Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".
Showing posts with label Parti politik. Show all posts
Showing posts with label Parti politik. Show all posts

Wednesday, March 19, 2014

Sikap mendakwa kumpulan kami sahaja yang benar dan diterima Allah akan merugikan Islam

Semasa Iran di bawah pemerintahan Shah Iran, tidak pernah kita dengar kata-kata Syiah itu bahaya, Syiah itu sesat dan Syiah itu terkeluar dari Islam. Kata-kata atau label ini hanya kita dengar selepas sahaja Khomenei berjaya menggulingkan Shah Iran dan menamakan Negara itu sebagai Republik Islam Iran.

Walaupun tidak dinafikan ajaran Syiah berbeza dari ajaran pengikut Ahlul Sunah Waljamaah (Suni), tetapi perbezaan ini hanya dibesar-besarkan dan dilebih-lebihkan dengan tujuan-tujuan yang tersembunyi.

Kemaraan pengaruh revolusi Iran yang dipimpin oleh Khomenei sangat dibimbangi oleh Negara-negara Arab di sekelilingnya yang mengamalkan sistem Raja monarki dan juga Negara-negara Islam sekular yang lain, termasuklah Negara kita Malaysia.

Semangat perjuangan orang Islam Syiah di Iran telah menjadi aspirasi dan menyuntik semangat kepada parti-parti politik yang pro Islam di Negara masing-masing.

Untuk menyekat kemaraan revolusi Islam Iran ini, maka satu cara yang sangat berkesan ialah dengan memperbesar-besarkan perbezaan antara Syiah dan Suni, dan melaga-lagakan mereka.

Malah kumpulan Al Arqam yang kemudiannya dikatakan sesat itu pun juga tidak kurang garangnya menggasak Syiah dan melabel Syiah sebagai bahaya.

Nabi Muhammad adalah nabi dan rasul terakhir, tidak akan ada nabi yang akan turun lagi untuk memberitahu kita, kumpulan atau fikrah mana yang betul dan mana yang sesat. Oleh itu ada baiknya kita berlapang dada kepada semua fikrah dan kumpulan. Kita masih ada Quran yang masih kekal asli dan hadis-hadis sahih untuk jadi panduan kita semua.

Quran adalah kitab petunjuk dari Allah. Jalan yang lurus dan hidayah itu adalah kurnia dari Allah, kita hanya perlu berdoa dan mengikhlaskan hati kepadaNya. Setiap rakaat solat kita mohon agar kita diberi petunjuk kepada jalan yang lurus, dan sudah pasti jalan yang lurus itu seperti yang dipandu dan digariskan oleh Allah melalui kitabNya Quran. Insyallah kalau kita membaca (memahami) Quran dengan hati yang ikhlas, pasti hati kita akan berat ke arah jalanNya.

Sebaliknya kalau tidak ada keikhlasan maka hati kita akan jadi seperti hati orang munafik dan kita akan mentafsir Quran ke arah yang sesat. Berapa ramai orang yang ada kepentingan telah mentafsirkan ayat-ayat Quran mengikut kepentingan mereka dan menyesatkan ramai orang.

Tidak dinafikan masyarakat Melayu pada era sebelum tahun 1960 an dulu, banyak melakukan perkara-perkara kurafat dan bidaah. Mereka jadi begitu bukanlah dengan sengaja atau mahu menolak ajaran Islam yang benar, tetapi lebih kepada kejahilan. Mereka tidak mudah mendapat sumber Quran yang ada terjemahan dan guru-guru agama yang arif.

Tetapi setelah ramai anak-anak orang Melayu yang menuntut ilmu di luar Negara, mereka telah dapat membawa ajaran yang benar tentang agama Islam. Mereka bukan sahaja telah memberi pencerahan kepada masyarakat, membenteras amalan kurafat dan bidaah, tetapi juga menghadapi tentangan dari kaum tua.

Tetapi cara mereka menyampaikan dakwah sangat dipuji, berhikmah, mereka tidak mengambil pendekatan bermusuhan dengan mereka yang mengamalkan amalan kurafat itu, bukan melabel mereka dengan label sesat atau kafir. Mereka tahu secara fitrahnya manusia ini cenderung kepada kebenaran, yang menutup mereka dari melihat kebenaran itu hanyalah disebabkan tidak ada ilmu atau jahil dan mengikutkan hawa nafsu.

Dengan melabel kumpulan lain sebagai Syiah, Wahabi, sesat, keluar dari Islam, kafir, hanya akan menjauhkan kita dari mereka dan meletakkan diri kita sebagai musuh mereka. Membunuh orang yang tidak sealiran dengan kita tidak akan menyelesaikan masalah.
Yang bathil tidak akan dapat mengalahkan yang benar. Kalau kita berada di kumpulan yang benar, kenapa harus takut dengan pihak yang bathil.

Sikap agama manusia ini dari zaman nabi Adam hingga sekarang, terdedah kepada penyelewengan dan salah pentafsiran, dan kalau dibiarkan manusia akan menuju kepada syirik dan kesesatan. Sebab itu manusia ini harus diperingatkan dengan ajaran yang benar secara berterusan. Kayu ukur kebenaran itu adalah Quran dan hadis yang sahih. Tidak siapa yang mahu sesat, semua mahu mencari kebenaran, semua mahu agama yang benar. Dengan ilmu sahaja kebenaran itu akan tersingkap.


Semasa Nabi Muhammad menyampaikan dakwahnya di Taif, baginda dibaling dengan batu. Penolakan mereka itu adalah disebabkan mereka itu jahil dan tidak tahu, dan Nabi sangat tahu akan perkara ini, baginda tidak marah dan tidak ada rasa dendam terhadap mereka. Tidak mahukah kita ambil pelajaran dari peristiwa Nabi di Taif ini? Kenapa kita sangat benci kepada kumpulan yang tidak sealiran dengan kita, malah kadang-kadang melebihi benci kita kepada musuh Islam sendiri.

Thursday, September 19, 2013

UMNO membodohkan orang kampung untuk terus memerintah


Cuti hari Malaysia hari tu sey ado balik kampung. Sampai di kampung, omak sey cakap ado jiran namo Husin (bukan namo sobonar) nak buek kenuri doa selamat malam tu. Mulo tu maleh yo nak poie tompi sobab omak sey kuek yo ngajak, sey pun setuju lah.

Sey samo omak sey sampai ghumah Husin dalam pukul 9.00 malam. Majlis doa selamat baru nak mulo. Husin sebagai tuan ghumah membori sedikit ucapan dan kato alu-aluan. Husin menorangkan tujuan majlis doa selamat itu diadokan adolah sebagai tando kesyukuran atas kemenangan beberapa orang kampung itu dalam parti UMNO untuk jawatan Ketuo Bahagian dan Ketua Wanita.

Ketua Bahagian dan Ketua Wanita peringkat mano sey pun tak berapo pasti, sey pun tak ambik pot bonar pasal organisasi politik ini, baik parti UMNO mahupun parti Pakatan Rakyat. Yang pasti eh bukanlah Ketua Wanita UMNO Malaysia, yang masih disandang oleh Dato’ Shahrizat Jalil itu.

Solosai Husin membori kata-kata aluan, dio mintak imam membacokan doa untuk majlis itu. Sebolum imam membaco doa, dio cakap sambil menyindir bercampur lawak, “ini bukan doa selamat, ini doa UMNO”. Tersongeh Husin dan hadiran mendongar sindiran tajam imam itu.

Lopeh selosai doa selamat dibacokan, Husin menjomput hadiran untuk menikmati makanan barbeque yang disediokan di kawasan lapang di luar ghumahnya.

Sambil menikmati hidangan yang agak lazat juga itu, ado seorang bernamo Adang Kemi (juga bukan namo sebonar) sodang rancak bercerito. Sey pun cubo menghampiri kumpulannya itu memasang telingo untuk mendongar apo yang diceritokan oleh beliau itu. Ini mesti ado cerito sodap, sobab itu ramai yang berkumpul mendongar cerito dia.

Adang Kemi adolah penduduk asal kampung itu juga. Dio tigo tahun lobih tuo dari sey. Dio memang pandai bercerito, sapo pun memang gomar dongar dio bercerito, dio bercerito sambil belawak. Memang tak jomu mendongar cerito dio.

Dio bercerito kisah-kisah lamo yang berlaku di kampung dan pokan Kuala Pilah. Cerito berkisar dengan kehidupan dan aktiviti orang kampung di maso dulu.  Kisah kotam rambut tukang gunting Mat Tepeng yang menyopit, kisah main hoki buah pinang, kisah senapang buluh buah cenoghai, kisah melastik burung, kisah menjual ayam ngoram, kisah menjual pucuk gelugor dan berbagai-bagai kisah lagi hinggalah kepada kisah daifnya keadaan jalan di kampung di masa tahun 60 an dulu.

Setelah mengimbau kisah-kisah mundur, susah dan miskin di masa dulu, dia cubo membandingkan dengan kehidupan yang amat selesa di zaman ini. Akhirnya beliau cubo menyedarkan dan menginsafkan pendengar-pendengar ceritonya supaya terus menyokong UMNO, kerana semuo pembangunan dan keselesaan yang dinikmati oleh orang kampung pada hari ini adolah disobabkan UMNO.

Begitulah parti UMNO menggunakan macai seperti Adang Kemi ini untuk terus memperbodohkan orang-orang kampung. Tidakkah macai ini tahu, Singapura yang tidak ado UMNO itu telah lobih maju dari Malaysia?

Kalau UMNO sudah jadi kerajaan, memang tanggungjawab UMNO lah untuk membangun dan menyediakan segala kemudahan, hasil dari cukai yang dikutip dan sumber bumi Negara ini. Kalau diberi kepada parti lain, pembangunan akan dilaksanakan juga.
UMNO terus memperbodohkan macai dan orang kampung untuk mereka terus berkuasa. Dengan kuasa yang ada, kumpulan elit UMNO dan kroninya akan terus dapat membalun kekayaan Negara tanpa diganggu gugat.

Monday, April 15, 2013

DAP, PAS dan PKR jangan mendabik dada mengatakan rakyat menyokong parti kamu.


Apabila PAS dapat menambah banyak kemenangan calon-calonnya pada pilihanraya tahun 1999, Ustaz Haji Hadi selaku presiden PAS ketika itu menolak dakwaan wartawan yang mengatakan prestasi cemerlang PAS ketika itu adalah disebabkan faktor Anwar Ibrahim. Dalam pilihanraya itu, Terengganu sendiri telah dapat ditawan oleh PAS dan telah mengangkat Ustaz Haji Hadi menjadi Menteri Besar negeri itu.

