Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".
Showing posts with label jabatan agama. Show all posts
Showing posts with label jabatan agama. Show all posts

Monday, January 30, 2012

Budaya nilai mulia dibentuk melalui latihan, bukan dengan cakap saja

Dalam komuniti Islam, kita diseru atau diperintahkan supaya berkelakuan baik, berakhlak mulia seperti memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan, menghormati dan tidak menyakiti hati jiran, tidak mementingkan diri sendiri, mengasihi orang tua dan anak yatim, mentaati Tuhan dan ibubapa, memuliakan tetamu dan bermacam-macam nilai mulia lagi.


Untuk mencapai matalamat menjadi manusia yang dapat menghayati akhlak mulia yang dinyatakan di atas, terdapat latihan-latihan yang perlu mereka jalani secara berterusan samada dalam bentuk harian, mingguan dan tahun.

Latihan-latihan ini biasa kita panggil sebagai ibadah khusus seperti sembahyang, puasa, sembahyang Jumaat, zakat, korban dan haji.

Sebagai contoh, ibadat zakat dan korban, melatih diri kita supaya menjadi orang yang sanggup membantu orang susah dan miskin dengan mengorbankan wang ringgit dan harta yang kita sayang. Kita juga tidak teragak-agak untuk mengorbankan masa dan tenaga kita bila diperlukan tanpa memikirkan soal balasan, upah dan bayaran.

Nilai-nilai yang baik ini tidak mungkin menjadi amalan dan sukar untuk dihayati kalau kita tidak melalui latihan-latihan tersebut.

Seorang tentera tidak akan dapat bertindak dan berfungsi dengan baik kalau mereka tidak melalui latihan fizikal dan kawat untuk menjadikan mereka berdisiplin dan kuat, dan latihan perang yang diadakan dari masa ke semasa untuk membiasakan mereka menghadapi suasana sebenar bila berlaku perperangan.

Seorang pesilat atau ahli taekwando dan kungfu tidak akan dapat mempertahankan dirinya dari serangan musuh kalau mereka belajar secara teori sahaja. Sebaliknya mereka kena berlatih setiap hari atau setiap minggu, barulah mereka dapat menghayati apa yang dipelajari dan akan bertindak tangkas bila dirinya tiba-tiba diserang.

Kita selalu dengar kisah masyarakat Jepun yang menakjubkan, bagaimana mereka sanggup berbaris panjang dengan teratur dan berjam-jam lamanya untuk mendapatkan petrol dan makanan semasa mereka ditimpa musibah gempa dan tsunami tidak berapa lama dulu.

Orang ramai sama-sama membantu menyusun semula barang-barang kedai yang berterabur dari raknya semasa gempa kuat berlaku, supaya tuan kedai dapat membuka perniagaannya secepat yang mungkin.

Sebaliknya kita di Malaysia berebut-rebut mengambil beras yang bertabur di atas jalan raya bila nampak lori beras terbalik.

Sikap yang ditunjukkan oleh orang Jepun ini bukanlah terjadi secara semula jadi, tetapi ia berlaku secara latihan yang diterapkan dari kecil lagi.

Anak-anak Jepun dilatih menyimpan sampah yang hendak mereka buang sehinggalah bertemu tong sampah.

Anak-anak Jepun semasa di sekolah rendah, tidak dibenarkan menaiki kereta dan bas untuk ke sekolah, sebaliknya mereka dimestikan berjalan kaki pergi dan balik sekolah. Sekali pandang seperti tidak masuk akal, sebuah Negara pengeluar kereta terbesar di dunia tetapi membiarkan anak-anak mereka berjalan kaki ke sekolah.

Sebenarnya ada perkara tersirat di sebalik amalan jalan kaki ke sekolah itu, ia adalah latihan untuk mengajar anak-anak mereka tidak mementingkan diri, mengeratkan hubungan sesama mereka, memecahkan tembok status yang wujud di antara mereka.

Akhirnya dari latihan-latihan yang mereka terima telah membentuk masyarakat Jepun yang ‘self belonging’, tidak mementingkan diri, mengasihi orang lain seperti diri mereka sendiri, menepati masa, kuat bekerja, sabar, gigih, tidak putus asa, amanah, jujur dan berdisiplin.

Dasar pandang ke Timur tidak sepatutnya tertumpu kepada meniru pencapaian, kemajuan dan teknologi yang dihasilkan oleh Jepun sahaja. Tetapi kita perlu juga mengkaji bagaimana orang Jepun telah menyediakan latihan-latihan kepada anak-anak mereka hingga menjadikan mereka manusia berakhlak cemerlang, untuk diterapkan kepada masyarakat kita.

