Monday, April 15, 2013
DAP, PAS dan PKR jangan mendabik dada mengatakan rakyat menyokong parti kamu.
Tuesday, January 25, 2011
Boleh 'demam' kalau tengok video ni
Saksikanlah sendiri di sini (klik).
Boleh demam yob.
Monday, December 13, 2010
Wikileaks, dua-dua sudah kena.
Membabi-buta kerana Najib dan Anwar
Wikileaks mendedahkan pegawai-pegawai perisikan Singapura dan Australia percaya bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim "masuk perangkap seks" (lihat Malaysiakini 12/12/10 "Wikileaks: Anwar 'masuk perangkap seks', kata LKY"). Wikileaks juga mendedahkan bahawa pegawai-pegawai perisikan Singapura percaya bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak ada pilihan melainkan terus berkuasa untuk mengelakkan pendakwaan ke atas dirinya berikutan pembunuhan Altantuya Shaariibuu. Bagi mereka, nasib politik Najib terus dihantui oleh skandal pembunuhan itu. Najib juga digambarkan sebagai oportunis yang tak ragu-ragu serta sanggup menjadi lalang (lihat The Age 12/12/10 "Top Singapore officials trash the neighbours").
Ada yang mempercayai pendedahan mengenai Anwar dan tidak mahu percaya pendedahan mengenai Najib. Ada yang mempercayai pendedahan mengenai Najib dan tidak mahu percaya pendedahan mengenai Anwar. Ada yang percaya kedua-duanya. Dan, barangkali ramai juga yang tak percaya kedua-duanya. Terpulang. Itu pilihan masing-masing.
Di pihak Anwar, mahkamah kelihatan berusaha bersungguh-sungguh untuk membuktikan beliau terlibat dalam salah laku seks. Di pihak Najib pula, terlalu ramai yang mendakwa bahawa mereka melihat dengan amat jelas bahawa proses pendakwaan negara ini berusaha bersungguh-sungguh dan habis-habisan untuk tidak mengaitkan Najib dengan pembunuhan Altantuya. Tahniah, Datuk Seri. Beruntung sungguh Datuk Seri.
Apa yang nyata, orang hadapan atau front man di kedua-dua pihak, samada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat, dilihat terpalit dengan skandal. Mereka mungkin bersih, tetapi ramai yang tidak melihat mereka bersih.
Tetapi bagi saya, yang lebih tidak bersih ialah orang-orang yang 'asabiyyah dengan kedua-dua pemimpin itu yang membela mereka membabi-buta. Beberapa pengunjung dalam blog ini selalu menyifatkan saya menuduh Najib membabi-buta.
Najib tak terlibat dengan kes Altantuya, kata mereka. Najib tak sapu duit dalam pembelian Sukhoi dan Scorpene. Najib bersih sebersih-bersihnya dari apa jua yang dituduh kepadanya. Macam la mereka maha mengetahui seperti Allah s.w.t. Mereka tidak sedar bahawa mereka juga membela Najib membabi-buta.
Setakat yang terbaik yang saya dapat ingat, saya tidak tuduh. Saya hanya membangkitkan persoalan. Membangkitkan persoalan bukan menuduh. Kalau persoalan dijawab dengan baik dan meyakinkan tanpa sebarang keraguan, tentulah saya akan melihat Najib bersih. Setakat ini, saya belum mendengar jawapan seperti itu.
Saya membaca jawapan Najib di Parlimen, di dalam ucapan terbukanya dan saya juga membaca ayat-ayat mirip pembelaan dari isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor serta pembelaan berapi-api dan gila-gila pak yet-pak yet mereka. Semuanya menambahkan persoalan dan pertanyaan. Saya tidak boleh memaksa hati saya supaya jangan ada rasa tak percaya. Tak upaya saya.
Dalam masa yang sama, saya juga tertanya-tanya, mengapa Anwar dan PKR (lihat Malaysiakini 12/12/10 "PKR terkejut 'konspirasi' Singapura terhadap Anwar") tidak memberi jawapan yang lebih baik dari jawapan Najib, Rosmah dan pak yet-pak yet mereka ketika membela Perdana Menteri yang dilihat penuh baggage itu? Adakah Anwar dan PKR tak tahu bahawa Najib tidak dipandang bersih kerana kegagalan teruk beliau, isterinya serta pak-pakyet mereka memberikan jawapan yang baik dan meyakinkan tanpa sebarang keraguan?
Moral dari artikel ini: Tanpa melampaui keraguan yang munasabah, makamah Negara ini telah menjadi tunggangan pemimpin yang berkuasa.
Saturday, November 27, 2010
UMNO pukul habis PKR

PKR amnya dan yang lebih penting lagi Anwar Ibrahim khususnya telah memberi tamparan hebat kepada UMNO sejak tahun 1998.
Kalau sebelum itu UMNO boleh ‘berbulan madu’ tanpa ada rasa gusar di setiap pilihanraya, tetapi segalanya telah berubah bila Anwar Ibrahim mengangkat bendera ‘lawan tetap lawan’ terhadap UMNO.
Dengan pidato-pidato bernas dan panasnya, Anwar Ibrahim yang didokong oleh ramai pengikutnya yang setia telah menyedarkan dan mencelikkan politik orang-orang Melayu, apatah lagi beliau mengetahui banyak rahasia UMNO kerana pernah menjadi pemimpin tertinggi UMNO satu masa dulu.
UMNO telah mencari berbagai jalan bagi memenangi semula hati rakyat agar mereka kembali menyokong UMNO seperti sebelum tahun 1998 dulu, tetapi masih terlalu ‘perlahan’ dari yang diharapkan.
Berbagai-bagai peruntukan telah diumumkan, beratus projek sudah disogokkan oleh PM Najib kepada rakyat. Sejak Mac 2008 saja sudah 13 kali pilihanraya kecil (PRK) diadakan, setiap satu PRK itu berpuluh-puluhlah projek yang UMNO janjikan selain dari projek-projek ‘mee segera’ untuk meraih undi rakyat di kawasan tersebut.
Tidak hairanlah kalau Presiden PKR Wan Azizah dalam satu ucapannya, mendakwa kerajaan UMNO telah mengeringkan wang Felda dan wang Petronas. Nampaknya UMNO telah nekad, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.
Jangan jadi macam bekas Menteri Besar Selangor Khir Toyo yang menyesal tak sudah itu. Menyesal kerana tidak mengeringkan wang simpanan kerajaan Selangor yang telah terkumpul sebanyak empat billion ringgit. Manalah dia sangka Selangor boleh terlepas kepada Pakatan Rakyat.
