Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Wednesday, July 04, 2012

PM Najib yang tidak ikhlas.


Transformasi, sekadar hendak menyedapkan dan melegakan hati orang ramai saja, tetapi tidak banyak berubah pun.

Konon nak buang ISA, tetapi masih ada juga lagi yang berada dalam tahanan ISA.  Akta ISA hendak dimansuhkan tetapi akan digantikan dengan undang-undang yang baru. Kalau nak mansuh, mansuhkan terus sajalah, buat apa hendak diganti dengan yang baru, tidak ada maknanya juga.

Kemudian buat pula slogan 1Malaysia, konon bertujuan hendak menyatu padukan rakyat Malaysia yang terdiri dari berbagai kaum. Hingga hari ini saya tak nampak adanya perubahan kepada perpaduan rakyat berbagai kaum di Negara ini, masih sama juga macam dulu. Beliau hanya melaungkan slogan 1Malaysia disetiap majlis keramaian yang beliau hadir, tetapi tidak ada pun usaha dan tindakan yang diambil ke arah itu.

Kemudian bising pula dengan ‘winable candidate’. Bila beliau banyak bercakap pasal ‘winable candidate’, rakyat akan melihat beliau seolah-olah menekankan calun-calun wakil rakyat yang dikehendaki rakyat. Maknanya, calun-calun yang dipilih oleh beliau nanti adalah calun yang disukai rakyat atau menjadi pilihan rakyat. Tetapi saya percaya itu hanyalah gembar gembur sahaja, akhirnya tidak akan ada banyak perubahan calun akan berlaku. Kita akan nampak calun recycle juga nanti.

Kemudian apabila BERSIH mendesak lapan perkara untuk membaiki pilihanraya, dia buat pula transformasi pilihanraya. Tetapi hingga kini beliau masih berdolak dalik dan seperti berat hendak melaksanakan sebuah pilihanraya yang bebas, adil dan bersih.

Itulah petanda pemimpin yang tidak ihklas, mereka sanggup melakukan pelbagai tipu helah semata-mata hendak menang dan hendak kekal berkuasa.

Apabila lima negeri terlepas ke tangan pembangkang dalam pilihanraya 2008 dulu, seperti suatu mimpi ngeri kepada UMNO dan BN. Kalau sebelum ini rakyat Kelantan sahaja yang pernah merasakan udara di bawah pemerintahan parti pembangkang atau PAS. Tetapi sekarang sudah lebih ramai rakyat telah dapat merasa udara di bawah pemerintahan parti pembangkang termasuklah DAP dan PKR.

Kalau sebelum ini BN dan UMNO selalu mengugut, kalau pembangkang memerintah, Negara akan miskin, rakyat akan makan ubi. Tetapi ternyata tuduhan mereka itu meleset, malah ramai orang semakin suka berada di bawah kerajaan parti pembangkang, walaupun pembangkang belum menguasai kerajaan Persekutuan lagi.

Hanya di Perak sahaja UMNO telah dapat mengambil alih kuasa dari Pakatan Rakyat sebelum sempat rakyat Perak merasakan khidmat bakti sebenar parti pembangkang.

Tentulah BN dan UMNO begitu kesal kerana lima negeri boleh terlepas kepada parti pembangkang dalam pilihanraya 2008. Tetapi ibarat kata pepatah, nasi telah menjadi bubur, amat sukar untuk BN dan UMNO untuk merampas kembali apa yang telah mereka miliki selama ini, malah mungkin lebih banyak lagi negeri akan jatuh kepada Pakatan Rakyat pada pilihanraya akan datang ini.

Apa yang saya nampak, kerajaan UMNO dan BN, melalui media perdana kerajaan dan swasta, hari-hari memburuk-burukan kerajaan negeri yang ditadbir oleh parti Pakatan Rakyat. Ini sajalah senjata yang ada kepada mereka untuk memenangi hati rakyat semula. Apabila rakyat hari-hari mendengar keburukan kerajaan Negeri Pakatan Rakyat, ada kemungkinan mereka akan memilih BN dan UMNO pada pilihanraya akan datang, yang kelihatan lebih baik itu. Tetapi kalau tersilap langkah senjata ini juga boleh memakan tuan.

Janji ditepati, memang tidak dinafikan, BN dan UMNO banyak membuat janji kepada rakyat sebelum setiap pilihanraya. Janji yang ditunaikan akan dihebahkan di dalam media perdana dan dilaungkan sebagai janji ditepati. Tetapi bagaimana dengan ratusan janji lain yang tidak dilaksana dan ditunaikan? Janji yang tidak tertunai tidak pula dihebahkan dalam media perdana dan terus disenyapkan. Janji peralihan kuasa Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud, terus senyap sepi. Janji membina hospital Rembau, hingga kini hanya tinggal batu asas saja.

