Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".
Showing posts with label Rasuah. Show all posts
Showing posts with label Rasuah. Show all posts

Friday, September 24, 2010

Sosila Malai Mere Minkijar Inspector Sahab


Mungkin sekarang ini ramai pengarah dan pengeluar filem Bollywood sedang memikirkan untuk membuat satu cerita filem yang ada kaitan dengan kisah pembunuhan Sosilawati oleh peguam yang menjadi suspek utama dalam kes tersebut.

Di tangan pengarah-pengarah filem Bollywood, cerita ini akan menjadi lebih menarik yang tentunya dipenuhi oleh elemen-elemen suspen dan thriller, yang membuatkan penonton cemas dan tidak boleh duduk diam di kerusinya.

Seperti biasa dalam filem-filem Bollywood akan ada pegawai-pegawai polis yang tamak yang boleh dibeli oleh samseng berprofil tinggi. Pegawai-pegawai polis ini akan melindungi kerja-kerja gelap ketua samseng yang berpengaruh ini, dan sebagai balasan, pegawai-pegawai polis ini akan mendapat habuan yang besar dari ketua samseng tersebut.

Di sana akan ditonjolkan seorang manusia yang mempunyai dua wajah yang berbeza. Di satu wajah dia dilihat sebagai seorang peguam memperjuangkan keadilan dan membela rakyat yang memerlukan pembelaan, dan di sebalik itu dia seorang yang kejam, yang sanggup membunuh ramai orang untuk memenuhi agenda dan kepentingannya.

Sudah terbayang juga kepada kita filem itu akan disulami oleh tarian-tarian yang ditarikan oleh penari-penari wanita jelita yang berpakaian menjolok mata bagi menghiburkan tetamu-tetamu istimewa ketua samseng tersebut, berlangsung dalam kediaman mewah lagi eksklusif.

Untuk menjadikan lebih menarik lagi dan tidak mengeciwakan penonton, watak Sosilawati dalam cerita ini tidak akan dimatikan, sebaliknya dia mungkin menjadi hero yang akan menggunakan segala kepintarannya untuk mendedah dan menghapuskan kerja-kerja jahat si peguam itu.

Penonton tentu sentiasa berasa cemas melihat Sosilawati, seorang perempuan, cuba melepaskan diri dari cengkaman peguam yang berpura baik itu. Sedangkan di kawasan itu hampir tidak ada jalan untuk keluar, di kawal rapi dan bertembok tinggi.

Di akhir cerita filem yang penuh aksi ini, penonton berasa lega, Soliwati akhirnya dapat melepaskan diri, peguam jahat dan polis yang bersubahat dengannya ditangkap dan akan dihadapkan ke makamah untuk dihukum atas segala kesalahan yang mereka lakukan.

Saya tidak nampak, jika kisah ini mahu difilemkan oleh pengeluar filem di Negara kita seperti Datuk Yusuf Haslam, akan menjadi satu filem yang menarik. Kerana pengarah filem kita terikat dengan etika, polis mesti dilihat baik di dalam filem.

Kalau mahu difilemkan juga, ia tidak lebih kelihatan seperti siri drama Gerak Khas di RTM yang membosankan penonton itu.

Saturday, December 12, 2009

Hadiah Haji dan Rasuah


ADAKAH hadiah haji yang diberikan kepada MB Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat itu boleh dikategorikan sebagai rasuah? Nilailah sendiri melalui kupasan yang dibentangkan dalam artikel di bawah:

Apabila kita memberi khidmat dan sumbangan tanpa mengharapkan apa-apa balasan maka itu dinamakan ikhlas. Ikhlas adalah satu nilai murni yang mesti menjadi ciri amalan atau budaya kepada sebuah masyarakat kelas pertama.

Kalau kepada orang Islam yang dimaksudkan dengan ikhlas itu adalah semua perbuatan dan tindakan kita hanyalah kerana Allah semata. Kita buat baik hanya kerana Allah bukan kerana yang lain-lain. Adalah dicela kalau kita berbuat baik dengan niat untuk mengharapkan balasan.


