Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Friday, February 05, 2010

If you think there is no God, you're totally wrong

By using a computer, one can do many things from word processing, data processing, even sending email and chatting to our friends whom are thousands of kilometers away.

Surely the hardware and the software of the computers cannot be built by itself. We all know, without a doubt that computers are developed and built by man.

From sophisticated equipment like computers and robots to as simple equipment such as tooth pick, these are all man-made, not created by itself or naturally built.

Logically, the brain that created the sophisticated computers and robots, are surely more sophisticated than the computers and robots itself.

A very high intelligent value is needed in creating the brain, heart and blood system, kidney and its filtration system, eyes, ear and other parts of our body.

If camera needs a lens to focus on an object image while taking a photo, our eyes are also provided with a flexible lens for the same purpose, but who installed the lens into our eyes?

To move the mechanical arms of robots, there is a need to a micro computer programming and control system which works based on the sensors. This principle also applied in our body, where our brain with the help of eyes as sensing element can control our arms to move smoothly as we will. It may looks easy but it is a very complicated process when come to apply it to a robot, yet not as perfect as ours.

Basically, we are created perfect enough to live comfortably on this earth. We can hear sound and see clearly without any aids. On top of that we were given a very priceless organ, the brain, with which we are able to invent, improvise and develop the world to improve our living standard.

From a mere sketch on a piece of paper a multi storey building can be built. A big tree starts from a tiny seed. We ourselves are also developed from a tiny of sperm which contains all the information of our future characters and patterns. Who did all such things? It is impossible that those things are created by natural way. Therefore, there is no doubt of the existing of God. The more you think, the more you will concur to the idea that God exist.

Why Islam?
Generally man cannot deny the existing of God. Deep in their heart, they know there is a God. That’s why many human beings always search for their God. As a result, most man in this world believes in God through various forms of religion beliefs. Just to name several, we have the Hindus, Buddhist, Sikhs, Jews, Christians and Islam throughout the world.

All these religions have their own perception about their God. From the Islamic views, we have the one and only God which in Arabic, we call him as "Allah".

According to Islam teaching, all the religions in this world were originally from the same source, it is from Allah. Allah reveals His teaching and guidance through His messengers or prophets which are assigned from people of the community. For example Jesus and Moses are the prophets assigned by Allah for their people at their time, and then become Christian and Jew religion respectively.

The last prophet assigned by Allah for the modern era is Muhammad, the holly book Quran given to Muhammad by Allah is originally maintained and have never been altered or changed since the day of its revelation.

There have been different versions of Bible and Torah, these two holly books are not guaranteed as original copies. So there is no guarantee that the information in the holly books have never been changed or manipulated.

My reason in saying that, many of science findings in the middle age era has contradict with the church or God’s views. Many scientists have been killed because they are considered as church opponent. A measure had been taken to solve this problems, secularism has been introduced separating the religion from the government.

In fact, it is not because the science does not agree with religion and God, but the truth of the religion has been altered and manipulated by man. As result, the religion no longer represents the true guidance from God but the view from those religions broker.

As a result, many followers are disappointed with the religion, since they know that the religion is true but why are some teachings not in sequence with science. There is a conflict of truth between religion and science, thus resulting to many becoming atheists and freethinkers.

But in Islam, Quran has always agreed with science. Islam also has faced the same problem of misinterpretation by his followers and religious leaders but fortunately, Islam has Quran which has never been changed and altered. So Muslims can easily refer, at anytime, to Quran should anybody wants to hijack the Islam teaching for their own interest or agenda.

Wednesday, January 27, 2010

Zulkifli Nordin mempunyai hak


Itulah hak yang telah dijamin oleh sistem demokrasi, dimana setiap orang berhak dan bebas memberi pendapat selagi tidak menyalahi undang-undang dan perlembagaan Negara.

Kalau PKR dan PR benar-benar mahu memperjuangkan kemurniaan demokrasi, tentunya pandangan yang berbeza seperti YB Zulkifli Nordin ini bukan merupakan masalah kepada parti itu, sebaliknya ia dilihat sebagai amalan yang sihat dalam demokrasi dan parti.

PKR dan PR tidak boleh terikut-ikut dengan cara UMNO dan BN. UMNO dan BN melihat pendapat yang berbeza sebagai ancaman kepada parti, mereka yang berbeza pendapat dengan pemimpin parti akan mengalami nasib disingkir dan dicantas.

Pada satu masa dulu sayap pemuda UMNO terkenal mempunyai pandangan yang sangat berbeza dengan pemimpin parti. Inilah yang menjadikan UMNO kuat dan dipandang tinggi ketika itu, mereka telah meraikan perbezaan pendapat. Tetapi kemudian keadaan itu tidak berlaku lagi dalam UMNO, selepas itu perbezaan pendapat berakhir dengan perpecahan, penyingkiran dan penubuhan parti baru.

PKR dan PR harus ada keunikan tersendiri, tidak harus mengikut UMNO dan BN dalam segala tindakan. Pendapat Zulkifli Nordin belum tentu betul, tetapi kita tidak boleh menghalang beliau dan orang lain dalam memberi pendapat mereka. Inilah perjuangan yang perlu ditegakkan oleh PR dan PKR, menjadikan rukun demokrasi benar-benar diamalkan di Malaysia.

Walaupun Zulkifli Nordin nampak seperti membebankan PKR, tetapi PKR tidak patut bertindak terikut-ikut seperti cara UMNO yang selalu menyekat peluang ahli-ahlinya melahirkan pendapat yang berbeza. Kalau PKR dan PR mahu memperjuangkan kemurnian demokrasi, mereka harus memberi ruang untuk berhujah dan memberi pendapat seluas-luasnya kepada siapa jua.

Inilah keunikan yang harus ada pada PR. Kalau tidak, apa bezanya dengan UMNO dan BN. Keunikan inilah yang akan membuatkan orang ramai berasa selesa berada dalam PKR dan PR, kerana mereka bebas dapat memberi pandangan dan pendapat, tanpa bimbang dari dicantas dan disingkir.

Samada pandangan dan tindakan beliau itu betul atau tidak, serahkanlah kepada ahli-ahli parti dan orang ramai yang menentukan nasibnya, kerana di akhirnya orang ramai juga yang akan membuat pilihan.

Wednesday, January 20, 2010

Penangan Blog

SAYA hanya aktif sebagai ahli blog bermula tahun 2006. Sebelum itu saya banyak mengambil bahagian menulis dalam internet dengan meyertai perbincangan dalam forum-forum dan menulis ke Malaysiakini dalam ruangan Surat Pembaca. Saya suka menulis perkara-perkara atau isu-isu yang berkaitan sosial, pelajaran dan politik.

Tidak dinafikan, dengan adanya media bebas yang baru menggunakan internet ini telah banyak mengubah cara pandangan dan pemikiran rakyat Malaysia. Kalau dahulu rakyat hanya terdedah kepada satu pandangan sahaja, yang mana media dimonopoli oleh parti yang memerintah. Di waktu itu kalau kita tidak suka dengan Berita Harian kita boleh baca Utusan Malaysia, kalau tidak suka Utusan Malaysia kita boleh baca Berita Harian. Itu sahaja yang kita boleh pilih.

Kemuncak kejayaan pengaruh media internet kepada persepsi politik rakyat Malaysia telah ditunjukkan dalam pilihanraya 2008. Corak keputusan pilihanraya 2008 itu sangat jauh berbeza dengan keputusan-keputusan sebelum itu. Lima negeri telah jatuh ke tangan pembangkang (Pakatan Rakyat), di samping itu, hampir keseluruhan kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan juga dikuasai oleh parti pembangkang.

Terus terang saya katakan, sayalah antara orang yang paling gembira dengan keputusan pilihanraya itu. Saya gembira kerana rakyat Malaysia telah dapat melepasi halangan psikologi minda yang selama ini mereka telah ditanamkan dengan pemikiran yang pembangkang mustahil boleh menang di Malaysia.

Hasrat saya hendak melihat rakyat Malaysia telah matang dan faham tentang politik dan demokrasi seperti telah tercapai. Dengan itu selepas sahaja pilihanraya 2008 saya telah bertekad hendak bersara dari menulis hal politik dalam internet mahupun blog. Rasanya tidak ada apa lagi yang perlu saya tulis kerana semua apa yang saya citakan telah tercapai.

Tetapi sifat semulajadi saya yang tidak boleh berdiam diri bila melihat kepincangan dan ketidakadilan yang berlaku dalam masyarakat Malaysia menyebabkan saya terus terpanggil untuk menulis. Seperti rakan-rakan pemblog yang lain, saya akan mengkritik, menegur dan memberi pandangan terhadap isu-isu semasa dan politik yang berlaku dalam Negara kita.

Blog saya, Isu Semasa, Sosial dan Politik (ISSP) telah menjadi sumber maklumat utama kepada saya untuk mengetahui perkembangan semasa yang berkaitan politik dalam Negara kita. Dalam ‘blog list’ saya tersenarai lebih 200 blog yang secara aktif melapur dan memberi pandangan dari masa ke semasa tentang segala peristiwa yang berlaku dalam Negara kita. Bagi saya, pandangan mereka adalah merupakan pandangan umum rakyat Malaysia yang tidak boleh diambil ringan, dan blog mereka juga mempunyai pengaruh dan pengikut yang tersendiri.

Ada di antara blog-blog itu seperti telah mencapai taraf institusi di mana mempunyai integriti, kredibiliti dan identiti yang tersendiri.

Blog Tun Dr. Mahathir Mohammad, Che Det, boleh dikatakan sebagai bloglist ‘wajib’ bagi semua pengendali blog. Tun Mahathir suka memberi pandangan terhadap sesuatu isu semasa, dan orang ramai suka hendak mendengar pandangan dari Tun.

Blog yang dikendalikan oleh Dato’ Kadir Jasin juga tidak kurang popular. Sebagai bekas wartawan, Kadir Jasin pandai menulis dengan gaya yang menarik. Semua orang sentiasa tertunggu-tunggu ‘posting’ terbarunya.

Blog Cina Islam yang dikendalikan oleh ADUN Titi Serong, sangat popular kerana menjadi tumpuan orang ramai untuk mengetahui perkembangan terkini detik-detik ‘panas’ di DUN Perak tidak lama dulu.

Blog yang dikendalikan Nobisha pula banyak memberi nasihat, panduan dan pendidikan kepada rakan-rakan blog yang lain. Nobisha sangat mengutamakan etika, beliau seorang yang adil dalam memberi pandangannya. Seorang pengendali blog yang baik dan boleh dianggap guru kepada pengendali blog politik.

Blog Tukar Tiub yang dikendalikan oleh Hishamuddin Rais sangat sinonim dengan gelak sindiran kah kah kah kah kah. Mungkin beliau berasa lucu melihat gelagat orang Melayu memperbodohkan orang Melayu sendiri. Beliau melihat sesuatu isu dari sudut yang tersirat disebalik apa yang disurah. Orang ramai terutamanya golongan muda sangat suka dengan cara beliau membongkar sesuatu isu. Seorang pemikir yang begitu luas pengalaman. Namun bau badannya masih hangit dengan sosialis.

Blog Nur Aflah, salah satu blog politik yang dikendalikan oleh wanita yang begitu menonjol. Sudah menjadi sifat semulajadi wanita yang suka mengubah-ngubah kedudukan perabut di rumah, jangan terperanjat kalau setiap kali kita menjenguk blognya, setiap kali juga rupa ‘layout’ blognya berubah.

Blog Dari Lensa ZI dikendalikan oleh Dato’ Zaid Ibrahim. Saya sangat menyukai pandangan Dato’ Zaid, kerana dia adalah juga seorang pejuang demokrasi yang bebas, telus dan adil. Kita tidak terkilan kalau anak kita dihukum kerana melakukan kesalahan dan melanggar undang-undang, tetapi yang kita terkilan kalau anak kita dihukum hanya kerana tidak mempunyai wang yang banyak untuk membeli hakim.

Blog yang dikendalikan oleh bekas Mufti Perlis, Dr. Asri, sangat diminati ramai oleh umat Islam di Malaysia. Pandangannya terhadap sesuatu isu yang berkaitan permasalahan agama dianggap sebagai fatwa yang boleh diterima pakai. Seorang berfikiran terbuka, tidak terikat kepada pandangan lama yang jumud. Diharap beliau terus kekal sebagai orang yang tidak berparti dan terus menyumbang kepada dunia Islam dalam menghadapi dunia moden hari ini.

