Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Wednesday, December 31, 2014

Gambar-gambar menarik di Hangzhou dan Shanghai China


Semasa sampai di lapangan terbang biasanya pelancung akan ke hotel atau ketempat-tempat destinasi mereka yang tertentu. Oleh itu perlu disediakan counter untuk mendapatkan teksi dan mendapatkan harga teksi yang betul, dan melarang pengangkutan tak berlesen dan haram dari mengganggu pelancung. Saya rasa servis seperti ini memang sudah ada di KLIA.

Yang kedua, semua barang-barang yang dijual di kedai-kedai dan gerai-gerai hendaklah diletakkan tanda harga, ini dapat mengelakkan pelancung dari tertipu. Pelancung suka kalau barang yang dijual ada tanda harga.


Inilah asset kita yang sangat penting untuk menarik lebih ramai pelancung datang ke Negara kita, selain dari meningkatkan kemudahan, keselesaan, keselamatan pelancung dan menambah produk-produk pelancungan yang menarik.

Cara-cara hendak pergi ke China boleh lihat di link berikut:

http://aliasmohdyusof.blogspot.com/2014/12/cara-pergi-ke-hangzhou-shanghai-china.html
http://aliasmohdyusof.blogspot.com/2014/12/cara-pergi-ke-hangzhou-shanghai-china.html


Tuesday, December 30, 2014

Cara pergi ke Hangzhou, Shanghai China tanpa melalui agensi pelancungan


Langkah pertama perlu dapatkan visa ke China, visa ke China perlu dipohon dalam masa tiga bulan dari tarikh tiket penerbangan ke China. Contoh, kalau tarikh penerbangan pada 21 December maka visa hendaklah di pohon selepas 21 September. Untuk mohon visa, isi borang mohon visa China yang boleh di download dari internet atau ambil secara percuma di kedutaan China Kuala Lumpur.

Alamat kedutaan China.

Chinese Visa Application Service Center Kuala Lumpur, Level 5 (Application) & Level 6 (Collection).

Hamsphire Place Office,  Jalan Mayang Sari, 50450 Kuala Lumpur.

Lebih mudah kalau isi borang visa China secara online di website yang disediakan http://www.visaforchina.org/KUL_EN/System/264473.shtml  kemudian setelah maklumat telah lengkap diisi, cetak borang tersebut. Borang yang telah lengkap diisi diserahkan kepada pejabat kedutaan China di tingkat 5, bersama dengan passport, satu salinan muka surat passport yang mengandungi maklumat dan gambar pemegang, dan sekeping  gambar bersaiz passport yang telah siap dilekatkan (gam) pada borang visa. Kalau kita pergi dalam kumpulan yang ramai, cukup wakilkan seorang saja pergi menyerahkan semua borang dan dokumen yang lengkap ke kedutaan. Selain dari passport dan borang permohonan visa, perlu juga serahkan satu salinan itinerary dari syarikat penerbangan dan satu salinan booking hotel. Counter terima borang tutup pada jam 3.00 petang pada hari bekerja, pejabat kedutaan China tutup pada hari Sabtu dan Ahad.

Ringkasan senarai yang perlu semasa memohon visa China:

1.     Sediakan sekeping gambar berukuran Gambar Pasport berlatar cerah, dilekatkan pada borang.

2.     Passport asal dan sah laku sekurang kurangnya 6 bulan sebelum luput.

3.     Salinan Muka depan (muka surat yang mengandungi maklumat pemegang) Passport pemohon.

4.     Salinan tiket/itinerary penerbangan anda ke China yg telah dibooking.

5.     Jika ada tempahan hotel, boleh sertakan satu salinan. Jika tiada pastikan anda tahu alamat tempat anda menginap

6.     Jika yg menyertai lawatan ramai, boleh menggunakan wakil untuk uruskan, tak perlu semua hadir.

7.     Anda perlu memilih dan isikan diborang permohonan anda memerlukan single entry atau double entry. (maksudnya dalam masa 6 bulan jika anda ingin buat 2 kali lawatan, tak perlu mohon visa sekali lagi, pilih double entry). Harga visa single entry lebih murah dari double entry.

Pegawai kedutaan akan memberi tarikh paling cepat untuk kita boleh mengambil semula passport bersama kelulusan visa ditingkat 6 . Kita akan dikenakan bayaran RM89.00 untuk setiap visa. Bayaran dibuat semasa mengambil visa yang telah lulus. Kalau menggunakan khidmat agensi pelancungan untuk memohon visa bagi pihak kita, harga setiap visa boleh mencecah RM150.00 untuk setiap visa.

Harga makanan dan hotel di Hangzhou dan Shanghai tidak jauh beza dengan Malaysia.  Sementara untuk mencari dan bertemu dengan kedai makanan halal, ada baiknya kalau bawa bekal makanan paket seperti Brahim dari Malaysia, yang hanya perlu direndam dengan air panas saja, roti gardenia dan serunding.

Warga China tidak memahami bahasa asing termasuk English. Oleh itu kita perlu tahu bahasa Mandarin atau sekurang-kurangnya ada seorang dalam kumpulan kita yang tahu bahasa Mandarin.

Snow di Hangzhou biasanya turun pada bulan February.

Harga tiket ke Hangzhou dari Kuala Lumpur boleh dapat semurah RM550.00 untuk harga pergi-balik kalau menggunakan penerbangan AirAsia.

Untuk pergi ke Shanghai dari Hangzhou, kita boleh menggunakan khidmat keretapi laju (bullet train) yang hanya mengambil masa 45 minit.

Cadangan Hotel di Hangzhou:

Star rating provided by Expedia.

Westlake 7 Apartment Hotel, Room 726 Building A, Oriental Gold Tower, No.1 Yuewang Road, Xihu District, Hangzhou 310006, China.

Duit belanja makan dan tambang untuk seorang bagi tempoh 5 hari di Hangzhou dan Shanghai sekitar 600 Yuan iaitu lebih kurang RM300 (tiga ratus ringgit) sudah memadai. Di China saya tidak nampak kedai money changer, bank hanya terima US Dollar sahaja untuk ditukar kepada Yuan.

Harga tambang teksi dari Lapangan terbang antarabangsa Hangzhou ke Hotel kurang dari 200 Yuan (RM100).