Berbuat baik yang dimaksudkan di sini mestilah selari dengan ajaran agama. Kalau ada orang yang meletupkan dirinya bagi memberikan rasa gerun kepada musuhnya walaupun niat dia begitu ikhlas untuk memperjuangkan Islam, ini tidaklah boleh dikatakan sebagai ikhlas yang selari dengan kehendak Islam.


Dengan kata lain perbuatan yang dilakukan dengan ikhlas itu mestilah juga selari dengan nilai agama atau norma-norma masyarakat yang baik.


Semasa perang Vietnam satu masa dulu, kebanyakan rakyat Vietnam percaya dengan yakin fahaman kominis adalah fahaman yang terbaik yang dapat menjanjikan kesejahteraan kepada kehidupan manusia. Mereka berjuang begitu ikhlas untuk memperjuangkan fahaman tersebut. Mereka sanggup menggadai harta benda malah nyawa mereka sendiri demi memperjuangkan fahaman kominis.


Setelah perjuangan mereka berjaya dan setelah beberapa lama kominis diamalkan di Vietnam, keadaan Vietnam tidaklah sebaik mana, fahaman kominis telah melunturkan semangat daya saing kepada manusia. Bukan saja Vietnam bahkan negara-negara kominis lain pun tidak dapat maju setanding negara bukan kominis. Malah banyak negara kominis kini telah mengambil pendekatan yang lebih realistik agar dapat menyesuaikan diri dengan dunia sekarang, termasuklah membuka pasaran kepada dunia luar dan menerima pelabur asing.


Walaupun perjuangan mereka dilakukan dengan ikhlas tetapi belum tentu apa yang diperjuangkan oleh mereka itu adalah suatu yang betul.


Dulu di awal perjuangan UMNO menuntut kemerdekaan ramai orang-orang Melayu memberi sumbangan untuk menggerakkan perjuangan ini. Kaum wanitanya tidak teragak-agak menyumbangkan barang-barang kemas mereka untuk tujuan tersebut. Mereka lakukan dengan ikhlas hati demi ingin melihat negara tercinta ini terlepas dari belenggu penjajah.


Di dalam parti PAS juga ada individu-individu yang memberi sumbangan terutamanya dalam bentuk wang ringgit kepada parti. Malah ada yang memotong sebahagian gaji mereka tiap-tiap bulan sebagai sumbangan ikhlas kepada parti. Mereka lakukan dengan niat ikhlas demi perjuangan menegakkan negara Islam.


Begitu juga ada yang memberi sumbangan dan derma ikhlas kepada badan-badan kebajikan sukarela bagi membantu badan-badan ini menjalankan aktiviti-aktiviti mereka. Sumbangan ikhlas tanpa mengharapkan balasan ini sangatlah dialu-alukan.


Tetapi dalam pada itu ada juga orang atau syarikat yang memberi sumbangan dengan mengharapkan balasan. Sebagai contoh, mereka memberi sumbangan wang kepada satu-satu parti politik dengan mengharapkan pemimpin parti politik itu akan membalas dengan memberikan kepadanya atau syarikatnya tender-tender projek kerajaan yang di bawah kuasa parti politik tersebut. Kadang-kadang kita tidak pasti samada sumbangan yang diberikan itu benar-benar ikhlas untuk membantu atau tidak. Hanya orang yang memberi sumbangan itu saja yang tahu niat sebenarnya. Sudah tentu kita tidak boleh mengetahui apa yang tersirat di dalam hati seseorang.


Tetapi yang lebih malang lagi sekiranya parti politik itu sendiri yang meminta wang sumbangan dari individu atau syarikat kepada parti sebagai syarat jaminan untuk mereka mendapat tender projek kerajaan. Dalam hal seperti ini ia boleh dikategorikan sebagai memberi dan meminta rasuah.


