Nabi Muhammad adalah nabi dan rasul
yang terakhir diturunkan oleh Allah s.w.t untuk menyeru manusia beriman dan
mentauhidkan Tuhan yang Maha Esa. Selepas baginda wafat, tugas nabi ini
terpikul kepada kita umat Islam.
Moyang kita di Malaysia dulu dapat
memeluk Islam bukanlah disebabkan nabi sampai di sini, tetapi adalah atas sebab
kesedaran umat Islam terutamanya alim ulamak tentang tanggungjawab mereka untuk
menyebarkan ajaran Islam seperti yang dikehendaki oleh Allah.
Ramailah alim ulamak telah bertebaran mengembara
ke rantau ini untuk menyeru manusia beriman kepada Allah, mereka telah datang dari
sejauh jazirah Arab, India, Acheh, Jawa, Sulawesi dan Makasar.
Sebenarnya masih ramai lagi manusia di
dunia ini yang masih belum beriman, tentunya kita sebagai orang Islam akan
ditanya di akhirat nanti oleh Allah tentang kewajipan dalam menyampaikan seruan
tauhid ini.
Para ustaz dan ulamak tidak harus
hanya duduk di masjid atau di kerusi empuk di pejabat, tetapi perlu juga keluar
menyeru manusia kepada iman, kerana di luar sana masih ramai lagi orang-orang
yang masih tidak sampai seruan tauhid kepada mereka.
Di bawah diceritakan kisah Ustaz Mohd
Fadli Yusof yang telah membuat usaha dakwah ke kawasan pedalaman Sabah. Semoga
kisah beliau ini akan menyuntik semangat kepada kita untuk melibatkan diri
secara langsung atau tidak langsung dalam usaha ini.
Catatan kisah ini dikumpul dari laman
social Facebook beliau. Selamat membaca.
Bismillahi tawakkaltu
'alalLah...bermula musafir dakwah ke Sabah. Sudah masuk tahun kedua kali ini.
Misi ini bermula bulan Syaaban 1432H, kini sudah penghujung Syaaban 1433H. Kali
ini menempuh Ramadhan bersama saudara-saudara yang pertama kali berpuasa. Ada
kawasan yang baru diteroka, di sana belum tahu ada sahur atau berbuka...mungkin
minum air sungai sahaja. Moga Allah permudahkan, amin.
Alhamdulillah, telah selamat tiba di
Kota Kinabalu. Ketika makan di Restoran Islamic, bertemu sahabat-sahabat dari
Telekom dan Koperasi Kota Mas, Tuan Haji Ismail Nordin, Tuan Sham dan Tuan
Mustafa. InsyaAllah Raya Haji nanti pihak Koperasi Kota Mas akan mengorbankan
seekor lembu bersama saudara-saudara kita di pedalaman Sabah.
Setelah setahun mereka berhubung
melalui FB, baru malam ini diizinkan Allah bertemu. Bersambung ukhwah Saudara
Mohd Sham Al Kholidi dan Ashrafil Harumin. Barangkali inilah watak Ali dan Adi
yang sering ditulis oleh saudara Ashrafi.
Bismillah...hari ini meneruskan
perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kampung Pinawantai, Ranau. InsyaAllah akan
diziarahi semula keluarga Encik Milik yang amat berminat memeluk Islam.
Anak-anak beliau telah mempelajari subjek Islam di sekolah mereka.
Mudah-mudahan hidayah Allah akan menyapa mereka berkat Ramadhan yang hampir tiba.
Alhamdulillah, urusan dakwah di
Kampung Pinawantai Ranau berjalan lancar. Ketika petang, dimulakan dengan
ziarah ke rumah mereka yang belum Islam, sementara yang Islam hadir ke Surau Nur Iman Pinawantai untuk
mengikuti majlis ilmu. Kali ini turut dihadiri saudara-saudara kita dari
Kampung Tarawas dan Kampung Togop Darat. Rata-rata mereka memeluk Islam sejak 5
tahun dahulu.
