Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Friday, August 04, 2006

Demokrasi juga kena berubah mengikut zaman

Pemimpin yang baik akan memberi kebaikan kepada masyarakat atau rakyat yang dipimpinnya. Sebaliknya pemimpin yang jahat, berakhlak buruk akan menyebabkan rakyat terinaya, tidak mendapat keadilan dan nasib mereka tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Di dalam sistem demokrasi acuan Dr Mahathir yang kita amalkan sekarang ini, kita hampir tidak mengenal sikap atau tingkah laku calon pemimpin yang hendak kita pilih. Kadang-kadang rupa calon yang kita hendak undi itu pun kita tak kenal, apa lagi nak kenal akhlak dan tingkah lakunya. Kadang-kadang calon ini seperti di datangkan daripada langit, tiba-tiba saja dia muncul di kawasan kita untuk bertanding. Di dalam sistem sekarang ini parti-parti politiklah yang menentukan atau memilih calon pemimpin untuk kita. Nasiblah, kalau calon yang dipilih itu baik maka baiklah pemimpin yang kita dapat. Tetapi jika lebih ramai orang di kawasan itu suka mengundi berdasarkan parti maka calon pemimpin yang berakhlak baik pun tidak dapat terpilih menjadi pemimpin mereka. Tidak hairanlah kalau ada kalangan pemimpin yang dipilih itu ada juga yang peminum arak, kaki judi, tidak amanah, rasuah dan sebagainya. Pemilihan pemimpin menggunakan konsep syura dapat mengelakkan orang-orang yang tidak baik, yang tidak disukai masyarakat menjadi pemimpin. Pemimpin yang dipilih melalui konsep syura adalah terdiri dari orang yang betul-betul kita kenal, kenal rupa dan tingkahlakunya.

Syura adalah perkataan Arab yang membawa makna bermesyuarat. Islam memandang tinggi permesyuaratan di dalam menyelesaikan apa jua masalah. Dari masalah yang sekecil-kecilnya hinggalah kepada masalah yang besar seperti hendak memilih pemimpin masyarakat atau pemimpin negara. Walaupun Islam tidak pernah menggariskan bagaimana suatu mesyuarat itu harus dijalankan tetapi secara kasarnya di dalam suatu mesyuarat itu mestilah ada ahli-ahli mesyuaratnya dan seorang pengerusi atau pengendali perjalanan mesyuarat. Di samping itu mestilah wujud di dalam mesyuarat itu perkara-perkara seperti penerangan, perbincangan, pandangan, cadangan, nasihat, kritikan dan akhir sekali keputusan yang muktamad hasil dari permesyuaratan tersebut. Amalan mesyuarat ini bukan sahaja meniadi budaya orang-orang Islam tetapi ia juga telah diterima oleh seluruh masyarakat antarabangsa tanpa mengira agama.

Pada pandangan saya hasil keputusan yang dibuat di dalam mesyuarat itu tidaklah semestinya perlu mendapat persetujuan ramai (majoriti) dari ahli-ahli mesyuarat. Memadailah orang yang berkuasa di dalam sesuatu mesyuarat itu sahaja membuat keputusan yang difikirkannya baik, setelah beliau mengambil kira semua pandangan dan cadangan yang diutarakan oleh ahli-ahli mesyuarat tersebut. Yang. dimaksudkan dengan orang yang berkuasa disini ialah orang yang bertanggungjawab sebagai pemimpin atau ketua. Kecualilah jika bermesyuarat untuk memilih pemimpin yana mana tidak ada sesiapa yang mempunyai kuasa di dalam mesyuarat itu maka keputusan mesyuarat bagi memilih pemimpin perlulah mendapat persetujuan majoriti ahli-ahli mesyuaratnya.

Kepimpinan di dalam Islam bermula dari unit yang terkecil. Kalau di dalam sebuah negara, kumpulan masyarakat yang terkecil ialah di peringkat kampung atau taman perumahan. Katakan kita ingin memilih pemimpin di dalam sebuah kampung maka dijemputlah semua orang-orang yang yang berminat atau ahli di dalam soal kepimpinan di dalam kampung itu untuk menghadiri mesyuarat tersebut. Biasanya orang yang benar-benar faham soal kepimpinan dan faham masalah-masalah di kampung itu adalah orang-orang yang telah lama bermastautin di kampung. itu. Dengan itu ahli-ahli mesyuarat yang hadir di hari itu memang kenal benar orang-orang yang berada di kalangan mereka, mereka tahu siapa yang bersifat amanah, jujur dan yang suka mengambil berat hal ehwal penduduk di situ. Dengan kata lain ahli-ahli mesyuarat yang hadir itu memang tahu benar siapa yang sepatutnya mereka pilih untuk memimpin kampung mereka.

Antara kelebihan memilih pemimpin secara mesyuarat ini ialah biasanya mesyuarat berjalan atas semangat ukhwah, tidak ada semangat kumpulan, puak dan tidak ada konsep berparti. Pemimpin dipilih atas persetujuan majoriti ahli mesyuarat dan ini boleh ditentukan dengan cara undian rahsia supaya tidak menyinggung mana-mana pihak. Setelah pemimpin kampung itu dipilih maka beliau bertanggungjawab pula memanggil penduduk kampung itu bermesyuarat untuk menyelesaikan sebarang masalah yang timbul di kampung itu. Seperti saya katakan diawal tadi beliau sebagai orang yang berkuasa berhak membuat sebarang keputusan di dalam semua mesyuarat yang diadakan sekalipun dengan tidak terlebih dahulu meminta persetujuan ramai.

Untuk menyelesaikan masalah yang timbul di peringkat mukim pula maka perlulah semua pemimpin-pemimpin kampung di dalam suatu mukim itu selalu mengadakan pertemuan dan mesyuarat untuk mengatasi masalah di dalam mukim itu. Begitulah seterusnya kepada peringkat yang lebih besar seperti daerah, negeri dan negara. Kalau kita gunakan konsep syura di dalam memilih pemimpin maka kita akan dapati alirannya adalah lebih kurang seperti berikut, penduduk memilih pemimpin diperingkat kampung secara mesyuarat. Pemimpin-pemimpin kampung pula bermesyuarat memilih pemimpin mukimnya. Pemimpin-pemimpin mukim pula bermesyuarat memilih pemimpin daerahnya. Pemimpin daerah bermesyuarat memilih pemimpin negerinya. Akhir sekali pemimpin-pemimpin negeri bermesyuarat untuk memilih pemimpin negara.

Kebaikan memilih pemimpin atau menyelesaikan masalah secara syura ini ialah ia dapat mengurangkan perkara-perkara negatif seperti dapat mengelakkan orang-orang yang mementingkan diri sendiri, tidak amanah dan tidak bertanggungjawab dari menjadi pemimpin, dapat juga megurangkan perbuatan umpat keji, fitnah, pertelingkahan dan perselisihan faham kerana biasanya syura berjalan atas semangat kasih sayang dan lebih membina sifatnya.

Wallahualam.

No comments:

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com