Tetapi sukar untuk kita memberi jawapan jika melibatkan permainan berpasukan seperti bola sepak.
Semasa pertandingan piala dunia, kita hanya dapat menyaksikan ‘pasukan bola negara’ yang paling handal, tetapi ini tidak bermakna ia merupakan pasukan bola yang paling handal dalam dunia.
Dalam pasukan bola sepak sesuatu negara, tidak semua pemainnya handal-handal belaka. Mungkin separuh saja dari pemain dalam pasukan itu yang betul-betul handal dan bertaraf dunia.
Perkembangan sukan bola sepak yang dapat menarik minat ramai orang, telah mewujudkan banyak syarikat-syarikat atau kelab-kelab bola sepak, terutamanya di Eropah yang mencari keuntungan dengan pertandingan bola sepak di liga masing-masing.
Liga Perdana Inggeris (EPL) adalah salah satu contoh liga yang begitu terkenal dan ramai peminatnya di dunia. Kelab-kelab bola sepak dalam Liga Inggeris ini sentiasa berusaha mencari pemain-pemain yang handal di serata dunia untuk bermain dalam pasukan mereka.
Kelab-kelab bola sepak ini sanggup berhabis berjuta-juta dollar untuk membeli pemain terbaik dunia dan sudah tentu pulangan dari pelaburan ini tidak akan mengeciwakan mereka.
Metamatiknya amat mudah, kelab mana yang sanggup menawarkan harga atau gaji paling mahal, kelab tersebutlah yang akan dapat pemain terbaik dan sudah tentu, peluang untuk pasukan bola dari kelab itu menjadi juara sangat tinggi. Ringkasnya, ada duit semua boleh jadi.
Mengikut logiknya, pasukan bola dari kelab ternama dalam Liga Inggeris ini adalah lebih handal lagi dari pasukan bola yang menjadi juara dalam pertandingan piala dunia, kerana hampir semua pemain yang bermain dalam pasukan kelab bola sepak liga ini adalah terdiri dari pemain-pemain yang terhandal dunia. Dengan kemampuan wang yang ada, kelab-kelab ini telah dapat mengumpulkan semua pemain bola terhandal dunia dalam pasukan bola mereka.
Tidak hairanlah kalau tarikan untuk menonton pertandingan bola sepak liga yang ternama ini lebih lagi dari pertandingan piala dunia.
Kadang-kadang pertandingan piala dunia hanyalah menjadi batu loncatan atau platform kepada kelab-kelab liga bola sepak ini untuk mencari pemain terbaik.
Pemain pasukan Kelab Liverpool bukanlah pemain-pemain tempatan yang tinggal dan bekerja di daerah Liverpool, begitu juga dengan pemain untuk pasukan Kelab Manchester United, mereka juga bukan anak tempatan yang bermastautin di Manchester.
Cuba kita senaraikan pemain Manchester United yang diimpot dari luar negara Britain. John O'Shea dari Ireland, Cristiano Ronaldo dari Portugal, Edwin van der Sar dari Netherlands, Park Ji-Sung dari Korea Selatan, Patrice Evra dari Peranchis, Nemanja Vidić dari Serbia, Nani dari Portugal, Anderson dari Brazil dan Dimitar Berbatov dari Bulgaria. Ini menunjukkan tidak kurang 9 orang dari kesebelasan pemain pasukan Manchester United bukan datang dari Britain.
Penyokong dan peminat Kelab Manchester United sebagai contoh, bukanlah terhad kepada penduduk Bandar Manchester sahaja tetapi terdiri orang ramai dari merata dunia, termasuklah PM Najib sendiri.
Sebaliknya di negara kita Malaysia, pasukan bola sepak Kelantan hanya diminati dan disokong oleh orang Kelantan sahaja.
Kadang-kadang kita seperti menjadi orang yang diperalatkan untuk mereka mencari kekayaan melalui permainan bola sepak. Orang ramai banyak menghabiskan masa menonton permainan bola sepak di depan TV. Kelab bola sepak pula membuat kekayaan dari tiket pertandingan, dari hasil iklan dan bayaran dari media yang mendapat hak menyiarkan pertandingan itu.
Rasanya kita semacam tertipu, kerana setiap kali kita selesai menonton pertandingan akhir yang menentukan juara Liga Perdana Inggeris ini, kita akan bertanya kepada diri kita, betulkah pasukan yang menang itu adalah pasukan bola yang paling handal dalam dunia. Mungkin kalau kombinasi pemain yang berlainan akan memberikan keputusan yang lain pula.
Mungkin jawapan kepada soalan, pasukan bola mana yang paling handal dalam dunia ialah pasukan bola dari kelab yang paling kaya di dunia. Tidak ada ukuran yang betul untuk menentukannya melainkan duit.
Sebaliknya kalau kita tanya soalan, siapakah pemain badminton nombor satu dunia, duit tidak mampu untuk menentukannya.
Walaupun permainan bola dalam pertandingan Liga Perdana Inggeris ini amat hebat dan menarik, tetapi ini tidak menjamin pasukan bola England akan bermain sama hebatnya bila beraksi di piala dunia, kerana bukan semua pemain yang mewakili England di waktu piala dunia itu adalah pemain-pemain yang handal dari kelab mereka.
Walaupun Liga Perdana Inggeris berada di England, tetapi sebenarnya ia tidak ada kena mengena dengan pasukan bola negara England. Kehebatan pasukan bola kelab liga Inggeris tidak ada kaitan dengan England. Hanyalah secara kebetulan Liga Perdana Inggeris berada di tanah England.
Kenapa liga ini mesti berada di Eropah? Alasannya, mungkin atas faktor sejarah, kerana ia berasal atau bermula di England dan di Eropah. Negara-negara di bahagian lain dunia pun ada juga menubuhkan liga bola sepak mereka sendiri termasuklah negara kita. Tetapi malangnya liga kita hanya diminati oleh orang kita saja, tidak pernah dapat menarik perhatian orang luar.
Rasanya tidak adil kalau Liga Inggeris ini terus berada di England, sedangkan ia diminati oleh orang ramai di seluruh pelusuk dunia. Perlulah Liga Inggeris ini dilihat semula dan diberi pendekatan baru yang lebih adil kepada masyarakat dunia.
Mungkin perlu nama Liga Inggeris ini ditukar kepada Liga dunia yang lebih sejagat wajahnya dan tidak semestinya ia berada di England, kalaupun ia perlu berada di England, mestilah juga dapat memberi manafaat kepada masyarakat dunia, tidak terbatas kepada masyarakat di England sahaja.
Mungkin FIFA sebagai badan induk persatuan bola sepak dunia, boleh memikirkan dengan serius perkara ini demi faedah dan kebaikan semua.
Antaranya, perlukah bilangan liga bola sepak dihadkan kepada satu sahaja dalam dunia ini, dan berapakah bilangan kelab yang perlu ada dalam liga tersebut.
No comments:
Post a Comment