Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Friday, December 10, 2010

Batu kecil mampu membunuh tentera Abrahah menurut ilmu Fizik

Kalau kita ambil satu batu yang seberat dua kilogram dan lemparkan dari bangunan setinggi 30 meter. Jika batu tersebut menghempap orang yang berjalan kaki di bawah bangunan, ia boleh menyebabkan kecederaan teruk dan kalau kena di bahagian kepala boleh membawa kepada kematian.

Jika geseran udara diabaikan, batu tersebut mencapai kelajuan sekitar 24 meter/saat ketika mencecah bumi. Kelajuan batu tersebut boleh dikira menggunakan formula; laju = graviti x masa.

Graviti bumi bersamaan 9.81 meter/saat^2 dan masa pula boleh dikira dari formula; ketinggian = (gravity x masa^2)/2.

Tenaga kinetik yang dihasilkan oleh batu tersebut bila mencecah bumi adalah sekitar 580 Joule dan boleh dikira menggunakan formula; Tenaga kinetik = (Jisim x kelajuan^2)/2.

Kesan momentum bila batu itu terhempas ke bumi pula adalah sebesar 48 Kg-m/s.
Lagi tinggi kedudukan batu tersebut ketika dilepaskan, lagi besarlah kesan kerosakan yang dibawanya.

Dalam Surah Al Fil ada diceritakan bagaimana Tuhan memusnahkan Tentera bergajah Abrahah dengan menghantar burung yang menjatuhkan batu:

“Dia mengirim kepada mereka burung berbondong-bondong melemparkan batu yang berasal dari tanah liat yang dibakar. Lalu menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan ulat.”

Sekalipun burung-burung yang dikirim oleh Tuhan itu bersaiz kecil dan tidak mampu membawa batu seberat 2 Kg, tetapi batu yang seberat 100 gram atau 0.1 Kg pun sudah mampu untuk membunuh manusia jika dilepaskan dari tempat tinggi.

Burung mampu terbang setinggi 3,000 meter dari aras laut. Jika burung yang berada setinggi 3,000 meter ini melepaskan batu seberat 0.1Kg, batu tersebut akan mencecah bumi dengan kelajuan 240 meter/saat dan menghasilkan tenaga kinetik sebesar 2,940 Joule dan momentum yang dihasilkan oleh batu sebesar itu adalah 24 Kg-m/s.

Nilai 2,940 Joule tenaga kinetik ini menyamai tenaga kinetik yang dihasilkan oleh peluru yang ditembak dari sebuah senapang (rifle). Maka tidak hairanlah kalau batu-batu yang dilemparkan oleh burung-burung yang dikirim oleh Tuhan itu telah dapat menghancurkan bala tentera bergajah Abrahah.

Kelebihan batu yang dibuat dari tanah liat yang terbakar pula, ia boleh menyerap tenaga haba dan boleh menyimpan haba dalam tempoh masa yang lama.

Semasa batu-batu itu dijatuhkan, geseran dengan udara menyebabkan batu-batu itu menjadi panas seperti dipanggang. Kepanasan batu-batu ini boleh membakar daging-daging manusia jika terkena tubuh badan mereka.

Tidak dinafikan, manusia juga telah mengambil pelajaran dari peristiwa ini untuk mencipta bom yang dilepaskan dari udara untuk menghancurkan kedudukan musuh mereka dalam peperangan.

Sunday, December 05, 2010

Ketuanan Melayu untuk faedah politik

Tidak ada kaum yang dilahirkan untuk menjadi tuan dan tidak ada juga yang dilahirkan untuk menjadi hamba.

Kalau maksud ketuanan Melayu itu menjurus untuk menjadikan kaum Melayu menjadi tuan kepada kaum-kaum yang lain di Negara ini, maka ia memang patut ditentang. Agama kita tidak pernah membenarkan ajaran yang sedemikian, kecualilah kalau orang Melayu telah tidak beriman lagi dengan agamanya Islam.

Apabila kita berkunjung ke rumah orang, kita mesti menghormati pemilik rumah itu sebagai tuan rumah. Kita tidak boleh berkelakuan mengikut suka hati kita, seperti di rumah kita sendiri, apabila berkunjung ke rumah orang. Kalau ketuanan Melayu itu sekadar kita mahu orang lain menghormati kita sebagai ‘tuan rumah’ kepada Negara ini, mungkin ada kewajarannya.

Memang orang Melayu adalah penduduk asal Negara ini, manakala kaum Cina dan kaum India adalah pekerja-pekerja yang dibawa oleh British untuk bekerja di lombong-lombong dan di ladang-ladang.

Keadaan di masa itu, kaum Cina dan India samalah seperti pendatang Indon, Bangla, Nepal dan Vietnam di masa sekarang ini. Sebagai kaum pendatang memang wajarlah mereka menghormati kaum Melayu sebagai ‘tuan’ kepada Negara ini ketika itu.

Itu kisah dulu, tetapi sekarang kita sudah lebih 50 tahun merdeka. Semua kaum, Melayu, Cina dan India adalah warga Negara atau pemilik Negara ini. Bukan sahaja orang Melayu, tetapi orang Cina dan orang India adalah juga ‘tuan rumah’ Negara ini.

Oleh itu memang sesuai kalau Presiden PKR Wan Azizah mengatakan, yang ada sekarang bukanlah ketuanan Melayu, tetapi yang lebih tepat untuk suasana sekarang ialah ‘ketuanan rakyat’. Kerana rakyat bukan sahaja meliputi orang Melayu tetapi termasuk semua warga Negara tanpa mengira kaum.

Pendatang Indon yang ada hari ini, walaupun mereka adalah rumpun Melayu, juga harus menghormati ‘tuan rumah’ Negara ini sepanjang mereka berada dan bekerja di Negara ini. Bezanya, pendatang Indon ini bukan sahaja kena menghormati orang Melayu tetapi mereka juga kena menghormati kaum Cina dan India sebagai warga Negara ini.

Konsep ketuanan Melayu yang diperjuangkan oleh UMNO itu agak kabur dan selalu dimunipulasi oleh UMNO untuk faedah politik mereka. Ada peguam UMNO melenting bila Wan Azizah mengkritik konsep ketuanan Melayu UMNO itu sehingga mendesak beliau dikenakan tindakan di bawah akta ISA.

Sebab itu jugalah kita sekeras-kerasnya menentang akta ISA yang menahan orang tanpa bicara itu. Kalau zaman keganasan kominis dulu, pengganas kominis bukan sahaja musuh UMNO tetapi adalah juga musuh Negara.

Tetapi di zaman sekarang, sukar untuk kita membezakan antara musuh UMNO dan musuh Negara. Musuh UMNO tidak semestinya musuh Negara.

Apa yang kita kesalkan ialah ISA boleh digunakan untuk menjadi senjata politik oleh parti yang berkuasa untuk menghapuskan kemaraan parti lawan.

Apakah orang yang percaya dengan proses demokrasi dan mendokong kuat amalan demokrasi seperti Wan Azizah patut disumbat dalam penjara ISA?

Tuesday, November 30, 2010

King Abdullah Saudi jadi kuda tunggangan Amerika


Sistem beraja (monarki) di Semenanjung Tanah Arab telah bermula seawal pemerintahan Khalifah Dinasti Muawiyah lagi. Muawiyah Abu Sufian telah memulakan sistem perlantikan pemimpin atau ketua negara yang berasaskan nasab keturunan beliau.

Untuk sistem yang sebegini, tidak ada cara yang boleh menurunkan ketua negara yang ‘tidak baik’ melainkan menggunakan kekerasan. Jika ada pihak yang tidak puas hati dengan raja, mereka terpaksa melakukan pemberontakkan terhadap raja. Untuk melakukan pemberontakan, mereka harus mempunyai jiwa yang berani dan nekad.

Risikonya sangat tinggi. Kalau mereka kalah, mereka sudah pasti akan dihukum bunuh, kerana mengikut fatwa ulamak raja, sesiapa yang merancang atau berkomplot menjatuhkan pemerintahan Islam, hukumannya adalah pancung kepala. Tetapi kalau mereka menang, ketua pemberontak ini akan melantik dirinya sebagai raja baru.

Sistem raja monarki bukanlah satu sistem yang baik, bakat dan nilai-nilai kepimpinan yang baik bukanlah sifat-sifat yang boleh diturunkan kepada anak. Jika anak raja itu berperangai buruk, beliau tetap juga akan menjadi raja menggantikan ayah beliau yang mangkat. Sudah tentu rakyat akan menjadi susah dan derita jika raja mereka berperangai buruk.

Raja-raja yang berperangai buruk ini bergantung kepada kekuatan tentera-tenteranya untuk mengekalkan kuasanya dari ancaman musuh dan pemberontakan. Mereka juga melantik ulamak yang setiap masa mengeluarkan fatwa bagi menyokong pemerintahan mereka. Termasuklah fatwa menghukum bunuh ke atas siapa sahaja yang menentang raja kerana dianggap sebagai menentang pemerintahan Islam.

Sehinggakan tidak ada rakyat yang berani mempersoalkan minyak yang terkandung di perut bumi negara Saudi itu adalah milik Raja Saudi. Dalil dan fatwa manakah yang mereka ambil dari ajaran Islam untuk mengatakan segala minyak yang terdapat dalam perut bumi negara Saudi itu adalah milik Raja.

Sistem demokrasi memberi peluang dan ruang kepada rakyat untuk memilih pemimpin yang terbaik untuk memimpin negara dan menurunkan pemimpin yang kurang baik tanpa berlaku pertumpahan darah dan kekerasan.

Dalam amalan demokrasi, tidak timbul lagi masalah untuk menjatuhkan pemerintahan Islam, kerana yang terbaik itu sudah pastinya Islam dan sudah pasti akan terpilih. Sebaliknya yang selalu menjadi masalah, bila orang politik menggunakan Islam untuk kepentingan politik, bukan menggunakan politik untuk kepentingan Islam.

Sekalipun Amerika mengiktiraf demokrasi sebagai amalan yang terbaik dan dikenali sebagai negara pelopor sistem demokrasi, tetapi Amerika tidak rela Saudi menjadi sebuah negara demokrasi. Malah Amerika lebih selesa jika Saudi terus diperintah secara monarki, demi kepentingan Amerika sendiri.

Bagi Amerika, lebih mudah untuk mengawal dan menguasai Raja Saudi berbanding untuk menguasai rakyat negara itu. Raja Saudi berkuasa penuh kepada rakyat baginda, dan baginda pula berada dalam genggaman Amerika. Raja Saudi ditakut-takutkan oleh Amerika dengan musuh-musuh baginda terutamanya ancaman dari negara jiran iaitu Iran.

Amerika begitu berjaya meyakinkan Raja Saudi adanya ancaman Iran terhadap kedudukan keluarga baginda sehingga sanggup meminta Amerika mengebom Iran seperti yang didedahkan oleh Wikileaks baru-baru ini. Walhal kita semua tahu, kalau pun Iran mampu membina senjata nuclear, ia bukanlah ditujukan untuk menyerang Saudi tetapi adalah untuk menghapuskan Israel.