Dengan itu UMNO telah menjadi sangat marah kepada PKR dan Anwar Ibrahim. Dicarilah segala jalan untuk menghancurkan PKR dan Anwar. Bermacam-macam cara telah UMNO lakukan. Boleh dikatakan, hari-hari ada saja berita yang memburuk-burukkan PKR dan Anwar dalam TV3 dan Utusan Malaysia.
Kesalahan dan kesilapan yang kecil atau masalah yang remeh, mereka besar-besarkan agar PKR dan Anwar dilihat jahat dan buruk oleh orang ramai.
PKR dan Anwar betul-betul jadi pengacau dan menyusahkan hidup UMNO, mereka tidak boleh lagi hidup senang dan jadi kaya raya dengan hanya makan duit komisyen dan hasil permit. Mereka juga tidak lagi mudah nak ambil duit rasuah walaupun untuk kegunaan parti. Semuanya akan ditanya dan disoal.
Tetapi nasib baik SPRM, peguam Negara dan makamah masih ‘dikuasai’ oleh pemimpin UMNO, bolehlah mereka rasa selamat sedikit, itupun kena baik dengan PM Najib.
Jalan yang paling selamat untuk UMNO untuk terus mengekalkan kuasa ialah dengan memukul habis-habisan PKR dan Anwar hingga hancur.
Dengan berniat jahat, UMNO begitu bersungguh-sungguh mengaitkan Anwar Ibrahim sebagai talibarut Amerika apabila pemimpin negara itu membela Anwar, sebaliknya tidak pernah pula terpacul dari mulut mereka untuk menuduh Aung San Suu Kyi sebagai talibarut Amerika bila pemimpin negara itu membela Aung San Suu Kyi.
Wednesday, November 24, 2010
Parti politik baru Datuk Zaid Ibrahim
Orang Melayu di bawah pimpinan Datuk Onn Jaafar melihat gagasan Malayan Union telah menghakis kuasa politik orang Melayu dan merendahkan kedudukan Raja-raja Melayu yang menjadi payung kepada orang-orang Melayu ketika itu.
Orang-orang Melayu telah menunjukkan kesatuannya di bawah satu wadah yang dinamakan UMNO bagi menentang Malayan Union.
Malayan Union adalah merupakan titik tolak penubuhan entiti politik Melayu yang dinamakan UMNO.
Peranan UMNO tidak berhenti setelah Malayan Union berjaya dimansuhkan tetapi pemimpin-pemimpinnya terus mengemudi UMNO sebagai wadah untuk menuntut kemerdekaan Tanah Melayu dari penjajahan British.
Oleh kerana kebanyakan negara-negara Asia ketika itu di ambang menuntut kemerdekaan dari penjajah-penjajah barat, pemimpin-pemimpin UMNO juga tidak melepaskan peluang ini untuk menggerakkan UMNO kepada agenda yang lebih besar iaitu menuntut kemerdekaan. Dari slogan ‘hidup Melayu’ telah bertukar kepada slogan ‘merdeka’.
Untuk menubuhkan suatu parti politik yang baru memerlukan satu isu yang besar yang mampu menarik perhatian seluruh rakyat jelata, seperti penubuhan UMNO adalah ekoran isu besar Malayan Union.
Isu Anwar Ibrahim pada tahun 1998 juga adalah satu isu besar yang telah menarik perhatian rakyat negara ini, malah juga diikuti dengan penuh minat oleh dunia luar.
Isu Anwar Ibrahim telah dikaitkan dengan tempangnya sistem keadilan negara kita. Makamah dan polis telah dihidu oleh rakyat menjadi tunggangan politik pemimpin yang berkuasa. Badan pencegah rasuah telah dijadikan seperti senjata politik dengan melakukan pendakwaan berpilih-pilih.
Bukan sahaja rakyat yang berpendidikan tinggi dapat menilai bagaimana makamah dan polis telah diperkudakan untuk tujuan politik, malah orang yang tinggal di ceruk kampung pun sedar akan hal ini.
Ini bukan soal Anwar bersalah atau tidak, tetapi lebih kepada soal jentera dan alat kerajaan yang telah disalah gunakan oleh pihak yang berkuasa untuk kepentingan agenda politik mereka.
Permintaan kepada sistem makamah yang adil dan polis yang bebas sangat mendesak ketika itu. Ramai rakyat melihat perlunya reformasi kepada sistem makamah dan penguatkuasa negara ini dilakukan. Bagi memenuhi kehendak rakyat itu, tertubuhlah satu entiti politik yang dinamakan Parti Keadilan (ADIL).
Bersama-sama parti pembangkang yang lain, terutamanya PAS dan DAP, Parti Keadilan telah menganjurkan banyak demontrasi jalanan atas slogan reformasi.
Kesan dari asakan bertubi-tubi demontrasi jalanan ini telah membawa pengunduran Tun Mahathir dari tampuk kuasa dan berkesudahan dengan pembebasan Anwar Ibrahim dari penjara oleh PM Pak Lah yang menggantikan Tun Mahathir.
Pembebasan Anwar Ibrahim telah melegakan orang ramai yang bersimpati dengannya, selepas Anwar dibebaskan, parti Keadilan terus memainkan peranannya sebagai ‘check and balance’kepada kerajaan yang memerintah, terutamanya dalam menentukan urus tadbir negara yang baik. Teguran dan kritikan terus dilemparkan kepada kredibiliti badan-badan penguat kuasa seperti polis dan pencegahan rasuah.
Dalam masa yang sama, Zaid Ibrahim adalah ahli politik yang berpengaruh dalam parti UMNO bercita-cita besar untuk melakukan reformasi kepada amalan demokrasi dan urus tadbir yang baik. Peluang yang diberikan oleh PM Pak Lah kepada Zaid Ibrahim untuk menyertai kabinetnya bagaikan pucuk dicita ulam mendatang. Pak Lah telah memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Zaid untuk melakukan reformasi terutamanya dalam badan kehakiman, perundangan dan badan penguat kuasa seperti polis dan pencegahan rasuah.
Malangnya Zaid Ibrahim yang terlalu idealistik itu tidak dapat diterima oleh rakan-rakan dalam UMNO, terutamanya bila Zaid menentang dan berhasrat untuk menghapuskan ISA. Zaid rasa keciwa dengan sikap pemimpin-pemimpin UMNO yang tidak mahu menyokong agenda beliau. Akhirnya Zaid Ibrahim dipecat dari UMNO dan beliau mengambil keputusan untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) setelah beliau yakin dapat memperjuangkan cita-citanya secara lebih berkesan melalui parti politik tersebut.
