Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Tuesday, August 01, 2006

Yang Tersurat dan Tersirat pada Sekolah Jenis Kebangsaan

Semasa era sebelum dan awal negara kita merdeka dulu para pemimpin yang mewakili kaum-kaum terbesar di negara ini telah bersetuju bahasa-bahasa ibunda sesuatu kaum itu akan terus dapat dipelihara dan dikekalkan dengan cara membina sekolah-sekolah jenis kebangsaan.

Banyaklah sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil di negara ini dibina selepas kita merdeka disamping sekolah-sekolah kebangsaan. Murid-murid cina dapat belajar dalam bahasa mereka di sekolah jenis kebangsaan cina manakala murid-murid India dapat belajar dalam bahasa Tamil di sekolah jenis kebangsaan Tamil.

Pengwujudan sekolah jenis kebangsaan ini dapat kita perhatikan telah menjadi satu medium yang sungguh berkesan sekali bagi orang-orang cina di negara ini untuk dapat terus memelihara dan mengekalkan bahasa dan budaya mereka. Begitu jugalah dengan kaum India.

Nampaknya dari satu segi matlamat penubuhan sekolah jenis kebangsaan ini memang tercapai. Tetapi kalau kita lihat kesan yang kurang baik dari penubuhan sekolah jenis kebangsaan ini setelah hampir 50 tahun kita mencapai kemerdekaan, ia telah menyumbang melebarkan jurang antara kaum di negara kita.

Oleh kerana kebanyakan anak-anak orang melayu, cina dan india bersekolah di sekolah yang berasingan, telah menghalang anak-anak dari tiga kaum ini dari bergaul dan berkawan, maka semangat persahabatan antara mereka tidak dapat dipupuk. Dan kita tahu jalinan persahabatan adalah sangat penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu.

Kita percaya semasa orang tua kita mencadangkan penubuhan sekolah jenis kebangsaan dulu, mereka tidak pernah memikirkan sekolah-sekolah tersebut akan menjadi masalah kepada hubungan antara kaum di negara ini. Apa yang mereka fikirkan ketika itu hanyalah untuk memelihara bahasa dan budaya mereka sahaja.

Oleh kerana perpaduan kaum itu adalah satu perkara sangat penting bagi menjamin keamanan dan keharmonian negara ini berterusan maka pengasingan kaum melalui sekolah-sekolah jenis kebangsaan ini hendaklah kita hentikan serta merta.

Apa yang perlu kita fikirkan sekarang bagaimana kita dapat mengumpulkan anak-anak yang terdiri dari berbilang kaum ini bersekolah di sekolah yang sama dan dalam masa yang sama mereka dapat belajar bahasa dan budaya ibunda mereka bagi menjamin bahasa dan budaya mereka terus terpelihara seperti yang dihasratkan oleh nenek moyang mereka dulu.

Sesiapa saja yang cintakan negara ini perlu memikul tanggungjawab secara bersama untuk membenteras gejala perkauman di negara kita ini. Bahaya perkauman ini adalah juga sama seperti bahaya penyalahgunaan dadah yang menjadi musuh utama kita. Negara akan hancur kalau ia tidak ditangani dengan sebaik-baiknya. Huru hara akibat pergaduhan kaum mudah saja berlaku bila jurang perkauman dibiarkan melebar.

Mana-mana negara termasuk negara kita yang rakyatnya yang terdiri dari berbilang kaum sangat bergantung kepada keutuhan perpaduan antara kaum-kaum tersebut dalam menjamin kesinambungan keamanan di negara ini. Oleh itu usaha dan kegiatan yang boleh melebarkan jurang antara kaum hendaklah dibenteras dan ditegah sama sekali. Mencegah adalah lebih baik dari mengubati.

Tidak salah untuk kaum-kaum di negara ini untuk mengekalkan bahasa dan adat budaya masing-masing. Tetapi dalam keghairahan kita mengekalkan bahasa dan adat budaya kita tidaklah sepatutnya sampai mengasingkan anak-anak kita di sekolah mengikut kaum-kaum masing-masing yang akibatnya jurang perkauman di negara ini semakin melebar. Sudah menjadi pengetahuan umum sekolah yang dibina mengikut kaum ini telah banyak menyumbang kelonggaran perpaduan antara kaum di negara ini. Nampaknya kita telah mengabaikan perkara yang lebih penting iaitu perpaduan rakyat semata-mata kerana hendak menjaga bahasa dan budaya kaum kita sendiri.

Memandangkan keamanan dan keharmonian itu adalah perkara yang sangat penting, sepatutnya setiap orang mesti ada kesedaran bahawa perkara yang dapat menjamin keutuhan perpaduan kaum itulah yang lebih utama dari yang lain-lainnya.

Bandingannya samalah seperti usaha kita untuk mengekalkan harimau supaya tidak pupus, memanglah bagus tapi janganlah sampai binatang ternakan kita dan kita sendiri terancam oleh binatang buas ini sehingga boleh mengganggu keselesaan kehidupan kita sendiri.

Kekalkanlah bahasa dan budaya anak-anak ini mengikut kaum masing-masing seperti yang kita mahu tetapi jangan sekali sampai mengasingkan sekolah mereka mengikut kaum yang akibatnya hanya akan menggalakan jurang perkauman.

Halangan kepada perpaduan kaum ini kadang-kadang bertambah sukar bila isu perkauman dipolitikkan oleh ahli politik. Oleh kerana parti politik negara kita berasaskan kaum maka masing-masing parti politik cuba mencari populariti murahan menjadi hero kepada kaum masing-masing dengan membangkitkan isu perkauman.

Ahli politik yang bermatlamatkan kuasa akan mengambil kesempatan di atas segala isu untuk mereka mendapatkan kuasa. Mereka suka menangguk di air yang keruh dalam mengejar cita-cita mereka. Malah mereka tidak segan silu memperalatkan sentimen perkauman dan agama untuk meraih populariti tanpa memikirkan akibatnya kepada keharmonian kaum. Berbanding ahli politik yang ikhlas dan jujur, mereka berjuang untuk mendapatkan pembelaan dari penindasan, memperjuangkan keadilan agar dapat ditegakkan di kalangan manusia yang mungkin kebetulan terkena kepada kaumnya sendiri. Ahli politik yang ikhlas dalam perjuangan akan sentiasa diingati manusia zaman berzaman seperti Lincoln dan Ghandi.

Yang lebih buruk lagi pemisahan kaum di sekolah terus dilanjutkan di pejabat dan tempat kerja. Orang Melayu ramai bekerja di pejabat kerajaan manakala orang cina pula banyak bekerja di pejabat swasta dan berniaga. Oleh itu peluang untuk mereka menjadi kawan rapat menjadi bertambah sukar.

Langkah-langkah yang drastik perlulah diambil oleh pemimpin kita demi keamanan masa depan negara kita. Lebih baik kita hapuskan semua bentuk benih-benih perkauman ini sebelum ia mengeluarkan buah yang beracun yang boleh mengancam keselamatan kita semua. Sekalipun kita terpaksa berdepan dengan berbagai rintangan untuk menghapuskan sekolah mengikut kaum namun ianya tidaklah sesukar untuk menghadapi rusuhan kaum yang mungkin berlaku akibat jurang perkauman yang melebar.

Apalah gunanya kekayaan dan kemewahan yang dibina di atas ‘minyak’ perkauman kerana dengan sedikit percikan api saja segala yang kita bina bertahun-tahun lamanya itu akan musnah dan hilang dalam sekelip mata saja.

No comments:

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com