Sebaliknya Ustaz Haji Hadi telah membuat andainnya sendiri dengan mengatakan PAS menang besar sebab rakyat menginginkan Islam.

Lima tahun kemudian, pada pilihanraya tahun 2004, PAS kalah di Terengganu, Ustaz Haji Hadi hanya mampu terkedu.

Saya tidak nampak gerakan pembangkang telah menjadi begitu penting dan berkesan selain dari selepas pemecatan Anwar Ibharim pada tahun 1998. Sebelum itu gerakan parti pembangkang tidak lebih dari gerakan yang lesu, seperti hidup segan mati tak mahu. Peranannya tidak lebih sebagai pencukup syarat sebuah Negara yang mengamalkan sistem demokrasi saja.

Tetapi gerakan reformasi yang dibawa Anwar Ibrahim telah benar-benar merobah lanskap politik gerakan parti pembangkang tanah air.  Peranan dan sumbangan Anwar Ibrahim kepada kebangkitan rakyat tidak boleh diambil ringan. Parti PAS dan parti DAP yang dulunya seperti harimau dan singa yang tidak pernah sehaluan, telah dapat dijinakkan oleh Anwar untuk duduk semeja.

Walaupun ideologi mereka berbeza bagai langit dan bumi, tetapi Anwar telah dapat menyatukan mereka dalam mencapai matlamat yang sama, terutamanya dalam hal untuk membenteras korupsi, menghapuskan kronisma, menitik beratkan meritokrasi, memberi keadilan kepada semua rakyat, menghapuskan penggunaan kuasa politik untuk memperkaya diri dan keluarga, dan menghapus penyalahgunaan guna harta kerajaan Negara dan rakyat untuk propaganda parti pemerintah.

Anwar mempunyai kualiti kepimpinan yang hebat, jika beliau diberi peluang untuk memimpin Negara ini, saya percaya dia mampu untuk menyatukan rakyat Malaysia semula selepas pilihanraya ke 13 ini. Orang-orang UMNO pasti akan berbondong-bondong kembali untuk berbaiah dengan kepimpinan beliau semula.

Wahai PAS, DAP dan PKR, walaupun kamu bertanding atas tiket parti masing-masing tetapi rakyat yang mengundi kamu itu tidak semestinya mengundi parti kamu, tetapi sebaliknya mereka hanya melihat Pakatan Rakyat. Mereka mahu memenangkan Pakatan Rakyat bukan hendak memenangkan parti DAP, PAS atau PKR. Oleh itu jangan kamu terlalu perasan, apalagi hendak mendabik dada. Jadikanlah pengajaran kepada apa yang telah berlaku kepada Ustaz Haji Hadi.

Wahai PAS, DAP dan PKR, tidakkah kamu sedar, ketiga-tiga parti ini (DAP, PAS dan PKR) tidak akan meletakkan calon masing-masing dalam kawasan pilihanraya yang sama. Oleh itu bagaimana kamu boleh mendabik dada, mengatakan kemenangan kamu disebabkan rakyat memilih dan suka kepada parti kamu? Lainlah kalau ketiga-tiga parti tersebut meletakkan calon masing-masing dalam kawasan yang sama, dan parti kamu menang dalam pertandingan itu, barulah boleh kata rakyat suka parti kamu.

Oleh itu jangan berlagak bodoh sombong.  Apapun parti dalam Pakatan Rakyat yang menang dalam pilihanraya ke 13 ini, hendaklah difahami sebagai rakyat telah mengundi Pakatan Rakyat bukan parti DAP, bukan parti PAS dan juga bukan parti PKR. Sekalipun parti PAS menang lebih banyak kerusi  berbanding rakan-rakannya yang lain dalam Pakatan Rakyat, ini tidak bermakna PAS boleh mendabik dada untuk mengatakan merekalah yang lebih layak untuk mendapat kuasa lebih.

Sekali lagi kita ingatkan, rakyat bukan mengundi parti PAS, DAP atau PKR tetapi mereka mengundi Pakatan Rakyat.
Harap kenyataan ini dapat disebar luaskan.

Monday, January 14, 2013

BN patut sudah kalah 30 tahun dulu


Sistem politik bercorak demokrasi yang diamalkan di Negara kita sekarang ini adalah diambil dari Barat atau lebih tepat lagi Britain. Oleh kerana Negara kita mendapat kemerdekaan dari Britain, maka di bawah pengaruh Britain, pemimpin kita telah bersetuju untuk menerapkan sistem demokrasi ke dalam sistem politik atau pemeintahan Negara ini.

Di peringkat permulaannya, semasa demokrasi di perkenalkan, ciri-ciri demokrasi yang kita amalkan itu sama seperti demokrasi di Britain, yang mematuhi kesemua prinsip-prinsipnya.

Semasa di ambang kemerdekaan Negara, Parti Perikatan yang ditunjangi oleh parti orang Melayu, etnik terbesar, iaitu parti UMNO telah memenangi pilihanraya ketika itu. Parti Perikatan di anggotai oleh tiga parti politik terbesar iaitu parti UMNO, parti MCA dan parti MIC yang mewakili etnik Melayu, Cina dan India.

Oleh kerana parti UMNO yang mewakili orang Melayu, kumpulan etnik terbesar di Negara ini, memenangi  pilihanraya yang diadakan pada masa itu, maka Perdana Menteri (PM) Malaysia secara automatik dipilih dari parti itu.

Walaupun parti Perikatan mengandungi tiga parti yang mewakili etnik yang berbeza iaitu Melayu, Cina dan India, tetapi parti pembangkang melihat parti Perikatan tidak memberi layanan yang adil dan saksama kepada etnik Cina dan India. Sebaliknya parti Perikatan dilihat sebagai parti yang cenderung menjaga kepentingan dan keistimewaan orang Melayu.

Malaysia atau ketika itu bernama Tanah Melayu mempunyai penduduk berbilang kaum, kaum Melayu adalah penduduk asal, kaum Cina dan kaum India pula adalah kaum yang datang kemudian yang telah dibawa oleh British untuk bekerja di sektor perlombongan bijih timah dan perladangan. Sudah tentu akan timbul masalah yang tidak dijangka apabila sistem politik bercorak demokrasi diterapkan dalam pemerintahan di Negara ini. Sedangkan di Britain, penduduknya dominan dengan bangsa kulit putih dan tidak ada masalah perkauman.

Selain dari masalah perkauman, Negara kita juga ketika itu menghadapi masalah ancaman Kominis yang cuba meluaskan pengaruhnya ke Negara-negara Asia Tenggara. Pihak Kominis sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menghancurkan sistem demokrasi di Negara ini.

Pada pilihanraya umum tahun 1969, prestasi Parti Perikatan jatuh merudum yang berakhir dengan rusuhan kaum yang dikenali sebagai peristiwa 13 Mei. Faktor berlakunya rusuhan kaum 13 Mei ini sangat pelbagai dan sukar untuk menentukan punca sebenar berlakunya.

Ekoran dari peristiwa hitam itu Parti Barisan Nasional amnya dan Parti UMNO khasnya telah menggubal beberapa undang-undang baru yang kononnya untuk membenteras peristiwa rusuhan kaum 13 Mei dari berulang dan juga untuk mengekang pengaruh Kominis.

Beberapa akta telah diadakan bagi tujuan tersebut termasuklah Akta Hasutan, Akta Bahan Cetak, Akta Universiti dan Kolej AUKU, Akta ISA tahanan tanpa bicara dan berbagai akta lagi.

Tanpa disedari oleh orang ramai, kebanyakan akta dan undang-undang yang digubal itu sebenarnya adalah bertentangan dengan rukun dan prinsip demokrasi.

Dengan akta-akta yang mengongkong ini, orang ramai telah hilang kebebasan untuk bersuara dan hilang kebebasan untuk berhimpun, yang merupakan hak yang dijamin dalam sebuah Negara demokrasi.

Bermula dari peristiwa 13 Mei 1969 ini UMNO telah banyak mencabul kemurnian demokrasi.

Pada setiap pilihanraya UMNO dan BN akan menakut-nakutkan rakyat dengan peristiwa rusuhan kaum 13 Mei ini sekiranya rakyat tidak mengundi BN. Rakyat dengan mudah disabitkan dengan kesalahan di bawah mana-mana akta-akta yang sedia ada jika mereka lantang bersuara menentang atau mengkritik kerajaan.

Akta-akta yang kononnya diwujudkan bagi menghalang berulangnya rusuhan kaum dan menyekat kegiatan kominis itu secara serampang dua mata telah diambil kesempatan oleh UMNO dan BN digunakan bagi menghapuskan atau melemahkan penentangnya.

Akhirnya UMNO dan BN terus dapat kekal berkuasa tanpa diganggu gugat walaupun mereka banyak melakukan salah laku dan penyelewengan.

Mereka menggunakan slogan demokrasi terpimpin, demokrasi acuan kita sendiri dan berbagai-bagai lagi bagi mengelirukan rakyat terhadap demokrasi sebenar. Akhirnya sistem demokrasi yang mereka amalkan adalah mengikut cara dan acuan UMNO dan BN.

Akta-akta yang mereka wujudkan itu bukan sahaja dapat mengekang berlakunya rusuhan kaum tetapi juga dapat melindungi atau menyembunyikan tingkah laku buruk yang telah membarah dalam UMNO dan BN.

Golongan elite UMNO telah menggunakan kuasa dan kedudukan mereka untuk memperkaya diri dan keluarga. Mereka mudah mendapat tender kontrak yang berkomisyen atau berkeuntungan lumayan, mudah mendapat peluang dan tapak perniagaan, dapat memiliki lokasi hartanah yang strategi yang bernilai tinggi dan mudah memiliki permit-permit perniagaan.

Mereka menakut-nakutkan orang Melayu dengan kehilangan keistimewaan dan ketuanan Melayu, tetapi hakikat sebenarnya mereka takut kehilangan kuasa untuk terus menjadi tuan dan hilang keistimewaan memperkaya diri dan keluarga dengan cara mudah dan goyang kaki.

UMNO dan BN mengamalkan dasar pecah dan perintah yang telah diwarisinya dari penjajah. Singapura telah menghapuskan sekolah vernacular di hari pertama kemerdekaannya tetapi UMNO dan BN terus mengekalkan sekolah-sekolah ini hingga ke hari ini. Akibatnya, perpaduan kaum di Negara ini terus berada pada tahap yang longgar dan rapuh. Keadaan ini sengaja dibiarkan untuk memudahkan mereka untuk terus berkuasa dan memerintah.

Amalan buruk UMNO dan BN di sepanjang pemerintahannya itu sebenarnya tidak melayakkan mereka untuk menang dalam sebuah sistem demokrasi yang mempunyai pilihanraya adil, telus dan bebas.