Bila berada dalam PKR, sekali lagi Zaid keciwa, apa yang beliau lihat hanyalah indah khabar dari rupa. Tidak seperti ahli-ahli reformasi yang lain, Zaid tidak mahu parti PKR sekadar untuk membela Anwar Ibrahim tetapi mahu ia menjadi parti yang beragenda lebih besar terutama dalam melakukan reformasi kepada amalan demokrasi yang bebas, adil dan telus, mahu melihat Negara diurus tadbir dengan baik, yang mengutamakan integriti, badan perundangan dan makamah yang bebas dari menjadi tunggangan pemimpin politik. Juga mahukan badan penguatkuasa yang bebas dan adil.
Selepas keluar dari PKR, mampukah Zaid meraih simpati rakyat Malaysia untuk menyertai parti baru yang bakal beliau tubuhkan nanti? Saya tidak yakin ramai orang akan menyertai parti politik Zaid, kerana parti baru hanya akan mendapat tarikan ramai jika ada isu yang besar seperti isu Malayan Union dan isu Anwar Ibrahim.
Isu Zaid dipecat dan keluar PKR bukanlah isu yang besar, walaupun Zaid mempunyai agenda yang besar yang patut disokong, tetapi ia tidak cukup untuk menarik ramai orang untuk menyertai parti baru yang bakal beliau tubuhkan itu.
Zaid keciwa kerana parti PKR ditadbir secara tidak tersusun dan lemah. Zaid mendakwa cara pemilihan dalam PKR tidak bersih dan membelakangkan amalan demokrasi tulen dan tidak ada integriti.
Mungkin benar dakwaan Zaid itu, tetapi kita kena ingat, orang menjadi baik bukan disebabkan masuk parti. Sekalipun Zaid ingin menubuhkan parti politiknya sendiri untuk mengelakkan perkara kotor ini berlaku, tetapi bolehkah beliau pastikan semua ahli partinya akan jadi baik macam dia juga?
Sepatutnya Zaid perlu bersama pemimpin lain memperbaiki parti PKR supaya betul-betul menjadi parti impian setiap rakyat Malaysia, bukan dengan memencilkan diri sehingga tidak mampu untuk mengubah apa-apa.
Sunday, November 14, 2010
PKR, parti cantik, dikuasai oleh orang tolol
Kehadiran Parti PKR seperti menjanjikan harapan baru kepada rakyat Malaysia. Tetapi dengan perkembangan mutakhir yang melanda parti itu, kelihatan ia seperti indah khabar dari rupa.
Semasa zaman kemuncaknya pada tahun 1998, bilangan ahlinya memang ramai, di masa itu ramai rakyat Malaysia telah menjadi ahli parti PKR bagi menunjukkan sokongan mereka kepada DS Anwar Ibrahim di atas pemecatannya dari kerajaan dan UMNO, dan juga dihukum penjara yang bermotifkan politik.
Ahli-ahli reformasi yang giat mengadakan demonstrasi bagi membebaskan Anwar Ibrahim dari penjara rasa begitu gembira apabila beliau dibebaskan oleh Pak Lah yang mengambil alih jawatan PM dari Tun Mahathir.
Selepas itu, walaupun terus menyokong PKR, ramai ahli-ahli reformasi tidak lagi aktif dengan kegiatan parti PKR dan keahlian mereka dengan sendirinya terbatal setelah tidak lagi membayar yuran keahlian.
Akhirnya yang terus tinggal aktif dalam PKR, kebanyakannya hanyalah orang-orang yang berminat dengan politik bagi mendapat jawatan, kuasa dan kepentingan diri sahaja.
Tidak keterlaluan kalau dikatakan, PKR hari ini bukanlah lagi dikendalikan oleh ahli-ahli reformasi yang telah berjuang dengan ikhlas bagi menegakkan keadilan, tanpa mengharapkan apa-apa habuan dan balasan.
Tidak hairanlah kalau dalam parti PKR hari ini seperti yang didakwa oleh Datuk Zaid Ibrahim, penuh dengan penipuan, permainan kotor, tidak telus dan langsung tidak mencerminkan perjuangan sebenar parti tersebut.
Parti PKR telah dikuasai oleh orang-orang ‘tolol’ yang gilakan jawatan, kuasa dan mencari kepentingan diri.
Mungkin mereka inilah juga yang dimaksudkan oleh saudara Zulkifli Nordin (ahli PKR yang dipecat) sebagai Napoleon Kecil, membelakangkan amalan demokrasi tulen demi menjayakan agenda peribadi mereka.
Mereka merasakan, dengan menggunakan taktik kotor dan penipuan, mereka boleh menang dalam pemilihan pusat PKR. Tetapi mereka lupa, tindakan mereka itu amat menjijikan, dan akan menyebabkan orang ramai menjauhkan diri dari terus memberi sokongan kepada parti PKR.
Buat apalah mereka berasa bangga kerana menang besar dalam pemilihan parti PKR, tetapi parti PKR menjadi lemah kerana tidak mendapat sokongan orang ramai.
Kalau dalam menguruskan parti pun mereka tidak mempunyai integriti, tidak bersih, tidak bebas, tidak telus dan tidak adil, bolehkah kita meletakkan harapan kepada mereka untuk memimpin Malaysia lebih baik dari pemerintahan yang ada sekarang?
Tuesday, March 09, 2010
Zulkifli Nordin, kehilangan besar kepada PKR

Parti yang membawa nama ‘Keadilan’ sepatutnya mengalu-alukan orang seperti Zulkifli Nordin ini, tetapi amat mengeciwakan kerana parti ini juga yang memecat dan menendang beliau keluar.
Kita tidak terkilan jika ada ahli parti PKR yang hendak keluar dan melompat ke parti lain kerana merasakan mereka tidak lagi sehaluan dengan perjuangan parti. Tetapi memecat ahli parti boleh memberi gambaran parti itu tidak demokratik.
Kalau PKR dan PR benar-benar mahu memperjuangkan kemurnian demokrasi, tentunya pandangan yang berbeza seperti YB Zulkifli Nordin ini bukan merupakan masalah kepada parti itu, sebaliknya ia dilihat sebagai amalan yang sihat dalam demokrasi dan parti.
