Saya lebih bimbang kalau penyebaran atau dakwah Islam disekat, berbanding dengan wujudnya penyebaran atau dakyah Kristian kepada masyarakat Melayu di Malaysia.
Saya kadang-kadang berasa pelik juga, mereka terlalu takut seperti takutkan hantu bila berdepan dengan dakyah Kristian tetapi tidak pula ambil kisah dengan dakyah agama lain seperti Budha dan Hindu.
Mereka tidak segan silu memakai kod dan tali leher, tidak kekok makan pakai sudu dan garpu, tetapi merekalah juga yang paling bimbang dengan dakyah Kristian.
Kalau saya tak silap, mengikut Perlembagaan perkara 11(4), menjelaskan bahawa agama-agama lain tidak boleh disebarkan di kalangan orang Islam. Maknanya telah ada undang-undang dalam Negara kita tidak membenarkan agama lain selain dari agama Islam disebarkan kepada orang Islam di Negara ini, betulkan kalau saya silap.
Ini adalah undang-undang Negara Malaysia yang telah digubal oleh Parlimen dan undang-undang ini tidak semestinya mencerminkan ajaran atau perintah agama Islam.
Sepanjang yang saya tahu, Nabi pun tidak pernah melarang ahli-ahli agama lain samada Kristian atau Yahudi untuk menyebarkan agama mereka kepada orang Islam. Oleh itu larangan kepada dakyah Kristian dan agama-agama lain kepada masyarakat Islam di Malaysia itu saya anggap tidak ada kena mengena dengan ajaran Islam, ia hanyalah undang-undang Negara semata.
Bagi saya, orang-orang yang bimbang dengan dakyah Kristian ialah orang-orang yang tidak yakin dengan kebenaran Islam.
Agama adalah soal hati dan keyakinan, agama tidak boleh dijual beli dengan wang ringgit. Kalau ada orang yang sanggup menukar agamanya dengan wang ringgit, itu adalah pembohongan dan kepura-puraaan.
Kalaulah wang ringgit boleh membeli agama, tidak mungkin Bilal bin Rabah itu akan menganut agama Islam.
Nabi tidak pernah bimbang dengan agama-agama lain. Islam agama yang benar dan telus, yang berlandaskan fakta dan hujah. Tiada kitab yang dapat menandingi keunggulan Quran.
Nabi diturunkan bersama Quran, bukan bersama senjata nuklear dan kekuatan bala tentera. Senjata nabi hanyalah lidah baginda untuk berhujah. Sebaliknya musyrikin Mekah tidak mampu untuk berhujah dengan nabi, lantas mereka menggunakan kekerasan dan mengangkat senjata untuk menghapuskan baginda.
Oleh itu tidak perlu kita berasa bimbang dengan perkara-perkara yang tidak perlu dibimbangkan. Sebaliknya yang perlu kita bimbang ialah bila lidah kita disekat untuk menyebarkan dakwah Islam, dan mereka menggunakan kekerasan untuk memadamkan hujah kita.
Kita buat-buat rasa gempar bila mendengar berita ramai orang Melayu yang telah murtad, kemudian kita sibuk salahkan pendakyah Kristian bagi menutup kelemahan kita.
Agama adalah soal hati, kita percaya kepada sesuatu agama bukan sebab ada tercatat pada Mykad. Kadang-kadang rasa macam kelakar pula bila mendengar kenyataan, ‘seseorang itu perlu terlebih dahulu memohon kelulusan jabatan agama Islam untuk murtad’.
Ingin saya merakamkan setinggi penghargaan kepada kumpulan-kumpulan dakwah yang telah dan sedang bekerja siang dan malam untuk menyampaikan kalimah Allah ke pelusuk ceruk alam. Mereka terus membuat usaha dan bergerak walaupun tanpa sokongan wang ringgit.
Ditangan mereka telah berjuta manusia mendapat hidayah tanpa dihebuh dan diriuh rendah.
Di samping itu terdapat juga pendakwah yang bergelar ustaz yang lebih selesa berceramah dimasjid-masjid, yang dikenali sebagai ‘ustaz sampul’. Yang mengharapkan elaun dan wang untuk bergerak.
KAMI TAK DIAM.
2 hours ago
1 comment:
Selagi kita tidak melaksanakan hukum-hukum "asas" Islam yang diambil terus dari al-Quran...kita tidak akan bahagian dan akan menzalimi diri sendiri dengan keburukkan yang bakal terjadi dimasa hadapan.
Demokrasi hanya akan berjaya diteraskan dengan hukum-hukum asas Allah dari al-Quran.
Post a Comment