The Antics of Husin Lempoyang, blog yang membawa gaya P. Ramlee dalam memberi pandangan dan kritikan. Ceritanya berlaku di Negara Antah Berantah tetapi yang terkena pedasnya kita di Malaysia.

Blog Paneh Miang, ini blog dari Pak Sedaro yang selalu mengingatkan anak-anak sedaro dio tontang banyak isu. Bilo baco blog ni, dapek jugolah mengubek rindu kepado cakap-cakap tompek kito sambil menjongok apo yang berlaku dalam nogori bawah pimpinan Mad Hasan ini. Blog ini juga bersedaro dengan blog Tukang Sapu.

Blog Malaysia Waves diminati oleh ahli-ahli PAS kerana banyak mengkritik dan mendedahkan individu-individu yang dianggap menjadi proxy UMNO dalam PAS. Tulang Besi seperti seorang budak yang nakal dalam parti PAS.

Ridhuan Tee, satu blog yang agak baru, tetapi telah mendapat perhatian orang ramai dengan cepat. Blog ini memaparkan pandangan saudara Ridhuan yang juga tersiar dalam akhbar Mingguan Malaysia. Tulisannya agak berani, menegur puak-puak yang bersikap ultra kiasu. Beliau seperti lebih Melayu dari Melayu.

Blog Zulkifli Nordin juga tidak asing kepada kita, seorang yang mempunyai prinsip dan pendirian terutamanya dalam menegakkan keadilan. Oleh itu, kadang-kadang pandangannya berbeza dengan pandangan pimpinan utama Pakatan Rakyat.

Banyak lagi blog-blog yang begitu unik yang dibaca dan diikuti oleh ramai orang yang tak mungkin dapat saya komen di sini, tetapi apa pun mereka semua telah banyak memberi sumbangan kepada kebaikan kepada Negara yang tercinta ini.

Pandangan kita mungkin berbeza, tetapi ini tidak bermakna kita bermusuhan. Demokrasi memberi kita semua ruang untuk memberi pandangan. Dengannya juga pandangan yang terbaik akan dapat sampai ke pengetahuan semua lapisan masyarakat.

Monday, January 11, 2010

Kalimah Allah, Permainan politik parti Cap Keris tak menjadi.


Mungkin pada asal tujuannya parti Cap Keris hendak mengambil kesempatan dari isu kalimah Allah ini untuk mengembalikan sokongan orang Melayu Islam kepada parti itu. Kononnya isu kalimah Allah ini telah menggugat kesucian Tuhan orang Melayu oleh golongan bukan Islam, maka parti ini telah menyeru satu lagi keperluan kepada apa yang dinamakan ‘perpaduan umah’ bagi mengembalikan kekuatan Islam di negara ini.

Parti Cap Keris ini menerusi badan-badan NGO yang ditajanya seperti Pewaris, Perkasa dan Perkida telah cuba mendakyah orang-orang Melayu, betapa orang-orang bukan Islam telah berani menyentuh perkara-perkara yang berkaitan agama Islam seperti yang berlaku pada isu kalimah Allah itu.

Menggunakan isu kalimah Allah ini, mereka telah menggerakkan ‘perpaduan umah’ bagi menyatukan umat Melayu dalam satu suara politik. Apakah tujuan mereka itu benar-benar untuk memperkuatkan Islam atau hanya sekadar untuk memperkuatkan kuasa politik mereka. Seruan mereka itu telah dipandang sinis oleh berbagai pihak, kerana selama ini parti Cap Keris bukanlah parti yang dianggap serius untuk membela Islam.

Disebalik sambutan dingin dan berbelah bahagi dari orang-orang Melayu yang lain dari parti PAS dan PKR, kepada orang-orang berfikiran finatik dan taksub, keadaannya telah menjadi terlebih lajak sehingga mengakibatkan beberapa gereja telah dibom dan dirosakkan.

Sehingga kini polis masih belum dapat menangkap orang yang melakukan kerosakan terhadap gereja-gereja ini. Dimanakah polis kita yang dikatakan sangat cekap itu. Kita mahu sangat perosak-perosak ini didedahkan dan menerima hukuman yang setimpal, dan juga kita mahu tahu kalau ada, pihak manakah sebenarnya yang menjadi dalang di belakang kejadian itu.

Apakah pelakunya sehebat perisik CIA sehingga langsung tidak boleh dikesan, kalau polis kita tidak mampu mengesannya, mungkin kita boleh meminta bantuan pakar dari luar negara.

PM Najib mungkin tidak menyangka isu kalimah Allah ini berakhir dengan perbuatan pengeboman dan merosakkan gereja, beliau mengutuk orang yang melakukannya dan dengan segera memperuntukkan RM500,000 kepada gereja yang rosak itu dan disiarkan dalam semua media perdana. Rasa perihatin yang beliau tunjukkan itu bagi mengelakkan beliau dan parti beliau dari dikaitkan dengan perkara buruk itu.

Dalam masa yang sama Hisamudin Husein sebagai Menteri Keselamatan Dalam Negeri turut tumpang semangkuk dalam isu pengeboman gereja itu. Dia ada alasan kukuh untuk tidak menghapuskan ISA.

Rasanya hingga artikel ini ditulis, ISA belum dimansuhkan lagi, tetapi kenapa pengeboman dan merosakkan gereja itu berlaku juga. Malah sudah beberapa hari berlalu, suspek masih bebas dan belum dapat ditangkap.

Kalau benar akta ISA itu sebagai pencegahan, tetapi kenapa ia tidak dapat juga mencegah berlakunya pengeboman terhadap gereja seperti yang telah terjadi itu.

Monday, January 04, 2010

Tuhan orang Kristian pun Allah juga.

MUNGKIN lain orang lain pendapatnya. Bagi aku senang saja, buat apa nak susah-susah kepala dengan perkara yang tak patut disusahkan.

Sebagai orang Islam yang beriman, aku percaya tuhan orang Kristian pun Allah juga. Tuhan yang menciptakan orang Kristian adalah juga tuhan yang menciptakan orang Islam dan orang Budha, dan tuhan itu jugalah yang menciptakan lembu dan kambing.

Apa kita perlu ambil peduli kalau mereka nak sebut nama tuhan mereka dengan nama apa pun. Itu soal rumahtangga mereka, kenapa kita pulak yang nak menyibuk dan menyalak tak tentu pasal.

Lebih baik kita buat kerja kita, tumpukan usaha macamana nak bawa anak-anak muda kita bertakwa kepada Allah dan sentiasa mengabdikan diri kepada penciptanya. Banyak anak muda kita masa kini telah tersasar dari akhlak yang mulia dan mereka tidak lagi berasa takut untuk melakukan dosa. Mereka seperti telah bertuhankan hiburan dan nafsu.

Janganlah kita cuba mengalihkan masalah yang kita hadapi kepada benda-benda yang tidak mendatangkan faedah langsung kepada agama. Apa perlunya kita pergi ke jalan-jalan sambil meracau-racau seperti kena sawan yang kononnya seperti nak membela agama, betulkah dengan perlakuan kita itu akan menjadikan agama kita lebih mulia?

Monday, December 28, 2009

Kekangan untuk merealisasikan idea inovasi dan kreatif di Malaysia

POLISI kerajaan sekarang yang menggalakkan ekonomi berasaskan inovasi dan kreatif sangat kena pada masanya. Pada beberapa dekad akan datang, lebih banyak negara akan melangkah ke dalam kumpulan negara-negara maju. Oleh itu pada masa mendatang ini, kumpulan negara-negara maju ini akan menghadapi persaingan yang sengit sesama mereka. Tidak ada cara lain untuk mereka mengatasi atau menonjolkan diri dari segi ekonomi berbanding rakan-rakan mereka yang lain melainkan menggunakan kelebihan inovasi dan kreativiti. Dengan kata lain, faktor inovasi dan kreativiti akan memberi kelebihan atau nilai tambah kepada sesebuah negara untuk bersaing dengan negara-negara maju lain di dunia ini.

Sumber bumi atau sumber asli kita yang semakin berkurang, pengeluaran hasil pertanian dan ternakan yang tidak ekonomik dan persaingan dengan negara-negara lain, membuatkan kita tidak ada pilihan selain dari menyuntik amalan inovasi dan kreatif dalam kegiatan ekonomi dan urusan kehidupan kita bagi menjadikan ekonomi negara kita lebih cekap dan berdaya maju.

Finland telah menunjukkan contoh terbaik kepada kita di mana inovasi dan kreativiti telah memberi sumbangan besar kepada kekuatan ekonomi negara itu. Jenama telefon bimbit Nokia tidak dapat dipisahkan dari kejayaan ekonomi negara itu, ia merupakan hasil inovasi dan kreatif rakyat Negara itu sehingga ia menjadi nama terunggul dan peneraju utama kepada telefon bimbit seluruh dunia. Rakyatnya yang kreatif dan berinovasi telah mencetuskan rekacipta yang mendapat sambutan dan diterima oleh manusia seluruh dunia hari ini.

Tetapi budaya rakyat yang kreatif dan inovasi saja tidak cukup untuk melonjakkan nama dan ekonomi negara tanpa ada kumpulan sokongan yang boleh menzahirkan semua idea yang kreatif dan inovasi ini ke dalam bentuk yang boleh di manafaatkan oleh masyarakat.

Inilah masalah utama yang dihadapi oleh penyelidik dan pencipta di negara kita terutamanya di universiti-universiti tempatan. Kita mempunyai penyelidik-penyelidik yang kreatif yang telah menghasilkan berbagai produk, penemuan baru dan ciptaan teknologi yang hebat. Tetapi sayangnya tidak ada kemampuan untuk memasyarakatkan semua inovasi dan ciptaan kreatif mereka ini.

Kebanyakan hasil penyelidikan dan ciptaan itu dihasilkan dalam bentuk ‘prototype’ yang digunakan hanya sekadar untuk mempamerkan konsep dan keputusan bagi tujuan memenuhi syarat dalam satu-satu penganugerahan persijilan akademik mereka.

Professor dan penyelidik yang mencetuskan idea dalam menghasilkan ciptaan yang kreatif dan penemuan baru ini bukan sahaja mahu ia tersimpan dalam buku thesis atau kertas kerja, tetapi mereka juga mempunyai hasrat supaya ideanya itu dapat dimanafaatkan kepada orang ramai dalam bentuk yang boleh digunakan.

Seperti terdapat lompang antara pihak penghasil idea yang kreatif dan orang ramai sebagai pengguna. Oleh itu perhatian perlu diberikan dalam hal ini supaya setiap hasil inovasi dan kreatif penyelidik dan professor di universiti-universiti kita dapat dikomersialkan untuk kegunaan orang ramai.

Tentu tidak munasabah kalau kita hanya membiarkan para penyelidik dan pencipta ini membuat semua kerja, dari penghasilan idea hingga kepada peringkat fabrikasi dan pemasaran. Seharusnya mesti ada di universiti-universiti diwujudkan juga unit sokongan yang boleh membantu dalam kerja pembangunan dan fabrikasi kepada idea-idea baru dan kreatif yang dicetuskan itu.

Untuk menjadi negara maju, kita sangat perlukan unit sokongan ini yang sentiasa proaktif, cekap dan berkemahiran tinggi. Dengan itu setiap idea baru yang dicetuskan oleh pencipta dan penyelidik akan serta merta dapat sampai dan digunakan oleh orang ramai tanpa menunggu masa yang lama. Kalau ada senerio seperti ini barulah budaya inovasi dan kreatif itu akan benar-benar membawa manafaat kepada kemajuan dan ekonomi negara kita.

Bayangkan kesukaran yang dihadapi oleh professor di universiti tempatan hendak menulis buku ilmiah di masa ini, beliau terpaksa melakukan hampir semua kerja dengan menggunakan tenaga sendiri, dari kerja menaip, meletak atur dan melukis rajah-rajah. Ini bukan sahaja boleh melemahkan semangat untuk beliau menulis tetapi juga mengambil masa yang panjang bagi menghasilkan sebuah buku. Proses yang meremehkan ini tidak dialami oleh professor di negara-negara maju seperti USA dan Jepun.