(17 Julai 2012) Bersama Ustaz Abdul
Rauf Abas, Ketua Pentadbir JHEAINS Ranau dan Pengerusi Ayahanda-Ayahanda Sabah,
Tuan Haji Saprin (duduk di tengah) membincangkan hal ehwal umat Islam khususnya
di Ranau.
(17 Julai 2012)Bismillah...sekarang
menuju Kampung Lukapon, Ranau untuk ziarah dan dakwah, moga Allah permudahkan,
amin. Ini lokasi yang sudah lama saya tidak ziarah, terakhir bulan Oktober
2012.
Sembang ukhwah selepas solat Isyak di
Surau Al Hasanah, Kampung Lukapon, Ranau. InsyaAllah selepas ini akan dibuat
ziarah seluruh kampung dan kursus solat untuk ahli jemaah. Moga akan semakin ramai
akan hadir nanti. Besok pagi sudah bergerak ke Keningau.
(18 Julai 202)Menempuh jalan yang
licin ketika hujan renyai, dikala hari semakin gelap membuat hati semakin
mengharap bantuan Allah. Ya Allah, bantulah kami. Perjalanan ke Kampung Pinipi,
Lanas.
(19 Julai 2012)Alhamdulillah, sedetik
sebelum Maghrib petang semalam tiba di Surau Darul Atiq, Kampung Pinipi, Lanas.
Selepas maghrib bertazkirah dan silaturrahim dengan ahli jemaah, diikuti jamuan
menyambut Ramadhan. Syukur...ramai yang hadir walaupun hujan lebat.
Menziarahi Mak Cik Asiah, ibu kepada
Cikgu Berani (duduk di sebelah saya) di Kampung Alap, Lanas. Makcik ini
mengidap stroke, percakapannya tidak jelas. Dalam ziarah bulan lalu, beliau
berjaya mengucap dua kalimah syahadah dengan lancar dan jelas (hanya ketika
mengucap), kemudian kembali semula seperti sebelumnya.
Bismillah...perjalanan berziarah
saudara Islam di Kampung Kilu, Lanas. Antara yang akan kami ziarahi saudara
Simuda dan Amun.
Alhamdulillah...sudah
selesai ziarah di kawasan Lanas, iaitu di Kampung Alap, SK Lanas, Kampung
Pinipi, Kampung Kuit dan Kampung Kilo. Mudah-mudahan akan ada beberapa orang
lagi akan mendapat hidayah di sini.
Gambar: Ustazah Aisyah sedang
menerangkan tentang solat kepada Puan Naema dan suaminya Encik Simuda di
Kampung Kilo, Lanas. Walaupun kami sudah melangkah untuk pulang ketika itu,
mereka seperti berat melepaskan, kerana terlalu ingin belajar. InsyaAllah akan
ke sini lagi nanti.
Di Masjid Babur Rahman, Kampung
Sinulihan Baru. Saudara Tabibmuda Soiful Bahri sedang menyampaikan tazkirah.
(20 Julai 2012)Sebelum meninggalkan
Lanas semalam, berziarah ke rumah Wakil Ketua Anak Negeri Kawasan Lanas, tetapi
beliau tiada di rumah ketika kami sampai. Menurut anaknya Muhammad Fauzi,
ayahnya menunggu kedatangan kami sejak pagi. Beliau sudah ada keinginan memeluk
Islam. Muhammad Fauzi (4 dari kanan) memeluk Islam pada 2010 yang lalu ditangan
Ustaz Isadli (paling kiri) yang memimpin umat Islam di Lanas kini.
Bismillah...sekarang mula bergerak
dari Kampung Sinulihan Baru menuju ke Salarom Taka, Sepulut, sebuah penempatan
majoriti belum Islam. InsyaAllah akan bertarawih serta bersahur bersama
beberapa keluarga Islam di sana. Perjalanan kira-kira 100km lagi.
Berkat Ramadhan yang baru tiba, inilah
azan pertama di Salarom Taka, dilaungkan oleh Saudara Soiful Bahri. Tuan rumah,
Saudara Shahrul Lito dan Wiwit amat gembira dengan ketibaan tetamu Ramadhan.
