Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Saturday, October 01, 2011

Maulana Lebai Maadah Bin Layang ( 1895 – 1943)


(Disalin dari website http://maadah.blogdrive.com/)

Ulama yang pernah menjadi kontroversi ini dianggap pelopor fahaman 'Kaum Muda' negeri ini. Beliau berasal dari Kampung Jeram, Tengkek iaitu sebuah kampung di pendalaman kira-kira 28 km dari Bandar Kuala Pilah jika melalui Pekan Batu kikir. Menurut cerita orang-orang tua di kampung itu, beberapa suku keturunan orang-orang Minangkabau dari sekitar Talang atau Seri Menanti dipercayai telah meredah hutan belantara untuk membuka kampung baru melalui kawasan Langkap. Tidak dinafikan juga ada penduduk asal kampung dari suku-suku yang mudik ke hulu Sungai Jempol melalui Kuala Jempol atau Ulu Sungai Muar. Dijangkakan proses migrasi ini bermula awal abad ke 19.


Nama penuhnya ialah Muhamad Maadah bin Layang. Beliau lahir dalam tahun 1895 di Kampung Jeram, Tengkek. Bapanya penduduk kampung yang bertugas sebagai pesawah, pencari damar dan antara pembuka awal kampung. Bapanya meninggal dunia ketika beliau masih menuntut di India. Ibunya pula bernama Aman. Kampung Jeram mempunyai kawasan rekreasi air terjun yang indah dan menjadi kawasan kunjungan pelancung dari dalam dan luar sekarang ini. Rumah kelahiran Maulana ini tidak jauh dari kawasan rekreasi tersebut. Dahulunya, kawasan air terjun ini dikatakan pernah menjadi tempat meminjam pinggan mangkuk penduduk kampung dari masyarakat orang Bunian.




Maulana Lebai Maadah mula mendapatkan pendidikan awal di Sekolah Melayu Tengkek tahun 1907 dan kemudiannya meneruskan pengajian agama secara memondok di Pondok Alor Keladi, Kedah selama lebih kurang empat tahun antara tahun 1915 hingga 1919. Allahyarham juga diberitakan pernah mengaji di Tualang Sekah di bawah asuhan Tuan Guru Yunus Al Masri, di sinilah beliau belajar berqasidah dan berlagu.


Sekembalinya beliau ke kampung, Lebai Maadah bertemu jodoh dengan gadis yang dinamakan 'Sori' dari Johol dalam Daerah Kuala Pilah. Usia perkahwinannya tidak lama kerana ramai penduduk mukim tersebut kurang senang dengan Lebai Maadah yang selalu menegur perilaku atau amalan penduduk yang dianggapnya bersalahan dengan syariat. Apabila diberitakan ada seorang ulama dari India berkunjung ke Kuala Pilah tetapi beliau menghadapi kesukaran berdakwah kerana masalah bahasa. Lebai telah tampil menawarkan diri untuk membantu ulama tersebut sebagai penterjemah bahasa Arab. Beliau mendapat upah lebih kurang RM80.00 berkerja sebagai penterjemah dan mengikut ulama itu berdakwah hingga ke Perak. Ulama India inilah memberi perangsang kepadanya untuk menuntut agama di Benua India.




Kemudian beliau belayar ke India mengikut ulama tersebut untuk menimba ilmu agama lebih mendalam. India ketika itu menjadi lokasi pengajian Islam terkenal selain Mekah khasnya di Karachi ( sebelum ditubuhkan Pakistan) dan Deoband. Maulana ini dikatakan terpaksa mendapatkan derma orang ramai untuk perbelanjaan belayar ketika itu. Kerana kesempitan kewangan, beliau terpaksa berjalan kaki dari suatu tempat ke suatu tempat lain ketika berkelana di sana. Emak penyusun Hajjah Zabidah faseh pernah mendengar sendiri perbualan Maulana dengan datuknya Tokki Omar Bail sekembalinya dari India, Maulana memberitau kesusahannya di rantau orang dalam mencari ilmu agama dan terpaksa mengikat perut menahan kelaparan.



Haji Md Zin @ Lajin Ujang iaitu murid tua dan pangkat bapa saudara kepada Lebai Maadah, mengatakan Lebai Maadah hanya sempat bersama tiga hari sahaja dengan ulama itu ketika menjejakkan kaki di sana kerana ulama itu terus keluar bertabligh. Tinggallah Lebai Maadah bersendirian dan beliau menggunakan kebolehannya berqasidah untuk menarik perhatian orang ramai. Sebelum berqasidah, beliau akan membentang kain kendungnya dan para pengunjung akan melemparkan derma. Lebih kurang tiga bulan pula Lebai Maadah berqasidah begitu untuk mengumpulkan duit bagi menampung perbelanjaannya seharian. Beliau mengambil kesempatan untuk mempelajari bahasa Urdhu dalam tempoh tersebut.



Lebai Maadah bernasib baik diterima menuntut Kolej Darul Ulum walau pun beliau tidak mempunyai sumber kewangan untuk membiayai yuran pengajian. Pengetua Kolej tersebut bersimpati dengannya dan menyarankan Lebai Maadah membuat kerja sampingan seperti berkhidmat dengan guru-guru dan membasuh pinggan mangkok di kantin. Beliau juga berkhidmat membasuh pakaian guru dan kawan-kawan untuk mendapat pendapatan harian. Dia berada India selama lebih kurang 8 hingga ke 13 tahun di Darul Ulum dan di Alegar, India. Haji Abdul Aziz Yunus, anak murid awal di Madrasah Aliah Islamiah Kuala Pilah pula memaklumkan Tuan Gurunya itu banyak terpengaruh dengan perjuangan Shah Waliyul'Lah al- Dehlawi dan dalam gerakan pembaharuan ketika menuntut di India. Di sana juga mungkin telah membentuk kecenderungan beliau kepada aliran "as sunnah" ( Salafiyyah) dan tidak terikat kepada mazhab yang empat.




