Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".
Showing posts with label zina. Show all posts
Showing posts with label zina. Show all posts

Wednesday, September 01, 2010

Lagi kes mati kerana terjun, lari dari ditangkap khalwat

Berita ini dipetik dari blog Khadi Kluang:

Pagi ini bila saya datang pejabat, saya diberitahu oleh penguatkuasa, ada
satu kes kematian tentera terjun hotel. Kejadian berlaku di Batu Pahat, malam
minggu semalam. Mulanya saya hendak diamkan perkara ini, tak mahu dihebahkan.
Kemudian, bila saya baca akhbar Sinar Harian hari ni, rupanya cerita dah tersiar
di akhbar dan sudah dalam pengetahuan umum.

Serbuan penguatkuasa dalam
jam 2.45 pagi, lelaki ini dipercayai melarikan diri dengan terjun dari tingkat
tiga hotel berkenaan. Semasa mengetuk pintu beberapa kali, pintu tidak dibuka,
kemudian kedengaran bunyi bising. Lelaki ini ditemui berlemuran darah dan mati
kerana kecederaan parah di kepala.

Kerana perasaan malu dari ditangkap berkhalwat, ramai lelaki atau perempuan yang lebih sanggup terjun dari bangunan hotel yang tinggi untuk mengelak dari ditangkap.

Kalau mereka betul-betul lari dari ditangkap dan semasa melarikan diri itu mereka terjatuh, insyallah Tuhan akan ampunkan dosa mereka. Tetapi bagaimana kalau mereka sengaja terjun untuk menamatkan riwayat mereka kerana tidak sanggup menanggung malu kalau tertangkap, tentu mereka tidak akan mendapat keampunan dari Tuhan.

Adalah tidak berbaloi kalau kita hendak menangkap mereka yang melakukan kesalahan khalwat itu, tetapi berakhir dengan dosa membunuh diri, yang tidak ada pengampunannya.

Kalau kita tahu mereka sanggup bunuh diri untuk menutup rasa malu, adalah lebih baik kita tidak pergi menangkapnya, kerana sekalipun mereka melakukan dosa zina, mereka masih ada peluang untuk bertaubat dan mungkin satu masa nanti mereka akan bertaubat dari kesalahan itu.

Tetapi kalau mereka sudah bunuh diri, mana ada masa untuk mereka bertaubat lagi?

Saya bukanlah setuju, orang-orang yang berkhalwat ini dibiarkan saja. Tetapi sebelum kita bersungguh-sungguh hendak menangkap dan menyerbu orang yang berkhalwat ini, kenalah tengok puncanya kenapa ramai orang berkhalwat.

Kita mesti ubatkan penyakit bukan mengubat tanda-tanda penyakit.

Budaya masyarakat kita melihat lelaki kawin lebih dari satu, sesuatu amalan yang tidak dapat diterima. Lelaki yang kawin lebih dari satu dianggap telah melakukan perkara yang salah dan tidak mengikut norma kehidupan masyarakat.

Kaum wanita di Negara kita tidak dapat menerima amalan poligami, bukan sahaja ditentang oleh wanita biasa malah wanita yang berpendidikan agama pun masih tidak dapat menerima budaya poligami.

Oleh kerana poligami bukanlah satu perkara yang mudah untuk diamalkan di negara kita, tidak semudah kawin satu atau monogamy, maka mereka yang berkeinginan untuk mempunyai isteri lebih terpaksa melupakan hasrat mereka. Sebaliknya mereka lebih selesa berkhalwat secara sembunyi dengan kekasih mereka di bilik-bilik hotel.

Oleh itu selagi amalan poligami tidak mudah dan selagi kaum wanita menentang poligami, maka wajar buat sementara waktu ini segala bentuk serbuan dan tangkapan kes khalwat oleh penguatkuasa Jabatan Agama ini dihentikan bagi mengelakkan lebih ramai lagi orang terjun membunuh diri atau boleh merbahayakan keselamatan diri pesalah.

Tidak perlulah pihak Jabatan Agama menghantar orang-orangnya pergi mengintip orang melakukan zina atau khalwat, semata-mata untuk memenuhi syarat mesti dilihat oleh empat orang saksi.

