Persaingan yang sengit antara pengusaha-pengusaha syarikat bas, dan dalam masa yang sama mereka ingin membuat keuntungan yang maksimum, akhirnya nyawa orang awam menjadi korban.
Gara-gara hendak mencari untung berlebihan, banyak syarikat bas tidak memperdulikan ciri- ciri keselamatan bas mereka.
Mereka cuba mendapatkan untung yang banyak dengan cara mengurangkan kos operasi walaupun sikap itu boleh mengancam nyawa dan keselamatan penumpang dan orang awam.
Bas tidak diselenggara dengan baik dan sempurna. Penyenggaraan bas memakan belanja yang besar, oleh itu pengusaha cuba menjimatkan perbelanjaannya dengan mengurangkan atau meminimumkan penyengaraan dan pembaikpulihan bas-bas mereka.
Mereka juga mengurangkan kos operasi syarikat dengan menawarkan gaji asas yang murah kepada pemandu-pemandu bas mereka.
Tidak hairanlah kalau pemandu-pemandu yang pernah berkali-kali melakukan kesalahan trafik dan disiplin pun masih diambil untuk bekerja. Mengambil pemandu tangkap muat ini mencerminkan sikap tamak pengusaha-pengusaha bas.
Gaji pemandu bas yang rendah memaksa mereka membuat kerja lebih dari yang sepatutnya. Apabila mereka membuat banyak kerja lebih masa, ini boleh menyebabkan mereka mengantuk dan keletihan. Ramai juga pemandu bas yang dikesan menggunakan bantuan dadah untuk mengatasi masalah keletihan dan rasa mengantuk.
Pada 29 Oktober 2010 yang lalu, tujuh orang terbunuh di KM38 Genting Sempah bila bas yang mereka naiki terbabas dan terbalik akibat kegagalan brek bas berfungsi. Dan tidak sampai dua bulan sebelum itu 13 orang telah terbunuh bila bas Syarikat Delima yang dipandu laju hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik.
Kita ada berbagai badan penguatkuasa seperti polis trafik, JPJ, LPKP dan PUSPAKOM yang diberi tugas memantau supaya syarikat-syarikat bas sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang bagi menjamin keselamatan pengguna dan orang awam. Tetapi setakat ini, kewujudan badan-badan penguat kuasa ini seperti tidak memberi kesan kepada masalah ini.
Mungkin mereka mempunyai mentaliti bekerja untuk makan gaji saja, bukan kerja untuk membuat kerja. Kalau masa dulu bila kita tanya kanak-kanak, kenapa mereka mahu menjadi doktor, mereka jawab hendak menolong mengubati atau memulihkan orang sakit. Kenapa mereka mahu menjadi guru, mereka jawab hendak mendidik orang menjadi pandai. Kenapa mereka mahu menjadi polis, mereka jawab untuk menangkap orang jahat.
Tetapi di zaman ini, tidak banyak lagi kita jumpa jawapan seperti itu, sebaliknya kerja adalah untuk dapat duit gaji bulan-bulan, soal buat kerja atau tidak itu masalah kedua.
Kalau kita pergi ke Setesen Bas Bukit Jalil hari ini, kita akan dikerumuni oleh ulat-ulat tiket yang secara agresif menawarkan perkhidmatan mereka. Kehadiran ulat-ulat tiket amat merimaskan pengguna-pengguna bas di sana. Yang peliknya, perbuatan mereka itu berlaku di depan pegawai-pegawai polis dan JPJ yang duduk tercongok berkawal di situ.
Kalau masalah ulat-ulat tiket yang lekeh inipun badan-badan penguat kuasa ini pun tidak mampu menyelesaikannya, bagaimana kita hendak harapkan untuk mereka menyelesaikan pengusaha-pengusaha syarikat bas yang melanggar peraturan dan undang-undang.
Benarlah kata orang, negara kita mempunyai kemudahan taraf kelas pertama dunia, tetapi mentaliti orang-orang kita masih berada di kelas ketiga. Negara kita disasarkan akan mencapai taraf Negara maju dalam masa kurang dari 10 tahun lagi, tetapi perkhidmatan syarikat-syarikat bas kita masih sama tahap dengan negara-negara membangun yang lain.
Pemandu-pemandu bas Negara kita harus diberi perhatian yang serius, kadar gaji mereka perlu dilihat semula supaya orang-orang yang betul-betul layak dan sesuai mahu bekerja menjadi pemandu. Pemandu adalah merupakan orang-orang barisan depan yang pertama dilihat dan ditemui oleh pelancung. Secara tidak langsung, sikap pemandu bas mencerminkan sikap rakyat Malaysia keseluruhannya. Buruk imej pemandu bas, buruklah imej Negara.
Kalau pengurus syarikat bas boleh membawa keluarga mereka melancung dua tiga kali keluar negara yang tentunya memakan belanja yang besar hasil dari keuntungan syarikat bas yang dimilikinya, apalah salahnya kalau keuntungan yang berlebihan itu diserap untuk menaikkan gaji-gaji pemandu bas.
Pengurus-pengurus bas ini perlu ingat, yang membawa keuntungan besar kepada syarikat bas yang mereka usahakan itu adalah juga datang dari usaha keras pemandu-pemandu bas mereka juga.
Seperti kata pepatah, hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Majikan harus berlaku adil dalam membahagikan keuntungan syarikatnya kepada pekerja-pekerja mereka.
Sampai bilakah nyawa-nyawa orang ramai yang tidak bersalah terus menjadi korban semata-mata untuk memenuhi sikap tamak haloba pengusaha-pengusaha syarikat bas yang tidak bertanggung jawab ini?
2 comments:
Such murderer should not be forgiven
btul 2...orang zaman sekarang melakukan sesuatu perkara disebabkan ganjaran yang akan mereka perolehi..sehinggakan mereka terlupa mengenai aspek keselamatan yang sepatutnye mereka utamakan...mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk kepentingan diri sendiri walaupun hasilnya akan membawa kerugian kepada orang lain...
Post a Comment