Jangan lupa bawa plug adapter kerana pin power socket di Negara China adalah berbeza dengan Malaysia, ini untuk memudahkan kita mengecas handphone bila berada di China.


Tuesday, August 26, 2014

Selamat bersara En. Abd. Jaafar Shafie


Encik Jaafar Shafie yang bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM telah bersara wajib pada bulan Jun 2014 ini, setelah berkhidmat selama 38 tahun.

Beliau seorang yang low profile, mudah mesra dengan siapa saja. Beliau sangat disenangi oleh semua kakitangan. Beliau sangat suka kepada ilmu pengetahuan terutamanya dalam prinsip asas kejuruteraan elektrik dan mesin elektrik. Sikapnya yang suka berkongsi ilmu pengetahuan dengan orang lain menjadikan beliau memang sesuai bertugas sebagai seorang pensyarah.

Setiap kali dapat peluang berbual dengannya, pasti kita akan dapat sesuatu ilmu pengetahuan yang berguna yang disampaikannya sebelum beredar meninggalkannya.

Beliau adalah antara kakitangan pengajar terawal ketika Fakulti Elektrik ditubuhkan di Universiti Teknologi Malaysia. Bekerja di bawah Jabatan Elektrik Kuasa, pengetahuannya tentang teori mesin elektrik memang tiada tandingnya di fakulti ini, beliau sering dirujuk oleh pensyarah-pensyarah baru.

Semasa menanda dan memeriksa kertas ujian, kertas peperiksaan, mahupun lapuran makmal pelajar, beliau sangat berhati-hati dan teliti dan sentiasa memberi komen jika ada kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh pelajar.

Beliau banyak memberi idea dalam membangunkan ujikaji-ujikaji yang dijalankan di makmal, selalu menegur jika ada kesilapan-kesilapan yang terdapat dalam kertas ujikaji makmal.

Walaupun bersara tanpa ada gelaran professor tetapi beliau tetap berpuas hati dengan pencapaiannya sebagai pensyarah kanan di UTM. Bagi beliau, kepuasan dalam menyampaikan ilmu pengetahuan kepada pelajar-pelajar itulah yang lebih penting dari segala-galanya.

Sebagai seorang sahabat yang telah lama bekerja bersama beliau. Di sini saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada beliau. Moga beliau terus menyumbang kepada masyarakat walaupun sudah bersara.

Wednesday, June 11, 2014

Insyallah kita akan bertemu juga di padang Masyar

Di dalam Quran banyak ayat-ayat yang menceritakan tentang hari kiamat dan padang Masyar. Kita beriman dengan Quran, sebuah kitab yang tidak diragui kebenarannya. Di bawah adalah sebilangan ayat yang berkaitan dengan kiamat dan padang Masyar yang telah saya temui dan sempat saya catitkan.

Ayat Quran dari Surah Toha memberitahu kita, padang Masyar itu adalah alam yang sama dengan alam yang kita tinggal sekarang ini juga. Perbezaannya, selepas kiamat keadaan rupa fizikal bumi telah jauh berubah, tidak lagi ada gunung ganang dan bukit bukau, semuanya rata belaka dan berpasir.

Keadaannya samalah seperti Acheh yang dilanda tsunami, kawasan yang di landa tsunami itu berubah keadaan fizikalnya dengan rumah-rumah musnah dan pokok-pokok tumbang. Tetapi padang Masyar tentulah jauh berbeda keadaannya.

Kalau satu masa nanti kita terjaga dari tidur, dan kita lihat di sekeliling kita bukan lagi dalam bilik tidur, tetapi suatu pemandangan padang yang sangat luas, maka ada kemungkinan itu adalah padang Masyar.

Bintang-bintang berguguran dan berpadu dengan bumi kita (seperti kejadian asal), lalu membentuk satu glob yang sangat besar, yang jauh lebih besar dari glob bumi kita yang ada sekarang. Pembentukan glob yang besar ini dapat menampung semua jumlah manusia dari Nabi Adam hingga ke hari kiamat. Kita akan nampak ia seperti sebuah padang yang sangat luas, itulah dia padang Masyar.

Semasa kita di hari terakhir di sekolah lama kita, samada darjah 6 atau di tingkatan 5, kita berpisah dengan kawan-kawan sekolah kita. Selepas itu ada yang kita jumpa semula masa di university, ada kita jumpa semula masa urusan bekerja, atau ada yang kita jumpa masa melawat di satu-satu tempat atau daerah. Tapi ada juga yang kita akan  jumpa semula dengan mereka di padang masyar. Rupa-rupanya hari terakhir kita berpisah masa di sekolah itu adalah betul-betul perjumpaan terakhir semasa di dunia ini.

Surah Thoha (20)
[55]
Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi.
[105]
Dan mereka (yang kafir) bertanya kepadamu (wahai Muhammad) dari hal gunung-ganang; maka jawablah: "Tuhanku akan menghancurkannya menjadi debu ditiup angin.
[106]
"Lalu Ia membiarkan tapak gunung-gunung itu (di bumi) rata lagi licin".
[107]
Engkau tidak akan melihat pada tapaknya itu tempat yang rendah atau yang tinggi. (rata).
Surah Al Anbiya (21)
[30]
Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?
[31]
Dan Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan lalu-lalang, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan jasmani.
Komen: Banyak kejadian Tuhan kembalikan sepertimana dimulakan, contoh: manusia, bayi yang lemah kembali menjadi orang tua yang lemah, bulan sabit mula dan akhir.
[104]
(Ingatlah) hari Kami menggulung langit seperti menggulung lembaran surat catitan; sebagaimana kami mulakan kejadiannya, Kami ulangi wujudnya lagi; sebagai satu janji yang ditanggung oleh Kami; sesungguhnya Kami tetap melaksanakannya.
Surah Al Haaqqah (69)
[13]Kemudian (ketahuilah bahawa) apabila ditiup Sangkakala dengan sekali tiup, -
[14]Dan bumi serta gunung-ganang diangkat (dari tempatnya) lalu dihancurkan keduanya dengan sekali hancur, -
[15]Maka pada saat itu berlakulah hari kiamat, -
[16]Dan terbelahlah langit, lalu menjadilah ia pada saat itu reput (dan runtuh),
Surah  Al-Ma’arij (70)
[7]Sedang Kami memandangnya dekat, (tetap akan berlaku),
[8](Iaitu) pada hari langit menjadi seperti tembaga cair,
[9]Dan gunung-ganang pula menjadi seperti bulu (yang berterbangan)
[43]Iaitu hari mereka segera keluar dari kubur masing-masing menuju (ke Padang Mahsyar) dengan keadaan seolah-olah mereka berkejaran ke (tempat) berhala-berhala (yang mereka sembah dahulu),
Surah  Al-Muzzammil (73)
[14](Azab itu tetap berlaku) pada hari bumi dan gunung-ganang bergoncang (serta hancur lebur), dan menjadilah gunung-ganang itu timbunan pasir yang mudah bersepah.
[18]Langit (yang demikian besarnya) akan pecah belah dengan sebab kedahsyatan hari itu. (Ingatlah), janji Allah adalah perkara yang tetap dilakukanNya.