Kepulangan beliau dikatakan mendapat sambutan hangat penduduk kampung kerana dia adalah sesatunya anak kampung yang mendapat pendidikan tinggi agama dan dari luar negeri pula ketika itu. Maulana Lebai Maadah yang berkulit cerah dan bertubuh gempal amat secucuk apabila memakai tarbus hitam serta berkot. Pakaian lain yang kerap dipakainya ialah jubah putih sehingga ke lutut seperti jubah pakaian kumpulan Tabligh sekarang ini. Pakaian beliau yang sentiasa kemas bersih ini juga turut menjadi ikutan murid-muridnya.




Lebai Maadah balik ke tanahair selepas merantau mengaji agama pada tahun 1933. Ada pandangan lain iaitu beliau balik tahun 1937 dan dengan perantaraan saudaranya serta bantuan orang ramai, beliau telah membuka madrasah pertama di Alor Gajah, di hadapan Balai Polis Daerah Alor Gajah sekarang. Terdapat juga dakwaan bahawa beliau ke sana kerana di Alor Gajah telah mula subur fahaman aliran as sunnah sejak tahun 1920an. Dianggarkan lebih 80 pelajar dari berbagai tempat telah menuntut dengan di Madrasah Alor Gajah ini. Haji Md Zin Ujang yang banyak membantu penyusun mengimbas perjalanan hidup Lebai Maadah ini kerana beliau merupakan murid pertamanya di Alor Gajah. Mereka mempunyai hubungan kekeluargaan pula.



Keistimewaan ketara pusat pengajian yang ditubuhkan oleh Lebai Maadah ialah sekolahnya diselia secara formal dan menerima pelajar wanita. Suatu hari dalam tahun 1938, Lebai mengajak beberapa anak muridnya makan besar kerana beliau telah menerima ijazah pengajiannya dari Darul Ulum. Lebai mensyarahkan bidang pengajiannya sehingga memperolehi sarjana ( master) dalam pengajian Islam. Menurutnya, beliau terpaksa mengaji 35 mata pelajaran peringkat ijazah pertama dan 47 subjeks lagi untuk melayakkannya menerima sarjana tersebut. Beliau tidak meneruskan pengajiannya untuk ke peringkat Phd kerana pelajar disyaratkan menjadi kerakyatan India dan berkhidmat di kolej tersebut. Ijazah sarjana beliau dikirimkan melalui pos oleh Pentadbir Darul Ulum.



Tidak dapat dipastikan sejauh mana kesahihannya Lebai Maadah telah berbahas dengan tokoh utama as sunnah di Alor Gajah bernama Haji Muluk. Maulana yang dikatakan alim dalam agama itu berada di pihak yang menang. Mungkin ekoran dari peristiwa itu menyebabkan Lebai Maadah kembali ke Kuala Pilah untuk mendirikan sekolah baru bagi mengelakkan perbalahan.



Di kampung halamannya, Maulana membuka sebuah Madrasah Jameah Islamiah yang mengajar berbagai mata pelajaran di Kampung Bukit Tempurung kira-kira 3 km dari Kampung Tengkek. Sekolah berdinding kayu ini didirikan di atas bukit dan mula menerima pelajar-pelajar lelaki dan perempuan. Sekolah ini didirikan secara gotong royong penduduk kampung. Tiang madrasah jenis 'ponak' ditebang dari hutan berdekatan dan papan belutinya dibeli dari Pekan Batu Kikir. Atapnya dari daun rumbia dan sebahagian kerja pembinaan diupahkan kepada orang China. Sekolah itu mampu menampung pelajar lebih 50 orang. Pelajar lelaki dan perempuan di asingkan. Sebelah malam pula dibuka kelas untuk orang-orang dewasa. Sekolah ini turut menerima penuntut luar dari Negeri Sembilan, walaupun jalan perhubungan untuk sampai ke kampung itu terpaksa berbasikal atau berjalan kaki lebih 15km dari pekan Batu Kikir.



Lebai Maadah dijodohkan dengan gadis kampungnya bernama Salbiah Ibrahim. Perkahwinan kali keduanya ini berlangsung dalam tahun 1938 ketika itu Lebai masih mengajar di Alor Gajah. Menurut Haji Md Zin Ujang, emaknya dan emak saudara Lebai bernama Bayau merundingkan untuk menjodohkan Lebai Maadah dengan Salbiah. Walau pun mereka tidak pernah bertemu muka tetapi Lebai Maadah ada bertanyakan rupa paras dan keperibadian bakal isterinya dari Haji Md Zin. Salbiah dikatakan gadis pingitan kampung yang menarik waktu itu. Pasangan ini dianugerahkan Allah dengan anak lelaki yang diberikan nama Muhammad Kassim.




Di Madrasah Bukit Tempurung, beliau telah menjodohkan pula seorang penuntut beliau bernama Abdul Jalil bin Salim yang berasal dari Pekan Alor Gajah, Melaka dengan Latifah Omar Bail yang turut menuntut di Madrasah Bukit Tempurung itu. Abdul Jalil merupakan penuntut awal beliau ketika di Alor Gajah dan turut meneruskan pengajianya di Bukit Tempurung. Penyusun masih ingat masa hidupnya, Allahyarham Ustaz Abdul Jalil amat tegas dalam fahaman as sunnahnya dan tidak bertolak ansur dalam perkara-perkara yang dianggap bidaah dalam amalan ibadah. Contohnya, beliau hanya berdiam diri ( lelapkan mata) masa majlis ratip tahlil arwah dan tidak mengangkatkan tangan ketika berdoa. Kehadiran beliau ke majlis-majlis kenduri kendara sanak saudara di kampung hanyalah untuk mengeratkan siraturrahim sahaja.