Di Jepun misalnya, kalau hari ini ada satu idea kreatif atau ciptaan baru dicetuskan oleh professor atau penyelidik, ia tidak akan mengambil masa melebihi enam bulan untuk ciptaan itu dijual di kedai untuk kegunaan orang ramai. Disinilah pentingnya peranan unit sokongan tadi dalam merealisasikan semua idea kreatif dan inovasi dapat dimanafaatkan dan sampai kepada masyarakat dengan cepat.

Di zaman internet dan komunikasi digital ini, jangka masa yang diambil untuk memasarkan suatu barangan baru bermula dari tercetusnya idea di atas kertas yang melebihi enam bulan, sudah boleh dianggap sebagai idea lapuk atau ketinggalan, apatah lagi kalau terpaksa memakan masa bertahun-tahun.

Inilah perkara-perkara yang kita perlu beri perhatian kalau kita mahu menyerapkan budaya inovasi dan kreatif bagi meyediakan rakyat negara ini untuk melangkah menjadi negara maju yang mampu bersaing dengan negara-negara maju lain. Disamping kita pesat menyediakan suasana yang kondusif bagi menyuburkan budaya inovasi dan kreatif berkembang, kita juga harus menyediakan fasarana yang cekap bagi menzahirkannya bagi membolehkannya dimanafaatkan dan digunakan oleh masyarakat tempatan dan masyarakat dunia.

Barangan dan khidmat yang dihasilkan dari amalan inovasi dan kreatif ini bukan sahaja akan dapat membantu dan menjadikan aktiviti dan urusan hidup rakyat negara kita bertambah cekap, tetapi kita juga boleh menjual dan memasarkannya keseluruh dunia. Dengan ini ia dapat memberi nilai tambah kepada kegiatan ekonomi negara kita.

Friday, December 25, 2009

Kehilangan Enjin Jet F-5E, Pengurusan Malaysia yang korup

MENJIJIKKAN dan memalukan, itulah yang dapat kita simpulkan bila membaca berita pendedahan kehilangan enjin jet pejuang F-5E kepunyaan TUDM beberapa hari yang lalu.

Ini hanyalah secebis kisah dari berpuluh-puluh kisah salah laku yang berlaku dalam pengurusan agensi-agensi kerajaan mahupun swasta di negara kita yang dilapur dan didedahkan, dan mungkin ada beratus-ratus lagi salah laku yang tidak pernah didedah dan tidak pernah diambil endah.

Semua kes-kes salah laku ini bukan sahaja mencerminkan bagaimana tidak teratur dan tidak sistematiknya sistem pengurusan agensi-agensi ini tetapi lebih dari itu, masyarakat kita telah hilang integriti, tidak lagi menghiraukan etika dan rendah akhlak.

Kita semua seperti dilanda penyakit mengejar kekayaan wang ringgit tanpa mengira cara mendapatkannya samada halal atau haram. Apabila telah menjadi duit, ia kelihatan sama saja, tidak ada siapa yang tahu samada duit halal atau duit haram.

Mungkin kita telah dirasuk fahaman, siapa yang mempunyai wang akan dipandang tinggi dan mulia dalam masyarakat. Status manusia sekarang diukur dari pemilikan kekayaan dan harta benda. Lantaran itu berlumba-lumbalah kita mengejar dan mengumpul kekayaan tanpa mengira sumbernya halal atau haram.

Tidak hairanlah kalau kita berbual-bual dengan orang-orang awam, kita akan mendengar keluhan dan cerita-cerita yang tidak menyenangkan, dimana-mana sahaja berlaku salah laku dalam masyarakat kita. Semuanya kerana wang.

Pemandu teksi yang cekik darah dan tidak menggunakan meter. Ulat-ulat tiket dan syarikat bas yang bersekongkol dengan ulat tiket untuk mendapatkan untung lebih, sentiasa menjadi pemandangan biasa di setesen-stesen bas di negara kita.

Terlepasnya barang-barang terlarang dan bercukai masuk ke negara kita, terlepasnya ramai pendatang-pendatang tanpa izin yang tanpa permit masuk ke negara kita.

Barang-barang yang dibekal oleh pembekal yang mendapat tender untuk kegunaan agensi-agensi kerajaan atau swatsa yang bermutu rendah, malah ada kes barang tidak dibekal tetapi tuntutan bayaran telah dibuat.

Ada kontraktor menuntut bayaran atas kerja-kerja atau program yang tidak pernah dibuat.
Ada pemaju mendapat projek atas dasar hubungan politik bukan atas dasar kebolehan membuat kerja.

Banyak projek yang di alibaba, yang dapat projek orang lain, yang melaksanakannya pula orang lain. Ambil duit atas angin.

Pegawai-pegawai yang berkuasa meluluskan projek pula tidak teragak-agak meminta habuan dari pemaju-pemaju, akibatnya pemaju terpaksa menurunkan kualiti bahan binaan untuk menampung wang habuan ini.

Politik wang sudah menjadi amalan yang sukar dibendung, semuanya atas dasar bagi secupak kaut segantang.

Kalau dalam filem aksi Amerika, kita diperlihatkan bagaimana penjenayah menggunakan senjata berat dan helikopter melakukan rompakan secara ganas untuk mencuri barang berharga seperti enjin jet pejuang F-5E ini, dan akan ada rakyatnya yang patriotik menghalang dan melawan penjenayah ganas ini. Tetapi di negara kita, pegawai kita sendiri yang merompak tanpa melepaskan sebiji peluru pun.

Di jalan-jalan raya anak-anak muda kita terkinja-kinja dirasuk dadah, malam hari mereka merempit dan melepak hingga ke subuh. Mereka bergaul tanpa batas, bayi di buang merata tanpa belas.

Kanak-kanak dibunuh dan diperkosa tanpa tujuan, wanita-wanita kita sentiasa dihantui oleh peragut.

Masalah dadah tidak pernah selesai, pengedar-pengedar dadah kaya raya membuat duit hasil jualan dadah. Masalah ahlong pemberi pinjam duit tidak berlesen terus bermaharajalela, tidak pernah gentar dengan polis dan penguatkuasa.

Pegawai Polis trafik kita juga ada yang menerima wang bulanan dari syarikat lori dan wang habuan kerana tidak mengambil tindakan keatas pesalah lalulintas. Pegawai JPJ, kastam dan imegresyen kita juga tidak terlepas dari terlibat dengan amalan rasuah, mereka hidup mewah melebihi kemampuan mereka hasil dari duit rasuah.

Mungkin mereka lupa, akibat amalan rasuah dan salah laku itulah yang akan menjemput berbagai-bagai masalah lain kepada rakyat dan negara kita. Yang akhirnya tidak akan menguntungkan sesiapa pun, termasuk orang dan keluraga yang menerima rasuah dan mengamalkan salah laku itu sendiri.

Semua penyakit-penyakit ini telah membarah ke dalam semua lapisan masyarakat kita. Tidak boleh kita menyalahkan sesiapa kenapa perkara ini berlaku, sebaliknya kita sendirilah yang kena berubah.

Tuesday, December 15, 2009

Antara Melayu Singapore dan Melayu Malaysia


SEMASA Singapura dan Malaysia berada dalam jajahan British dan seterusnya Singapura merdeka di dalam Malaysia dari tahun 1963 hingga 1965, kedudukan orang Melayu dari segi status politik di kedua-dua Negara itu bolehlah dikatakan hampir sama.

Walaupun ketika itu orang Melayu bukanlah merupakan kaum yang majoriti di Singapura tetapi oleh kerana orang Melayu secara keseluruhannya adalah golongan yang majoriti dalam Malaysia maka status ‘keistimewaan’ yang diberikan kepada orang Melayu di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia itu secara automatik turut sama dinikmati oleh orang Melayu di Singapura.

Konsep ‘istimewa’ yang diberikan kepada orang Melayu ini telah tidak disenangi oleh Lee Kuan Yew yang memimpin parti PAP ketika itu sehingga telah membawa kepada penyingkiran Singapura dari Persekutuan Malaysia.

Orang-orang Melayu di Singapura tentu terasa ‘kerugian’ akibat pemisahan Singapura dari Malaysia ini, kerana secara automatik mereka telah kehilangan status ‘istimewa’ itu.
Ekoran dari itu orang-orang Melayu di Singapura merasakan diri mereka didiskriminasi atau dipinggirkan apabila status ‘istimewa’ mereka telah ditarik.

Orang Melayu Singapura terpaksa bersaing dengan rakan-rakan bukan Melayu mereka tanpa mendapat layanan istimewa seperti di Malaysia.

Memang ada baik dan buruk bila status ‘istimewa’ ini diamalkan kepada masyarakat kita yang berbilang kaum ini.

Sikap buruk yang timbul akibatnya ialah ia akan menimbulkan rasa irihati kepada kaum yang tidak mendapat hak istimewa ini, mereka merasakan tidak mendapat layanan yang adil walaupun mereka juga adalah warga Negara ini.

Kaum yang memiliki status istimewa ini pula akan mempunyai sikap terlalu bergantung kepada kerajaan sehingga mereka tidak mahu berusaha secara serius dan sungguh-sungguh kerana asyik dibantu setiap kali mereka gagal. Akhirnya mereka tidak mempunyai daya saing yang tinggi. Mereka hanya bergantung kepada kekuatan hubungan politik berbanding kekuatan kemampuan diri.

Sebagai tindakbalas kepada tindakan kerajaan memberikan hak istimewa kepada orang Melayu ini telah menyebabkan orang Cina terpaksa bekerja lebih keras untuk memastikan survival kaum mereka. Mereka sedar mereka tidak mempunyai status ‘istimewa’, oleh itu mereka sendirilah terpaksa membantu dan memperkuatkan ekonomi kaum mereka sendiri. Bimbang dari digugat oleh kaum Melayu yang mempunyai status istimewa itu, kaum Cina memastikan mereka terus kekal memonopoli segala bentuk perniagaan di Negara ini.

Tindakan memberi status istimewa kepada orang Melayu ini banyak menjemput tindakbalas negatif dari orang Cina. Hinggakan berlaku syarikat-syarikat yang di kuasai oleh orang Cina tidak melayan secara adil kepada pekerja-pekerja Melayu dalam kenaikan pangkat dan gaji. Kita tidak boleh salahkan sepenuhnya kepada mereka dalam soal ini kerana ia berkemungkinan merupakan hasil tindakbalas dari apa yang telah kita lakukan terhadap mereka selama ini.

Kalau kita berjalan-jalan di bandar-bandar di Negara ini, perhatikanlah premis-premis perniagaan yang ada, dari kedai runcit hinggalah kepada kedai ‘hardware’, kedai barang elektrik, kedai perabut, kedai cermin mata, kedai motorsikal, kedai ‘stationary’, kedai computer, kedai handphone, kedai kain, kedai bengkel kereta dan tayar; siapakah yang memiliki kedai-kedai dan perniagaan ini? Kalau ada pun kedai yang dimiliki oleh orang Melayu hanyalah restoran dan klinik.

Setelah lebih 50 tahun orang Melayu mendapat hak istimewa, apakah cukup sekadar mampu membuka dan memiliki restoran dan klinik saja?

Saya tidak hairan kalau orang Melayu di Singapura tidak mampu untuk membuka kedai-kedai yang disebutkan tadi kerana mereka memang tidak mempunyai hak istimewa. Oleh itu kalau hendak diukur dari pemilikan peremis perniagaan, apalah lebihnya orang Melayu Malaysia yang mendapat hak istimewa berbanding orang Melayu Singapura.

Malah sudah menjadi lumrah di kawasan Johor ini, ramai orang Melayu dari Singapura menyumbang dana yang begitu besar membina masjid-masjid di sini. Sedangkan orang Melayu Johor kebanyakannya sekadar mampu menghulur RM1 untuk tabung masjid setiap kali sembahyang Jumaat.

Lihatlah keakraban hubungan kaum antara orang Cina, orang Melayu dan orang India di Singapura. Kalau ada satu indeks yang dibuat untuk mengukur tahap keakraban antara kaum-kaum ini, sudah tentu kita jauh ditinggalkan oleh Singapura.