Surah  Al-Qiaamah (75)

[9] Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama,

Surah Al-Mursalat (77)
[8]Oleh itu, apabila bintang-bintang (binasa dan) hilang lenyap;
[9]Dan apabila langit terbelah;
[10]Dan apabila gunung-ganang hancur lebur berterbangan;
[18]Iaitu masa ditiup sangkakala, lalu kamu (bangkit hidup) serta datang berpuak-puak (ke Padang Mahsyar);
[19]Dan (pada masa itu) langit dipecah belahkan sehingga tiap-tiap belahannya menjadi ibarat pintu yang terbuka luas,
[20]Dan gunung-ganang – setelah dihancurkan – diterbangkan ke angkasa, lalu menjadilah ia bayangan semata-mata seperti riak sinaran panas di padang pasir.
Surah 52. At-Tur
[9]Pada hari langit (dan segala isinya) bergegar dengan sekuat-kuatnya.
[10]Dan gunung-ganang bergerak dari tempatnya dengan cara yang luar biasa.
[6]Pada masa berlakunya “tiupan sangkakala yang pertama” yang menggoncangkan alam, (sehingga mati segala yang bernyawa dan punah-ranah sekalian makhluk selain dari yang dikecualikan),
Komen: Seperti pokok kering yang digoncang, daun-daunnya berterbangan.
[1]Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap);
[2]Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak;
[3]Dan apabila gunung-ganang di terbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu);
[4]Dan apabila unta-unta yang bunting terbiar;
[5]Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan;
[6]Dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur;
[1]Apabila langit terbelah;
[2]Dan apabila bintang-bintang gugur bertaburan;
[3]Dan apabila lautan pecah bercampur-baur;
[4]Dan apabila kubur-kubur dibongkarkan, -
[1]Apabila langit terbelah,
[2]Serta mematuhi perintah Tuhannya, dan sudah semestinya ia patuh;
[3]Dan apabila bumi diratakan,
[4]Serta mengeluarkan apa yang di dalamnya, dan menjadi kosong,
[1] Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya,
[2] Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya,
[3] Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); “Apa yang sudah terjadi kepada bumi?”
[1] Hari yang menggemparkan,
[2] Apa dia hari yang menggemparkan itu?
[3] Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari yang menggemparkan itu? -
[4] (Hari itu ialah: hari kiamat), hari manusia menjadi seperti kelkatu yang terbang berkeliaran,

[5] Dan gunung-ganang menjadi seperti bulu yang dibusar berterbangan.

Sunday, May 25, 2014

Induk Buruk

Hari Rabu lepas (21 May 2014) kakak aku telefon menyampaikan berita Induk Buruk telah meninggal dunia pada hari semalamnya dan telah dikebumikan di kampung kerana sakit tua. Memang sudah lama aku ingin bertemu dengan Induk Buruk, dengar cerita, dia tinggal dengan anak perempuannya yang bernama Mahanum di Klang, Selangor. Malah sejak kebelakangan ini hati aku begitu kuat hendak bertemu dengannya, rasanya sudah lebih 10 tahun tidak jumpa dengan dia.

Tetapi hingga hari kematiannya aku tidak dapat kesempatan dan peluang untuk bertemu dengan dia. Mungkin tidak ada keperluan yang penting untuk bertemu dengannya, maka aku selalu bertangguh dan hanya mengharapkan akan bertemu dia di satu hari nanti. Rasa sedikit kesal juga kerana tidak dapat bertemu dengan dia sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Siapakah Induk buruk?

Induk Buruk bukan seorang yang sangat penting kepada keluarganya, apatah lagi kepada kita semua. Dia hanya seorang OKU perempuan yang mempunyai otak lemban atau bodoh-bodoh alang. Dia tidak boleh menguruskan dirinya dengan baik seperti orang normal. Dia hanya boleh membuat kerja-kerja dengan arahan dan perlu dipantau.

Induk Buruk adalah anak angkat kepada moyang aku yang bernama Sombun yang tinggal di Kampung Ulu Rembang Panas. Sombun hanya mempunyai seorang anak lelaki bernama Dahan. Oleh kerana Sombun tidak ada anak perempuan, dia telah mengambil Induk Buruk sebagai anak angkatnya. Anak perempuan sangat penting dalam keluarga masyarakat Negeri Sembilan kerana anak perempuan penting sebagai pewaris pusaka adat. Induk Buruk bukanlah orang asing kepada Sombun, ibu kandung Induk Buruk adalah anak kepada adiknya sendiri. Dengan kata lain Induk Buruk adalah anak saudaranya juga.

Semasa Induk Buruk diserahkan kepada Sombun, dia adalah seorang kanak-kanak yang normal, tetapi pada satu hari badan Induk Buruk telah terkena air panas. Sejak peristiwa itu Induk Buruk telah bertukar menjadi orang kurang upaya (OKU). Begitulah kehendak Tuhan ke atas Induk Buruk.

Bila sampai umur dewasa, Induk Buruk dikahwinkan oleh ibubapa angkatnya. Dengan suaminya bernama Mansor, Induk Buruk dikurniakan tiga orang anak. Walaupun Induk Buruk tidak ada kemahiran untuk membesarkan bayi, tetapi ini tidak jadi masalah kerana Sombun dan suaminya Majid mengambil alih peranan sebagai ibubapa kepada anak-anak Induk Buruk. Tugas Induk Buruk hanya menyusukan anak-anaknya sahaja, yang lain-lain itu semua diuruskan oleh Sombun.