Dalam usaha menangani rasuah telah dibuat satu peraturan, pegawai dan kakitangan kerajaan di negara kita tidak dibenarkan menerima hadiah dalam bentuk apa pun dan pada bila-bila masa pun dari orang perseorangan mahupun dari syarikat. Ini adalah untuk mengelakkan pegawai tersebut menjadi pilih kasih atau akan boleh mempengaruhi pegawai tersebut dalam memberikan tender-tender kerajaan.


Dalam Islam hadiah bukanlah suatu perkara yang dilarang malah ia amat digalakkan bagi menjalin keakraban antara anggota masyarakat. Tetapi pemberian hadiah dalam Islam mestilah dengan ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Yang menjadi kesalahan bila kita bagi hadiah dengan mengharapkan suatu balasan. Samada kita ikhlas dalam pemberian hadiah itu hanya Tuhan saja yang tahu. Oleh itu memang ada wajarnya undang-undang yang melarang pegawai kerajaan dari menerima hadiah kerana kita tidak akan boleh tahu hadiah itu diberikan dengan ikhlas atau tidak.


Di zaman sekarang ini sudah menjadi kebiasaan jika ada orang atau syarikat memberi sumbangan yang besar kepada parti politik yang memerintah bagi mempastikan mereka sentiasa diberi keutamaan dalam pemberian projek-projek kerajaan. Di pihak parti politik pula setiap sumbangan besar dari individu atau syarikat pastinya akan mendapat balasan yang setimpal. Akhirnya pemilihan berdasarkan meritokrasi akan tinggal sebagai omongan kosong saja, realitinya siapa yang banyak menyumbang dialah yang akan dipilih.


Walaupun kita sedar memberi sumbangan untuk mengharapkan balasan itu salah, tetapi siapalah dapat membuktikan mereka menyumbang untuk mengharapkan balasan, kerana Tuhan saja yang tahu apa yang ada dalam hati mereka.


Kalau hendak disekat sumbangan orang ramai kepada parti politik bagi tujuan mengelakkan sumbangan tidak ikhlas ini tidak boleh juga. Parti politik perlukan banyak wang untuk bergerak dan berkempen, sudah tentu salah satu sumber kewangannya ialah melalui sumbangan orang ramai.


Tetapi jika pemimpin-pemimpin parti politik jujur dan benar-benar berpegang pada prinsip yang baik tentunya tidak akan mengharapkan sumbangan yang tidak ikhlas, berapa besar pun sumbangan yang diterimanya dari individu atau syarikat tidak akan mempengaruhinya dalam membuat keputusan.


Manakala pemimpin yang lemah dan tidak berprinsip akan sentiasa mengharapkan sumbangan dari syarikat-syarikat untuk partinya bergerak, akhirnya menjadikan mereka sentiasa berasa terhutang budi kepada syarikat-syarikat yang telah menyumbang. Tidak hairanlah bila syarikat-syarikat ini gagal atau tidak sempurna melaksanakan projek-projek yang diberikan, tidak ada tindakan keras yang boleh dibuat keatas syarikat tersebut disebabkan adanya rasa terhutang budi itu. Itulah padahnya bila sudah terhutang budi, maruah dan ‘body’ akan tergadai.


Itulah pentingnya setiap tindakan dan perbuatan kita mesti dimulakan dengan niat yang baik dan ikhlas kerana kesudahannya kita semua akan mendapat kebaikan jua.

Tuesday, September 23, 2008

Mana Kredibiliti BPR? ~ ref Malaysiakini.

Petikan berita dari Malaysiakini:

“Former Sapp deputy president Raymond Tan claims that he had intervened in June to deter an anti-graft investigation against party president Yong Teck Lee.”

Kalaulah benar seperti yang didakwa oleh Timbalan Presiden SAPP itu yang mengatakan, dengan adanya campurtangan beliaulah menyebabkan BPR telah tidak meneruskan siasatan rasuah terhadap Presiden Parti SAPP, Yong Teck Lee, maka dimanakah kredibiliti BPR yang Ketua Pengarahnya selalu berkata BPR tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak dalam menjalankan siasatan dan dakwaan.



