“Jangan tanya apa sumbangan Negara kepada anda tetapi tanyalah apa sumbangan anda kepada Negara.” Tidak dinafikan, kata-kata hikmat ini yang diucapkan oleh presiden Amerika, John F. Kennedy pada 50 tahun dulu itu telah menjadi faktor utama dalam membentuk Amerika menjadi Negara terbilang di dunia seperti yang kita lihat hari ini.
Apa yang tersirat disebalik kata-kata itu ialah menuntut sikap berkorban dari rakyat Amerika, yang amat diperlukan untuk menempa kejayaan.
Dalam Islam sendiri pun telah ada latihan khusus untuk umatnya bagi mendidik nilai berkorban ini melalui ibadah Korban yang dilakukan setiap tahun sekali. Tetapi persoalannya, sejauh manakah kita telah menghayatinya dan mengamalkannya dalam urusan kehidupan kita?
Pengertian berkorban secara umumnya adalah menyumbang sesuatu kepada masyarakat dalam bentuk buah fikiran, tenaga, harta benda dan wang ringgit. Ia dilakukan atas rasa tanggungjawab, dengan ikhlas, tanpa mengharapkan apa-apa balasan melainkan ganjaran pahala dari Tuhan.
Walaupun hari ini selalu kita lihat terpapar di media, ramai orang-orang, termasuk pemimpin-pemimpin politik banyak memberi sumbangan, tetapi keikhlasannya hampir tidak ada.
Sebagai contoh, syarikat-syarikat perniagaan memberi sumbangan agar nama syarikatnya mendapat perhatian orang ramai, orang politik pula beri sumbangan untuk mengharapkan undi.
Pemimpin-pemimpin Negara dulu dulu ikhlas nak bantu dan majukan rakyat. Tanah diberi kepada rakyat, kerajaan membantu mereka mengusahakan ladang kelapa sawit dan getah. Pelajaran disediakan secara percuma untuk semua rakyat, biasiswa diberikan kepada pelajar yang layak masuk ke universiti awam dan universiti luar negeri. Hasilnya, kehidupan rakyat menjadi bertambah baik dan mampu keluar dari kepompong kemiskinan.
Pemimpin dulu rasa tidak senang hati kalau hendak bina kolam renang di rumahnya, kerana memikirkan masih ramai rakyat yang menggunakan perigi untuk mendapatkan air minuman. Isteri pemimpin dulu tidak rasa senang hati hendak pakai beg tangan berharga lebih satu ribu ringgit, kerana masih ramai kanak-kanak ke sekolah memakai baju yang bertampal-tampal kerana telah koyak, tidak mampu membeli yang baru.
Pemimpin dulu, siang malam berfikir macam mana hendak senangkan dan majukan kehidupan rakyat. Sebaliknya, pemimpin sekarang pula, siang malam berfikir macam mana hendak dapatkan semula undi rakyat.
Kawan saya pernah cerita kepada saya, wakil rakyat di kawasannya sangat baik, kalau dia pergi minum di sebuah restoran di pekan di kawasannya, dia akan bayar harga makan minum semua orang-orang yang kebetulan sedang minum di restoran itu.
Sebelum menjadi wakil rakyat, dia pernah bertugas menjadi tenaga pengajar di tempat saya bekerja. Tetapi saya tidak pernah pula dengar sepanjang beliau menjadi pensyarah dulu, beliau pernah bayarkan semua harga makan minum pekerja-pekerja semasa minum di kantin, walaupun sekali.
Teringat saya kepada tokoh-tokoh ilmuwan Islam zaman kegemilangan dunia Islam di masa lampau, seperti Ibnu Sina, Al- Farabi dan Al- Khawarizmi. Mereka mengorbankan masa, tenaga dan fikiran bagi menimba ilmu pengetahuan, membuat kajian, menulis dan menyebarkannya kepada orang ramai dengan kesungguhan dan minat yang amat tinggi tanpa sama sekali memikirkan habuan dunia.
Semua pengorbanan itu mereka lakukan untuk faedah dan kebaikan manusia. Mereka sentiasa berfikir siang dan malam untuk membuat kebaikan kepada orang ramai melalui sumbangan kepada pembangunan ilmu pengetahuan. Mereka mendapat dorongan kuat dari Quran yang telah mengajar dan menggalakkan orang beriman membuat kebaikan (amal soleh). Dan Tuhan telah menjanjikan syurga kepada mereka yang membuat kebaikan dalam kehidupan di dunia ini.
Semangat berkorban dan berlumba-lumba untuk membuat kebaikan yang menjadi pokok ajaran Islam ini telah menjadi formula penting yang telah membawa umat Islam berada di puncak gemilang di suatu masa dulu.
Sebaliknya di hari ini, semangat berkorban telah luntur dari masyarakat kita. Semua kerja dan sumbangan yang dilakukan mengharapkan ganjaran dan pangkat. Untuk memenuhi KPI yang telah ditetapkan, universiti kita pun terpaksa menetapkan syarat-syarat tertentu seperti bilangan jumlah kertas penyelidikan yang perlu dihasilkan oleh seorang pensyarah untuk dinaikkan pangkat atau diberi gelaran professor.
Maka berlumba-lumbalah pensyarah-pensyarah mendapatkan geran penyelidikan dan menyelia pelajar master dan PhD bagi menghasilkan kertas penyelidikan sebanyak mungkin bagi faedah dirinya.