Sepatutnya UMNO dan BN layak untuk kalah dalam pilihanraya 30 tahun dulu lagi.

Tetapi UMNO dan BN dapat terus kekal berkuasa di atas pertandingan yang kotor dan berat sebelah. Mereka bertanding dengan parti pembangkang di atas lantai yang tidak sama tinggi.

Hampir setiap sudut, UMNO dan BN telah menggunakan kuasanya secara kuku besi menutup segala ruang untuk rakyat mengkritiknya. Mereka menguasai media perdana, samada media cetak mahu pun media elektronik. Melantik orang yang pro UMNO dan pro BN untuk mengetuai agensi, organisasi kerajaan dan GLC. Termasuklah polis, imegresyen, SYABAS, SPRM dan SPR.

UMNO dan BN begitu bebas menggunakan TV dan radio kerajaan yang dibiayai dari wang rakyat sebagai alat propaganda parti mereka. Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bersikap berpihak dan selalu dipertikaikan dari segi ketelusannya. Isu seperti pengundi hantu, pengundi pos dan daftar senarai pengundi yang meragukan terus menyelubungi SPR. Keengganan SPR untuk bersikap lebih telus seperti berdolak dalek untuk menggunakan dakwat kekal semasa proses membuang undi, menunjukkan badan itu cenderung kepada ‘penipuan’.

Ada orang mendakwa kalau betul BN dan UMNO telah menipu dalam pilihanraya, kenapa masih ada lima negeri yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat. Jawapannya mudah, kalau UMNO tidak menipu, bukan saja lima tapi sepuluh negeri telah di menangi oleh Pakatan Rakyat.

Menjadi adat orang menipu, kalau boleh penipuannya itu tidak mahu diketahui orang, mesti disorokkan seboleh yang mungkin. Ramai pesara-pesara tentera dan polis mendakwa mereka tidak pernah melihat kertas undi pos mereka walaupun mereka mendaftar dan layak mengundi pos. Kalau ditakdirkan di satu kawasan itu UMNO atau BN mendapat beberapa ratus undi saja untuk menang, undi pos sudah boleh menjadi penyelamat hayatnya.

Semasa Tun Abddullah Ahmad Badawi (Pak Lah) menjadi PM, beliau berazam untuk memurnikan demokrasi di Negara ini. Pak Lah telah cuba memperbaiki kedudukan Makamah dan Badan Kehakiman agar lebih bebas dan berwibawa. Pak Lah juga telah memperbaiki imej Polis (PDRM) supaya lebih mesra rakyat. Tetapi ‘kemaraan’ atau usaha beliau itu telah cepat disekat oleh pemimpin UMNO yang lain, kerana pemimpin UMNO yang lain itu melihat langkah-langkah pembaharuan yang dibawa oleh Pak Lah itu boleh memusnahkan UMNO dan BN dengan lebih cepat.

Kalau sudah biasa makan tahi, memang sukar untuk ditinggalkan kebiasaan itu.

Tidak keterlaluan kalau dikatakan, dalam keadaan situasi sekarang, kalau UMNO atau BN menang dengan mendapat kurang dari 60% undi, ia boleh dianggap kalah. Ini kerana UMNO dan BN mendapat banyak kelebihan dalam setiap pertandingan pilihanraya. Mereka boleh berkempen menggunakan media perdana dengan sewenangnya. Sebaliknya suara pembangkang tidak dapat didengar oleh rakyat secara meluas. Mereka langsung tidak ada rasa malu bertanding di atas lantai yang tidak sama rata.

Sejak akhir dekad 1990, cengkaman UMNO telah mula dapat dileraikan sedikit demi sedikit apabila berlaku ledakan IT ke seluruh dunia, rakyat telah diperkenalkan dengan media baru internet yang lebih bebas. Rakyat semakin terdedah kepada berita yang bebas tanpa kongkongan di internet. Kini rakyat semakin celik dan pemikiran mereka tidak hanya bergantung dengan berita yang disajikan oleh media perdana sahaja.

Pilihanraya umum ke 13 pada tahun 2013 ini harus dijadikan pilihanraya bagi menghukum UMNO dan BN. Mereka telah banyak melakukan pencabulan terhadap demokrasi semata-mata untuk mereka kekal berkuasa dan memerintah Negara ini secara sukahati mereka.

UMNO mesti dikalahkan untuk menjaga maruah demokrasi yang juga merupakan maruah diri kita dan Negara kita. Bukan kita tidak sayang kepada UMNO tetapi kita lebih sayangkan demokrasi dan Negara kita.

Demokrasi adalah maruah diri kita, pilihlah demokrasi.

Thursday, April 19, 2012

PM Najib, Negarawan atau Durjanawan?

Semua orang mahu jasa dan nama mereka dikenang selepas mati, dan sudah tentu mereka mahu dikenang sebagai orang yang baik, bukan sebaliknya.


Pemimpin-pemimpin Negara yang telah banyak menabur jasa akan diingat sebagai negarawan, manakala pemimpin yang jahat akan diingat sebagai Durjanawan.

Abraham Lincoln dan Mahatma Ghandi adalah tokoh negarawan dunia yang akan diingat masyarakat dunia sepanjang masa. Mereka adalah pemimpin politik yang berpolitik secara bersih.

Hosni Mubarak bekas presiden Mesir mungkin dianggap negarawan oleh rakyat Mesir semasa era pemerintahaannya, dan sedikit masa lagi dia mungkin dilabel sebagai durjanawan.

Hosni mengamalkan politik kotor untuk memastikan beliau sentiasa menang dalam setiap pilihanraya yang diadakan.

Di zaman dahulu biasa kita dengar seorang pahlawan tidak akan membunuh musuhnya yang tidak bersenjata. Apabila Hang Jebat menyerahkan dirinya kepada Hang Tuah untuk membunuhnya, tidaklah Hang Tuah itu melakukannya sedemikian melainkan diberinya Hang Jebat sebilah keris untuk bertikam.

Itulah jiwa pahlawan Melayu di masa dulu, mereka lebih rela mati ditikam musuh dari membunuh musuh yang tidak bersenjata. Mereka itu lebih mengutamakan maruah dari kemenangan. Sepatutnya nilai mulia seperti ini perlu dilanjutkan kepada segala aspek kehidupan rakyat Malaysia hari ini termasuklah dalam cara kita berpolitik.

Kalau Hang Tuah di masa itu terus saja menikam dan membunuh Hang Jebat dalam keadaan Hang Jebat tidak melawan dan tidak bersenjata. Rasanya tentulah kita di hari ini tidak akan memberi pengiktirafan kepada Hang Tuah sebagai pahlawan sejati.

Ada di kalangan orang UMNO yang begitu lantang bersuara, “Demi survival orang-orang Melayu, kita akan bermatian-matian (by hook or by crook) untuk pastikan parti UMNO ini menang”.

Bermaruahkah kemenangan UMNO kalau tangan parti pembangkang diikat supaya tidak mampu untuk melawan?

Suratkhabar perdana menjadi alat kempen BN.

TV dan Radio Kerajaan, TV dan Radio Swasta menjadi alat kempen BN.

Terus berdalih dan mengelak dari mengamalkan piliharaya yang bersih dan adil.

Bolehkah pemimpin Negara seperti ini boleh terus diingat oleh rakyat sebagai negarawan, sepertimana kita mengingati Hang Tuah sebagai pahlawan sejati?

Monday, April 02, 2012

Myanmar telah berubah, hanya Malaysia dan Singapore yang belum

Kita di Malaysia telah memerhati dengan dekat perkembangan politik yang terbaru di Myanmar. Kita rasa teruja bila melihat rakyat Myanmar telah berani membuat perubahan yang begitu besar. Hari ini arus kebangkitan rakyat dan demokrasi tengah melanda ke serata rantau di dunia ini.


Tahniah kepada rakyat Myanmar. Tahniah juga kepada pemimpin Junta Tentera Negara itu kerana telah mengembalikan kuasa kepada rakyat melalui saluran demokrasi yang bebas dan adil, tidak sampai memaksa rakyat untuk turun ke jalanraya dan memberontak bagi menghalau pemimpin kuku besi ini.

Nampaknya pemimpin kerajaan Junta Tentera Myanmar telah bertindak bijak dan mengambil pelajaran dari perkembangan yang berlaku di dunia hari ini, terutamanya di Negara-negara Arab.

Indonesia telah berubah, demokrasi telah berjalan dengan baik di sana, pemimpin-pemimpin dari berbagai parti politik telah silih berganti menjadi pemimpin di Negara itu, mengikut selera rakyat Negara itu.

Kini hanya tinggal Malaysia dan Singapore sahaja Negara di bawah kelompok ASEAN yang masih belum membuat apa-apa perubahan politik sejak merdeka lebih 50 tahun dahulu.

Saya percaya perubahan politik ke arah demokrasi yang bebas dan adil, pemerintahan kuasa rakyat, sebenarnya adalah momentum yang sedang berada dalam setiap diri manusia sekarang ini. Semua pemikiran manusia dan rakyat adalah ke arah tersebut.

Rakyat Malaysia juga tidak ketinggalan untuk bergerak dan sedang bergerak ke arah tersebut. Mereka telah mual dengan sistem dan parti pemerintahan yang ada sekarang. Mereka bukan sekadar mahu transformasi tetapi yang mereka mahukan ialah perubahan total. Order lama tidak sesuai lagi, mereka mahu menghirup udara baru di bawah kepimpinan dan gaya baru.

Saya rasa Pakatan Rakyat perlu bersedia dan mempersiapkan diri untuk mengambil peranan sebagai alternatif kepada order lama ini. Semua rakyat mahukan perubahan, dan mereka memerlukan pemimpin yang boleh mereka percayai yang mampu membawa perubahan itu. Rakyat Malaysia mahukan seorang pemimpin pembangkang yang kental seperti Aung SanSuu Kyi.

Tidak menoleh ke belakang lagi.

Monday, March 26, 2012

Kapal dah nak tenggelam, sekarang PM Najib beri rakyat ikan, bukan lagi kail

Nasi dah jadi bubur, sudah tidak boleh buat apa-apa. Begitulah keadaan UMNO sekarang ini, seperti tidak boleh dibaiki lagi. Mungkin UMNO tidak sekadar memerlukan transformasi untuk memperbaiki parti itu, tetapi lebih dari itu, mungkin reformasi lebih sesuai.


Sejak prestasi buruk dalam pilihanraya tahun 2008, UMNO masih belum menampakkan pemulihan sokongan rakyat kepada parti itu walaupun berbagai usaha telah dilakukan oleh pucuk pimpinannya.

