Rakyat akan menerima keputusan pilihanraya dengan rasa puas hati jika pilihanraya itu dijalankan secara adil dan tiada penipuan. Semua pihak hendaklah dibenarkan untuk bersuara tanpa disekat dengan permit atau peraturan-peraturan yang berat sebelah.
Walaupun ramai rakyat Malaysia percaya hantu Kak Limah boleh balik rumah, tetapi mengikut sistem demokrasi, hantu adalah tidak layak untuk mengundi. Oleh itu SPR tidak harus dilihat berpihak, mereka hendaklah bersungguh-sungguh membersihkan senarai nama-nama pengundi yang telah meninggal dunia.
Media perdana milik kerajaan mahupun swasta mesti juga memberi ruang dan peluang kepada semua pihak yang bertanding untuk berkempen atau mendapat liputan yang saksama. Perlu diingat, media perdana bukan milik parti yang memerintah. Pembayar cukai bukan semuanya penyokong parti BN. Harta kerajaan dan sumber kekayaan negara bukan hak milik BN.
Tidaklah adil kalau hanya media swasta yang menyokong parti BN sahaja yang boleh diberikan permit atau lesen penyiaran. Sepatutnya kita rasa malu untuk mengaku sebuah negara demokrasi, sedangkan amalan dan penghayatannya telah jauh tersasar. Kita hanya mengambil rukun-rukun demokrasi yang boleh memenangkan pihak kita sahaja, dan menolak amalan yang boleh menyebabkan kita kalah.
Taib Mahmud yang lebih 30 tahun menjadi Ketua Menteri Sarawak, bukan sahaja telah terlalu lama memerintah Sarawak tetapi beliau juga dikatakan telah memperkayakan diri dan keluargannya hingga ke tahap yang melampau.
Beliau tidak belajar dari Tun Mahathir dan Samy Velu, yang telah dibenci oleh ramai orang kerana terlalu lama menjadi presiden kepada partinya. Benarlah kata orang, orang tidak tahu waktu yang tepat bila dia terlena semasa tidur, pemimpin pula tidak tahu waktu yang tepat bila kuasanya akan hilang.
Sekarang ini negara-negara Arab sedang dilanda gelombang menukar pemimpin yang korup, yang menggunakan kedudukan dan kuasa untuk kemewahan diri dan keluarga.
Pemimpin-pemimpin yang korup ini terus dapat mengekalkan kuasanya dengan cara membelakangkan amalan-amalan demokrasi supaya keputusan pilihanraya dijamin sentiasa berpihak kepada mereka.
Taib Mahmud menuduh parti pembangkang sebagai hantu yang mengacau di Sarawak. Tetapi sedarkah beliau, siapakah sebenarnya yang selama ini menjadi hantu yang menghisap darah rakyat Sarawak? Siapakah yang telah mengambil atau merampas tanah rakyat pribumi dan mengambil balak Sarawak untuk kemewahan diri dan keluarga, bukankah itu sama seperti jembalang tanah dan jembalang rimba?
Bukalah ruang demokrasi seluas-luasnya supaya pilihanraya dapat berjalan dengan adil dan bebas, jauh dari penipuan dan manipulasi. Adalah lebih baik menurunkan Taib Mahmud dari takhtanya melalui saluran demokrasi dari memaksa rakyat Sarawak turun ke jalan-jalan raya untuk menghalaunya seperti yang berlaku di Indonesia, Tunisia, Mesir dan Libya.
Inikah makna pembangunan?
No comments:
Post a Comment