Kehidupan Induk Buruk adalah juga sebahagian dari hidup aku, di masa kecil aku kerap bertandang ke rumah moyangku Sombun yang merupakan ibu angkat Induk Buruk. Oleh itu aku tahu sangat kehidupan Induk Buruk.

Mengangkat air dalam baldi untuk keperluan memasak dan membasuh pinggan dari perigi hingga ke rumah yang jaraknya tidak kurang dari 100 meter adalah merupakan rutin harian Induk Buruk. Di musim bersawah,Induk Buruk turut membantu kerja-kerja di sawah. Induk Buruk kuat makan kerana dia kuat bekerja. Ketika makan, dia akan makan dalam pinggan aluminium khas untuknya. Kenapa dia makan dalam pinggan khas itu, tidaklah aku tahu.

Selalunya Induk Buruk berpakaian comot, sesuai untuk membuat kerja-kerja di kampung.  Pernah satu hari anak Induk Buruk dalam buaian menangis kerana lapar hendak menyusu. Moyang aku Majid (suami Sombun) yang sangat sayangkan cucunya itu menjerit memanggil Induk Buruk supaya balik ke rumah segera untuk menyusukan anak itu. Berkali-kali dia menjerit memanggil Induk Buruk tetapi Induk Buruk yang asyik membuat kerja di sawah tidak juga balik.

Moyang aku Majid sangat marah, lalu dicapainya rotan dan pergi mencari Induk Buruk di sawah. Tidak berapa lama kemudian aku nampak Induk Buruk berjalan pulang ke rumah sambil diekori oleh moyangku Majid dengan rotan ditangannya. Tidaklah aku tahu Induk Buruk telah kena rotan atau tidak, mungkin sekadar mahu menakut-nakutkannya sahaja.

Satu hari ketika aku berumur enam tahun, moyangku Majid menyuruh Induk Buruk pergi memeriksa perangkap pelanduk (kancil) yang telah dipasangnya di hutan di kawasan yang tidak berapa jauh dari rumahnya. Aku dan beberapa kanak-kanak lain ikut sama menemani Induk Buruk. Nasib agak baik, pada hari itu perangkap mengena. Induk Buruk membawa balik pelanduk yang kena perangkap itu ke rumah, kami yang mengiringinya rasa sangat gembira kerana dapat melihat pelanduk.

Dalam perjalanan balik ke rumah, aku meminta kepada Induk Buruk untuk rasa memegang pelanduk itu. Induk Buruk memang sayangkan kanak-kanak. Memang perkara biasa di mana-mana pun kita akan dapat melihat kanak-kanaklah yang suka melayan orang OKU yang dewasa, bercakap-cakap dengan mereka. Sebaliknya orang dewasa jarang hendak bercakap-cakap dan bercerita dengan orang dewasa OKU yang berotak lemban.

Induk Buruk tidak menghampakan permintaan aku untuk rasa memegang pelanduk yang hidup itu. Sebaik saja pelanduk itu berada dalam pegangan aku, ia meronta dengan sekuat tenaganya menyebabkan kaki pelanduk itu terlepas dari  genggaman aku. Aku terkejut dan pelanduk itu lepas lari.

Mungkin Induk Buruk sudah menjangka perkara ini akan berlaku, secepat kilat Induk Buruk bertindak pantas mengejar pelanduk tersebut. Mungkin pelanduk itu telah banyak hilang tenaga kerana banyak meronta dalam perangkap dan telah lama tidak makan, pelanduk yang agak lemah itu mudah saja ditangkap semula oleh Induk Buruk. Akhirnya malam itu kami dapat makan nasi berlauk daging pelanduk.

Kehidupan Induk Buruk menjadi susah dan amat daif sekali bila ibu angkatnya Sombun meninggal dunia. Sombun adalah tempat Induk Buruk bergantung hidup, selama ini Sombunlah yang mengatur dan menguruskan segala kehidupannya.  Selepas kematian Sombun, Induk Buruk bersama suami dan anak-anaknya hanya bergantung kepada belas ihsan orang-orang kampung saja.

Setelah suaminya meninggal, Induk Buruk telah di bawa oleh anaknya Mahanum tinggal bersamanya di Klang. Sejak itu aku tidak pernah bertemu lagi dengan Induk Buruk. Dan kini dia telah pergi meninggalkan kehidupan dunia yang tidak berapa indah kepada orang-orang yang sepertinya. Dunia ini hanyalah sekadar tempat dia menumpang di celah-celah kita semua, sementara menunggu Tuhan menjemputnya ke alam abadi. Tentunya di alam akhirat yang abadi, Induk Buruk tidak lagi buruk seperti namanya dan tidak lagi tinggal di rumah yang buruk.


Induk Buruk mungkin tidak dikenal oleh penduduk bumi tetapi mungkin dia disanjung oleh penduduk langit. Moga Tuhan menempatkan dia di syurgaNya bersama-sama dengan orang-orang yang dia sayang. Al Fatihah, dari Mu dia datang, kepada Mu juga dia kembali.

Wednesday, April 09, 2014

Penindasan terhadap umat Islam sudah merata, yakinlah bantuan Allah sudah dekat.

Zionis yang diterajui oleh kaum Yahudi telah merancang sekian lama untuk menghancurkan kekuatan dan pegangan umat Islam. Secara halus dan sistematik, Zionis telah merosakkan akhlak umat Islam dan mereka juga telah menguasai dunia Islam melalui proxy mereka Barat dan Amerika.

Pemimpin-pemimpin Negara Islam harus akur kepada nilai-nilai standard yang digubal oleh Zionis sebagai nilai-nilai antarabangsa sekiranya mereka mahu kekal sebagai pemimpin dan berkuasa dalam Negara mereka.