Alahai BPR, alahai Ahmad Said. Kang kalikong................. Loya tekak teman.

Tuesday, July 10, 2007

Kita tak boleh lari dari dihukum oleh alam

Ramai orang menyangka selagi mereka dapat melepaskan diri dari dikenakan tindakan undang-undang selagi itulah mereka merasakan diri mereka selamat. Mereka lupa, sekali pun mereka terlepas dari dihukum oleh undang-undang, sebenarnya mereka tidak boleh terlepas dari dihukum oleh alam.

Mungkin mereka selamat dari dikenakan tindakan undang-undang, namun begitu lambat laun pasti tidak akan terlepas dari menerima hukum alam akibat dari perbuatan buruk mereka itu, tanpa mereka sendiri sedari.

Sebagai contoh, kita mungkin boleh mengambil jalan mudah dengan membuang sampah dan sisa toksid ke dalam longkang, parit atau sungai tanpa dapat dikesan oleh pihak penguat kuasa undang-undang. Tetapi perbuatan buruk kita ini akhirnya akan membuatkan parit dan longkang tersumbat. Setiap kali hujan, banjir kilat akan melanda yang mungkin boleh merosakkan harta benda awam dan harta benda kita sendiri.Bila banjir kilat kerap berlaku di Bandar, akan turut juga menjejaskan perniagaan dan sedikit sebanyak menjejaskan industri pelancungan.

Sungai dan laut yang dicemari akan membunuh kehidupan air. Sungai dan laut yang sepatutnya dapat memberikan orang ramai sumber air bersih dan sumber makanan seperti ikan tidak dapat di manafaatkan lagi. Bukan sahaja nelayan akan kehilangan sumber pendapatan, kita juga sebagai pengguna terpaksa membayar lebih mahal untuk mendapatkan air dan ikan kerana sumber tersebut telah semakin berkurang.

Sebenarnya kehidupan kita di alam ini sentiasa bergantung dan saling memerlukan antara satu sama lain. Setiap tindak tanduk dan perbuatan kita tetap menerima ‘tindakan berantai’. Kalau kita melakukan perkara baik ia akan menghasilkan rantaian tindakbalas yang baik sebaliknya kalau kita melakukan perkara yang tidak baik pula ia akan menghasilkan rantaian tindakbalas yang tidak baik.

Sesetengah dari kita mempunyai sikap tidak menjaga kemudahan awam yang disediakan kerajaan dengan baik kerana beranggapan kemudahan awam bukan harta milik kita. Malah lebih menyedihkan ada yang sanggup dengan sengaja merosakkan kemudahan awam ini. Perbuatan buruk mereka itu bukan sahaja akan menyusahkan orang ramai termasuk diri mereka sendiri yang menggunakannya tetapi juga lebih banyak wang diperlukan oleh kerajaan atau pihak yang menyediakannya bagi menyelenggara dan membaikinya.

Wang yang diguna untuk membaiki itu adalah datang dari cukai yang dikutip atau keuntungan syarikat yang menyediakan kemudahan itu. Sedangkan wang cukai dan hasil keuntungan itu adalah dibayar oleh orang ramai juga. Sepatutnya wang yang digunakan untuk membaiki kerosakan tersebut boleh digunakan untuk menambah lebih banyak lagi kemudahan awam.

Malah bagi menampung kos penyenggaraan dan pembaikan yang tinggi ini memaksa pihak yang menyediakan kemudahan ini menaikan harga barangan dan perkhidmatan yang mereka berikan, yang tentunya kita juga yang akan menanggung bebannya.

Peniaga-peniaga yang tidak berhemah, menipu pelanggan, tidak bertimbang rasa, menjual barangan dengan harga yang tinggi kerana mementingkan keuntungan pasti akan kehilangan pelanggan akhirnya. Sekalipun peniaga-peniaga seperti ini boleh terlepas dari dikenakan tindakan undang-undang namun perniagaan mereka pasti tidak akan kekal lama kerana pelanggan akan berasa serik untuk berurusan dengan peniaga yang sedemikian.