Mungkin kerana perbezaan kefahaman yang dibawa oleh Lebai Maadah bin Layang yang dianggap mewakili kaum muda dan bertembung pula dengan kaum tua yang didakwa golongan Syafiiyah, sedikit sebanyak telah mengocak struktur amalan ibadah tradisi setempat. Sebahagian besar penduduk kampung mulai memandang serong kepada aliran ini. Maulana Lebai Maadah memahami usaha untuk mengubah fahaman yang sudah berakar umbi itu bukan suatu kerja yang mudah. Selain berdepan pertembungan tersebut, Lebai Maadah turut tampil untuk membasmi amalan–amalan khurafat yang masih mewarnai budaya masyarakat yang jauh di pendalaman itu. Antara amalan yang pernah dilakukan ialah seperti upacara memuja semangat padi sebelum turun ke sawah, mandi safar, ilmu pembomohan, amalan kebatinan dan lain-lain lagi.




Awal tahun 1900an sering berlaku perdebatan antara kaum muda dengan kaum tua Lebai Maadah dianggap pelopor bagi fahaman ini di Negeri Sembilan. Kesan dari penubuhan beberapa madrasahnya di Kuala Pilah menyebabkan aliran ini berkembang di Negeri Sembilan. Pengikut fahaman ini telah berkampung di Kuala Pilah dan menubuhkan Madrasah Ittibaus Sunnah di Jalan Parit, Kuala Pilah yang masih beroperasi hingga sekarang. Peringkat awalnya, kelompok ini dianggap sering bermasalah dengan Majlis Agama Negeri tetapi kini dilaporkan telah kendur.



Lebai Maadah melihat dengan ilmu sahaja permasalahan ummah dapat ditangani. Tanpa ilmu sudah tentu amal tidak akan menepati kehendak agama. Dalam suasana negeri yang masih dijajah dan perhubungan komunikasi yang sukar waktu itu, beliau harus memikul amanah untuk membimbing anak bangsanya keluar dari kegelapan. Bagi merealisasikan wawasannya, beliau menubuhkan pula Madrasah Aliah Islamiah Harapannya untuk melihat anak bangsanya mendapat pendidikan lebih tinggi, ini ditegaskan oleh beliau sendiri dalam buku penubuhan Madrasah Aliah Islamiah atau juga dikenali sebagai Islamic High School dalam muka surat 33 :




" .. mereka itu ( penuntut lelaki) anak-anak muda yang berhemah tinggi juga dalam mencari ilmu pengetahuan serta ikhlas dan jernih hati – hati mereka pada menjaga kefardhuan, dan masing – masing itu berharap belaka kepada kemajuan kaum dan bangsa dan juga tanahair."



Difahamkan Maulana Lebai Maadah bercita-cita untuk menjadikan pusat pengajiannya itu sebagai asas kepada penubuhan Pusat Pengajian Tinggi Islam ( Universiti Islam) sebagaimana yang terdapat di Darul Ulum India. Malangnya, cita-cita murninya ini tidak kesampaian apabila meletus Perang Dunia Kedua. Menurut Haji Abdul Aziz Yunus, penuntut-penuntut terpaksa meninggalkan pengajian dan balik kampung bila Jepun mula sampai ke negeri ini. Madrasah ini hanya sempat beroperasi selama empat tahun sahaja. Maulana sendiri akhirnya balik memberi tumpuan kepada Madrasahnya di Kampung Bukit Tempurung ketika itu.



Sebelum menubuhkan Madrasah di Pelangai ini, beliau telah menyahut seruan Dato' Menteri Mohd Idris Abdullah ( Ketua adat ) untuk membuka sekolah di Sungai Dua Kecil ( kini menjadi kawasan masjid Sg Dua Kechil) dalam Daerah Kuala Pilah. Tanah ini adalah milik keluarga Dato' Idris tetapi selepas beberapa lama beroperasi, Dato' Idris telah mendapat persetujuan ahli keluarganya untuk mewakafkan tanah mereka di Pelangai untuk dijadikan kawasan sekolah. Kawasan baru ini lebih strategik dan di tepi jalan besar Kuala Pilah ke Batu Kikir/ Bahau bagi menggantikan sekolah di Sungai Dua.



Beberapa nama disebutkan oleh beliau dalam buku penubuhan Madrasah ini kerana anak-anak kampung bermuafakat membinanya seperti Dato' Muhamad Idris, Yang Mulia Dato' Laksamana Sholleh dan Dato' Putih Isa. Madrasah ini siap didirikan pada 15 Januari 1939. Madrasah ini juga dilaporkan dibiayai oleh YTM Tuanku Abdul Rahman Yang Dipertuan Besar waktu itu. Dua bangunan sekolah didirikan untuk memisahkan murid-murid lelaki dan perempuan. Jadual waktu persekolahan bermula jam lapan pagi sehingga pukul dua belas tengahari bagi sesi pagi. Penuntut-penuntut diberi rehat sebentar untuk makan tengahari dan dijadualkan bersholat zuhur secara berjamaah di surau. Sesi kedua bermula jam dua petang hingga jam empat petang. Selepas sholat asar mereka di benarkan bermain atau beriadah untuk menjaga kesihatan. Pelajar lelakinya berpakaian seragam berkot dan bertali leher seperti sekolah Inggeris waktu itu tetapi bertarbus.




Sistem persekolahan yang agak sistematik ini membuktikan Lebai Maadah seorang pendidik atau pemimpin yang berkarisma. Setiap penuntut samada lelaki atau perempuan mendapat didikan atau tarbiah secara langsung dan sama rata dari Lebai Maadah. Dinyatakan belum sampai dua tahun terdirinya sekolah ini, lebih seratus penuntut lelaki – perempuan dari beberapa negeri seperti Perak, Selangor, Pahang dan serata daerah dalam Negeri Sembilan telah belajar di sini. Bagi membantu beliau mengendalikan perjalanan sekolah dan asrama, maka beberapa penuntut yang telah senior dilantik sebagai kerani atau pengelola asrama. Guru-guru lelaki dan perempuan pula dilantik di kalangan penuntut yang telah mampu membimbing pelajar-pelajar baru.