Friday, November 04, 2011

Adalah kewajipan muslim menyeru orang bukan Islam untuk beriman

Dalam Quran begitu jelas memberitahu kita, amalan baik orang kafir itu akan menjadi sia-sia di akhirat nanti kalau mereka tidak beriman kepada Allah s.w.t di dunia ini. Dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka kerana enggan beriman kepada Allah.


Tetapi di samping itu ada juga ayat dalam Quran yang menyatakan suatu kaum itu tidak dikenakan azab neraka selagi tidak diturunkan rasul untuk memberi peringatan kepada mereka. Oleh itu zaman yang tidak mempunyai rasul seperti zaman antara nabi Isa dan nabi Muhammad, manusia-manusia yang hidup dan mati di zaman itu adalah terkecuali dari azab neraka, wallahulam.

Tetapi bagaimana dengan orang-orang di zaman itu yang melakukan berbagai kejahatan dan penginayaan terhadap manusia lain di waktu itu, adakah mereka terlepas dari pembalasan? Ada orang alim mengatakan mereka yang melakukan kejahatan di zaman itu tetap mendapat balasan setimpal dengan kejahatan yang mereka telah lakukan di akhirat nanti, kiasnya samalah seperti seekor binatang mencederakan binatang lain di dunia ini. Dikatakan di akhirat nanti, binatang yang dicederakan atau ditanduk itu akan menuntut pembalasan kepada binatang yang mencederakan mereka.

Tanggungjawab menyampaikan atau menyeru manusia agar beriman kepada Allah adalah menjadi kewajiban para Rasul sahaja, kecuali umat Muhammad. Tidak seperti umat-umat nabi yang lain, mereka tidak mempunyai kewajiban lagi untuk menyeru manusia beriman sebaik saja nabi mereka wafat.

Nabi Muhammad adalah nabi dan rasul terakhir yang diutus untuk umat akhir zaman, tidak ada lagi rasul selepas nabi Muhammad. Oleh itu tugas rasul untuk menyeru manusia beriman setelah nabi Muhammad wafat dipikul oleh orang Islam sendiri. Menyeru orang bukan Islam untuk beriman adalah menjadi tanggungjawab dan kewajiban orang Islam sendiri. Setiap kita orang Islam akan ditanya di akhirat nanti tentang kewajiban kita ini. Sudahkah kita telah menjalankan tugas yang diamanahkan oleh Allah ini?

Apakah jawapan yang dapat kita berikan kepada Allah di akhirat nanti, bila orang bukan Islam yang menjadi jiran kita mengadu kepada Allah, kita tidak pernah menyeru mereka untuk beriman?

Orang-orang bukan Islam yang tidak sampai seruan Islam ini, ataupun orang Islam sendiri tidak pernah menyeru mereka untuk beriman kepada Allah, sudah tentu mereka tidak akan dikenakan azab neraka oleh Allah. Mereka itu sama seperti manusia di zaman jahilliah yang tidak mengerti apa-apa.

Tetapi kepada orang-orang bukan Islam yang telah diserukan Islam kepada mereka dan telah diajak beriman kepada Allah, dan kemudian mereka menolaknya. Maka mereka pasti akan masuk ke neraka, sekalipun mereka telah melakukan amal-amal yang baik di dunia ini. Di sisi Allah, amal-amal baik mereka itu sama seperti debu-debu yang berterbangan saja.

Tuesday, October 25, 2011

Himpunan Sejuta Umat, rakyat Malaysia berjaya hadapi ujian

Walaupun perhimpunan yang telah berlangsung pada 22 Oktober 2011 (Sabtu) di Stadium Bukit Jalil itu menggunakan sentimen agama dan kaum, tetapi telah jelas tidak dapat menarik orang Melayu untuk menghadirinya, seperti yang diharapkan.


Polis seperti sudah menjangka perhimpunan ini akan mendapat sambutan yang hambar, dengan itu tidak teragak-agak untuk memberikan permit kepada pihak penganjurnya tanpa banyak soal.

Walaupun penganjur menggunakan perkataan ‘umat’ dan ‘akidah’untuk menarik umat Islam di Malaysia untuk menyertainya, tetapi strategi ini pun masih tidak cukup berkesan.

Orang Melayu di Malaysia memang sensitif dengan isu yang dikaitkan dengan agama mereka. Oleh itu tidak hairanlah kalau ada parti politik yang menamakan nama parti mereka dengan nama Islam. Apa yang lebih utama, bila kita berpolitik hendaklah berpegang kepada akhlak Islam, bukan mempolitikkan Islam.