Pendek kata, UMNO bukan setakat sakit demam tetapi telah ditimpa penyakit barah yang tidak boleh diubati, hanya menunggu ajal saja. Sekarang sudah masuk tahun ke empat penggal pilihanraya, dengan kata lain sudah memasuki pusingan terakhir. Tahun 2012 ini adalah tahun yang amat kritikal sebelum pilihanraya diadakan menjelang Mac 2013 nanti.

PM Najib sendiri telah membuat pengakuan dalam satu majlis di PD baru-baru ini, akan ada lebih banyak lagi pengumuman yang menguntungkan rakyat bakal akan diumumkan oleh beliau menjelang pilihanraya akan datang ini. PM Najib memang seorang PM yang suka membuat pengumuman. Buat masa ini beliau memang sinonim dengan gelaran Bapa Pengumuman.

Di pusingan akhir ini PM Najib banyak memberi hadiah kepada rakyat dalam bentuk ‘ikan’, bukan lagi berbentuk ‘kail’ seperti tahun-tahun sebelum ini. Ibarat menghadapi peperangan, politik mesti ada strategi dan perkiraan.

Bermula dengan duit bantuan RM100 untuk setiap pelajar sekolah, diikuti bantuan R500 untuk setiap keluarga berpendapat rendah, kenaikan gaji penjawat awam bermula Januari 2012, penghapusan dan pengurangan bayaran tol di beberapa lebuhraya.

PM Najib nampak betul-betul bermurah hati kepada rakyat, sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh PM-PM yang lain sebelum ini.

Mungkin juga PM Najib sendiri tidak yakin UMNO dan BN boleh menang pada pilihanraya tahun 2013 nanti. Dengan itu beliau ‘memperjudikan’ wang simpanan Negara yang ada. Beliau seperti sudah nekad, kalau menang dalam pilihanraya nanti, alhamdulilah dan kalau kalah, beliau tidak akan berputih mata. Tidak berputih mata kerana semua wang simpanan Negara telah kering kerana telah ‘ditabur’ kepada rakyat, dan tidak berputih mata juga kerana parti pembangkang mengambil alih kerajaan dengan tabung Negara yang kosong.

Kerana tidak yakin boleh menang, ramai juga pemimpin-pemimpin UMNO mengambil peluang dari sisa-sisa nyawa UMNO yang ada ini untuk membuat kekayaan. Banyaklah projek-projek mereka rembat untuk membuat keuntungan dan komisyen atas angin.

Kalau rakyat biasa diberi RM500 sekeluarga, tetapi pemimpin-pemimpin UMNO pula mungkin mendapat lebih dari RM5 juta setiap orang hasil keuntungan yang diperolehi dari bisnes dan projek yang menggunakan kedudukan mereka. Kalau tidak percaya, cubalah periksa nilai harta-harta yang dimiliki oleh mereka itu. Nazri Aziz sendiri pun takut untuk mengistiharkan jumlah hartanya atas alasan takut akan dirompak. Betulkah beliau takut dirompak atau beliau takut dituduh oleh rakyat sebagai ‘perompak’ kekayaan Negara?

Sikap pemimpin-pemimpin UMNO dan BN yang menggunakan kedudukan mereka untuk memperkayakan diri dan keluarga telah menjadi sebati dan amalan biasa dalam kehidupan mereka. Ia tidak lagi dianggap sebagai perbuatan yang tidak bermaruah. Sikap inilah yang sukar dikikis dari ahli-ahli UMNO masa kini, dan sikap inilah sebenarnya yang banyak menyumbang kepada kehancuran UMNO.

Ucapan slogan memperjuangkan agama, bangsa dan Negara bukan lagi ucapan yang datang dari hati mereka seperti yang pernah diucapkan oleh datuk dan moyang kita dahulu, tetapi slogan ini diucapkan sekadar untuk mengabui mata rakyat, agar rakyat terus memberi mandat kepada mereka dan dengan itu juga mereka dapat terus menimbunkan kekayaan untuk diri dan keluarga.

Sampai bila rakyat dapat diperbodoh dan ditipu? UMNO dan BN tidak boleh terus kekal dengan menipu dan memperbodohkan rakyat. Cara berfikir mereka harus berubah dengan perubahan dunia sekarang. Kalau rakyat Arab pun sekarang ini sudah pandai berfikir, apakah rakyat Malaysia juga masih bodoh?

Taktik menakut-nakutkan orang Melayu akan hilang segala-galanya kalau orang Cina memerintah, supaya orang Melayu mengundi UMNO, dan taktik menakut-nakutkan orang Cina dengan hukum hudud kalau PAS memerintah, supaya orang Cina mengundi MCA adalah amat keji sekali dan bukan amalan politik orang yang bertamadun.

Berpolitiklah dengan cara yang lebih matang, berakhlak, sesuai dengan rakyat masa kini yang rata-ratanya berilmu dan berpelajaran. Jauhi taktik kotor dan keji yang akan merendahkan martabat diri kita sendiri.

Ban Ki-Moon, Setia Usaha PBB, yang melawat Malaysia baru-baru ini telah memperingatkan pemimpin Malaysia supaya memastikan pilihanraya yang dijalankan di sini benar-benar telus dan ada kredibiliti. Kenapa belia menimbulkan isu ini dalam ucapannya? Sudah tentu beliau bercakap berasaskan fakta dan maklumat. Yang jelasnya beliau masih tidak cukup puas hati dengan perjalanan pilihanraya dan sistem demokrasi di Negara ini. Ironinya sebelum ini pemimpin BN terus mendabik dada memberitahu rakyat bahawa pilihanraya di Negara ini adalah bebas dan adil. Apakah Ban Ki-Moon yang bodoh?

Ada orang kata, UMNO perlu kalah dulu sebelum bangkit semula dan membetulkan kesilapan untuk mencapai kemenangan pada masa akan datang.

UMNO adalah satu-satunya parti politik berasaskan kaum yang masih berkuasa di dunia. Amalan Apartheid telah lenyap di dunia dan ditentang oleh manusia sejagat, oleh itu UMNO harus menjauhkan partinya dari elemen dan amalan Apartheid, kalau mahu UMNO disokong oleh rakyat semula.

Umno tidak harus mengambil pendekatan berperang dengan rakyat atau menggalakkan ‘permusuhan’ di kalangan rakyat. Sebaliknya UMNO harus bekerja bersama-sama rakyat tanpa mengira kaum untuk membawa Malaysia ke arah yang lebih gemilang. Dasar pecah dan perintah yang diwarisi dari penjajah demi untuk mengekalkan kuasa tidak patut menjadi amalan parti UMNO, kerana ia tidak baik dan tidak membantu untuk menuju kearah pembentukan Negara bangsa.

Thursday, March 22, 2012

Mencanangkan pilihanraya awal adalah strategi politik PM Najib mengelak didesak letak jawatan

Semasa Pak Lah jadi PM semula selepas BN menang pada tahun 2008, walaupun gagal mencapai majority dua pertiga, beliau tidak ada niat untuk mengadakan pilihanraya lagi sekali pada masa yang terdekat. Sebaliknya beliau sedaya upaya akan mencukupkan tempoh sepenggal (lima tahun) lagi untuk menjadi PM, atupun sekurang-kurangnya empat tahun lagi.
Tempoh lima atau empat tahun memang agak lama, ini membuatkan ahli-ahli UMNO tidak boleh bersabar. Mereka mahu Pak Lah turun sebelum UMNO dan BN bertambah tenat. Mereka mahukan perubahan kepada kepimpinan untuk memperbaiki keadaan BN yang telah mula hilang sokongan rakyat. Pak Lah telah dipersalahkan, beliau dijadikan kambing hitam atau kambing korban oleh UMNO.
‘Kelemahan’ Pak Lah telah dijadikan batu loncatan oleh DS Najib dan DS Muhyiddin untuk naik ke atas.
Yang jelasnya, perubahan pucuk kepimpinan UMNO dan BN kepada DS Najib tidak juga dapat meningkatkan sokongan rakyat kepada BN.
Sejak mula DS Najib mengambil alih pucuk pimpinan UMNO, tidak pernah lekang dari mulutnya untuk mengadakan pilihanraya awal bagi mendapatkan mandat baru. Sebagai PM baru setelah mengambil alih dari Pak Lah, orang ramai merasakan beliau perlu mendapatkan mandat baru dari rakyat.
Oleh kerana rakyat dan khususnya orang UMNO percaya PM Najib akan membubarkan Parlimen dalam masa terdekat selepas beliau mengambil alih jawatan PM, maka ahli-ahli UMNO tidaklah berasa tidak sabar untuk mengharapkan beliau meletakkan jawatan, walaupun demam UMNO dan BN masih juga belum boleh dikatakan pulih.
Sekarang sudah lebih tiga tahun beliau menjadi PM tanpa diganggu oleh suara-suara dari ahli UMNO yang mahukan beliau meletakkan jawatan. Cakap-cakapnya untuk mengadakan pilihanraya awal telah menjadi strategi yang paling baik yang dapat menyelamatkan dirinya untuk terus kekal menjadi PM hinggalah tempohnya tamat pada tahun 2013 nanti.
Selain dari itu, strategi mengheboh-hebohkan untuk mengadakan pilihanraya awal ini juga dapat memberi peringatan atau amaran kepada semua ahli-ahli UMNO supaya sentiasa dalam keadaan siap sedia untuk menghadapi pilihanraya.  Semua ahli akan terus bersemangat untuk bekerja bagi memenangkan parti dan terus berkempen hinggalah menjelang pilihanraya sebenar.

Fikiran ahli-ahli UMNO sentiasa tertumpu kepada untuk menghadapi piliharaya yang akan diadakan dalam masa terdekat, sehinggakan terlupa untuk melihat kepada kelemahan pentadbiran PM Najib. Bilakah masa yang terdekat itu? hanya PM Najib sahaja yang tahu. Mungkin langsung tidak ada sehinggalah tamat penggal pada Mac 2013 nanti.

Sunday, March 04, 2012

Dasar pendidikan negara kita pincang

Apa yang kita semai, itulah yang kita akan tuai.


Semasa pemimpin-pemimpin menamkan cerucuk asas pendidikan Negara kita kira-kira lebih 40 tahun dahulu, mereka hanya menekankan untuk memberi ilmu pengetahuan sains, teknologi dan kemahiran kepada anak-anak sekolah bagi menyediakan dan memabawa Malaysia kearah Negara maju.

Tetapi setelah melihat kepada ciri masyarakat yang terbentuk hasil melalui sistem yang ada ini, dapatlah kita membuat kesimpulan, terdapat sesuatu yang tidak kena dalam sistem pendidikan kita.