Demi kebaikan Islam, sudah sampai masanya rakyat Saudi dicelikkan dan bertindak untuk menurunkan Raja mereka yang memerintah secara monarki itu. Hasil minyak yang melimpah ruah yang dikaut dari perut bumi Saudi itu tidak patut diserahkan bulat-bulat kepada baginda, sehingga menjadikan baginda dan kerabatnya hidup mewah dan berfoya-foya semahu mereka.

Yang lebih kita kesalkan sebagai umat Islam, Raja Saudi telah menjadi tunggangan Amerika sehingga menjadi penghalang kepada negara itu untuk membela dan membantu Palestin menentang Israel.

Saturday, November 27, 2010

UMNO pukul habis PKR


Menggunakan media elektronik dan media cetak yang dalam kawalannya, UMNO terus tidak henti-henti cuba memporak-perondakan parti PKR.

PKR amnya dan yang lebih penting lagi Anwar Ibrahim khususnya telah memberi tamparan hebat kepada UMNO sejak tahun 1998.

Kalau sebelum itu UMNO boleh ‘berbulan madu’ tanpa ada rasa gusar di setiap pilihanraya, tetapi segalanya telah berubah bila Anwar Ibrahim mengangkat bendera ‘lawan tetap lawan’ terhadap UMNO.

Dengan pidato-pidato bernas dan panasnya, Anwar Ibrahim yang didokong oleh ramai pengikutnya yang setia telah menyedarkan dan mencelikkan politik orang-orang Melayu, apatah lagi beliau mengetahui banyak rahasia UMNO kerana pernah menjadi pemimpin tertinggi UMNO satu masa dulu.

UMNO telah mencari berbagai jalan bagi memenangi semula hati rakyat agar mereka kembali menyokong UMNO seperti sebelum tahun 1998 dulu, tetapi masih terlalu ‘perlahan’ dari yang diharapkan.

Berbagai-bagai peruntukan telah diumumkan, beratus projek sudah disogokkan oleh PM Najib kepada rakyat. Sejak Mac 2008 saja sudah 13 kali pilihanraya kecil (PRK) diadakan, setiap satu PRK itu berpuluh-puluhlah projek yang UMNO janjikan selain dari projek-projek ‘mee segera’ untuk meraih undi rakyat di kawasan tersebut.

Tidak hairanlah kalau Presiden PKR Wan Azizah dalam satu ucapannya, mendakwa kerajaan UMNO telah mengeringkan wang Felda dan wang Petronas. Nampaknya UMNO telah nekad, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.

Jangan jadi macam bekas Menteri Besar Selangor Khir Toyo yang menyesal tak sudah itu. Menyesal kerana tidak mengeringkan wang simpanan kerajaan Selangor yang telah terkumpul sebanyak empat billion ringgit. Manalah dia sangka Selangor boleh terlepas kepada Pakatan Rakyat.

Dengan itu UMNO telah menjadi sangat marah kepada PKR dan Anwar Ibrahim. Dicarilah segala jalan untuk menghancurkan PKR dan Anwar. Bermacam-macam cara telah UMNO lakukan. Boleh dikatakan, hari-hari ada saja berita yang memburuk-burukkan PKR dan Anwar dalam TV3 dan Utusan Malaysia.

Kesalahan dan kesilapan yang kecil atau masalah yang remeh, mereka besar-besarkan agar PKR dan Anwar dilihat jahat dan buruk oleh orang ramai.

PKR dan Anwar betul-betul jadi pengacau dan menyusahkan hidup UMNO, mereka tidak boleh lagi hidup senang dan jadi kaya raya dengan hanya makan duit komisyen dan hasil permit. Mereka juga tidak lagi mudah nak ambil duit rasuah walaupun untuk kegunaan parti. Semuanya akan ditanya dan disoal.

Tetapi nasib baik SPRM, peguam Negara dan makamah masih ‘dikuasai’ oleh pemimpin UMNO, bolehlah mereka rasa selamat sedikit, itupun kena baik dengan PM Najib.

Jalan yang paling selamat untuk UMNO untuk terus mengekalkan kuasa ialah dengan memukul habis-habisan PKR dan Anwar hingga hancur.

Dengan berniat jahat, UMNO begitu bersungguh-sungguh mengaitkan Anwar Ibrahim sebagai talibarut Amerika apabila pemimpin negara itu membela Anwar, sebaliknya tidak pernah pula terpacul dari mulut mereka untuk menuduh Aung San Suu Kyi sebagai talibarut Amerika bila pemimpin negara itu membela Aung San Suu Kyi.

Wednesday, November 24, 2010

Parti politik baru Datuk Zaid Ibrahim

Rasa tidak puas hati orang-orang Melayu dengan gagasan Malayan Union telah dapat menyatupadukan orang-orang Melayu seluruh Semenanjung bagi menentang gagasan tersebut.

Orang Melayu di bawah pimpinan Datuk Onn Jaafar melihat gagasan Malayan Union telah menghakis kuasa politik orang Melayu dan merendahkan kedudukan Raja-raja Melayu yang menjadi payung kepada orang-orang Melayu ketika itu.

Orang-orang Melayu telah menunjukkan kesatuannya di bawah satu wadah yang dinamakan UMNO bagi menentang Malayan Union.

Malayan Union adalah merupakan titik tolak penubuhan entiti politik Melayu yang dinamakan UMNO.

Peranan UMNO tidak berhenti setelah Malayan Union berjaya dimansuhkan tetapi pemimpin-pemimpinnya terus mengemudi UMNO sebagai wadah untuk menuntut kemerdekaan Tanah Melayu dari penjajahan British.

Oleh kerana kebanyakan negara-negara Asia ketika itu di ambang menuntut kemerdekaan dari penjajah-penjajah barat, pemimpin-pemimpin UMNO juga tidak melepaskan peluang ini untuk menggerakkan UMNO kepada agenda yang lebih besar iaitu menuntut kemerdekaan. Dari slogan ‘hidup Melayu’ telah bertukar kepada slogan ‘merdeka’.

Untuk menubuhkan suatu parti politik yang baru memerlukan satu isu yang besar yang mampu menarik perhatian seluruh rakyat jelata, seperti penubuhan UMNO adalah ekoran isu besar Malayan Union.

Isu Anwar Ibrahim pada tahun 1998 juga adalah satu isu besar yang telah menarik perhatian rakyat negara ini, malah juga diikuti dengan penuh minat oleh dunia luar.

Isu Anwar Ibrahim telah dikaitkan dengan tempangnya sistem keadilan negara kita. Makamah dan polis telah dihidu oleh rakyat menjadi tunggangan politik pemimpin yang berkuasa. Badan pencegah rasuah telah dijadikan seperti senjata politik dengan melakukan pendakwaan berpilih-pilih.

Bukan sahaja rakyat yang berpendidikan tinggi dapat menilai bagaimana makamah dan polis telah diperkudakan untuk tujuan politik, malah orang yang tinggal di ceruk kampung pun sedar akan hal ini.

Ini bukan soal Anwar bersalah atau tidak, tetapi lebih kepada soal jentera dan alat kerajaan yang telah disalah gunakan oleh pihak yang berkuasa untuk kepentingan agenda politik mereka.

Permintaan kepada sistem makamah yang adil dan polis yang bebas sangat mendesak ketika itu. Ramai rakyat melihat perlunya reformasi kepada sistem makamah dan penguatkuasa negara ini dilakukan. Bagi memenuhi kehendak rakyat itu, tertubuhlah satu entiti politik yang dinamakan Parti Keadilan (ADIL).

Bersama-sama parti pembangkang yang lain, terutamanya PAS dan DAP, Parti Keadilan telah menganjurkan banyak demontrasi jalanan atas slogan reformasi.

Kesan dari asakan bertubi-tubi demontrasi jalanan ini telah membawa pengunduran Tun Mahathir dari tampuk kuasa dan berkesudahan dengan pembebasan Anwar Ibrahim dari penjara oleh PM Pak Lah yang menggantikan Tun Mahathir.

Pembebasan Anwar Ibrahim telah melegakan orang ramai yang bersimpati dengannya, selepas Anwar dibebaskan, parti Keadilan terus memainkan peranannya sebagai ‘check and balance’kepada kerajaan yang memerintah, terutamanya dalam menentukan urus tadbir negara yang baik. Teguran dan kritikan terus dilemparkan kepada kredibiliti badan-badan penguat kuasa seperti polis dan pencegahan rasuah.

Dalam masa yang sama, Zaid Ibrahim adalah ahli politik yang berpengaruh dalam parti UMNO bercita-cita besar untuk melakukan reformasi kepada amalan demokrasi dan urus tadbir yang baik. Peluang yang diberikan oleh PM Pak Lah kepada Zaid Ibrahim untuk menyertai kabinetnya bagaikan pucuk dicita ulam mendatang. Pak Lah telah memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Zaid untuk melakukan reformasi terutamanya dalam badan kehakiman, perundangan dan badan penguat kuasa seperti polis dan pencegahan rasuah.

Malangnya Zaid Ibrahim yang terlalu idealistik itu tidak dapat diterima oleh rakan-rakan dalam UMNO, terutamanya bila Zaid menentang dan berhasrat untuk menghapuskan ISA. Zaid rasa keciwa dengan sikap pemimpin-pemimpin UMNO yang tidak mahu menyokong agenda beliau. Akhirnya Zaid Ibrahim dipecat dari UMNO dan beliau mengambil keputusan untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) setelah beliau yakin dapat memperjuangkan cita-citanya secara lebih berkesan melalui parti politik tersebut.

Bila berada dalam PKR, sekali lagi Zaid keciwa, apa yang beliau lihat hanyalah indah khabar dari rupa. Tidak seperti ahli-ahli reformasi yang lain, Zaid tidak mahu parti PKR sekadar untuk membela Anwar Ibrahim tetapi mahu ia menjadi parti yang beragenda lebih besar terutama dalam melakukan reformasi kepada amalan demokrasi yang bebas, adil dan telus, mahu melihat Negara diurus tadbir dengan baik, yang mengutamakan integriti, badan perundangan dan makamah yang bebas dari menjadi tunggangan pemimpin politik. Juga mahukan badan penguatkuasa yang bebas dan adil.

Selepas keluar dari PKR, mampukah Zaid meraih simpati rakyat Malaysia untuk menyertai parti baru yang bakal beliau tubuhkan nanti? Saya tidak yakin ramai orang akan menyertai parti politik Zaid, kerana parti baru hanya akan mendapat tarikan ramai jika ada isu yang besar seperti isu Malayan Union dan isu Anwar Ibrahim.

Isu Zaid dipecat dan keluar PKR bukanlah isu yang besar, walaupun Zaid mempunyai agenda yang besar yang patut disokong, tetapi ia tidak cukup untuk menarik ramai orang untuk menyertai parti baru yang bakal beliau tubuhkan itu.

Zaid keciwa kerana parti PKR ditadbir secara tidak tersusun dan lemah. Zaid mendakwa cara pemilihan dalam PKR tidak bersih dan membelakangkan amalan demokrasi tulen dan tidak ada integriti.