Kita begitu marah dan memekik-mekik bila mengetahui statistik orang-orang Melayu yang telah murtad dari agama Islam beribu jumlahnya, tetapi sudahkah kita periksa diri kita, sejauh manakah usaha kita sendiri untuk berdakwah dan mengamalkan ahklak Islam dalam kehidupan kita?

Kita berasa marah dan sedih bila mendengar berita bayi yang lahir dari perlakuan zina dibuang merata-rata, tetapi sajauh manakah usaha yang kita telah lakukan untuk menyekat budaya pergaulan bebas anak-anak muda, membasmi dadah, hiburan liar dan budaya lucah yang masuk kerumah-rumah kita melalui media hiburan dan TV?

Islam tidak akan berkembang dengan cara memekik-mekik dan berhimpun. Islam adalah agama bertamaddun tinggi, mempunyai nilai-nilai fitrah yang mulia yang mampu mengangkat darjat manusia jauh dari perangai ‘kebinatangan’. Agama kita bukan dikuatkan dengan pedang tetapi ia kuat dengan hujah. Kebenaran itu bukan tegak disebabkan pedang atau kuasa, tetapi tegak dengan hujah dan fakta. Itu sebab nabi diturunkan dengan Quran bukan dengan senjata nuclear.

Sebelum perhimpunan itu berlangsung, Pengerusi parti MCA, Chua Soi Lek telah melahirkan rasa kebimbangannya terhadap perhimpunan itu yang boleh membawa pergeseran kaum di Negara ini.

Alhamdulilah, rakyat Malaysia sudah semakin bijak dalam permainan politik tanah air, mereka tidak mudah lagi diprovokasi. Mereka bukan turun berdemontrasi hanya sekadar suka-suka, mereka tidak mudah diperbodohkan oleh orang-orang yang ingin mengaut keuntungan politik. Hasilnya, tidak sampai 10,000 orang pun hadir diperhimpunan yang dinamakan sejuta umat itu.

Kepada PM Najib, perhimpunan Sejuta Umat ini sangat penting untuk dijadikan pengujian pasaran politik (test market) UMNO. Kalau perhimpunan ini mendapat sambutan, ia akan menggerunkan pemimpin-pemimpin parti-parti kaum Cina dan India dalam komponen BN, dan tidak berani untuk menggugut UMNO di masa hadapan.

Nampaknya, selepas ini, Chua Soi Lek tidak perlu lagi berasa bimbang untuk terus berani mendesak UMNO dan meminta apa saja 'projek' yang mereka mahu dari UMNO.

Selain dari itu, PM Najib juga ingin mengukur hasil dari perhimpunan ini, sejauh mana kemarahan orang Selangor, terutamanya orang Melayu, kepada pimpinan Pakatan Rakyat di negeri itu. Hasil dari itu, dapatlah membantu beliau atau bolehlah beliau berkira-kira tarikh untuk mengadakan pilihanraya.

Sunday, August 07, 2011

Dakyah Kristian dan modal politik

Saya lebih bimbang kalau penyebaran atau dakwah Islam disekat, berbanding dengan wujudnya penyebaran atau dakyah Kristian kepada masyarakat Melayu di Malaysia.

Saya kadang-kadang berasa pelik juga, mereka terlalu takut seperti takutkan hantu bila berdepan dengan dakyah Kristian tetapi tidak pula ambil kisah dengan dakyah agama lain seperti Budha dan Hindu.

Mereka tidak segan silu memakai kod dan tali leher, tidak kekok makan pakai sudu dan garpu, tetapi merekalah juga yang paling bimbang dengan dakyah Kristian.

Kalau saya tak silap, mengikut Perlembagaan perkara 11(4), menjelaskan bahawa agama-agama lain tidak boleh disebarkan di kalangan orang Islam. Maknanya telah ada undang-undang dalam Negara kita tidak membenarkan agama lain selain dari agama Islam disebarkan kepada orang Islam di Negara ini, betulkan kalau saya silap.

Ini adalah undang-undang Negara Malaysia yang telah digubal oleh Parlimen dan undang-undang ini tidak semestinya mencerminkan ajaran atau perintah agama Islam.

Sepanjang yang saya tahu, Nabi pun tidak pernah melarang ahli-ahli agama lain samada Kristian atau Yahudi untuk menyebarkan agama mereka kepada orang Islam. Oleh itu larangan kepada dakyah Kristian dan agama-agama lain kepada masyarakat Islam di Malaysia itu saya anggap tidak ada kena mengena dengan ajaran Islam, ia hanyalah undang-undang Negara semata.

Bagi saya, orang-orang yang bimbang dengan dakyah Kristian ialah orang-orang yang tidak yakin dengan kebenaran Islam.

