Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".
Showing posts with label Nabi Muhammad. Show all posts
Showing posts with label Nabi Muhammad. Show all posts

Friday, September 21, 2012

Tidak wajar mendirikan masjid berasingan kerana berbeza fahaman


Masjid itu ‘rumah Allah’ iaitu tempat umat Islam melakukan ibadah terutamanya solat berjemaah, menyembah Tuhan yang Maha Esa. Masjid juga menjadi lambang kesatuan umat Islam.

Walaupun umat Islam telah terbahagi kepada berbagai aliran, berbagai mazhab dan berbagai fahaman politik tetapi mereka sepatutnya boleh dan tidak tersekat untuk bersembahyang di mana-mana masjid di muka bumi ini.

Bukan sahaja kita tidak wajar mendirikan masjid untuk kumpulan kita sendiri kerana berbeza fahaman dengan orang lain, malah kita juga tidak wajar menunaikan solat berjemaah yang berasingan mengikut aliran fahaman masing-masing di dalam masjid yang sama.

Di Negara kita Malaysia memang pernah berlaku di mana masjid didirikan kerana mengasingkan pengikut-pengikut mereka yang berbeza fahaman. Begitu juga pernah berlaku sembahyang dua imam di dalam satu masjid kerana berbeza fahaman politik.

Terdapat pemimpin-pemimpin aliran agama yang terlalu mengutamakan idealistik, menjadikan mereka taksub hingga kabur untuk melihat keutamaan dalam Islam itu sendiri.

Kadang-kadang kerana mempertahankan soal cabang yang kecil mereka sanggup mengorbankan kepentingan yang lebih besar.

Sebagai contoh, ada pemimpin aliran agama ini yang faham, perkara niat dalam ibadah tidak perlu dilafazkan, kepada mereka, melafazkan niat adalah bidaah. Oleh kerana mereka tidak bersetuju dengan masyarakat ramai yang mengamalkan lafaz niat maka mereka telah mendirikan sembahyang Jumaat untuk kumpulan mereka yang berasingan dari masjid orang awam.

Pemimpin agama seperti ini lupa tentang kepentingan yang lebih besar dalam Islam. Tindakan yang mereka lakukan itu sebenarnya hanya akan merugikan agama dan umat Islam. Konsep agama ialah nasihat, berdakwah kepada manusia kepada kebaikan, itulah yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad. Mengasingkan diri hanya akan menjauhkan manusia dari kita, akhirnya dakwah kita tidak sampai kepada sasaran.

Memang betul, niat tidak perlu dilafazkan, dan saya akui pendapat pemimpin aliran agama itu memang betul. Tetapi dalam menegakkan pendirian kita walaupun betul, tidak harus mengambil tindakan hingga sampai mendirikan sembahyang Jumaat berasingan, kerana ini akan menyebabkan lebih banyak kerosakan dan kerugian kepada agama dan masyarakat umat Islam. Samalah seperti kita hendak membunuh seekor nyamuk menggunakan bom atom.

Adalah lebih sesuai kalau kita menggunakan pendekatan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis, dalam mengubah pemikiran masyarakat. Beliau banyak menggunakan hujah dan nas dalam mendidik dan menangani berbagai isu. Beliau tidak membentuk kumpulannya sendiri, semua umat Islam adalah kumpulannya. Sebenarnya inilah cara yang betul, matalamat kita ialah hendak membetulkan pemikiran semua umat Islam, bukan hendak mewujudkan kumpulan baru.

Jangan sekali mengasingkan diri kita dari kelompok ramai, kerana ini hanya akan menambah rasa curiga orang ramai kepada kita, semakin jauhlah kita dari mereka.

Tidak dinafikan selain dari Dr. Mohd Asri, ramai juga usataz-ustaz yang berceramah di masjid yang telah membawa nilai-nilai dan hujah-hujah baru yang cuba memadamkan amalan-amalan lama yang tidak tepat yang telah sebati dalam masyarakat. Dengan kredibiliti yang mereka miliki dan kebijaksanaan dalam menyampaikan hujah dan nas, ustaz-ustaz ini telah dapat mempengaruhi masyarakat untuk berubah.

Sebenarnya inilah cara yang paling berkesan untuk mengubah masyarakat atau umat Islam, masyarakat perlu didekati bukan dijauhi. Kita kena masuk ke dalam masyarakat itu sendiri bukan mengasingkan diri kita dari mereka.

Tuesday, July 31, 2012

Misi dakwah di Sabah

Nabi Muhammad adalah nabi dan rasul yang terakhir diturunkan oleh Allah s.w.t untuk menyeru manusia beriman dan mentauhidkan Tuhan yang Maha Esa. Selepas baginda wafat, tugas nabi ini terpikul kepada kita umat Islam.
Moyang kita di Malaysia dulu dapat memeluk Islam bukanlah disebabkan nabi sampai di sini, tetapi adalah atas sebab kesedaran umat Islam terutamanya alim ulamak tentang tanggungjawab mereka untuk menyebarkan ajaran Islam seperti yang dikehendaki oleh Allah.
Ramailah alim ulamak telah bertebaran mengembara ke rantau ini untuk menyeru manusia beriman kepada Allah, mereka telah datang dari sejauh jazirah Arab, India, Acheh, Jawa, Sulawesi dan Makasar.
Sebenarnya masih ramai lagi manusia di dunia ini yang masih belum beriman, tentunya kita sebagai orang Islam akan ditanya di akhirat nanti oleh Allah tentang kewajipan dalam menyampaikan seruan tauhid ini.
Para ustaz dan ulamak tidak harus hanya duduk di masjid atau di kerusi empuk di pejabat, tetapi perlu juga keluar menyeru manusia kepada iman, kerana di luar sana masih ramai lagi orang-orang yang masih tidak sampai seruan tauhid kepada mereka.
Di bawah diceritakan kisah Ustaz Mohd Fadli Yusof yang telah membuat usaha dakwah ke kawasan pedalaman Sabah. Semoga kisah beliau ini akan menyuntik semangat kepada kita untuk melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung dalam usaha ini.
Catatan kisah ini dikumpul dari laman social Facebook beliau. Selamat membaca.

Bismillahi tawakkaltu 'alalLah...bermula musafir dakwah ke Sabah. Sudah masuk tahun kedua kali ini. Misi ini bermula bulan Syaaban 1432H, kini sudah penghujung Syaaban 1433H. Kali ini menempuh Ramadhan bersama saudara-saudara yang pertama kali berpuasa. Ada kawasan yang baru diteroka, di sana belum tahu ada sahur atau berbuka...mungkin minum air sungai sahaja. Moga Allah permudahkan, amin.
Alhamdulillah, telah selamat tiba di Kota Kinabalu. Ketika makan di Restoran Islamic, bertemu sahabat-sahabat dari Telekom dan Koperasi Kota Mas, Tuan Haji Ismail Nordin, Tuan Sham dan Tuan Mustafa. InsyaAllah Raya Haji nanti pihak Koperasi Kota Mas akan mengorbankan seekor lembu bersama saudara-saudara kita di pedalaman Sabah.
Setelah setahun mereka berhubung melalui FB, baru malam ini diizinkan Allah bertemu. Bersambung ukhwah Saudara Mohd Sham Al Kholidi dan Ashrafil Harumin. Barangkali inilah watak Ali dan Adi yang sering ditulis oleh saudara Ashrafi.
Bismillah...hari ini meneruskan perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kampung Pinawantai, Ranau. InsyaAllah akan diziarahi semula keluarga Encik Milik yang amat berminat memeluk Islam. Anak-anak beliau telah mempelajari subjek Islam di sekolah mereka. Mudah-mudahan hidayah Allah akan menyapa mereka berkat Ramadhan yang hampir tiba.

