Hari Rabu lepas (21 May 2014) kakak aku telefon menyampaikan
berita Induk Buruk telah meninggal dunia pada hari semalamnya dan telah
dikebumikan di kampung kerana sakit tua. Memang sudah lama aku ingin bertemu
dengan Induk Buruk, dengar cerita, dia tinggal dengan anak perempuannya yang
bernama Mahanum di Klang, Selangor. Malah sejak kebelakangan ini hati aku
begitu kuat hendak bertemu dengannya, rasanya sudah lebih 10 tahun tidak jumpa
dengan dia.
Tetapi hingga hari kematiannya aku tidak dapat kesempatan
dan peluang untuk bertemu dengan dia. Mungkin tidak ada keperluan yang penting
untuk bertemu dengannya, maka aku selalu bertangguh dan hanya mengharapkan akan
bertemu dia di satu hari nanti. Rasa sedikit kesal juga kerana tidak dapat
bertemu dengan dia sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Siapakah Induk buruk?
Induk Buruk bukan seorang yang sangat penting kepada
keluarganya, apatah lagi kepada kita semua. Dia hanya seorang OKU perempuan
yang mempunyai otak lemban atau bodoh-bodoh alang. Dia tidak boleh menguruskan
dirinya dengan baik seperti orang normal. Dia hanya boleh membuat kerja-kerja
dengan arahan dan perlu dipantau.
Induk Buruk adalah anak angkat kepada moyang aku yang
bernama Sombun yang tinggal di Kampung Ulu Rembang Panas. Sombun hanya
mempunyai seorang anak lelaki bernama Dahan. Oleh kerana Sombun tidak ada anak
perempuan, dia telah mengambil Induk Buruk sebagai anak angkatnya. Anak
perempuan sangat penting dalam keluarga masyarakat Negeri Sembilan kerana anak
perempuan penting sebagai pewaris pusaka adat. Induk Buruk bukanlah orang asing
kepada Sombun, ibu kandung Induk Buruk adalah anak kepada adiknya sendiri.
Dengan kata lain Induk Buruk adalah anak saudaranya juga.
Semasa Induk Buruk diserahkan kepada Sombun, dia adalah
seorang kanak-kanak yang normal, tetapi pada satu hari badan Induk Buruk telah
terkena air panas. Sejak peristiwa itu Induk Buruk telah bertukar menjadi orang
kurang upaya (OKU). Begitulah kehendak Tuhan ke atas Induk Buruk.
Bila sampai umur dewasa, Induk Buruk dikahwinkan oleh
ibubapa angkatnya. Dengan suaminya bernama Mansor, Induk Buruk dikurniakan tiga
orang anak. Walaupun Induk Buruk tidak ada kemahiran untuk membesarkan bayi,
tetapi ini tidak jadi masalah kerana Sombun dan suaminya Majid mengambil alih
peranan sebagai ibubapa kepada anak-anak Induk Buruk. Tugas Induk Buruk hanya
menyusukan anak-anaknya sahaja, yang lain-lain itu semua diuruskan oleh Sombun.
Kehidupan Induk Buruk adalah juga sebahagian dari hidup aku,
di masa kecil aku kerap bertandang ke rumah moyangku Sombun yang merupakan ibu
angkat Induk Buruk. Oleh itu aku tahu sangat kehidupan Induk Buruk.
Mengangkat air dalam baldi untuk keperluan memasak dan
membasuh pinggan dari perigi hingga ke rumah yang jaraknya tidak kurang dari 100
meter adalah merupakan rutin harian Induk Buruk. Di musim bersawah,Induk Buruk
turut membantu kerja-kerja di sawah. Induk Buruk kuat makan kerana dia kuat
bekerja. Ketika makan, dia akan makan dalam pinggan aluminium khas untuknya.
Kenapa dia makan dalam pinggan khas itu, tidaklah aku tahu.
