Semasa Iran di bawah pemerintahan Shah Iran, tidak pernah
kita dengar kata-kata Syiah itu bahaya, Syiah itu sesat dan Syiah itu terkeluar
dari Islam. Kata-kata atau label ini hanya kita dengar selepas sahaja Khomenei berjaya
menggulingkan Shah Iran dan menamakan Negara itu sebagai Republik Islam Iran.
Walaupun tidak dinafikan ajaran Syiah berbeza dari ajaran
pengikut Ahlul Sunah Waljamaah (Suni), tetapi perbezaan ini hanya
dibesar-besarkan dan dilebih-lebihkan dengan tujuan-tujuan yang tersembunyi.
Kemaraan pengaruh revolusi Iran yang dipimpin oleh Khomenei
sangat dibimbangi oleh Negara-negara Arab di sekelilingnya yang mengamalkan sistem
Raja monarki dan juga Negara-negara Islam sekular yang lain, termasuklah Negara
kita Malaysia.
Semangat perjuangan orang Islam Syiah di Iran telah menjadi
aspirasi dan menyuntik semangat kepada parti-parti politik yang pro Islam di Negara
masing-masing.
Untuk menyekat kemaraan revolusi Islam Iran ini, maka satu
cara yang sangat berkesan ialah dengan memperbesar-besarkan perbezaan antara
Syiah dan Suni, dan melaga-lagakan mereka.
Malah kumpulan Al Arqam yang kemudiannya dikatakan sesat itu
pun juga tidak kurang garangnya menggasak Syiah dan melabel Syiah sebagai
bahaya.
Nabi Muhammad adalah nabi dan rasul terakhir, tidak akan ada
nabi yang akan turun lagi untuk memberitahu kita, kumpulan atau fikrah mana
yang betul dan mana yang sesat. Oleh itu ada baiknya kita berlapang dada kepada
semua fikrah dan kumpulan. Kita masih ada Quran yang masih kekal asli dan
hadis-hadis sahih untuk jadi panduan kita semua.
Quran adalah kitab petunjuk dari Allah. Jalan yang lurus dan
hidayah itu adalah kurnia dari Allah, kita hanya perlu berdoa dan mengikhlaskan
hati kepadaNya. Setiap rakaat solat kita mohon agar kita diberi petunjuk kepada
jalan yang lurus, dan sudah pasti jalan yang lurus itu seperti yang dipandu dan
digariskan oleh Allah melalui kitabNya Quran. Insyallah kalau kita membaca
(memahami) Quran dengan hati yang ikhlas, pasti hati kita akan berat ke arah
jalanNya.
Sebaliknya kalau tidak ada keikhlasan maka hati kita akan
jadi seperti hati orang munafik dan kita akan mentafsir Quran ke arah yang
sesat. Berapa ramai orang yang ada kepentingan telah mentafsirkan ayat-ayat
Quran mengikut kepentingan mereka dan menyesatkan ramai orang.
Tidak dinafikan masyarakat Melayu pada era sebelum tahun
1960 an dulu, banyak melakukan perkara-perkara kurafat dan bidaah. Mereka jadi
begitu bukanlah dengan sengaja atau mahu menolak ajaran Islam yang benar,
tetapi lebih kepada kejahilan. Mereka tidak mudah mendapat sumber Quran yang
ada terjemahan dan guru-guru agama yang arif.
Tetapi setelah ramai anak-anak orang Melayu yang menuntut
ilmu di luar Negara, mereka telah dapat membawa ajaran yang benar tentang agama
Islam. Mereka bukan sahaja telah memberi pencerahan kepada masyarakat, membenteras
amalan kurafat dan bidaah, tetapi juga menghadapi tentangan dari kaum tua.
Tetapi cara mereka menyampaikan dakwah sangat dipuji, berhikmah,
mereka tidak mengambil pendekatan bermusuhan dengan mereka yang mengamalkan
amalan kurafat itu, bukan melabel mereka dengan label sesat atau kafir. Mereka
tahu secara fitrahnya manusia ini cenderung kepada kebenaran, yang menutup
mereka dari melihat kebenaran itu hanyalah disebabkan tidak ada ilmu atau jahil
dan mengikutkan hawa nafsu.
Dengan melabel kumpulan lain sebagai Syiah, Wahabi, sesat,
keluar dari Islam, kafir, hanya akan menjauhkan kita dari mereka dan meletakkan
diri kita sebagai musuh mereka. Membunuh orang yang tidak sealiran dengan kita tidak
akan menyelesaikan masalah.
Yang bathil tidak akan dapat mengalahkan yang benar. Kalau
kita berada di kumpulan yang benar, kenapa harus takut dengan pihak yang
bathil.
Sikap agama manusia ini dari zaman nabi Adam hingga
sekarang, terdedah kepada penyelewengan dan salah pentafsiran, dan kalau
dibiarkan manusia akan menuju kepada syirik dan kesesatan. Sebab itu manusia
ini harus diperingatkan dengan ajaran yang benar secara berterusan. Kayu ukur
kebenaran itu adalah Quran dan hadis yang sahih. Tidak siapa yang mahu sesat,
semua mahu mencari kebenaran, semua mahu agama yang benar. Dengan ilmu sahaja
kebenaran itu akan tersingkap.
Semasa Nabi Muhammad menyampaikan dakwahnya di Taif, baginda
dibaling dengan batu. Penolakan mereka itu adalah disebabkan mereka itu jahil
dan tidak tahu, dan Nabi sangat tahu akan perkara ini, baginda tidak marah dan
tidak ada rasa dendam terhadap mereka. Tidak mahukah kita ambil pelajaran dari
peristiwa Nabi di Taif ini? Kenapa kita sangat benci kepada kumpulan yang tidak
sealiran dengan kita, malah kadang-kadang melebihi benci kita kepada musuh
Islam sendiri.
1 comment:
Very interesting article, I really enjoyed every article of this blog, and I learned a lot from here. Thank you for sharing with us. Visit my blog dofollow auto approve http://backlinkpr1.co.vu.
Post a Comment