Penuntut–penuntut lelaki dan perempuan disediakan asrama yang berasingan. Mereka ada memasak sendiri dan ada juga yang kira bayar sahaja. Manakala penuntut perempuan pula ada yang tinggal bersama Lebai Maadah dikenakan bayaran makan dan belanja persekolahan secara bulanan. Tukang masak makanan disediakan. Guru-guru sentiasa ada bersama penuntut untuk membimbing mereka. Sebelah petang, kelas pengajian terbuka kepada penduduk sekitar yang dikatakan mendapat sambutan hangat.



Antara mata pelajaran yang diajar di Madrasah ini ialah seperti ilmu saraf, ilmu nahu, tajuid, fiqh, tauhid, akhlak, tafsir dan terjemahan al Quraan, usul hadith dan kitab-kitab hadith, tasawuf, al mudharabat, ilmu berkhutbah atau bersyarah, bahasa Inggeris , membaca al Quraan dan banyak lagi. Menurut Haji Abdul Aziz Yunus, Maulana Lebai Maadah agak tegas ketika mengajar. Beliau selalu membawa rotan semambu bila mengajar. Setiap ayat yang diajar mesti difahami dengan teliti dan penuntut – penuntut terpaksalah mengulang kaji dan menghafal pelajaran di asrama sebelah malamnya. Esoknya beliau akan menyoal kembali pelajaran yang telah diajar. Sesiapa yang gagal menjawab dengan tepat atau tergagap – gagap akan dimarahi. Pernah Ustaz Abdul Jalil dirotan dan peristiwa itu menjadikan penuntut lain kecut perut. Antara anak murid awal beliau yang dianggap kontroversi dalam negara kita ialah Shamsiah Fakeh iaitu pemimpin PKM yang diharamkan itu.



Keistimewaan cara mengajar Maulana ialah ia mengajar menterjemah al Quran secara harfiah iaitu terjemahan dari ayat ke ayat dalam Bahasa Melayu bersekali dengan tajuidnya. Haji Abdul Aziz mendakwa penuntut – penuntut mampu menamatkan terjemahan al Quran dalam tempoh lapan bulan sahaja. Salah seorang murid beliau, Haji Abdul Malik Husin turut mengakui keistimewaan pengajian tafsir Al Quran cara Lebai Maadah kerana ia merangkumi dengan ilmu saraf, nahu, maani, mantik dan bayan. ( Rujukan dari artikel oleh Zaharuddin Pilus, Berita Mnggu 27 Julai 1980). Dianggarkan penuntut – penuntut yang belajar ketika itu lebih 280 orang pada hari – hari akhir sebelum meletusnya perang. Beliau sendiri waktu itu membuat kerja sampingan selain menuntut iaitu ditugaskan sebagai kerani dan pengelola asrama lelaki.



Selain kesibukan Lebai menguruskan sekolahnya di Pelangai dan Bukit Tempurung, beliau masih sempat memberi pengajian agama kepada orang ramai secara memberi syarahan kerana beliau begitu mahir berpidato dan lancar pula tutur katanya. Kebolehannya menguasai banyak bahasa juga berupaya meruntun pendengar untuk mendekati tokoh istimewa ini.



Penyusun sengaja menambah muatkan isi kandungan kisah riwayat hidup ulama besar ini tentang kisah fitnah dan mehnah yang diterimanya ketika berada di zaman kemuncaknya. Saat getirnya ialah beliau difitnah berjahat dengan pelajar perempuannya di Madrasah Aliah Islamiah. Fitnah ini sengaja diada-adakan oleh penduduk setempat kerana cemburu dengan ketokohan Lebai Maadah. Bencana itu akhirnya dapat dipadamkan apabila Tuanku Abdul Rahman, Tuan Yang Dipertuan Besar turun sendiri menjadi saksi di hari upacara mengangkat sumpah di sekolah tersebut. Pihak yang menuduh tidak berani tampil ke hadapan. Sifat kedengkian itu bukanlah tamat setakat itu sahaja malah Lebai Maadah lagi sekali lagi diuji apabila ada pihak menuduh Lebai Maadah menerima gaji lebih tinggi sedangkan beberapa pelajarnya yang senior membantu mengajar hanya mendapat gaji lebih rendah iaitu lebih kurang RM25 atau RM30 sebulan berbanding Lebai Maadah yang menerima gaji RM 350 sebulan. Menurut pandangan mereka gaji Lebai Maadah mengalahkan gaji D.O Kuala Pilah waktu itu.




Seorang pelajar bernama Othman Ali dari Kampung Tengkek merisik berita tentang ada anak murid Lebai sendiri bernama Hitam Taha sedang merancang untuk mencabar Lebai Maadah berkeris. Dia dikatakan telah memakai pakaian serba hitam selaku panglima untuk bergaduh dengan Tuan Gurunya sendiri. Ekoran dari itu, Lebai telah mengadakan perhimpunan pada hari sabtu yang dihadiri semua muridnya. Beliau menyampaikan hasratnya untuk memberi tumpuan di Madrasah di Bukit Tempurung sahaja. Di sini terdapat percanggahan maklumat antara Tuan Haji Abd Aziz Yunus dengan Haji Md Zin Ujang tentang punca utama Madrasah Aliah Islamiah tersebut ditinggalkan oleh Lebai Maadah. Dari artikel Zaharuddin Pilus ( Berita Minggu 27/7/1980) melaporkan pula Cikgu Hitam Taha itu mengambil alih pengajaran di sana selepas perang tetapi madrasah tersebut tidak bergerak terus menerus selepas beliau berhenti mengajar. Walau bagaimanapun, penyusun percaya faktor meletusnya perang dunia kedua dan gangguan pihak tertentu itu ada berkaitan.



