Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Monday, January 30, 2012

Budaya nilai mulia dibentuk melalui latihan, bukan dengan cakap saja

Dalam komuniti Islam, kita diseru atau diperintahkan supaya berkelakuan baik, berakhlak mulia seperti memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan, menghormati dan tidak menyakiti hati jiran, tidak mementingkan diri sendiri, mengasihi orang tua dan anak yatim, mentaati Tuhan dan ibubapa, memuliakan tetamu dan bermacam-macam nilai mulia lagi.


Untuk mencapai matalamat menjadi manusia yang dapat menghayati akhlak mulia yang dinyatakan di atas, terdapat latihan-latihan yang perlu mereka jalani secara berterusan samada dalam bentuk harian, mingguan dan tahun.

Latihan-latihan ini biasa kita panggil sebagai ibadah khusus seperti sembahyang, puasa, sembahyang Jumaat, zakat, korban dan haji.

Sebagai contoh, ibadat zakat dan korban, melatih diri kita supaya menjadi orang yang sanggup membantu orang susah dan miskin dengan mengorbankan wang ringgit dan harta yang kita sayang. Kita juga tidak teragak-agak untuk mengorbankan masa dan tenaga kita bila diperlukan tanpa memikirkan soal balasan, upah dan bayaran.

Nilai-nilai yang baik ini tidak mungkin menjadi amalan dan sukar untuk dihayati kalau kita tidak melalui latihan-latihan tersebut.

Seorang tentera tidak akan dapat bertindak dan berfungsi dengan baik kalau mereka tidak melalui latihan fizikal dan kawat untuk menjadikan mereka berdisiplin dan kuat, dan latihan perang yang diadakan dari masa ke semasa untuk membiasakan mereka menghadapi suasana sebenar bila berlaku perperangan.

Seorang pesilat atau ahli taekwando dan kungfu tidak akan dapat mempertahankan dirinya dari serangan musuh kalau mereka belajar secara teori sahaja. Sebaliknya mereka kena berlatih setiap hari atau setiap minggu, barulah mereka dapat menghayati apa yang dipelajari dan akan bertindak tangkas bila dirinya tiba-tiba diserang.

Kita selalu dengar kisah masyarakat Jepun yang menakjubkan, bagaimana mereka sanggup berbaris panjang dengan teratur dan berjam-jam lamanya untuk mendapatkan petrol dan makanan semasa mereka ditimpa musibah gempa dan tsunami tidak berapa lama dulu.

Orang ramai sama-sama membantu menyusun semula barang-barang kedai yang berterabur dari raknya semasa gempa kuat berlaku, supaya tuan kedai dapat membuka perniagaannya secepat yang mungkin.

Sebaliknya kita di Malaysia berebut-rebut mengambil beras yang bertabur di atas jalan raya bila nampak lori beras terbalik.

Sikap yang ditunjukkan oleh orang Jepun ini bukanlah terjadi secara semula jadi, tetapi ia berlaku secara latihan yang diterapkan dari kecil lagi.

Anak-anak Jepun dilatih menyimpan sampah yang hendak mereka buang sehinggalah bertemu tong sampah.

Anak-anak Jepun semasa di sekolah rendah, tidak dibenarkan menaiki kereta dan bas untuk ke sekolah, sebaliknya mereka dimestikan berjalan kaki pergi dan balik sekolah. Sekali pandang seperti tidak masuk akal, sebuah Negara pengeluar kereta terbesar di dunia tetapi membiarkan anak-anak mereka berjalan kaki ke sekolah.

Sebenarnya ada perkara tersirat di sebalik amalan jalan kaki ke sekolah itu, ia adalah latihan untuk mengajar anak-anak mereka tidak mementingkan diri, mengeratkan hubungan sesama mereka, memecahkan tembok status yang wujud di antara mereka.

Akhirnya dari latihan-latihan yang mereka terima telah membentuk masyarakat Jepun yang ‘self belonging’, tidak mementingkan diri, mengasihi orang lain seperti diri mereka sendiri, menepati masa, kuat bekerja, sabar, gigih, tidak putus asa, amanah, jujur dan berdisiplin.

Dasar pandang ke Timur tidak sepatutnya tertumpu kepada meniru pencapaian, kemajuan dan teknologi yang dihasilkan oleh Jepun sahaja. Tetapi kita perlu juga mengkaji bagaimana orang Jepun telah menyediakan latihan-latihan kepada anak-anak mereka hingga menjadikan mereka manusia berakhlak cemerlang, untuk diterapkan kepada masyarakat kita.

No comments:

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com