Di sinilah pentingnya kita menghindarkan dari melakukan perkara-perkara tidak baik kerana kesan buruknya tetap kita terima juga sekalipun kita boleh terlepas dari tindakan undang-undang.

Kalau kita hanya memejamkan mata dengan masalah dadah dewasa ini dengan beranggapan ia bukan masalah kita, itu adalah sikap yang tidak betul. Sekalipun kita tidak terlibat dengan gejala dadah tetapi dapatkah kita menjamin anak-anak kita atau saudara mara kita dari terus terlepas dari jangkitan masalah dadah ini. Dan dapatkah kita menjamin yang kita boleh terlepas dari berlaku ke atas diri kita perbuatan jenayah seperti kes pecah rumah, kes ragut, kes curi yang banyak dilakukan oleh penagih-penagih dadah kerana terdesak bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah.

Tenaga kerja untuk membangunkan negara akan lumpuh kalau banyak anak muda kita menagih dadah, akhirnya negara kita bergantung kepada buruh asing yang juga tidak kurang membawa masalah sosial kepada kita.

Apakah pengedar-pengedar dadah yang memiliki kekayaan kerana hasil dadah boleh hidup senang selamanya, padahal akibat perbuatan mereka itu menjadikan bilangan penagih dadah semakin ramai. Dapatkah pengedar-pengedar dadah ini menikmati kekayaannya dengan selesa kalau semua orang adalah penagih-penagih dadah.

Rasuah juga adalah amalan yang amat tercela, penerima rasuah merasakan diri mereka mendapat faedah dan keuntungan tanpa perlu kerja bersusah payah. Tetapi dengan memberi rasuah, pihak yang membina bangunan, jalanraya, jambatan umpamanya terpaksa menggunakan bahan-bahan murah dan tidak berkualiti pada binaannya bagi menampung wang rasuah yang terpaksa diberi itu.

Akibatnya binaan yang disiapkan tidak dapat bertahan lama atau cepat rosak kerana tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan. Akhirnya lebih banyak wang terpaksa dibelanjakan untuk membaiki atau membina semula binaan yang rosak ini. Binaan yang tidak berkualiti ini bukan sahaja akan merbahayakan orang ramai tetapi juga secara tidak langsung terpaksa menanggung beban membayar semua kos-kos yang tak perlu itu.

Penipisan lapisan ozon, pemanasan global, taufan yang kerap berlaku adalah bentuk-bentuk tindakbalas alam kepada manusia kerana perbuatan buruk sesetengah manusia yang tamak tanpa menghiraukan kesannya kepada alam kita.

Tindakan undang-undang dikenakan kepada individu yang melakukan kesalahan sebaliknya hukum alam bukan sahaja akan terkena kepada orang yang membuat salah tetapi orang yang tidak buat salah pun akan terkena juga tempiasnya.

Di sinilah pentingnya tanggung jawab sosial perlu ada di kalangan setiap kita bagi mengatasi kepincangan dalam masyarakat bagi menjamin kehidupan kita sentiasa berada dalam keadaan yang baik. Sekalipun kita tidak suka melakukan kejahatan atau kesalahan, kita juga perlu ambil tahu masalah yang ada dalam masyarakat kita dengan menyumbang tenaga, fikiran atau wang ringgit untuk menyelesaikan penyakit-penyakit yang ada dalam masyarakat kita. Kebaikan yang kita berikan ini pastinya akan menghasilkan rantaian tindakbalas kebaikan, yang faedahnya akan kembali kepada kita juga.

Oleh itu setiap malam sebelum kita tidor haruslah kita bertanya pada diri kita, apakah kebaikan yang telah lakukan di siang harinya kerana ini saja dapat menjamin kebaikan yang berterusan kepada diri kita di keesokan hari.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com