Islam mensyaratkan perlakuan zina mesti dilihat oleh empat orang saksi bukanlah bermakna pegawai-pegawai agama ini perlu mengintip dan mengintai orang-orang berkhalwat dari satu hotel ke satu hotel, untuk membuat serbuan dan penangkapan.

Apa yang dimaksudkan dengan mesti dilihat oleh empat orang saksi bererti pasangan itu melakukan zina bukan secara sembunyi-sembunyi tetapi sengaja melakukan zina di depan orang ramai.

Kalau berzina di tempat awam tanpa berselindung, ini seolah-olah mereka mahu mencabar hukum Tuhan, mereka itu sudah berperangai seperti binatang, malah lebih hina lagi dan memang layak kalau mereka direjam saja.

Umpama murid yang membuat kesalahan menghisap rokok. Tentu tidak sama kalau mereka menghisap rokok secara sembunyi-sembunyi dalam tandas dengan menghisap rokok di depan murid lain dan di depan guru secara terang-terang. Kalau murid ini menghisap rokok secara terang-terang, ini seolah-olah sudah mencabar guru disiplin yang menjaga undang-undang sekolah supaya sentiasa dipatuhi. Sudah tentu guru tidak akan teragak-agak untuk membuang murid itu dari sekolah.

Tetapi jika masyarakat kita terutamanya wanita telah dapat menerima dengan hati terbuka amalan poligami, maka tidaklah salah kalau kita giat menyerbu dan menangkap orang-orang yang berkhalwat di hotel-hotel kalau mereka masih mahu juga melakukannya. Malah saya yakin, mereka yang ditangkap khalwat dalam situasi begini, tidak akan lari dan tidak berasa malu kalau mereka dicekup, mereka memang melakukannya kerana menurutkan nafsu jahat mereka semata tanpa mahu berkahwin. Walhal ketika itu amalan poligami telah diterima masyarakat dan proses perkahwinan telah dimudahkan.

Monday, December 15, 2008

Buang bayi lagi ~ ref Malaysiakini


Petikan dari Harian Metro 16 Disember 2008:

CHANGLUN: Bahagian punggung dan kedua-dua kakinya termasuk ke dalam lubang tandas, namun seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat langsung tidak
menangis ketika ditemui seorang lelaki, pagi semalam.“Ketika ditemui dia
menghisap jari mungkin kerana lapar, manakala tali pusatnya belum dipotong dan
terbelit di leher,” kata Rofidah Md Noor, 45, yang melihat bayi itu dalam tandas
sebuah kedai di pasar basah Kampung Tradisi, Lembah Keriang, dekat sini.Bayi
seberat 2.4 kilogram itu ditemui jam 10.10 pagi oleh seorang lelaki berusia
30-an sebelum memaklumkan kepada Rofidah yang kebetulan berada di luar tandas berkenaan.“Entah manusia jenis apa tergamak membuang bayi masih bernyawa itu dalam lubang tandas.

Entah untuk kesekian kalinya berita seperti ini dilapurkan dalam akhbar. Setiap kali kita membacanya setiap kali itu jugalah kita berasa senak perut kerana menahan perasaan sedih dan geram. Lalu kita mengutuk dan mencerca si ibu yang melakukan perbuatan yang kejam itu.
Selain dari mengutuk dan mencerca, tidak ada apa lagi yang kita telah buat untuk mengatasi perkara yang sama dari berulang dan berulang lagi.

Sebenarnya ibu yang melahirkan anak luar nikah ini bukannya tidak sayang kepada anaknya. Ibu mana yang tidak sayangkan anak, binatang yang tidak mempunyai akal fikiran itu pun mempunyai rasa kasih sayang terhadap anak-anaknya apatah lagi kita manusia yang diberi akal fikiran. Yang membuatkan ibu-ibu tersebut melahirkan anaknya secara rahsia dan kemudian membuang bayi ini adalah kerana tidak sanggup menanggung rasa malu untuk berdepan dengan masyarakat.