Mungkin benar dakwaan Zaid itu, tetapi kita kena ingat, orang menjadi baik bukan disebabkan masuk parti. Sekalipun Zaid ingin menubuhkan parti politiknya sendiri untuk mengelakkan perkara kotor ini berlaku, tetapi bolehkah beliau pastikan semua ahli partinya akan jadi baik macam dia juga?

Sepatutnya Zaid perlu bersama pemimpin lain memperbaiki parti PKR supaya betul-betul menjadi parti impian setiap rakyat Malaysia, bukan dengan memencilkan diri sehingga tidak mampu untuk mengubah apa-apa.

Sunday, November 14, 2010

PKR, parti cantik, dikuasai oleh orang tolol

Tidak boleh dinafikan, parti PKR adalah parti yang cantik, yang masa kehadirannya sangat sesuai dengan realiti masyarakat Malaysia hari ini. Parti PKR bukan parti yang berasaskan kaum, memperjuangkan keadilan dan menolak segala kepincangan yang berlaku dalam pentadbiran Negara.

Kehadiran Parti PKR seperti menjanjikan harapan baru kepada rakyat Malaysia. Tetapi dengan perkembangan mutakhir yang melanda parti itu, kelihatan ia seperti indah khabar dari rupa.
Semasa zaman kemuncaknya pada tahun 1998, bilangan ahlinya memang ramai, di masa itu ramai rakyat Malaysia telah menjadi ahli parti PKR bagi menunjukkan sokongan mereka kepada DS Anwar Ibrahim di atas pemecatannya dari kerajaan dan UMNO, dan juga dihukum penjara yang bermotifkan politik.

Ahli-ahli reformasi yang giat mengadakan demonstrasi bagi membebaskan Anwar Ibrahim dari penjara rasa begitu gembira apabila beliau dibebaskan oleh Pak Lah yang mengambil alih jawatan PM dari Tun Mahathir.

Selepas itu, walaupun terus menyokong PKR, ramai ahli-ahli reformasi tidak lagi aktif dengan kegiatan parti PKR dan keahlian mereka dengan sendirinya terbatal setelah tidak lagi membayar yuran keahlian.

Akhirnya yang terus tinggal aktif dalam PKR, kebanyakannya hanyalah orang-orang yang berminat dengan politik bagi mendapat jawatan, kuasa dan kepentingan diri sahaja.
Tidak keterlaluan kalau dikatakan, PKR hari ini bukanlah lagi dikendalikan oleh ahli-ahli reformasi yang telah berjuang dengan ikhlas bagi menegakkan keadilan, tanpa mengharapkan apa-apa habuan dan balasan.

Tidak hairanlah kalau dalam parti PKR hari ini seperti yang didakwa oleh Datuk Zaid Ibrahim, penuh dengan penipuan, permainan kotor, tidak telus dan langsung tidak mencerminkan perjuangan sebenar parti tersebut.

Parti PKR telah dikuasai oleh orang-orang ‘tolol’ yang gilakan jawatan, kuasa dan mencari kepentingan diri.

Mungkin mereka inilah juga yang dimaksudkan oleh saudara Zulkifli Nordin (ahli PKR yang dipecat) sebagai Napoleon Kecil, membelakangkan amalan demokrasi tulen demi menjayakan agenda peribadi mereka.

Mereka merasakan, dengan menggunakan taktik kotor dan penipuan, mereka boleh menang dalam pemilihan pusat PKR. Tetapi mereka lupa, tindakan mereka itu amat menjijikan, dan akan menyebabkan orang ramai menjauhkan diri dari terus memberi sokongan kepada parti PKR.

Buat apalah mereka berasa bangga kerana menang besar dalam pemilihan parti PKR, tetapi parti PKR menjadi lemah kerana tidak mendapat sokongan orang ramai.

Kalau dalam menguruskan parti pun mereka tidak mempunyai integriti, tidak bersih, tidak bebas, tidak telus dan tidak adil, bolehkah kita meletakkan harapan kepada mereka untuk memimpin Malaysia lebih baik dari pemerintahan yang ada sekarang?

Sunday, November 07, 2010

Tangan syaitan Nik Aziz, satu penglihatan yang kasyaf


Suatu masa dulu kita biasa mendengar fatwa dari pemimpin PAS yang mengatakan UMNO itu kafir. Dan yang terbaru ini pula kita digemparkan dengan penglihatan kasyaf Ustaz Mohd Nor Idris (bekas calon UMNO) yang mengatakan tangan Nik Aziz macam tangan syaitan yang tidak boleh disambut salamnya.

Nampaknya masyarakat kita masih belum dapat belajar dari sejarah silam, mereka mahu mengambil kerja Tuhan, menghukum sesiapa saja mengikut kehendak mereka. Untuk menghukum seseorang yang beriman sebagai kafir dan syaitan bukanlah kerja manusia.

Mereka yang bertelagah ini telah cuba mencari kebenaran melalui politik. Saya percaya, sampai bila pun mereka yang berbalah ini tidak dapat mencari kebenaran melalui politik. Kebenaran hanya boleh ditemui melalui agama.

Platform politik adalah untuk mencari kuasa dan mencari orang yang terbaik untuk menjadi pemimpin, bukan untuk mencari kebenaran. ‘Kebenaran’ yang dipaksakan menggunakan kuasa adalah kebenaran yang palsu. Walaupun telah menjadi kebiasaan di zaman ini, siapa yang berkuasa, dialah pihak yang dianggap benar, tetapi ini bukanlah perkara yang betul.

Tuhan yang Maha berkuasa pun tidak pernah memaksa manusia patuh kepadaNya, walaupun Dia boleh melakukannya.

Lihatlah kepada isi Al Quran, mesej utama yang ingin disampaikan ialah mengajak manusia memurnikan keimanan kepada Allah dengan menghindari syirik. Selepas itu kita diajak untuk melakukan kebaikan (amal soleh). Sedangkan mencari kuasa politik bukanlah perkara utama yang ditekankan dalam Quran.

Kalaulah sistem pemilihan pemimpin secara demokrasi seperti yang ada hari ini wujud semasa berlaku perebutan jawatan khalifah antara Saidina Ali bin Abi Talib dan Muawiyah bin Abu Sufiyan satu ketika dulu, tentulah tidak akan sampai wujud satu lagi mazhab yang dinamakan Syiah seperti yang ada hari ini.

Punca masalahnya ketika itu hanyalah untuk memilih pemimpin sahaja, tetapi telah meleret-leret bertukar menjadi medan mencari kebenaran. Sebenarnya, samada Saidina Ali atau pun Muawiyah yang menjadi khalifah, ajaran Islam tetap tidak akan berubah. Tetapi apabila ia telah bertukar menjadi medan mencari kebenaran, maka timbullah fatwa-fatwa dan hadis-hadis palsu yang digunakan untuk menyokong pihak-pihak yang bersengketa.

Akhirnya timbul mazhab baru bagi memperkukuh sokongan politik kepada pihak mereka. Sehingga siapa yang patut menjadi pemimpin pun telah menjadi seperti salah satu rukun iman kepada mereka.

Kita tidak boleh memutar roda masa untuk membetulkan keadaan yang telah berlaku. Tetapi kita boleh mengambil pelajaran darinya dan tidak mengulangi kesilapan yang telah berlaku itu. Dua peristiwa yang saya sebutkan di awal tadi, mengkafirkan orang Islam dan menuduh syaitan kepada orang Islam, menunjukkan kita tidak pernah belajar dari sejarah.

Janganlah kita terlalu emosional dalam politik sehingga kita sanggup mengeluarkan fatwa yang bukan-bukan kepada musuh politik kita. Jadikanlah politik sebagai wadah untuk memilih pemipin yang terbaik antara kita, bukan medan untuk mencari kebenaran.

Contohilah kualiti kepimpinan panglima Salahudin Al Ayubi (Saladin), beliau sentiasa menunjukkan sikap baiknya terhadap musuhnya walaupun kafir harbi. Tidak hairanlah beliau sangat dihormati dan disanjung tinggi oleh kawan dan lawan. Kalau kafir harbi pun kita boleh bersikap baik, apatah lagi dengan kafir zimmi.

Apapun, tolak kata-kata nista yang dihamburkan, saya masih tertarik dengan perbincangan hangat antara Tuan Guru Nik Aziz dan Ustaz Mohd Nor ini, kerana ia mempamerkan kematangan dan kefahaman demokrasi dalam masyarakat kita, khususnya di Kelantan. Di mana kita bebas untuk bersuara dan meluahkan rasa tidak puas hati kita kepada siapa saja, termasuk pemimpin tertinggi, tanpa rasa takut dan bimbang.

Kalau zaman Tun Mahathir dulu, mungkin ada yang dah lebam biji mata. Atau kalau 600 tahun dahulu, zaman Raja Melaka, mungkin ada kepala yang dah kena penggal.

Saturday, November 06, 2010

Negara Dadah


Kalau kita masih ingat cerita dalam filem Zombie pada sekitar tahun 1979, dalam cerita itu, seorang demi seorang dijangkiti penyakit ‘zombie’, mayat hidup, mereka menjadikan orang-orang yang masih sihat sebagai mangsa mereka.

Dalam filem yang suspen itu, kita disergah dan dikejutkan dengan insiden di mana rakan-rakan, ahli keluarga dan saudara-mara kita sendiri, yang kita amat percaya, tiba-tiba bertukar menjadi zombie.

Zombie berlaku dalam filem untuk hiburan kita, tetapi penagih dadah pula berlaku dalam dunia nyata kita. Seperti zombie, penagih dadah juga umpama mayat hidup, berfikiran tidak normal, mereka menjadikan orang-orang sihat sebagai mangsa untuk meneruskan kehidupan mereka.

Hari-hari penagih dadah akan berusaha dengan berbagai cara merekrut ahli-ahli baru dengan tujuan dapat menjual dadah kepada penagih-penagih baru. Dengan duit keuntungan menjual dadah itu dapat pula membeli keperluan dadah mereka sendiri.

Malah mereka juga sanggup pecah amanah, mencuri, meragut, pecah rumah dan membunuh siapa saja bila terdesak untuk mendapat duit bagi membeli keperluan dadah mereka.

Banyak perbelanjaan kerajaan dihabiskan untuk menampung penagih dadah di pusat-pusat serenti untuk proses pemulihan. Itu pun bukan semua penagih-penagih dimasukkan di sana. Kalau hendak sumbatkan semua penagih-penagih dadah dalam pusat-pusat serenti yang ada memang tidak cukup tempat.

Dari statistik jumlah dadah yang dapat ditangkap di pintu keluar masuk negara ini, sangatlah besar. Ini mencerminkan betapa ramainya dan banyaknya dadah diperlukan oleh penduduk negara ini. Itu belum termasuk dadah yang gagal dikesan ketika dibawa masuk dan dadah yang diseludup melalui ‘laluan tikus’.

