Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Friday, March 05, 2010

Ustaz dan Ustazah yang kaya raya

Kalau kita menyorot kembali ke zaman Nabi dan Sahabat, tidak ada para sahabat yang menjadi kaya raya kerana mengajarkan agama. Malah mereka menyebarkan agama Islam ini tanpa dibayar sebarang upah. Dengan niat mereka yang ikhlas yang hanya berharap balasan pahala dari Allah semata, daya usaha mereka itu sangat berkat, hasilnya Islam telah tersebar ke serata pelusuk dunia.

Kalau ada pun sahabat yang kaya raya di masa itu, seperti Abdul Rahman bin Auf, beliau kaya disebabkan usaha perniagaannya bukan kerana menyebarkan agama Islam.

Kalau tanpa usaha mereka yang tidak kenal penat dan tidak pernah mengharapkan balasan dunia itu, belum tentu di hari ini kita yang terletak jauh di rantau sebelah sini boleh mendapat hidayah dan cahaya Islam ini.

Tetapi sekarang kita di Malaysia ramai penceramah-penceramah agama yang kita gelar sebagai ustaz dan ustazah mencipta nama, mengalahkan artis selebriti, menerima imbuhan hingga menjadi kaya raya.

Selain dari ustaz dan ustazah yang dibayar gaji bulanan secara tetap untuk mengajar agama di sekolah, di universiti dan yang bekerja di jabatan agama, terdapat juga di kalangan mereka yang begitu glamour dan terkenal. Mereka sering keluar di radio dan TV, ramai yang meminati ceramah mereka, mereka sering dijemput untuk memberi ceramah di merata pelusuk Negara. Mereka ini begitu laris dan mendapat bayaran tinggi.

Oleh itu tidak hairanlah kalau ada ustaz dan ustazah ini menjadi kaya raya, mampu memiliki kereta mewah dan mampu membeli rumah yang tersergam indah. Dengan nama dan modal yang mereka ada itu, mereka mampu pula melebarkan kekayaan mereka dengan melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung dalam perniagaan.

Apakah wajar ustaz dan ustazah menjana kekayaan dengan menggunakan agama? Inilah soalan yang telah menjadi polimek dari zaman dahulu lagi. Ada setengah orang menyifatkan perbuatan mereka ini seperti menjual agama untuk mendapat kekayaan dan keuntungan dunia.

Apabila soalan ini diajukan kepada yang punya tubuh badan, sudah tentu mereka akan menyangkal dakwaan itu dengan memberi hujah-hujah dan dalil tersendiri, bagi mengharuskan perbuatan mereka. Oleh kerana diri mereka sendiri yang terlibat, mereka juga adalah kalangan tokoh agama, sudah tentu pendapat mereka akan menenggelamkan pendapat yang mengatakan tidak wajar mengambil upah dalam menyebarkan ajaran agama.

Kadang-kadang penonton yang mendengar ceramah mereka seperti sedang menikmati suatu hiburan. Mereka seronok mendengar kerana merasa terhibur. Mungkin oleh kerana tidak ada keberkatannya, kesannya kepada penonton tidaklah seperti yang diharapkan. Akhlak masyarakat kita terus juga merudum walau telah bertimbun ceramah dihidangkan.

Kita masih dibelenggu dengan masalah anak-anak muda yang hidup berfoya-foya, bergaul bebas, menagih dadah, membuang bayi dan merempit. Masyarakat kita juga masih jauh dari mengamalkan amalan baik, seperti tidak beradab di jalan raya, mengamalkan rasuah, tidak amanah, malas, curi tulang dan perbuatan penderaan kanak-kanak sering saja berlaku.

Bantu

Walaupun majoriti masyarakat kita telah menikmati tahap kehidupan yang agak selesa, namun masih ramai lagi yang susah dan hidup dalam lingkungan miskin. Ada di kalangan mereka ini miskin kerana mereka malas bekerja atau tidak mampu untuk bekerja disebabkan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Tetapi ada juga yang miskin kerana hasil pendapatan dari pekerjaan mereka itu kecil dan tidak cukup untuk menampung kehidupan keluarga mereka.

Sebagai orang Islam kita juga punya tanggungjawab untuk membantu golongan masyarakat kita yang miskin ini. Kalau kita beri ikan kepada mereka, kita akan dapat pahala sekali sahaja, tetapi kalau kita beri mereka joran kita akan dapat pahala setiap kali mereka menggunakan joran yang kita beri itu untuk memancing ikan.

Sentiasalah kita ingat, setiap kali kita menikmati makanan lazat di restoran mewah itu, sebenarnya masih ada orang dalam masyarakat kita sedang menikmati hidangan nasi berlaukkan telor goreng dan kicap.

Kalau kita dapat berkorban tidak membeli kereta Mercedes atau BMW untuk kegunaan kita walaupun kita mampu, sebaliknya kita menggunakan Tayota Camry yang jauh lebih murah tanpa banyak mengurangkan keselesaan itu, dan duit yang lebih itu kita sumbangkan kepada orang-orang miskin sehingga mereka dapat menukar basikal yang mereka gunakan kepada motorsikal, sudah tentu ini sangat memberi kesan besar dalam kehidupan mereka.

Apakah kurangnya sedikit keselesaan disebabkan kita tidak memakai kereta Mercedes itu sama dengan kegembiraan orang miskin ini kerana dapat memiliki motorsikal yang boleh membantu menaikkan tahap kehidupannya.

Apalah salahnya kalau kita berkorban sedikit keselesaan dengan tidak menggunakan tempat duduk kelas bisnes, tetapi cukup hanya menggunakan tempat duduk kelas ekonomi ketika menaiki kapal terbang. Dan dari duit perbezaan harga tiket itu kita sumbangkan kepada orang-orang miskin. Tentu kita akan berasa gembira, disebabkan duit kita itu, orang miskin ini dapat menukar makanannya dari lauk tempeh kepada lauk ikan kembong.

Dan apa sangatlah beza keseronokan yang kita dapat menghisap cerut yang berharga RM500 dengan cerut yang berharga RM10 sebatang. Sedangkan kalau perbezaan harga sebanyak RM490 itu disumbangkan untuk membantu belanja sekolah anak-anak orang miskin, tentu ini akan memberi makna yang sangat besar dalam kehidupan mereka.

3 comments:

mosabit said...

ini adalah hasil didikan umno selama 52 tahun.....tahniah ustat motor.....

Anonymous said...

Sorry just nak dapatkan pendapat tuan, apa yang kita nampak sekarang ini Ustaz & Ustazah kaya raya, popular macam celebriti, setiap jemputan dengan bayaran yang agak tinggi. Begitu juga dengan harta dunia yang hebat, seperti rumah besar, kereta mewah, hartabenda sana sini. Walaupun tidak lupa menderma pada yang susah, tetapi kekayaan dan kepopularan mereka kurang melambangkan pengorbanan untuk syiar dan contoh pada orang2 islam yang lain. Saya rasa mungkin kurang lagi yang mahu berkorban dengan melepaskan harta benda untuk ke jalan Allah sepenuhnya. Berceramah bagai orang yang disanjung, tapi contoh KURANG ADA. Bagaimana pandangan tuan?

Anonymous said...

setuju dengan artikel di atas.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com