Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".
Showing posts with label jenayah. Show all posts
Showing posts with label jenayah. Show all posts

Sunday, March 04, 2012

Dasar pendidikan negara kita pincang

Apa yang kita semai, itulah yang kita akan tuai.


Semasa pemimpin-pemimpin menamkan cerucuk asas pendidikan Negara kita kira-kira lebih 40 tahun dahulu, mereka hanya menekankan untuk memberi ilmu pengetahuan sains, teknologi dan kemahiran kepada anak-anak sekolah bagi menyediakan dan memabawa Malaysia kearah Negara maju.

Tetapi setelah melihat kepada ciri masyarakat yang terbentuk hasil melalui sistem yang ada ini, dapatlah kita membuat kesimpulan, terdapat sesuatu yang tidak kena dalam sistem pendidikan kita.

Pendidikan di sekolah dan di rumah sangat memberi kesan kepada pembentukan sahsiah sesuatu masyarakat.

Kita di semenanjung, terdiri dari tiga kaum yang terbesar iaitu Melayu, Cina dan India. Tiga-tiga kaum ini menerima pendidikan di peringkat tadika dan sekolah rendah secara berasingan. Selalunya kelompok tempat tinggal mereka juga berasingan. Kalau masa dulu, orang Cina ramai tinggal di kawasan Bandar, orang Melayu di kampong dan orang India di estet.

Di masa ini pun, walaupun ketiga-tiga kaum ini tinggal di taman perumahan, mereka masih cenderung untuk tinggal dalam kelompok kaum mereka.

Pengasingan sekolah dan kawasan penempatan mengikut kaum ini menyebabkan peluang untuk mereka berkenal lebih rapat dan bersahabat antara kaum sangat sukar sekali. Mereka hanya bertemu dalam aktiviti yang tertentu sahaja, seperti dalam urusan jual beli dan urusan pekerjaan sahaja, selain dari itu mereka seperti tidak bergantung antara satu sama lain.

Amat jarang sekali tiga kaum utama ini berpeluang menjalankan aktiviti kehidupan bersama. Ekoran dari itu, tiga kaum ini tidak berpeluang mengenal antara satu sama lain dengan lebih dekat, hasilnya mereka mempunyai aspirasi yang berlainan. Mereka tidak dapat merasakan kehendak, kemahuan dan keperluan kaum lain. Sebaliknya semua tindak tanduk dan aktiviti mereka hanya berkisar kepada kaum mereka sahaja.

Pemisahan kaum-kaum ini telah melebarkan jurang perbezaan antara mereka, akhirnya mereka terus selesa dengan keadaan demikian, mereka menganggap kaum yang lain itu sukar untuk didekati dan dicampuri. Jauh dari menjadi sahabat, sebaliknya mereka menganggap kaum lain itu sebagai ‘musuh’ yang boleh menyusahkan hidup mereka. Suatu kaum akan berusaha untuk ‘membunuh’ atau mengalahkan kaum yang lain.

Perasaan curiga dan prasangka kepada kaum lain sentiasa wujud dalam pemikiran masyarakat Malaysia. Baru-baru ini telah terjadi pergaduhan antara pekerja restoran KFC berbangsa Melayu dengan pelanggannya berbangsa Cina. Masyarakat tidak melihat siapa yang bersalah dan berkelakuan buruk secara individu yang telah menyebabkan pergaduhan itu, tetapi sebaliknya masyarakat Malaysia melihat insiden itu dengan kacamata perkauman dan melabelkan kaum A atau kaum B sebagai kurang ajar atau biadap.

Parti-parti politik yang wujud juga tidak terlepas dari mengikut polarisasi kaum dan ia sebenarnya adalah lanjutan hasil dari pemisahan kaum dalam kehidupan sebenar mereka. Dalam meraih sokongan, ahli politik lebih suka dilihat untuk menjadi hero kepada kaumnya.

Bila bercakap soal untuk membasmi kemiskinan dan membantu golongan miskin, mereka lebih suka bercakap untuk memperjuangkan taraf ekonomi dan kehidupan orang Melayu. Padahal kalau dia kata untuk meningkatkan ekonomi rakyat yang miskin, yang akan dibantu adalah orang Melayu juga, kerana kaum Melayu lah yang paling ramai miskin. Tetapi disebabkan untuk meraih sokongan politik, mereka lebih suka bercakap untuk membantu dan membela orang Melayu.

