Kalau kita masih ingat cerita dalam filem Zombie pada sekitar tahun 1979, dalam cerita itu, seorang demi seorang dijangkiti penyakit ‘zombie’, mayat hidup, mereka menjadikan orang-orang yang masih sihat sebagai mangsa mereka.
Dalam filem yang suspen itu, kita disergah dan dikejutkan dengan insiden di mana rakan-rakan, ahli keluarga dan saudara-mara kita sendiri, yang kita amat percaya, tiba-tiba bertukar menjadi zombie.
Zombie berlaku dalam filem untuk hiburan kita, tetapi penagih dadah pula berlaku dalam dunia nyata kita. Seperti zombie, penagih dadah juga umpama mayat hidup, berfikiran tidak normal, mereka menjadikan orang-orang sihat sebagai mangsa untuk meneruskan kehidupan mereka.
Hari-hari penagih dadah akan berusaha dengan berbagai cara merekrut ahli-ahli baru dengan tujuan dapat menjual dadah kepada penagih-penagih baru. Dengan duit keuntungan menjual dadah itu dapat pula membeli keperluan dadah mereka sendiri.
Malah mereka juga sanggup pecah amanah, mencuri, meragut, pecah rumah dan membunuh siapa saja bila terdesak untuk mendapat duit bagi membeli keperluan dadah mereka.
Banyak perbelanjaan kerajaan dihabiskan untuk menampung penagih dadah di pusat-pusat serenti untuk proses pemulihan. Itu pun bukan semua penagih-penagih dimasukkan di sana. Kalau hendak sumbatkan semua penagih-penagih dadah dalam pusat-pusat serenti yang ada memang tidak cukup tempat.
Dari statistik jumlah dadah yang dapat ditangkap di pintu keluar masuk negara ini, sangatlah besar. Ini mencerminkan betapa ramainya dan banyaknya dadah diperlukan oleh penduduk negara ini. Itu belum termasuk dadah yang gagal dikesan ketika dibawa masuk dan dadah yang diseludup melalui ‘laluan tikus’.
Kelemahan penguatkuasa kita dalam menangani masalah dadah ini juga adalah faktor yang menyukarkan untuk membenteras masalah kemasukan dan penyalahgunaan dadah ini.
Malah biasa sangat kita dengar, ada orang-orang yang mempunyai kedudukan tinggi dan berpengaruh dalam masyarakat melindungi kegiatan-kegiatan perdagangan dadah ini.
Amatlah keji perbuatan kita kalau menjadikan perdagangan dadah atau sengaja bersubahat dengan pengedar-pengedar dadah untuk memperkayakan diri kita. Mereka ini sebenarnya adalah pengkhianat bangsa yang tidak dapat dimaafkan.
Mungkin mereka berfikir, yang penting mereka dapat hidup mewah dan kaya raya, dan mereka tidak peduli kalau anak cucu mereka akan dijangkiti penyakit dadah satu masa nanti, kerana mereka beranggapan di waktu itu mereka sudah tidak ada lagi di dunia ini.
Keadaan masalah dadah dalam negara kita ini seperti api yang telah marak, sikap kita yang membiarkannya semasa api masih kecil, telah membuatkan ia semakin marak dan membesar, akhirnya kita tidak mampu lagi untuk memadamkannya. PEMADAM pun tidak berdaya untuk memadamnya.
Pernah juga berlaku di mana kes dadah yang telah dapat diserbu, hilang dalam jagaan pihak polis. Ada juga pegawai-pegawai polis yang terliur dengan duit dadah yang lumayan hingga sanggup menyeludupkan keluar dadah tersebut dari balai polis. Kira harapkan pagar tetapi pagar tidak boleh harap.
Rokok adalah pintu kepada dadah. Walupun tidak semua perokok akan menghisap dadah, tetapi hampir semua penagih dadah adalah berasal dari perokok. Tidak hairanlah kalau penagih-penagih dadah menggunakan strategi terancang menggalakkan budak-budak sekolah seramai yang mungkin untuk berjinak-jinak dengan rokok.
Mereka tahu budak-budak sekolah yang menghisap rokok inilah yang akan menjadi pasaran utama perniagaan dadah mereka di masa depan.