Sebelum ini Salarom Taka dihuni oleh
100% Kristian SIB. Kini telah bermula Islam di sini. Saudara Shahrul Lito dan
isterinya Wiwit membuka pintu untuk belajar Islam. Jiran Islam mereka, Puan
Arena yang tinggal 2km dari situ turut hadir belajar dan solat tarawih.
Malam ini kami bertarawih dan bersahur
di sini. Tarawih pertama buat saudara Lito. Doakan dia dan isterinya kuat dalam
berpuasa Ramadhan tahun ini.
Petang tadi kami ke Kampung Pulungan,
Sepulut, bertujuan mengIslam satu keluarga seramai 4 orang di sana. Kami hanya
dapat berhubung dengan telefon dengan nada terputus-putus, tetapi tidak mampu
meranduk air mengharung arus sungai yang deras, amat berbahaya. Mereka juga
tidak dapat keluar dari kawasan kampung. InsyaAllah akan cuba mengIslamkan
mereka secepat mungkin.
(21 Julai 2012)Santai selepas Subuh di
Kampung Salarom Taka...Saudara Stanley dan Lito sedang belajar membetulkan bacaan
Al Fatihah dengan Ustaz Soiful Bahri Sidek (Tabib Muda)
Semoga mereka akan tabah berpuasa dan
beribadah sepanjang Ramadhan ini. Pasangan Muhammad Shahrul Ramadhan dan Wiwit
di Kampung Salarom Taka, Sepulut.
Tabib Muda Saiful Bahri dan Saudara
Saifullah dari UIA memasak bubur lambuk Jawa untuk juadah berbuka puasa hari
ini. Petang ini penduduk Islam sekitar Sepulut berkampung di Kampung Padang
untuk berbuka, tarawih dan sahur bersama.
Solat tarawih malam ke-2 Ramadhan di
Sepulut. Ramai di antara mereka yang pertama kali merasai suasana ini. Nikmat
iman dan Islam, nikmat persaudaraan.
(22 Julai 2012)Bismillah..skrg menuju
ke Salung, esok ke Pensiangan dan Tinanfuk Doakan..
Sekarang
kami singgah ziarah di Kampung Sebulu, mukim Pagalungan. Di sini ada dua
keluarga Islam, saudara Justin Aping dan Diksun Aping. Mereka pertama kali
berpuasa tahun ini. Moga Allah beri kekuatan.
Gambar: Saudara Justin sedang melihat jadual berbuka puasa dan imsak.
"Makcik sanggup berlapar, tapi
tidak sanggup kalau tidak makan sireh...ustaz tolong doakan makcik kuat
puasa." kata makcik Talaweh, sehari sebelum Ramadhan. Syukur, semalam
makcik Talaweh dapat berpuasa dan masih kuat ke kebun.
(23 Julai 2012)Bismillah..meneruskan
perjalanan ke Pensiangan selepas dua orang lagi mengucap dua kalimah syahadah
selepas subuh tadi di Kuala Salung. ALHAMDULILLAH.
Menongkah arus...berperahu ke
Pensiangan, menempuh berpuluh-puluh jeram, memakan masa lebih 3 jam. Allahu
Rabbi...(23 julai 2012, 3 Ramadhan)
Sekarang telah melepasi Pagalungan,
menuju ke Pensiangan, insyaAllah ada lagi yang akan Islam di sana, amin. Kami
singgah ke Tinanduk selepas berpatah balik pulang dari Pensiangan.
Sekarang telah melepasi Pagalungan,
menuju ke Pensiangan, insyaAllah ada lagi yang akan Islam di sana, amin.
(24 Julai 2012)Alhamdulillah, seorang
lagi memeluk Islam di Pensiangan. Puan Salimah Sandui mengucap dua kalimah
syahadah jam 1.30 petang semalam. Beliau juga telah mula berpuasa semalam.
Bismillah...Musafir dakwah fillah hari
ke-9, kini sedang menuju ke Keningau. InsyaAllah seorang lagi akan mengucap
syahadah di sana. Jumlah yang memeluk Islam sepanjang misi ini kini seramai 120
orang.
Subhanallah! Alhamdulillah!