Setelah 50 tahun merdeka, kita di Malaysia masih terkial-kial mencari formula perpaduan, sedangkan Singapura telah mengambil langkah yang tepat dan bijak dalam hal perpaduan sejak hari pertama mereka mencapai kemerdekaan pada tahun 1965. Kenapa kita tidak mahu belajar dari mereka?

Singapura dari awal lagi telah memastikan rakyatnya tanpa mengira kaum belajar di sekolah yang sama, bekerja di tempat yang sama dan tinggal di kejiranan yang sama, tanpa membenarkan pengasingan walau atas alasan apa pun.

Kebijaksanaan dan pandangan jauh pemimpin-pemimpin Singapura telah dapat menguruskan Negara dan rakyatnya dengan baik dan telah mencapai taraf Negara maju walaupun tanpa sumber asli yang banyak seperti Malaysia.

Saturday, December 12, 2009

Hadiah Haji dan Rasuah


ADAKAH hadiah haji yang diberikan kepada MB Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat itu boleh dikategorikan sebagai rasuah? Nilailah sendiri melalui kupasan yang dibentangkan dalam artikel di bawah:

Apabila kita memberi khidmat dan sumbangan tanpa mengharapkan apa-apa balasan maka itu dinamakan ikhlas. Ikhlas adalah satu nilai murni yang mesti menjadi ciri amalan atau budaya kepada sebuah masyarakat kelas pertama.

Kalau kepada orang Islam yang dimaksudkan dengan ikhlas itu adalah semua perbuatan dan tindakan kita hanyalah kerana Allah semata. Kita buat baik hanya kerana Allah bukan kerana yang lain-lain. Adalah dicela kalau kita berbuat baik dengan niat untuk mengharapkan balasan.


Berbuat baik yang dimaksudkan di sini mestilah selari dengan ajaran agama. Kalau ada orang yang meletupkan dirinya bagi memberikan rasa gerun kepada musuhnya walaupun niat dia begitu ikhlas untuk memperjuangkan Islam, ini tidaklah boleh dikatakan sebagai ikhlas yang selari dengan kehendak Islam.


Dengan kata lain perbuatan yang dilakukan dengan ikhlas itu mestilah juga selari dengan nilai agama atau norma-norma masyarakat yang baik.


Semasa perang Vietnam satu masa dulu, kebanyakan rakyat Vietnam percaya dengan yakin fahaman kominis adalah fahaman yang terbaik yang dapat menjanjikan kesejahteraan kepada kehidupan manusia. Mereka berjuang begitu ikhlas untuk memperjuangkan fahaman tersebut. Mereka sanggup menggadai harta benda malah nyawa mereka sendiri demi memperjuangkan fahaman kominis.


Setelah perjuangan mereka berjaya dan setelah beberapa lama kominis diamalkan di Vietnam, keadaan Vietnam tidaklah sebaik mana, fahaman kominis telah melunturkan semangat daya saing kepada manusia. Bukan saja Vietnam bahkan negara-negara kominis lain pun tidak dapat maju setanding negara bukan kominis. Malah banyak negara kominis kini telah mengambil pendekatan yang lebih realistik agar dapat menyesuaikan diri dengan dunia sekarang, termasuklah membuka pasaran kepada dunia luar dan menerima pelabur asing.


Walaupun perjuangan mereka dilakukan dengan ikhlas tetapi belum tentu apa yang diperjuangkan oleh mereka itu adalah suatu yang betul.


Dulu di awal perjuangan UMNO menuntut kemerdekaan ramai orang-orang Melayu memberi sumbangan untuk menggerakkan perjuangan ini. Kaum wanitanya tidak teragak-agak menyumbangkan barang-barang kemas mereka untuk tujuan tersebut. Mereka lakukan dengan ikhlas hati demi ingin melihat negara tercinta ini terlepas dari belenggu penjajah.


Di dalam parti PAS juga ada individu-individu yang memberi sumbangan terutamanya dalam bentuk wang ringgit kepada parti. Malah ada yang memotong sebahagian gaji mereka tiap-tiap bulan sebagai sumbangan ikhlas kepada parti. Mereka lakukan dengan niat ikhlas demi perjuangan menegakkan negara Islam.


Begitu juga ada yang memberi sumbangan dan derma ikhlas kepada badan-badan kebajikan sukarela bagi membantu badan-badan ini menjalankan aktiviti-aktiviti mereka. Sumbangan ikhlas tanpa mengharapkan balasan ini sangatlah dialu-alukan.


Tetapi dalam pada itu ada juga orang atau syarikat yang memberi sumbangan dengan mengharapkan balasan. Sebagai contoh, mereka memberi sumbangan wang kepada satu-satu parti politik dengan mengharapkan pemimpin parti politik itu akan membalas dengan memberikan kepadanya atau syarikatnya tender-tender projek kerajaan yang di bawah kuasa parti politik tersebut. Kadang-kadang kita tidak pasti samada sumbangan yang diberikan itu benar-benar ikhlas untuk membantu atau tidak. Hanya orang yang memberi sumbangan itu saja yang tahu niat sebenarnya. Sudah tentu kita tidak boleh mengetahui apa yang tersirat di dalam hati seseorang.


Tetapi yang lebih malang lagi sekiranya parti politik itu sendiri yang meminta wang sumbangan dari individu atau syarikat kepada parti sebagai syarat jaminan untuk mereka mendapat tender projek kerajaan. Dalam hal seperti ini ia boleh dikategorikan sebagai memberi dan meminta rasuah.


Dalam usaha menangani rasuah telah dibuat satu peraturan, pegawai dan kakitangan kerajaan di negara kita tidak dibenarkan menerima hadiah dalam bentuk apa pun dan pada bila-bila masa pun dari orang perseorangan mahupun dari syarikat. Ini adalah untuk mengelakkan pegawai tersebut menjadi pilih kasih atau akan boleh mempengaruhi pegawai tersebut dalam memberikan tender-tender kerajaan.


Dalam Islam hadiah bukanlah suatu perkara yang dilarang malah ia amat digalakkan bagi menjalin keakraban antara anggota masyarakat. Tetapi pemberian hadiah dalam Islam mestilah dengan ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Yang menjadi kesalahan bila kita bagi hadiah dengan mengharapkan suatu balasan. Samada kita ikhlas dalam pemberian hadiah itu hanya Tuhan saja yang tahu. Oleh itu memang ada wajarnya undang-undang yang melarang pegawai kerajaan dari menerima hadiah kerana kita tidak akan boleh tahu hadiah itu diberikan dengan ikhlas atau tidak.


Di zaman sekarang ini sudah menjadi kebiasaan jika ada orang atau syarikat memberi sumbangan yang besar kepada parti politik yang memerintah bagi mempastikan mereka sentiasa diberi keutamaan dalam pemberian projek-projek kerajaan. Di pihak parti politik pula setiap sumbangan besar dari individu atau syarikat pastinya akan mendapat balasan yang setimpal. Akhirnya pemilihan berdasarkan meritokrasi akan tinggal sebagai omongan kosong saja, realitinya siapa yang banyak menyumbang dialah yang akan dipilih.


Walaupun kita sedar memberi sumbangan untuk mengharapkan balasan itu salah, tetapi siapalah dapat membuktikan mereka menyumbang untuk mengharapkan balasan, kerana Tuhan saja yang tahu apa yang ada dalam hati mereka.


Kalau hendak disekat sumbangan orang ramai kepada parti politik bagi tujuan mengelakkan sumbangan tidak ikhlas ini tidak boleh juga. Parti politik perlukan banyak wang untuk bergerak dan berkempen, sudah tentu salah satu sumber kewangannya ialah melalui sumbangan orang ramai.


Tetapi jika pemimpin-pemimpin parti politik jujur dan benar-benar berpegang pada prinsip yang baik tentunya tidak akan mengharapkan sumbangan yang tidak ikhlas, berapa besar pun sumbangan yang diterimanya dari individu atau syarikat tidak akan mempengaruhinya dalam membuat keputusan.


Manakala pemimpin yang lemah dan tidak berprinsip akan sentiasa mengharapkan sumbangan dari syarikat-syarikat untuk partinya bergerak, akhirnya menjadikan mereka sentiasa berasa terhutang budi kepada syarikat-syarikat yang telah menyumbang. Tidak hairanlah bila syarikat-syarikat ini gagal atau tidak sempurna melaksanakan projek-projek yang diberikan, tidak ada tindakan keras yang boleh dibuat keatas syarikat tersebut disebabkan adanya rasa terhutang budi itu. Itulah padahnya bila sudah terhutang budi, maruah dan ‘body’ akan tergadai.


Itulah pentingnya setiap tindakan dan perbuatan kita mesti dimulakan dengan niat yang baik dan ikhlas kerana kesudahannya kita semua akan mendapat kebaikan jua.

Saturday, December 05, 2009

SPRM patut dimansuhkan.


LANGKAH yang diambil oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, DS Ahmad Said Hamdan untuk memendekkan tempoh perkhidmatannya dalam badan itu, tentunya mempunyai kaitan rapat dengan prestasi buruk badan itu dalam melaksanakan tugas-tugasnya sebagai pembasmi rasuah.

Sebagai badan yang dibiayai oleh kerajaan yang bertugas untuk membasmi salah laku rasuah, ia sering berdepan dengan kritikan orang ramai.

Namanya juga telah bertukar beberapa kali yang kononnya bagi tujuan membaiki imej dan kredibilitinya, yang terakhir telah ditukar dari BPR (Badan Pencegah Rasuah) kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), tetapi masih juga tidak nampak keberkesanannya seperti yang diharapkan.

Indeks tahap amalan rasuah di Malaysia menurut nilaian Transparency International (TI) semakin jauh merosot dari tahun-tahun sebelumnya berbanding negara-negara lain di dunia.

Isu Teoh Beng Hock yang mati semasa dalam siasatan SPRM juga turut mencemarkan imej SPRM, menyebabkan pelbagai pihak telah mempersoalkan cara pengendalian soal siasat yang dilakukan oleh SPRM.

SPRM juga dituduh sebagai badan yang ditunggangi oleh parti politik yang memerintah. SPRM selalu digunakan bagi ‘menutup mulut’ musuh-musuh politik. Oleh itu SPRM bukanlah satu badan yang betul-betul bebas.

Kalau SPRM tidak dapat bertindak secara bebas bagi membasmi rasuah, sudah tentu ia tidak dapat melakukan tugas-tugasnya secara berkesan. Akhirnya matlamat untuk menghapuskan rasuah melalui SPRM hanya akan menjadi sia-sia saja.

Berjuta-juta ringgit wang kerajaan digunakan setiap tahun untuk membiayai badan SPRM ini termasuk membayar gaji kakitangannya, tetapi indeks amalan rasuah negara terus meningkat bukan menurun.

Apakah masih berbaloi untuk kita terus membiayai badan SPRM yang menjadi bebanan kepada negara ini?

Apakah cukup sekadar menukar ketua SPRM akan dapat mengabui mata orang ramai bagi menunjukkan SPRM telah melakukan perubahan besar dan dengan itu dapat memulihkan kembali keyakinan orang ramai terhadap integriti SPRM?

Saya tidak pasti samada negara jiran Singapore mempunyai SPRM seperti kita juga, tetapi yang jelasnya Singapore jauh meninggalkan kita dalam amalan rasuah ini. Apakah kita sekarang sudah selesa dengan tahap amalan rasuah negara kita kerana hanya lebih baik dari Filipina?

Monday, November 30, 2009

Pengalaman Manis di Kursus Bina Negara

Ini adalah pengalaman saya mengikuti kursus Bina Negara yang dianjurkan oleh BTN pada satu masa dulu, artikel ini pernah disiar dalam blog ini pada 4 Ogos 2006 dulu:

SETELAH lima hari empat malam berkurung di Kem Bina Negara Meru Klang saya benar-benar dapat merasakan bagaimana kebimbangan yang amat sangat pihak yang cenderung kepada parti UMNO dari kehilangan kuasa.

Dengan menggunakan nama Melayu kami ditakut-takutkan akan kehilangan segala-galanya kalau Melayu atau khususnya parti UMNO tidak berkuasa lagi.