 
Alhamdulillah, urusan dakwah di Kampung Pinawantai Ranau berjalan lancar. Ketika petang, dimulakan dengan ziarah ke rumah mereka yang belum Islam, sementara yang Islam hadir ke Surau Nur Iman Pinawantai untuk mengikuti majlis ilmu. Kali ini turut dihadiri saudara-saudara kita dari Kampung Tarawas dan Kampung Togop Darat. Rata-rata mereka memeluk Islam sejak 5 tahun dahulu.
(17 Julai 2012) Bersama Ustaz Abdul Rauf Abas, Ketua Pentadbir JHEAINS Ranau dan Pengerusi Ayahanda-Ayahanda Sabah, Tuan Haji Saprin (duduk di tengah) membincangkan hal ehwal umat Islam khususnya di Ranau.
(17 Julai 2012)Bismillah...sekarang menuju Kampung Lukapon, Ranau untuk ziarah dan dakwah, moga Allah permudahkan, amin. Ini lokasi yang sudah lama saya tidak ziarah, terakhir bulan Oktober 2012.
Sembang ukhwah selepas solat Isyak di Surau Al Hasanah, Kampung Lukapon, Ranau. InsyaAllah selepas ini akan dibuat ziarah seluruh kampung dan kursus solat untuk ahli jemaah. Moga akan semakin ramai akan hadir nanti. Besok pagi sudah bergerak ke Keningau.
(18 Julai 202)Menempuh jalan yang licin ketika hujan renyai, dikala hari semakin gelap membuat hati semakin mengharap bantuan Allah. Ya Allah, bantulah kami. Perjalanan ke Kampung Pinipi, Lanas.
(19 Julai 2012)Alhamdulillah, sedetik sebelum Maghrib petang semalam tiba di Surau Darul Atiq, Kampung Pinipi, Lanas. Selepas maghrib bertazkirah dan silaturrahim dengan ahli jemaah, diikuti jamuan menyambut Ramadhan. Syukur...ramai yang hadir walaupun hujan lebat.
Menziarahi Mak Cik Asiah, ibu kepada Cikgu Berani (duduk di sebelah saya) di Kampung Alap, Lanas. Makcik ini mengidap stroke, percakapannya tidak jelas. Dalam ziarah bulan lalu, beliau berjaya mengucap dua kalimah syahadah dengan lancar dan jelas (hanya ketika mengucap), kemudian kembali semula seperti sebelumnya.
Bismillah...perjalanan berziarah saudara Islam di Kampung Kilu, Lanas. Antara yang akan kami ziarahi saudara Simuda dan Amun.
Alhamdulillah...sudah selesai ziarah di kawasan Lanas, iaitu di Kampung Alap, SK Lanas, Kampung Pinipi, Kampung Kuit dan Kampung Kilo. Mudah-mudahan akan ada beberapa orang lagi akan mendapat hidayah di sini.

Gambar: Ustazah Aisyah sedang menerangkan tentang solat kepada Puan Naema dan suaminya Encik Simuda di Kampung Kilo, Lanas. Walaupun kami sudah melangkah untuk pulang ketika itu, mereka seperti berat melepaskan, kerana terlalu ingin belajar. InsyaAllah akan ke sini lagi nanti.
Di Masjid Babur Rahman, Kampung Sinulihan Baru. Saudara Tabibmuda Soiful Bahri sedang menyampaikan tazkirah.
(20 Julai 2012)Sebelum meninggalkan Lanas semalam, berziarah ke rumah Wakil Ketua Anak Negeri Kawasan Lanas, tetapi beliau tiada di rumah ketika kami sampai. Menurut anaknya Muhammad Fauzi, ayahnya menunggu kedatangan kami sejak pagi. Beliau sudah ada keinginan memeluk Islam. Muhammad Fauzi (4 dari kanan) memeluk Islam pada 2010 yang lalu ditangan Ustaz Isadli (paling kiri) yang memimpin umat Islam di Lanas kini.
Bismillah...sekarang mula bergerak dari Kampung Sinulihan Baru menuju ke Salarom Taka, Sepulut, sebuah penempatan majoriti belum Islam. InsyaAllah akan bertarawih serta bersahur bersama beberapa keluarga Islam di sana. Perjalanan kira-kira 100km lagi.
Berkat Ramadhan yang baru tiba, inilah azan pertama di Salarom Taka, dilaungkan oleh Saudara Soiful Bahri. Tuan rumah, Saudara Shahrul Lito dan Wiwit amat gembira dengan ketibaan tetamu Ramadhan.
Sebelum ini Salarom Taka dihuni oleh 100% Kristian SIB. Kini telah bermula Islam di sini. Saudara Shahrul Lito dan isterinya Wiwit membuka pintu untuk belajar Islam. Jiran Islam mereka, Puan Arena yang tinggal 2km dari situ turut hadir belajar dan solat tarawih.

Malam ini kami bertarawih dan bersahur di sini. Tarawih pertama buat saudara Lito. Doakan dia dan isterinya kuat dalam berpuasa Ramadhan tahun ini.

Petang tadi kami ke Kampung Pulungan, Sepulut, bertujuan mengIslam satu keluarga seramai 4 orang di sana. Kami hanya dapat berhubung dengan telefon dengan nada terputus-putus, tetapi tidak mampu meranduk air mengharung arus sungai yang deras, amat berbahaya. Mereka juga tidak dapat keluar dari kawasan kampung. InsyaAllah akan cuba mengIslamkan mereka secepat mungkin.
(21 Julai 2012)Santai selepas Subuh di Kampung Salarom Taka...Saudara Stanley dan Lito sedang belajar membetulkan bacaan Al Fatihah dengan Ustaz Soiful Bahri Sidek (Tabib Muda)
Semoga mereka akan tabah berpuasa dan beribadah sepanjang Ramadhan ini. Pasangan Muhammad Shahrul Ramadhan dan Wiwit di Kampung Salarom Taka, Sepulut.
Tabib Muda Saiful Bahri dan Saudara Saifullah dari UIA memasak bubur lambuk Jawa untuk juadah berbuka puasa hari ini. Petang ini penduduk Islam sekitar Sepulut berkampung di Kampung Padang untuk berbuka, tarawih dan sahur bersama.
Solat tarawih malam ke-2 Ramadhan di Sepulut. Ramai di antara mereka yang pertama kali merasai suasana ini. Nikmat iman dan Islam, nikmat persaudaraan.
(22 Julai 2012)Bismillah..skrg menuju ke Salung, esok ke Pensiangan dan Tinanfuk Doakan..
Sekarang kami singgah ziarah di Kampung Sebulu, mukim Pagalungan. Di sini ada dua keluarga Islam, saudara Justin Aping dan Diksun Aping. Mereka pertama kali berpuasa tahun ini. Moga Allah beri kekuatan.

