Langkah PM Najib mengumumkan untuk mewujudkan pembentukan satu jawatankuasa pemilih Parlimen bagi meneliti status sistem pilihan raya ekoran kritikan dan dakwaan wujudnya banyak kepincangan dan kecacatan, memang patut dialu-alukan dan kita harus melihatnya sebagai langkah yang positif ke arah pilihanraya yang bersih dan adil.
Walaupun pengumuman PM ini seperti memberi tamparan dan memalukan PATRIOT dan PERKASA yang kuat menentang BERSIH sebelum ini, tetapi mereka kenalah terima kenyataan bahawa tuntutan BERSIH itu memang mempunyai asas yang kuat. Kalau tidak, masakan PM Najib akan membuat pengumuman yang sehaluan dengan tuntutan BERSIH itu.
Lepas ini eloklah ketua PATRIOT, Azeeez Rahim dan ketua PERKASA, Ibrahim Ali pergi berjumpa Pengerusi BERSIH, Ambiga untuk memohon maaf atas sikap buruk sangka mereka sebelum ini.
Sebelum ini juga, orang kuat SPR, Wan Ahmad telah bertegas tidak akan melayan tuntutan BERSIH sekalipun BERSIH mengadakan demonstrasi jalanan.
Memang betullah kata Wan Ahmad itu, tidak ada siapa boleh mengubah pendirian SPR kecuali Perdana Menteri. Perubahan sistem pilihanraya mestilah atas kehendak Perdana Menteri dan parlimen. Wan Ahamad hanya menjalankan tugas seperti yang telah diperuntukkan saja. Sebab itu jugalah, memo tuntutan BERSIH bukan dihantar kepada SPR tetapi kepada Agong, simbol ketua Negara kita.
Moga PM Najib melalui jawatankuasa pemilih yang akan diwujudkan itu nanti bukan sahaja akan meneliti kepada tuntutan BERSIH tetapi akan membuat lebih baik lagi dari yang dikehendaki oleh BERSIH, supaya rakyat dapat melihat PM Najib dan BN benar-benar serius untuk mengamalkan pilihanraya yang bersih, telus dan adil.
Moga perubahan yang dilakukan itu bukan sekadar gimik dan retorik untuk menyedapkan hati rakyat sahaja. Kita tidak mahu hanya perubahan pada nama SPR dan perubahan komestik sahaja, seperti yang telah berlaku kepada badan-badan lain seperti Polis, SPRM dan Hakim sebelum ini.
Sebelum ini beberapa suruhanjaya telah ditubuhkan untuk mencadangkan perubahan kepada Polis, SPRM dan badan kehakiman, tetapi rakyat seperti tidak dapat merasakan adanya perubahan yang telah dilakukan selain dari perubahan pada nama dan menukar ketua organisasi tersebut.
Perubahan pilihanraya juga harus meliputi perubahan kepada amalan demokrasi, termasuklah memastikan kebebasan media dan memastikan media kerajaan tidak berat sebelah. Agensi-agensi kerajaan tidak harus dibenarkan menjadi kuda tunggangan dan alat kempen parti yang memerintah.
Sebenarnya, dalam keadaan prestasi parti BN sekarang ini berada dalam keadaan paling teruk di sepanjang sejarahnya itu, pembentukan pilihanraya yang bersih dan adil akan memberi kebaikan dan faedah kepada BN sendiri.
Kalau ditakdirkan BN kalah pada pilihanraya umum akan datang ini, dan sistem demokrasi dan pilihanraya masih kekal dalam keadaan ‘kotor’, mungkin BN akan terpaksa menunggu 50 atau 70 tahun lagi untuk menang semula seperti yang dialami oleh parti pembangkang sekarang ini.
Lihatlah Amerika, Britain dan Negara-negara maju yang lain, mereka tidak perlu menunggu melebihi masa 10 tahun untuk menukar kerajaan yang berprestasi buruk.
Janganlah kita termasuk kumpulan Negara-negara yang tidak ada kelas, yang selalu disindir dengan kata-kata, “kalau betullah pilihanraya dapat menukar kerajaan, sudah lama pilihanraya telah diharamkan di Negara ini”.
Christmas: From the manger to the margins
2 hours ago
No comments:
Post a Comment