Masyarakat Islam di Negara yang menjadi penduduk minority terus didikriminasi dan kerap jadi mangsa pembunuhan beramai-ramai tanpa ada pembelaan yang cepat dan wajar dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Hak rakyat Palestine untuk hidup di tanah  air mereka terus dinafikan, rakyat Syria yang dizalimi regim Bashar terus dibiarkan, pemimpin Mesir yang dipilih secara demokrasi oleh rakyat Mesir sendiri telah dinyahkan, ahli-ahli ikhwanul muslimin dilabel sebagai pengganas. Dan banyak lagi masyarakat Islam di merata dunia dilayan secara tidak berperi kemanusiaan.

Pemimpin-pemimpin Negara Islam tidak berani untuk membela kezaliman dan penindasan ini, malah kebanyakan mereka ada yang bersekongkol dengan kuasa-kuasa Barat yang menjaga kepentingan Zionis ini, demi menjaga kedudukan mereka terus kekal.

Pertubuhan Negara-negara Islam IOC langsung tidak digeruni dan tidak banyak yang boleh dilakukan oleh IOC untuk membela umat Islam yang ditindas.

Apa lagi pilihan yang ada kepada masyarakat Islam yang tertindas dan dizalimi ini selain dari mempertahankan diri secara sendirian.
Alhamdulilah, pengajaran dari peperangan gerila bagi menentang regim boneka Russia di Afghanistan pada suatu masa dulu sangat membantu masyarakat Islam yang tertindas dan dizalimi di merata dunia sekarang ini.

Pejuang-pejuang Islam yang dinamakan sebagai Mujahidin yang datang dari seluruh dunia tanpa membawa bendera Negara mereka telah berjuang bersama di bawah bendera Mujahidin berjaya menghalau askar Russia dan bonekanya dari bumi Afghanistan.
Konsep Mujahidin ini patut diteruskan selagi ada masyarakat Islam yang menjadi mangsa kekejaman dan pembunuhan beramai-ramai di mana-mana sahaja di dunia ini.

Usah diharap kuasa-kuasa besar yang jelas anti Islam dan PBB yang menjadi kuda tunggangan mereka itu akan melindungi umat Islam. Kita sendirilah yang patut berjuang untuk membela dan mempertahankan umat Islam dari terus menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai.

Tidak ada salah untuk kita mempertahan diri dari serangan musuh. Asalkan kita tidak menyerang orang awam yang tidak berdosa dan tidak memusnahkan harta awam dan hanya membunuh musuh di medan perang, maka tindakan kita itu memang wajar dan insyallah Tuhan akan menyebelahi kita.

Umat Islam di Palestine dan sekitarnya telah lama bersabar menghadapi kezaliman Zionis. Yakinlah, pertolongan Allah itu sudah dekat.

Wednesday, March 19, 2014

Sikap mendakwa kumpulan kami sahaja yang benar dan diterima Allah akan merugikan Islam

Semasa Iran di bawah pemerintahan Shah Iran, tidak pernah kita dengar kata-kata Syiah itu bahaya, Syiah itu sesat dan Syiah itu terkeluar dari Islam. Kata-kata atau label ini hanya kita dengar selepas sahaja Khomenei berjaya menggulingkan Shah Iran dan menamakan Negara itu sebagai Republik Islam Iran.

Walaupun tidak dinafikan ajaran Syiah berbeza dari ajaran pengikut Ahlul Sunah Waljamaah (Suni), tetapi perbezaan ini hanya dibesar-besarkan dan dilebih-lebihkan dengan tujuan-tujuan yang tersembunyi.

Kemaraan pengaruh revolusi Iran yang dipimpin oleh Khomenei sangat dibimbangi oleh Negara-negara Arab di sekelilingnya yang mengamalkan sistem Raja monarki dan juga Negara-negara Islam sekular yang lain, termasuklah Negara kita Malaysia.

Semangat perjuangan orang Islam Syiah di Iran telah menjadi aspirasi dan menyuntik semangat kepada parti-parti politik yang pro Islam di Negara masing-masing.

Untuk menyekat kemaraan revolusi Islam Iran ini, maka satu cara yang sangat berkesan ialah dengan memperbesar-besarkan perbezaan antara Syiah dan Suni, dan melaga-lagakan mereka.

Malah kumpulan Al Arqam yang kemudiannya dikatakan sesat itu pun juga tidak kurang garangnya menggasak Syiah dan melabel Syiah sebagai bahaya.

Nabi Muhammad adalah nabi dan rasul terakhir, tidak akan ada nabi yang akan turun lagi untuk memberitahu kita, kumpulan atau fikrah mana yang betul dan mana yang sesat. Oleh itu ada baiknya kita berlapang dada kepada semua fikrah dan kumpulan. Kita masih ada Quran yang masih kekal asli dan hadis-hadis sahih untuk jadi panduan kita semua.

Quran adalah kitab petunjuk dari Allah. Jalan yang lurus dan hidayah itu adalah kurnia dari Allah, kita hanya perlu berdoa dan mengikhlaskan hati kepadaNya. Setiap rakaat solat kita mohon agar kita diberi petunjuk kepada jalan yang lurus, dan sudah pasti jalan yang lurus itu seperti yang dipandu dan digariskan oleh Allah melalui kitabNya Quran. Insyallah kalau kita membaca (memahami) Quran dengan hati yang ikhlas, pasti hati kita akan berat ke arah jalanNya.

Sebaliknya kalau tidak ada keikhlasan maka hati kita akan jadi seperti hati orang munafik dan kita akan mentafsir Quran ke arah yang sesat. Berapa ramai orang yang ada kepentingan telah mentafsirkan ayat-ayat Quran mengikut kepentingan mereka dan menyesatkan ramai orang.

Tidak dinafikan masyarakat Melayu pada era sebelum tahun 1960 an dulu, banyak melakukan perkara-perkara kurafat dan bidaah. Mereka jadi begitu bukanlah dengan sengaja atau mahu menolak ajaran Islam yang benar, tetapi lebih kepada kejahilan. Mereka tidak mudah mendapat sumber Quran yang ada terjemahan dan guru-guru agama yang arif.

Tetapi setelah ramai anak-anak orang Melayu yang menuntut ilmu di luar Negara, mereka telah dapat membawa ajaran yang benar tentang agama Islam. Mereka bukan sahaja telah memberi pencerahan kepada masyarakat, membenteras amalan kurafat dan bidaah, tetapi juga menghadapi tentangan dari kaum tua.