Agama adalah soal hati dan keyakinan, agama tidak boleh dijual beli dengan wang ringgit. Kalau ada orang yang sanggup menukar agamanya dengan wang ringgit, itu adalah pembohongan dan kepura-puraaan.

Kalaulah wang ringgit boleh membeli agama, tidak mungkin Bilal bin Rabah itu akan menganut agama Islam.

Nabi tidak pernah bimbang dengan agama-agama lain. Islam agama yang benar dan telus, yang berlandaskan fakta dan hujah. Tiada kitab yang dapat menandingi keunggulan Quran.

Nabi diturunkan bersama Quran, bukan bersama senjata nuklear dan kekuatan bala tentera. Senjata nabi hanyalah lidah baginda untuk berhujah. Sebaliknya musyrikin Mekah tidak mampu untuk berhujah dengan nabi, lantas mereka menggunakan kekerasan dan mengangkat senjata untuk menghapuskan baginda.

Oleh itu tidak perlu kita berasa bimbang dengan perkara-perkara yang tidak perlu dibimbangkan. Sebaliknya yang perlu kita bimbang ialah bila lidah kita disekat untuk menyebarkan dakwah Islam, dan mereka menggunakan kekerasan untuk memadamkan hujah kita.

Kita buat-buat rasa gempar bila mendengar berita ramai orang Melayu yang telah murtad, kemudian kita sibuk salahkan pendakyah Kristian bagi menutup kelemahan kita.

Agama adalah soal hati, kita percaya kepada sesuatu agama bukan sebab ada tercatat pada Mykad. Kadang-kadang rasa macam kelakar pula bila mendengar kenyataan, ‘seseorang itu perlu terlebih dahulu memohon kelulusan jabatan agama Islam untuk murtad’.

Ingin saya merakamkan setinggi penghargaan kepada kumpulan-kumpulan dakwah yang telah dan sedang bekerja siang dan malam untuk menyampaikan kalimah Allah ke pelusuk ceruk alam. Mereka terus membuat usaha dan bergerak walaupun tanpa sokongan wang ringgit.

Ditangan mereka telah berjuta manusia mendapat hidayah tanpa dihebuh dan diriuh rendah.

Di samping itu terdapat juga pendakwah yang bergelar ustaz yang lebih selesa berceramah dimasjid-masjid, yang dikenali sebagai ‘ustaz sampul’. Yang mengharapkan elaun dan wang untuk bergerak.

Wednesday, July 20, 2011

Di sebalik huruf Alif Lam Mim dalam Quran

Terdapat beberapa surah dalam Quran yang dimulai dengan huruf-huruf tulisan Arab seperti Alif Lam Mim, Alif Lam Mim Ra, Alif Lam Ra, Kaf Ha Ya Ain Shad, Ha Mim, Shod, Qaf, Nun, Tha Ha, Tha Sin Mim dan Ya Sin.


Ada beberapa tujuan dan hikmah kenapa Tuhan menggunakan huruf-huruf ini dipermulaan surah dalam Quran. Namun begitu, kita hanya boleh meneka mengikut fikiran kita sahaja, tujuan dan maksud sebenar hanya Dia sahaja yang tahu.

Quran diturunkan dalam bahasa Arab untuk panduan hidup seluruh manusia yang berbagai bangsa dan bahasa di dunia ini, hinggalah ke hari kiamat.

Sudah tentu seperti kitab-kitab lain, Quran juga akan diterjemahkan ke bahasa-bahasa lain untuk difahami oleh semua umat manusia.

Walau Quran diterjemahkan ke bahasa apa pun, orang akan tetap mengenali bahasa asal Quran itu adalah bahasa Arab, kerana huruf-huruf yang disebutkan di atas tadi tidak boleh diterjemahkan kepada huruf-huruf dari tulisan bahasa lain. Sebagai contoh huruf Alif tidak boleh diterjemah sebagai ‘A’ dan Lam tidak boleh digantikan dengan huruf ‘L’.

Oleh itu, ke bahasa apa pun Quran diterjemahkan, Alif Lam Mim akan terus kekal sebagai Alif Lam Mim, dan tidak boleh ditulis sebagai A L M.

Huruf-huruf tulisan Arab itu adalah lambang kepada Quran kerana ia menunjukkan bahasa asal Quran itu diturunkan.

Kalau kita perhatikan dalam Quran, selepas ayat yang dimulakan dengan huruf-huruf tulisan Arab ini akan dikuti pula dengan ayat yang mengandungi perkataan ‘kitab ini’ atau perkataan ‘Quran’.

Sekadar mengambil dua contoh, surah Al Baqarah, ayat pertama “Alif Lam Mim”, ayat kedua “Kitab ini tidak ada keraguan padanya..”, dan dalam surah Ad Dukhaan pula, ayat pertama “Ha Mim”, ayat kedua “Demi kitab yang menjelaskan”.

