Tanggapan seperti ini telah meletakkan si ibu kepada status yang boleh menyebabkannya rasa terhina kalau membantu menantu perempuannya membuat kerja-kerja rumah. Apabila bersama dengan menantu perempuan tidaklah manis dipandang jika ibu mertua dibiarkan mengemas rumah dan memasak.
Akibat tanggapan masyarakat yang sedemikian maka banyaklah ibu mertua yang tidak rela menjadi ‘hamba’ kepada menantu perempuannya tetapi pada masa yang sama dia sanggup pula kerja bermatian-matian di rumah anak perempuannya sendiri.
Malah si ibu rela menjadi hamba kepada anak perempuannya dengan harapan menantu lelakinya akan berasa suka kepada anaknya kerana semua kerja-kerja rumah terurus dengan baik. Padahal yang menguruskan kerja-kerja rumah tersebut bukanlah isterinya tetapi mertuanya sendiri. Untuk menutup kelemahan anak perempuannya yang tak pandai mengurus rumah tangga si ibu sanggup menjadi ‘hamba’ kepada anaknya itu.
Sebaliknya kalau tinggal di rumah menantu perempuannya, si ibu tidak sanggup pula membantu membuat kerja-kerja rumah. Dia berasa bimbang kalau dikata orang dia menjadi hamba menantu perempuannya. Malah kalau menantunya itu tidak dapat menyempurnakan kerja-kerja rumah dengan sebaiknya maka teruklah menerima sindiran dan cercaannya seperti kata umpatan ‘tak pandai jaga laki’, ‘tak pandai ngurus rumah tangga’, ‘pemalas’ dan lain-lain lagi.
Tidaklah menjadi umpatan dan cercaan jika pasangan suami isteri yang bekerja meminta pertolongan ibu kepada isteri tersebut untuk menguruskan rumah tangga dan menjaga anak-anak mereka. Tetapi kalau diminta ibu si suami untuk mengambil tugas-tugas tersebut tentulah akan keluar kata-kata seperti ‘kau ingat aku ini orang gaji kau?’, ‘bini kau mahu bekerja suruhlah dia cari orang gaji kenapa susahkan aku pula’. Kalau anak perempuannya bersalin si ibu sanggup menjaga anak perempuannya itu sampai habis pantang tetapi kalau menantunya bersalin tidaklah sanggup untuk dia berbuat demikian.
Ibu-ibu rasa senang hati dan gembira bila suami kepada anak-anak perempuan mereka dapat mengadakan bermacam peralatan dan kelengkapan rumah untuk anak perempuan mereka. Tetapi kalau anak lelaki mereka membeli peralatan dan kelengkapan rumah untuk rumah tangganya sendiri mulalah kita dengar kata-kata tidak baik keluar dari mulut si ibu tadi seperti ‘laki takut bini’, ‘melebihkan isteri dari mak bapak’ dan lain-lain lagi yang menunjukkan rasa tidak senang hatinya apabila melihat anak lelakinya membeli perkakas rumah untuk rumah tangganya.
Apa lagilah kalau peralatan yang dibeli itu tidak pernah ada di rumah ibunya sendiri maka timbullah rasa iri di hati ibu tersebut. Perasaan iri ini timbul kerana biasanya ibu menganggap peralatan yang dibeli oleh anak lelakinya itu akan memberi kemudahan dan kesenangan kepada menantunya. Sebab itulah kalau suami kepada anak perempuannya membeli kelengkapan rumah, si ibu tidak berasa iri atau marah kerana ini akan menyenangkan atau mengembirakan anak perempuannya.
Di sini dapat kita perhatikan, si ibu tidak melihat satu unit rumah tangga itu sebagai milik suami isteri tetapi ia melihatnya sebagai milik anak perempuan sahaja, manakala suami dianggap sebagai penumpang sahaja. Bagi si ibu, rumah tangga anak lelakinya seperti tidak mempunyai apa-apa kaitan dengannya. Malah kesenangan dan kemewahan yang dimiliki oleh keluarga anak lelakinya kadang kala menambahkan rasa iri di hati si ibu.
Sementara itu terdapat juga di kalangan isteri yang bersikap buruk terhadap ibu mertuanya. Perasaan kasih suami kepada ibunya kadangkala menyebabkan si isteri berasa iri hati. Kadangkala ada dikalangan isteri yang bersikap benci kepada ibu mertuanya malah lebih jauh lagi menghasut suaminya supaya juga benci kepada si ibu tersebut dengan niat dapat melunturkan kasih suaminya terhadap ibunya. Apabila ini dapat dicapai maka kasih dan perhatian suaminya akan tertumpu kepada dirinya dan anak-anaknya sahaja.
Perkara seperti ini sering juga berlaku kepada ibu tiri. Anak tiri selalu menjadi mangsa kebencian ibu tiri kerana dia berasa iri dengan kasih sayang suaminya terhadap anak tirinya. Kadangkala layanan yang diterima oleh anak angkat jauh lebih baik dari yang diterima oleh anak tiri. Kadangkala perbuatan isteri membenci mertua ini akan memakan diri sendiri. Samalah seperti kita nak dapatkan kasih sayang Tuhan dengan membenci Nabi Muhammad. Oleh kerana Nabi Muhammad itu sangat dikasihi Allah maka bolehkah kita dapat kasih sayang Allah dengan membenci Nabi Muhammad?.
Apabila si isteri membenci mertua sebenarnya dia menambahkan kebencian suaminya kepada dirinya sendiri. Bagaimana dalamnya kasih suami kepada isteri itu bergantung juga kepada bagaimana dalamnya kasih isteri kepada mertuanya. Kisah perang antara mertua dan menantu perempuan ini tidak akan ada akhirnya selagi ibu mertua tidak mahu melayan menantu perempuannya seperti anaknya sendiri dan menantu perempuan pula tidak mahu melayan ibu mertuanya seperti ibunya sendiri.
Kalau mereka tidak mahu juga berubah sikap selagi itulah di dalam kehidupan seorang perempuan itu dia akan mengalami keadaan di mana apabila berkahwin dia menjadi musuh kepada ibu mertuanya dan apabila anak lelakinya kahwin dia akan bermusuh dengan menantunya pula.
No comments:
Post a Comment