Tetapi cara mereka menyampaikan dakwah sangat dipuji, berhikmah, mereka tidak mengambil pendekatan bermusuhan dengan mereka yang mengamalkan amalan kurafat itu, bukan melabel mereka dengan label sesat atau kafir. Mereka tahu secara fitrahnya manusia ini cenderung kepada kebenaran, yang menutup mereka dari melihat kebenaran itu hanyalah disebabkan tidak ada ilmu atau jahil dan mengikutkan hawa nafsu.

Dengan melabel kumpulan lain sebagai Syiah, Wahabi, sesat, keluar dari Islam, kafir, hanya akan menjauhkan kita dari mereka dan meletakkan diri kita sebagai musuh mereka. Membunuh orang yang tidak sealiran dengan kita tidak akan menyelesaikan masalah.
Yang bathil tidak akan dapat mengalahkan yang benar. Kalau kita berada di kumpulan yang benar, kenapa harus takut dengan pihak yang bathil.

Sikap agama manusia ini dari zaman nabi Adam hingga sekarang, terdedah kepada penyelewengan dan salah pentafsiran, dan kalau dibiarkan manusia akan menuju kepada syirik dan kesesatan. Sebab itu manusia ini harus diperingatkan dengan ajaran yang benar secara berterusan. Kayu ukur kebenaran itu adalah Quran dan hadis yang sahih. Tidak siapa yang mahu sesat, semua mahu mencari kebenaran, semua mahu agama yang benar. Dengan ilmu sahaja kebenaran itu akan tersingkap.


Semasa Nabi Muhammad menyampaikan dakwahnya di Taif, baginda dibaling dengan batu. Penolakan mereka itu adalah disebabkan mereka itu jahil dan tidak tahu, dan Nabi sangat tahu akan perkara ini, baginda tidak marah dan tidak ada rasa dendam terhadap mereka. Tidak mahukah kita ambil pelajaran dari peristiwa Nabi di Taif ini? Kenapa kita sangat benci kepada kumpulan yang tidak sealiran dengan kita, malah kadang-kadang melebihi benci kita kepada musuh Islam sendiri.

Saturday, March 01, 2014

Label Wahabi digunakan untuk mereka yang menolak amalan arus perdana

Yang membezakan seseorang itu Islam atau tidak ditentukan oleh pegangan akidahnya. Sekalipun mereka mengaku orang Islam tetapi kalau pegangan akidahnya tidak menepati akidah yang dijelaskan oleh Quran maka tidaklah termasuk mereka itu golongan yang orang beriman atau Islam.

Sebelum tahun 1960 an dulu, orang-orang Melayu banyak mengamalkan perkara-perkara kurafat dan syirik. Mereka percaya kepada kubur dan ‘keramat’ untuk memohon hajat dan pertolongan. Bomoh dan ilmu sihir telah menjadi sebahagian terpenting kaedah menyelesaikan masalah dalam kehidupan mereka.

Walaupun mereka ketika itu mengaku sebagai orang Islam tetapi dari segi pegangan akidahnya memang jelas mereka telah terkeluar dari pegangan akidah yang telah digariskan oleh Quran.

Samada mereka itu mati masuk neraka atau masuk syurga disebabkan pegangan akidah mereka yang salah itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu dan Dia saja yang menentukannya, tidak ada hak untuk kita mengatakan mereka itu mati masuk neraka.

Tentang perbuatan syirik atau mempersekutukan Tuhan dengan benda-benda lain itu memang jelas diterangkan dalam Quran sebagai akidah yang salah dan terkeluar dari Islam. Mana-mana mazhab pun sependapat tidak mempersoalkan perkara ini.

Walaupun soal akidah ini telah diterangkan di dalam Quran, tetapi ada dua aliran yang besar dalam pemahaman terhadap kewujudan Allah melalui pentafsiran mereka terhadap apa yang diterangkan oleh Quran.

Aliran yang pertama memahami sifat-sifat Tuhan melalui Quran secara tersirat atau takwil. Tuhan tidak bertempat, tidak ada bandinganNya dengan makhluk, keadaan dzat Allah itu tidak boleh dibayang dan digambarkan.

Manakala aliran yang kedua pula mempercayai sifat-sifat Tuhan itu melalui Quran secara tersurat. Mereka mengatakan Tuhan itu bertempat, Tuhan bertangan, Tuhan tinggal di langit dan duduk di atas Arasyi seperti tercatat dalam Quran.

Oleh kerana sifat dan keadaan dzat Tuhan itu tidak ada bandingannya dengan makhluk, maka sudah tentu sukar untuk menerangkan sifat-sifat Tuhan itu kepada manusia. Oleh itu tidak hairanlah kalau sifat Tuhan itu mustahil untuk diterangkan secara tersurat, melainkan harus secara tersirat atau takwil itulah yang lebih sesuai untuk Allah menerangkan sifat-sifatNya.

Tetapi malangnya ramai menuduh cara pemahaman akidah aliran kedua itu diamalkan oleh golongan Wahabi yang diasaskan oleh Muhammad Abdul Wahab. Persoalannya, benarkah golongan Wahabi dan pengasasnya Muhammad Abdul Wahab berpegang kepada akidah dari jenis aliran kedua ini?

Muhammad Abdul Wahab terkenal sebagai ulamak yang giat memerangi amalan kurafat dan bidaah di kalangan masyarakat di SemenanjungTanah Arab. Saya difahamkan tidak ada buku-buku yang ditulis oleh Muhammad Abdul Wahab yang boleh dijadikan bukti yang beliau berpegang kepada jenis akidah aliran kedua ini.

Seperti tidak masuk akal dan agak kontradik, seorang yang memerangi amalan kurafat dan bidaah yang mahu memelihara kesucian tauhid, dan dalam masa yang sama terjebak dalam aliran akidah yang salah. Apakah ini hanya satu tuduhan dan tomahan bagi memburuk-burukan diri beliau?

Akidah Nabi Isa tidak mestinya sama seperti akidah penganut Kristian, walaupun mereka mendakwa mereka mempunyai akidah yang sama seperti Nabi Isa. Akidah Ali bin Abi Talib tidak mestinya sama dengan akidah golongan Syiah, walaupun orang Syiah selalu mendakwa akidah mereka sama seperti akidah Ali bin Abi Talib.