Sebagaimana dinyatakan sebelum ini, pihak istana di Seri Menanti amat berminat dengan orang-orang alim. Istana raja selalu dikunjungi para ulama dan kerabat raja turut menadah kitab untuk mendengar kuliah ulama. Yang Dipertuan Besar Paduka Sri Tuanku Muhamad Shah Ibni al Marhum Tuanku Antah yang ditabalkan bagi tahun 1888-1933 telah menjemput Tuan Guru Haji Darun Haji Ibrahim yang berasal dari Inderagiri dan bermukim di Semenyih untuk menjadi guru agama di istana. Dikatakan adik baginda iaitu Tunku Burhanudin turut menjadi alim di bawah bimbingan ulama ini. Pewaris tahta Yang Dipertuan Besar kemudiannya iaitu Tunku Abdul Rahman anak kedua kepada Tuanku Muhamad turut memuliakan para ulama.




Di masa pemerintahan baginda, ulama di negeri adat perpatih ini diberi keutamaan. Baginda bukan sahaja mendekati ulama malah turut menyumbangkan kewangan membina pondok atau sekolah agama, sebagaimana peranan baginda membantu Tuan Guru Lebai Maadah ini dan mewakafkan sebidang tanah untuk Tuan Guru Haji Abdul Majid Abdul Karim di Batu Kikir bagi tapak pondoknya. Di zaman baginda juga, perbahasan agama secara sihat diadakan di istana di antara Lebai Maadah dengan Haji Muhamad Mustaffa dari Kuala Jempol. Majlis perbahasan itu dipengerusikan sendiri oleh Al Marhum Tunku Besar Burhanudin.



Walau bagaimanapun, keakraban ini pernah mengundang salah faham kepada pihak tertentu di istana apabila Lebai dituduh melanggari adab dengan raja. Kisahnya ialah sewaktu Tunku Abdul Rahman mencemar duli turun ke Pelangai untuk menyampaikan syahadah ( sijil) tamat pengajian kepada pelajar-pelajar di sana. Ketika majlis bersantap disediakan, Tunku Abdul Rahman meminta Lebai Maadah duduk bersama baginda makan bersama. Tiga hari lepas itu, Lebai dikunjungi polis dari Balai Polis membawa mesej Lebai Maadah dikehendaki hadir ke istana bagi tuduhan tersebut.




Tuan Guru Lebai Maadah dengan tenang mengajak Haji Md Zin Ujang menemaninya ke istana. Mereka bertolak dari kampung jam 7.00 pagi menunggang basikal. Perjalanan untuk sampai ke istana Seri Menanti memakan masa lebih kurang 4 jam lamanya lantaran kerana jalan ke Pekan Batu Kikir waktu itu masih jalan tanah dan melalui jalan kampung serta kebun getah. Sesampai di pintu istana, Lebai memberi salam dan seorang budak berumur lebih kurang 8 tahun muncul ( mungkin putera raja), kanak-kanak itu berlari ke tingkat atas istana. Kemudian terdengar suara dari bilik istana, " Lebai, mari sini!" Lebai Maadah pun naiklah ke atas istana berbual dengan Tunku Abdul Rahman.



Antara perbualan mereka yang sempat diingati oleh Haji Md Zin Ujang ialah Lebai Maadah melahirkan rasa dukacitanya terhadap perkara berbangkit. Beliau tidak mengangkat sembah sebagaimana lain-lain rakyat ketika bertemu raja dan memanggil Tunku Abdul Rahman dengan panggilan 'Tuan Patik". Tunku Abdul Rahman pula merendah diri berkata:



" Di dunia kami tinggi tapi di akhirat, Lebai lebih tinggi darjatnya.." Baginda berjanji akan menyelesaikan masalah tersebut dengan pihak tertentu di istananya.



Dalam perjumpaan itu juga, Tunku Abdul Rahman meminta Lebai Maadah mengajar tafsir al Quran dalam Bahasa Inggeris. Bermula dari tarikh itulah beliau kerap ke istana menunaikan permintaan baginda. Tunku Abdul Rahman mendapat pendidikan di Kolej Kuala Kangsar dan mendapat Barr-at Law dari Inner Temple England tahun 1928. Baginda sebelum ditabalkan menjadi Dipertuan Besar pernah menjawat jawatan ADO di beberapa daerah dan terakhir menjadi DO Batang Padang 1933. Baginda pernah juga meminta Lebai Maadah menafsirkan mimpinya apabila bermimpi baginda digelar "Manaf" oleh Raja-raja Melayu. Lebai menafsirkan baginda akan naik tinggi dan disebut orang selama-lamanya. Menurut Haji Md Zin, antara kelebihan yang dimiliki oleh baginda selepas itu ialah Baginda dilantik sebagai Yang Dipertuan Agong pertama dan gambarnya terus dicetak dalam wang kertas negara ini sehingga sekarang.



Lebai Maadah merupakan tokoh pemidato dan pandai berbahas. Seperti yang disebut sebelum ini, beliau pernah berbahas masalah agama dengan tokoh assunnah di Alor Gajah dan seorang ulama terkenal bernama Tuan Haji Muhamad Mustaffa dari Kuala Jempol ( riwayat hidupnya turut dipaparkan dalam buku Jejak Ulama ini) ulama ini mendapat didikan dari Mekah Al Mukarramah dan sangat terkenal di kalangan pembesar negeri termasuk Al Marhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Tuanku Muhammad sendiri. Majlis perbahasan ini telah diadakan di Istana Besar Seri Menanti dengan dihakimi oleh Tunku Besar Burhanuddin Ibni Tuanku Antah iaitu kerabat raja ketika itu. Menarik juga dicatitkan di sini iaitu kecenderungan pihak istana dalam bidang agama agak menonjol ketika itu kerana selain di Negeri Sembilan, Raja Kelantan Tengku Long Senik yang memerintah tahun 1900 – 1920 turut menjadikan ulama sebagai tempat rujukan utama ketika dilemma kemasukan amalan tarekat Ahmadiyah ke Kelantan.