Saturday, June 30, 2012

Inilah dia jalan yang lurus


Hari-hari kita membaca doa dalam Surah Al Fatihah, “tunjukkilah aku jalan yang lurus”. Dan di bawah ini adalah intipati dari isi Quran yang dapat membawa kita ke jalan yang lurus, jalan yang diredai Allah s.w.t. Marilah kita mengamalkannya dalam kehidupan kita.
Nombor dalam kurungan merujuk kepada Surah dan ayat dalam Quran.

1. Berimanlah kepada Tuhan Yang Esa, lakukan kebaikan dan bertawakkallah kepada-Nya. (2: 62, 112; 11: 123);

2. Sembah Tuhan saja dan jangan sekutukan Dia dengan sesiapa atau apa-apa pun. (17: 22-23);

3. Hormatilah dan muliakan kedua-dua ibu-bapa. (17: 23-24);

4. Serukan kebaikan dan larang kejahatan. (3:104);

5. Cintailah Tuhan lebih daripada segala-galanya dan berjuanglah di jalan-Nya, yakni di jalan keadilan dan kebenaran, dengan harta-benda dan jiwa-raga, dan jangan takut kepada manusia, tetapi takutilah Dia. (4: 75; 9: 111; 5: 44; 33: 37, 39);

6. Lakukan sembahyang dan ibadah-ibadah lain tanpa bertengkar tentang kaedah, keluarkan zakat dan ingatlah Tuhan selalu. (98: 5; 22: 67; 29: 45);
   
7. Bertindak adil, jangan lakukan kejahatan, dan hukumlah mengikut undang-undang Ilahi, yakni berdasarkan keadilan dan kerahiman. (4: 58, 135; 5: 8; 7: 28-29; 5: 44);

8. Ta'atilah pemimpin yang adil, hormati, muliakan, tetapi jangan dewa-dewakan mereka. Pemimpin mesti menjaga kebajikan pengikut, serta memberi semangat kepada mereka. (4: 59; 33: 56; 9: 30-31: 9: 103);

9. Jadilah insan yang aktif, dinamik, kreatif dan berani. (2: 30-34; 4: 75-77; 15: 28-30);

10. Amalkan sikap rendah diri, jangan besarkan diri dan jangan sombong. (2: 54; 25: 43; 17: 37).
 
11. Beri salam kepada semua orang, layani semua dengan baik, dan jangan gunakan bahasa kesat. (4: 86; 2: 83; 4:148);

12. Pegang teguh kepada prinsip, jangan taksub kepada kaedah. (2: 67-71, 142; 3: 103; 5: 54; 22: 67);

13. Utamakan perhitungan moral, tetapi jangan abaikan kepentingan material yang sah. (28: 77);

14. Selamatkan nyawa, jangan bunuh kecuali pada jalan keadilan. (17: 33);

15. Jangan bunuh kerana takutkan kemiskinan. (17: 31);

16. Jangan amalkan riba, amalkan sedekah. (2: 275-80)

17. Handaklah kamu berlaku jujur dan saksama dalam semua urusan kewangan dan ekonomi. (6: 152);

18. Amalkan kaedah perundingan untuk menyelesaikan semua masalah. (3: 159; 42: 38);

19. Jangan terima maklumat yang tidak sahih. (17: 36);

20. Dengar semua pendapat dan ikut yang paling baik. (39: 18);

21. Bacalah untuk mengetahui, tetapi bacalah dengan kritikal. (96: 1-5)

22. Bersatu dan jangan berpecah-belah. (3: 103)

23. Tunaikan janji. (17: 34);

24. Jangan tumbuk rusuk. (2; 188);
 
25. Jangan makan harta anak-yatim. (17: 34);

26. Jangan boros dan bazir, tetapi jangan bakhil. (17: 26-29);

27. Bersedekahlah kepada kaum-keluarga, fakir-miskin, dan di jalan kebaikan. (9: 60; 17: 26);

28. Jangan ceroboh, dan pertahankan diri dari pencerobohan. (7: 33; 42: 39);

29. Perdamaikan saudara semukmin yang bersengketa, elak daripada syak-wasangka, intip-mengintip dan kata-mengata antara satu sama lain. (49: 9-10, 12);

30. Tekun melakukan pekerjaan yang baik dan jangan takut menghadapi kesulitan dan kesusahan. Kejayaan datang selepas kesusahan. (2: 45, 177; 94: 5-8);