Itulah hak yang telah dijamin oleh sistem demokrasi, dimana setiap orang berhak dan bebas memberi pendapat selagi tidak menyalahi undang-undang dan perlembagaan Negara.
PKR dan PR tidak boleh terikut-ikut dengan cara UMNO dan BN. UMNO dan BN melihat pendapat yang berbeza sebagai ancaman kepada parti, mereka yang berbeza pendapat dengan pemimpin parti akan mengalami nasib disingkir dan dicantas.
Pada satu masa dulu sayap pemuda UMNO terkenal mempunyai pandangan yang sangat berbeza dengan pemimpin parti. Inilah yang menjadikan UMNO kuat dan dipandang tinggi ketika itu, mereka telah meraikan perbezaan pendapat. Tetapi kemudian keadaan itu tidak berlaku lagi dalam UMNO, selepas itu perbezaan pendapat berakhir dengan perpecahan, penyingkiran dan penubuhan parti baru.
PKR dan PR harus ada keunikan tersendiri, tidak harus mengikut UMNO dan BN dalam segala tindakan. Pendapat Zulkifli Nordin belum tentu betul, tetapi kita tidak boleh menghalang beliau dan orang lain dalam memberi pendapat mereka. Inilah perjuangan yang perlu ditegakkan oleh PR dan PKR, menjadikan rukun demokrasi benar-benar diamalkan di Malaysia.
Semasa DSAI diinaya oleh Firaun Besar pada masa dulu, Zulkifli Nordin dengan lantang dan berani bersama rakan-rakan yang lain menunjukkan sikap penentangannya kepada Firaun Besar semata-mata untuk menegakkan keadilan.
Oleh itu kita harus memberi peluang kepada orang seperti Zulkifli Nordin ini untuk terus berada dalam parti PKR, yang akan memperkukuhkan amalan ‘check and balance’ dalam parti itu sendiri.
Kita tidak boleh membiarkan parti PKR terus dikuasai oleh Firaun-firaun Kecil yang bernafsu tinggi untuk berkuasa dengan mengamalkan cara yang kotor, autokratik dan tidak demokratik.
Parti PKR tidak boleh membiarkan Firaun-firaun Kecil yang ada dalam parti PKR bagi menentukan samada pandangan dan tindakan saudara Zulkifli Nordin itu betul atau tidak, sebaliknya harus diserahkanlah kepada ahli-ahli parti dan orang ramai yang menentukan nasibnya, kerana di akhirnya orang ramai juga yang akan membuat pilihan.
Saya melihat pemecatan Zulkifli Nordin adalah satu kerugian besar kepada Parti Keadilan Rakyat.
Wednesday, January 27, 2010
Zulkifli Nordin mempunyai hak

Kalau PKR dan PR benar-benar mahu memperjuangkan kemurniaan demokrasi, tentunya pandangan yang berbeza seperti YB Zulkifli Nordin ini bukan merupakan masalah kepada parti itu, sebaliknya ia dilihat sebagai amalan yang sihat dalam demokrasi dan parti.
PKR dan PR tidak boleh terikut-ikut dengan cara UMNO dan BN. UMNO dan BN melihat pendapat yang berbeza sebagai ancaman kepada parti, mereka yang berbeza pendapat dengan pemimpin parti akan mengalami nasib disingkir dan dicantas.
Pada satu masa dulu sayap pemuda UMNO terkenal mempunyai pandangan yang sangat berbeza dengan pemimpin parti. Inilah yang menjadikan UMNO kuat dan dipandang tinggi ketika itu, mereka telah meraikan perbezaan pendapat. Tetapi kemudian keadaan itu tidak berlaku lagi dalam UMNO, selepas itu perbezaan pendapat berakhir dengan perpecahan, penyingkiran dan penubuhan parti baru.
PKR dan PR harus ada keunikan tersendiri, tidak harus mengikut UMNO dan BN dalam segala tindakan. Pendapat Zulkifli Nordin belum tentu betul, tetapi kita tidak boleh menghalang beliau dan orang lain dalam memberi pendapat mereka. Inilah perjuangan yang perlu ditegakkan oleh PR dan PKR, menjadikan rukun demokrasi benar-benar diamalkan di Malaysia.
Walaupun Zulkifli Nordin nampak seperti membebankan PKR, tetapi PKR tidak patut bertindak terikut-ikut seperti cara UMNO yang selalu menyekat peluang ahli-ahlinya melahirkan pendapat yang berbeza. Kalau PKR dan PR mahu memperjuangkan kemurnian demokrasi, mereka harus memberi ruang untuk berhujah dan memberi pendapat seluas-luasnya kepada siapa jua.
Inilah keunikan yang harus ada pada PR. Kalau tidak, apa bezanya dengan UMNO dan BN. Keunikan inilah yang akan membuatkan orang ramai berasa selesa berada dalam PKR dan PR, kerana mereka bebas dapat memberi pandangan dan pendapat, tanpa bimbang dari dicantas dan disingkir.
Samada pandangan dan tindakan beliau itu betul atau tidak, serahkanlah kepada ahli-ahli parti dan orang ramai yang menentukan nasibnya, kerana di akhirnya orang ramai juga yang akan membuat pilihan.
Sunday, October 25, 2009
Parti mana yang menjadi parti tunjang PR?
Oleh itu sebagai parti tunjang dalam BN, UMNO banyak mencorakkan halatuju dan polisi BN dalam mentadbir Negara ini. Parti-parti komponen yang lain seperti MCA, MIC, Gerakan, PPP, hanya boleh memberi pandangan, usul, teguran, kritikan atau menyuarakan kehendak parti-parti mereka tetapi keputusan akhirnya akan tertakluk kepada UMNO juga.
Ada permintaan parti-parti komponen ini dilayan dengan baik tetapi ada juga permintaan mereka yang tidak dapat dilayan bila permintaan itu bercanggah dengan kepentingan UMNO, orang Melayu dan agama Islam.
Sering juga berlaku desakan dan kritikan dari parti-parti komponen ini disalurkan kepada media apabila ada kesukaran untuk dibincangkan secara rundingan terutamanya dalam menyentuh isu-isu yang sensitif.
Selalunya parti-parti komponen dalam BN akan akur kepada kehendak UMNO tanpa banyak menimbulkan masalah. Sebagai balasan UMNO akan sentiasa memberi sokongan yang kuat kepada parti-parti komponen ini pada setiap kali mereka menyertai pilihanraya, dan UMNO pula tidak lokek untuk memberi laluan kepada sesetengah parti komponenya yang lain walaupun parti UMNO layak untuk bertanding di kawasan itu.