Allahuakbar!. Maha Suci Allah yang mengurniakan hidayah kepada hamba-Nya,
Rosmah Binti Siyum, berasal dari Pagalungan, Sabah. Petang tadi 24 Julai 2012,
jam 3.30 petang, beliau mengucap dua kalimah syahadah di Taman Bersatu,
Keningau. Saudari Rosmah merupakan insan ke-121 memeluk Islam dalam misi dakwah
di pedalaman Sabah ini, juga yang ke-3 diIslamkan dalam jihad Ramadhan ini.
Ramadhan bulan jihad! —
Syukur, berbuka puasa bersama saudara
baru kita, sedikit kuih atau tamar dan air, kemudian terus solat maghrib.
Hidangan makan malamnya ala kadar dan tiada pembaziran. Ada yang belum pernah
melihat buah tamar.
(25 Julai 2012)Ketika kami tiba di SK
Pensiangan pada Isnin lalu, pelajar perempuan yang bertudung hanya seorang,
sedang yang lain belum bertudung. Bukan kerana tidak mahu memakainya, tetapi
mereka tidak mampu, lebih-lebih lagi sebahagian besar ibubapa mereka belum
Islam. Mereka menerima dengan gembira tudung dan kopiah bagi pelajar lelaki
yang kami bawa lantas memakainya dengan segera.
Itulah tudung dan kopiah yang dibeli menggunakan wang sumbangan sahabat handai, sanak saudara dan rakan-rakan FB yang dermawan. Moga manfaatnya berpanjangan hingga ke akhirat.
Itulah tudung dan kopiah yang dibeli menggunakan wang sumbangan sahabat handai, sanak saudara dan rakan-rakan FB yang dermawan. Moga manfaatnya berpanjangan hingga ke akhirat.
Yang bertudung hanya seorang, iaitu
adik Arlyna Donny (tiga dari kanan). Ibunya baru sahaja memeluk Islam Isnin lalu,
iaitu Puan Salimah Sundai. Setiap hari dia menyampaikan kepada ibunya tentang
Islam, sebaik pulang dari belajar di sekolah. Ketika diIslamkan ibunya telah
mula berpuasa.
Kami akan cuba ziarahi semua ibubapa
bertuah yang punya anak yang sanggup Islam sendirian sedang mereka belum Islam,
insyaAllah. Di SK Pensiangan terdapat 17 anak-anak yang Islam sendiri tanpa
ibubapa mereka.
Bismillah..sekarang mula bergerak
menuju ke Kota Kinabalu dari Keningau. InsyaAllah malam nanti akan terbang
Kuala Lumpur. 5 Ogos akan kembali lagi, dengan izin Allah.
Hari terakhir dalam misi dakwah di
pedalaman Sabah kali ini, menyaksikan pertambahan 3 orang lagi saudara baru
kita, menjadikan jumlah yang diIslamkan sejak November 2011 hingga kini 121
orang semuanya. Misi akan datang dirancang mulai 5-13 Ogos 2012, insyaAllah.
Setelah dididik, ada yang telah mampu menjadi imam tarawih walau sekadar membaca surah al-ikhlas di setiap rakaat.
Setelah dididik, ada yang telah mampu menjadi imam tarawih walau sekadar membaca surah al-ikhlas di setiap rakaat.
Bismillah..sedia untuk berlepas ke
Kuala Lumpur. Moga Allah terima amal dan juang setiap yang terlibat di dalam
misi dakwah di Sabah ini, para pendakwah, para penyumbang, pembantu perjalanan,
saudara-saudara di pedalaman, anak-anak yang berkorban rasa kerana sanggup ditinggalkan
serta sahabat dan kaum keluarga yang sentiasa mendoakan, amin.
keadaan tidak jauh berubah sejak 20
tahun lalu. Di pedalaman Pensiangan ini sudah ada masjid (Salung, Pagalungan
dan Pensiangan) tetapi amat kurang penggunanya dan kurang pula kemudahan
asasnya. Sedang kami usahakan agar bertambah ramai jemaah dengan berdakwah
mengIslamkan yang baru dan mendidik yang telah lama Islam. Hasil dakwah, ada
kawasan yang semakin ramai Islam, dan ramai pula yang mahu belajar dan solat,
tetapi belum ada masjid, masih menumpang di dewan orang ramai. InsyaAllah tidak
lama lagi akan kita usahakan sebuah masjid di sana.