Walaupun kerajaan BN sendiri telah membuat dasar dan peraturan supaya pensyarah tidak terlibat dengan politik, tetapi pada pengamatan saya selama berada di Kem Bina Negara kami seperti dijemput untuk terlibat sama dengan percaturan politik negara.

Mungkin untuk jangka pendek taktik menakut-nakutkan yang digunakan oleh kerajaan BN ini dapat meraih simpati orang-orang Melayu untuk tidak memberi undi kepada pembangkang, tetapi untuk jangka masa yang panjang negara kita tidak akan mendapat apa-apa manafaat darinya.

Saya dapat merasakan kursus seperti ini akan menanamkan rasa tidak senang dan curiga di hati kita terhadap kaum-kaum lain yang ada di negara ini.

Kadang-kadang terasa pelik juga, di waktu pemimpin-pemimpin kita berucap dan bercakap perlunya kepada hidup bersatu padu antara kaum tetapi dalam pada waktu yang sama kursus-kursus yang melebarkan jurang antara kaum terus digalakkan.

Kita tidak boleh selamanya menyalahkan sejarah silam kerana kehadiran kaum Cina dan India ke negara ini. Samada kita mahu atau tidak kita kena berpijak di bumi nyata, kena terima hakikat kaum Cina dan India adalah juga sebahagian dari rakyat di negara ini.

Apapun terjadi, susah dan senang kita terpaksa hidup bersama-sama mereka juga. Kita boleh bersikap tidak peduli antara satu kaum dengan kaum yang lain kiranya kita dapat membahagikan negara ini kepada tiga negara mengikut kaum-kaum tersebut seperti yang pernah berlaku kepada India dan Pakistan. Tetapi membahagikan negara ini kepada tiga negara yang berasingan bukanlah pilihan yang kita semua kehendaki.

Kalau kita mahu hidup bersama di bawah satu negara, mahu tidak mahu semua kaum mestilah secara bersama dan bersungguh-sungguh memikirkan halatuju negara. Kita tidak boleh bertindak secara berasingan yang akan menyebabkan tindak tanduk kita akan dipandang serong dan curiga oleh kaum yang lain.

Satu kerugian yang besar jika kursus-kursus Bina Negara yang diadakan ini bukan untuk tujuan pembinaan negara tetapi lebih kepada pembinaan Melayu yang hasilnya setiap orang Melayu yang melalui kursus ini berasa seperti terancam oleh rakan-rakan mereka dari kaum lain.

Di kursus ini semangat kita dibakar untuk mempertahankan kekuasaan Melayu, memperkukuhkan perpaduan Melayu, tolong Melayu, sokong Melayu dan macam-macam Melayu lagi.

Saya tidak fikir adanya orang Melayu kita yang menyokong dan memberi tepukan kepada Taufik Hidayat ketika beliau menentang Wong Choong Han dalam pertandingan badminton Piala Thomas bulan Mei lepas walaupun kita tahu Taufik Hidayat itu orang Melayu.

Saya juga tidak fikir Goh Chock Tong dapat menebalkan mukanya jika dilihat oleh pelancung asing rakyatnya yang terdiri dari Ahmad, Abu, Ali dan lain-lainnya memenuhi kaki-kaki lima di Bandar Singapura yang indah dan maju itu dengan meminta sedekah. Malah Goh Chock Tong berasa megah untuk berkata taraf kehidupan orang Melayu di Singapura lebih baik dari kebanyakan orang Melayu di Malaysia.

Untuk memilih pemimpin yang terbaik di kalangan kita, tidak ada cara yang terbaik selain dari cara demokrasi. Sistem demokrasi dapat menjamin peralihan kuasa dapat berlaku secara aman tanpa kekerasan selain itu ia dapat menjamin hanya pemimpin yang terbaik sahaja dapat menjadi pemimpin.

Tetapi apabila amalan demokrasi sebenar telah dinoda dan diubahsuai oleh pemimpin yang berkuasa mengikut kepentingan mereka maka jadilah demokrasi itu sebagai alat untuk menjamin pemimpin yang memerintah untuk terus berkuasa, bukan lagi sebagai alat yang membolehkan pemimpin yang terbaik mendapat peluang menjadi pemimpin seperti mana yang sepatutnya.

Kita tidak nafikan adanya parti politik yang menggunakan agama untuk meraih sokongan pengundi. Bukan sahaja dalam parti politik, malah ada juga orang menggunakan agama untuk menipu orang untuk memperkayakan diri mereka, ada juga yang menggunakan agama untuk mendapat kedudukan dan pangkat. Perbuatan menyalahgunakan agama untuk kepentingan diri amat dicela oleh Islam.

Penyebab utama sokongan orang Melayu kepada parti PAS pada pilihanraya 1999 bukanlah kerana penggunaan agama oleh parti itu tetapi tindak tanduk dan beberapa kelemahan UMNO di masa itu telah tidak disenangi oleh orang-orang Melayu sendiri dan mereka telah tunjukkan kemarahan mereka itu dengan memberi undi kepada PAS.

Padahal sebelum itu PAS seperti parti yang tidak dapat bernafas walaupun kerajaan di waktu itu lebih liberal di mana ceramah PAS dan akhbarnya jauh lebih bebas berbanding sekarang.
Ini menunjukkan kekuatan PAS bukanlah kerana penggunaan agama tetapi kerana UMNO telah banyak buat silap.

Orang yang berkuasa selalunya tidak dapat menerima kelemahan mereka, mereka sentiasa menganggap diri mereka sentiasa betul dan mereka saja yang boleh memerintah. Dalam keghairahan untuk mengekalkan kekuasaan dan tidak dapat menerima kekalahan inilah amalan-amalan demokrasi selalunya dicabuli supaya kemenangan sentiasa berpihak kepada mereka.

Cabaran ke tiga Wawasan 2020 secara jelas menyebutkan , mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang. Tetapi apakah usaha-usaha yang telah dibuat oleh kerajaan untuk mendidik rakyat memahami dan menghayati amalan demokrasi. Malah pemimpin-pemimpin kita sendiri pun tidak pernah menunjukkan kematangan berpolitik.

Di satu ketika Hang Tuah tidak sanggup membunuh Hang Jebat yang tidak berkeris walaupun Hang Jebat telah menyerahkan dirinya kepada Hang Tuah. Begitulah kematangan pahlawan-pahlawan Melayu. Mereka lebih rela kalah dibunuh oleh musuh dari membunuh musuh yang tidak bersenjata.

Penggunaan jentera kerajaan oleh parti pemerintah untuk kempen parti mereka, menyekat parti-parti pembangkang untuk berkempen melalui media-media perdana, menyekat ceramah-ceramah dan akhbar-akhbar parti pembangkang adalah merupakan contoh-contoh tindakan yang bertentangan dengan akhlak demokrasi itu sendiri. Di manakah wujudnya keadilan dalam satu pertandingan jika kita berlawan dengan musuh yang telah diikat kakitangannya.

Selama pemimpin kita sekarang ini bertindak wajar, mungkin rakyat tidak menghadapi apa-apa masalah. Tetapi jika tiba-tiba pemimpin yang memerintah bertindak di luar kewajaran, sudah tentu di waktu itu kita tidak ada peluang lagi untuk menukar pemimpin tersebut kerana semua sistem demokrasi yang ada telah diubah suai bagi mengekalkan kuasa beliau untuk selamanya.

Kita tidak mahu menjadi seperti rakyat Soviet Union pada masa dulu dan rakyat Singapura pada hari ini di mana demokrasi hanya tinggal menjadi lambang. Akhirnya rakyat mereka hidup seperti robot yang segala kehidupan mereka telah diprogramkan oleh pemerintah.

Pemimpin yang mementingkan ras dan tidak mengambil peduli kaum lain selain kaumnya sendiri adalah pemimpin yang tidak baik. Serb dan Israel adalah contoh bangsa yang telah dipulaukan oleh dunia hari ini kerana ketaksuban mereka kepada bangsa mereka. Tidak mungkin kita boleh hidup aman damai bersama dengan bangsa yang mempunyai pemikiran seperti Serb dan Israel ini.

Di dalam sistem demokrasi tulin pemimpin yang tidak baik tidak akan dapat peluang untuk dipilih menjadi pemimpin. Sebaliknya pemimpin yang terbaik tidak kira dia berbangsa apa pun akan tetap terpilih menjadi pemimpin kita.

Pemimpin seperti Lee Lam Thye, Nik Aziz Nik Mat, Mahatma Ghandi, Abraham Lincoln adalah contoh-contoh pemimpin yang memiliki sifat luhur dan perikemanusiaan yang tinggi. Mereka adalah pemimpin yang dikasihi oleh pengikutnya tanpa mengira kaum. Mereka adalah contoh pemimpin yang dapat melepasi sempadan kaumnya sendiri. Setiap kaum yang berada di bawah kepimpinan mereka ini akan terus berasa selamat dan hak mereka dijaga dan dihormati.

Pemimpin yang mempunyai kualiti seperti inilah yang kita kehendaki untuk memimpin negara seperti Malaysia yang terdiri dari berbilang kaum ini.

Hanya sistem demokrasi tulin sahaja yang dapat menjamin orang yang mempunyai kualiti yang disebutkan di atas berpeluang untuk dipilih menjadi pemimpin negara kita ini. Oleh itu demi kebaikan masa depan negara kita adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan demokrasi yang kita amalkan ini tidak dicabuli oleh sesiapa pun.

Mempertahankan kepimpinan Melayu di abad ke 21 ini bukanlah menjadi perkara yang lebih utama kepada kita semua. Tetapi yang patut sentiasa menjadi keutamaan kepada kita rakyat Malaysia hari ini ialah mempertahankan hak-hak demokrasi yang sebenar, tidak membenarkan demokrasi diubah mengikut selera pemerintah. Kerana inilah satu-satunya mekanisma terbaik untuk melahirkan pemimpin terbaik untuk negara kita.

Kalau kita benar-benar sayangkan negara kita, bangsa kita, hak kita maka peliharalah demokrasi dari dicabuli.

Saturday, November 21, 2009

Demokrasi sesuai dengan Islam

SEPERTI MANA Islam tidak pernah menetapkan masakan apa yang kita mesti makan, jenis pakaian apa yang mesti kita pakai begitulah juga Islam tidak pernah menetapkan corak atau sistem pemerintahan yang macam mana mesti kita guna pakai.

Dalam perkara-perkara tertentu seperti yang disebutkan di atas Islam memberi kebebasan kepada manusia membuat pilihan. Tentunya ada hikmah di sebalik diberi kebebasan dalam membuat pilihan itu.

Manusia tinggal di merata tempat di dunia ini yang mempunyai iklim yang berbeza dari setempat ke setempat, berbeza jenis tanam-tanamannya, berbeza binatang ternaknya dan juga berbeza budaya mereka.

Oleh itu tidak hairanlah kalau kita manusia terpaksa berbeza dalam makanan yang kita makan dan pakaian yang kita pakai.

Ada manusia terpaksa memakai pakaian yang agak tebal bagi menahan cuaca persekitaran mereka yang sejuk, ada manusia yang hidup dengan memakan nasi tetapi ada juga yang memakan roti atau gandum, dan tak kurang juga ada yang makan pisang.

Namaun begitu, walau apa jenis pakaian yang kita pakai, apa jenis makanan yang kita makan mestilah memenuhi peraturan dan adab Islam bagi menjamin kesejahteraan hidup bermasyarakat.

Bila kita berpakaian di khalayak ramai, pakaian itu haruslah pakaian yang menutup aurat dan tidak menjolok mata yang boleh mengganggu keharmonian hidup bermasyarakat dan boleh meruntuhkan akhlak manusia.

Makanan yang kita makan pula mestilah halal dan baik supaya ia dapat memberi kebaikan kepada kesihatan, pemikiran dan tingkahlaku manusia itu sendiri.

Demokrasi

Dari segi cara kepimpinan dan sistem politik pula, Islam juga tidak pernah membuat ketetapan dalam hal ini. Nabi Muhammad pun tidak pernah menetapkan suatu sistem politik yang perlu diikuti.

Kesesuaian suatu sistem politik itu berbeza-beza mengikut keadaan zaman, tamaddun dan tahap pemikiran sesuatu masyarakat manusia itu berada.