Kelemahan penguatkuasa kita dalam menangani masalah dadah ini juga adalah faktor yang menyukarkan untuk membenteras masalah kemasukan dan penyalahgunaan dadah ini.

Malah biasa sangat kita dengar, ada orang-orang yang mempunyai kedudukan tinggi dan berpengaruh dalam masyarakat melindungi kegiatan-kegiatan perdagangan dadah ini.

Amatlah keji perbuatan kita kalau menjadikan perdagangan dadah atau sengaja bersubahat dengan pengedar-pengedar dadah untuk memperkayakan diri kita. Mereka ini sebenarnya adalah pengkhianat bangsa yang tidak dapat dimaafkan.

Mungkin mereka berfikir, yang penting mereka dapat hidup mewah dan kaya raya, dan mereka tidak peduli kalau anak cucu mereka akan dijangkiti penyakit dadah satu masa nanti, kerana mereka beranggapan di waktu itu mereka sudah tidak ada lagi di dunia ini.

Keadaan masalah dadah dalam negara kita ini seperti api yang telah marak, sikap kita yang membiarkannya semasa api masih kecil, telah membuatkan ia semakin marak dan membesar, akhirnya kita tidak mampu lagi untuk memadamkannya. PEMADAM pun tidak berdaya untuk memadamnya.

Pernah juga berlaku di mana kes dadah yang telah dapat diserbu, hilang dalam jagaan pihak polis. Ada juga pegawai-pegawai polis yang terliur dengan duit dadah yang lumayan hingga sanggup menyeludupkan keluar dadah tersebut dari balai polis. Kira harapkan pagar tetapi pagar tidak boleh harap.

Rokok adalah pintu kepada dadah. Walupun tidak semua perokok akan menghisap dadah, tetapi hampir semua penagih dadah adalah berasal dari perokok. Tidak hairanlah kalau penagih-penagih dadah menggunakan strategi terancang menggalakkan budak-budak sekolah seramai yang mungkin untuk berjinak-jinak dengan rokok.

Mereka tahu budak-budak sekolah yang menghisap rokok inilah yang akan menjadi pasaran utama perniagaan dadah mereka di masa depan.

Anak muda yang terlalu menginginkan hiburan yang melampau, akhirnya terjerumus dalam penyalahgunaan dadah. Mereka ini tidak pernah puas dengan hiburan yang biasa, mereka mahu mencuba hiburan yang lebih menyeronokkan dari yang biasa mereka dapat. Dadah dapat memenuhi kehendak mereka itu.

Kalau zaman kanak-kanak saya dulu, dapat menonton TV di rumah jiran sekali sekala pun sudah rasa seronok, tetapi anak-anak kita hari ini, berbagai saluran TV boleh ditonton di rumah sendiri, selain dari itu mereka boleh tengok VCD dan DVD, dan berbagai bahan hiburan boleh didapati melalui internet.

Hiburan yang sukar saya boleh dapat di zaman dulu sudah menjadi perkara biasa di zaman ini. Anak-anak muda mula mencari kelainan dan mencari hiburan yang lebih menyeronokkan dari yang biasa mereka dapat.

Dikatakan, apabila mereka mengambil dadah, mereka akan jadi khayal atau lalok, dalam khayalan itu mereka menemui kehidupan yang amat menyeronokkan, mereka menjadi raja tinggal di dalam istana yang penuh kemewahan dan di dampingi berpuluh-puluh bidadari.

Kalau di alam nyata kita memerlukan beratus juta ringgit untuk menikmati kehidupan mewah seperti itu, tetapi mereka masih boleh merasakan kehidupan seperti itu menggunakan bantuan dadah dengan hanya membayar beberapa puluh ringgit diperlukan untuk membeli dadah.

Mungkin di zaman teknologi canggih ini, tidak mustahil ada pihak yang boleh mencipta dadah mengikut impian penagih-penagih dadah. Samada kita hendak mengkhayal kehidupan menjadi orang kaya, mengkhayal kehidupan yang di kelilingi bidadari, atau mengkhayal kehidupan di taman-taman indah yang penuh dengan makanan yang lazat, semuanya boleh dipilih mengikut jenis dadah yang kita ambil.

Langkah PM Najib hendak menjadikan negara kita sebagai pangkalan utama hiburan di kawasan Asia Tenggara untuk menarik lebih ramai pelancung ke negara ini seolah-olah seperti membukakan ruang yang lebih besar kepada aktiviti penyalah gunaan dadah. Tidak dapat dinafikan, pusat-pusat hiburan dengan kegiatan dadah memang sudah sinonim.

Untung yang mungkin kita dapat dari industri hiburan ini tidak berbaloi dengan belanja yang digunakan oleh kerajaan untuk membasmi dadah dan belanja untuk memulihkan penagih-penagih dadah. Itu belum lagi termasuk kerugian yang kita dapat dari keruntuhan akhlak hasil dari aktiviti hiburan tanpa batas ini.

Seperti kita perlu kepada makanan, kita juga perlukan kepada hiburan, tetapi kalau sudah berlebihan dan tanpa batas, ia boleh membawa mudarat kepada diri dan masyarakat kita. Masalahnya, kita mungkin akan berhenti makan bila sudah terlalu kenyang, tetapi manusia tidak pernah puas untuk menikmati hiburan.
Masa tahun 70an dulu, kita hanya dengar satu atau dua orang anak muda dalam kampung kita yang hisap ganja atau dadah. Setelah beberapa lama kemudian, adalah perkara biasa pula kalau ada antara saudara mara kita yang menjadi penagih dadah. Dan mungkin pada masa depan, akan menjadi perkara biasa pula kalau keluarga kita sendiri atau anak kita sendiri ada yang jadi penagih dadah.

Bolehkah kita dan keluarga kita selamat dari ancaman penyakit dadah ini? Apabila semua orang telah dijangkiti oleh penyakit dadah, akhirnya negara akan dikuasai oleh penagih-penagih dadah. Begitulah akhirnya kisah cerita dalam sebuah filem Zombie yang pernah saya tonton satu masa dulu. Zombie telah berada di merata tempat dan menguasai semuanya.

Thursday, November 04, 2010

Pakatan Rakyat perlu anjakan baru

Mungkin pihak Pakatan Rakyat boleh memberikan berbagai alasan dengan menyalahkan BN di atas kekalahan mereka dalam pilihanraya kecil di Galas dan Batu Sapi pada hari ini (4 November 2010). Tetapi mereka juga harus mengambil serius pandangan dan kritikan ikhlas Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (bekas Mufti Perlis) tentang politik negara kita. Berikut adalah pandangan beliau tersebut yang saya salin semula dari blog beliau:

Politik Kita Memerlukan Anjakan Baru
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Saya rasa politik kita memerlukan nafas baru. Seperti mana UMNO memperkatakan keperluan anjakan baru dalam politik mereka, demikian saya fikir pihak pembangkang pun perlu mula memperkatakan hal yang sama. Saya seperti kebanyakan rakyat marhaen yang hanya ingin melihat kesejahteraan negara berteraskan kerajaan yang amanah dan pembangkang yang berkualiti. Sudah banyak diperkatakan, dikritik dan diulas mengenai kerajaan hari ini. Kita jangan lupa pembangkang juga perlu untuk diberikan penilaian tentang peranan mereka yang diberi amanah dalam Parlimen kita. Ini kerana dalam konteks politik kita kualiti kerajaan dan pembangkang menjaga kemaslahatan negara. Ada beberapa perkara yang mungkin perlu dinilai:

1. Kita perlu politik idea iaitu politik yang berteraskan kebijaksanaan dan pemikiran yang bernas dalam memajukan masyarakat dan negara. Kita tidak mahu politik sekadar kutuk-mengutuk, maki-memaki dan hina menghina tanpa sebarang cadangan yang membina dan memajukan pemikiran rakyat. Kita mahu ahli-ahli politik kita berkualiti sehingga kita rasa mereka layak mewakili kita atas kebolehan kepimpinanan mereka yang berteras ilmu dan budi.

2. Justeru, politik kita memerlukan watak-watak baru yang bernas, matang dan tangkas. Mereka yang disifatkan oleh sarjana politik Islam sebagai mempunyai ‘al-quwwah’ (kemampuan) dan al-Amanah (amanah). Mereka yang berteraskan politik idea dan nilai, bukan politik duit, atau politik taukeh. MAKA, semua ahli politik yang merasakan zaman mereka sudah habis, berilah laluan kepada mereka yang baru demi untuk kebaikan rakyat. Samada di pihak pembangkang ataupun kerajaan, hal yang sama mesti dilakukan. Ramai pelakon veteran sudah tidak sesuai menjadi ‘hero’ dalam pentas baru politik hari ini. Biarlah mereka tersimpan dalam diari sejarah politik kita dengan kadar sumbangan yang telah dibuat. Jika Tun Abdulllah pun bersara, makin mereka yang ‘sewaktu’ dengannya dalam pembangkang pun perlu bersara. Kata-kata Prof A. Aziz Bari mungkin patut dinilai semula.

3. Di samping menghormati sumbangan, saya rasa Ketua Pembangkang DSAI, sudah sampai masanya untuk bersara ‘politik’. Sudah banyak rentak tari politiknya yang makin tidak ‘seimbang’. Zamannya mungkin makin menyusur pergi. Saya tidak fikir generasi baru terus bertahan untuk melihat ‘story-design’ politik yang sama. Berilah peluang untuk beliau berundur dengan aman. Demi untuk mewujudkan pembangkang yang lebih berkualiti dan berkesan. Saya rasa beliau perlu menerima hakikat ini. Demikian setiap kita ada hari datang dan hari pergi. Biarlah kita datang disambut mesra, dan kita pergi diucapkan terima kasih dan hormat, bukan dipaksa keluar.

Maaf atas pandangan ini. Saya insyaAllah, tiada apa-apa kepentingan kedudukan ataupun jawatan atas pandangan yang seperti ini. Saya tahu sesetengah pembangkang cepat ‘melenting’ jika ada pandangan yang mereka tidak setuju. Namun, mereka kena ingat banyak pandangan yang saya tajam terhadap kerajaan, alhamdulillah mereka tidak melenting, sebaliknya berinteraksi dengan baik.

Monday, November 01, 2010

Semakin ramai penumpang bas terbunuh kerana nak kejar untung


Persaingan yang sengit antara pengusaha-pengusaha syarikat bas, dan dalam masa yang sama mereka ingin membuat keuntungan yang maksimum, akhirnya nyawa orang awam menjadi korban.

Gara-gara hendak mencari untung berlebihan, banyak syarikat bas tidak memperdulikan ciri- ciri keselamatan bas mereka.

Mereka cuba mendapatkan untung yang banyak dengan cara mengurangkan kos operasi walaupun sikap itu boleh mengancam nyawa dan keselamatan penumpang dan orang awam.

Bas tidak diselenggara dengan baik dan sempurna. Penyenggaraan bas memakan belanja yang besar, oleh itu pengusaha cuba menjimatkan perbelanjaannya dengan mengurangkan atau meminimumkan penyengaraan dan pembaikpulihan bas-bas mereka.