Dan satu lagi persoalannya, betulkah golongan yang bermazhab Wahabi mendakwa diri mereka berpegang kepada akidah jenis aliran kedua ini? Masalahnya, siapakah ulamak yang boleh bercakap bagi mewakili golongan atau mazhab Wahabi? Begitu juga, siapakah ulamak yang boleh bercakap bagi mewakili golongan atau mazhab ahli sunah waljamaah? Bagaimana pegangan akidah rasmi dari kedua-dua mazhab atau golongan ini?

Ramai orang awam di Malaysia mengaitkan akidah jenis aliran kedua ini dipegang oleh golongan Wahabi. Saya rasa ini hanyalah tuduhan yang tidak berasas dan tomahan semata. Saya percaya akidah jenis aliran kedua ini memang ada dipegang oleh orang dan kumpulan-kumpulan tertentu, tetapi untuk mengatakan mazhab Wahabi berpegang kepada aliran akidah jenis ini, tidaklah benar.

Mungkin dalam mazhab ahli sunah wal jamaah pun terdapat orang-orang yang berpegang kepada jenis akidah aliran yang kedua ini. Tambahan pula mazhab selalu dikaitkan dengan perbedaan masalah fiqh. Orang bermazhab Shafie sebagai contoh, tidak semestinya mereka mempunyai kefahaman akidah yang betul-betul sama dengan pengikut mazhab Shafie yang lain.

Seperti sudah menjadi trend di Malaysia, ulamak arus perdana di Malaysia melabelkan ulamak-ulamak yang mempunyai amalan yang berbeza dengan mereka sebagai golongan Wahabi yang ditakuti.

Mereka melabelkan ulamak yang menolak amalan membaca Yasin di malam Jumaat, menolak majlis tahlil, menolak amalan marhaban, tidak membaca doa Qunut sebagai ulamak Wahabi.


Tambah malang lagi ada ulamak yang dituduh Wahabi kerana hanya berbeza pandangan politik dengan parti yang memerintah.

Monday, February 10, 2014

Syiah: Pra syarat ugama yang benar itu mesti telus

Kebenaran dan ketelusan itu tidak boleh dipisahkan. Islam itu agama yang benar, sebagai agama yang benar ia tidak ada kompromi dengan ketelusan.

Tidak ada pengiktirafan dengan apa yang dinamakan taqiyah (berpura-pura) dalam ajaran Islam kecuali muslihat yang berupa taktikal atau strategi dalam peperangan.

Islam tidak mengajarkan hipokrit dan tiada ajaran-ajarannya terselindung yang perlu dirahsiakan dari pengetahuan umum. Islam diajarkan secara terbuka dan siapa sahaja boleh mempersoalkan ajarannya tanpa dihalang. Kebenaran Islam ditegakkan melalui hujah, bukan dengan pedang.

Hanya agama yang bathil dan ajaran sesat sahaja yang takut berhujah dan selalu berahsia kerana bimbang kebohongannya terbongkar.

Ajaran atau mazhab Syiah timbul pada kurun kedua selepas nabi Muhammad wafat. Penyelewengan Syiah telah didedahkan secara terperinci oleh Maulana Johari http://bit.ly/1aZnatA .

Walaupun kalimah syahadah Syiah berbeza dengan syahadah ahli sunah waljamaah, tetapi secara zahirnya sukar untuk kita mengatakan golongan Syiah ini adalah kafir.

Mereka telah menambah beberapa kalimah kepada kalimah syahadah yang asal, yang tentunya kalimah syahadah mereka itu tidak pernah diucapkan oleh Nabi dan para sahabatnya.

Selain dari kalimah syahadah yang asal yang juga digunapakai oleh ahli sunah waljamaah, Syiah menambah kata-kata,”Abu Bakar, Umar, Osman, Siti Aisyah dan Hafsah adalah ahli neraka, dan Ali bin Abi Talib adalah wali (pembantu) Allah”.

Ali bin Abi Talib sendiri pun tidak pernah mengucapkan kalimah syahadah seperti itu.

Kalau kita melihat dengan cara pemikiran rasional, Syiah ini timbul hasil dari pertelingkahan politik, dalam hendak menentukan kepimpinan umat Islam selepas kewafatan Khalifah Ali bin Abi Talib.

Syaitan telah masuk campur dalam pertelingkahan ini, yang memang mahu melihat umat Islam menjadi sesat.

Tujuan utama nabi dan rasul diturunkan adalah untuk mengajak atau menyeru manusia untuk mentauhidkan Tuhan, menghapuskan perbuatan syirik. Walaupun kebanyakan Nabi dan Rasul pernah menjadi pemimpin kepada kaumnya tetapi tidak semua Nabi dan Rasul itu menjadi pemimpin dan raja kepada kaumnya.

 Tidak dinafikan, Nabi Muhamad adalah juga seorang pemimpin kepada umat Islam selain baginda menjalankan kewajipannya sebagai Rasul. Selepas kewafatannya, siapa saja boleh menjadi pemimpin kepada umat Islam dan tidak ada nas atau hadis yang mengatakan urusan memimpin umat Islam mesti dipegang oleh waris baginda.

 Begitu juga bagi meneruskan tugas ‘rasul’ bagi mengajak dan menyeru manusia untuk  mentauhidkan Tuhan juga tidak pernah diletakkan di bahu waris dan keturunan baginda. Sebaliknya urusan ‘rasul’ mengajak manusia ke jalan tauhid itu dipikul oleh alim ulamak dengan berpandukan Quran dan Hadis yang ditinggalkan oleh baginda itu.

Sedar dan insaflah wahai golongan Syiah. Usah menurutkan hawa nafsu dan syaitan durjana itu. Kembalilah kepada ajaran Islam yang asal lagi benar. Husien telah mati dibunuh dan Hamzah bapa saudara nabi juga telah mati dibunuh. Pembunuh mereka pasti mendapat balasan dari Tuhan, tidak perlulah kita pula yang menanggung dosa orang-orang yang terdahulu.

Dalam Quran sudah jelas, orang beriman dan beramal soleh akan memperoleh balasan syurga. Bukanlah menyiksa diri kerana menyesal atas perbuatan salah moyang kita itu sebagai dikira amalan soleh.