Kalau kita lihat dalam Quran, cara pemerintahan monarki atau raja pernah diamalkan oleh Nabi Daud dan Nabi Sulaiman. Bagaimanapun di zaman Nabi Muhammad, baginda tidak mengambil sistem raja, maharaja mahupun dinasti sebagai sistem kepimpinannya.

Namun begitu Islam sangat menekankan sistem kepimpinan atau pemerintahan yang adil, mengikut merit dan mengutamakan mesyuarah dalam menyelesaikan permasalahan masyarakat dan Negara. Islam tidak menyukai paksaan, kekerasan, kegaganasan yang sangat bertentangan dengan perkataan Islam itu sendiri yang bermakna ‘keselamatan’ dan ‘kesejahteraan’.

Dari pengalaman sejarah manusia sendiri, pemilihan ketua dan pemimpin sering dipenuhi dengan peperangan, kegaganasan dan pertumpahan darah. Bermacam-macam cara pernah difikirkan oleh manusia bagi mengelak perkara-perkara ini dari berlaku. Sehingga timbulnya konsep Dinasti yang kononnya dapat mengelakkan pertumpahan darah dalam perebutan kuasa.

Ada kalanya jawatan pemimpin atau ketua telah dijadikan pusaka yang harus diwarisi oleh anak atau anak lelaki sulung. Pewarisan kepimpinan dari bapa kepada anak juga bukanlah sepenuhnya dapat membendung dari berlakunya pertumpahan darah disamping ia tidak dapat menjamin bakal pengganti itu akan lebih baik dari yang diganti dari segi kepimpinannya.

Selain dari berebut untuk menjadi pemimpin, peperangan juga boleh berlaku untuk melebarkan penguasaan wilayah dan mengembangkan ideologi yang dianuti kepada negara dan kelompok manusia lain.

Setakat ini cara yang terbaik dalam menyelesaikan pertelingkahan yang berlaku antara kelompok manusia yang berbagai di dunia ini ialah demokrasi.

Semangat Demokrasi berlawanan dengan unsur-unsur paksaan, kekerasan dan keganasan, sebaliknya menekankan kepada perundingan, hujah, keadilan dan kesaksamaan, meritokrasi dan meletakkan segala keputusan ditentukan oleh suara majoriti.

Dalam demokrasi setiap orang berhak mendapat pembelaan dan berhak mendapat kebebasan untuk bersuara.

Demokrasi dapat menjamin orang yang terbaik dalam kepimpinan akan diangkat menjadi pemimpin. Kalau dengan menggunakan demokrasi tetapi yang terpilih menjadi pemimpin adalah pemimpin yang teruk, maka ini bukan salah demokrasi tetapi adalah salah orang yang melaksanakan demokrasi itu.

Oleh itu bila kita hendak mengamalkan demokrasi maka kita kena pastikan demokrasi yang diamalkan itu mestilah dapat menjamin pemimpin yang terbaik akan terpilih menjadi pemimpin. Kalau tidak, sudah tentu ada yang tidak kena dengan demokrasi yang diamalkan itu.

Zaman telah berubah, demokrasi juga harus berubah mengikut keadaan. Kalau kita lihat hari ini, pemimpin yang selalu diangkat dan terpilih hasil dari sistem ‘demokrasi’ adalah pemimpin yang menjadi pilihan syarikat media yang dikawal oleh golongan-golongan tertentu yang sangat mempengaruhi pemikiran orang ramai.

Dengan itu pemimpin yang terpilih bukan secara tulennya ditentukan oleh orang ramai tetapi medialah yang memainkan peranan utama di belakangnya. Keadaan ini harus dibetulkan supaya demokrasi itu berada di atas landasan yang betul.

Kalau kita hendak membina suatu bangunan maka kita harus memanggil orang-orang yang tahu dan pakar dalam selok belok pembinaan bangunan, barulah bangunan itu dapat didirikan dengan sempurna dan selamat untuk didiami. Malah kalau hendak memasak makanan dalam satu-satu majlis pun kita kena memanggil tukang-tukang masak yang berkebolehan bagi menyediakan makanan yang enak.

Tetapi apa yang berlaku kepada pemilihan pemimpin dalam kaedah demokrasi sekarang ini, orang-orang yang diberi tanggungjawab memilih pemimpin itu tidak kenal secara dekat calun-calun pemimpin-pemimpin yang hendak mereka beri undi.

Oleh itu dalam hal ini juga demokrasi harus dibetulkan, pemimpin-pemimpin yang bakal bertanding harus mendapat hak yang adil untuk menyampaikan manifesto dan agenda kepemimpinannya. Rakyat atau orang-orang yang hendak memilih pemimpin pula harus mendapat maklumat yang cukup tentang bakal-bakal calon yang hendak menjadi pemimpin itu.

Tujuan demokrasi adalah untuk memberi peluang yang terbaik akan terpilih. Banyak lagi perkara-perkara yang perlu dibaiki kepada sistem demokrasi yang ada hari ini agar matlamat dan tujuan murninya itu dapat dicapai, yang tak mungkin dapat diseneraikan semuanya di sini.

Tuesday, November 17, 2009

Terimalah orang jahat berkawan dengan kita

Terdapat banyak hadis-hadis nabi meriwayatkan yang menggalakkan kita supaya berkawan dengan orang-orang yang baik dan melarang berkawan dengan orang jahat.

Antara yang cukup terkenal ialah yang maksudnya lebih kurang, ‘jika kamu berkawan dengan pembuat minyak wangi, sekurang-kurangnya kamu dapat bau wanginya, jika kamu berkawan dengan tukang besi, setidak-tidaknya kamu dapat rasa panasnya’.

Kalau kita melihat sepintas lalu hadis tersebut seolah-olah seperti kita perlu memilih kawan yang baik saja dan memulaukan orang-orang jahat dari dibuat kawan.

Tetapi kalau diteliti betul-betul hadis tersebut, sebenarnya ia juga membawa maksud supaya kita menerima orang jahat yang ingin berkawan dengan kita.

Kalau kita berminat untuk memancing ikan maka kita kenalah berkawan dengan orang yang mempunyai hobi yang sama, barulah kita dapat berkongsi pengalaman dan keseronokannya.

Begitu juga kalau kita berminat hendak menjadi mat rempit, tentu kita akan mendekati dan menyertai aktiviti kumpulan mat rempit yang ada di kawasan berhampiran dengan kita.

Kalau kita hendak menjadi jahat, tentu kita akan berkawan dengan orang yang kita kenali sebagai jahat atau menyertai kumpulan samseng yang kita tahu.

Apabila kita ingin berkawan dan menyertai suatu kumpulan samseng itu, adalah mustahil ahli-ahli kumpulan samseng ini akan mengikut perangai kita, sebaliknya kitalah yang kena mengikut perangai mereka.

Begitu jugalah kalau ada orang jahat yang sudah terbuka hati untuk menjadi baik, tentu dia akan mencari orang-orang yang baik untuk menjadi kawannya. Dari situlah dia akan belajar untuk mencontohi dan mengikuti tingkah laku kawannya yang baik itu.

Oleh itu maksud hadis yang melarang kita berkawan dengan orang-orang jahat itu, bukanlah bermakna baginda melarang kita menerima orang-orang jahat yang ingin berkawan dengan kita.

Kesimpulannya, jangan sekali kita berkawan dengan orang jahat tetapi sentiasalah menerima kalau ada orang jahat yang hendak berkawan dengan kita.

Wednesday, November 11, 2009

Perlukah lagi melihat anak bulan?


ORANG Barat telah mengambil langkah yang drastik dengan memisahkan agama dengan kehidupan dunia yang dikenali sebagai fahaman sekular bagi memecahkan ‘halangan-halangan agama’ terhadap perkembangan sains.

Kalaulah tidak ada orang yang berani melakukan langkah yang drastik itu, sudah tentu dunia Barat masih berada dalam kegelapan dan tidak maju seperti yang kita lihat hari ini.

Apabila kata-kata pendita agama atau paderi dianggap oleh masyarakat mereka sebagai kata-kata dari Tuhan, maka bila ada penemuan ilmu sains yang bertentangan dengan fahaman agama mereka, akan dianggap sebagai sesat dan bertentangan dengan ajaran Tuhan.

Fenomena seperti ini juga ada berlaku dalam masyarakat Islam kita, ramai diantara kita yang percaya semua kata-kata ulamak itu adalah kata-kata yang datang dari Tuhan.

Apakah betul apa yang dikatakan ulamak itu sama dengan apa yang dikatakan oleh Tuhan? Memang betul Tuhan ada berfirman melalui Quran, tetapi betulkah penafsiran Quran oleh ulamak itu betul-betul sama seperti yang dimaksudkan oleh Tuhan.

Tuhan sendiri pun telah memperakukan adanya ayat-ayat Quran yang ‘samar’ yang memerlukan manusia yang diberikannya akal itu untuk memikirkannya.

Islam tidak pernah menutup pintu untuk berhujah. Kebenaran itu akan semakin terserlah kebenarannya bila banyak dihujahkan. Hakim di makamah tidak akan dapat menentukan sesuatu kebenaran melainkan dengan hujah-hujah dari pihak-pihak yang diadili. Oleh itu kalau betul kita dipihak yang benar, tidak perlu takut dengan hujah.

Apa yang sering berlaku sepanjang sejarah manusia, kuasa digunakan untuk mengatasi hujah. Akhirnya kuasa menjadi penentu kepada kebenaran. Siapa yang berkuasa dialah yang berada di pihak yang benar. Tetapi keadaan ini bukanlah betul, ini telah melanggar fitrah kebenaran itu sendiri. Kebenaran mesti berasaskan ilmu dan hujah.

Tuhan yang menurunkan Nabi dan rasul untuk membawa kebenaran tidak pernah dilengkapakan senjata canggih dan segala kekuatan, senjata yang dianugerahkan kepada mereka hanyalah lidah dan hikmah yang digunakan untuk berhujah.

Kita mesti mengambil ajaran Islam bukan sekadar yang tersurat sahaja tetapi apa yang lebih penting ialah apa yang tersirat disebaliknya. Islam itu bukan fahaman yang beku yang memadai dengan tafsiran beberapa ulamak yang tertentu sahaja. Zaman telah jauh berubah, tafsiran terhadap Quran juga akan turut berubah mengikut peredaran zaman.

Mazhab-mazhab yang terkenal seperti Shafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali timbul sekitar 100 tahun selepas Nabi Muhammad wafat. Perubahan kehidupan masyarakat setelah 100 tahun berlalu telah memaksa ulamak-ulamak pengasas mazhab ini membuat penafsiran dan penilaian baru kepada hukum fiqah Islam.

Tetapi sekarang sudah hampir 1500 tahun Nabi wafat. Tentu tidak mustahil keperluan hukum-hukum ini dinilai semula mengikut keadaan zaman kita berada sekarang ini.

Apabila Nabi mengatakan, hendaklah kamu berbuka bila melihat anak bulan Syawal, maka berlakulah perselisihan faham antara para ulamak dalam menentukan tarikh hari Raya Idilfitri samada hendak menggunakan hisab atau rukyah.

Walaupun secara tersuratnya Nabi mengatakan ‘bila kamu melihat anak bulan Syawal’ tetapi apa yang dimaksudkan oleh baginda itu ialah adanya anak bulan Syawal. Di masa Nabi berkata itu, tidak ada cara lain bagi menentukan anak bulan melainkan dengan cara melihat.

Di zaman moden sekarang ini, dengan menggunakan kiraan kita boleh menentukan dengan tepat adanya anak bulan atau tidak. Kelemahan akal fikiran kita menelah maksud kata-kata Nabi itu telah membuatkan setengah kita memberikan tafsiran yang salah.

Adanya anak bulan Syawal itulah yang menentukan tarikh permulaan Syawal, bukanlah disebabkan kita dapat melihatnya. Tidak dapat dilihat tidak mestinya anak bulan itu tidak ada, banyak faktor lain yang boleh menghalang penglihatan kita.