Mereka juga mengurangkan kos operasi syarikat dengan menawarkan gaji asas yang murah kepada pemandu-pemandu bas mereka.

Tidak hairanlah kalau pemandu-pemandu yang pernah berkali-kali melakukan kesalahan trafik dan disiplin pun masih diambil untuk bekerja. Mengambil pemandu tangkap muat ini mencerminkan sikap tamak pengusaha-pengusaha bas.

Gaji pemandu bas yang rendah memaksa mereka membuat kerja lebih dari yang sepatutnya. Apabila mereka membuat banyak kerja lebih masa, ini boleh menyebabkan mereka mengantuk dan keletihan. Ramai juga pemandu bas yang dikesan menggunakan bantuan dadah untuk mengatasi masalah keletihan dan rasa mengantuk.

Pada 29 Oktober 2010 yang lalu, tujuh orang terbunuh di KM38 Genting Sempah bila bas yang mereka naiki terbabas dan terbalik akibat kegagalan brek bas berfungsi. Dan tidak sampai dua bulan sebelum itu 13 orang telah terbunuh bila bas Syarikat Delima yang dipandu laju hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik.

Kita ada berbagai badan penguatkuasa seperti polis trafik, JPJ, LPKP dan PUSPAKOM yang diberi tugas memantau supaya syarikat-syarikat bas sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang bagi menjamin keselamatan pengguna dan orang awam. Tetapi setakat ini, kewujudan badan-badan penguat kuasa ini seperti tidak memberi kesan kepada masalah ini.

Mungkin mereka mempunyai mentaliti bekerja untuk makan gaji saja, bukan kerja untuk membuat kerja. Kalau masa dulu bila kita tanya kanak-kanak, kenapa mereka mahu menjadi doktor, mereka jawab hendak menolong mengubati atau memulihkan orang sakit. Kenapa mereka mahu menjadi guru, mereka jawab hendak mendidik orang menjadi pandai. Kenapa mereka mahu menjadi polis, mereka jawab untuk menangkap orang jahat.

Tetapi di zaman ini, tidak banyak lagi kita jumpa jawapan seperti itu, sebaliknya kerja adalah untuk dapat duit gaji bulan-bulan, soal buat kerja atau tidak itu masalah kedua.

Kalau kita pergi ke Setesen Bas Bukit Jalil hari ini, kita akan dikerumuni oleh ulat-ulat tiket yang secara agresif menawarkan perkhidmatan mereka. Kehadiran ulat-ulat tiket amat merimaskan pengguna-pengguna bas di sana. Yang peliknya, perbuatan mereka itu berlaku di depan pegawai-pegawai polis dan JPJ yang duduk tercongok berkawal di situ.

Kalau masalah ulat-ulat tiket yang lekeh inipun badan-badan penguat kuasa ini pun tidak mampu menyelesaikannya, bagaimana kita hendak harapkan untuk mereka menyelesaikan pengusaha-pengusaha syarikat bas yang melanggar peraturan dan undang-undang.

Benarlah kata orang, negara kita mempunyai kemudahan taraf kelas pertama dunia, tetapi mentaliti orang-orang kita masih berada di kelas ketiga. Negara kita disasarkan akan mencapai taraf Negara maju dalam masa kurang dari 10 tahun lagi, tetapi perkhidmatan syarikat-syarikat bas kita masih sama tahap dengan negara-negara membangun yang lain.

Pemandu-pemandu bas Negara kita harus diberi perhatian yang serius, kadar gaji mereka perlu dilihat semula supaya orang-orang yang betul-betul layak dan sesuai mahu bekerja menjadi pemandu. Pemandu adalah merupakan orang-orang barisan depan yang pertama dilihat dan ditemui oleh pelancung. Secara tidak langsung, sikap pemandu bas mencerminkan sikap rakyat Malaysia keseluruhannya. Buruk imej pemandu bas, buruklah imej Negara.

Kalau pengurus syarikat bas boleh membawa keluarga mereka melancung dua tiga kali keluar negara yang tentunya memakan belanja yang besar hasil dari keuntungan syarikat bas yang dimilikinya, apalah salahnya kalau keuntungan yang berlebihan itu diserap untuk menaikkan gaji-gaji pemandu bas.

Pengurus-pengurus bas ini perlu ingat, yang membawa keuntungan besar kepada syarikat bas yang mereka usahakan itu adalah juga datang dari usaha keras pemandu-pemandu bas mereka juga.

Seperti kata pepatah, hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Majikan harus berlaku adil dalam membahagikan keuntungan syarikatnya kepada pekerja-pekerja mereka.

Sampai bilakah nyawa-nyawa orang ramai yang tidak bersalah terus menjadi korban semata-mata untuk memenuhi sikap tamak haloba pengusaha-pengusaha syarikat bas yang tidak bertanggung jawab ini?

Friday, October 29, 2010

Kita belum ada Pemimpin Malaysia Sejati





Sejak Negara kita merdeka, rasanya kita belum lagi menemui pemimpin Negara yang boleh termasuk dalam golongan Pemimpin Malaysia Sejati.

Kebanyakan pemimpin yang menjadi pemimpin Negara kita hari ini mahupun sebelum ini lebih dikenali sebagai pemimpin kaum sahaja.

Semua pemimpin yang pernah menjadi Perdana Menteri Negara kita adalah datang dari pemimpin parti politik yang mewakili kaum mereka. Dari Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir, Tun Abdullah dan Datuk Seri Najib, semuanya adalah pemimpin parti UMNO, parti yang memperjuangkan kepentingan orang-orang Melayu.

Pemimpin-pemimpin ini mungkin ada yang sangat disayangi oleh orang-orang Melayu tetapi belum tentu mereka juga disayangi oleh kaum-kaum lain.

Tun Razak pemimpin yang begitu mengambil berat kedudukan ekonomi orang-orang Melayu yang rata-ratanya daif di masa beliau menjadi Perdana Menteri. Orang Melayu yang hidup secukup makan hasil dari pertanian tradisional di waktu itu telah diubah dengan pembukaan tanah rancangan mega yang lebih komersial dan mampu menjana pendapatan yang lebih besar kepada setiap keluarga peneroka.

Pemergian beliau ke ramahtullah pada tahun 1976 telah ditangisi oleh hampir semua orang Melayu yang merupakan kehilangan besar dan telah banyak berjasa kepada mereka.

Tunku Abdul Rahman adalah Perdana Menteri yang dikenali bersifat lemah lembut dengan kaum Cina. Orang-orang Cina sangat menyenangi sikap Tunku. Hingga mereka tidak teragak-agak untuk menamakan sebuah kolej atau universiti yang ditaja oleh kaum Cina dengan nama Tunku Abdul Rahman.

Apakah Tunku Abdul Rahman boleh dianggap sebagai Pemimpin Malaysia Sejati kerana beliau juga disukai oleh kaum Cina selain dari kaumnya sendiri? Mungkin pandangan ini masih lagi boleh dipertikaikan.

Datuk Onn Jaafar pernah meninggalkan parti UMNO untuk menubuhkan parti politik yang tidak berasaskan kaum, tetapi gagasan beliau itu telah menemui kegagalan apabila tidak mendapat sambutan besar dari semua kaum. Kegagalan parti yang beliau asaskan itu telah juga menggagalkan beliau untuk menjadi Pemimpin Malaysia Sejati.

Tun Mahathir pula terkenal dengan jolokan ultra Melayu. Jolokan ini sudah cukup untuk tidak melayakkan beliau dipanggil Pemimpin Malaysia Sejati.

Pemimpin Malaysia Sejati tidak semestinya lahir dari kaum Melayu tetapi beliau boleh datang dari kaum Cina atau India atau kaum lain. Apa yang penting beliau disayangi dan disenangi oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira warna kulit dan agama.

Pemimpin Malaysia Sejati yang menjadi impian semua rakyat Malaysia ini seharusnya seorang pemimpin yang meletakkan kepentingan rakyat Malaysia melebihi kepentingan kaumnya sendiri.

Walaupun nampak seperti sukar untuk kita mendapatkan pemimpin yang bersifat demikian tetapi ini tidak bermakna ia suatu perkara yang mustahil.

Apa yang saya nampak, parti politik yang tidak berasaskan kaum lebih berpeluang besar untuk melahirkan Pemimpin Malaysia Sejati berbanding dengan parti-parti politik yang berasaskan kaum seperti yang menguasai Negara kita sekarang ini.

Pemimpin yang menyayangi rakyatnya pasti akan disayangi oleh rakyatnya. Rakyat sanggup mati untuk mempertahankan pemimpin yang disayangi.

Pemimpin yang hidup bermewah-mewah, menyalahgunakan harta Negara, melakukan banyak pembaziran, memperkaya diri dan saudara mara sendiri, sudah tentu tidak akan mendapat kasih sayang dari rakyat. Sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat kepada pemimpin-pemimpin seperti ini hanyalah sokongan yang pura-pura sahaja.

Friday, October 22, 2010

Kalau sudah terkunci kemas, kenapa perlu hendak risau?


Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kedudukan orang Melayu serta bumiputera dan kepentingan kaum-kaum lain adalah terkunci kemas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di Dewan Merdeka, PWTC semalam, beliau berkata, peruntukan Perlembagaan tidak dapat diubah walaupun mendapat majoriti dua pertiga dalam Parlimen, tanpa kebenaran sembilan raja Melayu.

Dengan ucapan yang berapi-api PM Najib seterusnya memberi amaran keras:

“Kepada semua saya berpesan, kepada semua saya beri pedoman, janganlah kita terpalit damak beracun sandiwara lawan yang hanya menempah alam kegagalan. Berpasaklah kepada UMNO. Bertetaplah kepada panji-panji Barisan Nasional. Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!”

Apakah kata-kata beliau itu bermaksud, kalau tidak dapat cara lembut, dengan cara keras pun (by hook or by crook) Putrajaya mesti dipertahankan? Lupakah Najib, bukankah Negara kita mengamalkan lunas-lunas demokrasi?

Kalau sudah terkunci kemas, kenapa PM Najib perlu memekik-mekik di dalam dewan PWTC untuk memberitahu dunia perkara tersebut tidak boleh diubah. Samada diucapkan secara memekik atau secara nada perlahan ia tidak akan mengubah apa-apa kerana ia telah terkunci kemas.

Sebagai pemimpin sebuah parti politik yang berasaskan kaum, PM Najib tidak dapat memisahkan dirinya dari mesti dilihat sebagai juara memperjuangkan kaumnya supaya beliau kekal popular dan terus dipilih menjadi presiden oleh ahli partinya.

Kalau pada hari-hari sebelum ini PM Najib begitu megah memakai topi 1Malaysia, tetapi untuk masa dua tiga hari ini beliau terpaksa memakai topi 1Melayu sempena perhimpunan agung parti yang dipimpinnya.

Saya tidak pasti samada kekebalan Raja-raja Melayu telah tidak termasuk dalam peti yang terkunci kemas itu, sehingga telah dapat dilucutkan oleh kepimpinan UMNO sendiri pada suatu masa dulu.

