Saya sangat menghormati dan menyokong parti DAP dalam
memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia mereka untuk mendapatkan hak samarata
bagi semua warga Malaysia tanpa mengira kaum melalui saluran demokrasi tanpa
menggunakan senjata dan kekerasan.
Saya juga sangat menghormati dan menyokong parti PAS dalam
memperjuangkan negara Islam melalui saluran demokrasi, bukan menggunakan
pedang.
Islam diturunkan melalui NabiNya dengan berbekalkan Quran
berbentuk buku, hujah dan lidah nabi adalah kekuatannya.
Itulah demokrasi, memberi ruang kepada semua orang untuk
memperjuangkan apa saja isu yang berkaitan dengan kehidupan mereka dan memberi ruang
untuk menyampaikan agenda mereka kepada orang ramai. Kejayaan perjuangan mereka
itu bergantung kepada sokongan orang ramai kepada mereka yang akan ditentukan
dalam pilihanraya. Inilah kaedah yang terbaik, tidak melalui pertumpahan darah,
tiada kekerasan dan tidak menyusahkan orang ramai.
Tetapi sistem demokrasi hanya akan berkesan dan berfungsi
dengan baik jika ruang kebebasan bersuara dan berhujah tidak disekat dan
pilihanraya dilaksanakan dengan bebas, telus, adil dan bersih.
Tidak ada gunanya kalau ada pihak ingin memperjuangkan
sesuatu isu atau agenda melalui sistem demokrasi, tetapi demokrasi yang
digunakan tempang. Akhirnya perjuangan itu tidak akan sampai ke mana.
Bagaimana mungkin isu dan agenda yang hendak di bawa oleh
sebuah parti politik itu boleh sampai dan difahami oleh orang ramai kalau kebebasan
bersuara disekat. Tidak diberi peluang untuk disampaikan melalui media perdana.
Lihatlah media perdana di Negara kita, walaupun sebahagian
besarnya dibiayai dari wang Negara dan wang rakyat tetapi ia telah menjadi alat
kempen dan propaganda parti pemerintah, di samping menjadi alat
memburuk-burukan parti pembangkang.
Kalau di negara-negara maju seperti Britain, penyalahgunaan harta awam untuk kempen dan propaganda parti pemerintah, sudah cukup untuk membuatkan mereka kalah dalam pilihanraya.
Kalau di negara-negara maju seperti Britain, penyalahgunaan harta awam untuk kempen dan propaganda parti pemerintah, sudah cukup untuk membuatkan mereka kalah dalam pilihanraya.
Kepincangan demokrasi ini menyebabkan rakyat hanya dapat
maklumat tentang agenda parti pemerintah sahaja. Sedangkan ruang kepada
parti-parti politik pembangkang sangat terbatas kepada media baru dan
ceramah-ceramah. Oleh itu tidak hairanlah kalau UMNO telah berjaya mengekalkan
kuasanya terus menerus memerintah Malaysia selama lebih 55 tahun kerana rakyat
tidak diberi peluang untuk mendengar hujah-hujah dari parti pembangkang.
Lebih memalukan lagi, Menteri Komunikasi Datuk Rais Yatim
telah mempelawa Pakatan Rakyat menyiarkan rakaman manifesto pilihanraya mereka
di RTM untuk selama 10 minit. Tingkah Rais Yatim ini betul-betul menghina
prinsip demokrasi. Bercakap seperti seorang yang jahil tentang demokrasi.
Tidakkah dia ingat, bagaimana marahnya dia dengan RTM dan TV3 semasa dia
menjadi pembangkang dalam parti Semangat 46 dulu? Masihkah dia ingat lagi
bagaimana dia sendiri yang memikul alat pembesar suara semasa mahu memberi ceramah
di kawasan penempatan di belakang Mah Fah Sawmill di Paroi menghentam Mahathir
di satu masa dulu? Tetapi ucapan Rais Yatim di masa itu diibaratkan oleh orang
ramai seperti ‘katak ngomping’ saja.
Sangat jelas parti-parti politik yang bertanding di Malaysia
bertanding secara berat sebelah atau bertanding di atas lantai yang tidak sama
tinggi. Selain dari itu parti pemerintah juga didakwa telah melakukan berbagai ‘penipuan’
dalam pilihanraya.
Oleh kerana parti pemerintah bertanding dalam suasana berat
sebelah, maka mereka tidak boleh dikatakan menang kalau tidak dapat memperoleh
undi melebihi 60% dari jumlah undi.
Perjuangan politik parti-parti pembangkang hanya akan
menjadi sia-sia dan selamanya tidak akan berjaya kalau sistem demokrasi dan
pilihanraya di Negara ini tidak dipulihkan dan diletakkan di atas landasannya
yang betul.
Untuk pilihanraya umum ke 13 yang akan diadakan beberapa
hari lagi ini, ketepikanlah dulu buat sementara Malaysian Malaysia,
ketepikanlah dulu Negara Islam. Sebaliknya fokus utama kita sekarang yang lebih
penting ialah memulihkan sistem demokrasi dan pilihanraya Negara ini supaya
berada di atas landasan dan berfungsi dengan betul.
Tidak ada guna kita bercakap tentang Negara Islam dan
Malaysian Malaysia melalui saluran demokrasi, tetapi demokrasi di Negara kita
ini telah tidak dapat berfungsi dengan baik.
Oleh itu marilah kita bermula dengan memperbaiki dan
memulihkan demokrasi Negara kita dahulu, dan selepas itu barulah kita boleh
bercakap tentang apa saja.
Jadikanlah tahun 2013 ini tahun pemulihan demokrasi di
Malaysia. Undilah parti apa saja, jangan pedulikan agenda mereka, yang penting
kita undi untuk demokrasi, untuk masa depan kita dan anak-anak kita.