Quran itu sudah lengkap, tidak akan ada lagi wahyu yang akan turun kepada sesiapa, kerana Nabi Muhammad adalah Nabi dan Rasul terakhir.

Tidak dinafikan unsur Syiah ini pernah mempengaruhi alam Melayu kita ini. Mereka membesar-besarkan keturunan saidina Ali. Kacip Fatimah dan Tongkat Ali adalah tumbuhan herba yang mengambil sempena nama saidina Ali dan isteri baginda Fatimah. Dalam jampi serapah Melayu juga terdapat nama saidina Ali. Dalam mentera ilmu kebatinan silat Lincah juga ada disebut nama saidina Ali.

Kepada orang Syiah, saidina Ali mempunyai kebolehan yang luar biasa, mempunyai cerita-cerita kesaktian tentang baginda. Saya dulu di masa kecil pernah mendengar ustaz yang datang berceramah di kampung bercerita tentang kesaktian-kesaktian saidina Ali yang langsung tidak masuk akal.


Kehebatan dan kesaktian saidina Ali ini direka dan dicipta untuk politik jangka panjang puak Syiah. Mereka mahu kita percaya keturunan saidina Ali yang dikenali imam-imam yang maksum itu mempunyai kelebihan-kelebihan yang luar biasa, mendapat wahyu dari Tuhan, mempunyai darjat yang tinggi di sisi Tuhan. Akhirnya apabila kepercayaan ini telah tertanam kuat dalam diri kita semua, kita tidak akan mampu lagi untuk menolak mereka menjadi pemimpin umat Islam kerana percaya pemimpin mereka itu adalah pemimpin pilihan Allah.

Wednesday, January 15, 2014

Lebih baik tuanku masuk program Raja Lawak saja.


Sistem pemerintahan Raja atau Sultan yang hari ini dikenali sebagai raja monarki adalah satu sistem politik yang sangat kuno, kewujudannya hampir sama dengan kewujudan tamaddun awal manusia itu sendiri.

Hidup bermasyarakat memerlukan pemimpin. Dengan adanya pemimpin barulah suatu masyarakat itu dapat diurus dan diselaraskan supaya mereka dapat menjalankan aktiviti kehidupan mereka dengan baik dan teratur.

Ciri-ciri kepimpinan bukan ada pada semua orang, menjadi pemimpin bermakna memiliki kuasa. Dengan kuasa di tangan, mereka boleh melakukan apa sahaja mengikut kehendak hati mereka. Pemimpin yang baik akan disayangi oleh rakyat, pemimpin yang jahat pula akan dibenci oleh rakyat.

Oleh kerana pemimpin mempunyai kedudukan yang istimewa dan mereka mendapat berbagai faedah, maka ramailah orang yang ingin menjadi pemimpin. Kerap terjadi perebutan kuasa hingga melibatkan peperangan, pemberontakan dan pertumpahan darah semata-mata hendak menjadi pemimpin.

Dengan mengamalkan system raja atau sultan, kepimpinan telah menjadi suatu yang boleh diwarisi melalui nasab keturunan. Ada beberapa sebab kenapa sistem kepimpinan corak raja atau sultan ini dipilih. Pertama, mereka tidak mahu semua keistimewaan yang keluarga mereka dapat semasa menjadi pemimpin terlepas kepada orang lain. Kedua, apabila kepimpinan diturunkan kepada anak atau keturunannya, maka ini dapat mengelakkan perebutan kuasa yang boleh membawa kepada peperangan dan pertumpahan darah.

Tetapi terdapat kelemahan yang paling ketara kalau menggunakan sistem raja atau sultan, ciri-ciri kepimpinan yang baik tidak boleh diturunkan kepada anak. Tidak semua orang ada kemampuan untuk menjadi pemimpin. Kalau kebetulan anak raja yang bakal mewarisi ayahandanya tidak mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang baik maka ini akan mendatangkan banyak masalah kepada Negara dan rakyat.

Mereka yang mendokong sistem raja dan sultan ini tahu tentang kelemahan sistem tersebut. Untuk menutup kelemahan ini, mereka telah mencipta berbagai mitos tentang raja. Mereka telah mengasingkan darjat raja dengan rakyat, mereka tidak boleh bergaul dengan rakyat sewenang-wenangnya. Malah dalam setengah masyarakat, mereka menganggap raja sebagai wakil tuhan yang patut disembah, bahasa yang diguna di istana juga berbeza dengan bahasa rakyat biasa. Raja dianggap mempunyai daulat yang boleh memberi ‘kesan’ kepada rakyat yang tidak menghormati raja.

Zaman telah berubah, manusia sudah celik dan bermaklumat, mereka tidak mudah mempercayai mitos dan benda karut marut. Sistem raja dan sultan telah tidak sesuai lagi kepada manusia moden. Mereka hanya perlukan pemimpin untuk memimpin mereka, bukan pemimpin dalam bentuk raja atau sultan lagi.

Mereka telah mencuba berbagai sistem untuk mengurus hidup mereka dan memilih pemimpin mereka. Banyak Negara di dunia hari ini telah membuang raja mereka dan menggantikan dengan sistem pilihan rakyat yang kita kenali sebagai demokrasi. Melalui sistem demokrasi rakyat dapat memilih pemimpin yang terbaik di kalangan mereka sendiri untuk memimpin mereka.

Tuhan tidak pernah mewariskan mana-mana bahagian bumi ini untuk diperintah oleh seseorang dan keturunannya. Tuhan juga tidak pernah menjadikan ciri-ciri kepimpinan hanya dimiliki oleh seseorang dan keturunannya.

Perbuatan seorang yang mengaku waris keturunan Sultan Melaka yang mahu menuntut jawatan Sultan Melaka baru-baru telah menjadi bahan ketawa orang ramai sahaja. Tidakkah dia sedar, kita bukan lagi berada pada tahun 1514 tetapi tahun 2014.

Dalam era di mana orang tidak lagi berkehendak kepada raja, tiba-tiba dia muncul untuk menawarkan diri untuk menjadi Sultan Melaka. Lebih baiklah tuanku masuk program Raja Lawak saja, memang kami terima.
 

 

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com