31. Gunakan akal dan ambil iktibar dari sejarah untuk melaksanakan perintah-perintah Tuhan. (7: 179; 8: 22; 10: 100; 12: 111; 3: 137);

32. Bercakap benar, jangan bohong, walaupun muslihat dibenarkan terhadap musuh. (8: 7-8; 25: 72; 33: 70; 12: 70-81);

33. Kahwini orang mukmin, jangan kahwini orang kafir, dan jangan berzina. (5: 5; 30: 21; 17: 32);

34. Bekerjasama di jalan kebaikan, jangan bekerjasama di jalan kejahatan. (5: 2);

35. Makanlah dan minumlah dengan sederhana. (7: 31);

36. Jangan minum arak atau berjudi. (2: 219);

37. Pakailah pakaian yang sopan. (24: 30-31);

38. Jadilah seorang pengampun dan pema'af. (42: 40, 43);

39. Jangan persenda dan perolok-olok satu sama lain. (49: 11);

40. Jangan tanya tentang perkara-perkara kecil dan tidak berfaedah. (2: 67-71; 5: 101-2; 22-67).

Telah diusaha dan disusun oleh saudara Kassim Ahmad.

Wednesday, June 27, 2012

Kalau nak beribadat pergilah ke Mekah dan Madinah, tapi kalau nak lihat Islam pergilah ke Perth

