Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".
Showing posts with label ISA. Show all posts
Showing posts with label ISA. Show all posts

Wednesday, November 23, 2011

Rakyat semakin faham makna Transformasi PM Najib

Sebagai guru yang terlibat dalam bidang kejuruteraan dan matematik, saya memang sudah biasa sangat mendengar perkataan transformasi ini.


Sebagai contoh, persamaan isyarat elektrik boleh ditulis dalam bentuk masa atau boleh juga ditranformasi kepada bentuk pemfasa (frekuensi). Untuk tujuan memudahkan kerja-kerja analisis dalam bidang ini, terdapat beberapa teorem yang digunakan seperti tranformasi Laplace dan transformasi Fourier.

Alat pengubah dalam sistem elektrik pula adalah alat tranformasi dari orientasi voltan kepada orientasi arus elektrik atau pun sebaliknya.

Contoh-contoh transformasi yang disebutkan di atas sebenarnya hanyalah merubah rupa bentuk sahaja, tetapi hasilnya tetap sama.

Ini mengingatkan saya kepada pelan Transformasi yang ingin diperkenalkan oleh PM Najib dalam pentadbirannya.

Pada peringkat awal PM najib memperkenalkan pelan Transformasinya, saya ingatkan ia sangat berbeza dengan transformasi yang saya belajar.

Tetapi setelah meneliti dan melihat perkembangan kepada hasil-hasil Tranformasi yang beliau perkenalkan itu, jelas sekali konsep transformasi yang beliau perkenalkan itu tidak ada beza dengan konsep yang saya belajar dalam bidang Elektrik.

Sebagai contoh, ISA akan dihapuskan tetapi akta baru yang mengekalkan ‘tahan tanpa bicara’ tetap dilaksanakan, malah selepas beliau mengistiharkan ISA dihapuskan, beberapa orang aktivis politik di Sabah terus ditangkap di bawah akta yang sama. Dengan kata lain, hasil dari Transformasi beliau itu sama, hanya berubah pada nama dan bentuk saja.

Undang-undang baru berkaitan Perhimpunan Aman baru saja dibentangkan di Parlimen untuk menggantikan yang lama. Selari dengan prinsip demokrasi, sepatutnya Perhimpunan Aman tidak perlu diadakan sekatan-sekatan, kerana itu adalah hak rakyat yang mesti ada dalam amalan demokrasi. Tetapi apa yang kita nampak, undang-undang yang ingin digubal itu lebih teruk dari yang sedia ada.

Setelah gagal mengembalikan sokongan rakyat kepadanya, BN cuba pula menggunakan undang-undang untuk menguatkan cengkamannya untuk terus kekal berkuasa.

Mungkin PM Najib sedar, kelemahan undang-undang bagi menyekat rakyat berhimpun adalah antara faktor yang telah menyebabkan beberapa pemimpin negara Arab digulingkan oleh rakyatnya. Sebab itulah beliau mahu memperketat dan memperkemas undang-undang tersebut supaya rakyat tidak ada peluang untuk berhimpun yang boleh menggugat kedudukannya. Tetapi beliau lupa, undang-undang rimba tidak akan memberi apa-apa makna kalau kebangkitan demokrasi telah memuncak.

Sunday, December 05, 2010

Ketuanan Melayu untuk faedah politik

Tidak ada kaum yang dilahirkan untuk menjadi tuan dan tidak ada juga yang dilahirkan untuk menjadi hamba.

Kalau maksud ketuanan Melayu itu menjurus untuk menjadikan kaum Melayu menjadi tuan kepada kaum-kaum yang lain di Negara ini, maka ia memang patut ditentang. Agama kita tidak pernah membenarkan ajaran yang sedemikian, kecualilah kalau orang Melayu telah tidak beriman lagi dengan agamanya Islam.

Apabila kita berkunjung ke rumah orang, kita mesti menghormati pemilik rumah itu sebagai tuan rumah. Kita tidak boleh berkelakuan mengikut suka hati kita, seperti di rumah kita sendiri, apabila berkunjung ke rumah orang. Kalau ketuanan Melayu itu sekadar kita mahu orang lain menghormati kita sebagai ‘tuan rumah’ kepada Negara ini, mungkin ada kewajarannya.

Memang orang Melayu adalah penduduk asal Negara ini, manakala kaum Cina dan kaum India adalah pekerja-pekerja yang dibawa oleh British untuk bekerja di lombong-lombong dan di ladang-ladang.

Keadaan di masa itu, kaum Cina dan India samalah seperti pendatang Indon, Bangla, Nepal dan Vietnam di masa sekarang ini. Sebagai kaum pendatang memang wajarlah mereka menghormati kaum Melayu sebagai ‘tuan’ kepada Negara ini ketika itu.

Itu kisah dulu, tetapi sekarang kita sudah lebih 50 tahun merdeka. Semua kaum, Melayu, Cina dan India adalah warga Negara atau pemilik Negara ini. Bukan sahaja orang Melayu, tetapi orang Cina dan orang India adalah juga ‘tuan rumah’ Negara ini.