Konsep perkongsian kuasa dalam BN yang selalu dibanggakan oleh UMNO itu bukanlah seindah sebutannya. Secara amalannya parti UMNO terus menjadi penentu hitam putih utama dalam BN.
Memang kerap berlaku 'tarik tali' kuasa antara parti-parti komponen dalam BN tetapi akhirnya mereka terpaksa akur untuk memberi kelebihan kepada UMNO.
Tentu keadaan akan menjadi sukar kalau dalam BN tidak ada parti peneraju seperti UMNO, kerana semua parti komponen dalam BN adalah memperjuangkan agenda kelompok dan kaum masing-masing yang berbeza impian dan aspirasi. Mustahil impian mereka dapat disatukan.
Malah tidak keterlaluan kalau dikatakan 1Malaysia yang diutarakan oleh PM Najib itu hanyalah merupakan 1Malaysia versi UMNO.
Pakatan Rakyat
Parti manakah yang menjadi parti tunjang dalam Pakatan Rakyat pula? Inilah masalah utama dalam Pakatan Rakyat, tidak ada parti yang boleh dilihat sebagai parti yang boleh menjadi parti peneraju dalam pakatan Rakyat.
Yang kita nampak dalam PR hanya ada parti yang menjadi ‘orang tengah’ iaitu parti PKR. PKR selalu menjadi orang tengah kepada hubungan antara dua parti yang ekstrim iaitu PAS dan DAP. PAS dilihat sebagai sebuah parti yang ekstrim kepada agama manakala DAP pula dilihat ekstrim kepada satu kaum.
Melainkan kalau PKR dapat mengambil peranan sebagai parti peneraju dalam PR barulah PR boleh menjadi entiti politik yang kuat dan disegani.
Kalau di Amerika Syarikat mahupun di United Kingdom, mereka tidak ada parti-parti komponen dalam parti politik utama mereka. Sepatutnya Negara kita juga harus menuju kearah yang sama.
Sebagai contoh, di Amerika Syarikat ada dua parti politik utama yang bersaing iaitu Democrat dan Republican. Tidak ada parti komponen di bawah Democrat mahupun Republican. Kalau di UK, juga ada dua parti politik yang bersaing iaitu Conservative dan Labour.
Langkah pergabungan parti Keadilan dan parti Sosialis Rakyat Malaysia yang membentuk parti PKR satu masa dulu adalah satu langkah yang amat baik dan harus dipuji dalam menuju pembentukan satu parti politik utama dalam Negara.
Apabila Negara kita wujud dua parti politik utama dalam persaingan, barulah 1Malaysia yang benar-benar menepati aspirasi rakyat Malaysia dapat direalisasikan.
Sunday, October 18, 2009
Bagan Pinang, Kekalahan PAS sudah diduga
Kekalahan ini boleh dilihat sebagai petanda pengundi di Bagan Pinang khususnya dan di Negeri Sembilan amnya tidak dapat menerima parti PAS.
Kalau tidak menang pun, tentunya kekalahan ini tidaklah teruk sangat kalau PAS dari awal mengambil langkah memberi laluan kepada calon dari parti PKR bagi mewakili Pakatan Rakyat untuk menjadi calon di sana.
Negeri Sembilan, Melaka dan Johor memang terkenal sebagai kubu UMNO yang kuat. Kebanyakan orang Melayu di negeri-negeri ini memang tidak boleh terima parti PAS langsung.
Malah pernah berlaku di mana ahli PAS yang cuba membawa masuk pengaruh PAS di sesetengah kampung di Johor pernah dihalau dan ditolak mentah-mentah oleh orang kampung.
Kalau di Kelantan keadaan seperti itu tidak akan berlaku, mereka begitu faham bahawa UMNO dan PAS adalah parti-parti politik dalam negara demokrasi, siapa pun boleh menyokong mana-mana parti yang mereka suka.
Kalau orang Melayu di Johor sendiri pun susah hendak menerima PAS, apa lagilah dengan orang-orang bukan Melayu di sana.
Janganlah sebab berjaya menubuhkan cawangan di sesuatu kawasan di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dengan beberapa ratus ahli sudah mendabik dada mereka layak meletakkan calon mereka bagi mewakili Pakatan Rakyat. Yang akan mengundi bukan ahli-ahli parti sahaja tetapi adalah semua penduduk yang layak mengundi di kawasan itu yang jumlahnya jauh lebih besar dari bilangan ahli-ahli yang ada di situ.
Oleh itu PAS jangan jadi parti terlebih perasan. PAS mesti bersikap berpijak di bumi nyata, tidak hanya mementingkan diri sendiri sahaja. Apalah guna meletakkan calun-calun PAS di negeri-negeri tersebut tetapi akan menyumbang semua kekalahan kepada PR.
Kita kena lihat juga sentimen masyarakat setempat dalam meletakkan calon untuk parti kita bertanding. Kalau negeri itu tidak boleh terima parti PAS maka berilah laluan kepada parti komponen yang lain seperti PKR.
Meletakkan calon dari PKR mewakili PR di negeri-negeri yang dikenali sebagai kubu kuat UMNO iaitu di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor bukanlah bermakna ada jaminan PR boleh menang, tetapi sekurang-kurangnya ia lebih realistik dan tidaklah PR dimalukan dengan kalah begitu teruk sekali.
Adalah wajar jika sesuatu parti itu tidak dapat mengekalkan prestasinya seperti yang berlaku di PRK di Bagan Pinang baru-baru ini, memberi laluan dan peluang kepada parti komponen yang lain untuk bertanding pula.
Sunday, August 09, 2009
Gagasan PR lebih memenuhi aspirasi rakyat satu Malaysia
Semalam Di Kangar
Saya telah dijemput oleh Sdr Johari Shafie dan badan perhubungan Parti Keadilan Rakyat Perlis untuk berceramah di Kangar pada malam semalam (8 Ogos). Apa yang menarik hati saya adalah minat dan semangat yang ditunjukkan oleh KeADILan Perlis, walau pun setakat ini belum memenangi sebarang kerusi dan kini sedang dalam proses untuk menambah jumlah ahli.
Saya gembira melihat kesungguhan dan komitmen. Saya juga berkesempatan berkenalan dengan Sdr Firdaus, seorang anak muda dari Pulau Pinang yang aktif dan berminat dalam politik. Memang cabaran besar dan tidak mudah bagi KeADILan untuk mencari pengaruh dalam masa yang singkat. Tetapi saya melihat bahawa KeADILan semakin bertapak di hati rakyat hari demi sehari. Itulah masa depan KeADILan kerana daya tarikannya adalah “keadilan”.