Saya percaya bukan sahaja orang UMNO, malah ramai rakyat Malaysia yang lain juga gembira bila kekebalan Raja-raja Melayu itu dilucutkan. Kerana ini memang sangat bertentangan dengan nilai manusia yang bertamaddun dan nilai agama untuk membenarkan manusia lain begitu istimewa, sehingga mereka boleh berada lebih tinggi dari undang-undang.

Kita bukan persoalkan samada telah dikunci kemas atau pun tidak. Yang kita persoalkan apakah yang dikunci itu bersesuaian dengan nilai-nilai manusia bertamaddun dan nilai-nilai agama.

Agama kita tidak pernah mengajarkan kita melakukan ketidakadilan, diskriminasi dan penzaliman. Hanya Tuhan sahaja yang layak untuk menentukan hak kita. Apakah hak kita untuk menentukan hak kita sendiri?

Kadang-kadang kita rasa pelik kenapa Abraham Lincoln, seorang yang berkulit putih bermatian-matian untuk menghapuskan amalan penghambaan di Amerika, sedangkan yang menjadi hamba itu semuanya rakyat Amerika yang berkulit hitam. Secara logiknya tidak mungkin atau tidak akan ada cucu-cucitnya akan menjadi hamba kalaupun beliau tidak memperjuangkan penghapusan amalan hamba di Amerika itu.

Tetapi kenapa Abraham Lincoln masih juga mahu menghapuskan amalan penghambaan itu? Sudah pasti, tidak lain, ia adalah atas dorongan nilai-nilai kemanusiaan yang bertamaddun dan nilai agama.

Friday, October 15, 2010

BN gagal dalam membina perpaduan antara kaum


Kalau kita tanyakan kepada setiap rakyat Malaysia hari ini, “sebutkan nama seorang (bukan 5 orang) sahabat karib anda yang berasal dari kaum lain dari kaum anda sendiri”, pasti ramai yang gagal untuk memberi jawapan kepada pertanyaan itu.

Untuk perbandingan, cuba kita tanyakan soalan yang sama kepada rakyat Singapore. Kita akan dapat jawapan yang jauh berbeza. Singapore mempunyai komposisi kaum yang hampir sama seperti Semenanjung Malaysia. Mereka ada kaum Cina, kaum Melayu dan kaum India seperti kita juga.

Walaupun Malaysia lebih dulu mendapat kemerdekaan berbanding Singapore, tetapi Singapore telah jauh mendahului kita dalam membina perpaduan antara kaum di kalangan rakyatnya.

Di mana silapnya kita? Tentu sekali kerajaan yang dipimpin oleh parti BN selama lebih 50 tahun itu tidak akan mahu mengaku dan meletakkan kesilapan itu ke atas mereka.

Malah mereka sentiasa berbangga untuk mengatakan Malaysia adalah satu-satunya Negara di dunia yang mempunyai sekolah-sekolah yang mempunyai bahasa pengantar Mandarin dan Tamil disamping bahasa Melayu di sekolah kebangsaan.

Sedangkan mereka tidak sedar bahawa itu adalah langkah yang paling tidak bijak di dunia yang mereka telah ambil, kerana tindakan mereka itu telah menebalkan tembok perkauman dan tidak membantu dalam membina perpaduan antara kaum di Negara ini.

Kita tidak melarang bahasa ibunda dan budaya ibunda setiap kaum diamal dan diajarkan di sekolah-sekolah. Malah kita sangat mengalu-alu dan menggalakkannya, supaya ia tidak pupus.

Tetapi bukanlah dengan cara memisahkan sekolah-sekolah kita mengikut kaum, sehingga membiarkan sekolah-sekolah di Malaysia dikenali mengikut kaum. Inilah satu kesilapan yang besar yang telah dilakukan oleh kerajaan parti BN, yang menjadi punca utama perpaduan antara kaum gagal dilaksanakan di Negara ini.

Kita telah mengorbankan keutuhan perpaduan antara kaum dengan memisahkan anak-anak bersekolah di sekolah mengikut kaum mereka semata-mata untuk mempelajari bahasa dan budaya ibunda mereka. Walhal bahasa dan budaya ibunda berbagai kaum boleh sahaja diajarkan di sekolah yang sama tanpa perlu membina sekolah yang berasingan mengikut kaum.

Kita memerlukan kepada kesungguhan politik untuk melakukan perubahan ini. Apakah Pakatan Rakyat dapat melakukan apa yang telah gagal dilakukan oleh BN dalam membina perpaduan antara kaum ini?

Barisan kepimpinan awal Singapore berpandangan lebih jauh ke depan dari pemimpin kita. Mereka telah tidak membenarkan sekolah dikenali mengikut kaum. Pada hari ini mereka telah dapat menikmati tahap keutuhan perpaduan antara kaum di kalangan rakyatnya yang jauh lebih baik dari kita.

Tidak dinafikan Singapore banyak menghadapi banyak cabaran dan halangan dalam membina perpaduan kaum di Negara itu, namun yang pentingnya mereka telah meletakkan batu asas yang betul dengan memulakan sistem satu sekolah pada hari pertama mereka menyambut kemerdekaan.

Siapakah pemimpin politik Negara kita yang ada keberanian untuk memulakan reformasi atau transformasi kepada sistem sekolah kita bagi menghapuskan sekolah-sekolah dikenali mengikut kaum yang ada hari ini?

Siapakah pemimpin kita yang seberani Lee Kuan Yew yang dapat melakukan kebaikan untuk faedah keseluruhan rakyat negaranya berbanding hanya melakukan kebaikan untuk faedah kaumnya sahaja?

Monday, October 11, 2010

Akhirnya UMNO iktiraf kaum Cina bukan pendatang


Semasa menyampaikan ucapan di perhimpunan parti MCA semalam (10 October 2010), PM Najib sebagai Presiden UMNO mengiktiraf secara terbuka bahawa kaum Cina bukan kaum pendatang.

Pengiktirafan oleh presiden UMNO yang mewakili sebahagian besar orang Melayu ini sudah tentunya akan memberi kesan besar kepada hubungan antara rakyat keturunan Cina dan Melayu di Negara ini.

Sudah sampai masanya sebagai rakyat Malaysia, kita semua harus berpijak di bumi nyata. Kita tidak boleh mengaitkan dan menyerahkan peristiwa dan sejarah yang berlaku ratusan tahun dulu bagi menentukan nasib kita di zaman ini.

Kita tidak boleh terus menjadi tukang kayu hanya kerana moyang kita dulu telah menjadi tukang kayu.

Kita mesti melihat Negara ini sebagai tempat kita lahir, tempat kita membina kehidupan dan juga tempat kita disemadikan. Semua orang tanpa mengira kaum mesti melihat semua warga sebagai satu bangsa Malaysia. Mereka harus bekerjasama dan saling bantu membantu dalam memajukan ekonomi dan membangunkan Negara.

Sikap iri dan dengki kepada kaum-kaum yang lain mesti dihapuskan dari sanubari kita semua. Adalah salah kalau kita hanya mementingkan atau menolong kaum kita sahaja, sebaliknya membiarkan atau ‘membunuh’ kaum lain dari mencapai kemajuan.

Adalah sikap yang amat tercela kalau kita membantu warga atau manusia lain berasaskan kaum.

Sebenarnya lebih banyak kemajuan dan kejayaaan yang boleh kita capai dan cipta jika kita semua kaum saling bekerjasama dan saling bantu membantu, berbanding jika kita membiarkan satu kaum ditugaskan menjadi ‘tuan’ kepada kaum yang lain.

Kita mampu membesarkan kek ekonomi Negara jika kita semua kaum bekerja bersama-sama. Dan kek ekonomi yang besar ini akan dinikmati kembali oleh semua rakyat.

Apa sangatlah nikmat yang kita dapat kalau kita hanya asyik berminat untuk membahagi-bahagikan kek ekonomi Negara yang sedia ada mengikut kaum. Akhirnya kita juga yang rugi kerana kek tidak membesar seperti yang sepatutnya.

Tembok perkauman yang wujud mesti diruntuhkan. Semua orang politik harus memikirkan bagaimana anak-anak kita boleh bersekolah di peremis sekolah yang sama. Kita tidak mahu sekolah dipisah-pisahkan dan dikenali mengikut kaum seperti yang ada hari ini.

Anak-anak dari semua kaum mesti dibiar berkawan dan berkenalan seawal kelas tadika lagi. Di sekolah adalah tempat yang amat sesuai untuk kita menyemai benih perpaduan tulin. Tak kenal maka tak cinta, kita tidak mahu perpaduan yang pura-pura.

Kita tidak mahu perpaduan sekadar semua orang dari berbagai kaum datang makan di rumah terbuka pemimpin-pemimpin di musim perayaan, setelah kenyang mereka kembali semula kepada kelompok-kelompok mereka semula seperti biasa. Perpaduan seperti ini adalah perpaduan di tahap permukaan sahaja, yang tidak akan membawa kita ke mana-mana.

Friday, October 08, 2010

Ekstrimis Kaum sama bahaya dengan Ekstrimis Agama


Baru-baru ini (27 September 2010) PM Najib telah memberi ucapan di pentas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang memberitahu dunia perlunya gerakan ‘moderate’ (fahaman sederhana) sedunia bersatu dan bekerja sama bagi menentang fahaman ekstrimis atau pelampau agama yang wujud di kalangan orang-orang beragama samada Islam, Kristian atau Yahudi.

Anjuran beliau itu memang baik, Islam adalah agama yang menekankan kesederhanaan dalam semua hal. Sayangnya kumpulan pelampau yang terdapat di kalangan orang Islam telah memberi imej buruk kepada agama Islam keseluruhannya sehingga Islam menjadi agama yang ditakuti dan dipandang penuh curiga di Barat
.
Apatah lagi media barat yang di kuasai oleh Zionis yang sangat kuat memusuhi Islam sentiasa menggambarkan Islam sebagai agama yang melampau, dan tidak pernah melapurkan secara tepat tentang Islam. Mereka memaparkan Islam dari pandangan dan tindak-tanduk golongan pelampau atau kumpulan ekstrimis ini.

Di mana-mana agama pun ada golongan ekstrimis yang tidak boleh menerima dan membenci kehadiran orang dari agama lain. Mungkin bilangan mereka di satu-satu kawasan itu lebih ramai berbanding dari orang yang berfahaman sederhana atau ‘moderate’, tetapi ramai tidak bermakna mereka betul.

Untuk keamanan dan kebaikan manusia sejagat, kita perlu memberi keutamaan dan menggalakkan peranan pendokong fahaman sederhana dalam mengatur dan memimpin kehidupan kita.

Yang dikatakan fahaman sederhana bukanlah bermakna kita harus mengikut dan mengamal upacara dari agama-agama lain. Tetapi ‘sederhana’ bermaksud kita harus menghormati kehadiran agama-agama lain dan tidak menyinggung dan merendah-rendahkan penganut agama lain. Setiap rasa tidak puas hati dan salah faham mestilah disalurkan melalui saluran diplomasi dan perbincangan, bukan menggunakan perang, kekerasan dan keganasan.