Gambar: Saudara Justin sedang melihat jadual berbuka puasa dan imsak.
"Makcik sanggup berlapar, tapi tidak sanggup kalau tidak makan sireh...ustaz tolong doakan makcik kuat puasa." kata makcik Talaweh, sehari sebelum Ramadhan. Syukur, semalam makcik Talaweh dapat berpuasa dan masih kuat ke kebun.
(23 Julai 2012)Bismillah..meneruskan perjalanan ke Pensiangan selepas dua orang lagi mengucap dua kalimah syahadah selepas subuh tadi di Kuala Salung. ALHAMDULILLAH.

Menongkah arus...berperahu ke Pensiangan, menempuh berpuluh-puluh jeram, memakan masa lebih 3 jam. Allahu Rabbi...(23 julai 2012, 3 Ramadhan)
Sekarang telah melepasi Pagalungan, menuju ke Pensiangan, insyaAllah ada lagi yang akan Islam di sana, amin. Kami singgah ke Tinanduk selepas berpatah balik pulang dari Pensiangan.
Sekarang telah melepasi Pagalungan, menuju ke Pensiangan, insyaAllah ada lagi yang akan Islam di sana, amin.

(24 Julai 2012)Alhamdulillah, seorang lagi memeluk Islam di Pensiangan. Puan Salimah Sandui mengucap dua kalimah syahadah jam 1.30 petang semalam. Beliau juga telah mula berpuasa semalam.
Bismillah...Musafir dakwah fillah hari ke-9, kini sedang menuju ke Keningau. InsyaAllah seorang lagi akan mengucap syahadah di sana. Jumlah yang memeluk Islam sepanjang misi ini kini seramai 120 orang.
Subhanallah! Alhamdulillah! Allahuakbar!. Maha Suci Allah yang mengurniakan hidayah kepada hamba-Nya, Rosmah Binti Siyum, berasal dari Pagalungan, Sabah. Petang tadi 24 Julai 2012, jam 3.30 petang, beliau mengucap dua kalimah syahadah di Taman Bersatu, Keningau. Saudari Rosmah merupakan insan ke-121 memeluk Islam dalam misi dakwah di pedalaman Sabah ini, juga yang ke-3 diIslamkan dalam jihad Ramadhan ini. Ramadhan bulan jihad! —
Syukur, berbuka puasa bersama saudara baru kita, sedikit kuih atau tamar dan air, kemudian terus solat maghrib. Hidangan makan malamnya ala kadar dan tiada pembaziran. Ada yang belum pernah melihat buah tamar.
(25 Julai 2012)Ketika kami tiba di SK Pensiangan pada Isnin lalu, pelajar perempuan yang bertudung hanya seorang, sedang yang lain belum bertudung. Bukan kerana tidak mahu memakainya, tetapi mereka tidak mampu, lebih-lebih lagi sebahagian besar ibubapa mereka belum Islam. Mereka menerima dengan gembira tudung dan kopiah bagi pelajar lelaki yang kami bawa lantas memakainya dengan segera.

Itulah tudung dan kopiah yang dibeli menggunakan wang sumbangan sahabat handai, sanak saudara dan rakan-rakan FB yang dermawan. Moga manfaatnya berpanjangan hingga ke akhirat.
Yang bertudung hanya seorang, iaitu adik Arlyna Donny (tiga dari kanan). Ibunya baru sahaja memeluk Islam Isnin lalu, iaitu Puan Salimah Sundai. Setiap hari dia menyampaikan kepada ibunya tentang Islam, sebaik pulang dari belajar di sekolah. Ketika diIslamkan ibunya telah mula berpuasa.
Kami akan cuba ziarahi semua ibubapa bertuah yang punya anak yang sanggup Islam sendirian sedang mereka belum Islam, insyaAllah. Di SK Pensiangan terdapat 17 anak-anak yang Islam sendiri tanpa ibubapa mereka.
Bismillah..sekarang mula bergerak menuju ke Kota Kinabalu dari Keningau. InsyaAllah malam nanti akan terbang Kuala Lumpur. 5 Ogos akan kembali lagi, dengan izin Allah.
Hari terakhir dalam misi dakwah di pedalaman Sabah kali ini, menyaksikan pertambahan 3 orang lagi saudara baru kita, menjadikan jumlah yang diIslamkan sejak November 2011 hingga kini 121 orang semuanya. Misi akan datang dirancang mulai 5-13 Ogos 2012, insyaAllah.

Setelah dididik, ada yang telah mampu menjadi imam tarawih walau sekadar membaca surah al-ikhlas di setiap rakaat.