Bukan sahaja di Perlis tetapi di mana-mana juga, rakyat khususnya orang Melayu yang berkelayakan dan berpengalaman sudah “masak” benar dengan UMNO yang semakin celaru. Mereka yang sedar sudah sedia untuk berhijrah mencari wadah perjuangan yang lebih sesuai untuk semua; malah lebih baik dari UMNO dalam menjamin hak dan kepentingan orang Melayu. Melayu dan bukan Melayu di bandar dan luar bandar kini menaruh harapan supaya KeADILan dapat memperjuangkan dasar yang konkrit dan bernas.
Malam saya di Kangar, saya berucap ringkas mengenai betapa mustahaknya kita mengutamakan isu-isu penting dalam mengukuhkan KeADILan di samping menjayakan Pakatan Rakyat. Dalam politik, memang tak boleh dielakkan, akan ada bermacam isu dan karenah pemimpin serta ahlinya. Kalau tak berhati-hati, kita boleh tenggelam dek kekalutan menyelesaikan tomahan, kehendak dan desakan pihak-pihak yang tidak berpuas hati. Dalam keadaan yang kalut ini, kita sering lupa perkara-perkara yang mustahak serta perjuangan pokok kita. Bagi saya, itu cara yang merugikan.
Saya mencadangkan supaya kita semua dalam Pakatan Rakyat menentukan focus kita dan mengenal pasti perkara-perkara pokok yang boleh dan patut dipersetujui bersama. Sesudah itu kita gubal dasar dan perancangan yang akan kita laksanakan apabila diberi mandate oleh rakyat untuk mentadbir negara nanti. Dengan cara ini rakyat boleh menilai parti atau gagasan mana yang lebih berupaya untuk menerajui kerajaan pusat. Jika kita tidak bergerak sekarang, sampai bila-bila pun kita akan terkandas dengan remeh politik.
Saya mencadangkan empat (4) perkara pokok, iaitu:
Pertama, Pakatan Rakyat mesti sanggup menyatu padukan rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama. Pakatan rakyat mesti hidup dan kembalikan impian Tengku Abdul Rahman dan pemimpin kemerdekaan yang lain. BN telah gagal dalam hal ini.Pakatan mesti menolak amalan diskriminasi antara rakyat dengan menggubal satu undang-undang anti-diskriminasi. Ini sahajalah yang boleh menyelamat dan memajukan negara kita.
Perlu saya tegaskan bahawa cadangan ini tidak menjejaskan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera secara khusus yang telah ditetapkan di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Rang undang-undang yang saya cadangkan ini adalah untuk diskriminasi yang tidak tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan. Jangan kita dengar fitnah UMNO dan Utusan. Rakyat bukan Bumiputera sejak Merdeka tak pernah menuntut supaya Perkara 153 dihapuskan. Itu adalah persefahaman rakyat antara kaum di Malaysia.
Dengan itu, Pakatan Rakyat akan terus membela keistemewaan bumiputra dan dalam masa yang sama menjamin hak bukan Melayu sebagai rakyat Malaysia. Rang undang-undang yang saya cadangkan ini adalah untuk memastikan orang Cina dan India tidak boleh mendiskriminasi orang Melayu, dan Melayu dan kerajaan Melayu tidak boleh mendiskriminasi Cina dan India serta kaum-kaum lain. Maksudnya tiada siapa boleh buli atau tindas sesiapa kerana kita akan mempunyai undang-undang yang akan menghalang kezaliman itu.
Hanya hal spesifik yang termaktub di bawah Perkara 153 akan terus dikekalkan. Kita tahu Perdana Menteri yang beria-ia dengan 1Malaysia tidak berani dan tidak sanggup menerajui UMNO untuk bersetuju dengan cadangan ini. Hanya Pakatan Rakyat akan mampu melaksanakannnya.
Kedua, Pakatan Rakyat mesti menggubal satu dasar ekonomi yang mempuyai ciri-ciri “safety net” iaitu menjamin perlindungan kepada rakyat berpendapatan rendah untuk memperolehi pendapatan yang cukup, kemudahan pemilikan tanah dan rumah, bekalan makanan dan kemudahan asas yang lebih baik dari apa yang dijanjikann oleh BN sekarang.
Negara kita bukan negara miskin. Malah kita semua sepatutnya hidup makmur dan sejahtera kalau kita kurangkan pembaziran dan kebocoran kerana rasuah dan penyelewengan. Pakatan tetap komited untuk basmi rasuah kerana kita sedar negara akan mempunyai cukup wang bagi membiayai peruntukan-peruntukan ini.
Ketiga, Pakatan Rakyat mesti menggubal dasar pelajaran yang lebih sesuai dengan keperluan negara supaya orang Melayu dan kaum Bumiputera khususnya mempunyai bakat dan kemampuan untuk lebih mampu bersaing atau kompetitif. Saya lihat sistem pelajaran sekarang hanya menumpukan kuantiti dan bukan kualiti, selain Menteri yang selalu cakap besar sahaja.
Antara cadangan saya ialah kajian yang menyeluruh untuk memperbaiki kelemahan mata pelajaran yang diajar, mutu guru dan tenaga pengajar termasuk dasar pemilihan kemasukan mereka untuk dilatih sebagai guru serta penglibatan ibu bapa dengan pihak sekolah untuk menentukan mutu pelajaran yang terbaik kepada anak-anak kita. Kita tahu bajet pelajaran amat besar tetapi ke mana perginya wang itu semua jika anak-anak kita masih tidak mendapat pendidikan yang baik di sekolah, kolej dan universiti. Rombakan besar-besaran perlu dibuat dari peringkat tadika hingga ke institut pengajian tinggi.
Keempat, Kerajaan Pakatan Rakyat mesti bebas dan tidak sentiasa menakutkan rakyat. Ia perlu bersikap terbuka dalam mendengar dan menerima kritikan rakyat. Ini hanya boleh berlaku dengan mewujudkan kerajaan yang demokratik dan bebas. Ini bererti memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak serta melonggarkan peruntukan yang memberi terlalu banyak kuasa kepada pihak berkuasa seperti yang terkandung dalam Akta Rahsia Rasmi, Akta Hasutan dan banyak lagi undang-undang yang tidak mesra rakyat.