Selalunya Induk Buruk berpakaian comot, sesuai untuk membuat
kerja-kerja di kampung. Pernah satu hari
anak Induk Buruk dalam buaian menangis kerana lapar hendak menyusu. Moyang aku
Majid (suami Sombun) yang sangat sayangkan cucunya itu menjerit memanggil Induk
Buruk supaya balik ke rumah segera untuk menyusukan anak itu. Berkali-kali dia
menjerit memanggil Induk Buruk tetapi Induk Buruk yang asyik membuat kerja di
sawah tidak juga balik.
Moyang aku Majid sangat marah, lalu dicapainya rotan dan pergi
mencari Induk Buruk di sawah. Tidak berapa lama kemudian aku nampak Induk Buruk
berjalan pulang ke rumah sambil diekori oleh moyangku Majid dengan rotan
ditangannya. Tidaklah aku tahu Induk Buruk telah kena rotan atau tidak, mungkin
sekadar mahu menakut-nakutkannya sahaja.
Satu hari ketika aku berumur enam tahun, moyangku Majid
menyuruh Induk Buruk pergi memeriksa perangkap pelanduk (kancil) yang telah
dipasangnya di hutan di kawasan yang tidak berapa jauh dari rumahnya. Aku dan
beberapa kanak-kanak lain ikut sama menemani Induk Buruk. Nasib agak baik, pada
hari itu perangkap mengena. Induk Buruk membawa balik pelanduk yang kena
perangkap itu ke rumah, kami yang mengiringinya rasa sangat gembira kerana
dapat melihat pelanduk.
Dalam perjalanan balik ke rumah, aku meminta kepada Induk
Buruk untuk rasa memegang pelanduk itu. Induk Buruk memang sayangkan
kanak-kanak. Memang perkara biasa di mana-mana pun kita akan dapat melihat
kanak-kanaklah yang suka melayan orang OKU yang dewasa, bercakap-cakap dengan
mereka. Sebaliknya orang dewasa jarang hendak bercakap-cakap dan bercerita
dengan orang dewasa OKU yang berotak lemban.
Induk Buruk tidak menghampakan permintaan aku untuk rasa
memegang pelanduk yang hidup itu. Sebaik saja pelanduk itu berada dalam
pegangan aku, ia meronta dengan sekuat tenaganya menyebabkan kaki pelanduk itu
terlepas dari genggaman aku. Aku
terkejut dan pelanduk itu lepas lari.
Mungkin Induk Buruk sudah menjangka perkara ini akan
berlaku, secepat kilat Induk Buruk bertindak pantas mengejar pelanduk tersebut.
Mungkin pelanduk itu telah banyak hilang tenaga kerana banyak meronta dalam
perangkap dan telah lama tidak makan, pelanduk yang agak lemah itu mudah saja
ditangkap semula oleh Induk Buruk. Akhirnya malam itu kami dapat makan nasi
berlauk daging pelanduk.
Kehidupan Induk Buruk menjadi susah dan amat daif sekali bila
ibu angkatnya Sombun meninggal dunia. Sombun adalah tempat Induk Buruk
bergantung hidup, selama ini Sombunlah yang mengatur dan menguruskan segala kehidupannya. Selepas kematian Sombun, Induk Buruk bersama
suami dan anak-anaknya hanya bergantung kepada belas ihsan orang-orang kampung
saja.
Setelah suaminya meninggal, Induk Buruk telah di bawa oleh
anaknya Mahanum tinggal bersamanya di Klang. Sejak itu aku tidak pernah bertemu
lagi dengan Induk Buruk. Dan kini dia telah pergi meninggalkan kehidupan dunia
yang tidak berapa indah kepada orang-orang yang sepertinya. Dunia ini hanyalah
sekadar tempat dia menumpang di celah-celah kita semua, sementara menunggu Tuhan
menjemputnya ke alam abadi. Tentunya di alam akhirat yang abadi, Induk Buruk
tidak lagi buruk seperti namanya dan tidak lagi tinggal di rumah yang buruk.
Induk Buruk mungkin tidak dikenal oleh penduduk bumi tetapi mungkin
dia disanjung oleh penduduk langit. Moga Tuhan menempatkan dia di syurgaNya
bersama-sama dengan orang-orang yang dia sayang. Al Fatihah, dari Mu dia
datang, kepada Mu juga dia kembali.
No comments:
Post a Comment