Sebelum tahun
1960 an dahulu, soal jodoh banyak ditentukan oleh ibubapa atau keluarga.
Perasaan cinta antara pasangan suami isteri hanya dipupuk selepas mereka
berkahwin. Di waktu itu mereka tidak dapat memilih teruna atau gadis untuk
menjadi suami atau isteri mengikut selera mereka. Mereka terpaksa menerima
suami atau isteri yang telah ditentukan oleh keluarga seadanya, buruk atau baik
terpaksa diterima.
Walaupun
jodoh ditentukan oleh keluarga tetapi ini tidak bermakna mereka tidak boleh
hidup bahagia dalam menjalani kehidupan rumahtangga. Malah kebanyakan pasangan
ini kekal jodoh mereka hingga ke akhir hayat.
Selepas
tahun 1960, wanita yang telah mendapat pendidikan sama seperti kaum lelaki, telah
mula banyak menceburi bidang pekerjaan, mereka tidak lagi duduk di rumah
seperti wanita-wanita sebelum itu. Mereka berpeluang untuk mengenali lebih ramai
kaum lelaki. Mereka boleh berhubung melalui surat untuk mencurahkan perasaan
mereka antara satu sama lain. Di waktu itu penggunaan telefon untuk berhubung
begitu terbatas sekali.
Secara
perlahan-lahan perkahwinan yang diaturkan keluarga telah beransur pupus. Teruna
dan gadis lebih suka memilih kekasih mereka mengikut selera mereka. Setelah
berkenal samada di tempat kerja atau berkenalan di satu majlis, atau dikenalkan
oleh kawan-kawan, mereka akan jatuh cinta dan merancang untuk berkahwin.
Di waktu itu
perkenalan hanya terbatas di tempat kerja atau di bandar atau di daerah di mana
mereka tinggal saja. Walaupun pilihan untuk menjadi bakal suami atau bakal
isteri adalah terletak di tangan mereka sendiri, tetapi pilihan masih lagi
terbatas, kerana peluang untuk berkenalan dan menemui rakan lelaki atau rakan
wanita masih terhad di kawasan yang kecil.
Kata
pepatah, kalau tidak ada rotan, akar pun berguna. Mereka tidak boleh menunggu ‘rotan’
yang tidak muncul-muncul, oleh itu, kalau ada ‘akar’ pun sudah memadai. Malah
bagi mereka, ‘akar’ yang dipilih sendiri itu lebih baik dari mendapat suami
atau isteri yang dipaksakan oleh keluarga mereka. Walaupun mungkin bakal suami
atau bakal isteri yang hendak mereka kahwini itu bukanlah lelaki atau wanita
yang mereka impikan, sekurang-kurangnya ia telah mereka kenali hati budinya.
Apabila
masuk tahun 2000, teknologi internet dan handphone telah melanda Negara ini.
Kesan dari ledakan teknologi internet dan handphone ini juga telah mengubah banyak tatacara
kehidupan masyarakat kita. Sekarang ini, anak muda boleh saja berkenalan dengan
siapa saja yang mereka suka. Kawasan perkenalannya tidak lagi hanya terbatas
kepada kawasan berhampiran tempat tinggal mereka, tetapi boleh menjangkau ke
serata dunia.
Dengan
hadirnya teknologi internet/handphone dapat membantu anak-anak muda
memaksimumkan kepuasan dalam memilih pasangan hidup mereka. Mereka boleh
memilih bakal suami atau bakal isteri yang mereka impikan.
Apakah,
apabila telah berjaya memiliki pasangan hidup seperti yang mereka impikan dapat
menjamin jodoh mereka kekal hingga akhir hayat dan hidup bahagia?
Biarkanlah
anak muda mencari jodoh mereka dengan cara teknologi yang ada di zaman mereka.
Yang timbul masalah sekarang ialah kepada pasangan suami isteri yang berada di
zaman peralihan antara zaman surat pos ofis dengan teknologi Facebook.
Ramai
pasangan suami isteri yang saya sebut sebagai mendapat ‘akar’ tadi mula
berangan-angan untuk mencari ‘rotan’ impian mereka (yang tertangguh dulu) melalui
teknologi Facebook ini.
Ramai suami
dan isteri yang telah curang dan berlaku perceraian akibat kejutan teknologi
internet ini. Dengan internet dan handphone mereka dengan mudah dapat mengatur
pertemuan dengan siapa saja yang mereka suka secara rahsia tanpa diketahui oleh
pasangan mereka.
Apabila
teknologi berubah, ia juga akan turut menggugat kehidupan masyarakat kita.
Sementera masyarakat kita dapat menyesuaikan kehidupan mereka dengan gelombang
teknologi baru itu, banyaklah gejala negatif akan terhasil akibatnya.
Serupalah macam teknologi media TV mula-mula diperkenalkan kepada masyarakat
dulu, semuanya ada baik dan buruknya.
Apa yang
penting ialah penghayatan kepada nilai-nilai yang baik dan murni yang
digariskan oleh agama kita. Ibarat ikan yang hidup di laut, air laut yang masin
tidak akan memasinkan dagingnya, tetapi setelah ikan itu mati, sedikit garam
pun sudah cukup untuk memasinkan dagingnya. Begitu jugalah, bila hati kita
telah mati dengan nilai agama, pengaruh jahat akan mudah menguasai diri kita.
Internet dan
handphone bukanlah penentu muktamad. Seperti kata P. Ramlee, “Jodoh, rezeki,
kebahagiaan itu adalah anugerah dari Tuhan jua”. Kita hanya boleh merancang
tetapi Tuhan juga menentukannya.
1 comment:
jodoh kena usaha dan dicari...
Post a Comment