Oleh itu memang sesuai kalau Presiden PKR Wan Azizah mengatakan, yang ada sekarang bukanlah ketuanan Melayu, tetapi yang lebih tepat untuk suasana sekarang ialah ‘ketuanan rakyat’. Kerana rakyat bukan sahaja meliputi orang Melayu tetapi termasuk semua warga Negara tanpa mengira kaum.

Pendatang Indon yang ada hari ini, walaupun mereka adalah rumpun Melayu, juga harus menghormati ‘tuan rumah’ Negara ini sepanjang mereka berada dan bekerja di Negara ini. Bezanya, pendatang Indon ini bukan sahaja kena menghormati orang Melayu tetapi mereka juga kena menghormati kaum Cina dan India sebagai warga Negara ini.

Konsep ketuanan Melayu yang diperjuangkan oleh UMNO itu agak kabur dan selalu dimunipulasi oleh UMNO untuk faedah politik mereka. Ada peguam UMNO melenting bila Wan Azizah mengkritik konsep ketuanan Melayu UMNO itu sehingga mendesak beliau dikenakan tindakan di bawah akta ISA.

Sebab itu jugalah kita sekeras-kerasnya menentang akta ISA yang menahan orang tanpa bicara itu. Kalau zaman keganasan kominis dulu, pengganas kominis bukan sahaja musuh UMNO tetapi adalah juga musuh Negara.

Tetapi di zaman sekarang, sukar untuk kita membezakan antara musuh UMNO dan musuh Negara. Musuh UMNO tidak semestinya musuh Negara.

Apa yang kita kesalkan ialah ISA boleh digunakan untuk menjadi senjata politik oleh parti yang berkuasa untuk menghapuskan kemaraan parti lawan.

Apakah orang yang percaya dengan proses demokrasi dan mendokong kuat amalan demokrasi seperti Wan Azizah patut disumbat dalam penjara ISA?

Monday, January 11, 2010

Kalimah Allah, Permainan politik parti Cap Keris tak menjadi.


Mungkin pada asal tujuannya parti Cap Keris hendak mengambil kesempatan dari isu kalimah Allah ini untuk mengembalikan sokongan orang Melayu Islam kepada parti itu. Kononnya isu kalimah Allah ini telah menggugat kesucian Tuhan orang Melayu oleh golongan bukan Islam, maka parti ini telah menyeru satu lagi keperluan kepada apa yang dinamakan ‘perpaduan umah’ bagi mengembalikan kekuatan Islam di negara ini.

Parti Cap Keris ini menerusi badan-badan NGO yang ditajanya seperti Pewaris, Perkasa dan Perkida telah cuba mendakyah orang-orang Melayu, betapa orang-orang bukan Islam telah berani menyentuh perkara-perkara yang berkaitan agama Islam seperti yang berlaku pada isu kalimah Allah itu.

Menggunakan isu kalimah Allah ini, mereka telah menggerakkan ‘perpaduan umah’ bagi menyatukan umat Melayu dalam satu suara politik. Apakah tujuan mereka itu benar-benar untuk memperkuatkan Islam atau hanya sekadar untuk memperkuatkan kuasa politik mereka. Seruan mereka itu telah dipandang sinis oleh berbagai pihak, kerana selama ini parti Cap Keris bukanlah parti yang dianggap serius untuk membela Islam.

Disebalik sambutan dingin dan berbelah bahagi dari orang-orang Melayu yang lain dari parti PAS dan PKR, kepada orang-orang berfikiran finatik dan taksub, keadaannya telah menjadi terlebih lajak sehingga mengakibatkan beberapa gereja telah dibom dan dirosakkan.

Sehingga kini polis masih belum dapat menangkap orang yang melakukan kerosakan terhadap gereja-gereja ini. Dimanakah polis kita yang dikatakan sangat cekap itu. Kita mahu sangat perosak-perosak ini didedahkan dan menerima hukuman yang setimpal, dan juga kita mahu tahu kalau ada, pihak manakah sebenarnya yang menjadi dalang di belakang kejadian itu.

Apakah pelakunya sehebat perisik CIA sehingga langsung tidak boleh dikesan, kalau polis kita tidak mampu mengesannya, mungkin kita boleh meminta bantuan pakar dari luar negara.

PM Najib mungkin tidak menyangka isu kalimah Allah ini berakhir dengan perbuatan pengeboman dan merosakkan gereja, beliau mengutuk orang yang melakukannya dan dengan segera memperuntukkan RM500,000 kepada gereja yang rosak itu dan disiarkan dalam semua media perdana. Rasa perihatin yang beliau tunjukkan itu bagi mengelakkan beliau dan parti beliau dari dikaitkan dengan perkara buruk itu.

Dalam masa yang sama Hisamudin Husein sebagai Menteri Keselamatan Dalam Negeri turut tumpang semangkuk dalam isu pengeboman gereja itu. Dia ada alasan kukuh untuk tidak menghapuskan ISA.

Rasanya hingga artikel ini ditulis, ISA belum dimansuhkan lagi, tetapi kenapa pengeboman dan merosakkan gereja itu berlaku juga. Malah sudah beberapa hari berlalu, suspek masih bebas dan belum dapat ditangkap.

Kalau benar akta ISA itu sebagai pencegahan, tetapi kenapa ia tidak dapat juga mencegah berlakunya pengeboman terhadap gereja seperti yang telah terjadi itu.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com