Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Tuesday, August 01, 2006

Politik Islam

Politik yang diamalkan di negara kita hari ini adalah cara politik yang dibawa dari barat yang diambil dari tamaddun Greek di Rome yang wujud lama sebelum tamaddun Islam lahir. Melalui sistem politik inilah telah diambil kesempatan oleh sebahagian pejuang-pejuang Islam di Malaysia menggunakannya untuk memperjuangkan dan mendaulatkan agama Islam. Oleh itu tidak hairanlah wujudnya parti-parti politik Islam seperti PAS yang juga berada di bawah sistem politik ala Rome ini, maaf, saya tidaklah bermaksud untuk memperkecilkan perjuangan PAS. Perkara ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah begitulah juga keadaannya di negara-negara lain yang mengamalkan sistem politik ini seperti Pakistan, Mesir, Bangladesh, Algeria dan lain-lain lagi. Di negara-negara ini juga terdapat parti-parti politik yang mendakwa memperjuangkan Islam seperti PAS.

Sebenarnya, kita selamanya tidak akan berjaya untuk memperjuangkan agama Islam ini kalau kita mengambil pendekatan lain selain dari cara yang ditunjukkan oleh Allah melalui RasulNya Muhammad s.a.w. Kalau kita hendak berjaya dalam memperjuangkan Islam atau menegakkan Islam di muka bumi ini maka kita hendaklah menggunakan cara yang diredai Allah yang telah ditunjukkan oleh Allah melalui RasulNya itu. Rasulullah itu adalah sebaik contoh kepada umat manusia.

Cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah dalam menegakkan pemerintahan Islam adalah kaedah yang diredai Allah. Kaedah yang Allah reda, tentulah layak mendapat kemenangan. Kalau kita melihat kembali kepada perjuangan Rasulullah, ia bermula dengan mengajak manusia beriman (kalau dalam konteks Malaysia, kita kenalah mengajak secara hikmah orang Cina dan India supaya beriman) dan menghayati nilai dan akhlak yang mulia. Keutamaan perjuangan Rasulullah ialah membetulkan keimanan manusia dan membentuk akhlak mereka. Mendapatkan kuasa pemerintahan bukanlah merupakan keutamaan dalam Islam. Seperti firman Tuhan yang mafhumnya berbunyi "Tidak diturunkan Muhammad itu melainkan untuk membentuk akhlak manusia" . Itulah sebab nabi tidak diturunkan beserta dengan bala tentera dan kelengkapan perang canggih bagi membantunya mendapatkan kuasa. Malah nabi dilahirkan dan dibesarkan dalam keadaan lemah lagi yatim piatu.

Nabi pernah ditawarkan untuk menjadi Raja oleh musyrikin Mekah, kalau ikut fikiran kita bagus kalau diterima tawaran itu, kalau telah menjadi Raja sudah tentu dia berkuasa, mudahlah menyebarkan ajaran Islam malah boleh paksa orang masuk Islam. Tetapi sebaliknya nabi telah tolak tawaran itu kerana itu bukanlah cara yang Tuhan kehendaki. Nabi tidak pernah menawan jasad manusia dengan peraturan dan undang-undang. Sebaliknya nabi telah dapat menawan hati manusia dengan iman dan akhlaknya yang mulia. Tidak pernah saya dengar dalam sejarahnya orang masuk Islam kerana tertarik dengan jubah yang dipakai nabi atau tertarik dengan panjangnya janggut nabi, tetapi apa yang menarik mereka memeluk Islam kerana tersentuh dengan baik akhlak Rasullullah itu sendiri. Pernah satu ketika Rasulullah menziarah seorang musyrik yang dikhabarkan sedang sakit, padahal orang tersebut sebelum itu kerapkali meletakkan tahi di depan pintu rumah baginda. Tentu siapa saja akan tersentuh dengan kemuliaan akhlak Rasulullah ini. Kalau hendak tahu agama seseorang itu baik atau tak baik, betul atau tidak lihatlah pada akhlak pengikutnya. Akhlak pengikut mencerminkan agamanya.

Apabila hati manusia telah dapat ditawan dengan cara yang Tuhan reda, dengan sendirinya kuasa akan berada di tangan kita. Tidakkan lari gunung dikejar, berlalu awan nampaklah dia. Oleh itu janganlah kita taksub terhadap parti-parti politik yang terdapat di Malaysia ini kerana perjuangan Islam melalui parti ini bukanlah perjuangan Islam yang mengikut kaedah yang ditunjukkan oleh Allah melalui RasulNya Muhammad s.a.w. Sebaliknya kita kena ikut dan tekankan cara perjuangan Rasulullah, cara yang Tuhan reda. Pendekatan Rasul itulah yang sepatutnya menjadi keutamaan kita. Di sini bukanlah maknanya saya melarang anda sokong PAS atau UMNO, apa yang perlu dijauhkan apabila menyertai parti politik ialah perasaan taksub kepada parti. Kita kena ikut keutamaan.

Kalau Nabi Muhammad dilahirkan di zaman yang mempunyai sistem politik berparti seperti hari ini, saya tak fikir baginda juga akan menubuhkan satu parti untuk memperjuangkan agama Islam. Keahlian parti seseorang itu boleh dilucutkan pada bila-bila masa, sedangkan keahlian Islam tidak siapa yang boleh melucutkannya kecuali dia sendiri yang murtad. Bukanlah maksud saya di sini hendak menentang sistem politik berparti yang kita amalkan ini. Tetapi yang saya tak setuju bila kita menggunakannya untuk memperjuangkan Islam, kerana perjuangan Islam itu haruslah mengikut cara yang ditunjukkan Allah melalui RasulNya. Akibat dari menggunakan parti politik sebagai cara memperjuangkan Islam menyebabkan ahli parti menjadi taksub kepada benda yang tidak sepatutnya kita taksub, akhirnya umat Islam menjadi keliru dan berpecah belah. Sistem politik yang ada hari memang tidak dapat mengelakkan kita dari berbeza pendapat dan fahaman, tetapi sepatutnya tidaklah sampai umat Islam bergaduh dan berpecah belah kerananya. Sepatutnya kita hanya taksub kepada cara Rasulullah dalam memperjuangkan Islam kerana itulah satu-satunya cara perjuangan yang diredai Allah dan dijamin kejayaannya.

Kalau semua dari kita betul-betul bersungguh-sungguh dalam menghayati cara perjuangan Rasulullah ini maka insyallah di suatu masa nanti semua ahli parti di dalam MCA, MIC, UMNO, PAS, DAP dan lain-lainnya itu akan terdiri dari orang-orang yang beriman dan berakhlak mulia. Dengan sendirinya kuasa Islam itu tertegak juga akhirnya. Masa depan kita sebenarnya bergantung kepada apa yang kita pilih hari ini.

No comments:

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com