Begitulah juga dengan surah-surah lain dalam Quran yang dimulai dengan huruf-huruf, gaya persembahannya adalah sama. Ini menunjukkan adanya kaitan yang begitu rapat antara huruf-huruf tulisan Arab tersebut dengan kitab Quran itu sendiri.

Itulah kelebihan Quran. Sebaliknya ramai orang yang menyangka kitab Bible (Injil) itu diturunkan dalam bahasa Inggeris, tetapi sebenarnya bahasa asal kitab Bible adalah Hebrew.

Friday, April 01, 2011

Sedikit komen pasal tarian poco-poco

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, tarian poco-poco telah diharamkan kerana ia mempunyai unsur kepercayaan atau aqidah agama lain iaitu Kristian selain pemujaan roh, oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak baru-baru ini.

Sejak mufti Perak mengeluarkan fatwa tarian poco-poco adalah haram, ia telah menimbulkan banyak kontraversi di kalangan orang ramai. Fatwa yang dikeluarkan oleh pihak yang berwibawa dalam agama ini telah dipertikaikan oleh berbagai pihak.

Apabila fatwa mufti dipertikaikan, ini secara langsung telah menjejaskan imej dan kredibiliti institusi mufti itu sendiri. Kalau isu ini tidak ditangani secara berhati-hati, bimbang nanti orang ramai mula hilang kepercayaan kepada mufti yang selama ini dianggap sebagai ahli agama tertinggi yang sangat dihormati dalam masyarakat.

Kepada saya sendiri, samada haram atau tidak, tarian poco-poco ini tidaklah begitu penting sangat. Sekalipun ia tidak haram, saya tidak akan menarikannya, kerana saya memang tidak pandai menari dan tidak suka pun menari.

Saya rasa mufti-mufti negara kita pun tidak ada yang suka menari. Kalau ada pun, saya pernahlah dengar kawan yang cerita, itu pun entah betul entah tidak, ada seorang mufti yang suka menari, bukan tarian poco-poco tetapi tarian dangdut.

Mungkin juga sebab nama bapa mufti itu dekat-dekat bunyi ‘dangdut’, jadi mereka buatlah cerita lawak tentang mufti tersebut.

Dalam pada itu saya terfikir juga, apa jadi kalau pertama kali kereta dibina adalah bertujuan untuk kegunaan paderi pergi ke Gereja dan menyibarkan agama Kristian. Alamat tak merasalah kita naik kereta Yob!

Monday, March 28, 2011

TV3, berhentilah dari terus jadi 'pelacur'


Melalui slot berita mahupun program 999, saya perhatikan TV3 selalu sangat menayangkan gambar pelacur dan wanita urut sex diserbu polis, terutamanya di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Apakah tujuan TV3 menayangkan kepada khalayak berulangkali gambar-gambar wanita gebu dan seksi ini? Apakah sekadar untuk menarik lebih ramai orang menonton dan dapat menaikkan ‘rating’ penyiaran setesen TV mereka?

Mengapa terlalu memikirkan keuntungan wang ringgit sedangkan banyak kesan negatif yang akan timbul akibat darinya. Bila melihat perempuan-perempuan seksi dan gebu yang dipertontonkan itu, sudah tentu lebih ramai orang teringin hendak ke tempat-tempat tersebut bagi melempiaskan nafsu sex mereka.

Secara tidak lansung, TV3 sudah seperti memberi iklan percuma kepada kegiatan atau industri tersebut. Bila sudah ada semacam iklan percuma dari TV3 ini, manakan dapat kegiatan tak bermoral ini dapat dihapuskan. Malah ada kemungkinan semakin bertambah dan bercambah.

Ada premis pelacuran ini yang sampai beberapa kali telah diserbu polis dan penguatkuasa tetapi masih tidak serik dari terus beroperasi. Apakah ini menunjukkan kelemahan pihak polis dan penguatkuasa hingga memerlukan lebih dari sekali mengambil tindakan kepada pengusaha yang sama. Sudah tentu TV3 tidak akan menuduh pihak polis dan pihak penguatkuasa sebagai lemah, kerana dasar TV3 tidak akan mengkritik polis.

Buat sajalah kerja penangkapan dan pendakwaan tanpa perlu heboh satu dunia. Rasanya kalau orang awam sendiri tidak sukar untuk mencari dan melanggan tempat-tempat maksiat ini, sudah tentu pihak polis juga yang lebih terlatih tidak ada masalah untuk menemuinya. Mereka bukan seperti perompak dan peragut yang jauh lebih sukar untuk dikesan.