Samalah seperti hendak menentukan waktu sembahyang maghrib atau atau waktu berbuka puasa. Waktu berbuka puasa bermula bila kelihatan terbenamnya matahari di ufuk barat. Apakah perlu kita keluar rumah untuk melihat matahari terbenam baru boleh kita makan dan minum? Syarat yang dikehendaki di sini ialah matahari terbenam bukan ‘melihat’ matahari terbenam.

Bayangkan betapa sukarnya bakal haji yang bermazhab Shafie mengerjakan tawaf mengelilingi Kaabah. Terpaksa berkali-kali mengambil wuduk kerana batal setiap kali bersentuhan dengan jemaah wanita. Ini gara-gara ayat Quran yang menyebut ‘bila kamu menyentuh isteri’.

Perkataan ‘menyentuh’ tidak semestinya hanya membawa maksud sentuh tetapi selalu digunakan sebagai bahasa sopan yang memberi makna bersetubuh.

Kalaupun perkataan ‘menyentuh’ betul-betul membawa makna bersentuhan kulit, ia masih juga tidak sama dengan makna ‘tersentuh’. Menyentuh dan tersentuh adalah dua perbuatan yang berbeza nilainya.

Ada seorang ahli ilmuwan agama muda yang memberi komen terhadap Ustaz Dr. Asri bekas Mufti Perlis dalam Mingguan Malaysia keluaran 8 Disember 2009 yang lalu. Antara hujah atau komen beliau mengatakan pandangan Ustaz Asri boleh menjejaskan Institusi Raja-raja Melayu sebagai institusi yang melindungi agama Islam di Negara ini.

Apa yang saya nampak ilmuwan agama muda ini tidak dapat memberi fikiran yang diluar kotak (out of box). Orangnya muda tapi cara pemikirannya tua. Bila masa pula terdapatnya dalam Quran atau Hadith yang kita ditegah dari menegur dan mengkritik Institusi Raja-raja Melayu walaupun hendak menegakkan kebenaran?

Sunday, November 08, 2009

Piala Malaysia: Betulkah Negeri Sembilan yang Juara

KALAU 20 tahun yang lalu mungkin tidak boleh dipertikaikan kalau juara pertandingan bola sepak Piala Malaysia malam tadi (7 November 2009) adalah milik Negeri Sembilan.

Dalam permainan malam tadi, sekali lagi saya melihat muka-muka pemain ternama seperti Khalid Jamlus, Indera Putra Mahayuddin dan Shukor Adan beraksi, kali ini mereka mewakili pasukan Kelantan dan Negeri Sembilan. Sebelum ini kita pernah melihat mereka bermain untuk mewakili pasukan bola negeri-negeri lain.

Itulah persoalan yang hendak saya timbulkan dalam posting untuk blog saya kali ini. Apalah ertinya gelaran juara kepada Negeri Sembilan sedangkan pemain dan kakitangan yang terlibat dengan pasukan itu kebanyakannya mungkin bukan lahir dan dibesarkan di negeri itu sendiri.

Wan Jamak Wan Hassan jurulatih bagi pasukan Negeri Sembilan. Nama yang bermula dari awalan Wan bukanlah satu nama yang biasa ditemui di Negeri Sembilan. Sudah pasti beliau bukan orang Negeri Sembilan.

Walaupun orang-orang Negeri Sembilan begitu teruja dan gembira kerana Negeri Sembilan menjadi juara bola sepak Piala Malaysia setelah 61 tahun mendambakannya, tetapi bagaimana pula dengan perasaan pemain-pemain yang mewakili Negeri Sembilan itu sendiri, terutamanya pemain-pemain yang bukan lahir dan besar di negeri itu.

Kegembiraan kepada mereka itu bukan disebabkan Negeri Sembilan menjadi juara tetapi mereka gembira kerana pasukan yang mereka wakili itu menjadi juara, negeri mana yang mereka wakili bukanlah perkara yang begitu penting.

Dengan kata lain pemain-pemain seperti Khalid Jamlus, Indera Putra dan Shukor Adan ini adalah pemain bola profesional yang bermain untuk diri mereka sendiri, bukan untuk mana-mana negeri.

Kegembiraan orang-orang Negeri Sembilan malam tadi itu tak ubah seperti Pak Kaduk, mereka hanya menang sorak, pemenang yang sebenar ialah pemain-pemain yang bakal meraih berbagai habuan lumayan.

Walaupun saya sudah tinggal di Johor lebih 20 tahun malah melebihi masa saya dibesarkan di Negeri Sembilan, negeri di mana saya dilahirkan, tetapi hingga hari ini saya tidak pernah merasakan saya sebagai orang Johor.

Saya boleh terima diri saya sebagai orang Malaysia tetapi tidak sebagai orang Johor. Dalam hal ini ianya menyentuh soal hati dan perasaan kita, mungkin orang lain juga berperasaan seperti saya juga.

Begitu jugalah dengan pemain-pemain bola sepak tadi, mereka mungkin tidak pernah dilahirkan dan dibesarkan di negeri-negeri yang mereka wakili. Mereka hanya menggunakan kemudahan dan mendapat faedah dari kerajaan negeri yang mereka wakili.

Orang Cina dan orang India yang dilahirkan di Malaysia juga mempunyai perasaan seperti itu juga. Mereka lahir dan dibesarkan di Malaysia. Tentu mereka tidak boleh terima diri mereka sebagai orang Negara China atau orang Negara India. Mereka juga mempunyai perasaan yang sama terhadap Negara Malaysia seperti kita orang Melayu yang dilahirkan dan dibesarkan di sini.

Kalau saya sendiri pun tidak boleh terima diri saya sebagai orang Johor, apa lagilah kalau untuk menerima diri saya sebagai orang Negara Indonesia, negara yang asing bagi saya walaupun serumpun.

Perasaan dan kecintaan kita terhadap tanah air, tanah darah tumpah kita ini adalah sama sahaja, tidak kiralah mereka itu Melayu, Cina atau India.

Yang selalu menimbulkan masalah kita sekarang ialah kerana ada tembok-tembok perkauman yang telah mengasingkan masyarakat kita mengikut kaum.

Tindak tanduk kita banyak menyumbang kearah melebarkan jurang polarisasi kaum, sebaliknya usaha untuk memecahkan tembok-tembok perkauman ini terus ditentang oleh kita sendiri.

Akhirnya kita banyak membuang masa dan tenaga untuk terus bersaing antara kaum, menumpukan survival kaum sendiri berbanding survival rakyat Malaysia secara keseluruhan.

Dari kecil kita disekolahkan atau dididik untuk berasa curiga dengan kaum-kaum lain. Kaum-kaum lain yang sepatutnya menjadi kawan kita telah dilayan sebagai ‘musuh’ kita.

Sampai bilakah semua kita harus mengekalkan sikap seperti ini? Kita sebenarnya telah menyediakan satu bom jangka yang satu masa nanti akan meletup juga. Bila telah meletup, tidak ada siapa yang dapat faedah darinya, menang jadi arang kalah jadi abu.

Wednesday, November 04, 2009

Royalti minyak, hak rakyat Kelantan bukan hak UMNO

DENGAN pengumuman yang dibuat oleh PM Najib di Parlimen hari ini (4 November 2009) untuk memberi wang ehsan kepada ‘rakyat’ Kelantan mulai tahun depan membawa makna sebagai pengesahan oleh kerajaan BN bahawa adanya minyak telah digali di kawasan negeri Kelantan yang sebelum ini BN cuba berdolak-dalik untuk menafikan hak rakyat Kelantan ini.

Seperti Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak yang layak mendapat royalti hasil minyak bila terdapatnya minyak digali di kawasan negeri mereka, maka tidak ada sebab Kelantan dan Terengganu juga harus mendapat hak yang sama seperti yang dinikmati oleh Sabah dan Sarawak.

Apalah ertinya slogan 1Malaysia kalau peraturan yang dikenakan adalah berbeza-beza atau wujudnya perlaksanaan undang-undang yang ‘double-standard’ mengikut kepentingan kerajaan UMNO.

Kenapa kepada Terengganu dan Kelantan, royalti hasil minyak ini bertukar menjadi sekadar wang ehsan sahaja?

Rakyat Terengganu dan Rakyat Kelantan telah memilih kerajaan mereka sendiri, tidak kiralah kerajaan yang mereka pilih itu adalah kerajaan UMNO atau kerajaan PAS, itu adalah pilihan mereka. Oleh itu royalti hasil minyak itu mestilah diberikan kepada kerajaan yang mereka pilih.

Memang tidak dinafikan Kerajaan Persekutuan juga mempunyai tanggungjawab kepada negeri-negeri yang berada dalam persekutuannya tetapi bukanlah dengan menggunakan wang ehsan ini dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Kalau royalti minyak yang layak mereka dapat adalah 5 peratus dari hasil minyak yang digali di negeri mereka, 5 peratus yang khusus itu harus dikembalikan kepada kerajaan negeri-negeri ini yang mewakili rakyat mereka. Manakala yang selebihnya 95 peratus lagi itu pula akan dibahagi-bahagi untuk faedah semua negeri-negeri secara adil dalam kerajaan Persekutuan.

Kita kena ingat, royalti minyak ini bukanlah hak UMNO sebagai pemerintah kerajaan persekutuan. Apa yang kita nampak royalti yang ditukar namanya sebagai wang ehsan oleh UMNO itu seperti wang hak UMNO yang digunakan untuk membuat projek atau pembangunan bagi kepentingan mereka di Kelantan dan Terengganu.

Rakyat bukanlah bodoh seperti 10 tahun dulu, apakah UMNO masih tidak sedar lagi akan hal ini?

Thursday, October 29, 2009

Satu Sekolah, Satu Parti Politik dan 1Malaysia


KALAU kita mahu melihat gagasan 1Malaysia boleh dicapai, ia mesti bermula dari Satu Sekolah, amalan Satu Sekolah mampu memecahkan tembok pengasingan mengikut kaum, seterusnya barulah 1Malaysia dapat terbentuk.

Tetapi apa yang berlaku sekarang PM Najib cuba hendak menyongsang arus, beliau memulakannya dengan 1Malaysia tanpa menyentuh sistem sekolah yang merupakan asas kepada pembinaan 1Malaysia.

Ini adalah satu kerja yang tidak masuk akal yang tentunya tidak akan sampai ke mana-mana. Akhir kesudahannya samalah seperti keadaan asal, slogan-slogan yang diucapkan hanyalah menjadi retorik, komestik dan penuh kepura-puraan.

Seperti biasa setiap kali perayaan besar akan dijemput semua orang dari semua kaum menghadiri rumah terbuka, selepas makan-makan dan gambar mereka diambil oleh media perdana, mereka pun baliklah ke rumah masing-masing. Di media perdana akan dicanangkan keutuhan perpaduan antara kaum, digambarkan mereka hidup harmoni dan boleh makan bersama-sama di rumah terbuka.

Kemudian sekali sekala diadakan aktiviti perkhemahan diperingkat sekolah, dijemputlah murid-murid yang terdiri dari sekolah Cina, sekolah Tamil dan sekolah Kebangsaan bagi menyertai program perkhemahan itu. Ditonjolkanlah bagaimana murid-murid dari berbagai kaum ini dapat bekerjasama dalam menjalankan aktiviti mereka dalam program itu. Bila selesai perkhemahan yang memakan masa dua tiga hari itu, mereka pun baliklah kesekolah masing-masing.

Apakah gambaran masyarakat Malaysia yang seperti ini yang kita hendak capai dalam 1Malaysia?

Hendak melentur buluh biarlah dari rebung. Setiap anak Malaysia sepatutnya tidak boleh diasingkan disekolah yang mengikut kaum masing-masing.

Hubungan kita adik beradik menjadi rapat dan kuat sebab kita dibesarkan di bawah bumbung yang sama. Tentu hubungan itu tidak akan menjadi rapat kalau adik beradik kita hidup secara terpisah.

Sebagai adik beradik kita bukan saja bermain, bergurau dan melakukan berbagai aktiviti bersama tetapi ada masanya kita juga bergaduh, tetapi itulah yang membina hubungan kita adik beradik menjadi kuat dan bukan hubungan yang berpura-pura.

Dari hubungan yang kuat inilah akan timbul rasa tanggungjawab dan perihatin antara kita adik beradik. Kita akan berasa bersalah kalau membiarkan adik-beradik kita yang lain ketika mereka menghadapi kesusahan dan masalah. Apabila ada hubungan yang kuat terjalin seperti ini, kita tidak akan rasa bimbang lagi terhadap adanya ahli keluarga kita yang tidak terbela nasibnya.

Apa yang berlaku sekarang pemimpin kaum Melayu hanya mahu menjadi juara untuk membela orang Melayu. Pemimpin Cina pula hendak menjadi juara untuk membela nasib kaum Cina, begitu jugalah dengan kaum India, mereka mahu jadi hero kepada kaum mereka.

Kita tidak boleh salahkan sikap mereka ini, ini kerana mereka memang mempunyai hubungan yang kuat dengan kaum mereka. Hubungan ini telah terbina dan terdidik sejak dari kecil lagi, bermula mereka sekolah bersama kaum mereka, selepas itu mereka bekerja dan tinggal dengan kaum dan kelompok mereka, menjadikan kaum mereka sangat dekat di hati mereka.

Dari sistem dan pengalaman yang kita lalui ini, tidak hairanlah kalau semua kita akan melihat setiap rakyat Malaysia itu mengikut kaumnya bukan sebagai bangsa Malaysia yang perlu kita bela tanpa mengira dari kaum mana dia datang.

Lantaran itu parti-parti politik di Negara ini lahir mengikut kehendak dan kepentingan kelompok dan kaum masing-masing. Keadaan struktur kehidupan masyarakat Malaysia yang demikian tidak memungkinkan dapat melahirkan satu parti politik yang memperjuangkan nasib rakyat Malaysia secara keseluruhan.

Apa yang kita nampak sekarang, parti politik BN mahupun PR masing-masing mempunyai parti-parti komponen yang mewakili kelompok dan kaum masing-masing.

Adalah satu kerja yang tidak masuk akal untuk menjernihkan air di muara sungai kalau di hulu sungai airnya sudah keruh. Bermakna, apa pun matlamat yang hendak kita capai perlu bermula dari peringkat kanak-kanak lagi.

Sunday, October 25, 2009

Parti mana yang menjadi parti tunjang PR?

Semua orang sedia maklum parti UMNO adalah parti tunjang kepada Barisan Nasional. Apakah yang menyebabkan parti UMNO menjadi parti tunjang atau tulang belakang kepada BN? Sudah tentu jumlah penguasaan UMNO dalam kawasan pilihanraya parlimen atau kawasan pilihanraya undangan negeri yang jauh lebih besar berbanding parti-parti komponennya yang lain itu telah melayakkan parti UMNO untuk menerajui BN.

Oleh itu sebagai parti tunjang dalam BN, UMNO banyak mencorakkan halatuju dan polisi BN dalam mentadbir Negara ini. Parti-parti komponen yang lain seperti MCA, MIC, Gerakan, PPP, hanya boleh memberi pandangan, usul, teguran, kritikan atau menyuarakan kehendak parti-parti mereka tetapi keputusan akhirnya akan tertakluk kepada UMNO juga.

Ada permintaan parti-parti komponen ini dilayan dengan baik tetapi ada juga permintaan mereka yang tidak dapat dilayan bila permintaan itu bercanggah dengan kepentingan UMNO, orang Melayu dan agama Islam.

Sering juga berlaku desakan dan kritikan dari parti-parti komponen ini disalurkan kepada media apabila ada kesukaran untuk dibincangkan secara rundingan terutamanya dalam menyentuh isu-isu yang sensitif.

Selalunya parti-parti komponen dalam BN akan akur kepada kehendak UMNO tanpa banyak menimbulkan masalah. Sebagai balasan UMNO akan sentiasa memberi sokongan yang kuat kepada parti-parti komponen ini pada setiap kali mereka menyertai pilihanraya, dan UMNO pula tidak lokek untuk memberi laluan kepada sesetengah parti komponenya yang lain walaupun parti UMNO layak untuk bertanding di kawasan itu.

Konsep perkongsian kuasa dalam BN yang selalu dibanggakan oleh UMNO itu bukanlah seindah sebutannya. Secara amalannya parti UMNO terus menjadi penentu hitam putih utama dalam BN.

Memang kerap berlaku 'tarik tali' kuasa antara parti-parti komponen dalam BN tetapi akhirnya mereka terpaksa akur untuk memberi kelebihan kepada UMNO.

Tentu keadaan akan menjadi sukar kalau dalam BN tidak ada parti peneraju seperti UMNO, kerana semua parti komponen dalam BN adalah memperjuangkan agenda kelompok dan kaum masing-masing yang berbeza impian dan aspirasi. Mustahil impian mereka dapat disatukan.

Malah tidak keterlaluan kalau dikatakan 1Malaysia yang diutarakan oleh PM Najib itu hanyalah merupakan 1Malaysia versi UMNO.

Pakatan Rakyat

Parti manakah yang menjadi parti tunjang dalam Pakatan Rakyat pula? Inilah masalah utama dalam Pakatan Rakyat, tidak ada parti yang boleh dilihat sebagai parti yang boleh menjadi parti peneraju dalam pakatan Rakyat.

Yang kita nampak dalam PR hanya ada parti yang menjadi ‘orang tengah’ iaitu parti PKR. PKR selalu menjadi orang tengah kepada hubungan antara dua parti yang ekstrim iaitu PAS dan DAP. PAS dilihat sebagai sebuah parti yang ekstrim kepada agama manakala DAP pula dilihat ekstrim kepada satu kaum.

Melainkan kalau PKR dapat mengambil peranan sebagai parti peneraju dalam PR barulah PR boleh menjadi entiti politik yang kuat dan disegani.

Kalau di Amerika Syarikat mahupun di United Kingdom, mereka tidak ada parti-parti komponen dalam parti politik utama mereka. Sepatutnya Negara kita juga harus menuju kearah yang sama.

Sebagai contoh, di Amerika Syarikat ada dua parti politik utama yang bersaing iaitu Democrat dan Republican. Tidak ada parti komponen di bawah Democrat mahupun Republican. Kalau di UK, juga ada dua parti politik yang bersaing iaitu Conservative dan Labour.

Langkah pergabungan parti Keadilan dan parti Sosialis Rakyat Malaysia yang membentuk parti PKR satu masa dulu adalah satu langkah yang amat baik dan harus dipuji dalam menuju pembentukan satu parti politik utama dalam Negara.

Apabila Negara kita wujud dua parti politik utama dalam persaingan, barulah 1Malaysia yang benar-benar menepati aspirasi rakyat Malaysia dapat direalisasikan.

Thursday, October 22, 2009

Hapuskan Sekolah Pelbagai Aliran, PROF KHOO KAY KIM

BUKIT MERTAJAM: Sistem pendidikan negara perlu disusun semula termasuk melaksanakan sistem sekolah satu aliran bagi memastikan matlamat gagasan 1Malaysia tercapai, kata tokoh sejarah dan akademik Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim.

Beliau berkata, sistem pendidikan yang mengamalkan sekolah pelbagai aliran ketika ini tidak membantu rakyat menyelami makna sebenar gagasan itu.

Katanya, sejak dari kecil lagi rakyat sudah diasingkan mengikut aliran dan bahasa ibunda masing-masing dan apabila dewasa, semangat kerjasama dan persefahaman sukar untuk dijalinkan.

"Kita tidak perlu kepada sekolah yang banyak aliran, bahasa ibunda setiap kaum boleh diselitkan sebagai sebahagian daripada kurikulum di bilik darjah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program wacana "One Malaysia: Cabaran dan Harapan" sempena program semarak perpaduan dan patriotisme Institut Pendidikan Guru Malaysia peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Namun begitu, beliau menjangkakan ada pihak yang akan membantah cadangan itu tetapi mereka yang berbuat demikian perlu menilai semula sejauh mana sistem pendidikan ketika ini boleh membantu mengukuhkan pembentukan sebuah negara bangsa. Mengimbau kembali sejarah terbentuknya sekolah pelbagai aliran di negara ini, Prof Khoo Kay Kim berkata, mengikut sejarah, British membenarkan penubuhan sekolah pelbagai bahasa di Tanah Melayu kerana kebanyakan pendatang ketika itu tidak mempunyai niat untuk menetap di negara ini.

"Jadi, British membenarkan mereka membuka sekolah menggunakan bahasa ibunda masing-masing supaya mereka dapat belajar mengenai negara sendiri. "Bagaimanapun, sistem ini tidak lagi perlu diteruskan sekarang kerana mereka sudah menjadi warga negara Malaysia dan perlu dididik supaya menerima negara ini dan masyarakat berbilang kaum yang ada di sini sebagai sebahagian daripada diri mereka," katanya lagi.

Khoo juga berkata, kebanyakan rakyat negara ini tidak tahu dan tidak memahami sejarah negara sehingga menyebabkan mereka berfikiran secara sempit.

Menurutnya, ada segelintir ahli politik yang lebih mengutamakan kepentingan diri dan agenda masing-masing berbanding matlamat utama negara bangsa.

"Ada ahli politik kita yang tidak mahu berintegrasi dan lebih suka kepada pemisahan, dan lihatlah bagaimana negara menjadi kucar-kacir kerana adanya ahli politik yang tidak mengutamakan negara bangsa tetapi lebih kepada agenda sendiri," katanya.

Sunday, October 18, 2009

Bagan Pinang, Kekalahan PAS sudah diduga

KEDEGILAN PAS untuk terus meletakkan calonnya untuk bertanding di PRK Bagan Pinang membawa padah kepada parti itu dengan mengalami kekalahan teruk.

Kekalahan ini boleh dilihat sebagai petanda pengundi di Bagan Pinang khususnya dan di Negeri Sembilan amnya tidak dapat menerima parti PAS.

Kalau tidak menang pun, tentunya kekalahan ini tidaklah teruk sangat kalau PAS dari awal mengambil langkah memberi laluan kepada calon dari parti PKR bagi mewakili Pakatan Rakyat untuk menjadi calon di sana.

Negeri Sembilan, Melaka dan Johor memang terkenal sebagai kubu UMNO yang kuat. Kebanyakan orang Melayu di negeri-negeri ini memang tidak boleh terima parti PAS langsung.

Malah pernah berlaku di mana ahli PAS yang cuba membawa masuk pengaruh PAS di sesetengah kampung di Johor pernah dihalau dan ditolak mentah-mentah oleh orang kampung.

Kalau di Kelantan keadaan seperti itu tidak akan berlaku, mereka begitu faham bahawa UMNO dan PAS adalah parti-parti politik dalam negara demokrasi, siapa pun boleh menyokong mana-mana parti yang mereka suka.

Kalau orang Melayu di Johor sendiri pun susah hendak menerima PAS, apa lagilah dengan orang-orang bukan Melayu di sana.

Janganlah sebab berjaya menubuhkan cawangan di sesuatu kawasan di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dengan beberapa ratus ahli sudah mendabik dada mereka layak meletakkan calon mereka bagi mewakili Pakatan Rakyat. Yang akan mengundi bukan ahli-ahli parti sahaja tetapi adalah semua penduduk yang layak mengundi di kawasan itu yang jumlahnya jauh lebih besar dari bilangan ahli-ahli yang ada di situ.

Oleh itu PAS jangan jadi parti terlebih perasan. PAS mesti bersikap berpijak di bumi nyata, tidak hanya mementingkan diri sendiri sahaja. Apalah guna meletakkan calun-calun PAS di negeri-negeri tersebut tetapi akan menyumbang semua kekalahan kepada PR.

Kita kena lihat juga sentimen masyarakat setempat dalam meletakkan calon untuk parti kita bertanding. Kalau negeri itu tidak boleh terima parti PAS maka berilah laluan kepada parti komponen yang lain seperti PKR.

Meletakkan calon dari PKR mewakili PR di negeri-negeri yang dikenali sebagai kubu kuat UMNO iaitu di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor bukanlah bermakna ada jaminan PR boleh menang, tetapi sekurang-kurangnya ia lebih realistik dan tidaklah PR dimalukan dengan kalah begitu teruk sekali.

Adalah wajar jika sesuatu parti itu tidak dapat mengekalkan prestasinya seperti yang berlaku di PRK di Bagan Pinang baru-baru ini, memberi laluan dan peluang kepada parti komponen yang lain untuk bertanding pula.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel