Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Friday, October 15, 2010

BN gagal dalam membina perpaduan antara kaum


Kalau kita tanyakan kepada setiap rakyat Malaysia hari ini, “sebutkan nama seorang (bukan 5 orang) sahabat karib anda yang berasal dari kaum lain dari kaum anda sendiri”, pasti ramai yang gagal untuk memberi jawapan kepada pertanyaan itu.

Untuk perbandingan, cuba kita tanyakan soalan yang sama kepada rakyat Singapore. Kita akan dapat jawapan yang jauh berbeza. Singapore mempunyai komposisi kaum yang hampir sama seperti Semenanjung Malaysia. Mereka ada kaum Cina, kaum Melayu dan kaum India seperti kita juga.

Walaupun Malaysia lebih dulu mendapat kemerdekaan berbanding Singapore, tetapi Singapore telah jauh mendahului kita dalam membina perpaduan antara kaum di kalangan rakyatnya.

Di mana silapnya kita? Tentu sekali kerajaan yang dipimpin oleh parti BN selama lebih 50 tahun itu tidak akan mahu mengaku dan meletakkan kesilapan itu ke atas mereka.

Malah mereka sentiasa berbangga untuk mengatakan Malaysia adalah satu-satunya Negara di dunia yang mempunyai sekolah-sekolah yang mempunyai bahasa pengantar Mandarin dan Tamil disamping bahasa Melayu di sekolah kebangsaan.

Sedangkan mereka tidak sedar bahawa itu adalah langkah yang paling tidak bijak di dunia yang mereka telah ambil, kerana tindakan mereka itu telah menebalkan tembok perkauman dan tidak membantu dalam membina perpaduan antara kaum di Negara ini.

Kita tidak melarang bahasa ibunda dan budaya ibunda setiap kaum diamal dan diajarkan di sekolah-sekolah. Malah kita sangat mengalu-alu dan menggalakkannya, supaya ia tidak pupus.

Tetapi bukanlah dengan cara memisahkan sekolah-sekolah kita mengikut kaum, sehingga membiarkan sekolah-sekolah di Malaysia dikenali mengikut kaum. Inilah satu kesilapan yang besar yang telah dilakukan oleh kerajaan parti BN, yang menjadi punca utama perpaduan antara kaum gagal dilaksanakan di Negara ini.

Kita telah mengorbankan keutuhan perpaduan antara kaum dengan memisahkan anak-anak bersekolah di sekolah mengikut kaum mereka semata-mata untuk mempelajari bahasa dan budaya ibunda mereka. Walhal bahasa dan budaya ibunda berbagai kaum boleh sahaja diajarkan di sekolah yang sama tanpa perlu membina sekolah yang berasingan mengikut kaum.

Kita memerlukan kepada kesungguhan politik untuk melakukan perubahan ini. Apakah Pakatan Rakyat dapat melakukan apa yang telah gagal dilakukan oleh BN dalam membina perpaduan antara kaum ini?

Barisan kepimpinan awal Singapore berpandangan lebih jauh ke depan dari pemimpin kita. Mereka telah tidak membenarkan sekolah dikenali mengikut kaum. Pada hari ini mereka telah dapat menikmati tahap keutuhan perpaduan antara kaum di kalangan rakyatnya yang jauh lebih baik dari kita.

Tidak dinafikan Singapore banyak menghadapi banyak cabaran dan halangan dalam membina perpaduan kaum di Negara itu, namun yang pentingnya mereka telah meletakkan batu asas yang betul dengan memulakan sistem satu sekolah pada hari pertama mereka menyambut kemerdekaan.

Siapakah pemimpin politik Negara kita yang ada keberanian untuk memulakan reformasi atau transformasi kepada sistem sekolah kita bagi menghapuskan sekolah-sekolah dikenali mengikut kaum yang ada hari ini?

Siapakah pemimpin kita yang seberani Lee Kuan Yew yang dapat melakukan kebaikan untuk faedah keseluruhan rakyat negaranya berbanding hanya melakukan kebaikan untuk faedah kaumnya sahaja?

No comments:

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com