Walaupun Perth di Australia Barat merupakan sebuah Bandar yang diduduki oleh orang bukan Islam atau lebih tepat lagi Kristian, tetapi saya berminat untuk membawa ibu saya dan keluarga saya untuk melawat Perth bagi melihat sendiri bagaimana nilai-nilai baik ajaran Islam yang biasanya hanya tercatat dalam buku-buku atau kitab-kitab, menjadi budaya dan amalan dalam kehidupan harian masyarakat bukan Islam di sana.
Kata pepatah Inggeris “seeing is believing”, rasa macam tidak percaya nilai-nilai murni yang selalu kita dengar dari ustza-ustaz ini tidak mustahil boleh diamalkan setelah melihat kepada kehidupan masyarakat bukan Islam di Perth.
Kita tidak akan nampak cara hidup Islam kalau pergi ke Islamabad, Dacca, malah Mekah sekalipun, walaupun semua itu adalah kota Islam.
 Mengapa kota-kota Islam ini penuh dengan peminta sedekah? Padahal Negara Islam sangat kaya dengan hasil bumi. Islam juga tidak pernah mengajarkan lebih baik untuk menjadi peminta sedekah. Islam ajar kita, tangan yang di atas itu adalah lebih baik dari tangan yang di bawah. Tetapi ramai umat Islam mahu menjadi tangan yang di bawah walaupun di sisi Tuhan, tangan yang di atas itulah yang lebih baik.
Di Negara kita hari-hari akhbar melaporkan berita pembunuhan, rompakan, pecah rumah, samun, ragut dan penculikan. Kita sentiasa berasa bimbang dengan keselamatan rumah dan anak-anak kecil kita.
Pada anggapan kita, tidak akan ada pencuri yang berani masuk ke kuaters kediaman polis diraja Malaysia, kalau masuk juga memang pencuri itu hendak menempah maut. Tapi lihatlah, semua tingkap dan pintu rumah kuaters polis dipasang dengan jeriji besi. Kalau rumah kuaters polis pun dipasang jeriji besi, bolehkah rumah kita yang bukan polis ini selamat dari kecurian kalau tidak dipasang jeriji besi?
Kalau pencuri takut hendak masuk dalam kawasan kuaters polis ini, siapa pula yang jadi pencuri dalam kuaters polis ini, hingga memaksa rumah-rumah mereka dipasang jeriji besi? Mungkin anda ada jawapannya.
Kalau hotel di Malaysia, bukan saja pada pintunya ada lubang tinjau untuk mengetahui siapa orang yang mengetuk pintu bilik hotel kita, malah dilengkapkan dengan selak berantai untuk keselamatan kita, tetapi hotel tempat penginapan saya di Perth tidak memerlukan itu semua. Anak saya berumur tujuh tahun bebas keluar masuk hotel sendirian tanpa kita berasa bimbang. Pernah sekali dia menangis di depan pintu bilik hotel kerana tidak dapat masuk disebabkan kami tidak dapat mendengar dia mengetuk pintu. Selepas mendengar ketukan pintu yang kuat kami buka pintu dan mendapati beberapa orang warga tempatan bersama anak saya. Mereka telah membantu mengetukkan pintu untuk anak saya.
Sebaik saja keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Perth, kami terus menuju ke tempat teksi untuk menaiki teksi ke hotel. Tidak nampak pemandu-pemandu teksinya menyerbu kita berebut penumpang seperti di tempat kita, sebaliknya kita boleh bebas memilih mana-mana teksi dan pemandu yang kita suka. Mereka mengenakan bayaran mengikut meter tanpa caj tambahan walaupun pukul 3 pagi. Mereka tidak pernah timbulkan masalah tidak dapat penumpang semasa mereka balik dari hotel nanti, seperti alasan yang selalu diberikan oleh pemandu teksi di Negara kita untuk menuntut caj lebih.
Sepanjang 5 hari di Perth kami banyak menggunakan bas untuk bergerak di pusat Bandar Perth. Perkhidmatan bas pusat Bandar ini diberikan percuma. Walaupun percuma, perkhidmatannya sangat efisyen dan selesa, tidak padat dan sesak seperti bas yang berbayar di pusat Bandar Kuala Lumpur. Dengan menekan satu butang di tiang perhentian bas (bus stop), kita akan diberitahu berapa minit lagi bas akan sampai.
Pemandu bas sanggup bangun dari tempat duduknya semata-mata untuk bantu mengangkat kereta sorong anak saya turun dari bas. Sudahlah kita tak bayar satu sen untuk naik bas, kemudian dia bantu pulak anak saya turun bas. Kalau di tempat kita, orang yang bertaraf ‘ustaz’ pun belum tentu boleh lakukan kebaikan seperti itu.
Walaupun saya tidak ternampak orang berstatus orang kurang upaya (OKU) di Bandar Perth ini, tetapi saya boleh menyorong atau menolak kereta sorong (baby stroller) anak saya sepanjang bahu jalan dengan selesa dan lancar, tanpa ada rintangan atau sekatan. Memang Bandar ini betul-betul mesra OKU.
Ibu saya sangat tersentuh dan kagum dengan sikap masyarakat di Perth apabila melihat seorang tua membuang kertas pembalut aiskrim ke dalam tong sampah. Sebaik dia mencampakkan kertas pembalut itu ke dalam tong sampah, angin bertiup kencang dan kertas itu terbang melayang sebelum sempat masuk ke dalam tong. Orang tua itu bertindak cepat mengejar sampah yang diterbangkan oleh angin itu. Kalau kita di Malaysia, kita hanya akan membiarkan saja sampah itu melayang ditiup angin dan menganggapnya sebagai perkara kecil saja.
Melihat kepada sikap dan nilai baik yang diamalkan oleh masyarakat Perth ini, ibu saya akur, masyarakat Perth ini telah mengamalkan akhlak ‘baik’ yang telah dituntut oleh ajaran Islam. Ini termasuklah sikap amanah, rajin, suka membantu, tidak mementingkan diri. Seolah-olah di sinilah dia nampak nilai-nilai Islam itu dipraktikkan. Barulah dia tahu nilai-nilai baik ajaran Islam itu tidak mustahil untuk dimasyarakatkan, bukan sekadar teori saja.
Sekarang menjadi tugas kita pula untuk mengkaji bagaimana Australia amnya atau Perth khususnya boleh melahirkan masyarakat berakhlak ‘baik’ walaupun bukan beragama Islam. Alangkah cantiknya kalau Negara kita dapat melahirkan masyarakat seperti itu, apatah lagi ditambah pula dengan beriman dengan Tuhan yang Maha Esa.
Mungkin selama ini tanpa kita sedari kita telah mendidik anak-anak dan masyarakat Malaysia kearah mengejar material dan duit sahaja, dan tidak menitik beratkan nilai-nilai kemanusiaan. Kita hanya mengkutbahkan nilai-nilai baik dan nilai kemanusiaan tetapi tidak memberi apa-apa latihan untuk mendidik mereka ke arah itu.
Kalau kita teliti, perlakuan merompak, menculik, meragut, menipu, pecah amanah, rasuah, semuanya itu adalah gejala yang bermatlamatkan duit. Tuhan dan kiblat mereka adalah duit sehingga lupa tentang dosa dan pahala. Mereka langsung tidak rasa bersalah mendapatkan duit dengan cara merompak, menipu dan rasuah. Pada mereka, duit tidak ada haram dan halal, hanya daging babi saja yang haram.

Sistem dan nilai masyarakat kita sudah berada pada tahap yang teruk sekali. Sama-samalah kita memikir dan bertindak untuk memperbaikinya.