Pendidikan di sekolah dan di rumah sangat memberi kesan kepada pembentukan sahsiah sesuatu masyarakat.

Kita di semenanjung, terdiri dari tiga kaum yang terbesar iaitu Melayu, Cina dan India. Tiga-tiga kaum ini menerima pendidikan di peringkat tadika dan sekolah rendah secara berasingan. Selalunya kelompok tempat tinggal mereka juga berasingan. Kalau masa dulu, orang Cina ramai tinggal di kawasan Bandar, orang Melayu di kampong dan orang India di estet.

Di masa ini pun, walaupun ketiga-tiga kaum ini tinggal di taman perumahan, mereka masih cenderung untuk tinggal dalam kelompok kaum mereka.

Pengasingan sekolah dan kawasan penempatan mengikut kaum ini menyebabkan peluang untuk mereka berkenal lebih rapat dan bersahabat antara kaum sangat sukar sekali. Mereka hanya bertemu dalam aktiviti yang tertentu sahaja, seperti dalam urusan jual beli dan urusan pekerjaan sahaja, selain dari itu mereka seperti tidak bergantung antara satu sama lain.

Amat jarang sekali tiga kaum utama ini berpeluang menjalankan aktiviti kehidupan bersama. Ekoran dari itu, tiga kaum ini tidak berpeluang mengenal antara satu sama lain dengan lebih dekat, hasilnya mereka mempunyai aspirasi yang berlainan. Mereka tidak dapat merasakan kehendak, kemahuan dan keperluan kaum lain. Sebaliknya semua tindak tanduk dan aktiviti mereka hanya berkisar kepada kaum mereka sahaja.

Pemisahan kaum-kaum ini telah melebarkan jurang perbezaan antara mereka, akhirnya mereka terus selesa dengan keadaan demikian, mereka menganggap kaum yang lain itu sukar untuk didekati dan dicampuri. Jauh dari menjadi sahabat, sebaliknya mereka menganggap kaum lain itu sebagai ‘musuh’ yang boleh menyusahkan hidup mereka. Suatu kaum akan berusaha untuk ‘membunuh’ atau mengalahkan kaum yang lain.

Perasaan curiga dan prasangka kepada kaum lain sentiasa wujud dalam pemikiran masyarakat Malaysia. Baru-baru ini telah terjadi pergaduhan antara pekerja restoran KFC berbangsa Melayu dengan pelanggannya berbangsa Cina. Masyarakat tidak melihat siapa yang bersalah dan berkelakuan buruk secara individu yang telah menyebabkan pergaduhan itu, tetapi sebaliknya masyarakat Malaysia melihat insiden itu dengan kacamata perkauman dan melabelkan kaum A atau kaum B sebagai kurang ajar atau biadap.

Parti-parti politik yang wujud juga tidak terlepas dari mengikut polarisasi kaum dan ia sebenarnya adalah lanjutan hasil dari pemisahan kaum dalam kehidupan sebenar mereka. Dalam meraih sokongan, ahli politik lebih suka dilihat untuk menjadi hero kepada kaumnya.

Bila bercakap soal untuk membasmi kemiskinan dan membantu golongan miskin, mereka lebih suka bercakap untuk memperjuangkan taraf ekonomi dan kehidupan orang Melayu. Padahal kalau dia kata untuk meningkatkan ekonomi rakyat yang miskin, yang akan dibantu adalah orang Melayu juga, kerana kaum Melayu lah yang paling ramai miskin. Tetapi disebabkan untuk meraih sokongan politik, mereka lebih suka bercakap untuk membantu dan membela orang Melayu.

Sikap dan tabiat orang Melayu, orang Cina dan orang India juga berbeza. Orang Melayu dikatakan baik hati tetapi malas, orang Cina dikatakan tamak tetapi rajin, orang India pula dikatakan taat tetapi culas. Apakah sikap dan tabiat setiap kaum itu diwarisi atau dididik dari kecil. Tetapi kalau kita letakkan kesalahan ini kepada sistem pendidikan pun ada kebenarannya, kerana mereka dididik dan melalui sistem persekolahan yang berbeza, sudah tentu hasilnya juga akan berbeza.

Ada kemungkinan kalau ketiga-tiga kaum ini bersekolah dalam sistem sekolah yang sama, sikap dan tabiat mereka akan menjadi lebih kurang sama atau hampir seragam.

Orang Jepun terkenal dengan memiliki sikap-sikap yang murni seperti tidak mementingkan diri, jujur, telus, tidak mencuri, rajin, gigih, sabar, tidak membuang sampah merata-rata, bebaris mendapatkan giliran tanpa memotong barisan, sikap ingin belajar dan ingin tahu, berbangga untuk membuat kebaikan, membantu orang yang memerlukan.

Kenapa Jepun boleh menghasilkan manusia yang berakhlak mulia tetapi kita tidak boleh? Ini mesti ada yang tidak kena dengan sistem pendidikan kita. Kita patut belajar dari Jepun.

Nilai yang murni tidak cukup sekadar diceramah dan diberitahu sahaja, tetapi ia perlu dilatih untuk melakukannya supaya ia akan menjadi amalan dan budaya masyarakat.

Di universiti sekarang ini begitu ghairah dan sibuk sekali menekankan latihan generic skill atau soft skill atau kemahiran keterampilan diri. Bagi saya generic skill ini mesti bermula dan dilatih diperingkat tadika lagi, bukan di universiti baru hendak diperkenalkan kepada mereka, kerana ia melibatkan sikap, amalan dan budaya.

Kenapa anak-anak muda Melayu kita suka merempit dan melepak? Kenapa anak-anak muda kita banyak terjebak dalam masalah sosial, menghisap rokok, penyalahgunaan dadah, seks bebas. Semuanya ini memerlukan kita melihat semula kepada sistem pendidikan yang dilalui oleh anak-anak kita samada di sekolah mahupun di rumah.

Anak-anak sekolah kita lebih berbangga untuk menjadi jahat, mereka bangga kalau kenal samseng atau gangster di luar sekolah, sebaliknya murid yang ingin membuat perkara yang baik sering diperli, dikutuk dan diejek.

Penguatkuasa banyak terlibat dengan rasuah, mereka tidak amanah. Masyarakat kita juga dibelenggu dengan masalah perbezaan status yang diukur mengikut pekerjaan dan tahap ekonomi mereka. Pemungut sampah dianggap golongan rendah. Amat memalukan kalau berjalan kaki atau menggunakan pengangkutan awam. Sebaliknya menaiki dan memiliki kereta Mercedes dan BMW di pandang tinggi.

Apakah semua masalah dan kemelut yang kita hadapi hari ini ada kaitan dengan kepincangan dalam sistem pendidikan kita?

Tetapi yang pastinya, kalau kita semai benih lalang tidak mungkin kita akan menuai padi.

Tuesday, January 24, 2012

Demi perpaduan kaum, pemimpin BN harus menanggalkan perasaan ego

Andjar Firmanshah, rakan saya semasa bersekolah menengah yang berasal dari Bandung Indonesia telah menyatakan hasratnya untuk datang ke Kuala Lumpur setelah lebih 35 tahun tidak bertemu rakan lama dan menziarah sekolah lamanya, Sekolah Menengah Za'ba di Kuala Pilah.


Saya rasa sangat teruja untuk bertemu dengan beliau, telah sekian lama tidak bertemu, peluang yang ada itu memang tidak patut saya lepaskan begitu saja. Walaupun saya tinggal di JB, jauh dari KL, tetapi apalah sangat berbanding usaha dan susah payah beliau untuk datang jauh dari Bandung semata-mata hendak bertemu dengan kami semua.


Andjar, datang ke Malaysia ketika berumur 12 tahun, mengikut ayah beliau yang bekerja sebagai guru metamatik di Sekolah Men Za'ba pada tahun 1973. Pada masa itu negara kita yang kekurangan guru-guru metametik dan sains, telah mengambil ramai guru-guru dari Indonesia untuk berkhidmat di sini.


Andjar seorang budak yang mudah mesra dan suka berkawan dengan siapa saja tanpa mengira latar belakang kehidupan. Walaupun sebagai anak guru semasa itu, kehidupannya lebih mewah tetapi dia tidak bermasalah untuk bergaul dengan kami yang rata-ratanya hidup sederhana dan budak kampung.


Kehadiran Andjar ke kelas kami seperti memberi satu inspirasi kepada saya dan juga rakan-rakan sekelas di waktu itu. Andjar pandai dalam subjek metametik, kelihatannya dia lebih ke depan dalam subjek itu berbanding kami. Ini memberi semangat kepada saya untuk mahir dan mahu menguasai subjek metametik seperti dia juga.


Tidak dinafikan tumpuan kami kepada pelajaran terutamanya dalam subjek metametik semakin bertambah dengan kehadiran Andjar. Ini ditunjukkan dari keputusan peperiksaan umum SRP (sekarang PMR) pada tahun 1975, Sekolah Menengah Za'ba mendapat pencapaian terbaik, mengatasi sekolah-sekolah lain sekurang-kurangnya di Daerah Kuala Pilah kalau tidak pun seluruh Negeri Sembilan, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum itu. Berita itu ada tersiar dalam akhbar dan menjadi buah mulut orang setempat.

Dato'

Apabila saya melihat Anjar pada malam 22 Januari 2012 lalu, setelah 35 tahun tidak bertemu, saya merasakan dia seperti rakan semasa di sekolah dulu juga, rakan karib. Saya tidak melihatnya sebagai warga asing, malah tidak sama seperti saya melihat pendatang Indonesia yang bekerja di sini.



Itulah rakan karib, mesranya sama seperti dulu dan terus akan berstatus rakan walau sampai bila-bila. Kita akan terus memanggil nama mereka seperti dulu juga walaupun ada yang sudah bergelar Doktor, Profesor dan Dato'. Malah kita tidak segan silu untuk terus memanggil mereka dengan gelaran-gelaran nakal yang kita gelarkan kepada mereka semasa berkawan dengan mereka dulu.


Persahabatan yang akrab bukan boleh dibina dalam masa sehari atau seminggu, kita perlukan masa yang lama untuk mengenal hati budi seseorang. Dalam menjalin persahabatan, kita bukan sahaja bermain, bergurau atau bekerja bersama tetapi sering juga bergaduh dan berselisih faham, yang akhirnya membentuk satu hubungan yang utuh sehingga sanggup melindungi, membela dan mempertahankan kawan.