Bismillah..sedia untuk berlepas ke Kuala Lumpur. Moga Allah terima amal dan juang setiap yang terlibat di dalam misi dakwah di Sabah ini, para pendakwah, para penyumbang, pembantu perjalanan, saudara-saudara di pedalaman, anak-anak yang berkorban rasa kerana sanggup ditinggalkan serta sahabat dan kaum keluarga yang sentiasa mendoakan, amin.
keadaan tidak jauh berubah sejak 20 tahun lalu. Di pedalaman Pensiangan ini sudah ada masjid (Salung, Pagalungan dan Pensiangan) tetapi amat kurang penggunanya dan kurang pula kemudahan asasnya. Sedang kami usahakan agar bertambah ramai jemaah dengan berdakwah mengIslamkan yang baru dan mendidik yang telah lama Islam. Hasil dakwah, ada kawasan yang semakin ramai Islam, dan ramai pula yang mahu belajar dan solat, tetapi belum ada masjid, masih menumpang di dewan orang ramai. InsyaAllah tidak lama lagi akan kita usahakan sebuah masjid di sana.
Dalam pengamatan saya, gereja juga semakin berkurangan dan kurang sambutan. Memang ada missionary yang sanggup berperahu dari kampung ke kampung, membawa kitab dan gitar, tetapi bilangan yang ikut mereka ke gereja hanya tiga orang. Ini peluang bagi kita memperkasakan Islam di sana, kerana mereka di sana sedang kosong jiwanya, sedang tercari-cari kebenaran, patut kita ambil peluang untuk menyampaikan kebenaran Islam kepada mereka.
Di kawasan lain, memang ada laporan dari pihak berkuasa agama, bahawa ramai yang murtad, hasil dari gerakan missionary, tetapi saya melihat perkara ini sebagai kelemahan pihak kita. Kita yakin "manjadda wa jadda", siapa yang bersungguh-sungguh akan berjaya dengan izin Allah. Jadi mari kita tingkatkan usaha, berdakwah, Islamkan yang yang baru, didik mereka. Begitu juga, didiklah yang telah lama Islam agar benar-benar mantap aqidah dan amal mereka, insyaAllah tiada murtad.
Jika sudah benar-benar dididik, telah faham Islam, tiba-tiba terpengaruh dengan ajaran lain, barulah benar-benar murtad. Adilkah kita jika kita Islamkan seseoraang, kemudian ditinggalkan puluhan tahun tanpa sebarang didikan, lalu dia memilih ajaran lain pula dalam tempoh itu, maka dikatakan murtad? Saya lebih melihat bahawa golongan ini sebenarnya tidak pernah Islam, tetapi diajar kalimah syahadah tanpa dia menyedari dirinya Islam, tanpa faham apa yang diikrarkan. Dalam keadaan ini tidak sah keIslamannya, atau tidak sah syahadahnya.
Kerana itu, pendekatan kita ini mendekati mereka, mungkin berbulan-bulan lamanya, hingga mereka senang dengan kehadiran Islam dalam kehidupannya. Bila turun hidayah Allah, mereka sendiri menyatakan keinginan ingin Islam tanpa paksaan. Mereka yang Islam melalui proses ini akan berpegang kukuh dengan aqidah Islam, bersungguh-sungguh belajar dan kuat mengamalkan Islam. Malah mereka inilah yang bersungguh-sungguh pula memperkenalkan Islam kepada saudara mara mereka.
Mubaligh Kristian telah terlebih dahulu menyebarkan ajaran kristian. British juga lama bertapak di sana. Tetapi siapa yang dulu bukan menjadi soal. Yang penting siapa yang bekerja secara berterusan, istiqamah menyampai kan kebenaran. Memang kita sedih jika ada umat Islam yang murtad, tetapi layakkah kita marah kepada mereka dan yang berusaha memurtadkan mereka, tanpa kita berusaha membaiki keadaan ini. Sikap kita yang sepatutnya, jangan salahkan musuh!
Saudara Anthony dan keluarganya telah Islam beberapa tahun lalu. Kini mereka ingin belajar Islam, terutama solat. Kami akan ke sana lagi bulan hadapan.
Patut kita lihat di sudut kesungguhan mereka belajar dan solat. Dahulu mereka solat sebulan sekali kerana menunggu kedatangan saya. Waktu itu mereka mahu solat, tetapi tidak tahu. Mereka perlu lihat dan contohi cara bersolat. Kini telah banyak peningkatan. Mereka telah pandai solat berjemaah dan boleh menjadi imam. Mendidik mereka bukan sehari dua, tetapi perlu berulang-ulang dan istiqamah.
Kerana itu pendakwah tidak boleh datang hanya sekali. Setelah diIslamkan mereka tidak boleh dibiarkan. Perlu program pendidikan jangka panjang dan jangka pendek. Juga tidak boleh harapkan pihak lain akan datang mendidik mereka walaupun tugas mendidik itu tugas kita semua. Kerana itu saya memantau sendiri perkembangan mereka.
Belum lagi dengan cabaran sihir atau ilmu hitam yang banyak di sini. Mereka akan menguji para pendakwah dengan menyihirnya. Jika kita dapat hadapi sihir itu, mereka akan mudah terima kita. Kerana itu, walau sakit yang pelik-pelik, tetap kena pergi ke sana, agar mereka faham bahawa Islam yang kita bawa ini satu perkara yang benar dan amat penting. Dalam setahun berdakwah, berkali-kali kami hadapi cabaran ini.
Jika ada yang arlegik atau jijik dengan anjing juga, agak payah mengikuti misi ini, kerana anjing terdapat di mana-mana, hinggakan di dalam rumah. Ada di sesetengah kawasan mereka amat menyayangi anjing. Jangan sekali-kali tunjukkan sikap cuak kepada anjing, tetapi tunjukkan sikap kita turut menyayangi ciptaan Allah itu. Perkara ini agak berat dilakukan oleh kebanyakan mereka yang pernah mengikuti misi bersama saya.
Ada yang menghilang diri setelah diIslamkan. Mereka ini kita susuli ke rumah atau ke kebun. Pasti ada masalah yang mereka hadapi. Kita perlu membantu mereka atasi masalah agar mereka dapat hadir belajar Islam.
Saya mengalu-alukan jika ingin ikuti misi dakwah ini, tetapi misi ini bukan mudah dan berbahaya. Perlu sanggup bersabar terutama karenah manusia, lebih-lebih lagi jika mereka telah menjadi saudara kita yang perangainya berbagai.
Perlu sanggup susah, juga sanggup berkorban mengutamakan orang lain. Perlu korban keselesaan, makan minum apa sahaja asal halal, tempat tidur yang tidak menentu. Kadangkala terpaksa berlapar lebih dari keadaan berpuasa.
Mesti berani menempuh jalan-jalan berbukit bukau serta berhutan. Ditambah lagi dengan gaung yang dalam. Kemudian kena berani dengan sungai yang deras arusnya. Kadangkala menuruni jeram, lebih banyak mendaki jeram dengan perahu. Jika air sungai cetek kerana kemarau, terpaksa meranduk air sambil menanggung perahu.
Perjalanan berterusan tanpa rehat yang cukup memang sangat memenatkan. Sering kita terpaksa perlahankan rentak perjalanan agar anggota misi dapat mengikutinya tanpa masalah.
Terimakasih atas doa kawan-kawan semua, moga dimakbulkan Allah. Misi dakwah di pedalaman Sabah akan diteruskan mulai 04-12 Ogos ini, cepat sehari dari jadual asal. Kali ini lebih fokus kawasan Lanas dan Pensiangan.
Kaum Murut ramai di sana. Untuk ke sana perlu menempuh jalan lori balak hingga ke Kuala Salung yang paling hujung. Setelah itu menaiki perahu menuruni arus Sungai Longgongon dan menongkah arus Sungai Tagol selama lebih kurang 4 jam. Doakan kami diberi kekuatan untuk ke sana kali kedua di bulan Ramadhan ini.
Ketika mengutuskan Muaz bin Jabal ke Yaman, Rasulullah SAW berpesan kepada beliau yang bermaksud: "Ajaklah mereka bersyahadah bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya aku adalah utusan Allah, jika mereka mentaatinya maka hendaklah engkau memberitahu mereka bahawa Allah mewajibkan ke atas mereka solat lima waktu sehari semalam. Maka jika mereka mentaatinya, hendaklah engkau memberitahu mereka bahawa Allah mewajibkan kepada mereka zakat yang diambil daripada orang kaya dan dikembalikan kepada orang miskin dalam kalangan mereka." (al-Bukhari)
Dengan izin Allah, didorong-Nya kami selama lebih setahun untuk berdakwah di Sabah, khususnya di kawasan pedalaman Pensiangan. Setelah berdakwah, Allah turunkan hidayah-Nya kepada hamba-hamba-Nya di sana. Telah kami usaha ikuti sabda Nabi, ajar syahadah, ajar solat lima waktu, ajar mereka berpuasa, lalu mereka mentaatiya. Kini tiba masanya mengajar dan menganjur agar mereka berzakat sekadar mampu. Moga Allah permudahkan urusan ini.
Kini terdapat 24 orang kanak-kanak yang Islam sedang keluarga dan ibubapa mereka belum Islam, menjadi tanggungjawab saya menguruskan zakat fitrah mereka.
Dakwah adalah kewajipan, mengikut sebuah sabda Nabi, "sampaikanlah dari aku walau satu ayat." Menyedarkan manusia agar Allah disembah, sampaikan seruan Ilahi dari hati, bukan hobi, bukan cari rezeki.
Seruan itu rasakan dahulu di dalam hati, buktikan dengan amalan, bukan sekadar aqli, bukan sekadar lisan, kerana besar kemarahan Tuhan, jika bercakap tidak diamalkan.
Bercakap dari hati akan jatuh ke hati, manusia berubah dan ada barakah. Sedang jika bercakap dari lidah akan jatuh ke lidah jua. Orang puji, orang mahu dengar lagi...tetapi tidak berubah.
Ini nasihat dari Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani kepada para pendakwah.
"Hai pemuda…! Nasihatilah dirimu sendiri terlebih dahulu sebelum kamu menasihati orang lain. Janganlah engkau berlebih-lebihan dalam menasihati orang lain sedangkan dalam dirimu sendiri masih bersemayam sesuatu yang engkau perlu perbaiki. Celakalah engkau…! Sekiranya engkau tahu bagaimana membersihkan orang lain, sedangkan engkau BUTA untuk membersihkan dirimu sendiri. Bagaimana seorang yang BUTA dapat memimpin orang lain?"
Rasulullah SAW telah membangunkan Islam dengan dakwah, tarbiah dan hijrah. Sayidina Abu Bakar, Umar, Usman dan Abdul Rahman Auf dengan harta mereka. Sayidina Hamzah dan sebahagian sahabat dengan darah. Seluruh sahabat dan tabi’in dengan mujahadah. Hasilnya Islam subur bak bunga di taman sewaktu pagi, tamannya indah berseri-seri. Berduyun-duyun manusia ke sana menghibur hati.

