Setelah menyedari orang Cina menolak parti kerajaan dengan tidak mengundi parti yang mewakili masyarakat mereka iaitu MCA dan GERAKAN pada tahun pilihanraya 2008, PM Najib telah bertindak mengambil beberapa langkah untuk mengambil hati kaum itu semula.
Tetapi dari keputusan pilihanraya Sarawak baru-baru ini, masih juga menunjukkan aliran pengundian orang Cina yang masih tidak menyokong BN. Prestasi SUPP yang dianggap wakil parti orang Cina Sarawak dilihat tidak memberansangkan. Oleh itu BN dan khususnya PM Najib perlu melihat lebih serius apa sebenarnya yang dikehendaki oleh kaum Cina ini.
Apakah perkara dan tuntutan mereka yang masih tidak dipenuhi oleh parti BN yang memerintah, dan apa pula janji parti Pakatan Rakyat (PR) sehingga mereka lebih cenderung memberikan undi kepada parti tersebut.
Sukar untuk memenuhi permintaan dan memuaskan semua kaum. PM Najib adalah datang dari kaum Melayu, sudah tentu beliau dilihat lebih mengutamakan kaum Melayu, walaupun beliau mungkin tidak pernah bermaksud begitu. Ibarat suami yang kawin dua, biasanya kedua-dua isteri akan mengadu suami mereka tidak berlaku adil terhadap diri mereka.
Itulah masalah yang besar dihadapi oleh pemimpin politik yang berasaskan kaum, sudah terbiasa untuk memperjuangkan kaum sendiri, apabila jadi pemimpin negara, mereka akan terus dilihat masih sebagai mengutamakan kaumnya.
Aktiviti masyarakat Malaysia masih lagi dibahagi-bahagi mengikut kaum. Sebagai contoh golongan peniaga didominasi orang Cina, jabatan kerajaan dipenuhi oleh orang Melayu, pemandu lori dan buruh membina jalanraya pula ramai orang India.
Apabila kerajaan tidak dapat memberi bonus menjelang tahun pilihanraya, orang Melayu akan marah, mereka tak akan undi UMNO pada pilihanraya tahun tersebut.
Apabila polisi kerajaan yang tidak begitu membantu perniagaan berkembang, orang Cina pula akan menolak dan tidak mengundi MCA.
Penolakan mereka ini akan dilihat seperti penolakan oleh suatu kaum, walhal hakikatnya ia hanyalah secara kebetulan sahaja, bukan bersangkut dengan masalah kaum.
Selain dari itu ada juga isu-isu yang khusus menyentuh keperluan agama dan budaya kaum itu sendiri. Contohnya seperti isu sekolah aliran Cina yang dianggap selalu dianaktirikan oleh kerajaaan. Dasar keistimewaan kaum bumiputra juga banyak menyebabkan tidak puas hati di kalangan orang Cina. Kaum bumiputra ada keistimewaan dalam mendapatkan biasiswa pelajaran, tender projek kerajaan dan pemilikan hartanah.
Yang lebih menyebabkan orang Cina tidak puas hati, anak orang Indonesia yang bermastautin di Malaysia secara automatik mendapat taraf bumiputra, sedangkan orang Cina yang sudah tiga generasi lahir di Malaysia tidak pun mendapat taraf bumiputera.
Tidak kenal maka tak cinta. Anak-anak Malaysia menerima pendidikan tadika dan sekolah rendah di sekolah yang berasingan mengikut kaum. Akibatnya mereka tidak dapat berkawan rapat dan sukar untuk memahami antara satu sama lain.
Dapat saya perhatikan, dalam kelas saya mengajar di pusat pengajian tinggi awam, pelajar Cina duduk dalam kelompok yang berasingan dengan pelajar Melayu, mereka seperti minyak dan air yang tidak boleh bercampur. Sampai bila keadaan ini harus berterusan, ini menggambarkan hubungan antara kaum di Malaysia amat longgar.
Saya tidak dapat menerima kalau dikatakan satu kebanggaan kerana Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang mempunyai sekolah mengikut kaum. Kita tidak seharusnya berbangga dengan perkara-perkara yang boleh melebarkan jurang perkauman.
Memang wajar kita memulihara harimau, spesis binatang yang hampir pupus itu, tetapi tidak harus sampai merbahayakan kita atau memusnahkan binatang ternakan kita. Dalam konteks ini, makanan kita adalah lebih penting untuk kesinambungan hidup kita berbanding harimau. Begitulah juga dengan perpaduan, perpaduan yang erat itu lebih penting untuk keutuhan dan kekuatan bangsa dan negara Malaysia.
Oleh itu berpada-padalah dalam hal hendak mengekalkan adat budaya kaum kita. Janganlah sampai kita mengasingkan anak-anak kita bersekolah mengikut kaum kerana hendak belajar bahasa dan budaya kita. Apa masalahnya untuk belajar bahasa dan budaya kita di satu sekolah yang sama?
Pujian harus saya berikan kepada bekas Perdana Menteri Singapore kerana telah mengambil langkah yang berani dengan mengumpulkan anak-anak warga Singapore di satu sekolah. Beliau pemimpin yang berpandangan jauh untuk kebaikan masa depan Singapore. Bilakah agaknya akan muncul pemimpin yang seberani beliau di negara kita Malaysia ini.
Parti DAP di Malaysia semakin mendapat tempat dikalangan masyarakat Cina, sedangkan Parti Kebangsaan Melayu Bersatu Singapura atau parti UMNO Singapore itu pula semakin ditinggalkan oleh orang Melayu Singapore. Mesti ada sebab kedua-dua keadaan yang berlawanan ini berlaku, renung-renungkanlah.
Kalau kita tidak mahu mengambil langkah pertama untuk berubah dari masa sekarang, maka kita akan terus menghadapi keadaan dan masalah yang sama seperti sekarang ini untuk selama-lamanya.
Kita tidak boleh dikhayalkan dengan slogan-slogan indah sahaja, tetapi tidak ada tindakan yang drastik diambil disebalik slogan itu, akhirnya slogan 1Malaysia dan transformasi tinggal sebagai lagu dan bahan kempen politik sahaja.
BAHAYA FITNAH
22 seconds ago
No comments:
Post a Comment