Sungguh amat mengeciwakan, apabila saya melihat orang Cina Malaysia, saya melihat mereka sama seperti pelancung yang datang dari Negara China dan bila melihat orang India Malaysia, saya melihat mereka sama seperti pekerja yang datang dari Negara India. Dan saya percaya orang Cina dan orang India juga melihat orang Melayu seperti orang asing kepada mereka.


Sebaliknya saya melihat Andjar tidak sama seperti saya melihat pendatang asing. Ini bukanlah disebabkan kerana dia bangsa serumpun atau seagama dengan saya tetapi kerana dia adalah sahabat karib saya. Faktor inilah yang tidak pernah ada antara kaum Melayu, Cina dan India di negara ini. Benda inilah yang kita hilang dari masyarakat berbilang kaum di negara ini, tidak ada peluang untuk mereka memupuk persahabatan.

Pemimpin-pemimpin BN samada UMNO, MCA dan MIC masih berbangga dengan sekolah diasingkan mengikut kaum dan masih tidak rela menanggalkan rasa ego dari diri mereka.


Saya terharu dengan ole-ole baju-T yang dihadiahkan oleh Andjar kepada kami semasa beliau berkunjung ke sini tempoh hari yang tertulis ayat "babaturan salamina". Terima kasih Andjar.

Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi ku bawa mati,

Kalau ada sumur di ladang
Bolehlah saya menumpang mandi
Kalau ada umur panjang
Boleh kita ketemu lagi,

Kedua-dua gambar ini dirakam di lokasi yang sama, tahun 1974 (Andjar berdiri paling kiri) dan tahun 2012 (Andjar berdiri paling kanan).

Saturday, December 03, 2011

Bila pintu kebebasan hujah ditutup, terselindunglah kebenaran

Kebenaran mutlak itu adalah apa yang datang dari Tuhan. Dalam sejarah kehidupan ini, manusia sering tersasar dari kebenaran. Setiap kali kebenaran aqidah manusia tercemar dan tersasar, Tuhan melalui nabi-nabi dan rasul-rasulnya akan membetulkan atau menunjukkan semula jalan yang benar.


Nafsu dan syaitan sentiasa membawa manusia kearah yang sesat dan terkeluar dari landasan aqidah yang sebenar, samada dalam bentuk mempersekutukan Tuhan (syirik) atau tidak mempercayai Tuhan yang Maha Esa.

Di Malaysia juga pernah di zaman lampau melalui amalan Islam yang dipenuhi unsur-unsur khurafat, seperti memohon kepada keramat dan kubur, amalan semah dan bidaah. Dari zaman Munsyi Abdullah lagi, orang-orang Melayu telah tebal dengan kepercayaan karut dan kurafat mereka.

Apabila semakin ramai kalangan orang Islam Malaysia yang pergi menuntut agama di Timur Tengah dan India, mereka telah mendapat persepsi baru tentang Islam. Dipusat-pusat pengajian Islam di sana mereka terdedah dengan ilmu-ilmu Islam yang benar. Mereka belajar dan memahami Quran dari guru-guru yang muktabar.

Akhirnya, bila Islam yang bersih dari unsur kurafat ini hendak diterapkan kepada masyarakat yang sebati dengan amalan lama, maka berlakulah pertembungan fahaman. Pertembungan fahaman ini menjadi begitu hebat sehingga dikenali sebagai fahaman kaum muda dan fahaman kaum tua.

Walaupun tidak ada pihak yang diistiharkan menang atau kalah dalam pertembungan itu, tetapi oleh kerana pintu hujah sentiasa dibuka kepada dua-dua pihak, akhirnya banyaklah amalan-amalan kurafat dalam masyarakat Melayu telah mereka tinggalkan, setelah mereka mendapat maklumat dan kesedaran.

Bukan kemenangan yang hendak dicari, tetapi kebenaran.

Terdapat rakan-rakan di dalam Facebook yang cuba mempromosi ajaran dan fahaman Syiah. Menggunakan ucapan-ucapan yang mereka dakwa yang diucapkan oleh Nabi Muhammad dan Saidina Ali, terus cuba mempengaruhi orang ramai untuk menyokong aliran Syiah.

Mereka membesar-besar dan mengagung-agungkan Husein anak kepada Ali bin Abi Talib secara berlebih-lebihan. Apa beza antara Hamzah, bapa saudara Nabi yang mati syahid yang dadanya dibelah dan hatinya dimamah dengan Husein, sehingga Husein begitu istimewa kepada golongan Syiah melebihi Hamzah Abi Talib.

Pertelingkahan politik antara umat Islam yang telah menyebabkan Husein dibunuh dan dipenggal kepalanya telah berlaku ratusan tahun dahulu. Di zaman mana pun telah berlaku pembunuhan umat Islam samada berperang dengan orang bukan Islam atau sesama Islam sendiri. Kita yang hidup di zaman ini tidak perlu menanggung dosa kesilapan dan kesalahan mereka itu. Dosa orang tidak akan dipikulkan kepada kita dan dosa kita tidak pula dipikul oleh orang lain, itu adalah janji Tuhan.

Berhentilah dari terus berdendam kepada puak yang lain, tidak ada seorang pun umat Islam yang ada hari ini yang bertanggungjawab atau pun bersubahat membunuh Husein. Pembunuhan itu dilakukan oleh umat Islam di zamannya, dan mereka tetap akan dihukum oleh Tuhan kalau mereka bersalah setimpal dengan kesalahannya.

Dan umat Islam yang tidak turut serta untuk menyertai Husein berperang atau bersubahat membunuh Husein juga akan mendapat balasan dari Tuhan, tidak perlu kita yang hidup di masa ini terus berasa kesal dengan kejadian itu.

Sebaliknya ambillah iktibar dari kejadian itu supaya umat Islam tidak mengulangi perkara bodoh ini, berperang sesama sendiri. Jadilah umat yang bijaksana, sentiasa memilih hujah bagi mengatasi segala permasalahan, memilih damai melebihi perang.

Sekarang bukan masa untuk memenangkan mazhab dan kumpulan kita, kembalilah kepada peranan dan tanggungjawab kita yang sebenar. Tidak lain untuk membawa umat manusia kepada aqidah yang betul. Ini bukan lagi masa untuk mengagungkan dan menonjolkan mazhab kita, kita mesti keluar dari kepompong yang sempit itu. Berpandukan Quran, kitab yang benar, petunjuk kepada umat manusia, marilah kita menyeru dengannya membawa manusia ke jalan yang benar.

Husein dan Abu Bakar memang penting, tetapi mereka telah melakukan yang terbaik untuk Islam di zaman mereka. Tetapi untuk Islam hari ini, semuanya tergalas di atas bahu kita, bukan lagi dibahu Husein mahu pun Abu Bakar.

Memang tidak dinafikan Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman melalui wadah UMNO telah melakukan yang terbaik, memerdekakan Negara ini dari penjajah British. Tetapi tidak bermakna orang UMNO hari ini juga telah melakukan yang terbaik untuk Negara ini. Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman telah banyak berjasa, tetapi tidaklah wajar, kerana terlalu terhutang budi kepada mereka, hingga kita tidak boleh mengundi selain dari parti UMNO.

Kita tidak akan berjumpa dengan kebenaran kalau dicari dalam medan politik. Kebenaran boleh ditemui dalam agama. Politik adalah medan untuk mencari pemimpin. Apabila umat tidak dapat membezakan antara politik dan agama, maka jadilah seperti yang berlaku kepada golongan Syiah dan Sunni.

Wednesday, November 30, 2011

Seperti biasa, orang Melayu ditakut-takutkan

Dalam ucapan perasmian perhimpunan sayap UMNO malam tadi (29/11/2011) yang disiarkan secara langsung melalui media elektronik perdana, Muhyiddin cuba menakut-nakutkan orang Melayu supaya menolak parti pembangkang (PR).


Menggunakan taktik menakut-nakutkan adalah satu teknik yang berkesan dalam strategi memenangi pilihanraya, dan ia telah diamalkan sejak sekian lama oleh parti UMNO.

Memulakan ucapannya dengan mencela perbuatan fitnah, beliau menuduh parti pembangkang suka membuat fitnah dan bekerja lebih masa untuk mereka-reka fitnah, kemudian beliau pula secara semborono menabur fitnah kepada DAP, PKR dan PAS dalam ucapannya. Umpama paku dulang paku serpih.

Selanjutnya Muhyiddin mengingatkan atau memberi amaran keras, Melayu akan kehilangan kuasa kalau orang-orang Melayu tidak bersatu menyokong UMNO. Tetapi betulkah Melayu akan hilang kuasa? atau golongan elit dalam UMNO dan cukong-cukongnya yang akan hilang kuasa dan hilang projek?

Muhyiddin bukan seperti memberi ucapan perasmian sayap UMNO, tetapi lebih kepada ceramah kempen pilihanraya untuk parti UMNO walaupun waktu kempen belum bermula lagi. Beliau menggunakan media perdana untuk berkempen parti UMNO, apakah media perdana ini dibiayai oleh wang UMNO? Kalau di England sudah lama parti semacam ini bungkus kerana menyalahgunakan harta rakyat untuk berkempen.

Tambah beliau lagi, institusi agama dihina kalau UMNO tidak lagi berkuasa. Betulkah agama Islam menjadi mulia sebab adanya institusi agama ini? Sebaliknya institusi agama yang ada sekarang inipun seperti menurut telunjuk UMNO saja. Orang Melayu hanya merujuk institusi agama ini sebagai jabatan nikah kawin dan jabatan menangkap orang berkhalwat di hotel bajet saja.

Apapun dalam ucapan itu, Muhyiddin sendiri mengakui telah berlakunya tsunami politik, dan senerio atau lanskap politik Malaysia telah berubah semenjak 2008. Lantaran itu Muhyiddin cuba menakutkan pewakilan UMNO bahawa pilihanraya umum akan datang adalah pilihanraya yang akan menentukan hidup atau mati UMNO. Kalau UMNO mati, terlepaslah segala projek yang mungkin akan dibalun oleh puak lain pula. Maka diserulah segala hulubalang untuk mempertahankan UMNO, masih adakah hulubalang UMNO? atau sekadar tinggal jembalang?

Sunday, October 30, 2011

Hasan Ali menaruh dendam dengan DAP

Kerajaan perpaduan yang diusahakan secara rahsia oleh Hasan Ali sejurus selepas pilihanraya umum 2008 telah ditolak oleh kebanyakan kepimpinan PAS terutamanya Mursyidul PAS TG Nik Aziz Nik Mat. Sikap ‘belot’ Hassan Ali ini telah membuatkan beliau dipandang curiga oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.


Demi kebaikan dan atas dasar ingin menjaga ketinggian syiar Islam, Hasan Ali sanggup membelakangkan rakan-rakannya dari Pakatan Rakyat, sebaliknya beliau telah melakukan usaha membawa PAS bersekutu dengan UMNO untuk membentuk kerajaan di Selangor.

Sekalipun kalau begitu niat beliau, dari sudut moralnya, itu bukanlah perbuatan yang beretika. Tidak sepatutnya kita menghalalkan cara untuk mencapai matlamat yang murni.

Semasa sukar dia berjuang bersama-sama rakan-rakan DAP dalam Pakatan Rakyat menentang BN menghadapi pilihanraya, tetapi apabila telah menang dia sanggup membelakangkan mereka.

Hassan Ali rasa malu dan keciwa dengan PAS kerana idea kerajaan perpaduannya telah tidak mendapat sambutan dari pihak PAS. DAP pula memandang Hassan Ali dengan perasaan yang curiga dan dilihat sebagai seorang ‘pembelot’.

Sepanjang kepimpinan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan di Negeri Selangor, Hassan Ali dalam beberapa isu telah menjadi seperti pihak pembangkang kepada kerajaan Pakatan Rakyat. Termasuklah isu perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan isu serbuan oleh Jabatan Agama Islam di sebuah gereja di Selangor.

Hasan Ali seperti ingin melepaskan dendamnya terutamanya kepada rakan-rakan DAP di Selangor bila berdepan dengan isu-isu yang ada kaitan dengan agama. Tidak seperti Khalid Samad, Hasan Ali tidak dapat bekerjasama dengan rakan-rakan DAP, kerana beliau selalu menganggap DAP sebagai musuh Islam.

Hasan Ali adalah termasuk orang yang berfikiran, syiar Islam hanya boleh ditegakkan melalui kuasa politik. Tidak hairanlah kalau dia telah memilih PAS apabila beliau ingin mendapatkan ‘kuasa’.

Syiar Islam tidak menjadi tinggi kerana kuasa. Ikutlah cara nabi, Islam disebarkan melalui dakwah dan tarbiyah. Politik berparti adalah cara kita memilih pemimpin untuk mentadbir Negara. Berbeza pendapat, berbeza parti bukan bermakna perpecahan. Umat Islam tetap satu tanpa mengira parti politik.

Masalahnya bila orang Islam sendiri tidak faham apa itu parti politik. Ada orang yang menganggap parti politik sebagai mazhab dan agama. Itu yang salahnya, dan itulah yang menyebabkan umat Islam berpecah, mereka jahil dalam memahami politik.

Sunday, July 24, 2011

Projek biometrik untuk jamu hantu raya

Petikan berita dari Utusan Malaysia 24 Julai 2011:


KANGAR 23 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan bersetuju memberi peruntukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi melaksanakan sistem biometrik dalam pilihan raya akan datang.



Menurut Perdana Menteri, pelaksanaan sistem tersebut bagi menjamin pilihan raya yang adil tanpa timbul lagi isu pengundi hantu sebagaimana didakwa oleh pihak pembangkang.

Ketika berucap pada Program Jalinan Mesra Rakyat di Dewan 2020 di sini, di Kangar, PM Najib menyatakan rasa bangganya kerana menjadi Negara pertama menggunakan sistem biometrik dalam pilihanraya. “Dan tidak ada negara lain yang menggunakannya walaupun negara maju," tambah beliau.
Apakah jaminan sistem biometric ini tidak terlepas dari penipuan? Apatah lagi system biometric ini tidak pernah dicuba di mana-mana Negara, tentu terdedah kepada banyak kelemahan yang tidak diduga. Biometrik adalah program computer yang dibikin dan dikawal oleh manusia, masih mempunyai kelemahan dari pencerobohan.

Apa masalahnya dengan dakwat kekal? Bukan sahaja kosnya murah tetapi telah dicuba di beberapa Negara dan terbukti berkesan untuk mengelakkan penipuan dalam pilihanraya.

Menggunakan sistem yang canggih dan mahal seperti sistem biometrik itu bukanlah perkara yang penting, apa yang lebih utama ialah kita mahu mengelakkan penipuan dalam pilihanraya, itulah isu utamanya.

Kita bimbang projek sistem biometrik ini diwujudkan hanya untuk memenuhi tuntutan selera hantu raya yang dibela, padahal sistem dakwat kekal yang jauh lebih murah itu pun sudah sangat memadai.

PM Najib juga cuba meyakinkan orang ramai, dengan berkata, kalau BN benar-benar memanipulasi pilihanraya, sudah tentu PAS telah lama kalah di Kelantan. Malah katanya lagi, ada parti pembangkang yang menang hanya dengan 3 undi sahaja, kalaulah benar pilihanraya boleh dimanipulasi, sudah tentu BN mudah untuk menambah sedikit undi lagi untuk menang.

PM Najib boleh bercakap apa sahaja untuk mempertahankan pendiriannya, tetapi di pihak Pakatan Rakyat juga ada hak untuk menyuarakan pandangan dan persepsi mereka.

Sudah banyak kita dengar dan lihat, nama orang yang telah mati masih ada dalam senarai pilihanraya. Ramai bekas-bekas tentera memberitahu kita, sepanjang berkhidmat mereka tidak pernah melihat atau memangkah kertas undi. Kalau satu atau dua orang bekas tentera berkata seperti itu, bolehlah kita kata mereka berbohong, tetapi kalau beratus bekas tentera berkata seperti itu, takkan kita senang-senang nak tuduh mereka bohong.

Ada juga alamat rumah yang dihuni oleh lebih 80 orang pengundi. Kenapa boleh jadi sampai demikian? Apa muslihatnya? Kalau pendatang asing pun, mereka tidak duduk sampai 20 orang dalam satu rumah.

Perlu juga diingat, demokrasi bukan sekadar mengadakan pilihanraya yang bersih dari penipuan, tetapi lebih dari itu, pilihanraya mesti berjalan dengan adil dan bebas.

Sangat jelas kepada kita, media kerajaan dan media perdana Negara ini dikawal oleh parti yang memerintah. Sikap dan lapuran mereka berpihak dan berat sebelah. Mereka menjadi alat propaganda dan alat kempen kepada parti yang memerintah. Ini bukanlah amalan demokrasi yang betul dan murni.

Agensi-agensi kerajaan, polis, SPRM, SPR dan badan kehakiman tidak patut dijadikan kuda tunggangan parti yang memerintah untuk mengekalkan kuasa mereka. Penyalahgunaan kuasa ini sudah bercanggah dengan amalan demokrasi.

Dalam keadaan demokrasi yang telah dicabul dan pertandingan yang berat sebelah ini, bukan sekadar 3 undi, kalau parti pembangkang dapat meraih 40% undi pun, secara moralnya sudah boleh dikira parti pembangkang menang, walaupun mereka kalah di atas kertas.

Saturday, July 02, 2011

9 Julai, ujian kemampuan DAP dan PAS untuk memimpin Malaysia

Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan mimpi buruk kepada DAP yang telah mencalarkan nama baik parti tersebut dan meninggalkan imej negatif kepada rakyat Malaysia, terutamanya dalam hubungan kaum di Negara ini.

Sejak peristiwa itu, DAP begitu fobia dan mengambil sikap berhati-hati untuk mengadakan perhimpunan awam, perarakan dan demontrasi jalanan, terutamanya bila melibatkan isu perkauman.

Parti DAP dilabel sebagai parti politik yang mengamalkan perkauman yang sempit, parti PAS pula dilabel sebagai parti agama yang sempit.

Samada label-label yang diberi oleh parti-parti lawan mereka itu benar atau tidak, bukan suatu perkara yang penting. Yang lebih penting ialah sikap yang dipamerkan oleh ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin mereka. Apa sahaja tuduhan yang dilemparkan, akhirnya rakyat akan menilai mereka dari sikap dan tindak tanduk mereka sendiri.

Apatah lagi sekarang ini DAP dan PAS telah berjaya berkuasa dan memerintah di beberapa negeri, sudah tentu mereka dengan mudah dapat dinilai oleh orang ramai, samada mereka betul-betul pengamal dasar perkauman dan agama yang sempit seperti yang dituduh.

Perhimpunan BERSIH pada 9 Julai 2011 akan datang ini adalah perhimpunan haram yang tidak mendapat permit polis. Kejayaan sesuatu perhimpunan itu bukanlah disebabkan adanya atau mendapat permit polis. Kejayaan perhimpunan rakyat Iran menghalau Maharaja Shah Iran juga tidak pernah mendapat permit. Kejayaan demontrasi jalanan pro demokrasi di Indonesia juga tidak pernah diberi permit oleh Suharto. Kejayaan perhimpunan rakyat di Tunisia dan Mesir juga tidak pernah mendapat permit polis.

Rasanya lebih sesuai kalau permit polis dipohon untuk mengadakan perhimpunan hari guru, perarakan Maulud Nabi dan perarakan menyambut hari Kemerdekaan.

DAP adalah sebuah parti yang majoriti ahlinya orang Cina, manakala PAS pula adalah parti politik yang majoritinya terdiri orang Melayu. Kedua-dua parti ini menyokong kuat perhimpunan BERSIH, dan mereka ada sebab yang kuat untuk menyokong tuntutan BERSIH.

Siapa yang cintakan demokrasi, tanpa mengira kaum, fahaman dan agama, pasti akan bersama-sama memberi sokongan kepada BERSIH untuk memurnikan amalan demokrasi di Negara kita ini, dan ini adalah untuk kebaikan masa depan Negara kita juga.

Isu yang dibawa BERSIH bukan untuk mendesak PM Najib turun dari kuasa, bukan juga isu membela kaum tertentu, tetapi adalah isu rakyat Malaysia dan masa depan mereka yang lebih baik.

Selama ini rakyat ditakut-takutkan oleh pemimpin-pemimpin dengan isu-isu perkauman untuk mereka terus mengekalkan kuasa. Orang Melayu ditakutkan dengan Cina, orang Cina pula ditakutkan dengan orang Melayu. Akhirnya kita akan mengundi mereka selama lebih 50 tahun yang kononnya satu-satunya parti yang mampu menjaga keamanan antara kaum.

Atas nama Bumiputera atau Melayu, atas nama Cina dan atas nama India, mereka berpolitik, berniaga dan membahagikan kekayaan Negara sesama kumpulan mereka.