Wahai umat Islam, kita suburkan Islam dengan apa?
Bagi yang ingin berkongsi saham akhirat dalam proses dakwah dan mengIslamkan saudara kita di pedalaman Sabah, bolehlah salurkan ke akaun ustaz,

164427309874 Mohd Fadli Yusof, Maybank.
14290000431202 Mohd Fadli Yusof, CIMB.
14014020737552 Mohd Fadli Yusof, Bank Islam.
email: mfadli11@yahoo.com..insyaallah..

Friday, March 02, 2012

Ada spesis manusia yang lain di bumi sebelum Adam

Cuba perhatikan terjemahan surah Al Baqarah ayat 30 ini:


Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”. Ayat 30 Surah Al Baqarah.

Bagaimana Malaikat boleh tahu sifat manusia itu suka membuat bencana dan menumpahkan darah? Sudah tentu mereka mengetahuinya dari pengalaman yang lalu. Ayat ini menunjukkan bukti, Tuhan pernah mencipta manusia dari spesis yang lain sebelum Tuhan jadikan manusia jenis spesis Adam.

Gambar-gambar yang dipaparkan di sini menunjukkan rangka manusia yang dikatakan hidup sezaman dengan zaman dinosaur, iaitu 230 juta tahun yang lalu.

Sedangkan manusia dari spesis Nabi Adam hanya wujud tidak sampai dari 20 ribu tahun yang lalu. Kalau kita jejaki semula susur galur keturunan Nabi Muhammad hingga ke Nabi Adam, dengan merujuk kepada umur nabi-nabi sebagai rujukan umur manusia yang hidup pada zaman mereka, kita boleh anggarkan jarak masa antara manusia sekarang dengan manusia pertama (Nabi Adam) adalah antara 10 ribu hingga 20 ribu tahun sahaja.

Oleh itu kalau ada rangka manusia yang ditemui lebih dari jangka masa 20 ribu tahun, apalagi kalau 230 juta tahun seperti dalam gambar itu, ada kemungkinannya mereka bukan manusia yang sama spesis dengan kita.

Inilah Skeletons ( atau orang gergasi ) yang hidup di sezaman dengan zaman dinosaur ( Zaman Mesozoik) sejak 230 juta tahun dahulu.Penemuan bersejarah ini telah dibuat oleh Dr.Richard Owen seorang saintis yang mengkaji kehidupan manusia sejak 230 juta tahun dahulu. Dan penemuannya sungguh menggempar dunia.

Friday, November 04, 2011

Adalah kewajipan muslim menyeru orang bukan Islam untuk beriman

Dalam Quran begitu jelas memberitahu kita, amalan baik orang kafir itu akan menjadi sia-sia di akhirat nanti kalau mereka tidak beriman kepada Allah s.w.t di dunia ini. Dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka kerana enggan beriman kepada Allah.


Tetapi di samping itu ada juga ayat dalam Quran yang menyatakan suatu kaum itu tidak dikenakan azab neraka selagi tidak diturunkan rasul untuk memberi peringatan kepada mereka. Oleh itu zaman yang tidak mempunyai rasul seperti zaman antara nabi Isa dan nabi Muhammad, manusia-manusia yang hidup dan mati di zaman itu adalah terkecuali dari azab neraka, wallahulam.

Tetapi bagaimana dengan orang-orang di zaman itu yang melakukan berbagai kejahatan dan penginayaan terhadap manusia lain di waktu itu, adakah mereka terlepas dari pembalasan? Ada orang alim mengatakan mereka yang melakukan kejahatan di zaman itu tetap mendapat balasan setimpal dengan kejahatan yang mereka telah lakukan di akhirat nanti, kiasnya samalah seperti seekor binatang mencederakan binatang lain di dunia ini. Dikatakan di akhirat nanti, binatang yang dicederakan atau ditanduk itu akan menuntut pembalasan kepada binatang yang mencederakan mereka.

Tanggungjawab menyampaikan atau menyeru manusia agar beriman kepada Allah adalah menjadi kewajiban para Rasul sahaja, kecuali umat Muhammad. Tidak seperti umat-umat nabi yang lain, mereka tidak mempunyai kewajiban lagi untuk menyeru manusia beriman sebaik saja nabi mereka wafat.

Nabi Muhammad adalah nabi dan rasul terakhir yang diutus untuk umat akhir zaman, tidak ada lagi rasul selepas nabi Muhammad. Oleh itu tugas rasul untuk menyeru manusia beriman setelah nabi Muhammad wafat dipikul oleh orang Islam sendiri. Menyeru orang bukan Islam untuk beriman adalah menjadi tanggungjawab dan kewajiban orang Islam sendiri. Setiap kita orang Islam akan ditanya di akhirat nanti tentang kewajiban kita ini. Sudahkah kita telah menjalankan tugas yang diamanahkan oleh Allah ini?

Apakah jawapan yang dapat kita berikan kepada Allah di akhirat nanti, bila orang bukan Islam yang menjadi jiran kita mengadu kepada Allah, kita tidak pernah menyeru mereka untuk beriman?

Orang-orang bukan Islam yang tidak sampai seruan Islam ini, ataupun orang Islam sendiri tidak pernah menyeru mereka untuk beriman kepada Allah, sudah tentu mereka tidak akan dikenakan azab neraka oleh Allah. Mereka itu sama seperti manusia di zaman jahilliah yang tidak mengerti apa-apa.