Kalau pengusaha sex haram ini telah dihukum dengan hukum berat dan dipenjara, tidak mungkin mereka boleh mengurus dan mengusahakan industri ini dari bilik penjara mereka.

Siapakah sebenar yang menjadi pelacur? Janganlah TV3 mengambil peluang lesen penyiaran yang diberikan kepada mereka untuk menjadi ‘pelacur’ demi mengaut keuntungan cepat tanpa ada rasa tanggung jawab sosial kepada masyarakat.

Wednesday, September 01, 2010

Lagi kes mati kerana terjun, lari dari ditangkap khalwat

Berita ini dipetik dari blog Khadi Kluang:

Pagi ini bila saya datang pejabat, saya diberitahu oleh penguatkuasa, ada
satu kes kematian tentera terjun hotel. Kejadian berlaku di Batu Pahat, malam
minggu semalam. Mulanya saya hendak diamkan perkara ini, tak mahu dihebahkan.
Kemudian, bila saya baca akhbar Sinar Harian hari ni, rupanya cerita dah tersiar
di akhbar dan sudah dalam pengetahuan umum.

Serbuan penguatkuasa dalam
jam 2.45 pagi, lelaki ini dipercayai melarikan diri dengan terjun dari tingkat
tiga hotel berkenaan. Semasa mengetuk pintu beberapa kali, pintu tidak dibuka,
kemudian kedengaran bunyi bising. Lelaki ini ditemui berlemuran darah dan mati
kerana kecederaan parah di kepala.

Kerana perasaan malu dari ditangkap berkhalwat, ramai lelaki atau perempuan yang lebih sanggup terjun dari bangunan hotel yang tinggi untuk mengelak dari ditangkap.

Kalau mereka betul-betul lari dari ditangkap dan semasa melarikan diri itu mereka terjatuh, insyallah Tuhan akan ampunkan dosa mereka. Tetapi bagaimana kalau mereka sengaja terjun untuk menamatkan riwayat mereka kerana tidak sanggup menanggung malu kalau tertangkap, tentu mereka tidak akan mendapat keampunan dari Tuhan.

Adalah tidak berbaloi kalau kita hendak menangkap mereka yang melakukan kesalahan khalwat itu, tetapi berakhir dengan dosa membunuh diri, yang tidak ada pengampunannya.

Kalau kita tahu mereka sanggup bunuh diri untuk menutup rasa malu, adalah lebih baik kita tidak pergi menangkapnya, kerana sekalipun mereka melakukan dosa zina, mereka masih ada peluang untuk bertaubat dan mungkin satu masa nanti mereka akan bertaubat dari kesalahan itu.

Tetapi kalau mereka sudah bunuh diri, mana ada masa untuk mereka bertaubat lagi?

Saya bukanlah setuju, orang-orang yang berkhalwat ini dibiarkan saja. Tetapi sebelum kita bersungguh-sungguh hendak menangkap dan menyerbu orang yang berkhalwat ini, kenalah tengok puncanya kenapa ramai orang berkhalwat.

Kita mesti ubatkan penyakit bukan mengubat tanda-tanda penyakit.

Budaya masyarakat kita melihat lelaki kawin lebih dari satu, sesuatu amalan yang tidak dapat diterima. Lelaki yang kawin lebih dari satu dianggap telah melakukan perkara yang salah dan tidak mengikut norma kehidupan masyarakat.

Kaum wanita di Negara kita tidak dapat menerima amalan poligami, bukan sahaja ditentang oleh wanita biasa malah wanita yang berpendidikan agama pun masih tidak dapat menerima budaya poligami.

Oleh kerana poligami bukanlah satu perkara yang mudah untuk diamalkan di negara kita, tidak semudah kawin satu atau monogamy, maka mereka yang berkeinginan untuk mempunyai isteri lebih terpaksa melupakan hasrat mereka. Sebaliknya mereka lebih selesa berkhalwat secara sembunyi dengan kekasih mereka di bilik-bilik hotel.

Oleh itu selagi amalan poligami tidak mudah dan selagi kaum wanita menentang poligami, maka wajar buat sementara waktu ini segala bentuk serbuan dan tangkapan kes khalwat oleh penguatkuasa Jabatan Agama ini dihentikan bagi mengelakkan lebih ramai lagi orang terjun membunuh diri atau boleh merbahayakan keselamatan diri pesalah.

Tidak perlulah pihak Jabatan Agama menghantar orang-orangnya pergi mengintip orang melakukan zina atau khalwat, semata-mata untuk memenuhi syarat mesti dilihat oleh empat orang saksi.