Sikap dan tabiat orang Melayu, orang Cina dan orang India juga berbeza. Orang Melayu dikatakan baik hati tetapi malas, orang Cina dikatakan tamak tetapi rajin, orang India pula dikatakan taat tetapi culas. Apakah sikap dan tabiat setiap kaum itu diwarisi atau dididik dari kecil. Tetapi kalau kita letakkan kesalahan ini kepada sistem pendidikan pun ada kebenarannya, kerana mereka dididik dan melalui sistem persekolahan yang berbeza, sudah tentu hasilnya juga akan berbeza.

Ada kemungkinan kalau ketiga-tiga kaum ini bersekolah dalam sistem sekolah yang sama, sikap dan tabiat mereka akan menjadi lebih kurang sama atau hampir seragam.

Orang Jepun terkenal dengan memiliki sikap-sikap yang murni seperti tidak mementingkan diri, jujur, telus, tidak mencuri, rajin, gigih, sabar, tidak membuang sampah merata-rata, bebaris mendapatkan giliran tanpa memotong barisan, sikap ingin belajar dan ingin tahu, berbangga untuk membuat kebaikan, membantu orang yang memerlukan.

Kenapa Jepun boleh menghasilkan manusia yang berakhlak mulia tetapi kita tidak boleh? Ini mesti ada yang tidak kena dengan sistem pendidikan kita. Kita patut belajar dari Jepun.

Nilai yang murni tidak cukup sekadar diceramah dan diberitahu sahaja, tetapi ia perlu dilatih untuk melakukannya supaya ia akan menjadi amalan dan budaya masyarakat.

Di universiti sekarang ini begitu ghairah dan sibuk sekali menekankan latihan generic skill atau soft skill atau kemahiran keterampilan diri. Bagi saya generic skill ini mesti bermula dan dilatih diperingkat tadika lagi, bukan di universiti baru hendak diperkenalkan kepada mereka, kerana ia melibatkan sikap, amalan dan budaya.

Kenapa anak-anak muda Melayu kita suka merempit dan melepak? Kenapa anak-anak muda kita banyak terjebak dalam masalah sosial, menghisap rokok, penyalahgunaan dadah, seks bebas. Semuanya ini memerlukan kita melihat semula kepada sistem pendidikan yang dilalui oleh anak-anak kita samada di sekolah mahupun di rumah.

Anak-anak sekolah kita lebih berbangga untuk menjadi jahat, mereka bangga kalau kenal samseng atau gangster di luar sekolah, sebaliknya murid yang ingin membuat perkara yang baik sering diperli, dikutuk dan diejek.

Penguatkuasa banyak terlibat dengan rasuah, mereka tidak amanah. Masyarakat kita juga dibelenggu dengan masalah perbezaan status yang diukur mengikut pekerjaan dan tahap ekonomi mereka. Pemungut sampah dianggap golongan rendah. Amat memalukan kalau berjalan kaki atau menggunakan pengangkutan awam. Sebaliknya menaiki dan memiliki kereta Mercedes dan BMW di pandang tinggi.

Apakah semua masalah dan kemelut yang kita hadapi hari ini ada kaitan dengan kepincangan dalam sistem pendidikan kita?

Tetapi yang pastinya, kalau kita semai benih lalang tidak mungkin kita akan menuai padi.

Wednesday, September 28, 2011

Mungkin anda tidak tahu, Singapore tidak selamat untuk pelancung dan banyak kejadian jenayah

Mungkin tajuk blog ini telah menarik minat anda untuk mengetahuinya lebih lanjut dan memaksa anda untuk masuk melawat blog ini.


Sebaliknya kalau saya tulis tajuk “Selatan Thai tidak selamat untuk pelancung dan banyak kejadian jenayah”, mungkin tidak siapa yang akan memperdulikannya, kerana semua orang sudah maklum dan bukanlah perkara yang luar biasa kepada kita semua.

Ramai orang tidak percaya dan mereka akan ketawa terbahak-bahak kalau saya katakan Singapore adalah Negara yang tidak selamat untuk dilawati dan banyak kejadian jenayah berlaku di sana.

Sebaliknya, kenapa orang ramai tidak boleh ketawa terbahak-bahak apabila saya mengatakan Johor adalah negeri yang tidak selamat kepada pelawat dari Singapore? Tentu anda ada jawapannya dalam hal ini.