Tetapi kepada orang-orang bukan Islam yang telah diserukan Islam kepada mereka dan telah diajak beriman kepada Allah, dan kemudian mereka menolaknya. Maka mereka pasti akan masuk ke neraka, sekalipun mereka telah melakukan amal-amal yang baik di dunia ini. Di sisi Allah, amal-amal baik mereka itu sama seperti debu-debu yang berterbangan saja.

Wednesday, June 08, 2011

Tujuan bertudung bukan untuk kelihatan cantik

Tujuan asal wanita disyariatkan bertudung (hijab) adalah bagi menutup kecantikan wanita. Nafsu seks lelaki cepat teransang bila melihat kecantikan wanita. Tidak dinafikan terdapat bahagian-bahagian tubuh wanita yang kelihatan cantik oleh lelaki, termasuklah rambut, yang boleh membangkitkan keghairahan nafsu seks mereka.


Nafsu seks lelaki yang dijadikan cepat ghairah dan teransang ini adalah antara yang menjadi punca terdorongnya kepada perlakuan zina. Oleh itu Islam telah mengekang jalan-jalan yang boleh mendekatkan kepada zina ini, termasuklah mengenakan suruhan wajib kepada kaum wanitanya supaya menutup aurat, dan menutup rambut dan bahagian dada mereka.

Tetapi di zaman sekarang ini peranan tudung tidak menepati tujuan asalnya, sebaliknya tudung digunakan untuk menyerlahkan lagi kecantikan seorang wanita. Macam-macam fesyen tudung terdapat di pasaran sekarang ini, ada saja fesyen terbaru dicipta bagi menarik kaum wanita untuk membelinya. Malah ada fesyen tudung yang dikaitkan dengan nama-nama artis dan selebiriti tertentu bagi melariskan jualan.

Sebelum tahun 1970-an dulu sangat jarang wanita-wanita muda bertudung, pada masa itu hanya makcik-makcik saja yang bertudung. Seingat saya pemakaian tudung oleh wanita-wanita muda dimulakan oleh ahli-ahli ABIM. Jika ada wanita muda memakai tudung semasa itu, mereka digelar sebagai orang dakwah. Tudung yang dipakai oleh mereka itu benar-benar menepati tujuan asal iaitu bagi menutupi perhiasan atau kecantikan seorang wanita.

Pengaruh pemakaian tudung telah berkembang dengan cepat selepas itu. Ramai wanita-wanita muda telah berlumba-lumba mengenakan tudung, apatah lagi tudung telah memberi persepsi kepada masyarakat sebagai wanita ‘baik’ kepada pemakainya.

Akhirnya tudung telah menjadi pakaian biasa bagi kaum wanita muslim di negara ini, tujuan pemakaiannya kepada setengah-setengah wanita bukanlah untuk menutup aurat tetapi lebih kepada ikutan semata. Oleh kerana orang lain bertudung, mereka juga kena ikut bertudung, kalau tidak mereka akan dilihat ganjil.

Oleh itu pada hari ini, label sebagai wanita ‘baik’ kepada wanita yang bertudung memang tidak boleh digunapakai lagi. Silap-silap wanita yang bertudung itu berperangai lebih jahat lagi.

Apa tidaknya, tujuan mereka bertudung adalah untuk kelihatan lebih cantik dan untuk menarik perhatian lelaki kepadanya. Fesyen tudung sarang tempua yang sangat popular sekarang ini sama seperti bonggol-bonggol unta yang disebut oleh Nabi Muhammad bagi menggambarkan fesyen wanita yang menjolok mata di akhir zaman.

Ada juga yang bertudung tetapi kelihatan seperti telanjang, tudung dikenakan dengan pakaian yang tipis dan ketat, baju berlengan pendek, dada terdedah, kain pula berbelah menampakkan betis dan paha.

Tuesday, May 24, 2011

Barat tidak pernah menafikan bulan pernah terbelah dua

Salah satu dari mukjizat Nabi Muhammad yang mashur ialah baginda telah membelah bulan kepada dua, dengan izin Tuhan, dan kemudian bercantum semula.

Mukjizat ini mempunyai hikmah yang hebat. Ia bukan sahaja dapat dilihat oleh orang-orang musyrikin Mekah sebagai bukti kerasulan Nabi Muhammad, tetapi kesannya juga dapat dilihat oleh manusia di zaman sekarang.

Antara misi yang tersirat disebalik perlumbaan meletakkan manusia pertama di bulan oleh Barat ialah untuk membuktikan bulan tidak pernah terbelah seperti yang didakwa oleh umat Islam selama ini, sekali gus untuk membuktikan peristiwa terbelahnya bulan itu (kalau pun berlaku), hanyalah merupakan gejala sihir, di mana ahli magis seperti David Copperfield pun boleh melakukannya.

Kalau Barat dapat membuktikan bulan tidak pernah terbelah, sudah tentu ia akan menjadi satu modal atau keuntungan yang besar kepada mereka untuk menjadi hujah bagi merendahkan kebenaran Nabi Muhammad dan Islam.

Walaupun Barat telah berjaya menghantar manusia ke bulan, tetapi sehingga kini mereka tidak pernah menafikan atau memberitahu kita bahawa tidak pernah berlaku bulan terbelah dua.

Dan lebih misteri lagi, keghairahan program penghantaran manusia ke bulan dan kajian lanjut ke atas bulan dengan lebih terperinci terus sepi selepas kejayaan mereka mendaratkan manusia di sana sekitar akhir tahun 1960-an dulu. Seolah-olah mereka mahu menutup rahsia berkaitan bulan dari pengetahuan kita.

Jika diberi peluang mungkin ramai lagi angkasawan atau orang ramai yang ingin menjejak kaki ke bulan, tetapi kenapa usaha ke arah itu, hingga kini tidak pernah diberi perhatian?

Sebenarnya tidak sukar untuk membuktikan bulan pernah terbelah atau tidak. Bulan tidak ada angin dan air atau hujan yang boleh memadamkan kesan pergerakan tanah. Kalau tahi bintang menghentam permukaan bulan, kesan dari hentaman itu akan terus kekal hingga ke hari kiamat.

Jejak-jejak kasut yang ditinggalkan oleh angkasawan-angkasawan yang pernah mendarat di bulan pada akhir tahun 1960-an dulu pun pasti kekal seperti keadaan asal, dan akan menjadi bukti bahawa mereka pernah menjejakkan kaki di sana.

Begitu jugalah kalau bulan pernah terbelah, kesan belahan itu akan kekal tanpa diganggu oleh air dan angin hinggalah ke hari kiamat. Itulah hikmahnya mukjizat terbelahnya bulan yang dianugerahkan kepada Nabi Muhammad, kerana sepatutnya ia masih dapat dilihat oleh manusia zaman sekarang yang telah ada kemampuan untuk mendarat di bulan.

Mungkin ketika berlakunya mukjizat tersebut pada 1400 tahun dahulu, tidak ada siapa yang menyangka manusia akan sampai ke bulan.

Monday, August 23, 2010

Masih boleh berdoa untuk Lim Guan Eng


Khabbab keluar dari persembunyiannya dan berkata, “Demi Allah, baru kemarin aku mendengar Rasulullah s.a.w. mendoa supaya Umar atau 'Amr ibn Hisyam masuk Islam.