Perasaan malu untuk berdepan dengan masyarakat akibat perbuatan sumbangnya itu telah mengatasi rasa kasih sayang terhadap bayi yang dilahirkannya itu. Kita hanya tahu mencerca mereka sahaja apabila kita melihat atau mendengar bayi-bayi yang tak berdosa itu dibuang di merata-rata tempat. Tetapi fikirkanlah kalau kita sendiri berada di tempat mereka, kita juga mungkin akan melakukan perkara yang sama kerana sememangnya tiada pilihan lain. Itu sahajalah cara yang dapat menutup perasaan malu dari dihina masyarakat.

Dalam perkara membuang bayi ini, kita sebagai anggota masyarakat harus juga dipersalahkan. Kita selalunya memandang hina kepada mereka yang mengandungkan anak luar nikah tetapi kita tidak pernah memandang hina kepada anak-anak muda yang bergaul bebas antara lelaki dan perempuan. Padahal pergaulan bebas inilah punca sebenar kepada masalah buang bayi ini. Kita tidak pernah melarang dan mencaci anak-anak muda kita yang bergaul bebas antara lelaki dan perempuan. Di dalam Quran, Tuhan bukan sahaja melarang perbuatan zina tetapi perkara-perkara yang mendekatkan kepada zina juga turut dilarang.

Pergaulan bebas lelaki perempuan itu adalah satu perkara yang mendekatkan kepada zina yang sepatutnya anggota masyarakat membenci dan membenterasnya secara bersungguh-sungguh. Kalau di zaman dulu terutamanya di kampong-kampong, seorang wanita berjalan bersama dengan seorang lelaki tanpa ada orang ketiga boleh dianggap salah dan dilarang, tetapi zaman sekarang kalau lelaki dan wanita berjalan berpimpin tangan atau berjalan sambil berpelukan sudah menjadi perkara biasa kepada kita.

Zaman dulu kalau ada perempuan yang melahirkan anak luar nikah memanglah wajar mereka menerima penghinaan kerana perkara-perkara yang medekatkan kepada zina itu memang dilarang dan dibenci oleh masyarakat di masa itu. Tetapi di masa ini apakah wajarnya kita untuk menghina perempuan yang melahirkan anak luar nikah ini sedangkan perkara yang mendekatkan kepada zina seperti pergaulan bebas ini kita biarkan tanpa kutukan.

Zina tidak akan berlaku jika tidak dimulakan dengan perkara-perkara yang boleh mendekatkan kepadanya. Sebelum suatu perbuatan zina itu boleh berlansung mestilah ia dimulakan dengan bunga-bunganya. Zina yang berlaku tanpa bunga zina dipanggil rogol.

Dari sekarang kita kenalah berhenti dari mengutuk dan mencerca ibu-ibu yang membuang bayi mereka ini. Kerana dengan cara mengutuk saja tidak akan dapat menyelesaikan masalah ini. Di samping membetulkan punca akar umbi masalah ini, kita kena memikirkan langkah-langkah yang wajar untuk menyelamatkan bayi-bayi ini dari tersiksa dan mati akibat dibuang.

Ini termasuklah mempertimbangkan semula cadangan pengwujudan bank bayi. Dengan adanya bank bayi ini dapatlah menyelamatkan nyawa bayi yang bakal menjadi mangsa pembuangan ini. Cadangan bank bayi itu pernah dibatalkan kerana bantahan dari masyarakat dan ahli agama yang memandang pengwujudan bank bayi itu sebagai benda yang negatif dan ‘memalukan’.

Selain dari itu kita juga boleh mewujudkan banyak rumah-rumah perlindungan di seluruh Negara bagi menempatkan wanita-wanita yang mengandung anak luar nikah. Di mana rumah-rumah ini dapat memberi khidmat kaunseling dan membolehkan membantu mereka bersalin secara yang lebih sempurna.

Mungkin ada setengah orang berpendapat, dengan menyediakan kemudahan-kemudahan itu seolah-olah akan menggalakkan lagi perlakuan zina dan maksiat. Mungkin ada benarnya, tetapi kita juga harus ada rasa tanggungjawab untuk menyelamatkan bayi-bayi yang bakal jadi mangsa pembuangan ini.

Tidak semua orang yang tidak melakukan mencuri dan menipu itu kerana takutkan polis atau takut dipenjara. Tetapi mereka tidak melakukannya kerana sedar perbuatan mencuri dan menipu itu adalah perbuatan salah dan dibenci Tuhan.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com