Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Tuesday, January 03, 2012

Jabatan Kerajaan jadi tidak efisyen kerana mengutamakan saudara dari meritokrasi

“Kalau kenal orang dalam, mudah sikit nak dapat kerja”, ini adalah ungkapan yang sangat biasa kita dengar semasa kita hendak mencari pekerjaan.


Inilah yang selalu menjadi amalan dalam jabatan-jabatan kerajaan terutamanya semasa mengambil pekerja jawatan rendah dalam perkhidmatan awam. Saudara dan kenalan rapat lebih diutamakan berbanding kemampuan dan keterampilan seseorang.

Akibatnya untuk jangka masa panjang, pekerja-pekerja ini banyak menimbulkan masalah, perkhidmatan awam menjadi tidak efisyen kerana tidak dapat mengambil pekerja yang benar-benar berkebolehan, dedikasi dan komited.

Walaupun ada pekerja-pekerja yang berprestasi buruk dan ada masalah disiplin, sukar untuk diambil tindakan tatatertib kerana perlindungan undang-undang yang ketat. Tidaklah mudah untuk mengambil tindakan tatatertib kepada kakitangan kerajaan.

Kesilapan dan tidak ada rasa tanggungjawab sesetengah pegawai, yang mengutamakan kepentingan diri dan keluarga semasa mengambil pekerja akhirnya memberi imej buruk kepada perkhidmatan kerajaan.

Amalan memilih saudara dan memilih bulu melebihi kebolehan seseorang dalam mengambil pekerja dan dalam kenaikan pangkat mestilah dihentikan.

Kalau kita mahu melihat perkhidmatan awam dan lain-lain organisasi sentiasa efisyen dan berdaya saing, amalan meritokrasi hendaklah menjadi keutamaan kita. Kerana faedahnya akan kembali kepada kita rakyat Malaysia juga. Tidak akan ada lagilah rungutan orang ramai yang terpaksa menunggu berbulan-bulan untuk perkhidmatan yang boleh diselesaikan dalam masa sehari.

Apabila kakitangan awam dapat dipilih dari orang-orang yang kompeten dan dedikasi terhadap kerja, tidak timbullah lagi pada masa akan datang tuduhan sinis yang mengatakan kakitangan kerajaan, “kerja untuk sehari dibuat seminggu”.

Polisi kerajaan sekarang ialah kearah rakyat berpendapatan tinggi. Tidak ketinggalan pekerja-pekerja di sector kerajaan juga akan turut menikmati gaji yang tinggi pada masa akan datang. Oleh itu pengambilan pekerja dalam jabatan kerajaan juga harus diperketatkan setimpal dengan gaji yang mereka dapat. Pastikan mereka yang diambil bekerja itu mestilah benar-benar minat dengan tugasnya, dedikasi, amanah dan bertanggungjawab.

Kita mahu orang yang bekerja bukan semata untuk mendapatkan gaji tetapi yang kita hendak ialah orang yang minat dengan tugasnya dan mahu berbakti kepada orang ramai. Pekerja yang bersikap mengharapkan kalau diberi gaji lebih barulah dia hendak bekerja rajin, tidak patut ada dalam jabatan.

Pekerja yang bekerja hanya untuk gaji saja ini memang tidak ada semangat untuk berbuat baik dan sikap berkorban langsung tidak wujud di sanubari mereka.

Undang-undang dan peraturan untuk kakitangan yang ada dalam organisasi kerajaan, hanya tercatat cantik di atas kertas sahaja, tidak ada siapa peduli kalau peraturan-peraturan yang dibuat itu dilanggar.

Ada yang menjadikan bekerja di pejabat kerajaan itu sebagai perkara kedua selepas hal-hal peribadi. Ada di antara mereka sewenangnya keluar di waktu pejabat untuk menghantar dan mengambil anak sekolah. Keluar minum dan alasan keluar pergi bank berjam-jam lamanya.

Malah yang lebih teruk lagi, ada yang membuat kerja ‘part time’ lebih utama dari tugas ‘full time’ nya di pejabat kerajaan.

Kalau ada sepasang suami isteri yang suaminya kerja kilang dan isterinya kerja kerajaan, apabila ada urusan hal anak di sekolah, si isteri yang kerja kerajaan itulah yang akan pergi ke sekolah untuk menguruskannya. Kenapa tidak si suami yang kerja kilang itu?

Kalau kerja kilang, waktu minum pun tidak boleh keluar dari ‘gate’.

1 comment:

Unknown said...

Saya amat setuju dengan ape yang diterangkan oleh tuan itu, memang banyak sekarang nie jabatan-jabatan yang mengambil pekerja dari kalangan sanak-saudara mereka sahaja, tanpa memikirkan nasib orang lain yang lebih memerlukan pekerjaan dan mereka tidak peduli apakah kesan dimasa akan datang jika sikap mereka ini berterusan...

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com