Dalam pengamatan saya, gereja juga
semakin berkurangan dan kurang sambutan. Memang ada missionary yang sanggup
berperahu dari kampung ke kampung, membawa kitab dan gitar, tetapi bilangan
yang ikut mereka ke gereja hanya tiga orang. Ini peluang bagi kita
memperkasakan Islam di sana, kerana mereka di sana sedang kosong jiwanya,
sedang tercari-cari kebenaran, patut kita ambil peluang untuk menyampaikan kebenaran
Islam kepada mereka.
Di kawasan lain, memang ada laporan
dari pihak berkuasa agama, bahawa ramai yang murtad, hasil dari gerakan
missionary, tetapi saya melihat perkara ini sebagai kelemahan pihak kita. Kita
yakin "manjadda wa jadda", siapa yang bersungguh-sungguh akan berjaya
dengan izin Allah. Jadi mari kita tingkatkan usaha, berdakwah, Islamkan yang
yang baru, didik mereka. Begitu juga, didiklah yang telah lama Islam agar
benar-benar mantap aqidah dan amal mereka, insyaAllah tiada murtad.
Jika sudah benar-benar dididik, telah
faham Islam, tiba-tiba terpengaruh dengan ajaran lain, barulah benar-benar
murtad. Adilkah kita jika kita Islamkan seseoraang, kemudian ditinggalkan
puluhan tahun tanpa sebarang didikan, lalu dia memilih ajaran lain pula dalam
tempoh itu, maka dikatakan murtad? Saya lebih melihat bahawa golongan ini
sebenarnya tidak pernah Islam, tetapi diajar kalimah syahadah tanpa dia
menyedari dirinya Islam, tanpa faham apa yang diikrarkan. Dalam keadaan ini
tidak sah keIslamannya, atau tidak sah syahadahnya.
Kerana itu, pendekatan kita ini
mendekati mereka, mungkin berbulan-bulan lamanya, hingga mereka senang dengan
kehadiran Islam dalam kehidupannya. Bila turun hidayah Allah, mereka sendiri
menyatakan keinginan ingin Islam tanpa paksaan. Mereka yang Islam melalui
proses ini akan berpegang kukuh dengan aqidah Islam, bersungguh-sungguh belajar
dan kuat mengamalkan Islam. Malah mereka inilah yang bersungguh-sungguh pula
memperkenalkan Islam kepada saudara mara mereka.
Mubaligh Kristian telah terlebih
dahulu menyebarkan ajaran kristian. British juga lama bertapak di sana. Tetapi
siapa yang dulu bukan menjadi soal. Yang penting siapa yang bekerja secara
berterusan, istiqamah menyampai kan kebenaran. Memang kita sedih jika ada umat
Islam yang murtad, tetapi layakkah kita marah kepada mereka dan yang berusaha
memurtadkan mereka, tanpa kita berusaha membaiki keadaan ini. Sikap kita yang
sepatutnya, jangan salahkan musuh!
Saudara Anthony dan keluarganya telah
Islam beberapa tahun lalu. Kini mereka ingin belajar Islam, terutama solat.
Kami akan ke sana lagi bulan hadapan.
Patut kita lihat di sudut kesungguhan
mereka belajar dan solat. Dahulu mereka solat sebulan sekali kerana menunggu
kedatangan saya. Waktu itu mereka mahu solat, tetapi tidak tahu. Mereka perlu
lihat dan contohi cara bersolat. Kini telah banyak peningkatan. Mereka telah
pandai solat berjemaah dan boleh menjadi imam. Mendidik mereka bukan sehari
dua, tetapi perlu berulang-ulang dan istiqamah.
Kerana itu pendakwah tidak boleh
datang hanya sekali. Setelah diIslamkan mereka tidak boleh dibiarkan. Perlu
program pendidikan jangka panjang dan jangka pendek. Juga tidak boleh harapkan
pihak lain akan datang mendidik mereka walaupun tugas mendidik itu tugas kita
semua. Kerana itu saya memantau sendiri perkembangan mereka.