Ekstrimis kaum

Tetapi tidak kurang bahayanya ialah ekstrimis kaum. Sifat perkauman yang melampau juga banyak memporak perandakan kehidupan masyarakat seluruh dunia.

Sifat rasa bangga kaum yang melampau yang dianuti oleh Hitler telah mencetuskan perang dunia kedua. Sifat ekstrimis kaum yang melampau membawa berlakunya pembunuhan kaum secara besar-besaran yang dikenali sebagai pembersihan kaum.

Selain pernah berlaku di Jerman, pembersihan kaum juga pernah berlaku di Palestin, Bosnia, Kosovo, Congo, Somalia, Sudan, Iraq, Kemboja, Vietnam dan Negara-negara lain.

Di Malaysia sendiri pun pernah berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Orang-orang politik suka menggunakan isu perkauman dalam meraih sokongan kaumnya.

Oleh itu PM Najib patut juga mencadangkan perlunya wujud gerakan moderate sedunia dalam hal perkauman bagi menentang ekstrimis atau pelampau kaum, yang sering juga dikenali sebagai ultra kiasu.

Tetapi saya tidak pasti samada PM Najib berminat dalam isu ini, kerana orang politik terutamanya di Malaysia hanya boleh ‘hidup’ atas isu perkauman. Malah PM Najib sendiri pun adalah presiden kepada parti politik yang berasaskan kaum.

Tidak salah kalau kita berusaha mengamal bahasa dan budaya kaum kita dan memeliharanya daripada pupus. Tetapi apa yang kita tidak mahu ialah perasaan benci kepada kaum-kaum lain.

Perasaan benci kepada kaum lain ini telah menimbulkan rasa iri dan dengki terhadap kaum lain, hingga kita tergamak untuk meminggir dan meyekat peluang ekonomi dan pelajaran kepada kaum-kaum lain, semata-mata kerana takutkan mereka lebih maju dari kaum kita sendiri.

Seperti kata pepatah Melayu, "kalau tak kenal maka tak cinta". Perasaan syak wasangka dan rasa curiga antara kaum ini hanya boleh dihapuskan jika anak-anak kita dari berbagai kaum dibiarkan bersekolah disekolah yang sama tanpa dipisahkan mengikut kaum seperti menjadi amalan sekarang ini.

Apabila anak-anak ini dapat peluang berkawan rapat, sudah pasti tembok-tembok perkauman yang tebal itu dengan sendirinya dapat diruntuhkan.

Mereka akan melihat kawan-kawan mereka sama sahaja tanpa mengira warna kulit. Kawan yang susah pasti akan mereka bantu tanpa mengira sempadan kaum.

Wednesday, September 29, 2010

Kontrak Sosial dalam Adat Perpatih


Sistem politik Perpatih pernah diamalkan beberapa ratus tahun dahulu di daerah Negeri Sembilan dan sekitarnya, tetapi kini ia hanya tinggal sebagai adat istiadat sahaja yang kita kenali sebagai ‘Adat Perpatih’.

Sistem Politik Perpatih adalah sistem pemerintahan yang mempunyai elemen demokrasi, di mana pemimpin-pemimpin dipilih oleh rakyat.

Di daerah Negeri Sembilan dan sekitarnya didiami oleh penduduk yang terdiri dari berbagai-bagai suku. Suku merujuk kepada dari daerah asal mereka di Sumatera sana. Kalau mereka datang dari daerah Paya Kumbuh, mereka digelar Suku Paya Kumbuh.

Dikatakan terdapat 12 suku yang berlainan tinggal di daerah Negeri Sembilan dan sekitarnya. Saya sendiri adalah dari Suku Tanah Mendatar. Ini bermakna moyang saya dulu berasal dari daerah Tanah Mendatar di Sumatera yang mungkin telah berhijrah ke Negeri Sembilan sekitar 400 tahun dahulu.

Sistem politik Perpatih di Negeri Sembilan masa dulu memberi peluang kepada penduduk dari setiap suku untuk memilih ketua suku mereka yang digelar sebagai Buapak.

Buapak-buapak dari suku-suku ini akan memilih pemimpin mereka yang digelar Lembaga. Jika timbul masalah atau jika berlaku pertelingkahan antara suku-suku, Datuk Lembagalah yang akan menyelesaikannya.

Pemimpin masyarakat yang tertinggi di satu-satu daerah digelar Undang. Dari nama gelarannya itu kita sudah dapat membayangkan dibahu Undang inilah segala peraturan digubal dan dikuat kuasa bagi menjamin kemajuan dan keharmonian kehidupan masyarakat sesuatu di daerah tersebut.

Terdapat empat orang Undang yang mewakili dearah masing-masing di Negeri Sembilan, antaranya Undang Johol, Undang Sungai Ujong dan Undang Rembau.

Undang tidak boleh dilantik dari suku-suku lain selain dari Suku Biduanda. Suku Biduanda diberi hak istimewa menjadi Undang kerana mereka adalah suku yang terawal datang ke Negeri Sembilan dan mereka juga telah ramai berkawin campur dengan Orang Asli di Negeri Sembilan.

Biasalah tu, orang yang kemudian datang kenalah ‘respect’ orang yang dah lama datang.

Kalau kita masuk asrama pun sama juga, yang junior teruk kena raging dengan senior.

Samalah juga kesnya, orang Cina dan orang India yang baru datang dari negara asal mereka di satu masa dulu, kenalah ‘respect’ orang Melayu yang sudah lama menetap di Malaysia.

Walaupun di Negeri Sembilan ada Raja yang mempunyai kuasa politik tertinggi di zaman itu, yang digelar Yang Di Pertuan Besar atau Yam Tuan, tetapi empat orang Undang tadi mempunyai kuasa penuh dalam memilih dan melantik Yam Tuan. Kalau anak raja yang kaki botol, kirim salamlah.

Itulah kontrak sosial yang berlaku dalam politik Perpatih. Sampai sekarang pun ‘post’ Undang tak boleh diberi kepada suku-suku lain.

Sekarang ini kita telah menggunakan sistem politik demokrasi Raja Berpelembagaan yang diadaptasi dari Britain. Ekoran dari itu Politik Perpatih ini telah diserap menjadi Adat Perpatih yang hanya berfungsi untuk mengurus soal-soal adat dan tanah adat sahaja.

Kalaulah Perpatih masih menjadi amalan sistem politik di Negeri Sembilan hingga hari ini, sudah tentu hari-hari aku turun berdemontrasi di Kuala Pilah, menuntut reformasi kepada sistem pemilihan Undang yang tidak adil.

Mana boleh, aku dan bapak aku yang lahir di Negeri Sembilan dinafikan hak untuk masuk bertanding menjadi Undang hanya kerana bukan dari Suku Biduanda.

Aku boleh terima terma ‘kontrak sosial’ antara Suku Biduanda dan suku-suku lain itu digunapakai ketika di awal-awal penhijrahan sekitar 400 tahun dulu, sebagai menghormati Suku Biduanda yang datang jauh lebih awal.

Tetapi bila bapak dan aku sendiri memang lahir di Negeri Sembilan, tentulah tidak adil kalau ‘kontrak sosial’ itu masih dikenakan kepada kami semua.

Walaupun ‘kontrak sosial’ dalam Adat Perpatih terus berlaku hingga hari ini, tetapi aku tidak kisah dan tidak ambil pot pun. Ini kerana adat perpatih bukan lagi dalam bentuk sistem politik seperti 300 tahun dulu. Kini ia hanya digunakan dalam adat istiadat Melayu yang tidak menjejas atau mengatur kehidupan aku pun.

Begitulah juga kalau kita berada di tempat orang-orang Cina dan orang-orang India di Malaysia di zaman sekarang ini, bukan saja mereka, malah bapa-bapa mereka pun ada yang lahir di Malaysia. Sudah tentu mereka juga mahu dilayan secara lebih adil, sama seperti warga Malaysia yang lain. Mereka bukan pendatang seperti moyang mereka dulu, yang mesti menghormati penduduk tempatan.

Sudah tentu mereka akan terus berjuang untuk menghapuskan apa yang disebut sebagai ‘kontrak sosial’ itu, berjaya atau tidak, itu soal lain.

Friday, September 24, 2010

Sosila Malai Mere Minkijar Inspector Sahab


Mungkin sekarang ini ramai pengarah dan pengeluar filem Bollywood sedang memikirkan untuk membuat satu cerita filem yang ada kaitan dengan kisah pembunuhan Sosilawati oleh peguam yang menjadi suspek utama dalam kes tersebut.

Di tangan pengarah-pengarah filem Bollywood, cerita ini akan menjadi lebih menarik yang tentunya dipenuhi oleh elemen-elemen suspen dan thriller, yang membuatkan penonton cemas dan tidak boleh duduk diam di kerusinya.

Seperti biasa dalam filem-filem Bollywood akan ada pegawai-pegawai polis yang tamak yang boleh dibeli oleh samseng berprofil tinggi. Pegawai-pegawai polis ini akan melindungi kerja-kerja gelap ketua samseng yang berpengaruh ini, dan sebagai balasan, pegawai-pegawai polis ini akan mendapat habuan yang besar dari ketua samseng tersebut.

Di sana akan ditonjolkan seorang manusia yang mempunyai dua wajah yang berbeza. Di satu wajah dia dilihat sebagai seorang peguam memperjuangkan keadilan dan membela rakyat yang memerlukan pembelaan, dan di sebalik itu dia seorang yang kejam, yang sanggup membunuh ramai orang untuk memenuhi agenda dan kepentingannya.

Sudah terbayang juga kepada kita filem itu akan disulami oleh tarian-tarian yang ditarikan oleh penari-penari wanita jelita yang berpakaian menjolok mata bagi menghiburkan tetamu-tetamu istimewa ketua samseng tersebut, berlangsung dalam kediaman mewah lagi eksklusif.

Untuk menjadikan lebih menarik lagi dan tidak mengeciwakan penonton, watak Sosilawati dalam cerita ini tidak akan dimatikan, sebaliknya dia mungkin menjadi hero yang akan menggunakan segala kepintarannya untuk mendedah dan menghapuskan kerja-kerja jahat si peguam itu.

Penonton tentu sentiasa berasa cemas melihat Sosilawati, seorang perempuan, cuba melepaskan diri dari cengkaman peguam yang berpura baik itu. Sedangkan di kawasan itu hampir tidak ada jalan untuk keluar, di kawal rapi dan bertembok tinggi.

Di akhir cerita filem yang penuh aksi ini, penonton berasa lega, Soliwati akhirnya dapat melepaskan diri, peguam jahat dan polis yang bersubahat dengannya ditangkap dan akan dihadapkan ke makamah untuk dihukum atas segala kesalahan yang mereka lakukan.

Saya tidak nampak, jika kisah ini mahu difilemkan oleh pengeluar filem di Negara kita seperti Datuk Yusuf Haslam, akan menjadi satu filem yang menarik. Kerana pengarah filem kita terikat dengan etika, polis mesti dilihat baik di dalam filem.