Daripada kita menyalahkan orang atas kelemahan kita, lebih baik kita terus bekerja keras memperbaiki imej keselamatan Negara kita di mata orang ramai dan pelancung dari luar. Sehinggalah kita dapat capai tahap di mana orang ramai akan ketawa terbahak-bahak bila ada orang menuduh Negara atau negeri kita tidak selamat dan banyak jenayah.

Persepsi dan buah mulut orang ramai itu adalah maklumat yang sangat penting dan tidak boleh diambil ringan, kata orang, kalau tidak ada angin masakan pokok bergoyang.

Monday, December 20, 2010

Akta juvana perlu disemak semula

Ekoran dari kes pembunuhan yang melibatkan remaja di bawah umur 18 tahun seperti dilaporkan oleh akhbar Harian Metro pada 20 December 2010, sangat perlu akta juvana ini dipinda untuk memberikan hukuman yang lebih setimpal kepada pesalahnya.


BATU PAHAT: Bapa mangsa pembunuhan kejam, Siti Mazni, 14, yang ditemui di kebun kelapa sawit di Kampung Parit Ju Darat, Tongkang Pechah, di sini, Jumaat lalu, meminta kerajaan meminda hukuman pesalah juvana bagi mengelak kejadian sama berulang.

Abdul Rahman Hassan, 40, berkata remaja berusia bawah 18 tahun ketika ini dilindungi Akta Kanak-Kanak menyebabkan pesalah juvana dikecualikan
daripada hukuman berat seperti gantung sampai mati.

“Bagaimanapun, jika pesalah juvana terus dikecualikan hukuman berat terutama apabila melakukan kesalahan serius seperti membunuh dan merogol, tidak wajar pengecualian itu diberikan kepada mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam. Mengulas pembunuhan itu, Abdul Rahman berkata, dia reda dengan pemergian anaknya, tetapi masih sukar menerima cara kematian Siti.

“Saya minta pelakunya dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan supaya kejadian sama tidak berulang.

“Sebelum ini, hanya mereka berusia di atas 18 tahun dikenakan hukuman berat menyebabkan ada remaja jadi tidak bertanggungjawab kerana sedar hukuman tidak setimpal.


Dalam ajaran Islam pun, takrif dewasa itu dikira bila seseorang telah akal baligh. Bagi lelaki tanda akal baligh mereka ialah bila telah ‘bermimpi’, dan bagi wanita pula bila sudah datang haid.

Bila seseorang itu telah mencecah umur akal baligh, mereka mesti bertanggungjawab ke atas diri mereka sendiri. Dosa-dosa akan diambil kira jika mereka melakukan kesalahan dan tidak lagi dipikulkan kepada ibubapa mereka.

Organ yang paling akhir mencapai kesempurnaan dalam tubuh badan kita ialah organ sex. Apabila organ sex telah sempurna, seseorang itu dianggap telah dewasa dan boleh menyumbang kepada kelahiran zuriat.

Zaman sekarang, kanak-kanak lebih cepat dan lebih banyak terdedah dengan ilmu pengetahuan. Dengan berbagai kemudahan teknologi yang ada hari ini mereka cepat menguasai ilmu pengetahuan berbanding kanak-kanak yang hidup pada masa dulu.

Oleh kerana kanak-kanak sekarang berpengetahuan tinggi, maka tidak timbul lagi kalau pengecualian diberi kepada kanak-kanak bawah umur 18 tahun ini atas alasan kerana mereka tidak cukup pengetahuan untuk berfikir.

Oleh itu memang wajar kanak-kanak yang telah akal baligh yang melakukan jenayah ganas, seperti rogol dan pembunuhan, dikenakan hukuman yang berat, walaupun umur mereka masih di bawah 18 tahun.

Berbanding amalan sekarang, pesalah juvana yang melakukan kesalahan membunuh tidak dikenakan apa-apa hukuman selain dari diperintahkan diasingkan di sekolah Henry Gurney untuk proses pemulihan.

Kanak-kanak yang nakal dan ganas ini biasanya telah dapat dikesan semasa mereka bersekolah. Kanak-kanak ini selalu melanggar disiplin sekolah, mereka bersikap samseng, menghisap rokok dan mengacau murid-murid lain yang hendak belajar disekolah tersebut.

Sepatutnya murid-murid yang samseng tegar ini, diasingkan ke sekolah asrama penuh khas untuk mereka, untuk dipulihkan sikap dan disiplin mereka.