Dalam perbahasan tersebut, Lebai Maadah dikatakan sekali lagi menunjukkan keistimewaannya apabila beliau yang bermodalkan Al Quran berjaya melengkapkan hujahnya. Apabila beliau ingin merujuk bahasannya, beliau hanya menepuk kitab suci itu dan nashkah yang terbuka itu tepat menunjukkan ayat-ayat yang beliau kehendaki dengan izin Allah. Bukan itu sahaja, Maulana ini juga dikatakan pernah berbahas dengan orang-orang kristian yang diadakan di Sekolah Menengah King George V Seremban. Kebolehan Maulana menguasai banyak bahasa termasuk Bahasa Inggeris selain bahasa Urdu dan Arab memudahkan beliau menyampaikan dakwahnya. Kesannya, ramai penganut agama kristian waktu itu masuk Islam



Beberapa karya beliau yang diketahui sempat ditinggalkan ialah seperti berikut:




i. Kitab " Percubaan Tuhan" perbicaraan tentang keimanan setebal 40 muka. Diterbitkan oleh The Teruna Press, Kuala Pilah. 1939 dalam Bahasa Melayu, Inggeris dan Arab.

ii. "Urujul Akhwam" mengandungi 100 halaman, terbitan The Teruna Press, Kuala Pilah. 1939.

iii. "Persaudaraan" diterbitkan oleh The Mutbah Al Zainiah, Bukit Mertajam tahun 1939.

iv. " Suluh Tengkek" setebal 80 muka iaitu buku panduan syarahan agama. Terbitan The Teruna Press, Kuala Pilah. 1939



Malangnya, sebahagian besar kitab – kitab pengajian dan beberapa hasil tulisan beliau tidak dapat dikesan lagi selepas kematiannya. Ada penduduk kampung mendakwa Maulana pernah memberi pesanan sebelum ajalnya supaya kitab- kitab beliau diserahkan kepada muridnya Ustaz Abdul Jalil yang telah menyemenda ( berkahwin dengan penduduk kampung), kerana beliau sahaja yang dikatakan mampu menguasai dan memahami kitab-kitab Arab tidak berbaris itu. Walau bagaimanapun, kitab – kitab tersebut telah beralih tangan kepada kerabat sebelah isterinya iaitu bapa mertuanya Imam Ayin ( Ibrahim). Masa kecil, penyusun pernah melihat orang tua ini di rumah anaknya Hajjah Bedah Ibrahim iaitu isteri datuk saudara penyusun.



Dalam musim perang, Lebai Maadah hanya menumpukan masanya di Madrasah Bukit Tempurung. Kegigihannya untuk mencurahkan ilmu disanjungi oleh penuntut-penuntut beliau. Adakalanya beliau akan pergi ke rumah anak muridnya untuk mengajar secara langsung. Ini disahkan sendiri oleh Ustazah Hambiah Md Som ( telah meninggal dunia beberapa bulan selepas pertemuan dengan penyusun) yang menyatakan Tuan Gurunya sering datang ke rumah mengajar ketika beliau masih dalam pantang ( baru bersalin). Lebai ingin menjadikan Hambiah sebagai penghulu atau ketua muslimat yang mendalami ilmu agamanya.




Antara kata-kata yang masih diingati oleh Hambiah ialah " ..apa nak buat, tiada rezeki anak-anak untuk belajar.." Ini seolah-olah beliau telah merasakan tempoh hidupnya begitu singkat. Sudah ditakdir Allah jua, ketika anak lelakinya berusia dua tahun, isteri beliau telah meninggal dunia. Allahyarhamah Salbiah Ibrahim dikatakan meninggal kerana mengalami sakit perut. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di rumah emak saudara Lebai Maadah di Kampung Jeram. Berita sedih itu disampaikan kepada suaminya di Madrasah, Maulana menyambut berita kesedihan itu dengan kata-kata lebih kurang begini,



" Biarlah.. dia ( Lebai ) pun akan mati di sana jugak.."



Benar, lebih kurang beberapa hari selepas pemergian isterinya, Maulana yang alim ini pun turut mengikuti isterinya dalam usia 48 tahun dan dikebumikan di sebelah pusara isterinya di Tanah Perkuburan Kg Jeram, Tengkek. Kematiannya diibarat kehilangan permata atau payung ilmu oleh penduduk di negeri ini, agaknya doa spontan ibunya apabila setiap kali melihat kenakalan anak lelaki telah dimakbulkan Allah.



"Jadi payung negerilah kau nak" Inilah ucapan biasa yang sering dikatakan oleh ibunya.



Menurut Haji Md Zin Ujang pula, malam sebelum kematiannya, beliau bercakap dengan rakan sekampungnya bernama Sidek ( dipanggil Sidiadik) supaya diuruskan segera sebelum zuhur. Rupanya beliau perlu dikebumikan sebelum zuhur itu. Seorang anak muridnya bernama Md Yassin dari pelangai Kuala Pilah berdiri kaku di kubur ketika orang ramai sudah mula beredar dari kubur. Apabila ditanya apa yang beliau perhatikan, katanya dia nampak seorang berpakaian serba putih keluar dari kubur dan terus menghilang. Allahyarham meninggal dunia di rumah emak saudaranya Puan Bayau, rumah itu jugalah tempat isteri tersayangnya menghembuskan nafas terakhir.



