggunakan dan menghalalkan taktik yang kotor dan tidak bermaruah semata-mata untuk menang dalam pilihanraya.
Di zaman dahulu biasa kita dengar seorang pahlawan tidak akan membunuh musuhnya yang tidak bersenjata. Apabila Hang Jebat menyerahkan dirinya kepada Hang Tuah untuk membunuhnya, tidaklah Hang Tuah itu melakukannya sedemikian melainkan diberinya Hang Jebat sebilah keris untuk bertikam.
Itulah jiwa pahlawan Melayu di masa dulu, mereka lebih rela mati ditikam musuh dari membunuh musuh yang tidak bersenjata. Mereka itu lebih mengutamakan maruah dari kemenangan. Sepatutnya nilai mulia seperti ini perlu dilanjutkan kepada segala aspek kehidupan rakyat Malaysia hari ini termasuklah dalam cara kita berpolitik.
Cubalah kita lihat dalam bidang sukan seperti bola sepak atau gusti, ada sesetengah orang atau pasukan sukan ini menggunakan taktik-taktik kotor dan jahat untuk meraih kemenangan. Tetapi pemain atau ahli sukan yang mementingkan maruah dan prinsip tentunya tidak sanggup menggadaikannya semata-mata untuk menang. Biasanya pemain atau ahli sukan yang baik dan mengutamakan maruah pasti mendapat sanjungan dan pujian penonton. Manakala yang menggunakan taktik kotor tetap dikeji dan dicaci penonton walaupun mereka itu menang.
Sealin dari itu parti-parti politik memang gemar memainkan isu-isu yang sensitif yang melibatkan agama dan kaum bagi menarik sokongan orang ramai kepadanya. Kadang-kadang parti-parti politik ini menimbulkan isu-isu yang sensitif ini pun bukanlah dengan hati yang benar-benar ikhlas. Kadang-kadang parti yang memerintah tidak berani menangani isu-isu yang sensitif kerana takut akan dipolitikkan oleh parti pembangkang.
Akhirnya parti pemerintah kadang-kadang tidak berani mengambil tindakan-tindakan yang akan menjadikan partinya tidak popular, sekalipun kadang-kadang tindakan itu baik untuk kepentingan negara. Umpamanya berkaitan pembakaran mercun, walaupun mercun ini telah lama di haramkan oleh kerajaan, tetapi oleh kerana isu ini telah dipolitikkan oleh parti masyarakat Cina kerana kononnya menyentuh sentimen kepercayaan masyarakat Cina maka tidaklah undang-undang itu dikuatkuasakan sangat.
Tiap-tiap tahun kita masih mendengar bunyi mercun. Tidak pernah keluar surat khabar adanya orang-orang yang ditangkap kerana menjual atau bermain mercun, sebaliknya yang selalu keluar surat khabar ialah adanya orang-orang putus jari kerana bermain mercun. Tetapi yang peliknya apabila parti masyarakat Cina ini memerintah seperti di Singapura boleh pula mercun itu diharamkan sama sekali, tidak ada pula masalah dengan kepercayaan. Itulah salah satu contoh dan mungkin banyak lagi isu-isu sensitif digunakan semata-mata untuk keuntungan politik tetapi bukan kerana ikhlas.
Rasanya tidaklah adil menyalahkan gejala-gejala buruk yang berlaku dalam parti-parti politik ini disebabkan sistem dan keadaan yang memaksa berkehendakkan seperti itu. Ada orang berpendapat, kalau terlalu sangat menjaga prinsip dan maruah sampai bila pun tidak boleh menang. Ini saya rasa adalah pandangan yang salah. Kita tidak boleh kata politik itu kotor, yang kotor ialah orang-orang yang terlibat dengan politik itu mengamalkan sikap kotor. Yang menambah pelik tu kadang-kadang orang-orang politik yang memperjuangkan agama juga bertindak dengan cara yang tak bermaruah yang tak selaras dengan nilai Islam. Jadilah politik mereka sebagaimana dikatakan bertopengkan agama.
Mungkin ramai orang politik yang tidak suka dengan tulisan ini, yang mungkin juga akan menyebabkan parti mereka menjadi tidak popular bila orang ramai membaca tulisan ini. Namun begitu saya telah cuba sedaya saya untuk mengikhlaskan hati semasa menulis artikel ini. Saya juga percaya ramai ahli-ahli politik yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan yang tidak akan menggadaikan maruah dan prinsip semata-mata untuk menang atau berkuasa. Keikhlasan itu memang sukar untuk dicapai tetapi ia adalah kekuatan yang tiada tolok bandingnya. Tidak dinafikan ramai orang yang ikhlas telah berjaya dan menang dalam perjuangan. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment