Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Saturday, December 31, 2011

Motorsikal bersaiz besar yang lebih praktikal untuk ditunggangi

Kebimbangan utama semasa menunggang motorsikal bersaiz besar seperti Hardley Davidson ialah kita terpaksa menahan berat motor itu semasa dalam keadaan berhenti atau motor tidak bergerak.


Kita bimbang kalau dihempap oleh motor yang berat ini. Alangkah bagusnya kalau motorsikal yang berat dan bersaiz besar ini dapat dilengkapkan dengan dua lagi tayar di sebelah kiri dan kanan sebagai penyokong semasa motor berhenti (lihat gambar).

Dengan adanya ‘tayar penyokong’ ini, kita tidak rasa bimbang lagi untuk menahan berat motor tersebut dan tidak bimbang lagi dari dihempap semasa motor berhenti. Tayar penyokong ini dapat mengelakkan motor dari tumbang semasa motor berhenti atau tidak bergerak.


Untuk menjadikan perjalanan motor lebih lancar dan dapat menikmati penunggangan seperti motorsikal bertayar dua yang biasa, tayar penyokong ini akan terlipat keatas secara automatic bila motorsikal telah mula bergerak.

Apabila penunggang memperlahankan motor kerana mahu berhenti, seperti hendak berhenti di lampu isyarat, secara automatic juga tayar penyokong ini akan turun ke atas jalanraya dan akan dapat menyokong motor supaya tidak tumbang ke sebelah kiri mahupun kanan sebelum motor betul-betul berhenti.

Mungkin pada masa akan datang, lebih ramai orang akan berminat untuk menunggang motor bersaiz besar jika dilengkapkan dengan tayar penyokong ini.

Thursday, December 15, 2011

Kaum Cina beringat kerana berasa tertindas, kaum Melayu leka kerana dimanja

Orang Barat telah mendapat pengajaran dari Perang Salib, orang Islam tidak boleh dikalahkan dengan kekuatan senjata, sebaliknya mereka telah menukar strategi dengan cara menjauhkan orang Islam dari ajaran Quran. Mereka lalaikan orang Islam dengan kehidupan dunia dan hiburan, strategi mereka berkesan, orang Islam terus lemah dan tidak mampu bangun lagi.


Orang Yahudi adalah kaum yang telah menjadi mangsa kekejaman dalam Perang Dunia Kedua, bilangan mereka sangat kecil dan tidak mampu untuk menguasai dunia dengan kekuatan. Mereka sedar akan kekurangan dan kelemahan mereka itu, tetapi mereka memiliki kepintaran, dengan kepintaran itu mereka telah menguasai segala genap bidang.

Hari ini percaturan politik dunia, terutamanya politik Amerika dan Britain telah dikuasai oleh golongan Yahudi.

Di Malaysia, peristiwa 13 Mei 1969 telah tercatat sebagai sejarah hitam Negara kita, di mana berlaku rusuhan kaum antara orang Melayu dan orang Cina. Kaum Melayu lebih ramai dari kaum Cina, sudah tentu terdapat kekuatan yang tidak seimbang antara dua kaum ini. Kita mengamalkan sistem demokrasi, dalam amalan demokrasi, golongan minoriti harus akur dengan golongan majoriti.

Melayu adalah golongan majoriti, mereka mempunyai kekuatan atau kuasa politik yang boleh menggubal dan menentukan dasar Negara. Ada dasar-dasar yang digubal ini tidak menyenangkan kaum Cina yang minoriti, tetapi mereka tidak ada daya untuk mengubahnya, selain dari menyuarakan pendapat dan pandangan sahaja. Itulah resam kehidupan rakyat berbilang kaum dalam sistem demokrasi, kaum minoriti bergantung ikhsan kepada kaum majoriti.

Oleh kerana keadaan politik Negara kita dibahagi secara jelas mengikut polarisasi kaum, maka kaum yang majoriti terus menguasai kuasa politik Negara. Semua dasar-dasar yang digubal akan cenderung untuk menjaga kepentingan golongan majoriti ini iaitu orang Melayu. Kita tidak boleh salahkan kalau pemimpin seperti PM Najib dan TPM Muhyiddin Yasin dilihat memperjuangkan kepentingan orang Melayu, kerana mereka berada di kedudukan itu adalah juga kerana sokongan dari orang Melayu atau UMNO.

Sejak peristiwa 13 Mei 1969, ataupun jauh sebelum tarikh itu, orang Cina dan orang Melayu sentiasa berasa curiga antara satu sama lain. Orang Melayu menganggap Negara ini milik mereka dan orang Cina dianggap sebagai kaum pendatang yang telah membuat kekayaan di Negara kepunyaan mereka, ini seperti dikiaskan dalam senikata lagu yang dinyanyikan oleh N.D Lala yang berbunyi “rumah ini rumah kita”.

Orang Cina pula merasakan Negara ini adalah Negara mereka juga, kerana mereka telah dilahirkan di Negara ini, oleh itu mereka juga mempunyai hak terhadap Negara ini dan harus mempunyai hak samarata seperti orang Melayu juga.

Keadaan inilah yang telah menghantui perpaduan Negara kita selama ini. Di luar rumah kita melaungkan slogan perpaduan tetapi di dalam rumah kita bermusuh dalam senyap.

Perpaduan kita hanya terhad semasa makan di rumah terbuka di jamuan-jamuan perayaan yang diadakan oleh menteri-menteri kabinet. Perpaduan juga digambarkan seabagai adanya persefahaman dalam pembahagian projek-projek kerajaan di kalangan orang-orang politik yang berbagai kaum.

Secara senyap orang Cina telah menjadi musuh kepada orang Melayu, mereka terus menyusun strategi untuk sentiasa mengalahkan kemajuan orang Melayu.

Orang Cina terus menguasai rangkaian perniagaan tanpa memberi ruang kepada orang Melayu untuk menembusinya. Ini adalah survival kaum mereka, ini sahaja kekuatan yang mereka ada, kalau terlepas kepada orang Melayu, kaum mereka akan kalah dan akan lebih menderita.

Kerana merasakan mereka adalah golongan yang tertindas, kaum Cina terus memperingatkan kaumnya untuk terus bekerja keras dalam membina ekonomi dan memberi pelajaran terbaik untuk anak-anak kaumnya tanpa mengharapkan bantuan dari kerajaan.

Di pihak orang Melayu pula, mereka telah mendapat berbagai kemudahan dan bantuan untuk memajukan mereka bagi menandingi atau sekurang-kurangnya sama dengan kaum Cina. Pada satu masa dulu agensi dan jabatan-jabatan kerajaan dengan cara ‘halus’ telah mengurangkan pengambilan kakitangannya di kalangan orang Cina, sehingga jabatan-jabatan ini telah dikuasai oleh orang-orang Melayu.

Semakin dibantu, anak-anak Melayu semakin tidak menampakkan kemajuan seperti yang diharapkan, dari segi pemilikan harta dan perniagaan mereka masih tidak memberansangkan. Sebaliknya anak-anak Melayu lebih ramai terlibat dengan masalah sosial seperti dadah, rempit, lepak, ali baba, jenayah dan maksiat.

Kerana kerap dibantu, orang Melayu menjadi hilang daya saing, tidak mampu berdikari dan hilang ketahanan diri dalam menghadapi cabaran.

Walaupun peperangan antara dua kaum ini tidak diistiharkan, tetapi secara senyap ia memang berlaku. Bertanyalah kepada diri kita sendiri, apakah kita rasa selesa dalam keadaan begini? Dan sampai bila kita terus rasa curiga antara satu sama lain dan berperang dalam senyap?

Sebenarnya kita sedang memasang dan tengah menunggu ‘time bomb’ yang bila-bila masa saja boleh meletup.

Apakah penyelesaiannya?

Kita sudah melakukan kesilapan besar sejak 50 tahun dulu lagi, dari mula kita telah tidak menyemai benih perpaduan kepada anak-anak kita.

Kita bangga dengan sekolah yang berasingan mengikut kaum. Apakah perlu sekolah diasingkan semata-mata untuk belajar bahasa dan budaya ibunda. Tidak bolehkah bahasa-bahasa ibunda ini diajar dalam satu sekolah yang sama?

Mengasingkan sekolah mengikut kaum tidak akan membantu untuk membentuk rakyat yang bersatu padu. Sebenarnya di tadika dan di sekolahlah persahabatan dapat dibentuk secara semulajadi. Oleh kerana kita bersekolah berasingan mengikut kaum maka rakyat Malaysia begitu sukar mempunyai sahabat karib yang terdiri dari kaum lain dari kaumnya, walaupun seorang.

Akhirnya kita hanya melihat rakyat Malaysia berdasarkan kaum kita sahaja, bukan melihat rakyat Malaysia secara menyeluruh. Apabila kita hendak membantu orang susah kita akan pilih kaum kita sahaja.

Selalunya kalau kita hendak membina perniagaan kita akan mencari rakan kongsi di kalangan sahabat kita. Ahmad akan mencari sahabat karibnya Abu sebagai rakan kongsi perniagaan bukan disebabkan Abu orang Melayu, tetapi kerana Ahmad tidak mempunyai sahabat karib dari kaum lain.

Kalau tidak dipecahkan ruyong masakan kita dapat sagunya. Sampai bila kita mesti terus berada di zon selesa seperti sekarang ini, takut untuk berubah dan mengubah?

Kita boleh memberi berbagai alasan untuk tidak mahu berubah, malah berbangga dengan apa yang sedang diamalkan. Inilah satu-satunya Negara di dunia yang ada sekolah mengikut kaum, fuh! bangganya, tercatat dalam dunia yob.

Bangga tak kena tempat.

Saturday, December 03, 2011

Bila pintu kebebasan hujah ditutup, terselindunglah kebenaran

Kebenaran mutlak itu adalah apa yang datang dari Tuhan. Dalam sejarah kehidupan ini, manusia sering tersasar dari kebenaran. Setiap kali kebenaran aqidah manusia tercemar dan tersasar, Tuhan melalui nabi-nabi dan rasul-rasulnya akan membetulkan atau menunjukkan semula jalan yang benar.


Nafsu dan syaitan sentiasa membawa manusia kearah yang sesat dan terkeluar dari landasan aqidah yang sebenar, samada dalam bentuk mempersekutukan Tuhan (syirik) atau tidak mempercayai Tuhan yang Maha Esa.

Di Malaysia juga pernah di zaman lampau melalui amalan Islam yang dipenuhi unsur-unsur khurafat, seperti memohon kepada keramat dan kubur, amalan semah dan bidaah. Dari zaman Munsyi Abdullah lagi, orang-orang Melayu telah tebal dengan kepercayaan karut dan kurafat mereka.

Apabila semakin ramai kalangan orang Islam Malaysia yang pergi menuntut agama di Timur Tengah dan India, mereka telah mendapat persepsi baru tentang Islam. Dipusat-pusat pengajian Islam di sana mereka terdedah dengan ilmu-ilmu Islam yang benar. Mereka belajar dan memahami Quran dari guru-guru yang muktabar.

Akhirnya, bila Islam yang bersih dari unsur kurafat ini hendak diterapkan kepada masyarakat yang sebati dengan amalan lama, maka berlakulah pertembungan fahaman. Pertembungan fahaman ini menjadi begitu hebat sehingga dikenali sebagai fahaman kaum muda dan fahaman kaum tua.

Walaupun tidak ada pihak yang diistiharkan menang atau kalah dalam pertembungan itu, tetapi oleh kerana pintu hujah sentiasa dibuka kepada dua-dua pihak, akhirnya banyaklah amalan-amalan kurafat dalam masyarakat Melayu telah mereka tinggalkan, setelah mereka mendapat maklumat dan kesedaran.

Bukan kemenangan yang hendak dicari, tetapi kebenaran.

Terdapat rakan-rakan di dalam Facebook yang cuba mempromosi ajaran dan fahaman Syiah. Menggunakan ucapan-ucapan yang mereka dakwa yang diucapkan oleh Nabi Muhammad dan Saidina Ali, terus cuba mempengaruhi orang ramai untuk menyokong aliran Syiah.

Mereka membesar-besar dan mengagung-agungkan Husein anak kepada Ali bin Abi Talib secara berlebih-lebihan. Apa beza antara Hamzah, bapa saudara Nabi yang mati syahid yang dadanya dibelah dan hatinya dimamah dengan Husein, sehingga Husein begitu istimewa kepada golongan Syiah melebihi Hamzah Abi Talib.

Pertelingkahan politik antara umat Islam yang telah menyebabkan Husein dibunuh dan dipenggal kepalanya telah berlaku ratusan tahun dahulu. Di zaman mana pun telah berlaku pembunuhan umat Islam samada berperang dengan orang bukan Islam atau sesama Islam sendiri. Kita yang hidup di zaman ini tidak perlu menanggung dosa kesilapan dan kesalahan mereka itu. Dosa orang tidak akan dipikulkan kepada kita dan dosa kita tidak pula dipikul oleh orang lain, itu adalah janji Tuhan.

Berhentilah dari terus berdendam kepada puak yang lain, tidak ada seorang pun umat Islam yang ada hari ini yang bertanggungjawab atau pun bersubahat membunuh Husein. Pembunuhan itu dilakukan oleh umat Islam di zamannya, dan mereka tetap akan dihukum oleh Tuhan kalau mereka bersalah setimpal dengan kesalahannya.

Dan umat Islam yang tidak turut serta untuk menyertai Husein berperang atau bersubahat membunuh Husein juga akan mendapat balasan dari Tuhan, tidak perlu kita yang hidup di masa ini terus berasa kesal dengan kejadian itu.

Sebaliknya ambillah iktibar dari kejadian itu supaya umat Islam tidak mengulangi perkara bodoh ini, berperang sesama sendiri. Jadilah umat yang bijaksana, sentiasa memilih hujah bagi mengatasi segala permasalahan, memilih damai melebihi perang.

Sekarang bukan masa untuk memenangkan mazhab dan kumpulan kita, kembalilah kepada peranan dan tanggungjawab kita yang sebenar. Tidak lain untuk membawa umat manusia kepada aqidah yang betul. Ini bukan lagi masa untuk mengagungkan dan menonjolkan mazhab kita, kita mesti keluar dari kepompong yang sempit itu. Berpandukan Quran, kitab yang benar, petunjuk kepada umat manusia, marilah kita menyeru dengannya membawa manusia ke jalan yang benar.

Husein dan Abu Bakar memang penting, tetapi mereka telah melakukan yang terbaik untuk Islam di zaman mereka. Tetapi untuk Islam hari ini, semuanya tergalas di atas bahu kita, bukan lagi dibahu Husein mahu pun Abu Bakar.

Memang tidak dinafikan Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman melalui wadah UMNO telah melakukan yang terbaik, memerdekakan Negara ini dari penjajah British. Tetapi tidak bermakna orang UMNO hari ini juga telah melakukan yang terbaik untuk Negara ini. Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman telah banyak berjasa, tetapi tidaklah wajar, kerana terlalu terhutang budi kepada mereka, hingga kita tidak boleh mengundi selain dari parti UMNO.

Kita tidak akan berjumpa dengan kebenaran kalau dicari dalam medan politik. Kebenaran boleh ditemui dalam agama. Politik adalah medan untuk mencari pemimpin. Apabila umat tidak dapat membezakan antara politik dan agama, maka jadilah seperti yang berlaku kepada golongan Syiah dan Sunni.

Wednesday, November 30, 2011

Seperti biasa, orang Melayu ditakut-takutkan

Dalam ucapan perasmian perhimpunan sayap UMNO malam tadi (29/11/2011) yang disiarkan secara langsung melalui media elektronik perdana, Muhyiddin cuba menakut-nakutkan orang Melayu supaya menolak parti pembangkang (PR).


Menggunakan taktik menakut-nakutkan adalah satu teknik yang berkesan dalam strategi memenangi pilihanraya, dan ia telah diamalkan sejak sekian lama oleh parti UMNO.

Memulakan ucapannya dengan mencela perbuatan fitnah, beliau menuduh parti pembangkang suka membuat fitnah dan bekerja lebih masa untuk mereka-reka fitnah, kemudian beliau pula secara semborono menabur fitnah kepada DAP, PKR dan PAS dalam ucapannya. Umpama paku dulang paku serpih.

Selanjutnya Muhyiddin mengingatkan atau memberi amaran keras, Melayu akan kehilangan kuasa kalau orang-orang Melayu tidak bersatu menyokong UMNO. Tetapi betulkah Melayu akan hilang kuasa? atau golongan elit dalam UMNO dan cukong-cukongnya yang akan hilang kuasa dan hilang projek?

Muhyiddin bukan seperti memberi ucapan perasmian sayap UMNO, tetapi lebih kepada ceramah kempen pilihanraya untuk parti UMNO walaupun waktu kempen belum bermula lagi. Beliau menggunakan media perdana untuk berkempen parti UMNO, apakah media perdana ini dibiayai oleh wang UMNO? Kalau di England sudah lama parti semacam ini bungkus kerana menyalahgunakan harta rakyat untuk berkempen.

Tambah beliau lagi, institusi agama dihina kalau UMNO tidak lagi berkuasa. Betulkah agama Islam menjadi mulia sebab adanya institusi agama ini? Sebaliknya institusi agama yang ada sekarang inipun seperti menurut telunjuk UMNO saja. Orang Melayu hanya merujuk institusi agama ini sebagai jabatan nikah kawin dan jabatan menangkap orang berkhalwat di hotel bajet saja.

Apapun dalam ucapan itu, Muhyiddin sendiri mengakui telah berlakunya tsunami politik, dan senerio atau lanskap politik Malaysia telah berubah semenjak 2008. Lantaran itu Muhyiddin cuba menakutkan pewakilan UMNO bahawa pilihanraya umum akan datang adalah pilihanraya yang akan menentukan hidup atau mati UMNO. Kalau UMNO mati, terlepaslah segala projek yang mungkin akan dibalun oleh puak lain pula. Maka diserulah segala hulubalang untuk mempertahankan UMNO, masih adakah hulubalang UMNO? atau sekadar tinggal jembalang?

Wednesday, November 23, 2011

Rakyat semakin faham makna Transformasi PM Najib

Sebagai guru yang terlibat dalam bidang kejuruteraan dan matematik, saya memang sudah biasa sangat mendengar perkataan transformasi ini.


Sebagai contoh, persamaan isyarat elektrik boleh ditulis dalam bentuk masa atau boleh juga ditranformasi kepada bentuk pemfasa (frekuensi). Untuk tujuan memudahkan kerja-kerja analisis dalam bidang ini, terdapat beberapa teorem yang digunakan seperti tranformasi Laplace dan transformasi Fourier.

Alat pengubah dalam sistem elektrik pula adalah alat tranformasi dari orientasi voltan kepada orientasi arus elektrik atau pun sebaliknya.

Contoh-contoh transformasi yang disebutkan di atas sebenarnya hanyalah merubah rupa bentuk sahaja, tetapi hasilnya tetap sama.

Ini mengingatkan saya kepada pelan Transformasi yang ingin diperkenalkan oleh PM Najib dalam pentadbirannya.

Pada peringkat awal PM najib memperkenalkan pelan Transformasinya, saya ingatkan ia sangat berbeza dengan transformasi yang saya belajar.

Tetapi setelah meneliti dan melihat perkembangan kepada hasil-hasil Tranformasi yang beliau perkenalkan itu, jelas sekali konsep transformasi yang beliau perkenalkan itu tidak ada beza dengan konsep yang saya belajar dalam bidang Elektrik.

Sebagai contoh, ISA akan dihapuskan tetapi akta baru yang mengekalkan ‘tahan tanpa bicara’ tetap dilaksanakan, malah selepas beliau mengistiharkan ISA dihapuskan, beberapa orang aktivis politik di Sabah terus ditangkap di bawah akta yang sama. Dengan kata lain, hasil dari Transformasi beliau itu sama, hanya berubah pada nama dan bentuk saja.

Undang-undang baru berkaitan Perhimpunan Aman baru saja dibentangkan di Parlimen untuk menggantikan yang lama. Selari dengan prinsip demokrasi, sepatutnya Perhimpunan Aman tidak perlu diadakan sekatan-sekatan, kerana itu adalah hak rakyat yang mesti ada dalam amalan demokrasi. Tetapi apa yang kita nampak, undang-undang yang ingin digubal itu lebih teruk dari yang sedia ada.

Setelah gagal mengembalikan sokongan rakyat kepadanya, BN cuba pula menggunakan undang-undang untuk menguatkan cengkamannya untuk terus kekal berkuasa.

Mungkin PM Najib sedar, kelemahan undang-undang bagi menyekat rakyat berhimpun adalah antara faktor yang telah menyebabkan beberapa pemimpin negara Arab digulingkan oleh rakyatnya. Sebab itulah beliau mahu memperketat dan memperkemas undang-undang tersebut supaya rakyat tidak ada peluang untuk berhimpun yang boleh menggugat kedudukannya. Tetapi beliau lupa, undang-undang rimba tidak akan memberi apa-apa makna kalau kebangkitan demokrasi telah memuncak.

Sunday, November 20, 2011

Kaum Melayu memandang tinggi wanitanya

Sepanjang sejarah tamaddun manusia, kaum wanita selalu menjadi mangsa diskriminasi dan penginayaan.


Sebagai contoh, di era tamaddun Roman, wanita dianggap sebagai hamba kepada orang lelaki dan tidak mempunyai apa-apa hak. Undang-undang India kuno pula, seorang balu wajar menamatkan riwayatnya dengan membakar diri bersama mayat suaminya.

Di semenanjung Arab sebelum kedatangan Islam, suatu yang memalukan jika melahirkan anak perempuan, dan tidak salah untuk membunuh anak-anak perempuan.

Dalam satu persidangan pada tahun 1586 A.D di Peranchis, suatu perbincangan diadakan bagi menentukan samada wanita adalah manusia atau tidak.

Di England, hingga tahun 1850 wanita dianggap sebagai bukan warganegara, dan sehingga tahun 1182 wanita masih tidak boleh memiliki harta.

Setengah bahasa didunia ini menggunakan gantinama yang berbeza untuk wanita, sebagai contoh dalam Bahasa Inggeris, ‘He’, ‘His’ dan ‘Him’ merujuk kepada lelaki dan ‘She’, ‘Her’ dan ‘Hers’ bagi wanita. Dalam Bahasa Arab pula, ‘Hu’ merujuk kepada lelaki dan ‘Ha’ untuk wanita.

Sedangkan di alam Melayu, tidak pernah kedapatan di mana kaum wanitanya didiskriminasi atau dibeza-bezakan. Malah dalam beberapa hal wanita mendapat beberapa kelebihan.

Di setengah tempat di rantau ini, golongan wanita sahaja dibenarkan mempusakai harta, dan masih diamalkan hingga ke hari ini.

Di negeri Kelantan pula wanita Melayu sangat aktif dalam dunia perniagaan dan mempunyai kuasa ekonomi yang disegani.

Di negara bernama Nigeria, adalah ganjil kalau seorang lelaki itu hanya mempunyai seorang isteri sahaja. Tetapi di Negara kita, seperti melakukan 'kesalahan' jika seorang suami ingin berkahwin lagi satu.

Oleh itu di Negara kita secara tradisinya tidak pernah timbul untuk menuntut hak samarata, kerana dari dulu lagi wanita kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lelaki.

Oleh itu, tidak hairanlah kalau Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Shahrizat Jalil mempunyai banyak masa, kerana tidak banyak isu wanita yang hendak diperjuangkan di Negara ini. Masa yang banyak yang terluang itu telah dimanafaatkan oleh beliau untuk menjaga lembu.

Monday, November 07, 2011

Demokrasi terpimpin kepala hotak hang!

Demokrasi terpimpin, itulah antara slogan-slogan manis yang digunakan oleh pemimpin UMNO dan BN bagi menghalalkan mereka mencabul kesucian demokrasi.


Kononnya rakyat Negara ini yang kebanyakannya buta dan tidak faham amalan demokrasi harus dipimpin untuk mereka memahaminya. Malangnya rakyat dipimpin kearah yang lebih sesat sehingga menjadi lurus bendul.

Apabila rakyat dapat diperbodohkan, mudahlah mereka memerintah dan berkuasa mengikut suka hati mereka, beraja di mata bersultan di hati. Sehingga apa sahaja yang dilakukan oleh pemimpin samada baik atau tidak, semua diterima bulat-bulat tanpa banyak soal.

Demokrasi terpimpin dan demokrasi acuan kita sendiri yang mereka tanamkan dalam pemikiran rakyat, menyebabkan kebanyakan rakyat Negara ini tidak lagi kenal dengan demokrasi yang sebenar.

Kepada mereka demokrasi ialah mengundi UMNO dan BN dalam setiap pilihanraya, dan Negara akan jadi huru hara kalau parti pembangkang memerintah.

Demokrasi yang sebenar, yang memberi kebebasan memberi pendapat, kebebasan bersuara, kebebasan media, kebebasan berhimpun telah menjadi suatu yang janggal kepada mereka dan tidak boleh dilaksanakan di Negara ini. Mereka hanya boleh terima demokrasi ala UMNO dan BN saja.

Tidak hairanlah kalau kebanyakan mereka terkejut beruk bila PM Najib sendiri bercakap mengenai perlunya dilakukan pembaikan SPR dan sistem pilihanraya, kerana selama ini dalam pemikiran mereka tertanam anggapan tidak ada cacat cela dengan SPR dan sistem pilihanraya itu.

P. Ramle seorang manusia yang mempunyai kebebasan dalam pemikiran, tidak hairanlah kalau beliau yang berfikiran kreatif itu dapat menghasilkan karya yang sungguh bermutu tinggi, ini kerana beliau tidak mudah diperbodohkan dengan demokrasi terpimpin dan slogan-slogan yang sewaktu dengannya.

Friday, November 04, 2011

Adalah kewajipan muslim menyeru orang bukan Islam untuk beriman

Dalam Quran begitu jelas memberitahu kita, amalan baik orang kafir itu akan menjadi sia-sia di akhirat nanti kalau mereka tidak beriman kepada Allah s.w.t di dunia ini. Dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka kerana enggan beriman kepada Allah.


Tetapi di samping itu ada juga ayat dalam Quran yang menyatakan suatu kaum itu tidak dikenakan azab neraka selagi tidak diturunkan rasul untuk memberi peringatan kepada mereka. Oleh itu zaman yang tidak mempunyai rasul seperti zaman antara nabi Isa dan nabi Muhammad, manusia-manusia yang hidup dan mati di zaman itu adalah terkecuali dari azab neraka, wallahulam.

Tetapi bagaimana dengan orang-orang di zaman itu yang melakukan berbagai kejahatan dan penginayaan terhadap manusia lain di waktu itu, adakah mereka terlepas dari pembalasan? Ada orang alim mengatakan mereka yang melakukan kejahatan di zaman itu tetap mendapat balasan setimpal dengan kejahatan yang mereka telah lakukan di akhirat nanti, kiasnya samalah seperti seekor binatang mencederakan binatang lain di dunia ini. Dikatakan di akhirat nanti, binatang yang dicederakan atau ditanduk itu akan menuntut pembalasan kepada binatang yang mencederakan mereka.

Tanggungjawab menyampaikan atau menyeru manusia agar beriman kepada Allah adalah menjadi kewajiban para Rasul sahaja, kecuali umat Muhammad. Tidak seperti umat-umat nabi yang lain, mereka tidak mempunyai kewajiban lagi untuk menyeru manusia beriman sebaik saja nabi mereka wafat.

Nabi Muhammad adalah nabi dan rasul terakhir yang diutus untuk umat akhir zaman, tidak ada lagi rasul selepas nabi Muhammad. Oleh itu tugas rasul untuk menyeru manusia beriman setelah nabi Muhammad wafat dipikul oleh orang Islam sendiri. Menyeru orang bukan Islam untuk beriman adalah menjadi tanggungjawab dan kewajiban orang Islam sendiri. Setiap kita orang Islam akan ditanya di akhirat nanti tentang kewajiban kita ini. Sudahkah kita telah menjalankan tugas yang diamanahkan oleh Allah ini?

Apakah jawapan yang dapat kita berikan kepada Allah di akhirat nanti, bila orang bukan Islam yang menjadi jiran kita mengadu kepada Allah, kita tidak pernah menyeru mereka untuk beriman?

Orang-orang bukan Islam yang tidak sampai seruan Islam ini, ataupun orang Islam sendiri tidak pernah menyeru mereka untuk beriman kepada Allah, sudah tentu mereka tidak akan dikenakan azab neraka oleh Allah. Mereka itu sama seperti manusia di zaman jahilliah yang tidak mengerti apa-apa.

Tetapi kepada orang-orang bukan Islam yang telah diserukan Islam kepada mereka dan telah diajak beriman kepada Allah, dan kemudian mereka menolaknya. Maka mereka pasti akan masuk ke neraka, sekalipun mereka telah melakukan amal-amal yang baik di dunia ini. Di sisi Allah, amal-amal baik mereka itu sama seperti debu-debu yang berterbangan saja.

Sunday, October 30, 2011

Hasan Ali menaruh dendam dengan DAP

Kerajaan perpaduan yang diusahakan secara rahsia oleh Hasan Ali sejurus selepas pilihanraya umum 2008 telah ditolak oleh kebanyakan kepimpinan PAS terutamanya Mursyidul PAS TG Nik Aziz Nik Mat. Sikap ‘belot’ Hassan Ali ini telah membuatkan beliau dipandang curiga oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.


Demi kebaikan dan atas dasar ingin menjaga ketinggian syiar Islam, Hasan Ali sanggup membelakangkan rakan-rakannya dari Pakatan Rakyat, sebaliknya beliau telah melakukan usaha membawa PAS bersekutu dengan UMNO untuk membentuk kerajaan di Selangor.

Sekalipun kalau begitu niat beliau, dari sudut moralnya, itu bukanlah perbuatan yang beretika. Tidak sepatutnya kita menghalalkan cara untuk mencapai matlamat yang murni.

Semasa sukar dia berjuang bersama-sama rakan-rakan DAP dalam Pakatan Rakyat menentang BN menghadapi pilihanraya, tetapi apabila telah menang dia sanggup membelakangkan mereka.

Hassan Ali rasa malu dan keciwa dengan PAS kerana idea kerajaan perpaduannya telah tidak mendapat sambutan dari pihak PAS. DAP pula memandang Hassan Ali dengan perasaan yang curiga dan dilihat sebagai seorang ‘pembelot’.

Sepanjang kepimpinan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan di Negeri Selangor, Hassan Ali dalam beberapa isu telah menjadi seperti pihak pembangkang kepada kerajaan Pakatan Rakyat. Termasuklah isu perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan isu serbuan oleh Jabatan Agama Islam di sebuah gereja di Selangor.

Hasan Ali seperti ingin melepaskan dendamnya terutamanya kepada rakan-rakan DAP di Selangor bila berdepan dengan isu-isu yang ada kaitan dengan agama. Tidak seperti Khalid Samad, Hasan Ali tidak dapat bekerjasama dengan rakan-rakan DAP, kerana beliau selalu menganggap DAP sebagai musuh Islam.

Hasan Ali adalah termasuk orang yang berfikiran, syiar Islam hanya boleh ditegakkan melalui kuasa politik. Tidak hairanlah kalau dia telah memilih PAS apabila beliau ingin mendapatkan ‘kuasa’.

Syiar Islam tidak menjadi tinggi kerana kuasa. Ikutlah cara nabi, Islam disebarkan melalui dakwah dan tarbiyah. Politik berparti adalah cara kita memilih pemimpin untuk mentadbir Negara. Berbeza pendapat, berbeza parti bukan bermakna perpecahan. Umat Islam tetap satu tanpa mengira parti politik.

Masalahnya bila orang Islam sendiri tidak faham apa itu parti politik. Ada orang yang menganggap parti politik sebagai mazhab dan agama. Itu yang salahnya, dan itulah yang menyebabkan umat Islam berpecah, mereka jahil dalam memahami politik.

Wednesday, October 26, 2011

Lima beranak nekad berjalan kaki 100 kilometer melalui landasan keretapi

Peristiwa ini berlaku sekitar tahun 1940an dahulu. Mohd Amin dan isterinya bersama tiga orang anaknya telah nekad untuk berjalan kaki dari kampungnya di Kampung Sungai Dua Kechil, Kuala Pilah menyelusuri jalan keretapi menuju Temerloh, Pahang.


Akibat pergaduhan atau perselisihan yang berlaku antara kakak kepada isteri Mohd Amin dengan isterinya menyebabkan Mohd Amin dan isterinya merajuk. Akhirnya mereka membuat keputusan untuk membawa diri ke Temerloh, Pahang. Destinasi mereka di Temerloh ialah rumah abang Mohd Amin yang bernama Shafie.

Mohd Amin bukanlah orang senang, walaupun tidak mampu untuk membayar tambang bas atau keretapi ke Temerloh, tetapi keadaan yang mendesak dan mahu lari dari kemelut yang mereka hadapi, memaksa beliau dan isteri nekad untuk berjalan kaki sahaja.

Setelah membuat persiapan yang ala kadar, membawa beberapa helai pakaian, sedikit bekalan makanan dan minuman, dan sedikit wang yang ada untuk membeli makanan dalam perjalanan, Mohd Amin dan isteri bersama anak-anak pun memulakan perjalanan mereka.

Laluan yang mereka tempuhi untuk berjalan kaki ialah jalan keretapi. Mereka memilih laluan jalan keretapi kerana jalan keretapi bukan sahaja laluan yang paling dekat berbanding jalan raya, jalan keretapi juga tidak ada simpang dan ini dapat mengelakkan dari tersesat atau salah jalan.

Anak Mohd Amin yang paling kecil bernama Ibrahim yang ketika itu berumur sekitar 3 tahun. Sudah tentu anak sekecil itu tidak mampu untuk berjalan kaki untuk jarak jauh, oleh itu Ibrahim perlu didukung. Sepanjang perjalanan itu, Ibrahim terpaksa didukung secara bergilir di antara Mohd Amin, isterinya dan anak sulungnya yang bernama Amah. Anak kedua Mohd Amin bernama Iyah yang ketika itu berumur sekitar 6 atau 7 tahun.

Perjalanan mereka dengan berjalan kaki bermula dari kampung mereka di Kuala Pilah menuju ke pekan Bahau melalui jalanraya yang merupakan bekas jalan keretapi Kuala Pilah-Bahau, yang jaraknya 20 kilometer.

Dari Bahau mereka menyelusuri landasan keretapi menuju ke Temerloh. Bila hari menjelang senja mereka akan berhenti di setesen keretapi paling hampir yang mereka boleh sampai untuk menumpang tidur di pekarangan tempat menunggu di setesen itu.

Jalan keretapi antara Bahau dan Temerloh melalui hutan rimba yang tebal. Mereka terdedah dengan ancaman binatang buas seperti gajah, harimau dan seladang. Memang keadaannya di waktu itu amat menggerunkan, tetapi dengan pertolongan Tuhan, akhirnya mereka selamat sampai di rumah abangnya, Shafie di suatu kawasan kampong di Temerloh. Bermulah kehidupan baru mereka di Temerloh.

Ada juga orang di kampung-kampung yang mereka lalui sepanjang perjalanan itu yang bersimpati dengan nasib mereka, dengan menghulurkan bantuan makan dan minum.

Dikatakan mereka telah mengambil masa selama tiga hari dengan berjalan kaki untuk sampai ke Temerloh, yang jaraknya dari Kuala Pilah tidak kurang dari 100 kilometer.


Ibrahim dan kakaknya Amah masih hidup lagi ketika pengkisahan ini ditulis. Moga kisah pahit getir yang dilalui oleh mereka ini dapat menjadi pengajaran kepada generasi sekarang ini. Sekurang-kurangnya kita tidak perlu lagi terlalu risau kalau kehabisan tiket bas dan keretapi ketika hendak balik kampung beraya. Boleh jalan kaki.
Ibrahim atau Ahin (duduk)

Tuesday, October 25, 2011

Perkhidmatan keretapi pernah ada di Kuala Pilah

Mungkin generasi muda Kuala Pilah tidak percaya kalau diberitahu di bandar itu pernah mempunyai perkhidmatan pengangkutan keretapi. Tetapi memang benar, bandar Kuala Pilah pernah dihubungkan dengan Bahau melalui jalan keretapi di suatu masa dahulu.


Landasan keretapi Kuala Pilah-Bahau sepanjang 21.7 Km itu telah dibuka pada 4 April 1910. Seperti perkhidmatan keretapi di tempat-tempat lain di Tanah Melayu di masa itu, ia digunakan untuk membawa barang-barang komiditi terutamanya getah dan juga membawa penumpang.

Di sepanjang perjalanan dari pekan Kuala Pilah, keretapi ini akan berhenti di Pelangai, Juasseh dan Jempol sebelum sampai ke Bahau.

Keretapi enjin wap yang menggunakan bahan bakar arang batu itu telah ditamatkan perkhidmatannya menjelang Perang Dunia Kedua.

Kini, di atas bekas landasan keretapi ini telah dibina jalan raya bertar yang menjadi jalan alternatif menghubungkan Kuala Pilah dan Bahau. Dapat dilihat jalan ini agak lurus kerana dibina di atas bekas jalan keretapi.

Walaupun perkhidmatan keretapi ini telah lama ditamatkan tetapi bangunan Setesen keretapi Kuala Pilah ini masih lagi dapat dilihat hingga ke hari ini. Di bawah adalah gambar bangunan setesen keretapi Kuala Pilah yang asal.

Di bawah ini pula adalah gambar bekas Bangunan woksyop bagi membaik pulih keretapi Kuala Pilah yang dirakam pada sekitar tahun 1969. Kini bangunan woksyop itu telah diruntuhkan bagi membina Pasar Baru Kuala Pilah.

Berikut adalah Pasar Kuala Pilah

Lorong atau jalan yang menghala kearah Masjid Jamek Kuala Pilah ini  (di bawah) adalah bekas landasan keretapi untuk masuk ke setesen keretapi Kuala Pilah. (24 Oktober 2011).

Himpunan Sejuta Umat, rakyat Malaysia berjaya hadapi ujian

Walaupun perhimpunan yang telah berlangsung pada 22 Oktober 2011 (Sabtu) di Stadium Bukit Jalil itu menggunakan sentimen agama dan kaum, tetapi telah jelas tidak dapat menarik orang Melayu untuk menghadirinya, seperti yang diharapkan.


Polis seperti sudah menjangka perhimpunan ini akan mendapat sambutan yang hambar, dengan itu tidak teragak-agak untuk memberikan permit kepada pihak penganjurnya tanpa banyak soal.

Walaupun penganjur menggunakan perkataan ‘umat’ dan ‘akidah’untuk menarik umat Islam di Malaysia untuk menyertainya, tetapi strategi ini pun masih tidak cukup berkesan.

Orang Melayu di Malaysia memang sensitif dengan isu yang dikaitkan dengan agama mereka. Oleh itu tidak hairanlah kalau ada parti politik yang menamakan nama parti mereka dengan nama Islam. Apa yang lebih utama, bila kita berpolitik hendaklah berpegang kepada akhlak Islam, bukan mempolitikkan Islam.

Kita begitu marah dan memekik-mekik bila mengetahui statistik orang-orang Melayu yang telah murtad dari agama Islam beribu jumlahnya, tetapi sudahkah kita periksa diri kita, sejauh manakah usaha kita sendiri untuk berdakwah dan mengamalkan ahklak Islam dalam kehidupan kita?

Kita berasa marah dan sedih bila mendengar berita bayi yang lahir dari perlakuan zina dibuang merata-rata, tetapi sajauh manakah usaha yang kita telah lakukan untuk menyekat budaya pergaulan bebas anak-anak muda, membasmi dadah, hiburan liar dan budaya lucah yang masuk kerumah-rumah kita melalui media hiburan dan TV?

Islam tidak akan berkembang dengan cara memekik-mekik dan berhimpun. Islam adalah agama bertamaddun tinggi, mempunyai nilai-nilai fitrah yang mulia yang mampu mengangkat darjat manusia jauh dari perangai ‘kebinatangan’. Agama kita bukan dikuatkan dengan pedang tetapi ia kuat dengan hujah. Kebenaran itu bukan tegak disebabkan pedang atau kuasa, tetapi tegak dengan hujah dan fakta. Itu sebab nabi diturunkan dengan Quran bukan dengan senjata nuclear.

Sebelum perhimpunan itu berlangsung, Pengerusi parti MCA, Chua Soi Lek telah melahirkan rasa kebimbangannya terhadap perhimpunan itu yang boleh membawa pergeseran kaum di Negara ini.

Alhamdulilah, rakyat Malaysia sudah semakin bijak dalam permainan politik tanah air, mereka tidak mudah lagi diprovokasi. Mereka bukan turun berdemontrasi hanya sekadar suka-suka, mereka tidak mudah diperbodohkan oleh orang-orang yang ingin mengaut keuntungan politik. Hasilnya, tidak sampai 10,000 orang pun hadir diperhimpunan yang dinamakan sejuta umat itu.

Kepada PM Najib, perhimpunan Sejuta Umat ini sangat penting untuk dijadikan pengujian pasaran politik (test market) UMNO. Kalau perhimpunan ini mendapat sambutan, ia akan menggerunkan pemimpin-pemimpin parti-parti kaum Cina dan India dalam komponen BN, dan tidak berani untuk menggugut UMNO di masa hadapan.

Nampaknya, selepas ini, Chua Soi Lek tidak perlu lagi berasa bimbang untuk terus berani mendesak UMNO dan meminta apa saja 'projek' yang mereka mahu dari UMNO.

Selain dari itu, PM Najib juga ingin mengukur hasil dari perhimpunan ini, sejauh mana kemarahan orang Selangor, terutamanya orang Melayu, kepada pimpinan Pakatan Rakyat di negeri itu. Hasil dari itu, dapatlah membantu beliau atau bolehlah beliau berkira-kira tarikh untuk mengadakan pilihanraya.

Saturday, October 15, 2011

Prof Diraja Ungku Aziz, Naib Canselor yang tidak kemaruk dengan anugerah kebesaran

Semasa Pak Lah menjadi Perdana Menteri Malaysia, beliau pernah mencadangkan untuk menganugerahkan gelaran Tun kepada Prof Diraja Ungku Aziz, tetapi Ungku Aziz telah menolaknya.


Itu bukanlah pertama kali beliau menolak anugerah kebesaran. Lantaran itu, sehingga hari ini beliau tidak pernah memakai apa-apa gelaran kebesaran. Beliau hanya berminat dengan gelaran professor atau yang seumpamanya, sebagai pengiktirafan kepada beliau sebagai seorang ilmuwan dan cendikiawan.

Ungku Aziz menjadi Naib Canselor Universiti Malaya dari tahun 1968 hingga 1988. Beliau adalah Naib Canselor yang sangat disegani, memimpin Universiti Malaya dengan cara beliau sendiri, sehingga Universiti Malaya menjadi universiti yang terkenal dan ikutan kepada institusi pengajian tinggi di dalam dan luar Negara.

Walaupun kerajaan tidak memberikan kebebasan autonomi kepada pentadbiran universiti tempatan, tetapi di bawah Naib Canselor Ungku Aziz yang sangat berkredibiliti itu, kerajaan berasa segan untuk mencampuri urusan beliau dalam mencorakkan Universiti Malaya. Sebaliknya Menteri pula yang selalu mendapatkan pandangan dan buah fikiran dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi Negara.

Dalam bidang akademik dan keilmuan, Ungku Aziz sangat teguh dengan prinsip meritokrasi, dalam hal ini beliau langsung tidak mahu berkompromi. Sering kali pelajar Melayu merungut, sukar untuk lulus kalau belajar di Universiti Malaya.

Ini bukan bermakna beliau tidak suka kepada orang Melayu. Sebenarnya, sumbangan Ungku Aziz untuk meningkatkan ekonomi kaum Melayu dan orang Islam sangat banyak dan sangat besar. Tabung Haji adalah cetusan idea beliau yang amat bermanafaat dan telah menjadi ikutan kepada Negara-negara Islam lain.

Itulah dia Ungku Aziz yang tidak pernah kemaruk dengan anugerah atau gelaran kebesaran. Tidak seperti Naib-naib canselor universiti tempatan yang ada hari ini, kebanyakan mereka begitu bergayut kepada gelaran kebesaran untuk menampakkan ketinggian dan gah diri mereka di mata masyarakat.

Harvard University, Cambridge University, MIT adalah antara universiti-universiti ternama di dunia. Mampukah universiti kita mencapai universiti yang setaraf dunia ini, sedangkan kita terus mengambil standard-standard yang dipaksakan kepada kita. Sepatutnya, sebagai sebuah universiti, kita mesti ada identiti kita sendiri, dan kita sendirilah yang harus membina identiti itu. Tidak cukup hanya sekadar menjadi pengikut, sebaliknya hendaklah menjadi peneraju yang menjadi ikutan.

Terlanjur bercerita pasal darjah kebesaran ini, pernah satu hari saya melawat bapa saudara saya yang sakit di Hospital Besar Seremban. Semasa berada dalam bangunan hospital itu, saya terpandang kepada satu papan tanda perasmian hospital. Tertulis di papan tanda itu, “Hospital ini telah dirasmikan oleh Encik Bahaman bin Samsudin , Menteri Kesihatan Malaysia”.

Kalau hari ini adalah pelik kalau Menteri tidak mempunyai gelaran kebesaran, sekurang-kurangnya Datuk.

Itulah beza manusia dulu dengan manusia sekarang.

Friday, October 14, 2011

Buat apa tergesa-gesa hendak buat pilihanraya

Nasihat Dr Mahathir kepada PM Najib seperti yang dipetik dari Yahoo News



Dr Mahathir Mohamad has advised Prime Minister Najib Abdul Razak to call for 13th general election only towards the end of its current term, which ends in March 2013.


Speaking to reporters in Kuala Lumpur, the former prime minister said this would pressure the Pakatan Rakyat state governments to dissolve the respective assemblies alongside Parliament for concurrent elections.

Betul juga kata Dr Mahathir itu, buat apa hendak buat pilihanraya awal, sedangkan tempoh mandat untuk BN memerintah masih sah hingga Mac 2013.

Kadang-kadang Perdana Menteri atau BN mempunyai strategi tertentu untuk mengadakan pilihanraya pada masa-masa tertentu sebelum tempoh penggal mereka memerintah tamat.

Mereka mempunyai kelebihan untuk memilih masa-masa yang tertentu yang mereka fikir dapat membawa kemenangan yang besar kepada mereka. Sokongan rakyat kepada parti yang memerintah ada pasang surutnya. Sudah tentu masa yang paling sesuai untuk mengadakan pilihanraya ialah ketika sokongan rakyat begitu tinggi kepada mereka.

Semua orang dapat mengagak dari pembentangan Bajet 2012 yang lalu, yang merupakan bajet paling ‘pemurah’ berbanding tiga tahun dulu, pilihanraya mungkin akan diadakan tidak lama lagi. Paling lewat pada Mac 2012.

Walaupun tahun-tahun sebelum ini, bajet yang dibentangkan selalu digelar bajet rakyat, tetapi Bajet tahun 2012 ini, PM Najib betul-betul menumpukan atau memberi perhatian yang lebih kepada golongan rakyat teramai. Sebagai contoh memberi wang bantuan RM500 kepada keluarga yang berpendapatan isirumah kurang dari RM3000.00.

Sebenarnya golongan yang berpendapatan RM3000.00 inilah mewakili kelompok teramai dari keseluruhan rakyat Malaysia. Kelompok inilah yang akan menentukan kemenangan dalam pilihanraya.

Sama seperti Dr Mahathir, saya juga tidak bersetuju dan tidak wajar pilihanraya diadakan lebih awal dari Mac 2013. Pilihanraya bukan barangan mainan yang boleh kita adakan ikut suka kita. Banyak belanja, wang ringgit dan tenaga dihabiskan untuk melaksanakan pilihanraya. Apa perlunya kita membazirkan duit dan tenaga dengan perkara-perkara yang tidak perlu?

Mungkin ada orang berpendapat, PM Najib perlu mendapat mandat baru sebagai Perdana Menteri kerana beliau mengambil alih jawatan itu dari Pak Lah yang ‘dipaksa’ mengundurkan diri. Tetapi kita kena ingat, rakyat bukan mengundi Pak Lah untuk menjadi Perdana Menteri dalam pilihanraya tahun 2008 dulu. Sebaliknya, semasa itu rakyat hanya mengundi UMNO atau BN untuk memerintah Malaysia.

Selama ini pun bukanlah rakyat yang secara lansung melantik Perdana Menteri, tetapi jawatan PM itu dilantik dan ditentukan oleh ahli-ahli parti UMNO sendiri. Dan ahli-ahli UMNO juga telah menobatkan DS Najib sebagai Presiden parti (yang secara tradisinya akan menjadi Perdana Menteri) dalam mesyuarat perhimpunan UMNO.

Oleh itu tidak timbul masalah samada PM Najib mendapat mandat rakyat atau tidak.

Kalau pun PM Najib hendak juga mengadakan pilihanraya awal, ada kemungkinan beliau rasa tidak sabar untuk merampas semula tiga negeri yang telah terlepas kepada pembangkang Pakatan Rakyat pada pilihanraya tahun 2008 dulu. Kalaulah itu niat beliau, maka kemungkinan besar pilihanraya akan diadakan awal juga.

Apakah BN masih tidak puas memerintah tiga negeri yang terlepas walaupun sudah lebih 50 tahun? Sedangkan Pakatan Rakyat baru saja tiga tahun hendak bertapak di sana. Apakah PM Najib tidak sanggup melihat atau tidak rela untuk membiarkan Pakatan Rakyat mentadbir ketiga-tiga negeri itu untuk sampai tempoh lima tahun?

Kenapa PM Najib perlu gusar? Kalau pentadbiran Pakatan Rakyat di tiga-tiga negeri itu berlaku zalim, kejam dan jahat kepada rakyatnya, sudah pasti dalam pilihanraya umum yang akan datang pemimpin-pemimpin mereka akan ditolak jua oleh rakyat.

Dalam berita di TV pun kita hari-hari disajikan keburukan dan kelemahan negeri-negeri pentadbiran di bawah Pakatan Rakyat. Masakan rakyat tidak ada telinga dan mata untuk berfikir dan sekaligus menolak Pakatan Rakyat. Lainlah kalau PM Najib tahu bahawa berita-berita yang disajikan itu hanyalah palsu dan fitnah belaka, maka memang patut beliau berasa risau.

Saturday, October 08, 2011

Jawapan peperiksaan PMR 2011

(Hanya sebagai panduan, bukan muktamad.)

Matematik



BI


1:C 6:B 11:B 16:A 21:A 26:A 31:B 36:A


2:A 7:C 12:A 17:C 22:B 27:C 32:C 37:D


3:D 8:C 13:C 18:D 23:A 28:B 33:A 38:D


4:A 9:D 14:D 19:A 24:C 29:A 34:D 39:B


5:D 10:B 15:B 20:C 25:C 30:C 35:D 40:C


BM


1:A 6:C 11:D 16:A 21:D 26:C 31:B 36:B


2:C 7:B 12:D 17:D 22:B 27:B 32:A 37:A


3:A 8:B 13:B 18:D 23:A 28:A 33:D 38:C


4:C 9:C 14:B 19:A 24:A 29:B 34:C 39:D


5:A 10:D 15:D 20:C 25:C 30:C 35:D 40:C


Geo


1:D 6:A 11:D 16:A 21:A 26:C 31:A 36:B 41:C 46:D 51:C 56:B


2:D 7:D 12:C 17:B 22:B 27:D 32:B 37:C 42:B 47:C 52:A 57:C


3:D 8:A 13:C 18:A 23:B 28:D 33:B 38:A 43:B 48:D 53:B 58:A


4:B 9:A 14:A 19:C 24:A 29:C 34:D 39:C 44:C 49:B 54:C 59:A


5:B 10:C 15:D 20:D 25:B 30:C 35:B 40:A 45:D 50:B 55:D 60:A


Sejarah


1.C 2.A 3.B 4.D 5.D 6.B 7.C 8.A 9.B 10.C 11.B 12.B 13.D 14.B


15.D 16.A 17.B 18.A 19.C 20.B 21.A 22.D 23.A 24.D 25.C 26.A 27.C


28.C 29.D 30.A 31.C 32.B 33.D 34.C 35.D 36.A 37.C 38.D 39.B 40.A


41.B 42.A 43.D 44.B 45.C 46.D 47.C 48.A 49.C 50.A 51.B 52.D 53.A


54.D 55.C 56.A 57.D 58.B 59.B 60.D


Sains


1.D 2.C 3.A 4.A 5.C 6.A 7.D 8.A 9.B 10.D 11.C 12.A 13.D 14.B 15.D 16.C 17.D 18.D


19.A 20.B 21.A 22.B 23.B 24.C 25.D 26.A 27.C 28.D 29.B 30.B 31.D 32.A 33.D 34.B


35.C 36.C 37.A 38.C 39.A 40.B

Friday, October 07, 2011

Pengamal perubatan alternatif patut bayar ganti rugi jika penyakit tidak sembuh

Sekarang ini bermacam-macam bentuk perubatan alternatif terdapat di Negara kita. Pengamal perubatan ini mendakwa telah banyak pesakit-pesakit mereka telah dapat disembuhkan tanpa memerlukan pembedahan dan tidak mendatangkan kesan sampingan.


Walaupun melalui testimoni yang mereka paparkan menunjukkan kejayaan-kejayaan dalam penyembuhan penyakit, tetapi masalahnya, kebanyakan keberkesanan kaedah perubatan alternatif ini tidak pernah dapat dibuktikan secara klinikal.

Sebenarnya ramai juga pesakit-pesakit yang menggunakan kaedah perubatan alternatif ini yang tidak berjaya disembuhkan, tetapi kes-kes yang tidak berjaya ini tidak pernah pula didedahkan.

Walupun kerajaan tidak menghalang kegiatan perubatan alternatif ini, tetapi ini tidak bermakna kaedah perubatan ini berkesan dan dijamin mampu menyembuhkan penyakit. Selagi ia tidak membahayakan orang ramai, kerajaan tidak ada masalah untuk memberi lesen kepada kegiatan mereka.

Di pihak pengamal perubatan alternatif ini juga harus ada rasa bertanggungjawab, supaya perkhidmatan mereka terus mendapat keyakinan dari orang ramai untuk terus menggunakannya.

Oleh kerana kaedah perubatan alternatif tidak dapat dibuktikan secara klinikal, kita mengalu-ngalukan mereka membuat bayaran ganti rugi kepada pesakit mereka jika penyakit mereka tidak sembuh setelah menggunakan kaedah perubatan tersebut.

Dengan cara ini, pesakit akan lebih percaya dan tidak teragak-agak untuk menggunakan perkhidmatan perubatan alternatif, kerana mereka rasa tidak tertipu dan tidak rugi untuk mencuba.

Kalau betul-betul pengamal perubatan alternatif ini ikhlas dan tidak sekadar mencari keuntungan saja, mereka harus berani memberi jaminan wang dikembalikan jika penyakit pesakit tidak menunjukkan perubahan yang positif setelah menggunakan ubat atau kaedah perubatan mereka.

Dengan adanya jaminan seperti ini, sebenarnya, untuk jangkamasa panjang ia akan menguntungkan pengamal-pengamal perubatan alternatif itu sendiri, di mana orang ramai akan bertambah yakin dengan kaedah perubatan mereka.

Sepatutnya mereka tidak hanya mendakwa kaedah perubatan mereka boleh menyembuhkan berbagai-bagai penyakit, tetapi mereka harus juga bertanggungjawab dengan apa yang mereka katakan itu.

Saya menulis isu ini melalui pengalaman saya sendiri. Isteri saya disahkan melalui pemeriksaan doktor hospital mengidap fibroid. Untuk setiap tiga ke lima bulan, dia akan pergi ke hospital untuk membuat pemantauan kepada saiz fibroid dan cyst yang ada dalam rahimnya. Setiap kali pemeriksaan dibuat, setiap kali itu juga fibroidnya bertambah bilangannya dan membesar.

Satu hari, ada rakan memperkenalkan ubat alternatif SNE (gambar) untuk dicuba, rakan itu juga memberitahu, ada seorang testimonial yang ada penyakit fibroid telah menjalani pembedahan untuk membuang fibroidnya, dan selepas pembedahan itu dia telah mencuba ubat SNE, didapati fibroid tidak tumbuh lagi selepas menggunakan ubat SNE.

Tertarik dengan cerita rakan tersebut, isteri saya turut ingin mencuba ubat SNE dengan harapan ubat ini boleh menghapuskan fibroidnya tanpa perlu menjalani pembedahan.

Setelah beberapa bulan memakan ubat SNE, sampailah tarikh temujanjinya untuk berjumpa doktor untuk pemeriksaan fibroidnya. Hasil pemeriksaan itu didapati fibroid dan cyst nya masih ada, masih tidak hilang. Bagaimanapun alhamdulilah bilangan dan saiznya tidak lagi bertambah.

Kesimpulannya, ubat SNE ini tidak mampu menghapuskan fibroid atau cyst, tetapi bagaimanapun ia berjaya menghalang pertumbuhan dan perkembangan fibroid dan cyst.

Selepas itu saya terbaca testimonial penyakit fibroid yang dikeluarkan oleh sebuah pusat perubatan homeopathy yang terkenal di tanah air, melalui internet. Pesakit dalam testimonial itu telah mendakwa kononnya setelah mengambil ubat-ubat homepathy yang tertentu yang diberi oleh doktor homeopathy di pusat itu selama sebulan, didapati fibroidnya mengecil dan selepas enam bulan, fibroidnya terus hilang.

Tertarik dengan cerita testimonial tersebut, saya telah mendapatkan ubat-ubat tersebut dari klinik homeopathy yang tidak kurang terkenalnya, yang terletak berhampiran kawasan rumah saya. Di samping memakan ubat SNE, isteri saya mula mengambil ubat-ubat yang saya beli dari klinik homeopathy itu.

Setelah enam bulan masa berlalu, dalam tempoh itu isteri saya tidak pernah putus mengambil ubat-ubat homeopathy yang dicadangkan itu, kini tarikh temujanji untuk pemeriksaan fibroidnya dengan hospital kerajaan pun tiba. Sungguh mengeciwakan, fibroid dan cyst nya bukan sahaja tidak hilang tetapi masih tidak berkurang, sama seperti sebelum itu.

Kita rasa macam tertipu dengan perubatan alternatif ini, dan pihak pengamal perubatan ini terus membuat keuntungan tanpa kita dapat mengambil tindakan untuk menuntut ganti rugi.

Apakah testimonial yang mereka paparkan di internet itu hanya sebagai memancing pesakit-pesakit untuk mendapat khidmat rawatan mereka? Saya rasa ada kemungkinan testimonial yang mereka paparkan itu adalah direka-reka oleh pihak pengamal itu sahaja. Saya yakin testimonial itu bukan ditulis oleh pesakit, kerana biasanya pesakit adalah orang awam yang tidak pernah tahu nama-nama ubat yang diberi oleh doktor homeopathy ini.

Saya sendiri pun sebelum ini juga pernah menggunakan khidmat perubatan homeopathy untuk penyakit yang saya hidapi. Bila kita berjumpa doktor kita akan memberitahunya tentang penyakit kita, selepas itu doktor akan memberi kita ubat dan kita tidak pernah ambil tahu nama-nama ubat yang diberi.

Kita tidak kisah kalau ramai orang pergi mendapatkan khidmat bomoh dan ubat air jampi dari mana-mana ustaz untuk menyembuhkan penyakit mereka, kerana kaedah perubatan cara itu tidak pernah pun didaftarkan dan tidak pernah diberi lesen oleh pihak berkuasa. Kesembuhannya memang tidak pernah dijamin dan hanya bergantung kepada keyakinan masing-masing untuk mempercayainya.

Tetapi kaedah perubatan alternatif yang saya bincangkan di sini ialah kaedah perubatan dan rawatan alternatif yang berdaftar dan diberi lesen untuk menjalankan kegiatan mereka. Sepatutnya mereka perlu lebih bertanggungjawab dan tidak sekadar untuk mengaut keuntungan sahaja. Mereka tidak sepatutnya menjadi seperti penipu yang berlesen.

Saturday, October 01, 2011

Maulana Lebai Maadah Bin Layang ( 1895 – 1943)


(Disalin dari website http://maadah.blogdrive.com/)

Ulama yang pernah menjadi kontroversi ini dianggap pelopor fahaman 'Kaum Muda' negeri ini. Beliau berasal dari Kampung Jeram, Tengkek iaitu sebuah kampung di pendalaman kira-kira 28 km dari Bandar Kuala Pilah jika melalui Pekan Batu kikir. Menurut cerita orang-orang tua di kampung itu, beberapa suku keturunan orang-orang Minangkabau dari sekitar Talang atau Seri Menanti dipercayai telah meredah hutan belantara untuk membuka kampung baru melalui kawasan Langkap. Tidak dinafikan juga ada penduduk asal kampung dari suku-suku yang mudik ke hulu Sungai Jempol melalui Kuala Jempol atau Ulu Sungai Muar. Dijangkakan proses migrasi ini bermula awal abad ke 19.


