Mungkin budaya pemikiran masyarakat kita yang masih terbawa-bawa dengan sistem beraja yang telah lama bertapak dalam kehidupan mereka, menyebabkan mereka sukar untuk mengelakkan amalan nepotisma dalam parti.
Dalam sistem beraja, siapa yang menjadi pemimpin atau ketua masyarakat ditentukan oleh darah keturunan. Oleh itu apabila seorang raja itu mangkat maka yang layak menggantikan baginda ialah anak baginda.
Walaupun negara kita telah tidak lagi mengamalkan sistem pemerintahan raja monarki, tetapi amalan nepotisma atau memilih pemimpin berdasarkan darah keturunan masih lagi terbawa-bawa dalam parti-parti politik negara kita.
Seperti institusi raja yang dimiliki oleh raja dan keturunannya, begitulah juga yang telah berlaku dalam kebanyakan parti-parti politik negara kita, seolah-olah seperti parti politik itu telah menjadi hak miliki pemimpin dan anak beranak mereka sahaja.
Yang menambah menggalakkan amalan nepotisma ini berlaku bukanlah hanya disebabkan pemimpin-pemimpin politik itu mahukan anak-anak mereka atau saudara mara mereka menjadi pemimpin menggantikan mereka, tetapi lebih utama lagi adalah atas kehendak atau ‘kepercayaan’ masyarakat itu sendiri yang masih tebal dengan faktor darah keturunan sebagai penentu untuk menjadi pemimpin.
Sebagai contoh, lihat sahajalah kepada PM kita Najib Tun Razak. Tun Razak secara peribadi pun mungkin tidak menjangka anaknya akan menggantikan tempat beliau sebagai PM, tetapi masyarakat kita sendiri yang mahukannya disebabkan beliau mempunyai darah keturunan Tun Razak.
Selain dari itu, Hishamudin Tun Husein dan Tun Husein Onn adalah pemimpin-pemimpin yang datang dari darah keturunan Datuk Onn Jaafar.
Datuk Mukhriz Tun Mahathir, Syed Hamid Albar, Tan Nazri Aziz adalah juga antara pemimpin-pemimpin tertinggi parti UMNO yang mempunyai darah keturunan pemimpin.
Kalau dalam parti PKR pula, Anwar Ibrahim, Wan Azizah dan Nurul Izzah adalah anak beranak yang menjadi pemimpin tertinggi parti PKR.
Begitu juga dengan parti DAP, Lim Kit Siang dengan anaknya Lim Guan Eng dan Karpal Singh pula dengan anaknya Gobind Singh adalah pemimpin-pemimpin tertinggi parti DAP.
Rasanya tidak begitu baik kalau kita menggunakan kuasa dan kedudukan sebagai pemimpin untuk melobi anak atau saudara-mara kita untuk dipilih menjadi pemimpin. Kerana pemimpin yang bagus itu mestilah datang dari kumpulan akar umbi yang turut merasai dan betul-betul memahami masalah rakyat.
Bagaimana mereka dapat merasakan denyut nadi rakyat, sedangkan sedari kecil, mereka tinggal di lingkungan golongan elit yang dipenuhi dengan segala bentuk kemewahan. Apabila ditanyakan kepada mereka, apakah yang dimaksudkan dengan orang miskin, mereka menjawab, orang miskin itu adalah orang yang mempunyai tukang kebun miskin, orang gaji miskin dan pemandunya pun miskin. Kita tidak akan pernah mengetahui masalah orang miskin kalau kita sendiri tidak pernah menjadi orang miskin.
Sentuhan kepimpinan Tun Razak yang pernah mengalami sendiri zaman susah sebelum merdeka tidak akan dapat ditandingi oleh Najib. Begitu juga dengan sentuhan kepimpinan Tun Mahathir yang pernah melalui zaman pahit getir orang-orang Melayu, tidak sama sekali akan dapat ditandingi oleh Mukhriz.
Kita bukanlah hendak menyekat anak dan saudara-mara menjadi pemimpin dalam parti politik yang sama, tetapi biarlah mereka terpilih betul-betul mengikut kebolehan (meritokrasi) sendiri dan bukan atas dasar pendewaan kepada darah keturunan.
Janganlah jadikan parti politik itu milik keluarga kita sendiri sehingga ia menjadi seperti sebuah syarikat ‘Father & Sons Company’. Pemimpin-pemimpinnya terdiri dari anak beranak, akhirnya saudara mara sahaja yang akan mengundi mereka nanti.
Kita bukan sekadar perlukan penerus kepada kepimpinan terdahulu tetapi seharusnya mampu juga mengeluarkan pemimpin yang hebat yang akan jadi sebutan sepanjang zaman. Ini hanya boleh berlaku kalau masyarakat kita dapat melalui tranformasi minda yang akan berpegang kuat kepada prinsip meritokrasi dan demokrasi yang adil dan bebas.
DIA BUKAN GOYANG... DIA PIANG...
4 hours ago
No comments:
Post a Comment