Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kedudukan orang Melayu serta bumiputera dan kepentingan kaum-kaum lain adalah terkunci kemas dalam Perlembagaan Persekutuan.
Dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di Dewan Merdeka, PWTC semalam, beliau berkata, peruntukan Perlembagaan tidak dapat diubah walaupun mendapat majoriti dua pertiga dalam Parlimen, tanpa kebenaran sembilan raja Melayu.
Dengan ucapan yang berapi-api PM Najib seterusnya memberi amaran keras:
“Kepada semua saya berpesan, kepada semua saya beri pedoman, janganlah kita terpalit damak beracun sandiwara lawan yang hanya menempah alam kegagalan. Berpasaklah kepada UMNO. Bertetaplah kepada panji-panji Barisan Nasional. Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!”
Apakah kata-kata beliau itu bermaksud, kalau tidak dapat cara lembut, dengan cara keras pun (by hook or by crook) Putrajaya mesti dipertahankan? Lupakah Najib, bukankah Negara kita mengamalkan lunas-lunas demokrasi?
Kalau sudah terkunci kemas, kenapa PM Najib perlu memekik-mekik di dalam dewan PWTC untuk memberitahu dunia perkara tersebut tidak boleh diubah. Samada diucapkan secara memekik atau secara nada perlahan ia tidak akan mengubah apa-apa kerana ia telah terkunci kemas.
Sebagai pemimpin sebuah parti politik yang berasaskan kaum, PM Najib tidak dapat memisahkan dirinya dari mesti dilihat sebagai juara memperjuangkan kaumnya supaya beliau kekal popular dan terus dipilih menjadi presiden oleh ahli partinya.
Kalau pada hari-hari sebelum ini PM Najib begitu megah memakai topi 1Malaysia, tetapi untuk masa dua tiga hari ini beliau terpaksa memakai topi 1Melayu sempena perhimpunan agung parti yang dipimpinnya.
Saya tidak pasti samada kekebalan Raja-raja Melayu telah tidak termasuk dalam peti yang terkunci kemas itu, sehingga telah dapat dilucutkan oleh kepimpinan UMNO sendiri pada suatu masa dulu.
Saya percaya bukan sahaja orang UMNO, malah ramai rakyat Malaysia yang lain juga gembira bila kekebalan Raja-raja Melayu itu dilucutkan. Kerana ini memang sangat bertentangan dengan nilai manusia yang bertamaddun dan nilai agama untuk membenarkan manusia lain begitu istimewa, sehingga mereka boleh berada lebih tinggi dari undang-undang.
Kita bukan persoalkan samada telah dikunci kemas atau pun tidak. Yang kita persoalkan apakah yang dikunci itu bersesuaian dengan nilai-nilai manusia bertamaddun dan nilai-nilai agama.
Agama kita tidak pernah mengajarkan kita melakukan ketidakadilan, diskriminasi dan penzaliman. Hanya Tuhan sahaja yang layak untuk menentukan hak kita. Apakah hak kita untuk menentukan hak kita sendiri?
Kadang-kadang kita rasa pelik kenapa Abraham Lincoln, seorang yang berkulit putih bermatian-matian untuk menghapuskan amalan penghambaan di Amerika, sedangkan yang menjadi hamba itu semuanya rakyat Amerika yang berkulit hitam. Secara logiknya tidak mungkin atau tidak akan ada cucu-cucitnya akan menjadi hamba kalaupun beliau tidak memperjuangkan penghapusan amalan hamba di Amerika itu.
Tetapi kenapa Abraham Lincoln masih juga mahu menghapuskan amalan penghambaan itu? Sudah pasti, tidak lain, ia adalah atas dorongan nilai-nilai kemanusiaan yang bertamaddun dan nilai agama.
No comments:
Post a Comment