Besok (7 Mei 2011) rakyat Singapore akan keluar mengundi dalam pilihanraya umum negara pulau itu. Walaupun pilihanraya pada kali ini parti PAP yang memerintah sejak Singapore berada dalam Malaysia lagi akan menghadapi saingan sengit, tetapi kemenangan sudah dijangka masih kepada parti tersebut.
Tidak ada isu-isu yang besar berlaku di negara itu yang boleh menyebabkan rakyatnya menolak parti PAP. Pemimpin-pemimpin parti PAP bukan terdiri dari orang-orang yang korup dan mengambil rasuah. Mereka mempunyai integriti yang tinggi dan amat bertanggungjawab.
Mungkin telah menjadi aliran sekarang ini, rata-rata penduduk seluruh dunia mahukan demokrasi yang lebih adil dan bebas, rakyat Singapore juga tidak terlepas dari bahang yang melanda dunia ini. Parti PAP yang memerintah Singapore juga terpaksa akur dengan perubahan dan kehendak dunia, telah mempamirkan pendekatan yang lebih demokratik dan lebih telus berbanding pilihanraya-pilihanraya umum sebelum ini.
Ini jelas, dari liputan dari media perdana negara itu, penonjolan parti-parti yang bertanding mendapat layanan yang lebih saksama berbanding sebelum ini. Kita boleh mendengar dari media perdana yang masih dikawal sepenuhnya oleh kerajaan PAP, berita-berita atau bahan-bahan kempen parti pembangkang dan tidak terhad kepada berita parti pemerintah sahaja.
Mungkin ini juga satu langkah bijak yang telah diambil oleh pemimpin Singapore dalam mengimbangi media baru internet yang bebas dan sukar dikawal.
Singapore pernah berada dalam Malaysia pada tahun 1963 tetapi telah dikeluarkan pada tahun 1965 oleh Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia ketika itu bagi menyekat kemaraan Lee Kuan Yew dan parti PAP ke bahagian-bahagian lain di Malaysia.
Lee Kuan Yew bercita-cita besar untuk melebarkan pengaruhnya ke seluruh Malaysia melalui parti PAP yang diasaskan beliau itu. Oleh kerana terdapat beberapa pandangan yang amat berbeza antara Lee Kuan Yew dan pemimpin parti UMNO ketika itu, telah menyebabkan Singapore disingkirkan dari Persekutuan Malaysia.
Lee Kuan Yew mencita-citakan dasar ‘Malaysian Malaysia’, sedangkan UMNO lebih mengutamakan dasar ‘ketuanan Melayu’.
Dasar yang diutarakan oleh Kuan Yew itu memang tidak sesuai dilaksanakan di waktu itu, apatah lagi Tanah Melayu baharu sahaja mencapai kemerdekaannya. Jelas Lee Kuan Yew terlalu gopoh, tanpa memikirkan sesitiviti orang-orang Melayu ketika itu. Lee Kuan Yew memang seorang pemimpin yang berpandangan jauh dan mendahului zamannya.
Sekarang negara kita Malaysia telah lebih 50 tahun merdeka, keadaan telah banyak berubah. Kini konsep ketuanan Melayu bukan sahaja dipertikaikan oleh orang bukan Melayu, malah ramai orang Melayu sendiri pun telah mula tidak dapat menerimanya.
Dalam ajaran agama Islam sendiri sentiasa menekankan konsep keadilan, meritokrasi, tidak assobiah dan tidak boleh melakukan inaya kepada orang lain. Nilai-nilai mulia dalam agama ini dengan sendirinya akan menolak dasar-dasar yang cenderung kepada ‘apartheid’.
Mungkin Lee Kuan Yew dan ramai lagi rakyat Singapore berasa kesal kerana Singapore disingkirkan dari Persekutuan Malaysia. Kepada mereka, Singapore bukan minta merdeka atau berpisah dari Malaysia tetapi pemimpin Malaysia sendiri yang telah menendang Singapore keluar.
Dari segi sosio budaya dan geografi, Semenanjung dan Singapore adalah satu. Kalau Pakatan Rakyat menang dalam pilihanraya umum akan datang ini dan menjadi parti yang memerintah Malaysia, Singapore mungkin akan menimbangkan untuk kembali ke pangkuan Malaysia semula.
Semua orang tahu, parti DAP adalah juga parti PAP versi Malaysia, mereka mempunyai dasar dan fahaman yang sama. Kemasukan Singapore ke dalam Malaysia pada masa akan datang banyak ditentukan oleh sejauh mana pengaruh dan peranan yang dimainkan oleh parti DAP dalam Pakatan Rakyat.
Dua tahun kerajaan Madani menguak ke depan
8 hours ago
No comments:
Post a Comment