Belum lagi dengan cabaran sihir atau
ilmu hitam yang banyak di sini. Mereka akan menguji para pendakwah dengan
menyihirnya. Jika kita dapat hadapi sihir itu, mereka akan mudah terima kita.
Kerana itu, walau sakit yang pelik-pelik, tetap kena pergi ke sana, agar mereka
faham bahawa Islam yang kita bawa ini satu perkara yang benar dan amat penting.
Dalam setahun berdakwah, berkali-kali kami hadapi cabaran ini.
Jika ada yang arlegik atau jijik
dengan anjing juga, agak payah mengikuti misi ini, kerana anjing terdapat di
mana-mana, hinggakan di dalam rumah. Ada di sesetengah kawasan mereka amat
menyayangi anjing. Jangan sekali-kali tunjukkan sikap cuak kepada anjing,
tetapi tunjukkan sikap kita turut menyayangi ciptaan Allah itu. Perkara ini
agak berat dilakukan oleh kebanyakan mereka yang pernah mengikuti misi bersama
saya.
Ada yang menghilang diri setelah
diIslamkan. Mereka ini kita susuli ke rumah atau ke kebun. Pasti ada masalah
yang mereka hadapi. Kita perlu membantu mereka atasi masalah agar mereka dapat
hadir belajar Islam.
Saya mengalu-alukan jika ingin ikuti
misi dakwah ini, tetapi misi ini bukan mudah dan berbahaya. Perlu sanggup
bersabar terutama karenah manusia, lebih-lebih lagi jika mereka telah menjadi
saudara kita yang perangainya berbagai.
Perlu sanggup susah, juga sanggup
berkorban mengutamakan orang lain. Perlu korban keselesaan, makan minum apa
sahaja asal halal, tempat tidur yang tidak menentu. Kadangkala terpaksa
berlapar lebih dari keadaan berpuasa.
Mesti berani menempuh jalan-jalan
berbukit bukau serta berhutan. Ditambah lagi dengan gaung yang dalam. Kemudian
kena berani dengan sungai yang deras arusnya. Kadangkala menuruni jeram, lebih
banyak mendaki jeram dengan perahu. Jika air sungai cetek kerana kemarau,
terpaksa meranduk air sambil menanggung perahu.
Perjalanan berterusan tanpa rehat yang
cukup memang sangat memenatkan. Sering kita terpaksa perlahankan rentak
perjalanan agar anggota misi dapat mengikutinya tanpa masalah.
Terimakasih atas doa kawan-kawan
semua, moga dimakbulkan Allah. Misi dakwah di pedalaman Sabah akan diteruskan
mulai 04-12 Ogos ini, cepat sehari dari jadual asal. Kali ini lebih fokus
kawasan Lanas dan Pensiangan.
Kaum Murut ramai di sana. Untuk ke
sana perlu menempuh jalan lori balak hingga ke Kuala Salung yang paling hujung.
Setelah itu menaiki perahu menuruni arus Sungai Longgongon dan menongkah arus
Sungai Tagol selama lebih kurang 4 jam. Doakan kami diberi kekuatan untuk ke
sana kali kedua di bulan Ramadhan ini.
Ketika mengutuskan Muaz bin Jabal ke
Yaman, Rasulullah SAW berpesan kepada beliau yang bermaksud: "Ajaklah
mereka bersyahadah bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya aku
adalah utusan Allah, jika mereka mentaatinya maka hendaklah engkau memberitahu
mereka bahawa Allah mewajibkan ke atas mereka solat lima waktu sehari semalam.