Nama penuhnya ialah Muhamad Maadah bin Layang. Beliau lahir dalam tahun 1895 di Kampung Jeram, Tengkek. Bapanya penduduk kampung yang bertugas sebagai pesawah, pencari damar dan antara pembuka awal kampung. Bapanya meninggal dunia ketika beliau masih menuntut di India. Ibunya pula bernama Aman. Kampung Jeram mempunyai kawasan rekreasi air terjun yang indah dan menjadi kawasan kunjungan pelancung dari dalam dan luar sekarang ini. Rumah kelahiran Maulana ini tidak jauh dari kawasan rekreasi tersebut. Dahulunya, kawasan air terjun ini dikatakan pernah menjadi tempat meminjam pinggan mangkuk penduduk kampung dari masyarakat orang Bunian.




Maulana Lebai Maadah mula mendapatkan pendidikan awal di Sekolah Melayu Tengkek tahun 1907 dan kemudiannya meneruskan pengajian agama secara memondok di Pondok Alor Keladi, Kedah selama lebih kurang empat tahun antara tahun 1915 hingga 1919. Allahyarham juga diberitakan pernah mengaji di Tualang Sekah di bawah asuhan Tuan Guru Yunus Al Masri, di sinilah beliau belajar berqasidah dan berlagu.


Sekembalinya beliau ke kampung, Lebai Maadah bertemu jodoh dengan gadis yang dinamakan 'Sori' dari Johol dalam Daerah Kuala Pilah. Usia perkahwinannya tidak lama kerana ramai penduduk mukim tersebut kurang senang dengan Lebai Maadah yang selalu menegur perilaku atau amalan penduduk yang dianggapnya bersalahan dengan syariat. Apabila diberitakan ada seorang ulama dari India berkunjung ke Kuala Pilah tetapi beliau menghadapi kesukaran berdakwah kerana masalah bahasa. Lebai telah tampil menawarkan diri untuk membantu ulama tersebut sebagai penterjemah bahasa Arab. Beliau mendapat upah lebih kurang RM80.00 berkerja sebagai penterjemah dan mengikut ulama itu berdakwah hingga ke Perak. Ulama India inilah memberi perangsang kepadanya untuk menuntut agama di Benua India.




Kemudian beliau belayar ke India mengikut ulama tersebut untuk menimba ilmu agama lebih mendalam. India ketika itu menjadi lokasi pengajian Islam terkenal selain Mekah khasnya di Karachi ( sebelum ditubuhkan Pakistan) dan Deoband. Maulana ini dikatakan terpaksa mendapatkan derma orang ramai untuk perbelanjaan belayar ketika itu. Kerana kesempitan kewangan, beliau terpaksa berjalan kaki dari suatu tempat ke suatu tempat lain ketika berkelana di sana. Emak penyusun Hajjah Zabidah faseh pernah mendengar sendiri perbualan Maulana dengan datuknya Tokki Omar Bail sekembalinya dari India, Maulana memberitau kesusahannya di rantau orang dalam mencari ilmu agama dan terpaksa mengikat perut menahan kelaparan.



Haji Md Zin @ Lajin Ujang iaitu murid tua dan pangkat bapa saudara kepada Lebai Maadah, mengatakan Lebai Maadah hanya sempat bersama tiga hari sahaja dengan ulama itu ketika menjejakkan kaki di sana kerana ulama itu terus keluar bertabligh. Tinggallah Lebai Maadah bersendirian dan beliau menggunakan kebolehannya berqasidah untuk menarik perhatian orang ramai. Sebelum berqasidah, beliau akan membentang kain kendungnya dan para pengunjung akan melemparkan derma. Lebih kurang tiga bulan pula Lebai Maadah berqasidah begitu untuk mengumpulkan duit bagi menampung perbelanjaannya seharian. Beliau mengambil kesempatan untuk mempelajari bahasa Urdhu dalam tempoh tersebut.



Lebai Maadah bernasib baik diterima menuntut Kolej Darul Ulum walau pun beliau tidak mempunyai sumber kewangan untuk membiayai yuran pengajian. Pengetua Kolej tersebut bersimpati dengannya dan menyarankan Lebai Maadah membuat kerja sampingan seperti berkhidmat dengan guru-guru dan membasuh pinggan mangkok di kantin. Beliau juga berkhidmat membasuh pakaian guru dan kawan-kawan untuk mendapat pendapatan harian. Dia berada India selama lebih kurang 8 hingga ke 13 tahun di Darul Ulum dan di Alegar, India. Haji Abdul Aziz Yunus, anak murid awal di Madrasah Aliah Islamiah Kuala Pilah pula memaklumkan Tuan Gurunya itu banyak terpengaruh dengan perjuangan Shah Waliyul'Lah al- Dehlawi dan dalam gerakan pembaharuan ketika menuntut di India. Di sana juga mungkin telah membentuk kecenderungan beliau kepada aliran "as sunnah" ( Salafiyyah) dan tidak terikat kepada mazhab yang empat.




Kepulangan beliau dikatakan mendapat sambutan hangat penduduk kampung kerana dia adalah sesatunya anak kampung yang mendapat pendidikan tinggi agama dan dari luar negeri pula ketika itu. Maulana Lebai Maadah yang berkulit cerah dan bertubuh gempal amat secucuk apabila memakai tarbus hitam serta berkot. Pakaian lain yang kerap dipakainya ialah jubah putih sehingga ke lutut seperti jubah pakaian kumpulan Tabligh sekarang ini. Pakaian beliau yang sentiasa kemas bersih ini juga turut menjadi ikutan murid-muridnya.




Lebai Maadah balik ke tanahair selepas merantau mengaji agama pada tahun 1933. Ada pandangan lain iaitu beliau balik tahun 1937 dan dengan perantaraan saudaranya serta bantuan orang ramai, beliau telah membuka madrasah pertama di Alor Gajah, di hadapan Balai Polis Daerah Alor Gajah sekarang. Terdapat juga dakwaan bahawa beliau ke sana kerana di Alor Gajah telah mula subur fahaman aliran as sunnah sejak tahun 1920an. Dianggarkan lebih 80 pelajar dari berbagai tempat telah menuntut dengan di Madrasah Alor Gajah ini. Haji Md Zin Ujang yang banyak membantu penyusun mengimbas perjalanan hidup Lebai Maadah ini kerana beliau merupakan murid pertamanya di Alor Gajah. Mereka mempunyai hubungan kekeluargaan pula.



Keistimewaan ketara pusat pengajian yang ditubuhkan oleh Lebai Maadah ialah sekolahnya diselia secara formal dan menerima pelajar wanita. Suatu hari dalam tahun 1938, Lebai mengajak beberapa anak muridnya makan besar kerana beliau telah menerima ijazah pengajiannya dari Darul Ulum. Lebai mensyarahkan bidang pengajiannya sehingga memperolehi sarjana ( master) dalam pengajian Islam. Menurutnya, beliau terpaksa mengaji 35 mata pelajaran peringkat ijazah pertama dan 47 subjeks lagi untuk melayakkannya menerima sarjana tersebut. Beliau tidak meneruskan pengajiannya untuk ke peringkat Phd kerana pelajar disyaratkan menjadi kerakyatan India dan berkhidmat di kolej tersebut. Ijazah sarjana beliau dikirimkan melalui pos oleh Pentadbir Darul Ulum.



Tidak dapat dipastikan sejauh mana kesahihannya Lebai Maadah telah berbahas dengan tokoh utama as sunnah di Alor Gajah bernama Haji Muluk. Maulana yang dikatakan alim dalam agama itu berada di pihak yang menang. Mungkin ekoran dari peristiwa itu menyebabkan Lebai Maadah kembali ke Kuala Pilah untuk mendirikan sekolah baru bagi mengelakkan perbalahan.



Di kampung halamannya, Maulana membuka sebuah Madrasah Jameah Islamiah yang mengajar berbagai mata pelajaran di Kampung Bukit Tempurung kira-kira 3 km dari Kampung Tengkek. Sekolah berdinding kayu ini didirikan di atas bukit dan mula menerima pelajar-pelajar lelaki dan perempuan. Sekolah ini didirikan secara gotong royong penduduk kampung. Tiang madrasah jenis 'ponak' ditebang dari hutan berdekatan dan papan belutinya dibeli dari Pekan Batu Kikir. Atapnya dari daun rumbia dan sebahagian kerja pembinaan diupahkan kepada orang China. Sekolah itu mampu menampung pelajar lebih 50 orang. Pelajar lelaki dan perempuan di asingkan. Sebelah malam pula dibuka kelas untuk orang-orang dewasa. Sekolah ini turut menerima penuntut luar dari Negeri Sembilan, walaupun jalan perhubungan untuk sampai ke kampung itu terpaksa berbasikal atau berjalan kaki lebih 15km dari pekan Batu Kikir.



Lebai Maadah dijodohkan dengan gadis kampungnya bernama Salbiah Ibrahim. Perkahwinan kali keduanya ini berlangsung dalam tahun 1938 ketika itu Lebai masih mengajar di Alor Gajah. Menurut Haji Md Zin Ujang, emaknya dan emak saudara Lebai bernama Bayau merundingkan untuk menjodohkan Lebai Maadah dengan Salbiah. Walau pun mereka tidak pernah bertemu muka tetapi Lebai Maadah ada bertanyakan rupa paras dan keperibadian bakal isterinya dari Haji Md Zin. Salbiah dikatakan gadis pingitan kampung yang menarik waktu itu. Pasangan ini dianugerahkan Allah dengan anak lelaki yang diberikan nama Muhammad Kassim.




Di Madrasah Bukit Tempurung, beliau telah menjodohkan pula seorang penuntut beliau bernama Abdul Jalil bin Salim yang berasal dari Pekan Alor Gajah, Melaka dengan Latifah Omar Bail yang turut menuntut di Madrasah Bukit Tempurung itu. Abdul Jalil merupakan penuntut awal beliau ketika di Alor Gajah dan turut meneruskan pengajianya di Bukit Tempurung. Penyusun masih ingat masa hidupnya, Allahyarham Ustaz Abdul Jalil amat tegas dalam fahaman as sunnahnya dan tidak bertolak ansur dalam perkara-perkara yang dianggap bidaah dalam amalan ibadah. Contohnya, beliau hanya berdiam diri ( lelapkan mata) masa majlis ratip tahlil arwah dan tidak mengangkatkan tangan ketika berdoa. Kehadiran beliau ke majlis-majlis kenduri kendara sanak saudara di kampung hanyalah untuk mengeratkan siraturrahim sahaja.



Mungkin kerana perbezaan kefahaman yang dibawa oleh Lebai Maadah bin Layang yang dianggap mewakili kaum muda dan bertembung pula dengan kaum tua yang didakwa golongan Syafiiyah, sedikit sebanyak telah mengocak struktur amalan ibadah tradisi setempat. Sebahagian besar penduduk kampung mulai memandang serong kepada aliran ini. Maulana Lebai Maadah memahami usaha untuk mengubah fahaman yang sudah berakar umbi itu bukan suatu kerja yang mudah. Selain berdepan pertembungan tersebut, Lebai Maadah turut tampil untuk membasmi amalan–amalan khurafat yang masih mewarnai budaya masyarakat yang jauh di pendalaman itu. Antara amalan yang pernah dilakukan ialah seperti upacara memuja semangat padi sebelum turun ke sawah, mandi safar, ilmu pembomohan, amalan kebatinan dan lain-lain lagi.




Awal tahun 1900an sering berlaku perdebatan antara kaum muda dengan kaum tua Lebai Maadah dianggap pelopor bagi fahaman ini di Negeri Sembilan. Kesan dari penubuhan beberapa madrasahnya di Kuala Pilah menyebabkan aliran ini berkembang di Negeri Sembilan. Pengikut fahaman ini telah berkampung di Kuala Pilah dan menubuhkan Madrasah Ittibaus Sunnah di Jalan Parit, Kuala Pilah yang masih beroperasi hingga sekarang. Peringkat awalnya, kelompok ini dianggap sering bermasalah dengan Majlis Agama Negeri tetapi kini dilaporkan telah kendur.



Lebai Maadah melihat dengan ilmu sahaja permasalahan ummah dapat ditangani. Tanpa ilmu sudah tentu amal tidak akan menepati kehendak agama. Dalam suasana negeri yang masih dijajah dan perhubungan komunikasi yang sukar waktu itu, beliau harus memikul amanah untuk membimbing anak bangsanya keluar dari kegelapan. Bagi merealisasikan wawasannya, beliau menubuhkan pula Madrasah Aliah Islamiah Harapannya untuk melihat anak bangsanya mendapat pendidikan lebih tinggi, ini ditegaskan oleh beliau sendiri dalam buku penubuhan Madrasah Aliah Islamiah atau juga dikenali sebagai Islamic High School dalam muka surat 33 :




" .. mereka itu ( penuntut lelaki) anak-anak muda yang berhemah tinggi juga dalam mencari ilmu pengetahuan serta ikhlas dan jernih hati – hati mereka pada menjaga kefardhuan, dan masing – masing itu berharap belaka kepada kemajuan kaum dan bangsa dan juga tanahair."



Difahamkan Maulana Lebai Maadah bercita-cita untuk menjadikan pusat pengajiannya itu sebagai asas kepada penubuhan Pusat Pengajian Tinggi Islam ( Universiti Islam) sebagaimana yang terdapat di Darul Ulum India. Malangnya, cita-cita murninya ini tidak kesampaian apabila meletus Perang Dunia Kedua. Menurut Haji Abdul Aziz Yunus, penuntut-penuntut terpaksa meninggalkan pengajian dan balik kampung bila Jepun mula sampai ke negeri ini. Madrasah ini hanya sempat beroperasi selama empat tahun sahaja. Maulana sendiri akhirnya balik memberi tumpuan kepada Madrasahnya di Kampung Bukit Tempurung ketika itu.



Sebelum menubuhkan Madrasah di Pelangai ini, beliau telah menyahut seruan Dato' Menteri Mohd Idris Abdullah ( Ketua adat ) untuk membuka sekolah di Sungai Dua Kecil ( kini menjadi kawasan masjid Sg Dua Kechil) dalam Daerah Kuala Pilah. Tanah ini adalah milik keluarga Dato' Idris tetapi selepas beberapa lama beroperasi, Dato' Idris telah mendapat persetujuan ahli keluarganya untuk mewakafkan tanah mereka di Pelangai untuk dijadikan kawasan sekolah. Kawasan baru ini lebih strategik dan di tepi jalan besar Kuala Pilah ke Batu Kikir/ Bahau bagi menggantikan sekolah di Sungai Dua.



Beberapa nama disebutkan oleh beliau dalam buku penubuhan Madrasah ini kerana anak-anak kampung bermuafakat membinanya seperti Dato' Muhamad Idris, Yang Mulia Dato' Laksamana Sholleh dan Dato' Putih Isa. Madrasah ini siap didirikan pada 15 Januari 1939. Madrasah ini juga dilaporkan dibiayai oleh YTM Tuanku Abdul Rahman Yang Dipertuan Besar waktu itu. Dua bangunan sekolah didirikan untuk memisahkan murid-murid lelaki dan perempuan. Jadual waktu persekolahan bermula jam lapan pagi sehingga pukul dua belas tengahari bagi sesi pagi. Penuntut-penuntut diberi rehat sebentar untuk makan tengahari dan dijadualkan bersholat zuhur secara berjamaah di surau. Sesi kedua bermula jam dua petang hingga jam empat petang. Selepas sholat asar mereka di benarkan bermain atau beriadah untuk menjaga kesihatan. Pelajar lelakinya berpakaian seragam berkot dan bertali leher seperti sekolah Inggeris waktu itu tetapi bertarbus.




Sistem persekolahan yang agak sistematik ini membuktikan Lebai Maadah seorang pendidik atau pemimpin yang berkarisma. Setiap penuntut samada lelaki atau perempuan mendapat didikan atau tarbiah secara langsung dan sama rata dari Lebai Maadah. Dinyatakan belum sampai dua tahun terdirinya sekolah ini, lebih seratus penuntut lelaki – perempuan dari beberapa negeri seperti Perak, Selangor, Pahang dan serata daerah dalam Negeri Sembilan telah belajar di sini. Bagi membantu beliau mengendalikan perjalanan sekolah dan asrama, maka beberapa penuntut yang telah senior dilantik sebagai kerani atau pengelola asrama. Guru-guru lelaki dan perempuan pula dilantik di kalangan penuntut yang telah mampu membimbing pelajar-pelajar baru.



Penuntut–penuntut lelaki dan perempuan disediakan asrama yang berasingan. Mereka ada memasak sendiri dan ada juga yang kira bayar sahaja. Manakala penuntut perempuan pula ada yang tinggal bersama Lebai Maadah dikenakan bayaran makan dan belanja persekolahan secara bulanan. Tukang masak makanan disediakan. Guru-guru sentiasa ada bersama penuntut untuk membimbing mereka. Sebelah petang, kelas pengajian terbuka kepada penduduk sekitar yang dikatakan mendapat sambutan hangat.



Antara mata pelajaran yang diajar di Madrasah ini ialah seperti ilmu saraf, ilmu nahu, tajuid, fiqh, tauhid, akhlak, tafsir dan terjemahan al Quraan, usul hadith dan kitab-kitab hadith, tasawuf, al mudharabat, ilmu berkhutbah atau bersyarah, bahasa Inggeris , membaca al Quraan dan banyak lagi. Menurut Haji Abdul Aziz Yunus, Maulana Lebai Maadah agak tegas ketika mengajar. Beliau selalu membawa rotan semambu bila mengajar. Setiap ayat yang diajar mesti difahami dengan teliti dan penuntut – penuntut terpaksalah mengulang kaji dan menghafal pelajaran di asrama sebelah malamnya. Esoknya beliau akan menyoal kembali pelajaran yang telah diajar. Sesiapa yang gagal menjawab dengan tepat atau tergagap – gagap akan dimarahi. Pernah Ustaz Abdul Jalil dirotan dan peristiwa itu menjadikan penuntut lain kecut perut. Antara anak murid awal beliau yang dianggap kontroversi dalam negara kita ialah Shamsiah Fakeh iaitu pemimpin PKM yang diharamkan itu.



Keistimewaan cara mengajar Maulana ialah ia mengajar menterjemah al Quran secara harfiah iaitu terjemahan dari ayat ke ayat dalam Bahasa Melayu bersekali dengan tajuidnya. Haji Abdul Aziz mendakwa penuntut – penuntut mampu menamatkan terjemahan al Quran dalam tempoh lapan bulan sahaja. Salah seorang murid beliau, Haji Abdul Malik Husin turut mengakui keistimewaan pengajian tafsir Al Quran cara Lebai Maadah kerana ia merangkumi dengan ilmu saraf, nahu, maani, mantik dan bayan. ( Rujukan dari artikel oleh Zaharuddin Pilus, Berita Mnggu 27 Julai 1980). Dianggarkan penuntut – penuntut yang belajar ketika itu lebih 280 orang pada hari – hari akhir sebelum meletusnya perang. Beliau sendiri waktu itu membuat kerja sampingan selain menuntut iaitu ditugaskan sebagai kerani dan pengelola asrama lelaki.



Selain kesibukan Lebai menguruskan sekolahnya di Pelangai dan Bukit Tempurung, beliau masih sempat memberi pengajian agama kepada orang ramai secara memberi syarahan kerana beliau begitu mahir berpidato dan lancar pula tutur katanya. Kebolehannya menguasai banyak bahasa juga berupaya meruntun pendengar untuk mendekati tokoh istimewa ini.



Penyusun sengaja menambah muatkan isi kandungan kisah riwayat hidup ulama besar ini tentang kisah fitnah dan mehnah yang diterimanya ketika berada di zaman kemuncaknya. Saat getirnya ialah beliau difitnah berjahat dengan pelajar perempuannya di Madrasah Aliah Islamiah. Fitnah ini sengaja diada-adakan oleh penduduk setempat kerana cemburu dengan ketokohan Lebai Maadah. Bencana itu akhirnya dapat dipadamkan apabila Tuanku Abdul Rahman, Tuan Yang Dipertuan Besar turun sendiri menjadi saksi di hari upacara mengangkat sumpah di sekolah tersebut. Pihak yang menuduh tidak berani tampil ke hadapan. Sifat kedengkian itu bukanlah tamat setakat itu sahaja malah Lebai Maadah lagi sekali lagi diuji apabila ada pihak menuduh Lebai Maadah menerima gaji lebih tinggi sedangkan beberapa pelajarnya yang senior membantu mengajar hanya mendapat gaji lebih rendah iaitu lebih kurang RM25 atau RM30 sebulan berbanding Lebai Maadah yang menerima gaji RM 350 sebulan. Menurut pandangan mereka gaji Lebai Maadah mengalahkan gaji D.O Kuala Pilah waktu itu.




Seorang pelajar bernama Othman Ali dari Kampung Tengkek merisik berita tentang ada anak murid Lebai sendiri bernama Hitam Taha sedang merancang untuk mencabar Lebai Maadah berkeris. Dia dikatakan telah memakai pakaian serba hitam selaku panglima untuk bergaduh dengan Tuan Gurunya sendiri. Ekoran dari itu, Lebai telah mengadakan perhimpunan pada hari sabtu yang dihadiri semua muridnya. Beliau menyampaikan hasratnya untuk memberi tumpuan di Madrasah di Bukit Tempurung sahaja. Di sini terdapat percanggahan maklumat antara Tuan Haji Abd Aziz Yunus dengan Haji Md Zin Ujang tentang punca utama Madrasah Aliah Islamiah tersebut ditinggalkan oleh Lebai Maadah. Dari artikel Zaharuddin Pilus ( Berita Minggu 27/7/1980) melaporkan pula Cikgu Hitam Taha itu mengambil alih pengajaran di sana selepas perang tetapi madrasah tersebut tidak bergerak terus menerus selepas beliau berhenti mengajar. Walau bagaimanapun, penyusun percaya faktor meletusnya perang dunia kedua dan gangguan pihak tertentu itu ada berkaitan.



Sebagaimana dinyatakan sebelum ini, pihak istana di Seri Menanti amat berminat dengan orang-orang alim. Istana raja selalu dikunjungi para ulama dan kerabat raja turut menadah kitab untuk mendengar kuliah ulama. Yang Dipertuan Besar Paduka Sri Tuanku Muhamad Shah Ibni al Marhum Tuanku Antah yang ditabalkan bagi tahun 1888-1933 telah menjemput Tuan Guru Haji Darun Haji Ibrahim yang berasal dari Inderagiri dan bermukim di Semenyih untuk menjadi guru agama di istana. Dikatakan adik baginda iaitu Tunku Burhanudin turut menjadi alim di bawah bimbingan ulama ini. Pewaris tahta Yang Dipertuan Besar kemudiannya iaitu Tunku Abdul Rahman anak kedua kepada Tuanku Muhamad turut memuliakan para ulama.




Di masa pemerintahan baginda, ulama di negeri adat perpatih ini diberi keutamaan. Baginda bukan sahaja mendekati ulama malah turut menyumbangkan kewangan membina pondok atau sekolah agama, sebagaimana peranan baginda membantu Tuan Guru Lebai Maadah ini dan mewakafkan sebidang tanah untuk Tuan Guru Haji Abdul Majid Abdul Karim di Batu Kikir bagi tapak pondoknya. Di zaman baginda juga, perbahasan agama secara sihat diadakan di istana di antara Lebai Maadah dengan Haji Muhamad Mustaffa dari Kuala Jempol. Majlis perbahasan itu dipengerusikan sendiri oleh Al Marhum Tunku Besar Burhanudin.



Walau bagaimanapun, keakraban ini pernah mengundang salah faham kepada pihak tertentu di istana apabila Lebai dituduh melanggari adab dengan raja. Kisahnya ialah sewaktu Tunku Abdul Rahman mencemar duli turun ke Pelangai untuk menyampaikan syahadah ( sijil) tamat pengajian kepada pelajar-pelajar di sana. Ketika majlis bersantap disediakan, Tunku Abdul Rahman meminta Lebai Maadah duduk bersama baginda makan bersama. Tiga hari lepas itu, Lebai dikunjungi polis dari Balai Polis membawa mesej Lebai Maadah dikehendaki hadir ke istana bagi tuduhan tersebut.




Tuan Guru Lebai Maadah dengan tenang mengajak Haji Md Zin Ujang menemaninya ke istana. Mereka bertolak dari kampung jam 7.00 pagi menunggang basikal. Perjalanan untuk sampai ke istana Seri Menanti memakan masa lebih kurang 4 jam lamanya lantaran kerana jalan ke Pekan Batu Kikir waktu itu masih jalan tanah dan melalui jalan kampung serta kebun getah. Sesampai di pintu istana, Lebai memberi salam dan seorang budak berumur lebih kurang 8 tahun muncul ( mungkin putera raja), kanak-kanak itu berlari ke tingkat atas istana. Kemudian terdengar suara dari bilik istana, " Lebai, mari sini!" Lebai Maadah pun naiklah ke atas istana berbual dengan Tunku Abdul Rahman.