Ini juga bererti institusi kerajaan seperti Polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Mahkamah perlu reformasi besar supaya mereka lebih adil, jujur, profesional dan berkemampuan untuk menjaga kepentingan rakyat. Hari ini kebanyakan institusi dilihat sebagai alat kerajaan dan bukannya badan melindungi rakyat. Negara yang berteraskan undang-undang atau mengamalkan “rule of law” mampu menggubal undang-undang yang adil dan saksama supaya rakyat dapat merasai dan memahami erti sebenar keluhuran undang-undang.Penubohan Mahkamah Perlembagaan atau Constitutional Court juga perlu dipertimbangkan.
Saya yakin apabila Pakatan Rakyat bersetuju dengan matlamat pokok di atas,keyakinan orang ramai akan bertambah. Ia akan membuat para pemimpinnya sibuk berusaha mengisi matlamat tersebut dan tidak akan ada masa untuk bertengkar dalam hal yang remeh-temeh. Apabila kita tumpukan usaha kita kepada soal dasar dan pokok, maka mudahlah kita menyelesaikan permasalahan yang ditimbulkan oleh sesetengah pemimpin dalam Pakatan. Dan UMNO sukarlah sadikit untuk masuk jarum.
Dengan itu, rakyat terutamanya orang Melayu tidak akan mudah termakan fitnah UMNO dan Utusan yang kini rancak untuk memecahbelahkan perpaduan kita. Akhirnya rakyat sendiri akan menolak hasutan perkauman Utusan yang cuba membakar api perkauman Melayu.
Kalau kita tumpukan kepada perkara pokok, rakyat juga akan merasa selesa bahawa Pakatan Rakyat bukan hanya parti “anti ISA” sahaja. Rakyat ingin melihat gabungan alternatif yang mampu memerintah dengan adil dan dalam masa yang sama memajukan negara kita. Rakyat mahu melihat bagaimana kita mampu menubuhkan kerajaan. Pakatan Rakyat mesti menjadi gagasan yang ada isi atau “substance” dengan dasar yang baik dan berani.
Rakyat tidak mahu melihat Pakatan sebagai kumpulan yang hanya berkerjasama sewaktu pilihan raya, tetapi masing masing mempunyai perjuangan politik yang usang saperti UMNO. Mereka mahu melihat mulai sekarang bayangan dasar kerajaan Pakatan yang mampu mengisi dan menggantikan yang sedia ada. Pemerintahan negara secaraUMNO dan BN sudah semakin tidak disukai ramai. Jadi kita dalam Pakatan perlu bertanggunggjawab menyahut seruan dan harapan rakyat.Kita buktikan Muhiyuddin salah bila dia kata Pakatan akan hancur tahun depan
Saya bersyukur kerana pertemuan saya dengan kawan-kawan di Kangar pada malam itu banyak memberi saya inspirasi yang sebenarnya diilhamkan sendiri oleh rakyat yang mahukan perubahan baik untuk negara kita. Dari aspirasi rakyat, saya tahu mereka kadang-kadang bosan dengan telatah sesetengah pemimpin Pakatan tetapi jiwa mereka tetap mahu kepada kerajaan alternatif yang lebih baik dari UMNO dan BN. Inilah cabaran buat Pakatan.
Oleh Zaid Ibrahim.
Monday, July 20, 2009
PKR bakal menjadi tempat sampah sarap BN.

Ada sebahagian dari penumpang bersama anak-anak kapalnya terus bertungkus lumus berusaha untuk membaiki kapal tersebut. Tetapi ramai juga yang memikirkan untuk lari dari kapal BN setelah melihat tidak ada harapan untuk kapal itu dapat diselamatkan dari tenggelam.
Buat masa ini telah ramai yang telah berpindah ke kapal PKR dan tidak dapat ditolak kemungkinan lebih ramai lagi akan berpindah ke kapal PKR menjelang pilihanraya umum ke 13 yang akan diadakan selewat-lewatnya pada tahun 2013 nanti.
Golongan oportunis ini merasakan mereka tidak boleh lagi survive kalau terus bersama BN yang mereka jangka akan kalah. Selama ini perniagaan atau projek yang mereka dapat adalah atas dasar kabel politik, oleh itu BN bukanlah tempat yang boleh mereka bergantung lagi. Ibarat seperti lalang, mereka mesti condong mengikut arah angin untuk memastikan mereka terus dapat ‘hidup’ dalam keadaan selesa.
Sudah tentu parti PKR tidak akan menutup pintu kepada sesiapa saja yang hendak masuk atau berpindah kepada parti tersebut, malah kemasukan mereka memang amat dialu-alukan. Samada yang berpindah ke parti PKR itu adalah terdiri dari barang-barang yang berkualiti dan berharga, atau mungkin juga merupakan sampah sarap sahaja, namun semuanya itu sangat berguna kepada keutuhan parti PKR.
Suasana yang berlaku kepada BN ini patut dijadikan pengajaran kepada semua pihak samada kepada PR mahupun juga BN sendiri. Apabila kita memilih bulu dalam memberikan peluang, projek dan perniagaan, tanpa berdasarkan kepada merit dan kebolehan seseorang, maka apabila kekuatan politik sudah hilang, penyokong-penyokong yang bersikap oportunis ini akan lari untuk mencari ‘dahan’ baru untuk bergantung.
Selagi parti kita kuat, mereka ini akan berhabis-habisan menyokong kita, tetapi bila parti semakin lemah, merekalah orang pertama yang akan lari menyelamatkan diri.
Monday, June 01, 2009
Parti yang Terlalu Kuat Tidak Untungkan Rakyat
Keadaan seperti ini tidak patut berlaku kerana ia tidak memberi keuntungan kepada rakyat dalam sebuah Negara demokrasi.
Kita tidak boleh membiarkan satu-satu parti politik itu terlalu kuat di sesuatu kawasan sehingga parti lawan dapat menjangka kekalahan mereka lebih awal.
Apabila parti UMNO atau BN tidak menyertai pertandingan di Penanti, menyebabkan kemeriahan pilihanraya kecil menjadi pudar dan tidak bersemangat seperti selalunya.
Ekoran itu tidak ada projek-projek ‘mee segera’ yang ditaburkan oleh BN semasa pilihanraya itu. Tidak ada keperluan untuk menurap jalan-jalan dengan tar. Tidak ada bantuan segera untuk mengganti atap rumah penduduk-penduduk yang usang dan bocor.
