Penduduk Negara manakah dalam dunia yang paling kurang
berjalan kaki? Mungkin kalau dibuat kajian, saya rasa jawapannya ialah
Malaysia.
Anak-anak sekolah sekarang, pergi balik sekolah semua
menggunakan bas hingga di depan rumah, atau diambil dan dihantar oleh ibubapa
mereka menggunakan kereta atau motorsikal.
Semua kenderaan bermotor ini menggunakan bahanbakar petroleum
yang boleh menyumbang kepada pencemaran udara dan air. Semakin banyak kita
menggunakannya semakin cepat dan teruklah alam sekitar kita dicemari.
Anak-anak di Jepun dididik supaya berjalan kaki ke sekolah
dan tidak dibenarkan menggunakan bas dan kereta. Kalau anak-anak di Jepun boleh,
kenapa anak-anak di Malaysia tidak boleh?
Jarang sekali kita lihat penduduk di taman-taman perumahan
di Malaysia berjalan kaki apabila mereka keluar rumah walaupun untuk pergi ke
kedai berhampiran rumah mereka atau pergi ke majlis kenduri yang diadakan dalam
kawasan taman perumahan mereka sendiri. Mereka tetap akan menggunakan kereta.
Ada juga sikap yang kurang baik yang telah melekat dalam
kepala masyarakat kita, di mana mereka menganggap orang yang berjalan kaki itu
berstatus rendah berbanding mereka menaiki kereta.
Mungkin sebab itu jugalah Jepun mendidik anak-anak mereka
berjalan kaki ke sekolah untuk menghapuskan persepsi status masyarakat
ditentukan oleh kenderaan yang mereka gunakan dan yang penting lagi
menghapuskan pandangan rendah kepada pejalan kaki.
Kalau di Negara-negara maju, penduduknya berjalan kaki dan
menggunakan pengangkutan awam adalah suatu pemandangan biasa, maka tidak ada
sebab kita di Malaysia tidak boleh melakukan perkara yang sama.
Jalan kaki mesti menjadi pilihan utama kita, bukan pilihan
yang terakhir seperti yang menjadi amalan dan budaya kita sekarang. Budaya
masyarakat kita ini perlu diubah untuk kebaikan masa depan anak-anak kita juga.
Berjalan kaki di Negara iklim hawa sederhana amat
menyeronokkan, tidak panas, hujan tidak lebat dan tidak berpeluh.
Sebaliknya di Negara kita, cuaca panas, lembab, cepat
berpeluh dan hujan selalunya lebat. Keadaan ini juga adalah antara faktor yang
menyebabkan orang Malaysia tidak suka untuk berjalan kaki. Oleh itu usaha perlu
dibuat supaya trek pejalan kaki untuk orang ramai dibina lebih selesa untuk
digunakan.
Trek pejalan kaki yang beratap yang boleh melindungi hujan
dan panas perlu dibina bagi menghubungkan rumah-rumah dengan kedai dan sekolah.
Mungkin kalau ada trek pejalan kaki yang selesa dan mesra orang ramai ini,
dapat menggalakkan lagi penduduk untuk berjalan kaki semasa melakukan urusan
mereka.
Selain dari itu trek pejalan kaki ini mestilah dibuat dengan
tidak menyekat atau menghalang pergerakan kereta sorong bayi, teroli barang dan
kereta tolak orang OKU.
No comments:
Post a Comment