Islam mensyaratkan perlakuan zina mesti dilihat oleh empat orang saksi bukanlah bermakna pegawai-pegawai agama ini perlu mengintip dan mengintai orang-orang berkhalwat dari satu hotel ke satu hotel, untuk membuat serbuan dan penangkapan.

Apa yang dimaksudkan dengan mesti dilihat oleh empat orang saksi bererti pasangan itu melakukan zina bukan secara sembunyi-sembunyi tetapi sengaja melakukan zina di depan orang ramai.

Kalau berzina di tempat awam tanpa berselindung, ini seolah-olah mereka mahu mencabar hukum Tuhan, mereka itu sudah berperangai seperti binatang, malah lebih hina lagi dan memang layak kalau mereka direjam saja.

Umpama murid yang membuat kesalahan menghisap rokok. Tentu tidak sama kalau mereka menghisap rokok secara sembunyi-sembunyi dalam tandas dengan menghisap rokok di depan murid lain dan di depan guru secara terang-terang. Kalau murid ini menghisap rokok secara terang-terang, ini seolah-olah sudah mencabar guru disiplin yang menjaga undang-undang sekolah supaya sentiasa dipatuhi. Sudah tentu guru tidak akan teragak-agak untuk membuang murid itu dari sekolah.

Tetapi jika masyarakat kita terutamanya wanita telah dapat menerima dengan hati terbuka amalan poligami, maka tidaklah salah kalau kita giat menyerbu dan menangkap orang-orang yang berkhalwat di hotel-hotel kalau mereka masih mahu juga melakukannya. Malah saya yakin, mereka yang ditangkap khalwat dalam situasi begini, tidak akan lari dan tidak berasa malu kalau mereka dicekup, mereka memang melakukannya kerana menurutkan nafsu jahat mereka semata tanpa mahu berkahwin. Walhal ketika itu amalan poligami telah diterima masyarakat dan proses perkahwinan telah dimudahkan.

Friday, March 27, 2009

Kursus Lepas Cerai Juga Patut Ada

PADA masa ini mana-mana pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga diwajibkan terlebih dahulu mengikuti kursus pra perkahwinan. Ekoran dari itu banyaklah kursus perkahwinan yang telah dianjurkan oleh jabatan-jabatan agama dan tidak kurang juga oleh pihak-pihak swasta.

Tujuan mewajibkan kursus perkahwinan ini adalah untuk memberi sedikit ilmu dan panduan kepada bakal suami isteri bagi menempuh kehidupan baru dalam alam rumahtangga dengan lebih baik dan harmoni.

Adalah diharapkan, kursus perkahwinan ini dapat mengurangkan kadar perceraian yang disebabkan oleh kurang faham pasangan suami isteri terhadap tanggungjawab mereka dalam kehidupan berumahtangga.

Tetapi seperti kata orang, jodoh dan pertemuan itu ditentukan oleh Tuhan. Bila jodoh sudah tiada maka perceraian tidak dapat dielakkan lagi. Kebanyakan orang kita boleh terima dengan hati yang terbuka bahawa mereka dapat berkahwin disebabkan adanya jodoh.

Tetapi bila berlaku perceraian, selalunya akan berakhir dengan hati yang berbuku dan saling benci, mereka sukar hendak menerima perceraian itu adalah kerana telah ditakdirkan sudah tidak ada jodoh. Mereka tidak dapat menerima kehendak Tuhan ini dengan hati yang rela sebaliknya terus menerus menyalahkan pasangan mereka sebagai penyebab perceraian itu.

Kadang-kadang pertengkaran dan salah faham antara suami isteri itu hanyalah sebagai penyebab kepada perceraian itu sahaja. Namun begitu banyak juga kita lihat pasangan suami isteri yang bertengkar hari-hari tetapi tidak bercerai-cerai juga.

Kadang-kadang ada pasangan bercerai kerana suami bermain kayu tiga tetapi ada juga suami yang bermain sampai kayu empat pun tidak bercerai juga. Itulah namanya jodoh, Tuhanlah yang menentukannya, kita hanya mampu merancang dan berusaha saja.

Tetapi oleh kerana ramai dikalangan kita tidak faham akan konsep jodoh ini, ramailah diantara pasangan yang bercerai ini tidak dapat menerima perceraian itu sebagai takdir Ilahi. Akhirnya mereka menjadikan pasangan mereka untuk dibenci dan dimusuhi seumur hidupnya. Penyebab berlakunya perceraian itu sentiasa saja menghantui kehidupan mereka.

Sebenarnya kehidupan bagi pasangan selepas bercerai ini juga patut diberi perhatian sama beratnya seperti kita memberi perhatian kepada pasangan yang hendak berkahwin. Kegagalan dan ketidakfahaman menempuh kehidupan selepas bercerai akan juga memberi kesan buruk kepada pasangan yang bercerai ini. Dan tambah teruk lagi kesannya kepada anak-anak mangsa perceraian ini.