Dengar khabar, semua tiket penerbangan ke luar Negara pada sekitar tarikh menjelang 9 Julai 2011 telah habis di tempah. Kebanyakan dari mereka itu adalah juga yang selama ini telah menyemai benih racun perkauman untuk kepentingan dan kemewahan diri mereka sendiri. Mereka bersikap lempar batu sembunyi tangan, bila berlaku perkara buruk, merekalah yang lebih dahulu cabut lari.
Tarikh 9 Julai 2011 adalah ujian besar kepada kepimpinan DAP dan PAS dalam menghadapi cabaran masa depan Negara yang berbilang kaum ini. Jika mereka dapat melaluinya dengan baik dan dapat mengendalikannya dengan bijak, pasti rakyat akan tabik hormat kepada mereka dan rakyat tidak akan lagi berasa bimbang untuk menyerahkan kepada mereka bagi menggalas pimpinan masa depan Negara ini.

Kalau tarikh 13 Mei adalah tarikh yang membawa nama buruk kepada DAP, biarlah tarikh 9 Julai pula menjadi tarikh yang akan mengharumkan nama DAP.

Sebentar tadi terdengar berita di radio, SPR akan menjemput pemerhati antarabangsa untuk memantau pilihanraya Malaysia pada masa akan datang. Padahal sebelum ini, permintaan menjemput pemerhati antarabangsa telah ditolak mentah-mentah oleh SPR. Walaupun berasa kecut untuk menghadapi 9 Julai, tetapi Ketua Pengarah SPR masih cuba juga berkata bahawa perhimpunan BERSIH ini belum tentu dapat mengubah pendirian SPR. Hahaha….. kita tengoklah nanti.

Monday, May 02, 2011

Parti politik Father & Sons company

Mungkin budaya pemikiran masyarakat kita yang masih terbawa-bawa dengan sistem beraja yang telah lama bertapak dalam kehidupan mereka, menyebabkan mereka sukar untuk mengelakkan amalan nepotisma dalam parti.

Dalam sistem beraja, siapa yang menjadi pemimpin atau ketua masyarakat ditentukan oleh darah keturunan. Oleh itu apabila seorang raja itu mangkat maka yang layak menggantikan baginda ialah anak baginda.

Walaupun negara kita telah tidak lagi mengamalkan sistem pemerintahan raja monarki, tetapi amalan nepotisma atau memilih pemimpin berdasarkan darah keturunan masih lagi terbawa-bawa dalam parti-parti politik negara kita.

Seperti institusi raja yang dimiliki oleh raja dan keturunannya, begitulah juga yang telah berlaku dalam kebanyakan parti-parti politik negara kita, seolah-olah seperti parti politik itu telah menjadi hak miliki pemimpin dan anak beranak mereka sahaja.

Yang menambah menggalakkan amalan nepotisma ini berlaku bukanlah hanya disebabkan pemimpin-pemimpin politik itu mahukan anak-anak mereka atau saudara mara mereka menjadi pemimpin menggantikan mereka, tetapi lebih utama lagi adalah atas kehendak atau ‘kepercayaan’ masyarakat itu sendiri yang masih tebal dengan faktor darah keturunan sebagai penentu untuk menjadi pemimpin.

Sebagai contoh, lihat sahajalah kepada PM kita Najib Tun Razak. Tun Razak secara peribadi pun mungkin tidak menjangka anaknya akan menggantikan tempat beliau sebagai PM, tetapi masyarakat kita sendiri yang mahukannya disebabkan beliau mempunyai darah keturunan Tun Razak.

Selain dari itu, Hishamudin Tun Husein dan Tun Husein Onn adalah pemimpin-pemimpin yang datang dari darah keturunan Datuk Onn Jaafar.

Datuk Mukhriz Tun Mahathir, Syed Hamid Albar, Tan Nazri Aziz adalah juga antara pemimpin-pemimpin tertinggi parti UMNO yang mempunyai darah keturunan pemimpin.

Kalau dalam parti PKR pula, Anwar Ibrahim, Wan Azizah dan Nurul Izzah adalah anak beranak yang menjadi pemimpin tertinggi parti PKR.

Begitu juga dengan parti DAP, Lim Kit Siang dengan anaknya Lim Guan Eng dan Karpal Singh pula dengan anaknya Gobind Singh adalah pemimpin-pemimpin tertinggi parti DAP.

Rasanya tidak begitu baik kalau kita menggunakan kuasa dan kedudukan sebagai pemimpin untuk melobi anak atau saudara-mara kita untuk dipilih menjadi pemimpin. Kerana pemimpin yang bagus itu mestilah datang dari kumpulan akar umbi yang turut merasai dan betul-betul memahami masalah rakyat.

Bagaimana mereka dapat merasakan denyut nadi rakyat, sedangkan sedari kecil, mereka tinggal di lingkungan golongan elit yang dipenuhi dengan segala bentuk kemewahan. Apabila ditanyakan kepada mereka, apakah yang dimaksudkan dengan orang miskin, mereka menjawab, orang miskin itu adalah orang yang mempunyai tukang kebun miskin, orang gaji miskin dan pemandunya pun miskin. Kita tidak akan pernah mengetahui masalah orang miskin kalau kita sendiri tidak pernah menjadi orang miskin.

Sentuhan kepimpinan Tun Razak yang pernah mengalami sendiri zaman susah sebelum merdeka tidak akan dapat ditandingi oleh Najib. Begitu juga dengan sentuhan kepimpinan Tun Mahathir yang pernah melalui zaman pahit getir orang-orang Melayu, tidak sama sekali akan dapat ditandingi oleh Mukhriz.

Kita bukanlah hendak menyekat anak dan saudara-mara menjadi pemimpin dalam parti politik yang sama, tetapi biarlah mereka terpilih betul-betul mengikut kebolehan (meritokrasi) sendiri dan bukan atas dasar pendewaan kepada darah keturunan.

Janganlah jadikan parti politik itu milik keluarga kita sendiri sehingga ia menjadi seperti sebuah syarikat ‘Father & Sons Company’. Pemimpin-pemimpinnya terdiri dari anak beranak, akhirnya saudara mara sahaja yang akan mengundi mereka nanti.

Kita bukan sekadar perlukan penerus kepada kepimpinan terdahulu tetapi seharusnya mampu juga mengeluarkan pemimpin yang hebat yang akan jadi sebutan sepanjang zaman. Ini hanya boleh berlaku kalau masyarakat kita dapat melalui tranformasi minda yang akan berpegang kuat kepada prinsip meritokrasi dan demokrasi yang adil dan bebas.

Friday, April 08, 2011

Tuhan masih sayangkan Malaysia, BN menang pada pilihanraya 2008

Tahun 2008 telah melakar sejarah penting bagi senerio politik Malaysia. Di mana tahun 2008 telah benar-benar menguji kematangan politik rakyat Malaysia.

Pada pilihanraya umum tahun 2008, rakyat Malaysia telah berani membuat perubahan besar dan sanggup menanggung risiko dengan memberi kemenangan kepada Pakatan untuk memerintah lima negeri dan menafikan majoriti dua per tiga penguasaan BN di Parlimen.

Sesungguhnya sokongan besar yang ditunjukkan oleh rakyat kepada parti pembangkang di bawah kesatuan Pakatan Rakyat ini sungguh mengejutkan dan memang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara ini sejak merdeka 50 tahun dulu.

UMNO begitu terkejut bila menyaksikan parti rakan-rakan utamanya dalam BN seperti MCA dan MIC kalah teruk. Menyebabkan UMNO jadi gelabah, secara sulit beberapa pemimpin utama PAS telah dihubungi bagi merundingkan kerajaan yang menggabungkan parti PAS dan parti UMNO.

UMNO sanggup menawarkan kepada calon PAS untuk menjadi Menteri Besar atau Ketua Menteri di negeri yang BN telah kalah, asalkan PAS mahu menerima UMNO dalam pentadbiran kerajaan negeri tersebut.

UMNO terlalu takut dengan kehilangan kuasa, apatah lagi mereka mempunyai banyak kepentingan samada projek dan perniagaan di negeri-negeri yang kaya seperti Selangor, Pulau Pinang dan Perak.

UMNO telah menggunakan slogan kesatuan Melayu dan kesatuan umah untuk memujuk dan menabur janji yang lunak kepada PAS, tetapi sayang, pemimpin tertinggi PAS tidak mudah termakan dengan bujukan UMNO itu.

UMNO tidak percaya BN boleh kalah dan mereka tidak dapat menerima kekalahan itu, apatah lagi kalah di Pulau Pinang dan di Perak dengan parti yang selalu dituduhnya sebagai pro kaum Cina iaitu DAP. UMNO mempunyai beberapa sejarah hitam dengan parti DAP.

DAP dikatakan parti yang ada kaitan dengan parti PAP di Singapore. Parti PAP yang dipimpin oleh Lee Kuan Yew semasa Singapore berada di dalam Malaysia telah cuba melebarkan pengaruhnya di seluruh Malaysia ketika itu. Tunku Abdul Rahman yang menjadi Perdana Menteri Malaysia ketika itu telah bertindak menyekat kemaraan Lee Kuan Yew dan parti PAP dengan ‘memenjarakannya’ di pulau Singapore.

Rusuhan kaum antara orang Cina dan orang Melayu pada peristiwa 13 Mei tahun 1969 juga adalah ekoran pergeseran politik yang panas antara UMNO dan DAP selepas timbul perasaan tidak puas hati dengan keputusan pilihanraya umum di waktu itu.

Alhamdulilah, pada pilihanraya umum tahun 2008 yang lalu, parti DAP telah banyak belajar dari peristiwa 13 Mei, mereka sudah semakin matang dalam menghadapi provokasi UMNO.

Pakatan Rakyat tidak menduga sama sekali mereka boleh menyapu bersih lima negeri pada pilihanraya 2008. Hubungan antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat ketika itu bukanlah atas kesepakatan untuk membentuk kerajaan tetapi lebih kepada kerjasama untuk menghadapi pilihanraya. Dengan kata lain Pakatan Rakyat sebenarnya belum sedia untuk menjadi parti yang memerintah Malaysia ketika itu.

Semua orang tahu DAP dan PAS mempunyai ideologi yang berbeza seperti langit dengan bumi. Kalau pun Pakatan Rakyat menang dan dapat memerintah Malaysia ketika itu, sudah pasti akan jadi keadaan yang tidak menentu dan huru hara akan mudah dicetuskan.

Tuhan masih menyayangi Malaysia dari berlaku huru-hara dan pergaduhan kaum, ada hikmahnya juga BN masih lagi menjadi kerajaan selepas pilihanraya tahun 2008 yang lalu.

Menjelang pilihanraya umum ke 13 yang akan datang ini, sudah tentu Pakatan Rakyat sudah mula memikirkan dan membuat persediaan yang sewajarnya untuk menjadi kerajaan pula. Peluang untuk mereka menjadi pemerintah negara Malaysia bukan lagi satu perkara yang mustahil seperti yang mereka selalu fikirkan sebelum tahun 2008 dulu.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com