Kalau kita dapat mengambil tindakan lebih awal, tentulah kita dapat mengelakkan mereka sampai terlibat dengan jenayah yang lebih ganas, termasuk membunuh.

Tetapi amalan yang ada hari ini, kerajaan kita lebih berminat dan menumpukan untuk mengurung murid-murid yang cemerlang di dalam sekolah-sekolah asrama penuh.

Friday, September 24, 2010

Sosila Malai Mere Minkijar Inspector Sahab


Mungkin sekarang ini ramai pengarah dan pengeluar filem Bollywood sedang memikirkan untuk membuat satu cerita filem yang ada kaitan dengan kisah pembunuhan Sosilawati oleh peguam yang menjadi suspek utama dalam kes tersebut.

Di tangan pengarah-pengarah filem Bollywood, cerita ini akan menjadi lebih menarik yang tentunya dipenuhi oleh elemen-elemen suspen dan thriller, yang membuatkan penonton cemas dan tidak boleh duduk diam di kerusinya.

Seperti biasa dalam filem-filem Bollywood akan ada pegawai-pegawai polis yang tamak yang boleh dibeli oleh samseng berprofil tinggi. Pegawai-pegawai polis ini akan melindungi kerja-kerja gelap ketua samseng yang berpengaruh ini, dan sebagai balasan, pegawai-pegawai polis ini akan mendapat habuan yang besar dari ketua samseng tersebut.

Di sana akan ditonjolkan seorang manusia yang mempunyai dua wajah yang berbeza. Di satu wajah dia dilihat sebagai seorang peguam memperjuangkan keadilan dan membela rakyat yang memerlukan pembelaan, dan di sebalik itu dia seorang yang kejam, yang sanggup membunuh ramai orang untuk memenuhi agenda dan kepentingannya.

Sudah terbayang juga kepada kita filem itu akan disulami oleh tarian-tarian yang ditarikan oleh penari-penari wanita jelita yang berpakaian menjolok mata bagi menghiburkan tetamu-tetamu istimewa ketua samseng tersebut, berlangsung dalam kediaman mewah lagi eksklusif.

Untuk menjadikan lebih menarik lagi dan tidak mengeciwakan penonton, watak Sosilawati dalam cerita ini tidak akan dimatikan, sebaliknya dia mungkin menjadi hero yang akan menggunakan segala kepintarannya untuk mendedah dan menghapuskan kerja-kerja jahat si peguam itu.

Penonton tentu sentiasa berasa cemas melihat Sosilawati, seorang perempuan, cuba melepaskan diri dari cengkaman peguam yang berpura baik itu. Sedangkan di kawasan itu hampir tidak ada jalan untuk keluar, di kawal rapi dan bertembok tinggi.

Di akhir cerita filem yang penuh aksi ini, penonton berasa lega, Soliwati akhirnya dapat melepaskan diri, peguam jahat dan polis yang bersubahat dengannya ditangkap dan akan dihadapkan ke makamah untuk dihukum atas segala kesalahan yang mereka lakukan.

Saya tidak nampak, jika kisah ini mahu difilemkan oleh pengeluar filem di Negara kita seperti Datuk Yusuf Haslam, akan menjadi satu filem yang menarik. Kerana pengarah filem kita terikat dengan etika, polis mesti dilihat baik di dalam filem.

Kalau mahu difilemkan juga, ia tidak lebih kelihatan seperti siri drama Gerak Khas di RTM yang membosankan penonton itu.

Friday, December 25, 2009

Kehilangan Enjin Jet F-5E, Pengurusan Malaysia yang korup

MENJIJIKKAN dan memalukan, itulah yang dapat kita simpulkan bila membaca berita pendedahan kehilangan enjin jet pejuang F-5E kepunyaan TUDM beberapa hari yang lalu.

Ini hanyalah secebis kisah dari berpuluh-puluh kisah salah laku yang berlaku dalam pengurusan agensi-agensi kerajaan mahupun swasta di negara kita yang dilapur dan didedahkan, dan mungkin ada beratus-ratus lagi salah laku yang tidak pernah didedah dan tidak pernah diambil endah.

Semua kes-kes salah laku ini bukan sahaja mencerminkan bagaimana tidak teratur dan tidak sistematiknya sistem pengurusan agensi-agensi ini tetapi lebih dari itu, masyarakat kita telah hilang integriti, tidak lagi menghiraukan etika dan rendah akhlak.