Friday, June 22, 2012

Jangan salah faham, saya penyokong demokrasi bukan penyokong parti pembangkang


Saya adalah penyokong tegar sistem politik demokrasi. Islam adalah agama yang mencintai damai dan selamat. Saya dapati demokrasi memenuhi ciri-ciri damai dan selamat, dan ini sangat bertepatan dengan kehendak Islam. Kalau di masa dulu perebutan kuasa untuk menjadi ketua, pemimpin atau raja sering diiringi oleh keganasan, perang, pembunuhan dan penginayaan. Banyak jiwa rakyat terkorban semata-mata berebutkan kuasa.

Demokrasi bukan agama baru, demokrasi hanya alat yang dicipta oleh manusia, yang sama juga seperti kereta yang dicipta oleh manusia untuk kemudahan mereka. Dengan menaiki kereta, ia tidak akan mengurangkan keIslaman kita, dan kalau kita kekal untuk terus memilih menaiki unta, ia tidak juga akan menambah keIslaman kita. Sebaliknya kalau memilih menaiki kereta, perjalanan kita tentu lebih selesa dan cepat sampai.

Selain dari sebuah sistem atau mekanisma yang dapat mengelakkan pertumpahan darah dan korban jiwa yang banyak dalam proses memilih pemimpin yang berkuasa, demokrasi juga menyediakan platform yang adil supaya setiap calun-calun yang bertanding mendapat peluang dan ruang yang sama untuk menang. Mereka diberi kebebasan bersuara seluas-luasnya, mendapat liputan yang adil dari media perdana samada media kerajaan atau swasta.

Tidak mungkin pihak lawan boleh menang dalam suatu pertandingan kalau mulut mereka ditutup dan kakitangan mereka diikat.

Pilihanraya yang bersih, adil dan bebas adalah perkara paling pokok dalam sistem demokrasi. Matlamat demokrasi tidak akan tercapai dan demokrasi tidak akan memberi apa-apa makna jika pilihanraya dipenuhi dengan amalan penipuan dan berat sebelah.

Hanya sistem demokrasi yang baik dan sempurna sahaja yang dapat menyediakan ruang ‘check and balance’ kepada pemimpin yang berkuasa. Saya begitu yakin, demokrasi yang baik adalah satu-satunya harta yang sangat bernilai yang patut kita tinggalkan kepada anak-anak kita, demi kebaikan masa depan mereka yang lebih baik. Di tangan pemimpin kita yang baik, nasib rakyat amnya dan anak-anak kita khususnya akan sentiasa terbela.

Hanya dengan demokrasi yang baik dan sempurna sahaja kita dapat memenangkan pemimpin yang baik.

Kalau saya penyokong demokrasi, kenapa saya banyak mengkritik UMNO dan BN?

Buat apa saya buang masa hendak mengkritik pembangkang atau Pakatan Rakyat kerana penentuan pelaksanaan amalan sistem demokrasi yang baik itu adalah terletak ditangan UMNO dan BN sebagai kerajaan yang berkuasa. Merekalah yang menentukan hitam putih demokrasi itu, mereka berkuasa mencabul dan merubah prinsip demokrasi. Mereka jugalah yang menentukan bagaimana tatacara pilihanraya itu dijalankan.  Oleh itu, memanglah tepat kalau saya berterusan mengkritik UMNO dan BN, kerana perjalanan dan penentuan amalan demokrasi itu adalah di tangan mereka.

Atas sebab ingin memulihkan amalan demokrasi di Negara ini jugalah saya terus memberi sokongan penuh kepada gerakan BERSIH.

Kedegilan UMNO untuk mengadakan pilihanraya bersih, adil dan bebas dengan memperlekeh tuntutan BERSIH patut dihukum dengan cara memberi sokongan padu kepada parti pembangkang. UMNO gagal  menjalankan amanah untuk menjaga kesucian demokrasi, oleh itu memang patut pihak lain pula untuk diberikan kuasa untuk menjaga amanah yang amat penting ini.

Perjuangan saya untuk pemulihan demokrasi ini juga tidak akan terhenti apabila Pakatan Rakyat berjaya menguasai Putrajaya. Saya akan terus memastikan demokrasi terus dihormati walaupun terpaksa mengkritik kerajaan yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat ketika itu.

Monday, June 18, 2012

Wokshop Kita, Institusi Kemahiran Mekanik swasta terawal di Kuala Pilah

Ishak bin Mat Aris seorang yang berpandangan jauh dan bercita-cita tinggi untuk memajukan orang-orang Melayu telah menubuhkan sebuah kolej kemahiran mekanik di Kuala Pilah pada tahun 1960 an.

Pengalaman dan ilmu yang ditimba semasa bekerja di bahagian teknikal dalam tentera udara British di Singapura tidak mahu disia-siakan begitu sahaja. Dia ingin ilmu dan pengalaman luas yang dimilikinya itu dikembangkan kepada generasi muda terutamanya orang-orang Melayu.

