Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Wednesday, August 09, 2006

Hani Mohsin: Ada pengajaran kepada rakyat Malaysia

Pada usia 43 tahun, pelakon dan artis terkenal tanah air Hani Mohsin telah pun terlebih dahulu meninggalkan kita semua kerana serangan jantung. Umum tahu penyakit jantung telah menjadi pembunuh nombor satu rakyat Malaysia.

Adakah benar minyak sawit telah menyumbang kepada penyakit jantung? Inilah soalan yang kerajaan kita tidak berapa suka dan tidak selesa untuk diheboh-hebohkan. Atas kepentingan ekonomi, kerajaan sedaya upaya tidak mahu mengaitkan penyakit jantung dengan minyak sawit. Jika ada pihak-pihak samada dari dalam atau luar negeri yang cuba mengaitkannya, dakwaan itu akan diperangi habis-habisan.

Tidak dinafikan minyak sawit adalah barang komoditi utama negara yang memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara. Tetapi di sebalik itu ia bukanlah minyak masak yang baik dari segi kesihatan manusia terutamanya kepada jantung kita.

Minyak masak dari sumber sawit adalah jenis minyak tepu yang boleh mermudaratkan jantung. Sedangkan minyak zaitun adalah sangat baik digunakan sebagai minyak masak kerana minyak zaitun bukan minyak jenis tepu. Kalau kita ambil dua jenis minyak ini, iaitu minyak sawit dan minyak zaitun, simpan di dalam peti sejuk pada ruang yang biasa kita gunakan untuk menyejukkan air minuman untuk semalaman, kita akan dapati minyak kelapa sawit akan menjadi beku manakala minyak zaitun kekal cair seperti asalnya.

Namun begitu minyak zaitun harganya terlalu mahal berbanding minyak sawit. Selain dari minyak zaitun, minyak masak yang tidak tepu yang murah sikit adalah seperti minyak canola, minyak jagung dan minyak matahari. Orang Malaysia terutamanya orang Melayu memang banyak menggunakan minyak masak sawit dalam penyediaan makanan mereka kerana harganya yang murah. Namakanlah apa saja masakan yang ada di Malaysia dari lauk pauk, kuih muih, minuman, sebahagian besarnya tidak banyak sedikit ada mengandungi minyak sawit dan juga santan.

Kalau pun kita tidak dapat mengurangkan penggunaan minyak masak, mungkin pilihan yang kita boleh buat untuk mengurangkan kandungan minyak sawit dalam masakan ialah kita hanya menggunakan minyak masak sawit bila perlu melakukan gorengan ‘deep fry’ seperti menggoreng ayam atau ikan, manakala untuk menumis kita bolehlah gunakan minyak zaitun.

Sudah menjadi kemestian setiap pagi kita dengan rakan-rakan sepejabat akan melekat diwarung untuk menikmati roti canai atau nasi lemak atau mee goreng dengan secawan teh tarik atau kopi sebelum kita meneruskan kerja di pejabat. Bukan saja roti canai itu sendiri malah susu pekat manis yang digunakan untuk membuat teh tarik itu pun mengandungi minyak sawit.

Pernah sekali terpampang di dada akhbar perdana mendedahkan dakwaan seorang doktor yang mengatakan tabiat gemar minum teh tarik oleh rakyat Malaysia menjadi penyebab utama ramainya rakyat negara ini mendapat ‘stroke’. Selang berapa hari saja dakwaan itu telah disangkal oleh Menteri Kesihatan Dr Chu Soi Lek. Sebaliknya menteri itu menyalahkan tabiat kita yang tidak gemar bersenamlah yang sebenarnya menyebabkan ramai orang mendapat ‘stroke’.

Kadang-kadang kerana ingin memikirkan keuntungan ekonomi, perkara sebenar terpaksa disorokkan. Mungkin juga kerajaan telah pun memikirkan keuntungan yang kerajaan dapat hasil dari minyak sawit ini jauh lebih besar berbanding dari belanja yang dikeluarkan untuk merawat dan membeli ubat untuk rakyat yang sakit disebabkan oleh minyak sawit ini.

Selagi rakyat menerima rawatan dan perubatan secara percuma dari kerajaan mungkin ia tidak akan menyusahkan rakyat, tetapi sekarang ini banyak kita dengar rungutan dari rakyat yang tidak puas hati tentang khidmat yang diberikan oleh hospital-hospital kerajaan. Manakah keuntungan yang banyak yang kita dapat hasil dari sawit kita? Apakah masih tidak cukup untuk menampung keperluan dan kemudahan yang lebih baik untuk hospital kita?

Setiap benda yang Tuhan jadikan itu mesti ada kegunaannya, dan ada baik dan ada buruknya. Mungkin minyak sawit Tuhan jadikan tidak sesuai untuk digunakan sebagai bahan makanan tetapi mungkin ia baik untuk kegunaan lain yang perlu kita kaji dan teroka.

Hendaklah dalam keadaan apa pun kesihatan rakyat mestilah diutamakan dari semata-mata mencari keuntungan. Apalah ertinya kita dapat untung kerana hasil sawit tetapi dalam masa yang sama kita kena keluar belanja yang besar juga untuk memberi rawatan kepada rakyat disebabkan penyakit yang didatangkan oleh minyak ini.

Kerana mengutamakan keuntungan jugalah ada menteri yang tidak teragak-agak mencadangkan supaya pusat hiburan dibuka hingga ke jam lima pagi. Tetapi semua kita tahu pusat hiburan jugalah menjadi tempat membiaknya penyalahgunaan dadah dan masalah sosial yang lain. Secara mata kasarnya memang banyak keuntungan yang diperolehi dari cadangan itu tetapi belanja yang kita kena keluar untuk mengatasi masalah sosial akibatnya mungkin jauh lebih besar.

Masalah dadah akan menyebabkan kerajaan menanggung belanja untuk membuka pusat-pusat pemulihan, rawatan untuk pesakit HIV dan AIDS. Malah negara akan kehilangan tenaga kerja yang produktif disebabkan ramainya anak muda terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Untuk mendapatkan duit membeli dadah juga penagih-penagih sanggup merompak, meragut, membunuh dan menjual barang-barang curi, yang kesannya boleh mendatangkan ketakutan kepada orang ramai dan pelancung.

Kadang-kadang ada juga keluar berita di surat khabar, pihak penguatkuasa kerajaan Singapura menahan sayur-sayur yang dibawa dari Malaysia untuk dijual di sana kerana mengandungi kadar racun serangga yang melebihi dari yang mereka tetapkan. Tetapi kita tidak pernah pula diberitahu sayur-sayur itu dilupuskan, yang pastinya tentulah sayur yang beracun yang ditolak Singapura itu dijual semula dikedai-kedai di Malaysia. Dan tidak pernah kita dengar walau sekali penguatkuasa Malaysia menahan sayur dari dijual di pasar kita kerana berlebih racun serangga.

Dasar kita yang hanya mementingkan keuntungan jangka pendek sebenarnya akan mendedahkan rakyat kita kepada berbagai penyakit. Jangka panjangnya kita akan rugi kerana terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk menyediakan kemudahan kesihatan termasuklah membina hospital dan kelengkapannya serta menggaji doktor yang ramai. Akhirnya tidak kemanalah kita.

No comments:

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com