Kita semua seperti dilanda penyakit mengejar kekayaan wang ringgit tanpa mengira cara mendapatkannya samada halal atau haram. Apabila telah menjadi duit, ia kelihatan sama saja, tidak ada siapa yang tahu samada duit halal atau duit haram.

Mungkin kita telah dirasuk fahaman, siapa yang mempunyai wang akan dipandang tinggi dan mulia dalam masyarakat. Status manusia sekarang diukur dari pemilikan kekayaan dan harta benda. Lantaran itu berlumba-lumbalah kita mengejar dan mengumpul kekayaan tanpa mengira sumbernya halal atau haram.

Tidak hairanlah kalau kita berbual-bual dengan orang-orang awam, kita akan mendengar keluhan dan cerita-cerita yang tidak menyenangkan, dimana-mana sahaja berlaku salah laku dalam masyarakat kita. Semuanya kerana wang.

Pemandu teksi yang cekik darah dan tidak menggunakan meter. Ulat-ulat tiket dan syarikat bas yang bersekongkol dengan ulat tiket untuk mendapatkan untung lebih, sentiasa menjadi pemandangan biasa di setesen-stesen bas di negara kita.

Terlepasnya barang-barang terlarang dan bercukai masuk ke negara kita, terlepasnya ramai pendatang-pendatang tanpa izin yang tanpa permit masuk ke negara kita.

Barang-barang yang dibekal oleh pembekal yang mendapat tender untuk kegunaan agensi-agensi kerajaan atau swatsa yang bermutu rendah, malah ada kes barang tidak dibekal tetapi tuntutan bayaran telah dibuat.

Ada kontraktor menuntut bayaran atas kerja-kerja atau program yang tidak pernah dibuat.
Ada pemaju mendapat projek atas dasar hubungan politik bukan atas dasar kebolehan membuat kerja.

Banyak projek yang di alibaba, yang dapat projek orang lain, yang melaksanakannya pula orang lain. Ambil duit atas angin.

Pegawai-pegawai yang berkuasa meluluskan projek pula tidak teragak-agak meminta habuan dari pemaju-pemaju, akibatnya pemaju terpaksa menurunkan kualiti bahan binaan untuk menampung wang habuan ini.

Politik wang sudah menjadi amalan yang sukar dibendung, semuanya atas dasar bagi secupak kaut segantang.

Kalau dalam filem aksi Amerika, kita diperlihatkan bagaimana penjenayah menggunakan senjata berat dan helikopter melakukan rompakan secara ganas untuk mencuri barang berharga seperti enjin jet pejuang F-5E ini, dan akan ada rakyatnya yang patriotik menghalang dan melawan penjenayah ganas ini. Tetapi di negara kita, pegawai kita sendiri yang merompak tanpa melepaskan sebiji peluru pun.

Di jalan-jalan raya anak-anak muda kita terkinja-kinja dirasuk dadah, malam hari mereka merempit dan melepak hingga ke subuh. Mereka bergaul tanpa batas, bayi di buang merata tanpa belas.

Kanak-kanak dibunuh dan diperkosa tanpa tujuan, wanita-wanita kita sentiasa dihantui oleh peragut.

Masalah dadah tidak pernah selesai, pengedar-pengedar dadah kaya raya membuat duit hasil jualan dadah. Masalah ahlong pemberi pinjam duit tidak berlesen terus bermaharajalela, tidak pernah gentar dengan polis dan penguatkuasa.

Pegawai Polis trafik kita juga ada yang menerima wang bulanan dari syarikat lori dan wang habuan kerana tidak mengambil tindakan keatas pesalah lalulintas. Pegawai JPJ, kastam dan imegresyen kita juga tidak terlepas dari terlibat dengan amalan rasuah, mereka hidup mewah melebihi kemampuan mereka hasil dari duit rasuah.

Mungkin mereka lupa, akibat amalan rasuah dan salah laku itulah yang akan menjemput berbagai-bagai masalah lain kepada rakyat dan negara kita. Yang akhirnya tidak akan menguntungkan sesiapa pun, termasuk orang dan keluraga yang menerima rasuah dan mengamalkan salah laku itu sendiri.

Semua penyakit-penyakit ini telah membarah ke dalam semua lapisan masyarakat kita. Tidak boleh kita menyalahkan sesiapa kenapa perkara ini berlaku, sebaliknya kita sendirilah yang kena berubah.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com