Kalau mahu difilemkan juga, ia tidak lebih kelihatan seperti siri drama Gerak Khas di RTM yang membosankan penonton itu.

Sunday, September 19, 2010

Peristiwa 13 Mei adalah angkara Lee Kuan Yew


Tidak boleh dinafikan wujudnya penglibatan secara tidak langsung Lee Kuan Yew dalam mencetuskan peristiwa rusuhan perkauman 13 Mei 1969.

Kalau kita menyorot kembali sejarah rusuhan kaum ini, ia telah pun bermula di Singapura pada tahun 1964. Ia berlaku pada sambutan Maulidurasul pada 21 Julai 1964, ketika itu Singapura berada dalam Malaysia dan Lee Kuan Yew sebagai Ketua Menterinya.

Tentulah pendekatan politik Lee Kuan Yew yang terkenal dengan slogan “Malaysian Malaysia” itu telah menimbulkan suasana tegang antara orang Melayu dan orang Cina yang mana kebanyakan orang Melayu tidak boleh menerima gagasan yang dihasratkan oleh Lee Kuan Yew itu.

Kalau orang Melayu Singapura di waktu itupun tidak dapat menerima gagasan Malaysian Malaysia Lee Kuan Yew, apatah lagi orang Melayu di Semenanjung.

Cita-cita besar Lee Kuan Yew untuk mengembangkan pengaruh dan kuasanya ke Semenanjung telah tidak disenangi oleh Tunku sebagai Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Ekoran itu Tunku telah mengambil tindakan memisahkan Singapura dari Persekutuan Malaysia pada tahun berikutnya.

Lee Kuan Yew dan kaum Cina yang mendominan politik di Singapura selepas berpisah dengan Malaysia telah menyemarak dan membangkitkan semangat baru kepada kaum Cina di Semenanjung (Malaysia).

Di bawah parti politik DAP yang merupakan lanjutan parti PAP di Singapura, kaum Cina Malaysia meneruskan perjuangan “Malaysian Malaysia” yang telah hasratkan oleh Lee Kuan Yew itu.

Gagasan Malaysian Malaysia yang dibawa oleh DAP ini terus menerus menyebabkan pergeseran politik antara kaum Cina dan kaum Melayu di Malaysia.

Orang Cina Malaysia sebagai warganegara yang sah, mahukan hak yang sama dan mahu mereka dilayan sama seperti orang Melayu dan Bumiputera. Sedangkan orang Melayu mahukan hak-hak istimewa diberi kepada orang Melayu dan Bumiputera bagi membolehkan mereka bersaing dengan kaum-kaum lain terutamanya dalam ekonomi dan pelajaran.

Lee Kuan Yew dan orang-orang Cina yang lahir di Singapura dan Malaysia tidak dapat menerima 'status' yang berbeza antara mereka dan orang Melayu. Walaupun pada masa itu lebih ramai orang Cina bukan dilahirkan di sini, tetapi mereka telah mendapat taraf kerakyatan sebagai syarat untuk mendapatkan kemerdekaan dari kerajaan British.

Kesilapan pemimpin kita pada masa itu mungkin kerana melihat orang Cina Malaysia dan Singapura yang dilahirkan di sini sama saja dengan orang Cina Malaysia dan Singapura yang imagrasi dan dilahirkan di Negara China.

Pergeseran politik perkauman ini sampai kepada kemuncaknya apabila tercetusnya peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Peristiwa ini telah banyak memberi pengajaran kepada kita semua, luka dari peristiwa ini sangat sukar untuk disembuhkan.

Mungkin kerana Lee Kuan Yew telah berasa terhutang budi yang besar kepada penduduk-penduduk imagrasi dalam mencapai cita-cita dan agenda politiknya, hingga hari ini kerajaan Singapura di bawah nasihat Lee Kuan Yew terus mengamalkan dasar kerakyatan terbuka kepada imagrasi, terutamanya dari Negara China, Taiwan dan Hong Kong.

Walaupun peristiwa berdarah 13 Mei ini berlaku di Malaysia, Lee Kuan Yew juga tidak boleh terlepas sebagai orang telah bertanggungjawab menyebabkan peristiwa itu berlaku.

Tuesday, September 14, 2010

Sultan Kelantan, rakyat yang berkuasa


Walaupun ada peruntukan dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan untuk menggantikan Sultan yang gering dengan Sultan yang baru tetapi seingat kita keadaan ini tidak pernah berlaku dalam sejarah moden raja-raja Melayu.

Mungkin pemasyhuran Tengku Muhammad Faris sebagai Sultan Kelantan yang baru bagi menggantikan ayahandanya yang gering pada 13 September 2010 itu boleh dianggap kali pertama berlaku dalam sejarah moden ini.

Orang Melayu yang secara tradisinya sangat setia kepada Sultan dan Raja tidak tergamak hendak menurunkan Rajanya walaupun dalam keadaan gering sekalipun. Tindakan ini amatlah kurang manis melainkan kalau atas kehendak Sultan yang gering itu sendiri.

Mereka lebih rela dan selesa melantik pemangku Sultan bagi mewakili Sultan yang gering daripada menurunkan takhta Raja yang gering.

Dalam Negara yang mengamalkan sistem demokrasi Raja berpelembagaan, kita telah mengambil acuan dari sistem di Britain. Raja adalah sebagai simbol Ketua Negara atau Ketua Negeri yang tidak mempunyai kuasa politik. Raja tidak boleh mencampuri urusan pentadbiran dan politik Negara dan negeri.

Tetapi kebanyakan orang Melayu masih dibayangi oleh sistem pemerintahan beraja (Monarki) yang bertapak sejak 600 tahun dahulu.

Mereka begitu taat dan setia kepada Raja sehingga tidak mampu untuk membantah jika Raja masuk campur urusan dalam hal-hal pentadbiran Negara dan Negeri.

Sebenarnya tidaklah menjadi masalah besar sangat kalau Pemangku Sultan Kelantan terus dikekalkan di jawatannya selagi Sultan masih gering atau sehingga Sultan mangkat, tanpa melantik Sultan yang baru. Kerana secara teorinya dalam sistem demokrasi Raja berpelembagaan, peranan Sultan bukanlah terlalu penting sangat sehingga menyebabkan pentadbiran dan politik negeri boleh tergendala tanpa kehadirannya.

Tetapi kerana keadaan tidak mengikut seperti teori atau seperti yang tertulis, peranan Sultan telah menjadi begitu penting. Ekoran perebutan takhta antara anak-anak Sultan Kelantan telah dilihat sebagai keadaan yang merbahaya kepada pentadbiran dan politik di Kelantan.

Oleh itu tidak hairanlah kalau pihak yang ‘berkuasa’ di Kelantan telah mengambil langkah yang drastik dengan melantik Sultan yang baru bagi menggantikan Sultan yang gering.

Tengku Muhammad Faris adalah anak sulung kepada Sultan yang gering, mempunyai peribadi dan akhlak yang baik. Adalah sangat sesuai kalau beliau menjadi Sultan Kelantan. Sikapnya yang mesra rakyat pasti tidak akan memberi kesusahan kepada rakyat Kelantan.

Yang lebih penting lagi beliau dapat diharapkan untuk memahami tanggungjawab beliau sebagai Raja dalam negeri yang mengamalkan sistem demokrasi raja berpelembagaan yang tidak akan memberi kesusahan dan tidak mencampuri urusan pentadbiran dan politik negeri Kelantan.

Sunday, September 12, 2010

Hospital tidak ada ubat kalau kena tungau

Aku masih ingat masa aku kecil-kecil dulu, kalau aku kena tungau, emak aku tidak pernah bawa klinik atau hospital. Ubatnya cukup mudah, emak aku akan sapu minyak gas (minyak tanah) di tempat yang kena tungau itu. Minyak gas ini cukup berkesan untuk menyelesaikan masalah tungau, semua orang kampong aku tahu benar cara menghapuskan tungau menggunakan minyak gas ini.

Minyak gas ketika itu memang mudah didapati, masa itu orang kampong memang simpan minyak gas di rumah bagi menyalakan pelita. Kampung ketika itu tidak ada elektrik, semua penduduk bergantung kepada cahaya pelita untuk menerangkan rumah di waktu malam.

Tungau adalah serangga yang sangat halus yang berwarna oren. Tungau ini suka melekap di bahagian ‘burung’ budak lelaki. Bila sudah kena tungau, ‘burung’ kanak-kanak ini akan jadi bengkak membening dan gatal, memang rasa tidak selesa sekali.

Itu cerita aku 40 tahun dahulu. Tetapi kisah tungau ini tidak pernah habis. Kini giliran anak-anak aku pula yang kena tungau. Setiap kali aku dan anak-anak balik kampong, ada saja anak kecil aku yang kena tungau.

Sekarang ini susah nak dapat minyak gas lagi, orang kampong sudah tidak guna minyak gas lagi, semua orang sudah pakai lampu elektrik. Kedai pun sudah tidak ada jual minyak gas lagi.
Oleh itu aku tidak ada pilihan, bila ‘burung’ anak aku membengkak kena tungau, aku terpaksa hantar dia ke hospital. Hospital bukanlah jauh dari kampong aku, tak sampai 5 Km pun.

Macam aku tak percaya, semasa doktor beri ubat, tidak ada satu ubat pun bertujuan untuk membunuh atau menghalau tungau yang melekat pada ‘burung’ anak akau itu. Ubat yang diberi hanyalah ubat penahan sakit (paracetamol) dan ubat mengurangkan rasa gatal. Sebaliknya doktor memberi nasihat, kalau bengkak ‘burung’ anak itu aku boleh menyebabkan dia susah hendak kencing maka dia perlu disunatkan. Sampai begitu sekali besarnya masalah yang dibawa oleh tungau ini.

Sungguh aku tidak sangka, selama ini rupanya di hospital tidak ada ubat untuk penyakit kena tungau ini. Selama ini aku ingatkan emak aku guna minyak gas untuk mengubat penyakit kena tungau kerana malas nak bawa aku ke hospital, tetapi kini barulah aku tahu memang hospital tidak ada ubat untuk menghapuskan tungau.

Mentang-mentanglah di Negara-negara Barat tidak ada masalah tungau, hingga tidak ada siapa yang hendak mengkaji dan mencari ubat bagi menghapuskan tungau ini.

Baru-baru ini aku ada dengar cerita dari kawan-kawan, cara yang mereka gunakan untuk mengatasi masalah tungau. Salah satu cara yang mereka gunakan yang menarik minat aku ialah menggunakan Vicks Vaporub.

Setelah aku cuba kepada anak aku sendiri, Vicks Vaporub ini memang berkesan, setelah disapu dengan Vicks, rasa gatalnya mula berkurang dan dalam masa dua hari bengkaknya telah menyusut kepada keadaan asal.

Tidak seperti minyak gas, Vicks ada dijual di mana-mana. Vicks juga lebih selamat berbanding minyak gas. Mungkin anda juga boleh mencubanya jika anda ada masalah tungau seperti yang aku hadapi ini.


Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com