Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Wednesday, August 23, 2006

Buang Bayi

Di akhir-akhir ini berita buang bayi kerap sangat kedengaran di negara kita ini. Betapa seriusnya masalah ini sehingga pernah pihak berkuasa mecadangkan supaya bank bayi diwujudkan bagi menyelamatkan nyawa bayi yang bakal menjadi mangsa pembuangan ini. Bagaimanapun cadangan itu terpaksa dibatalkan kerana bantahan dari masyarakat dan ahli agama yang memandang pegwujudan bank bayi itu sebagai benda yang negatif dan ‘memalukan’.


Sebenarnya ibu yang melahirkan anak luar nikah ini bukannya tidak sayang kepada anaknya. Ibu mana yang tidak sayangkan anak, binatang yang tidak mempunyai akal fikiran itu pun mempunyai rasa kasih sayang terhadap anak-anaknya apatah lagi kita manusia yang diberi akal fikiran ini. Yang membuatkan ibu-ibu tersebut melahirkan anaknya secara rahsia dan kemudian membuang bayi ini adalah kerana tidak sanggup menanggung malu dan berdepan dengan masyarakat.


Perasaan malu untuk berdepan dengan masyarakat akibat perbuatan sumbangnya itu mengatasi rasa kasih sayangnya terhadap bayi yang dilahirkannya itu. Kita hanya tahu mencerca mereka sahaja bila kita melihat atau mendengar bayi-bayi yang tak berdosa itu dibuang di merata-rata tempat. Tetapi fikirkanlah kalau kita sendiri berada di tempat mereka, kita juga mungkin akan melakukan perkara yang sama kerana sememangnya tiada pilihan lain. Itu sahaja cara yang dapat menutup perasaan malu dari dihina masyarakat.


Dalam perkara membuang bayi ini kita sebagai anggota masyarakat harus juga dipersalahkan. Kita selalunya memandang hina kepada mereka yang mengandungkan anak luar nikah tetapi kita tidak pernah memandang hina kepada anak-anak muda yang bergaul bebas antara lelaki dan perempuan. Padahal pergaulan bebas inilah punca sebenar kepada masalah buang bayi ini. Kita tidak pernah melarang dan mencaci anak-anak muda kita yang bergaul bebas antara lelaki dan perempuan. Di dalam Quran, Tuhan bukan sahaja melarang perbuatan zina tetapi perkara-perkara yang mendekatkan kepada zina juga turut dilarang.


Pergaulan bebas lelaki perempuan itu adalah satu perkara yang mendekatkan kepada zina yang sepatutnya anggota masyarakat membenci dan membenterasnya secara bersungguh-sungguh. Kalau di zaman dulu terutamanya di kampong-kampong, seorang wanita berjalan seiring dengan seorang lelaki tanpa ada orang ketiga boleh dianggap salah dan dilarang, tetapi zaman sekarang kalau lelaki dan wanita berjalan berpimpin tangan atau berjalan sambil berpelukan sudah menjadi perkara biasa kepada kita.


Zaman dulu kalau ada perempuan yang melahirkan anak luar nikah memanglah wajar mereka menerima penghinaan kerana perkara-perkara yang medekatkan kepada zina itu memang dilarang dan dibenci oleh masyarakat di masa itu. Tetapi di masa ini apakah wajarnya kita untuk menghina perempuan yang melahirkan anak luar nikah ini sedangkan perkara yang mendekatkan kepada zina seperti pergaulan bebas ini kita biarkan tanpa kutukan.


Zina tidak akan berlaku jika tidak dimulakan dengan perkara-perkara yang boleh mendekatkan kepadanya. Sebelum suatu perbuatan zina itu boleh berlansung mestilah ia dimulakan dengan bunga-bunganya. Zina yang berlaku tanpa bunga zina adalah dipanggil rogol.

No comments:

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com