Dari tinjauan rambang pendapat ibubapa kepada anak-anak yang pernah menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), ramai yang mengatakan anak-anak mereka tidak menunjukkan perubahan sikap seperti yang mereka harapkan selepas pulang dari menjalani latihan tersebut.
Sebagai ibubapa, adalah menjadi harapan mereka untuk melihat anak-anak mereka berubah sikap kepada yang lebih baik seperti lebih berdisiplin dan menghargai masa.
Mungkin objektif yang disasarkan oleh kerajaan tidak sama seperti apa yang diharapkan oleh ibubapa, akhirnya ibubapa tidak dapat melihat sebarang faedah yang ketara apabila anak-anak mereka menjalani program PLKN ini.
Yang selalu ditonjolkan dalam program PLKN ini kepada orang ramai ialah latihan fizikal dan pakaian seragam ala pasukan tentera, yang mengaitkan dengan pembentukan disiplin diri. Oleh itu tidak hairanlah kalau ibubapa mengharapkan anak-anak mereka akan menjadi orang-orang yang berdisiplin tinggi selepas menjalani latihan PLKN ini.
Tetapi itu bukanlah objektif kerajaan, objektif kerajaan mewujudkan program PLKN ini adalah untuk melahirkan warga yang patriotik dan memupuk perpaduan di kalangan rakyat yang berbilang kaum. Tetapi setakat mana kejayaan program PLKN ini telah mencapai kejayaannya sangat sukar untuk diukur dan dikenalpasti.
Apakah dengan mengumpulkan anak-anak dari berbilang kaum yang berumur 17 tahun ini di satu tempat dalam masa tidak sampai tiga bulan, boleh dididik menjadi seorang yang patriotic dan boleh membentuk perpaduan yang utuh?
Program PLKN ini tidak ubah merupakan satu kaedah penyelesaian “mee segera”, cepat dimasak, kenyangnya cepat tetapi tidak boleh bertahan lama.
Kita mesti ada program atau polisi jangka panjang yang mana benih patriotik dan pemupukan perpaduan harus disemai ke dalam masyarakat kita.
Saya tertarik dengan filem iklan yang diterbitkan oleh Yasmin Ahmad yang bertajuk Tan Hong Ming satu ketika dulu. Bukan saya sahaja, semua rakyat Malaysia samada Cina atau Melayu suka dan terharu menonton filem iklan tersebut. Mereka suka dengan perpaduan luhur yang bukan dilakunkan seperti ditunjukkan dalam filem itu. Saya percaya ia bukan filem yang dilakunkan tetapi adalah kejadian sebenar.
Kenapa filem iklan Hong Ming tersebut menjadi sangat menarik kepada rakyat Malaysia? Filem ini menjadi menarik sebab ia lain dari yang lain. Sesuatu tidak akan jadi menarik kalau kita menonton perkara yang biasa berlaku. Kalau kisah Tan Hong Ming ini adalah satu perkara biasa di Malaysia, ia tidak akan menjadi perkara yang menarik kepada kita.
Amalan kita di Malaysia sejak merdeka hingga kini, anak-anak diasingkan belajar di tadika dan bersekolah rendah mengikut kaum masing-masing. Dengan situasi seperti itu, adalah agak mustahil peristiwa seperti dalam iklan Tan Hong Ming itu boleh berlaku, dan itulah yang telah menjadi tarikan dalam filem iklan Tan Hong Ming tersebut.
Apakah berbaloi membazirkan wang pembayar cukai yang jumlahnya berbillion ringgit itu dengan mengadakan program PLKN yang tidak pasti keberkesanannya itu, sedangkan kita ada cara yang lebih sesuai dan lebih berjaya seperti ditunjukkan dalam filem iklan Tan Hong ming itu untuk mencapai objektif yang sama, tanpa mengorbankan satu sen pun.
Apabila diserang sakit perut atau sakit kepala, kita dengan mudahnya mengambil Panadol untuk menghilangkan rasa sakit, tetapi ia bukanlah penyembuh kepada penyakit yang kita hidapi. Sebenarnya kita perlukan ubat lebih dari Panadol yang dapat menyembuhkan akar umbi penyakit.
Semasa saya disekolah rendah di tahun 60an dulu, saya membaca buku teks yang diajarkan di sekolah yang menceritakan bagaimana Ali, Tong Seng dan Ramasami merupakan kawan karib dari kaum yang berlainan. Mereka bermain, mandi sungai dan memancing bersama-sama. Sekarang kita sudah berada di tahun 2012, tetapi cerita seperti itu hanya masih relevan dalam buku teks sahaja dan tidak biasa berlaku dalam kehidupan sebenar masyarakat Malaysia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
my playlist
Create a playlist at MixPod.com
No comments:
Post a Comment