Penyusun telah sempat menziarahi tanah perkuburan di Kg Jeram tempat tokoh ulama ini disemadikan pada 4 Syawal 1424 bersamaan 28 November 2003. Kami agak sukar mengesan tapak kuburnya kerana tiada tanda-tanda jelas yang membolehkan kami mengesahkan batu nesannya, tetapi menurut penduduk kampung kubur sepasang suami isteri itu adalah berhampiran bawah pokok kundang yang rendang. Sekolah yang diasaskan beliau di Pelangai, Kuala Pilah telah diambil alih oleh kerajaan dan dinamakan Sekolah Menengah Rendah Agama Pelangai. Malah ada juga perkhabaran bahawa beliau turut mengharapkan sesatunya anak lelakinya yang masih belajar merangkak waktu itu diberi didikan agama sehingga sampai ke Darul Ulum juga. Anak lelaki yang yatim piatu itu dibela oleh emak saudaranya Hajjah Bedah Ibrahim. Anaknya itu kini adalah seorang pakar perubatan yang pernah bertugas di Hospital Pakar Tawakkal Kuala Lumpur dan kini membuka klinik sendiri di Taman Tun Dr. Ismail.

Maulana Lebai Maadah bin Layang bolehlah dianggap tokoh pembaharuan yang ulung di negeri ini kerana terbukti dalam tempoh tidak sampai 15 tahun beliau balik ke tanahair, beberapa jejak-jejak yang ditinggalkannya telah meninggalkan kesan seperti berikut:




i. Beliau adalah tokoh pertama yang menubuhkan sekolah agama atau madrasah berasrama secara formal dan sistematik. Mata pelajaran yang diajar di madrasahnya merangkumi semua lapangan pengajian agama termasuk memperkenalkan Bahasa Inggeris sebagai subjek tambahan.

ii. Pengajian terjemahan al Quran secara harfiah terbukti memudahkan penuntut-penuntut di madrasah ini menguasai ilmu pengajian al Quran dengan cepat.

iii. Beliau membuka madrasahnya untuk anak-anak bangsa samada lelaki atau perempuan tanpa membezakan mereka. Pelajar-pelajar yang mendapat tarbiah dari madrasah secara langsung dari beliau itu datang dari banyak tempat dan negeri. Melalui pendedahan ini menyebabkan pemikiran dan aliran yang dibawa oleh beliau berkembang di banyak tempat pula.

iv. Maulana juga dianggap tokoh yang berwawasan tinggi kerana pernah bercita-cita untuk menubuhkan pusat pengajian tinggi agama ala Darul Ulum di Nusantara.

v. Terbukti pemikiran dan aliran " as sunnah" atau lebel "Kaum Muda" yang dicetuskannya telah bertapak di Negeri Sembilan khususnya di Kuala Pilah adalah kesinambungan gerakan awal yang dirintis oleh beliau.



Pendek kata, kemunculan beliau di persada dunia pendidikan dalam negeri pengamal adat perpatih ini benar-benar dirasai dan sebagai pelopor fahaman yang tidak terikat kepada aliran bermazhab. Walau pun aliran ini masih sukar diserasikan dalam masyarakat setempat tetapi sumbangan besar beliau dalam dunia pendidikan agama tetap terakam dalam lipatan sejarah negeri ini. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Amin.
              Di kawasan perkuburan Kg. Jeram, Tengkek inilah beliau disemadikan.

Komen saya: Artikel yang mempunyai fakta yang tepat. Nama Sidiadik yang disebut dalam artikel ini adalah datuk saya yang bernama Abdul Rahman bin Deli, manakala emak saudara lebai yang bernama Bayau itu pula adalah ibu kepada nenek saya. Bayau juga dikenali sebagai Aminah. Anak lebai yang bernama Muhammad Kassim itu pula, sekarang ini membuka klinik di Taman Tun Dr Ismail KL iaitu Klinik Cassim. Shamsiah Fakeh adalah salah seorang anak murid beliau yang tersohor dan telah menyertai secara aktif dalam politik tanah air.

18 comments:

Anonymous said...

Lebai Maadah has motivated Muslims like me to be a better human and to value the work of teachers who face various challenges to impart knowledge and reveal the truth to the public.

Anonymous said...

Alhamdulillah.tq for this post.
saya rasa lebai ayin @ Ibrahim adalah datuk ibu saya.

hfa

Quest Le Funkt said...

The spelling on his son's name can be corrected to Mohamed Qasim bin Md Ma'adah, following his birth certificate. In Arabic spelled qof-alif-sin-mim.

Mohamed Qasim has since passed away on the 20th April 2013. He was 73 years old and left his beloved wife, 6 kids (all adults) and 5 grandchildren.

My only wish is that Lebai Ma'adah and Mohamed Qasim will forever be remembered for the sacrifices they made.

Al-Fatihah.

lauser said...

saya juga mencari adik beradik atuk saya.. Jamaludin bin layang. adakah lebai maddah mempunyai adik beradik lain?

Unknown said...

Jikalau tidak silap saya, datuk saya Maadah dan datuk kamu Jamaludin ada mempunyai adik beradik yang lain. InsyaAllah, Mungkin boleh bertanya kepada Pak Andak saya.

Unknown said...

Tiga beradik
Maadah bin Layang
Kamariah binti Layang
Jamaludin bin Layang.

Unknown said...

Assalaamu'alaikum uncle ☺

Anak Solomak Pahang said...

Alhamdulillah..tulisan ini dibaca oleh ribuan orang termasuk yg diterjemah dlm bahasa Inggeris oleh Yadim. Turut dirakamkan tv3 dlm siri siaran menjejak ulama.

Penulis tanpa nama.

Unknown said...

Di nusantara ni ade mazhab.
Majoriti Ashafie...
Dalam kitab kupasan syikhul waliyuAllah ibnu taimiyah..

Beliau kupas maksud (bertaklid kepada mazhab syafie sebagai termasuk dlm syirik)

Bukan lah bermakna terkeluar dari islam.. tapi bab Akidah yg benar ini menjurus kepada

Apa-apa fahaman kita pegang..syafie, hambali, maliki, hanafi, shiah imamiyah, atau alirah muhammadiyah.. salafiyah..salafiyah pun byk cabang..