Berbanding ilmuwan Ibnu Sina, Al- Farabi dan Al- Khawarizmi, difikiran mereka tidak pun pernah terlintas untuk mengejar pangkat dan gelaran professor atau yang setaraf dengannya, malah kehidupan setengah dari mereka begitu daif sekali, tetapi sumbangan mereka kepada masyarakat dunia sentiasa menjadi kenangan dan sebutan hingga ke hari ini.
Selepas zaman kegemilangannya, dunia Islam terus menjadi pudar, amal soleh hanya ditumpukan kepada ibadah khusus sahaja dan seolah-olah seperti tidak ada kaitan dengan urusan kehidupan yang lain. Agama Islam telah banyak disalah tafsir oleh mereka yang berkepentingan.
Umat Islam tidak mampu lagi menghasilkan atau menyumbang perkara-perkara yang baik kepada dunia. Sebagai contoh, demokrasi adalah sistem politik yang baik, dengan demokrasi rakyat berpeluang memilih pemimpin yang terbaik di kalangan mereka tanpa perlu melalui peperangan, perebutan kuasa dan pertumpahan darah.
Islam adalah agama yang cintakan keamanan dan perdamaian, tetapi sayangnya umat Islam tidak pernah terfikir untuk mencipta sistem sebaik demokrasi ini. Sebaliknya setiap kali untuk menentukan pengganti pemimpin atau untuk menukar pemimpin maka akan berlakulah pembunuhan dan peperangan sesama umat Islam kerana berebut kuasa atau berebut untuk menjadi pemimpin.
Dalam dunia perniagaan pula, usahawan di Barat telah mencipta sistem perniagaan yang begitu sistematik dan melindungi kepentingan pelanggan dan pengguna.
Sebagai contoh, lihatlah kepada rangkaian restoran Mc Donald dan KFC, datanglah di mana-mana restoran mereka pada bila-bila masa pun, pasti kita akan mendapat rasa dan kualiti yang sama. Tidak akan ada satu kepak ayam yang hilang, melainkan semuanya direkod dengan baik. Kenapa sebelum ini orang Islam tidak dapat mencetuskan idea sebaik ini?
Saya selalu memerhatikan sebuah kereta datang ke kawasan perumahan saya setiap kali waktu makan tengahari dan makan petang. Pemandu kereta tersebut akan menyerahkan mangkuk tingkat yang berisi makanan kepada rumah-rumah yang melanggannya. Dari pemerhatian saya, seorang pelanggannya adalah lelaki Cina yang tua yang tiada isteri dan anak-anaknya bekerja, manakala seorang lagi adalah seorang lelaki Cina yang terlantar sakit yang isterinya dan anak-anaknya keluar bekerja.
Sungguh bagus khidmat yang disediakan oleh masyarakat Cina ini. Kenapalah masyarakat orang Islam tidak terfikir untuk mencipta khidmat sebaik ini? Padahal kita juga mempunyai ibubapa yang tua, tinggal bersendirian atau pun yang sakit yang tidak mampu untuk memasak dan menyediakan makanan untuk diri mereka sendiri. Amat menyedihkan, umat Islam tidak lagi mampu menjadi umat pertama dalam membuat kebaikan dan membuat yang terbaik.
Di zaman datuk-datuk kita hendak menuntut kemerdekaan dari British dulu, ramai antara mereka yang telah memberi pengorbanan samada dalam bentuk sokongan moral, harta benda dan nyawa. Pengorbanan mereka adalah ikhlas demi kebaikan masa depan Negara.
Rakyat Mesir pun telah membuat pengorbanan, sanggup berdepan dengan polis dan tentera Mesir untuk menghalau presiden Hosni Mubarak kerana inginkan sistem demokrasi dilaksanakan di Mesir. Mereka telah faham dan sedar, hanya demokrasi sahaja yang menjamin dapat memberi kebaikan dan keadilan kepada mereka.
Walaupun mufti Mesir telah mengeluarkan fatwa, adalah haram menyertai demontrasi jalanan menentang Hosni Mubarak tetapi ini tidak bermakna Tuhan turut merestui fatwanya itu. Haram atau halal adalah ditentukan oleh Tuhan.
Derhakanya seorang anak itu bukanlah disebabkan ucapan derhaka yang keluar dari mulut ibunya. Derhaka atau tidak seorang anak itu ditentukan oleh Tuhan. Kalau seorang ibu mengarahkan anaknya membuat maksiat terhadap Tuhan, maka arahan itu wajib diengkari, dan anak itu tidak dianggap sebagai anak derhaka walau 100 kali perkataan derhaka keluar dari mulut ibunya.
John F. Kennedy telah ditembak mati oleh pihak yang tidak senang dengan beliau, tetapi kata-kata keramatnya itu terus hidup dalam jiwa masyarakat Amerika yang telah memberi inspirasi dan menjadi pegangan kepada rakyat Amerika, sehinggalah Amerika hari ini menonjol sebagai Negara yang paling berjaya dan menjadi peneraju dalam segala lapangan.
Public Caning……27 December 2024
1 hour ago
1 comment:
tahniah bang.satu teks yang pada saya sangat-sangat bagus.hampir sempurna
Post a Comment