Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Wednesday, November 24, 2010

Parti politik baru Datuk Zaid Ibrahim

Rasa tidak puas hati orang-orang Melayu dengan gagasan Malayan Union telah dapat menyatupadukan orang-orang Melayu seluruh Semenanjung bagi menentang gagasan tersebut.

Orang Melayu di bawah pimpinan Datuk Onn Jaafar melihat gagasan Malayan Union telah menghakis kuasa politik orang Melayu dan merendahkan kedudukan Raja-raja Melayu yang menjadi payung kepada orang-orang Melayu ketika itu.

Orang-orang Melayu telah menunjukkan kesatuannya di bawah satu wadah yang dinamakan UMNO bagi menentang Malayan Union.

Malayan Union adalah merupakan titik tolak penubuhan entiti politik Melayu yang dinamakan UMNO.

Peranan UMNO tidak berhenti setelah Malayan Union berjaya dimansuhkan tetapi pemimpin-pemimpinnya terus mengemudi UMNO sebagai wadah untuk menuntut kemerdekaan Tanah Melayu dari penjajahan British.

Oleh kerana kebanyakan negara-negara Asia ketika itu di ambang menuntut kemerdekaan dari penjajah-penjajah barat, pemimpin-pemimpin UMNO juga tidak melepaskan peluang ini untuk menggerakkan UMNO kepada agenda yang lebih besar iaitu menuntut kemerdekaan. Dari slogan ‘hidup Melayu’ telah bertukar kepada slogan ‘merdeka’.

Untuk menubuhkan suatu parti politik yang baru memerlukan satu isu yang besar yang mampu menarik perhatian seluruh rakyat jelata, seperti penubuhan UMNO adalah ekoran isu besar Malayan Union.

Isu Anwar Ibrahim pada tahun 1998 juga adalah satu isu besar yang telah menarik perhatian rakyat negara ini, malah juga diikuti dengan penuh minat oleh dunia luar.

Isu Anwar Ibrahim telah dikaitkan dengan tempangnya sistem keadilan negara kita. Makamah dan polis telah dihidu oleh rakyat menjadi tunggangan politik pemimpin yang berkuasa. Badan pencegah rasuah telah dijadikan seperti senjata politik dengan melakukan pendakwaan berpilih-pilih.

Bukan sahaja rakyat yang berpendidikan tinggi dapat menilai bagaimana makamah dan polis telah diperkudakan untuk tujuan politik, malah orang yang tinggal di ceruk kampung pun sedar akan hal ini.

Ini bukan soal Anwar bersalah atau tidak, tetapi lebih kepada soal jentera dan alat kerajaan yang telah disalah gunakan oleh pihak yang berkuasa untuk kepentingan agenda politik mereka.

Permintaan kepada sistem makamah yang adil dan polis yang bebas sangat mendesak ketika itu. Ramai rakyat melihat perlunya reformasi kepada sistem makamah dan penguatkuasa negara ini dilakukan. Bagi memenuhi kehendak rakyat itu, tertubuhlah satu entiti politik yang dinamakan Parti Keadilan (ADIL).

Bersama-sama parti pembangkang yang lain, terutamanya PAS dan DAP, Parti Keadilan telah menganjurkan banyak demontrasi jalanan atas slogan reformasi.

Kesan dari asakan bertubi-tubi demontrasi jalanan ini telah membawa pengunduran Tun Mahathir dari tampuk kuasa dan berkesudahan dengan pembebasan Anwar Ibrahim dari penjara oleh PM Pak Lah yang menggantikan Tun Mahathir.

Pembebasan Anwar Ibrahim telah melegakan orang ramai yang bersimpati dengannya, selepas Anwar dibebaskan, parti Keadilan terus memainkan peranannya sebagai ‘check and balance’kepada kerajaan yang memerintah, terutamanya dalam menentukan urus tadbir negara yang baik. Teguran dan kritikan terus dilemparkan kepada kredibiliti badan-badan penguat kuasa seperti polis dan pencegahan rasuah.

Dalam masa yang sama, Zaid Ibrahim adalah ahli politik yang berpengaruh dalam parti UMNO bercita-cita besar untuk melakukan reformasi kepada amalan demokrasi dan urus tadbir yang baik. Peluang yang diberikan oleh PM Pak Lah kepada Zaid Ibrahim untuk menyertai kabinetnya bagaikan pucuk dicita ulam mendatang. Pak Lah telah memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Zaid untuk melakukan reformasi terutamanya dalam badan kehakiman, perundangan dan badan penguat kuasa seperti polis dan pencegahan rasuah.

Malangnya Zaid Ibrahim yang terlalu idealistik itu tidak dapat diterima oleh rakan-rakan dalam UMNO, terutamanya bila Zaid menentang dan berhasrat untuk menghapuskan ISA. Zaid rasa keciwa dengan sikap pemimpin-pemimpin UMNO yang tidak mahu menyokong agenda beliau. Akhirnya Zaid Ibrahim dipecat dari UMNO dan beliau mengambil keputusan untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) setelah beliau yakin dapat memperjuangkan cita-citanya secara lebih berkesan melalui parti politik tersebut.

Bila berada dalam PKR, sekali lagi Zaid keciwa, apa yang beliau lihat hanyalah indah khabar dari rupa. Tidak seperti ahli-ahli reformasi yang lain, Zaid tidak mahu parti PKR sekadar untuk membela Anwar Ibrahim tetapi mahu ia menjadi parti yang beragenda lebih besar terutama dalam melakukan reformasi kepada amalan demokrasi yang bebas, adil dan telus, mahu melihat Negara diurus tadbir dengan baik, yang mengutamakan integriti, badan perundangan dan makamah yang bebas dari menjadi tunggangan pemimpin politik. Juga mahukan badan penguatkuasa yang bebas dan adil.

Selepas keluar dari PKR, mampukah Zaid meraih simpati rakyat Malaysia untuk menyertai parti baru yang bakal beliau tubuhkan nanti? Saya tidak yakin ramai orang akan menyertai parti politik Zaid, kerana parti baru hanya akan mendapat tarikan ramai jika ada isu yang besar seperti isu Malayan Union dan isu Anwar Ibrahim.

Isu Zaid dipecat dan keluar PKR bukanlah isu yang besar, walaupun Zaid mempunyai agenda yang besar yang patut disokong, tetapi ia tidak cukup untuk menarik ramai orang untuk menyertai parti baru yang bakal beliau tubuhkan itu.

Zaid keciwa kerana parti PKR ditadbir secara tidak tersusun dan lemah. Zaid mendakwa cara pemilihan dalam PKR tidak bersih dan membelakangkan amalan demokrasi tulen dan tidak ada integriti.

Mungkin benar dakwaan Zaid itu, tetapi kita kena ingat, orang menjadi baik bukan disebabkan masuk parti. Sekalipun Zaid ingin menubuhkan parti politiknya sendiri untuk mengelakkan perkara kotor ini berlaku, tetapi bolehkah beliau pastikan semua ahli partinya akan jadi baik macam dia juga?

Sepatutnya Zaid perlu bersama pemimpin lain memperbaiki parti PKR supaya betul-betul menjadi parti impian setiap rakyat Malaysia, bukan dengan memencilkan diri sehingga tidak mampu untuk mengubah apa-apa.

No comments:

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com