Dengan itu wajar sangat kalau kursus selepas bercerai ini diadakan oleh jabatan-jabatan agama untuk memberi panduan kepada pasangan-pasangan yang baru bercerai bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan mereka dengan cara yang betul.

Sering terjadi ibu atau bapa yang menjaga anak-anak mangsa perceraian ini menghasut anak-anak ini supaya membenci bapa atau ibu mereka. Sebagai contoh, jika pihak ibu yang memelihara anak-anak ini maka mereka akan dihasut supaya membenci bapa mereka.

Dendam dan benci kepada pasangannya dikongsi dan diturunkan kepada anak-anak mereka. Tanpa mereka sedari, tindakan seperti itu yang difikirkan akan menguntungkan mereka itu sebenarnya hanya akan memberi kesan buruk kepada anak-anak itu sendiri.

Akibatnya jiwa kanak-kanak mangsa perceraian sering mengalami tekanan, konflik dan keliru. Mana tidaknya, di sekolah mereka diajar oleh guru atau ustaz supaya mengasihi dan menghormati ibu dan bapa, tetapi semasa berada di rumah fikiran mereka diracun supaya membenci bapa atau ibu mereka.

Kanak-kanak yang masih kecil tentu tidak dapat menerima kenapa ibu dan bapa mereka mesti tinggal di rumah yang berasingan. Konflik jiwa yang dialami oleh kanak-kanak mangsa perceraian, jika tidak ditangani dengan baik, akan mendorong mereka terlibat dengan gejala-gejala sosial yang tidak sihat. Oleh itu tidak hairanlah kalau sebahagian besar dari remaja-remaja yang bermasalah datang dari keluarga yang bermasalah termasuklah perceraian.

Kadang-kadang anak yang kematian ibu atau bapa dapat menjalani kehidupan yang lebih berjaya jika dibandingkan dengan anak-anak mangsa perceraian. Sepatutnya anak-anak yang ibu bapa mereka bercerailah lebih berjaya dari anak-anak yatim kerana anak yatim bukan sahaja kehilangan ibu atau bapa tetapi juga kadang-kadang turut kehilangan sumber pendapatan untuk menyara kehidupan mereka.

Nasib anak-anak yang ibu bapa mereka bercerai mungkinlah tidak sebaik anak-anak biasa tetapi sepatutnya tidaklah lebih teruk dari nasib anak-anak yatim kerana mereka masih ada ibu dan bapa walaupun tidak tinggal bersama.

Ibu bapa yang bercerai mesti ada kesedaran agar perceraian yang berlaku itu tidak sampai menjejaskan perkembangan jiwa dan minda anak-anak mereka. Sikap ibu dan bapa yang tidak membawa anak-anak untuk turut campur dengan masalah perceraian mereka sangat membantu anak-anak ini dapat menjalani kehidupan normal dan dapat mengelak tekanan dan konflik jiwa yang mungkin dihadapi oleh anak-anak mereka.

Sekalipun perceraian itu sangat perit dan menyakitkan hati pasangan yang mengalaminya, tetapi ia tidaklah sepatutnya dijadikan alasan untuk berdendam dan membenci pasangannya untuk selama-lamanya, apatah lagi anak-anak juga turut dilibatkan sama.

Didalam Quran, ada ayat yang memberi kebenaran kepada kita untuk menuntut hak membalas dendam kepada musuh kita dengan balasan yang setimpal tanpa melampaui batas. Tetapi disamping itu juga Tuhan memberi pilihan yang lebih baik dari itu, iaitu dengan memaafkan kesalahan musuh kita. Oleh itu kalau kita mahu menjadi orang yang lebih baik di sisi Tuhan, sudah tentu memberi kemaafan itu akan menjadi pilihan kita.

Saya percaya jika ibubapa yang mengalami perceraian ini dapat diberi bimbingan cara yang betul untuk menjalani kehidupan selepas bercerai, insyallah perceraian tidaklah lagi dianggap sebagai satu mala petaka yang digeruni menimpa diri seseorang seperti tanggapan masyarakat kita hari ini.

Dan yang lebih penting lagi, anak-anak mangsa dari perceraian ibubapa ini dapat menjalani kehidupan yang baik sama seperti kanak-kanak lain.

Perceraian bukannya suatu bencana atau kemalangan sehingga kita memanggil anak-anak yang ibu bapa mereka bercerai sebagai anak-anak ‘mangsa’ perceraian. Anak-anak ini tidak sepatutnya menjadi ‘mangsa’. Mereka harus hidup seperti kanak-kanak lain juga.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com