Orang-orang kuat parti dan penyokong dari luar pun tidak ada semangat hendak datang untuk berkempen di Penanti. Sudah tentu orang kuat dan penyokong parti UMNO atau BN dari luar tidak menjejakkan kaki ke Penanti kerana parti mereka tidak menyertai pilihanraya itu.
Bila mereka tidak datang berkempen maka hotel-hotel di Penanti dan sekitarnya pun tidak dapat menaikan harga sewa yang tinggi, rumah-rumah kosong pun belum tentu dapat disewakan, peniaga-peniaga terutamanya pengusaha restoran pun tidak dapat meraih untung yang banyak. Dengan kata lain tidak ada ‘durian runtuh’ yang dapat diterima rakyat di pilihanraya kecil di Penanti sepertimana pilihanraya kecil yang lain itu.
Berbanding dengan sebelum ini, setiap kali BN atau UMNO menyertai pilihanraya kecil, mencurah-curahlah projek 'mee segera' datang ke kawasan tersebut. Bila hal pelik ini ditanyakan kepada PM atau TPM maka dengan selamba kita akan dapat jawapan skema dari mereka, "Semua projek-projek ini memang kita telah rancang dari awal bukan disebabkan pilihanraya kecil". Tetapi kita tentu sangsi dengan jawapan itu, apakah di Penanti tidak ada projek-projek yang dirancang lebih awal?
Itu adalah antara kelebihan dan kebaikan yang mudah kita nampak bila mempunyai parti lawan yang kuat. Parti lawan yang kuat akan dapat mewujudkan fungsi 'check and balance' yang sangat berkesan yang mana ini akan memberi kebaikan kepada negara dan rakyat.
Oleh itu kita kena menjadi rakyat yang bijak dalam berpolitik. Kita tidak perlu taksub kepada mana-mana parti politik. Parti politik bukan agama yang mesti kita anuti. Parti politik adalah landasan untuk orang yang ingin menjadi pemimpin dalam amalan demokrasi. Demokrasi adalah mekanisma untuk memilih pemimpin yang terbaik untuk memimpin rakyat, tanpa melalui pertumpahan darah. Demokrasi menjamin yang terbaik sahaja yang akan terpilih.
Kita kena belajar dari orang Cina yang sangat cerdik dalam berpolitik, mereka tidak sentiasa memihak kepada MCA dan GERAKAN begitu juga tidak sentiasa memihak kepada DAP dalm memberi undi mereka. Bagi mereka parti mana yang dapat memberi keuntungan kepada kaum mereka pada satu-satu masa dan keadaan itu, parti itulah yang akan mereka beri undi.
Oleh itu kita patut mengambil contoh masyarakat Cina ini dalam berpolitik. Tetapi untuk masa akan datang, janganlah kepentingan kaum menjadi keutamaan dalam memberikan undi seperti yang dilakukan oleh kaum Cina ini. Sudah sampai masanya kita menukar persepsi lama ini dengan melihat keuntungan rakyat secara keseluruhan bila kita membuang undi, bukan terbatas kepada keuntungan kaum sahaja.
Kalau kita benar-benar mahu melihat konsep Satu Malaysia menjadi kenyataan, maka semua masalah hendaklah dikaitkan dengan masalah rakyat Malaysia keseluruhan bukan melihatnya sebagai masalah kaum kita sahaja.
Saturday, April 04, 2009
Parti PKR mesti ada jatidiri

Malah dari segi beberapa sudut parti PKR mempunyai banyak kelebihan berbanding parti UMNO. Antaranya, parti PKR adalah parti yang membuka pintu keahliannya kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Sudah kelihatan, trend akan datang ini rakyat Negara kita tidak mahukan pemimpin-pemimpin Negara yang hanya melihat kepada permasalahan kaum mereka sahaja, sebaliknya mereka lebih senang kepada pemimpin yang melihat permasalahan rakyat Malaysia secara keseluruhan, bukan mengikut kaum.
Tidak hairanlah kalau DS Najib dalam ucapan sulungnya sebagai PM telah menganjurkan idea satu Malaysia. Tetapi ini tentulah sukar untuk dilakukan kerana beliau sendiri pun berada dalam parti yang berasaskan perjuangan kaum.
Oleh itu parti politik seperti parti PKR rasanya adalah lebih cucuk untuk membawa idea satu Malaysia ini kerana parti ini adalah parti yang memperjuangkan kehendak rakyat dan bukan berasaskan perjuangan kaum.
Apa yang perlu diusahakan oleh parti PKR sekarang ialah parti ini harus memperteguhkan jati diri dan identitinya.
Parti PKR tidak harus dilihat sebagai parti serpihan UMNO walaupun tidak dapat dinafikan ramai ahli-ahlinya terdiri dari bekas ahli UMNO.
Parti PKR mesti mengamalkan dan mendokong nilai-nilai universal yang baik dan mulia supaya dapat meyakinkan orang ramai tanpa mengira kaum dan agama, untuk memberi sokongan kepadanya.
Nilai-nilai yang mulia yang utama yang wajib ada itu adalah seperti telus, bebas, adil, demokratik, meritokrasi, berpendirian, tidak rasuah, amanah, jujur , ikhlas, mesra dan perihatin.
Nilai-nilai lain yang perlu juga dipertimbangkan ialah seperti sifat sederhana, sentiasa bersedia mendengar dan membantu menyelesaikan masalah orang ramai, berhemah dalam mengurus sumber negara, tidak membazir, mendahulukan kepentingan orang ramai dari kepentingan diri, pejuang alam sekitar, menghormati dan memahami sensitiviti kaum dan agama, tidak bersifat melampau dan setiap permasalahan kaum dan agama hendaklah diselesaikan secara hikmah dan berdiplomasi.
Setiap kali melakukan pemilihan pemimpin, pilihan hendak diberikan kepada pemimpin yang boleh membawa dan memperjuangkan aspirasi dan nilai-nilai yang disebutkan di atas.
Berbanding parti PAS dan DAP yang selalu dilihat serong sebagai parti pelampau agama dan kaum, parti PKR telah menyediakan platform yang sangat baik dan sesuai untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
Apa pun terpulanglah kepada ahli-ahli PKR dan pemimpin mereka sendiri untuk mencorakkan parti itu. Kalau buruk perangai mereka maka buruklah nama parti mereka. Walaubagaimana indah slogan dan moto sesuatu parti itu, akhirnya sikap ahli dan pemimpin parti itulah yang sebenarnya yang akan mencerminkan identiti sesuatu parti politik itu.
my playlist



Create a playlist at MixPod.com