Riwayat diatas adalah dipetik dari laman web berikut:

Cerita Rasullullah berdoa kepada Allah s.w.t agar dua orang kafir yang bernama Umar masuk Islam sangat mashur dalam sejarah Islam.

Kedua-dua Umar ini sangat kuat dan keras tentangannya kepada perkembangan awal agama Islam di tanah Arab.

Kedua-dua Umar itu juga adalah orang yang dipandang tinggi dan sangat berpengaruh dalam masyarakat Mekah ketika itu.

Oleh itu tidak salah kalau kita mencontohi Rasullulah mendoakan mana-mana orang bukan Islam yang bernama ‘Umar’ supaya mereka diberi taufik dan hidayah untuk memeluk agama Islam.

Dan sangat bertentangan dengan sunah dan amatlah tidaklah betul kalau kita mendoakan orang yang bernama Lim Guan Eng supaya masuk Islam. Kerana ini tidak pernah dilakukan oleh Rasullullah sendiri.

Tetapi kalau kita masih juga mahu mendoakan beliau masuk Islam maka namanya hendaklah disebut dalam doa itu sebagai “Umar Abdul Aziz Pulau Pinang” bukan "Lim Guan Eng". Kerana pada nama itu ada “Umar”.

Amaran: Ini hanya pendapat penulis sahaja, bukan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Thursday, February 25, 2010

Antara Demontrasi Jalanan dan Perarakan Agama


Demontrasi jalanan dan perarakan agama merupakan satu cara manusia untuk menunjukkan atau melahirkan perasaan mereka secara beramai-ramai terhadap sesuatu perkara.

Bezanya, demonstrasi jalanan sering dikaitkan dengan rasa tidak puas hati terhadap pihak-pihak yang tertentu, manakala perarakan agama pula sering dikaitkan dengan rasa kecintaan dan pemujaan.

Seperti sudah menjadi rutin wajib, setiap kali kita menyambut hari maulidur rasul, masyarakat Melayu kita akan mengadakan acara perarakan beramai-ramai sebagai tanda kecintaan mereka kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Walaupun acara perarakan maulidur rasul ini bukanlah merupakan ajaran yang disuruh oleh Nabi Muhammad, tetapi oleh kerana ia merupakan amalan ‘bidaah yang baik’, acara ini terus menjadi amalan masyarakat umat Islam di Negara ini hinggalah ke hari ini.

Perarakan maulidur rasul ini tidak menjadi masalah kepada kita, sehinggalah bila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dituduh ingin membatalkan perarakan maulidur rasul di peringkat negeri Pulau Pinang, isu perarakan maulidur rasul ini telah mendapat perhatian meluas dari rakyat Malaysia.

Kekeliruan ini telah diselamatkan oleh Datuk Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan, bila beliau selepas itu menyatakan negeri Kelantan tidak akan mengadakan perarakan maulidur rasul.

Oleh kerana Nik Aziz memang kita kenali sebagai Tok Guru, yang amat faham tentang agama Islam, tidak siapa yang berani hendak memburuk-burukan beliau seperti mana Lim Guan Eng telah dituduh sebagai anti Islam.

Langkah yang diambil oleh Nik Aziz itu memang wajar dan kena pada masanya. Kita tidak mahu amalan-amalan yang ditambah kemudian di dalam Islam, akan terus dilihat dan dianggap menjadi amalan wajib oleh masyarakat Islam di Negara ini, sekalipun amalan itu memang baik.

Ada setengah-setengah masyarakat Islam di Negara ini tidak sedar, banyak amalan atau acara agama yang dilakukan pada hari ini sebenarnya adalah amalan dan acara tambahan yang dibuat oleh ulamak terkemudian. Sehingga bila ada orang yang tidak mahu mengikut amalan-amalan ini akan dituduh sebagai wahabi atau lebih teruk lagi dicop sebagai anti Islam.

Ramai yang tidak mahu dan menolak menjadi imam bila besembahyang di tempat awam kerana malu tidak pandai membaca doa selepas selesai sembahyang, malah mereka lebih rela bersembahyang secara sendirian. Padahal pahala berjemaah itu lebih besar dan lebih utama, walaupun tanpa membaca doa berjemaah selepas solat itu.

Oleh kerana membaca doa selepas solat berjemaah itu telah dianggap sebagai kemestian maka ramailah yang tidak sudi dan malu untuk menjadi imam, hanya gara-gara tidak pandai membaca doa.

Ini belum termasuk cerita ada orang takut nak bernikah kerana takut dan gementar nak baca akad nikah yang perlu dihafal dan disebut lancar atau tidak pandai baca taklid nikah yang ditulis dalam tulisan jawi.

Yang lagi lucu, ada orang menolak menyertai menyembahyangkan mayat kanak-kanak kerana belum belajar dan hafal niat sembahyang untuk mayat kanak-kanak. Dia hanya baru hafal niat sembahyang untuk mayat orang dewasa saja.

Pernah saya dalam perjalanan balik kampong telah berhenti untuk sembahyang Asar di sebuah masjid di kawasan Batu Pahat. Sedang azan waktu asar tengah dilaungkan di corong pembesar suara, dalam masa yang sama hingar bingar kedengaran di kawasan masjid itu dengan bunyi ketukan, beberapa orang tengah sibuk memotong tulang-tulang lembu dengan kapak. Rupanya mereka sedang sibuk untuk menyediakan jamuan ceramah sempena maulidur rasul yang akan diadakan pada malam itu.

Kalau Nabi Muhamad masih ada, mungkin baginda sendiri pun lebih suka majlis maulidur rasul itu tidak disambut, kalau kerananya mereka telah tidak mengendahkan dan menghormati laungan azan.
Apalah ertinya kita menyambut maulidur rasul yang kononnya bagi menunjukkan kecintaan kita kepada baginda, sedangkan banyak akhlak dan amalan baginda telah tidak kita pedulikan.

Tuesday, November 17, 2009

Terimalah orang jahat berkawan dengan kita

Terdapat banyak hadis-hadis nabi meriwayatkan yang menggalakkan kita supaya berkawan dengan orang-orang yang baik dan melarang berkawan dengan orang jahat.

Antara yang cukup terkenal ialah yang maksudnya lebih kurang, ‘jika kamu berkawan dengan pembuat minyak wangi, sekurang-kurangnya kamu dapat bau wanginya, jika kamu berkawan dengan tukang besi, setidak-tidaknya kamu dapat rasa panasnya’.

Kalau kita melihat sepintas lalu hadis tersebut seolah-olah seperti kita perlu memilih kawan yang baik saja dan memulaukan orang-orang jahat dari dibuat kawan.

Tetapi kalau diteliti betul-betul hadis tersebut, sebenarnya ia juga membawa maksud supaya kita menerima orang jahat yang ingin berkawan dengan kita.

Kalau kita berminat untuk memancing ikan maka kita kenalah berkawan dengan orang yang mempunyai hobi yang sama, barulah kita dapat berkongsi pengalaman dan keseronokannya.

Begitu juga kalau kita berminat hendak menjadi mat rempit, tentu kita akan mendekati dan menyertai aktiviti kumpulan mat rempit yang ada di kawasan berhampiran dengan kita.