Antara perbualan mereka yang sempat diingati oleh Haji Md Zin Ujang ialah Lebai Maadah melahirkan rasa dukacitanya terhadap perkara berbangkit. Beliau tidak mengangkat sembah sebagaimana lain-lain rakyat ketika bertemu raja dan memanggil Tunku Abdul Rahman dengan panggilan 'Tuan Patik". Tunku Abdul Rahman pula merendah diri berkata:



" Di dunia kami tinggi tapi di akhirat, Lebai lebih tinggi darjatnya.." Baginda berjanji akan menyelesaikan masalah tersebut dengan pihak tertentu di istananya.



Dalam perjumpaan itu juga, Tunku Abdul Rahman meminta Lebai Maadah mengajar tafsir al Quran dalam Bahasa Inggeris. Bermula dari tarikh itulah beliau kerap ke istana menunaikan permintaan baginda. Tunku Abdul Rahman mendapat pendidikan di Kolej Kuala Kangsar dan mendapat Barr-at Law dari Inner Temple England tahun 1928. Baginda sebelum ditabalkan menjadi Dipertuan Besar pernah menjawat jawatan ADO di beberapa daerah dan terakhir menjadi DO Batang Padang 1933. Baginda pernah juga meminta Lebai Maadah menafsirkan mimpinya apabila bermimpi baginda digelar "Manaf" oleh Raja-raja Melayu. Lebai menafsirkan baginda akan naik tinggi dan disebut orang selama-lamanya. Menurut Haji Md Zin, antara kelebihan yang dimiliki oleh baginda selepas itu ialah Baginda dilantik sebagai Yang Dipertuan Agong pertama dan gambarnya terus dicetak dalam wang kertas negara ini sehingga sekarang.



Lebai Maadah merupakan tokoh pemidato dan pandai berbahas. Seperti yang disebut sebelum ini, beliau pernah berbahas masalah agama dengan tokoh assunnah di Alor Gajah dan seorang ulama terkenal bernama Tuan Haji Muhamad Mustaffa dari Kuala Jempol ( riwayat hidupnya turut dipaparkan dalam buku Jejak Ulama ini) ulama ini mendapat didikan dari Mekah Al Mukarramah dan sangat terkenal di kalangan pembesar negeri termasuk Al Marhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Tuanku Muhammad sendiri. Majlis perbahasan ini telah diadakan di Istana Besar Seri Menanti dengan dihakimi oleh Tunku Besar Burhanuddin Ibni Tuanku Antah iaitu kerabat raja ketika itu. Menarik juga dicatitkan di sini iaitu kecenderungan pihak istana dalam bidang agama agak menonjol ketika itu kerana selain di Negeri Sembilan, Raja Kelantan Tengku Long Senik yang memerintah tahun 1900 – 1920 turut menjadikan ulama sebagai tempat rujukan utama ketika dilemma kemasukan amalan tarekat Ahmadiyah ke Kelantan.




Dalam perbahasan tersebut, Lebai Maadah dikatakan sekali lagi menunjukkan keistimewaannya apabila beliau yang bermodalkan Al Quran berjaya melengkapkan hujahnya. Apabila beliau ingin merujuk bahasannya, beliau hanya menepuk kitab suci itu dan nashkah yang terbuka itu tepat menunjukkan ayat-ayat yang beliau kehendaki dengan izin Allah. Bukan itu sahaja, Maulana ini juga dikatakan pernah berbahas dengan orang-orang kristian yang diadakan di Sekolah Menengah King George V Seremban. Kebolehan Maulana menguasai banyak bahasa termasuk Bahasa Inggeris selain bahasa Urdu dan Arab memudahkan beliau menyampaikan dakwahnya. Kesannya, ramai penganut agama kristian waktu itu masuk Islam



Beberapa karya beliau yang diketahui sempat ditinggalkan ialah seperti berikut:




i. Kitab " Percubaan Tuhan" perbicaraan tentang keimanan setebal 40 muka. Diterbitkan oleh The Teruna Press, Kuala Pilah. 1939 dalam Bahasa Melayu, Inggeris dan Arab.

ii. "Urujul Akhwam" mengandungi 100 halaman, terbitan The Teruna Press, Kuala Pilah. 1939.

iii. "Persaudaraan" diterbitkan oleh The Mutbah Al Zainiah, Bukit Mertajam tahun 1939.

iv. " Suluh Tengkek" setebal 80 muka iaitu buku panduan syarahan agama. Terbitan The Teruna Press, Kuala Pilah. 1939



Malangnya, sebahagian besar kitab – kitab pengajian dan beberapa hasil tulisan beliau tidak dapat dikesan lagi selepas kematiannya. Ada penduduk kampung mendakwa Maulana pernah memberi pesanan sebelum ajalnya supaya kitab- kitab beliau diserahkan kepada muridnya Ustaz Abdul Jalil yang telah menyemenda ( berkahwin dengan penduduk kampung), kerana beliau sahaja yang dikatakan mampu menguasai dan memahami kitab-kitab Arab tidak berbaris itu. Walau bagaimanapun, kitab – kitab tersebut telah beralih tangan kepada kerabat sebelah isterinya iaitu bapa mertuanya Imam Ayin ( Ibrahim). Masa kecil, penyusun pernah melihat orang tua ini di rumah anaknya Hajjah Bedah Ibrahim iaitu isteri datuk saudara penyusun.



Dalam musim perang, Lebai Maadah hanya menumpukan masanya di Madrasah Bukit Tempurung. Kegigihannya untuk mencurahkan ilmu disanjungi oleh penuntut-penuntut beliau. Adakalanya beliau akan pergi ke rumah anak muridnya untuk mengajar secara langsung. Ini disahkan sendiri oleh Ustazah Hambiah Md Som ( telah meninggal dunia beberapa bulan selepas pertemuan dengan penyusun) yang menyatakan Tuan Gurunya sering datang ke rumah mengajar ketika beliau masih dalam pantang ( baru bersalin). Lebai ingin menjadikan Hambiah sebagai penghulu atau ketua muslimat yang mendalami ilmu agamanya.




Antara kata-kata yang masih diingati oleh Hambiah ialah " ..apa nak buat, tiada rezeki anak-anak untuk belajar.." Ini seolah-olah beliau telah merasakan tempoh hidupnya begitu singkat. Sudah ditakdir Allah jua, ketika anak lelakinya berusia dua tahun, isteri beliau telah meninggal dunia. Allahyarhamah Salbiah Ibrahim dikatakan meninggal kerana mengalami sakit perut. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di rumah emak saudara Lebai Maadah di Kampung Jeram. Berita sedih itu disampaikan kepada suaminya di Madrasah, Maulana menyambut berita kesedihan itu dengan kata-kata lebih kurang begini,



" Biarlah.. dia ( Lebai ) pun akan mati di sana jugak.."



Benar, lebih kurang beberapa hari selepas pemergian isterinya, Maulana yang alim ini pun turut mengikuti isterinya dalam usia 48 tahun dan dikebumikan di sebelah pusara isterinya di Tanah Perkuburan Kg Jeram, Tengkek. Kematiannya diibarat kehilangan permata atau payung ilmu oleh penduduk di negeri ini, agaknya doa spontan ibunya apabila setiap kali melihat kenakalan anak lelaki telah dimakbulkan Allah.



"Jadi payung negerilah kau nak" Inilah ucapan biasa yang sering dikatakan oleh ibunya.



Menurut Haji Md Zin Ujang pula, malam sebelum kematiannya, beliau bercakap dengan rakan sekampungnya bernama Sidek ( dipanggil Sidiadik) supaya diuruskan segera sebelum zuhur. Rupanya beliau perlu dikebumikan sebelum zuhur itu. Seorang anak muridnya bernama Md Yassin dari pelangai Kuala Pilah berdiri kaku di kubur ketika orang ramai sudah mula beredar dari kubur. Apabila ditanya apa yang beliau perhatikan, katanya dia nampak seorang berpakaian serba putih keluar dari kubur dan terus menghilang. Allahyarham meninggal dunia di rumah emak saudaranya Puan Bayau, rumah itu jugalah tempat isteri tersayangnya menghembuskan nafas terakhir.



Penyusun telah sempat menziarahi tanah perkuburan di Kg Jeram tempat tokoh ulama ini disemadikan pada 4 Syawal 1424 bersamaan 28 November 2003. Kami agak sukar mengesan tapak kuburnya kerana tiada tanda-tanda jelas yang membolehkan kami mengesahkan batu nesannya, tetapi menurut penduduk kampung kubur sepasang suami isteri itu adalah berhampiran bawah pokok kundang yang rendang. Sekolah yang diasaskan beliau di Pelangai, Kuala Pilah telah diambil alih oleh kerajaan dan dinamakan Sekolah Menengah Rendah Agama Pelangai. Malah ada juga perkhabaran bahawa beliau turut mengharapkan sesatunya anak lelakinya yang masih belajar merangkak waktu itu diberi didikan agama sehingga sampai ke Darul Ulum juga. Anak lelaki yang yatim piatu itu dibela oleh emak saudaranya Hajjah Bedah Ibrahim. Anaknya itu kini adalah seorang pakar perubatan yang pernah bertugas di Hospital Pakar Tawakkal Kuala Lumpur dan kini membuka klinik sendiri di Taman Tun Dr. Ismail.

Maulana Lebai Maadah bin Layang bolehlah dianggap tokoh pembaharuan yang ulung di negeri ini kerana terbukti dalam tempoh tidak sampai 15 tahun beliau balik ke tanahair, beberapa jejak-jejak yang ditinggalkannya telah meninggalkan kesan seperti berikut:




i. Beliau adalah tokoh pertama yang menubuhkan sekolah agama atau madrasah berasrama secara formal dan sistematik. Mata pelajaran yang diajar di madrasahnya merangkumi semua lapangan pengajian agama termasuk memperkenalkan Bahasa Inggeris sebagai subjek tambahan.

ii. Pengajian terjemahan al Quran secara harfiah terbukti memudahkan penuntut-penuntut di madrasah ini menguasai ilmu pengajian al Quran dengan cepat.

iii. Beliau membuka madrasahnya untuk anak-anak bangsa samada lelaki atau perempuan tanpa membezakan mereka. Pelajar-pelajar yang mendapat tarbiah dari madrasah secara langsung dari beliau itu datang dari banyak tempat dan negeri. Melalui pendedahan ini menyebabkan pemikiran dan aliran yang dibawa oleh beliau berkembang di banyak tempat pula.

iv. Maulana juga dianggap tokoh yang berwawasan tinggi kerana pernah bercita-cita untuk menubuhkan pusat pengajian tinggi agama ala Darul Ulum di Nusantara.

v. Terbukti pemikiran dan aliran " as sunnah" atau lebel "Kaum Muda" yang dicetuskannya telah bertapak di Negeri Sembilan khususnya di Kuala Pilah adalah kesinambungan gerakan awal yang dirintis oleh beliau.



Pendek kata, kemunculan beliau di persada dunia pendidikan dalam negeri pengamal adat perpatih ini benar-benar dirasai dan sebagai pelopor fahaman yang tidak terikat kepada aliran bermazhab. Walau pun aliran ini masih sukar diserasikan dalam masyarakat setempat tetapi sumbangan besar beliau dalam dunia pendidikan agama tetap terakam dalam lipatan sejarah negeri ini. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Amin.
              Di kawasan perkuburan Kg. Jeram, Tengkek inilah beliau disemadikan.

Komen saya: Artikel yang mempunyai fakta yang tepat. Nama Sidiadik yang disebut dalam artikel ini adalah datuk saya yang bernama Abdul Rahman bin Deli, manakala emak saudara lebai yang bernama Bayau itu pula adalah ibu kepada nenek saya. Bayau juga dikenali sebagai Aminah. Anak lebai yang bernama Muhammad Kassim itu pula, sekarang ini membuka klinik di Taman Tun Dr Ismail KL iaitu Klinik Cassim. Shamsiah Fakeh adalah salah seorang anak murid beliau yang tersohor dan telah menyertai secara aktif dalam politik tanah air.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com