Ketika kita mula masuk alam pekerjaan pada umur awal 20-an, kita rasa banyak lagi masa yang kita ada. Purata hayat umur seorang manusia sekarang lebih kurang 60 ke 70 tahun. Oleh itu, kalau kita sekarang berumur 20-an, bermakna kita ada lagi 40 tahun lagi untuk hidup.
Apabila kita telah mendapat pekerjaan, kita mula memikirkan untuk hidup berkeluarga sendiri, nak ada isteri, nak ada anak, nak ada rumah dan nak ada kereta.
Hari-hari kita memikirkan bagaimana untuk menambah pendapatan. Untuk mendapatkan kehidupan yang selesa, kita perlukan duit. Semua kemudahan hanya diperolehi kalau kita ada duit, lagi banyak duit lagi selesalah hidup kita.
Macam-macam cara yang dilakukan untuk menambah duit, ada yang mengejar pangkat untuk dapat gaji lebih, ada yang buat kerja sambilan, ada yang terlibat dengan jualan langsung dan ada yang berhenti kerja untuk buka bisnes sendiri.
Ada orang kata, Tuhan beri seseorang itu kekayaan dan duit yang banyak adalah untuk menyerlahkan sifat sebenar seseorang itu, samada pemurah atau kedekut. Kalau tidak ada duit macam mana kita tahu dia pemurah atau kedekut. Dia kata dia seorang pemurah, tetapi macamana kita boleh tahu dia pemurah kalau dia memang tak ada duit.
Bila dia ada banyak duit barulah kita tahu dia betul-betul pemurah atau kedekut. Kalau dia pemurah, dia akan banyak menyumbang dan memberi sedekah, tetapi kalau jenis kedekut, dia tetap bakhil dan tidak mahu bersedekah.
Ada juga orang yang terus bekerja keras mengumpul duit dan harta untuk masa depan. Tetapi malangnya, dia tidak pula menetapkan bilakah masa depannya itu, akhirnya dia terlupa dan terus mengumpul harta untuk masa depan yang tidak pernah ditemui.
Dua hari lepas, ketika berjoging saya terserempak dengan Sha’ari (bukan nama sebenar) tengah menyapu sampah daun kering di kawasan rumahnya. Beliau baru saja setahun pencen.
Saya tanyakan kepada beliau kenapa tidak balik kampung selepas bersara. Kerana sudah kebiasaan pada orang-orang dulu, bila sudah pencen mereka akan balik kampung dan menyambung kehidupan di kampung.
Kalau kita perhatikan, umur orang-orang dulu panjang-panjang, ada yang mencecah umur 90 tahun. Masa itu jarang ada orang sakit serangan jantung, jarang ada darah tinggi dan kencing manis. Tidak hairanlah kalau ramai dari mereka ini yang lebih lama makan duit pencen dari makan duit gaji.
Kalau mereka pencen umur 55, maknanya untuk cecah umur 80 tahun ada lagi 25 tahun, banyak lagi masa yang ada sebelum meninggal dunia, dan macam-macam perkara dan aktiviti boleh dilakukan.
Tetapi zaman sekarang, umur manusia dah pendek. Macam-macam penyakit ada. Makan macam-macam, penyakit pun macam-macam. Ada tu tak sempat pencen lagi dah meninggal. Ramai juga yang baru setahun atau dua tahun pencen dah meninggal.
Kadang-kadang untuk meneruskan hidup di kampung selepas pencen seperti tidak berbaloi. Bila balik kampung, kita kena buat rumah baru untuk tinggal di sana. Setelah membina rumah baru di kampung, kita mungkin sempat duduk di rumah itu untuk tempoh kurang 5 tahun saja, sebelum kita meninggal.
Oleh itu, pemikiran lama yang mesti balik kampung selepas pencen perlulah dikikis. Sebaliknya di mana kita telah membina rumah atau membeli rumah semasa kita bekerja, di situ jugalah patutnya kita menghabiskan sisa-sisa kehidupan kita sebelum meninggal.
Kita tidak boleh lagi berangan-angan untuk membuat sesuatu rancangan besar untuk diri kita atau keluarga kita selepas kita bersara, tetapi lakukanlah semasa sekarang dan di masa kita sihat ini.
Berbalik kepada Sha’ari tadi, dia tidak mahu balik kampung selepas bersara kerana tidak ada lagi orang yang rapat dengan beliau yang masih ada di sana, ibubapa dan orang-orang yang lebih tua sudah ramai yang meninggal. Yang tinggal hanyalah di kalangan umur peringkat bawah dan anak muda yang beliau tidak kenal rapat.
Semasa umur 20-an dulu, hampir semua orang kampung yang hadir di masjid kampung itu dikenalinya, tetapi sekarang hanya tok imam dan bilal sahaja yang dia kenal.
Dalam kesibukan kita mencari harta dunia, tak sedar umur sudah hampir sampai ke penghujung. Bila sudah mencecah umur 50, sebenarnya kita tidak mempunyai banyak masa lagi yang ada, tidak seperti ketika umur 20-an dulu yang masih mempunyai banyak masa.
Ketika umur saya baru masuk 40 dulu, ada seorang taukeh Cina yang ketika itu berumur 50-an memberitahu saya, bila dah berumur 50, setiap tahun ada saja perubahan kepada dirinya.
Kita boleh nampak perubahan kepada bayi dan kanak-kanak setiap tahun, tetapi itu perubahan meningkat (semakin tegap dan kuat) tetapi perubahan yang dialami oleh orang yang berumur 50-an ialah perubahan menurun (semakin lemah dan lembab).
Hidup di dunia ini sebenarnya adalah singkat, walaupun kita berat hendak meninggalkan kehidupan dunia ini tetapi apakan daya, tidak ada siapa boleh menolak kadar yang ditentukan Tuhan ini. Seperti bayi yang dalam kandungan ibu, mahu atau tidak, mereka mesti juga keluar bila sudah cukup 9 bulan.
Apa pun, perbanyaklah membuat kebaikan dengan masa yang telah Tuhan peruntukkan kepada kita itu, pasti kita tidak akan rugi.
Dua tahun kerajaan Madani menguak ke depan
2 hours ago
1 comment:
This is awesomme
Post a Comment