Sekembalinya dari Singapura selepas tamat berkhidmat, beliau tidak menunggu lama untuk menubuhkan sebuah kolej bagi melatih anak-anak muda Melayu dalam bidang mekanikal, khususnya baik pulih kenderaan bermotor.

Ishak sedar, orang-orang Melayu di waktu itu sangat kurang yang mempunyai kemahiran dalam bidang mekanik kenderaan bermotor. Oleh itu beliau berasa bertanggungjawab untuk memajukan orang-orang Melayu dan telah mengambil daya usaha sendiri untuk mencapai impiannya itu melalui penubuhan sebuah kolej. Inilah sikap yang terpuji yang dimiliki oleh Tuan Ishak Mat Aris, beliau begitu perihatin dengan keadaan ekonomi dan kemampuan orang-orang Melayu ketika itu.

Dengan ilmu dan kemahiran tinggi yang beliau miliki itu, beliau boleh saja memilih untuk bekerja makan gaji dengan syarikat-syarikat besar dan tidak perlu memilih laluan susah payah bagi menubuhkan sebuah kolej yang memerlukan perbelanjaan besar itu.

Tuan Ishak Mat Aris adalah adik beradik dengan Dr. Khaidir Mat Aris yang kini sedang bertugas sebagai doktor pakar di Hospital Johor Specialist, Jalan Abd Samad, Johor Bahru. Ini menunjukkan kepada kita, Tuan Ishak adalah datang dari keluarga yang sangat mengambil berat tentang pelajaran dan ilmu pengetahuan. Mungkin sebab itu jugalah Tuan Ishak bersungguh-sungguh untuk menubuhkan kolej kemahiran mekanik kenderaan bermotor ini, kerana dari kehidupan yang dilaluinya, beliau tahu dan sedar, dengan pelajaran dan ilmu sahaja yang boleh mengubah kedudukan ekonomi atau taraf hidup orang-orang Melayu.

Tuan Ishak telah membina kolejnya di dalam bekas bangunan woksyop baik pulih keretapi Kuala Pilah yang terletak di kawasan pasar basah Kuala Pilah sekarang ini. Dalam bangunan bekas woksyop keretapi inilah beliau membina bilik-bilik yang mengandungi bilik kuliah, bilik asrama pelajar, dewan makan, ruang menempatkan enjin dan alat bantu mengajar, ruang dapur dan bilik-bilik untuk kediaman keluarga beliau.

Beliau menamakan kolej ini dengan nama Wokshop Kita. Jelas dari nama itu menggambarkan beliau seorang yang tidak mementingkan diri sendiri, sebaliknya sentiasa memikirkan faedah bersama atau faedah orang ramai. Beliau telah mengiklankan dalam akhbar-akhbar tempatan bagi pengambilan pelajar-pelajar baru. Pelajar beliau datang dari merata negeri di Semenanjung, dari Perlis hinggalah ke Johor. Setiap pelajar dikenakan yuran pengajian dan yuran makan, bagi menampung operasi kolej.

Dari segi politik, Tuan Ishak adalah penyokong kuat Parti PAS. Mungkin aliran politik beliau yang berbeza dengan parti kerajaan yang memerintah, maka usaha beliau ini kurang mendapat sokongan dari pihak yang berkuasa. Malah bekalan elektrik pun tidak pernah mendapat kelulusan untuk dibekalkan ke bangunan kolej beliau itu.

Dari mula kolej ini ditubuhkan ia terus mendapat sambutan, bilangan pelajarnya bertambah dari setahun ke setahun, pelajar-pelajar yang lulus dari kolej ini mudah mendapat pekerjaan. Bilangan guru yang mengajar pun bertambah.

Selepas tahun 1970, kolej ini menghadapi masa malapnya. Selain dari tidak mendapat sokongan kerajaan, punca kemalapan kolej ini kerana selepas peristiwa 13 Mei 1969, kerajaan mula membina banyak kolej-kolej kemahiran untuk belia di Negara ini sebagai langkah untuk memajukan taraf sosio-ekonomi orang-orang Melayu yang jauh ketinggalan dari kaum lain itu.

Kolej-kolej kemahiran yang diberikan secara percuma oleh kerajaan ini telah menyebabkan kemerosotan bilangan pelajar kolej Wokshop Kita Tuan Ishak di Kuala Pilah ini.

Oleh kerana tidak mampu lagi bersaing dengan kolej-kolej kemahiran yang disediakan kerajaan, maka tahun 1973 kolej Wokshop Kita ini telah dihentikan operasinya.