Pendek kata.. jangan (taklid buta) kita ada percaya Allah swt ada nas dia berdasar quran sunnah..

Kita yakin Allah berkuasa Makhluk tak berkuasa..

Bukan duit, ubat, kuasa, kesihatan.. semuanya Allah ,Allah, Allah ..

"Kenal diri jangan sampai ternampaknya Diri" pesan tok kenali wakil kaum tua.

Takkan Melayu "Hilang" Di Dunia

Pesan hang tuah maksudnya.. jgn sampai org melayu hilang ingatan pada Allah swt yg satu..

Ungkapan hilang maksudnya lupa pada Allah swt.. tidak fana.. masih nampak besar diri, rase diri hebat..angkuh, takbbur..


Bila kita kenal diri maka hancorlah diri..yg hanya wujud Allah swt ..mak wujudlah dia. Tapi jika kita mengenal diri masih mengenal diri maka jatuh syirik lah dlm erti kata (ilmu makrifat) belom wasil ilmu Allah swt dgn ilmu hakikat kita mengenal Allah.swt..


Fahaman komunis ni bahaya dia tak percaya tuhan.

Sebab tu pelik Dr Ramlah Adam dia kaji kenapa ada orang melayu faham komunis?

Tok guru kepada maulana sendiri adalah tabligh... Spatutnya dia ikot tok guru nya.. wallahuallam.. semuanya sudah Allah swt takdir sejak azali..

Tapi di malaysia kita berpegang kpd mazhab syafie..

Dlm bab akidah.. kita yakin semua Allah swt .. tapi mestilah bersandarkan ikhtiar ..

Niat..Ikhtiar(maksimum)..natijah Allah swt sudah takdirkan..




Unknown said...

Alhamdulillah.. Dah jumpa keluarga atok jamaludin

Unknown said...

reunion 26/1/2020 kami bertemu kembali anak cucu cicit lebai maadah..aku baru tau hebat2 jugak keturunan aku nie sbenar nye..hahaha

Unknown said...

Salam, sye tertrik dgn penulisan ini dn trima kasih kpd penulis serta rakan2 penulis yg juga ahli keluarga arwah. Arwah Lebai Maadah adlh seorng ulama yg sye fokuskn dlm kajian ilmiah sye utk diserrasi penyelidikan sye pd 1994, sepanjng dua tahun sblum itu sye berulang dri KL ke KPilah dn mnupang slma bbrpa hari dirumah rkn di Kg Keru. Bnyk info2 baru sye dpt dgn penulisan ini, mgkin sye x dpt bertemu sdr penulis artikel ini, hmpir semua nma2 yg disebutkn dlm penulisan ni sye brjmpa utk mndptkn info brknaan arwah. Sye terkjut apbila arwah mmpunyai adik brdik lgi dn selain dr kasim, sye tiad maklumt psl kelurga arwah. Tkasih info dn maklumat ini, dn tmbhan mklumat dlm kajian sye. Insha allah, mgkin kluarga arwah boleh kmplkn maklumat2 termsuk karya2 arwah mgkin dlm tulisan awal@manuskrip. Insha allah..

Unknown said...

4 kitab arwah..sy nak sangat tahu ape isi 'suluh tengkek'..

Anonymous said...

Slm

Ayah saya bernama Abdul Malek Bin Husin adalah di antara penuntut dan top student dalam batch nya.

Ikut cerita ayah, Cikgu Abdul Aziz Yunus adalah satu batch dengan Bonda Shamsiah Fakeh.

Ayah saya menakutkan Al-Quran dlm tempoh 6 bulan lengkap dengan ilmu sorof, harfiah, nahu dan bayan.

Saya sempat belajar dgn ayah saya ketika berusia 14 tahun selama 3 bulan. Alhamduliilah, saya faham baca AlQuran macam baca English newspaper.

Masa saya menuntut di London dalam bidang quantity surveying, rakan Arab saya memperkenalkan saya dengan pakciknya yang jadi ahli jawatan kuasa di Regent Mosque, London dan saya mengajar di sana hinggakan orang sana ingat Rakyat Malaysia bertutur Arab.

Sesiapa yang berminat untuk mempelajari AlQuran secara intensif mengguna kaedah ilmu sorof, harfiah, nahu dan bayan, sila hubungi saya di tali an : 019-779-2026. Pengajian ada lah percuma.

Anonymous said...

Pembetulan

* ... ayah saya tamat AlQuran selama 6 bulan ...

khazin said...

Dimanakah tempat tuan mengadakan pembelajaran secara intensif ilmu Quran termasuk nahu sorof bayan harfiah dan sebagainya?

Anonymous said...

Di Madrasah Ittiba As-Sunnah, Kuala Pilah. Buat masa ini pengajian diadakan setiap Isnin jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Sebelum PKP, pengajian diadakan 3 kali semi bgu iaitu Selasa hingga Khamis bermula April 2019.

Jemputlah datang untuk meraikan dan mendalami ilmu yang sangat tinggi ini. Saya sudah berusia dan pastinya hendak sebarkan seluasnya selagi nyawa di kandung badan.

Kepada sesiapa yang berminat, sila hubungi 019-779-2026, Jumilah binti Abdul Malek.

Terima kasih.

Hari ini 23 Oktober 2023

Anonymous said...

Adalah sy Mokhsin ank kpd Hj Mohd Zin bin Hj Ujang ingin menyampaikan apa yg tlh sy dengar sendiri dri arwah ayah sy ..anak murid Tuan guru Lebai Maadah nampak ada seseorg berpakaian serba putih bersolat di kubur Tuan guru Lebai Maadah..anak muridnya terpegun melihatnya hingga selesai org itu solat..dan terus hilang begitu shj sesudah selesai..Ayah sy mengatakan seingat sy..anak muridnya itu merupakan org terakhir meninggalkan kubur Tuan guru ..dan bila dia berpaling ke belakang..itu lah yg disaksikannya..

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com