Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Friday, October 29, 2010

Kita belum ada Pemimpin Malaysia Sejati





Sejak Negara kita merdeka, rasanya kita belum lagi menemui pemimpin Negara yang boleh termasuk dalam golongan Pemimpin Malaysia Sejati.

Kebanyakan pemimpin yang menjadi pemimpin Negara kita hari ini mahupun sebelum ini lebih dikenali sebagai pemimpin kaum sahaja.

Semua pemimpin yang pernah menjadi Perdana Menteri Negara kita adalah datang dari pemimpin parti politik yang mewakili kaum mereka. Dari Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir, Tun Abdullah dan Datuk Seri Najib, semuanya adalah pemimpin parti UMNO, parti yang memperjuangkan kepentingan orang-orang Melayu.

Pemimpin-pemimpin ini mungkin ada yang sangat disayangi oleh orang-orang Melayu tetapi belum tentu mereka juga disayangi oleh kaum-kaum lain.

Tun Razak pemimpin yang begitu mengambil berat kedudukan ekonomi orang-orang Melayu yang rata-ratanya daif di masa beliau menjadi Perdana Menteri. Orang Melayu yang hidup secukup makan hasil dari pertanian tradisional di waktu itu telah diubah dengan pembukaan tanah rancangan mega yang lebih komersial dan mampu menjana pendapatan yang lebih besar kepada setiap keluarga peneroka.

Pemergian beliau ke ramahtullah pada tahun 1976 telah ditangisi oleh hampir semua orang Melayu yang merupakan kehilangan besar dan telah banyak berjasa kepada mereka.

Tunku Abdul Rahman adalah Perdana Menteri yang dikenali bersifat lemah lembut dengan kaum Cina. Orang-orang Cina sangat menyenangi sikap Tunku. Hingga mereka tidak teragak-agak untuk menamakan sebuah kolej atau universiti yang ditaja oleh kaum Cina dengan nama Tunku Abdul Rahman.

Apakah Tunku Abdul Rahman boleh dianggap sebagai Pemimpin Malaysia Sejati kerana beliau juga disukai oleh kaum Cina selain dari kaumnya sendiri? Mungkin pandangan ini masih lagi boleh dipertikaikan.

Datuk Onn Jaafar pernah meninggalkan parti UMNO untuk menubuhkan parti politik yang tidak berasaskan kaum, tetapi gagasan beliau itu telah menemui kegagalan apabila tidak mendapat sambutan besar dari semua kaum. Kegagalan parti yang beliau asaskan itu telah juga menggagalkan beliau untuk menjadi Pemimpin Malaysia Sejati.

Tun Mahathir pula terkenal dengan jolokan ultra Melayu. Jolokan ini sudah cukup untuk tidak melayakkan beliau dipanggil Pemimpin Malaysia Sejati.

Pemimpin Malaysia Sejati tidak semestinya lahir dari kaum Melayu tetapi beliau boleh datang dari kaum Cina atau India atau kaum lain. Apa yang penting beliau disayangi dan disenangi oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira warna kulit dan agama.

Pemimpin Malaysia Sejati yang menjadi impian semua rakyat Malaysia ini seharusnya seorang pemimpin yang meletakkan kepentingan rakyat Malaysia melebihi kepentingan kaumnya sendiri.

Walaupun nampak seperti sukar untuk kita mendapatkan pemimpin yang bersifat demikian tetapi ini tidak bermakna ia suatu perkara yang mustahil.

Apa yang saya nampak, parti politik yang tidak berasaskan kaum lebih berpeluang besar untuk melahirkan Pemimpin Malaysia Sejati berbanding dengan parti-parti politik yang berasaskan kaum seperti yang menguasai Negara kita sekarang ini.

Pemimpin yang menyayangi rakyatnya pasti akan disayangi oleh rakyatnya. Rakyat sanggup mati untuk mempertahankan pemimpin yang disayangi.

Pemimpin yang hidup bermewah-mewah, menyalahgunakan harta Negara, melakukan banyak pembaziran, memperkaya diri dan saudara mara sendiri, sudah tentu tidak akan mendapat kasih sayang dari rakyat. Sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat kepada pemimpin-pemimpin seperti ini hanyalah sokongan yang pura-pura sahaja.

No comments:

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com