Apapun Tuan Ishak telah memulakan satu usaha yang murni bagi memajukan orang-orang Melayu, malah beliau lebih mendahului kerajaan dalam usaha menyediakan ilmu kemahiran kepada belia-belia Melayu. Semoga Tuhan menerima amal baik beliau itu.

Secara peribadi saya kagum dengan apa yang telah diusahakan oleh beliau itu, saya dapat memerhati dengan dekat perjalanan kolej Tuan Ishak ini. Pada waktu itu saya masih kanak-kanak lagi dan sering mengikut ibu saya yang bekerja di kolej ini, ibu saya bekerja sebagai tukang masak di kolej ini.

Thursday, May 17, 2012

Mufti dan Ketua Agama


Semasa Semenanjung Tanah Melayu berada di bawah kawalan kerajaan British dahulu, Raja-raja Melayu diberi kuasa untuk menjaga hal ehwal agama Islam dan adat istiadat orang-orang Melayu.

Setelah Tanah Melayu merdeka, tugas itu terus dikekalkan dengan Sultan dan Raja-raja Melayu digelar Ketua Agama Islam kepada negeri-negeri baginda.

Sebenarnya tidak wujud dalam Islam jawatan yang dipanggil Ketua Agama Islam itu. Yang ada hanyalah Pemimpin Umat Islam atau Pemimpin Negara Islam. Ketua Agama ini hanyalah jawatan yang diwujudkan oleh penjajah British sahaja.

Memang orang-orang Melayu sangat sensitif dengan adat dan agamanya. British sudah maklum akan perkara ini. Oleh itu untuk memudahkan mereka mentadbir negeri-negeri Melayu ketika itu tanpa ada gangguan, pihak British telah memberi pengiktirafan kepada Raja-raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam dan adat istiadat Melayu. Orang-orang Melayu pun rasa senang hati kerana mereka menganggap Bristish telah memuliakan dan menghormati Sultan dan Raja mereka.

Jawatan Ketua Agama hanya wujud dalam agama-agama lain sahaja termasuklah agama Kristian. Ketua Agama Kristian dipanggil Pope. Dalam Islam tidak ada Ketua Agama, yang ada hanyalah ulamak-ulamak yang muktabar. Umat Islam di bawah aliran sunnah waljamaah pernah berada di bawah beratus ulamak-ulamak yang muktabar, antara ulamak yang terkenal termasuklah Imam Shafie, Imam Maliki, Imam Hambali dan Imam Hanafi yang telah membentuk mazhab mereka tersendiri.

Secara peribadi saya tidak berapa suka meletakkan Sultan atau Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam kerana ini adalah jawatan yang diwarisi dari penjajah British. Adalah lebih manis dan lebih sesuai jika jawatan itu ditukar kepada Penaung Agama Islam dan bukan Ketua Agama Islam.

Dalam ajaran Islam tidak wujud Ketua Agama Islam, yang ada hanya pemimpin umat Islam atau pemimpin Negara Islam. Kita tidak pernah menggelarkan Khalifah Abu Bakar As Sidiq sebagai Ketua Agama Islam, sebaliknya beliau adalah pemimpin umat Islam di zamannya.

Sepanjang sejarahnya, apabila berlaku permasalahan yang menyentuh maslahat umat Islam, mereka akan merujuk kepada ulamak yang muktabar di zaman mereka. Selalunya ulamak-ulamak yang mereka rujuk adalah ulamak yang ada kredibiliti dan integriti, yang pandangannya sangat dihormati oleh masyarakat.

Semua pandangan dari ulamak-ulamak ini dianggap sebagai fatwa yang harus dipatuhi, sebagai panduan yang betul untuk mereka menjalani kehidupan ini.

Tetapi sekarang, peranan mengeluarkan fatwa ini telah diambil alih oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang ahli muzakarahnya terdiri dari mufti-mufti di setiap negeri.

Untuk menjamin fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan ini betul-betul ada kredibiliti, maka kenalah dipastikan terlebih dahulu setiap anggota yang duduk dalam majlis itu terdiri dari orang-orang yang ada kredibiliti dan integriti.

Oleh itu untuk menjaga kredibiliti setiap fatwa yang diputuskan, maka kenalah terlebih dahulu dipastikan mufti-mufti yang menganggotai Majlis ini benar-benar bebas dari pengaruh penguasa terutamanya dalam soal perlantikannya.

Kita tidak mahu mufti kita sama tarafnya dengan mufti di Negara Soviet Union di satu masa dulu. Walaupun institusi mufti ada tetapi mereka terikat dengan kehendak dan aspirasi regim Moscow.