Anak muda yang terlalu menginginkan hiburan yang melampau, akhirnya terjerumus dalam penyalahgunaan dadah. Mereka ini tidak pernah puas dengan hiburan yang biasa, mereka mahu mencuba hiburan yang lebih menyeronokkan dari yang biasa mereka dapat. Dadah dapat memenuhi kehendak mereka itu.
Kalau zaman kanak-kanak saya dulu, dapat menonton TV di rumah jiran sekali sekala pun sudah rasa seronok, tetapi anak-anak kita hari ini, berbagai saluran TV boleh ditonton di rumah sendiri, selain dari itu mereka boleh tengok VCD dan DVD, dan berbagai bahan hiburan boleh didapati melalui internet.
Hiburan yang sukar saya boleh dapat di zaman dulu sudah menjadi perkara biasa di zaman ini. Anak-anak muda mula mencari kelainan dan mencari hiburan yang lebih menyeronokkan dari yang biasa mereka dapat.
Dikatakan, apabila mereka mengambil dadah, mereka akan jadi khayal atau lalok, dalam khayalan itu mereka menemui kehidupan yang amat menyeronokkan, mereka menjadi raja tinggal di dalam istana yang penuh kemewahan dan di dampingi berpuluh-puluh bidadari.
Kalau di alam nyata kita memerlukan beratus juta ringgit untuk menikmati kehidupan mewah seperti itu, tetapi mereka masih boleh merasakan kehidupan seperti itu menggunakan bantuan dadah dengan hanya membayar beberapa puluh ringgit diperlukan untuk membeli dadah.
Mungkin di zaman teknologi canggih ini, tidak mustahil ada pihak yang boleh mencipta dadah mengikut impian penagih-penagih dadah. Samada kita hendak mengkhayal kehidupan menjadi orang kaya, mengkhayal kehidupan yang di kelilingi bidadari, atau mengkhayal kehidupan di taman-taman indah yang penuh dengan makanan yang lazat, semuanya boleh dipilih mengikut jenis dadah yang kita ambil.
Langkah PM Najib hendak menjadikan negara kita sebagai pangkalan utama hiburan di kawasan Asia Tenggara untuk menarik lebih ramai pelancung ke negara ini seolah-olah seperti membukakan ruang yang lebih besar kepada aktiviti penyalah gunaan dadah. Tidak dapat dinafikan, pusat-pusat hiburan dengan kegiatan dadah memang sudah sinonim.
Untung yang mungkin kita dapat dari industri hiburan ini tidak berbaloi dengan belanja yang digunakan oleh kerajaan untuk membasmi dadah dan belanja untuk memulihkan penagih-penagih dadah. Itu belum lagi termasuk kerugian yang kita dapat dari keruntuhan akhlak hasil dari aktiviti hiburan tanpa batas ini.
Seperti kita perlu kepada makanan, kita juga perlukan kepada hiburan, tetapi kalau sudah berlebihan dan tanpa batas, ia boleh membawa mudarat kepada diri dan masyarakat kita. Masalahnya, kita mungkin akan berhenti makan bila sudah terlalu kenyang, tetapi manusia tidak pernah puas untuk menikmati hiburan.
Masa tahun 70an dulu, kita hanya dengar satu atau dua orang anak muda dalam kampung kita yang hisap ganja atau dadah. Setelah beberapa lama kemudian, adalah perkara biasa pula kalau ada antara saudara mara kita yang menjadi penagih dadah. Dan mungkin pada masa depan, akan menjadi perkara biasa pula kalau keluarga kita sendiri atau anak kita sendiri ada yang jadi penagih dadah.
Bolehkah kita dan keluarga kita selamat dari ancaman penyakit dadah ini? Apabila semua orang telah dijangkiti oleh penyakit dadah, akhirnya negara akan dikuasai oleh penagih-penagih dadah. Begitulah akhirnya kisah cerita dalam sebuah filem Zombie yang pernah saya tonton satu masa dulu. Zombie telah berada di merata tempat dan menguasai semuanya.
1 comment:
kupasan yg baik,peranan pemerintah adalah mengekang hal ini dan bukannya menggalakkannya atas dasar memakmurkan ekonomi dll。terima kasih kerajaan!
Post a Comment