Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Saturday, December 08, 2012

Facebook dan soal kepuasan memilih jodoh



Sebelum tahun 1960 an dahulu, soal jodoh banyak ditentukan oleh ibubapa atau keluarga. Perasaan cinta antara pasangan suami isteri hanya dipupuk selepas mereka berkahwin. Di waktu itu mereka tidak dapat memilih teruna atau gadis untuk menjadi suami atau isteri mengikut selera mereka. Mereka terpaksa menerima suami atau isteri yang telah ditentukan oleh keluarga seadanya, buruk atau baik terpaksa diterima.

Walaupun jodoh ditentukan oleh keluarga tetapi ini tidak bermakna mereka tidak boleh hidup bahagia dalam menjalani kehidupan rumahtangga. Malah kebanyakan pasangan ini kekal jodoh mereka hingga ke akhir hayat.

Selepas tahun 1960, wanita yang telah mendapat pendidikan sama seperti kaum lelaki, telah mula banyak menceburi bidang pekerjaan, mereka tidak lagi duduk di rumah seperti wanita-wanita sebelum itu. Mereka berpeluang untuk mengenali lebih ramai kaum lelaki. Mereka boleh berhubung melalui surat untuk mencurahkan perasaan mereka antara satu sama lain. Di waktu itu penggunaan telefon untuk berhubung begitu terbatas sekali.

Secara perlahan-lahan perkahwinan yang diaturkan keluarga telah beransur pupus. Teruna dan gadis lebih suka memilih kekasih mereka mengikut selera mereka. Setelah berkenal samada di tempat kerja atau berkenalan di satu majlis, atau dikenalkan oleh kawan-kawan, mereka akan jatuh cinta dan merancang untuk berkahwin.

Di waktu itu perkenalan hanya terbatas di tempat kerja atau di bandar atau di daerah di mana mereka tinggal saja. Walaupun pilihan untuk menjadi bakal suami atau bakal isteri adalah terletak di tangan mereka sendiri, tetapi pilihan masih lagi terbatas, kerana peluang untuk berkenalan dan menemui rakan lelaki atau rakan wanita masih terhad di kawasan yang kecil.

Kata pepatah, kalau tidak ada rotan, akar pun berguna. Mereka tidak boleh menunggu ‘rotan’ yang tidak muncul-muncul, oleh itu, kalau ada ‘akar’ pun sudah memadai. Malah bagi mereka, ‘akar’ yang dipilih sendiri itu lebih baik dari mendapat suami atau isteri yang dipaksakan oleh keluarga mereka. Walaupun mungkin bakal suami atau bakal isteri yang hendak mereka kahwini itu bukanlah lelaki atau wanita yang mereka impikan, sekurang-kurangnya ia telah mereka kenali hati budinya.

Apabila masuk tahun 2000, teknologi internet dan handphone telah melanda Negara ini. Kesan dari ledakan teknologi internet dan handphone ini juga telah mengubah banyak tatacara kehidupan masyarakat kita. Sekarang ini, anak muda boleh saja berkenalan dengan siapa saja yang mereka suka. Kawasan perkenalannya tidak lagi hanya terbatas kepada kawasan berhampiran tempat tinggal mereka, tetapi boleh menjangkau ke serata dunia.

Dengan hadirnya teknologi internet/handphone dapat membantu anak-anak muda memaksimumkan kepuasan dalam memilih pasangan hidup mereka. Mereka boleh memilih bakal suami atau bakal isteri yang mereka impikan.

Apakah, apabila telah berjaya memiliki pasangan hidup seperti yang mereka impikan dapat menjamin jodoh mereka kekal hingga akhir hayat dan hidup bahagia?

Biarkanlah anak muda mencari jodoh mereka dengan cara teknologi yang ada di zaman mereka. Yang timbul masalah sekarang ialah kepada pasangan suami isteri yang berada di zaman peralihan antara zaman surat pos ofis dengan teknologi Facebook.

Ramai pasangan suami isteri yang saya sebut sebagai mendapat ‘akar’ tadi mula berangan-angan untuk mencari ‘rotan’ impian mereka (yang tertangguh dulu) melalui teknologi Facebook ini.

Ramai suami dan isteri yang telah curang dan berlaku perceraian akibat kejutan teknologi internet ini. Dengan internet dan handphone mereka dengan mudah dapat mengatur pertemuan dengan siapa saja yang mereka suka secara rahsia tanpa diketahui oleh pasangan mereka.

Apabila teknologi berubah, ia juga akan turut menggugat kehidupan masyarakat kita. Sementera masyarakat kita dapat menyesuaikan kehidupan mereka dengan gelombang teknologi baru itu, banyaklah gejala negatif akan terhasil akibatnya. Serupalah macam teknologi media TV mula-mula diperkenalkan kepada masyarakat dulu, semuanya ada baik dan buruknya.

Apa yang penting ialah penghayatan kepada nilai-nilai yang baik dan murni yang digariskan oleh agama kita. Ibarat ikan yang hidup di laut, air laut yang masin tidak akan memasinkan dagingnya, tetapi setelah ikan itu mati, sedikit garam pun sudah cukup untuk memasinkan dagingnya. Begitu jugalah, bila hati kita telah mati dengan nilai agama, pengaruh jahat akan mudah menguasai diri kita.

Internet dan handphone bukanlah penentu muktamad. Seperti kata P. Ramlee, “Jodoh, rezeki, kebahagiaan itu adalah anugerah dari Tuhan jua”. Kita hanya boleh merancang tetapi Tuhan juga menentukannya.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com