Maka jika mereka mentaatinya, hendaklah engkau memberitahu mereka bahawa Allah
mewajibkan kepada mereka zakat yang diambil daripada orang kaya dan
dikembalikan kepada orang miskin dalam kalangan mereka." (al-Bukhari)
Dengan izin Allah, didorong-Nya kami
selama lebih setahun untuk berdakwah di Sabah, khususnya di kawasan pedalaman
Pensiangan. Setelah berdakwah, Allah turunkan hidayah-Nya kepada
hamba-hamba-Nya di sana. Telah kami usaha ikuti sabda Nabi, ajar syahadah, ajar
solat lima waktu, ajar mereka berpuasa, lalu mereka mentaatiya. Kini tiba
masanya mengajar dan menganjur agar mereka berzakat sekadar mampu. Moga Allah
permudahkan urusan ini.
Kini terdapat 24 orang kanak-kanak
yang Islam sedang keluarga dan ibubapa mereka belum Islam, menjadi
tanggungjawab saya menguruskan zakat fitrah mereka.
Dakwah adalah kewajipan, mengikut
sebuah sabda Nabi, "sampaikanlah dari aku walau satu ayat."
Menyedarkan manusia agar Allah disembah, sampaikan seruan Ilahi dari hati,
bukan hobi, bukan cari rezeki.
Seruan itu rasakan dahulu di dalam
hati, buktikan dengan amalan, bukan sekadar aqli, bukan sekadar lisan, kerana
besar kemarahan Tuhan, jika bercakap tidak diamalkan.
Bercakap dari hati akan jatuh ke hati,
manusia berubah dan ada barakah. Sedang jika bercakap dari lidah akan jatuh ke
lidah jua. Orang puji, orang mahu dengar lagi...tetapi tidak berubah.
Ini nasihat dari Syeikh Abdul Qadir
Al-Jailani kepada para pendakwah.
"Hai pemuda…! Nasihatilah dirimu sendiri terlebih dahulu sebelum kamu menasihati orang lain. Janganlah engkau berlebih-lebihan dalam menasihati orang lain sedangkan dalam dirimu sendiri masih bersemayam sesuatu yang engkau perlu perbaiki. Celakalah engkau…! Sekiranya engkau tahu bagaimana membersihkan orang lain, sedangkan engkau BUTA untuk membersihkan dirimu sendiri. Bagaimana seorang yang BUTA dapat memimpin orang lain?"
"Hai pemuda…! Nasihatilah dirimu sendiri terlebih dahulu sebelum kamu menasihati orang lain. Janganlah engkau berlebih-lebihan dalam menasihati orang lain sedangkan dalam dirimu sendiri masih bersemayam sesuatu yang engkau perlu perbaiki. Celakalah engkau…! Sekiranya engkau tahu bagaimana membersihkan orang lain, sedangkan engkau BUTA untuk membersihkan dirimu sendiri. Bagaimana seorang yang BUTA dapat memimpin orang lain?"
Rasulullah SAW telah membangunkan
Islam dengan dakwah, tarbiah dan hijrah. Sayidina Abu Bakar, Umar, Usman dan
Abdul Rahman Auf dengan harta mereka. Sayidina Hamzah dan sebahagian sahabat
dengan darah. Seluruh sahabat dan tabi’in dengan mujahadah. Hasilnya Islam
subur bak bunga di taman sewaktu pagi, tamannya indah berseri-seri.
Berduyun-duyun manusia ke sana menghibur hati.
Wahai umat Islam, kita suburkan Islam dengan apa?
Wahai umat Islam, kita suburkan Islam dengan apa?
Bagi yang ingin berkongsi saham
akhirat dalam proses dakwah dan mengIslamkan saudara kita di pedalaman Sabah,
bolehlah salurkan ke akaun ustaz,
164427309874 Mohd Fadli Yusof, Maybank.
14290000431202 Mohd Fadli Yusof, CIMB.
14014020737552 Mohd Fadli Yusof, Bank Islam.
email: mfadli11@yahoo.com..insyaallah..
164427309874 Mohd Fadli Yusof, Maybank.
14290000431202 Mohd Fadli Yusof, CIMB.
14014020737552 Mohd Fadli Yusof, Bank Islam.
email: mfadli11@yahoo.com..insyaallah..
1 comment:
Assalamu'alaikum...saya sangat teruja bila melihat kegigihan 'saya panggil ustazlah'dalam menggerakkan dakwh,semoga ustaz terus berjaya...
Post a Comment