Kalau kita hendak menjadi jahat, tentu kita akan berkawan dengan orang yang kita kenali sebagai jahat atau menyertai kumpulan samseng yang kita tahu.

Apabila kita ingin berkawan dan menyertai suatu kumpulan samseng itu, adalah mustahil ahli-ahli kumpulan samseng ini akan mengikut perangai kita, sebaliknya kitalah yang kena mengikut perangai mereka.

Begitu jugalah kalau ada orang jahat yang sudah terbuka hati untuk menjadi baik, tentu dia akan mencari orang-orang yang baik untuk menjadi kawannya. Dari situlah dia akan belajar untuk mencontohi dan mengikuti tingkah laku kawannya yang baik itu.

Oleh itu maksud hadis yang melarang kita berkawan dengan orang-orang jahat itu, bukanlah bermakna baginda melarang kita menerima orang-orang jahat yang ingin berkawan dengan kita.

Kesimpulannya, jangan sekali kita berkawan dengan orang jahat tetapi sentiasalah menerima kalau ada orang jahat yang hendak berkawan dengan kita.

Wednesday, January 28, 2009

Amerika ada Obama, kita ada Obangau ~ ref Malaysiakini

OBAMA dalam ucapan sulungnya sebagai Presiden Amerika telah mendakwa pemimpin-pemimpin dunia ketiga selalu menyalahkan dunia Barat di atas kelemahan mereka mentadbir Negara. Ada juga benarnya tuduhan Obama itu, seperti yang kita dapat saksikan hari ini, di dunia ketigalah terkumpulnya pemimpin-pemimpin yang korup, rasuah, autokratik, tidak telus dan tidak demokratik.

Sejak kecil kita telah diajarkan lagu Obangau. Falsafah lagu Obangau ini telah membudaya kedalam masyarakat kita. Maka tidak hairanlah kalau sikap kita selalu menyalahkan orang lain atas kelemahan kita sendiri kerana sikap kita yang demikian itu telah dididik secara halus melalui lagu Obangau ini.

Di satu masa dulu kalau ustaz-ustaz kita yang dijemput memberi ceramah agama selalu mengecam tindak tanduk ‘orientalis barat’ kerana memutar belitkan fakta-fakta yang berkaitan Islam. Maka orang-orang yang mendengar ceramah ustaz itu berasa kagum dengan kepandaian ustaz yang mendedahkan penyelewengan oleh ‘orientalis barat’ itu.

Sekarang pula banyak kita dengar orang-orang barat yang melakukan ‘penghinaan’ kepada Nabi Muhammad dan Islam dalam berbagai bentuk, termasuklah dalam bentuk karikatur katun. Pernah seorang orang Denmark menggambarkan Nabi Muhammad sebagai pengganas dalam lukisan katunnya.

Maka beranglah orang Islam dengan penghinaan kepada Nabi dan agamanya itu. Maka berarak mereka di jalan-jalan raya berdemontrasi menunjukkan rasa marah mereka kepada individu-individu dan Negara-negara yang terlibat. Dibakarlah apa yang patut dibakar termasuklah bendera Negara-negara tersebut sebagai untuk melepaskan geram.

Sebagai hendak menunjukkan rasa membela Nabi dan agama yang mulia ini ada ulamak yang telah memberi fatwa adalah halal untuk membunuh orang yang telah menghina Nabi dan Islam itu. Malah ada hartawan dikalangan orang Islam telah menawarkan wang berjuta dollar kepada sesiapa yang dapat membunuh individu yang telah menghina Nabi dan Islam itu.

Kemuliaan dan ketinggian agama Islam itu bukanlah disebabkan oleh semua orang mengatakan ia agama yang baik tetapi adalah disebabkan ajarannya yang baik lagi benar. Walau berjuta orang menghina Nabi dan Islam, ini tidak akan membuatkannya terhina.

Oleh itu kenapa umat Islam terlalu cepat melatah, apakah kita tidak percaya dengan kemuliaan dan ketinggian ajaran Islam. Kadang-kadang cara kita menyambut tarian yang digendangkan oleh orang barat itu hanya tambah menampakkan kebodohan dan kejahilan kita sahaja.

Lihatlah kembali peristiwa Nabi Muhammad membantu seorang perempuan tua membawa pulang barang-barang yang dibelinya di pasar. Tanpa disedarinya yang membantu membawa barang-barangnya itu adalah Nabi Muhammad yang sedang heboh diperkatakan oleh masyarakat Mekah ketika itu. Dalam perjalanan itu perempuan tua itu telah menasihatkan Nabi supaya menjauhi Nabi Muhammad dan ajarannya, kerana katanya Muhammad adalah seorang jahat dan pemecah belah masyarakat.

Bila sudah sampai dirumah perempuan tua itu, dia telah menghulurkan sedikit wang sebagai upah tetapi ditolak oleh Nabi kerana dia hanya ingin membantu saja. Kerana terpesona dengan kebaikan Nabi Muhammad itu lalu dia bertanyakan nama nabi. Nabi menerangkan kepada perempuan tua itu dialah Nabi Muhammad, orang yang telah diperkatakan oleh perempuan tua itu tadi. Alangkah terkejutnya perempuan tua itu, hampir dia tidak percaya yang dia sedang berdepan dengan orang yang bernama Muhammad itu.

Sesungguhnya kemuliaan Nabi Muhammad itu bukanlah disebabkan kita semua mengatakan dia mulia, tetapi sikap dan akhlaknya yang mulia itulah yang telah mengangkat baginda menjadi Nabi yang mulia.

Usahlah kita bimbang kalau berjuta pun orang bukan Islam menghinakan Nabi Muhammad kerana baginda sememangnya seorang yang mulia. Hanya orang yang jahil sahaja yang akan berkata Nabi Muhammad itu jahat atau pengganas, kerana mereka tidak mengenali Nabi Muhammad itu dengan sebenarnya.

Mereka itu mengenal perwatakan Nabi Muhammad hanya melalui ‘pengganas’ yang menggunakan label Islam. Oleh itu kalau kita hendak memperlihatkan kemuliaan dan ketinggian Nabi Muhammad dan Islam kepada orang bukan Islam maka menjadi tanggungjawab kita supaya berakhlak seperti akhlak Nabi dan Quran untuk dipamerkan kepada mereka.

Sebaliknya jangan kita menjadi seperti orang yang kena sawan, meracau-racau di tengah-tengah jalan setiap kali nabi dan agama kita dihina.

Sudah sampai masanya kita melihat kepada diri kita, bersama-sama dan bersungguh-sungguh untuk membaiki kelemahan diri kita. Menyusun strategi sehingga mampu menjadi orang yang terbaik dan mengungguli segala bidang.

Kalau kita asyik menyanyikan lagu Obangau kepada anak-anak kita, selamanya orang kita akan bersikap suka menyalahkan orang lain saja, akhirnya kita akan terus menerus menjadi mangsa dan makanan orang barat walaupun bilangan kita ramai. Seperti mana kita telah percaya katak adalah memang makanan ular dalam lagu Obangau.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com