Fatwa oleh ulama dan mufti yang bebas bukan sahaja akan dipatuhi oleh rakyat sesuatu Negara itu tetapi juga turut dihormati dan dipatuhi oleh masyarakat Islam seluruh dunia.

Sebagai contoh, ulama Yusof Al Qardhawi dari mesir, dia bukan sahaja dapat membebaskan dirinya dari pengaruh mana-mana kumpulan politik tetapi juga bebas dari segala kepentingan duniawi.

Tidak hairanlah kalau fatwa beliau dihormati bukan sahaja oleh masyarakat Mesir tetapi juga oleh masyarakat Islam seluruh dunia.

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis, juga dianggap sebagai ilmuwan Islam yang sangat dihormati pandangan dan pendapatnya pada masa sekarang ini. Ramai umat Islam di Malaysia yang mengambil pendapatnya sebagai fatwa yang harus menjadi panduan yang betul dan bersesuaikan dengan semangat ajaran Quran dan Islam.

Oleh itu mesti ada pemisahan kuasa antara pihak esekutif atau penguasa dengan institusi mufti bagi menjaga kredibiliti setiap fatwa yang diputuskan.

Kemungkinan berlaku berlainan pandangan dan pendapat antara institusi mufti yang bebas dan penguasa tentu ada. Tetapi ini lebih baik dari mempunyai mufti yang fatwa mereka sentiasa mengikut telunjuk penguasa. Sedangkan fatwa mestilah tidak boleh sama sekali bercanggah dengan ruh Al Quran dan Sunnah, dan tidak boleh tunduk dengan kepentingan-kepentingan lain.

Pernah seorang Mufti telah dipecat hanya disebabkan tidak hadir dalam satu majlis Sultan dan di waktu yang sama Sultan melantik orang lain pula untuk menjadi mufti. Kalau sebegitu mudahnya seorang mufti dilantik dan dipecat, dapatkah fatwa yang diputuskan oleh mereka ini bebas dari kepentingan mana-mana pihak?

Tugas institusi mufti yang bebas adalah megeluarkan fatwa terhadap sesuatu isu, terpulanglah kepada pihak penguasa dan rakyat untuk mematuhinya atau pun tidak. Sebagai contoh, andaikata perhimpunan BERSIH 3.0 yang disertai oleh rakyat jelata itu diputuskan fatwanya oleh institusi mufti sebagai harus, maka tidak semestinya pihak parti pemerintah memecat mufti-mufti ini kerana bercanggah dengan kepentingan mereka. Yang pentingnya di sini ialah orang ramai telah mendapat panduan tentang halal dan haramnya berkaitan perhimpunan itu.

Di sinilah pentingnya institusi mufti yang bebas, supaya fatwa yang diputuskannya tidak di pengaruhi oleh penguasa dan tidak terikat dengan apa-apa kepentingan selain dari memberi garis panduan yang betul kepada umat Islam bersesuaian dengan ruh Al Quran dan sunnah nabi, demi kesejahteraan dan keberkatan hidup manusia itu sendiri.

Sunday, May 06, 2012

Demokrasi adalah harta paling berharga untuk ditinggalkan kepada anak-anak kita

Boleh dikatakan semua orang bekerja adalah untuk mencari kehidupan yang lebih selesa dan berusaha untuk mencari harta kekayaan, bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga untuk anak-anak setelah mereka tiada nanti.


Kita tidak mahu anak-anak kita hidup susah seperti kita di suatu masa dulu, oleh itu dengan harta kekayaan yang dapat kita kumpul itu, kita harap akan dapat menjamin anak-anak kita tidak hidup susah, terutamanya selepas kita meninggal dunia nanti.

Sebenarnya itu semua hanyalah perancangan kita saja, apa yang kita rancang tidak semestinya akan berjalan seperti yang kita kehendaki.

Walau berjuta wang dan nilai harta yang kita tinggalkan, belum tentu ia dapat menjamin anak-anak kita boleh hidup senang dan tidak menjadi miskin.

Nilai wang satu juta ringgit mungkin terlalu besar dan mewah bagi anak seorang pekebun kecil, tetapi bagi anak-anak yang biasa hidup mewah, yang tidak pernah rasa susah, yang tidak pernah menggunakan pengangkutan awam, mempunyai pemandu dan pembantu rumah, wang satu juta ringgit mungkin tidak membawa apa-apa makna kepada mereka.

Oleh itu berhentilah dari terus berangan-angan dan mengharapkan anak-anak kita akan terjamin tidak akan hidup susah dengan harta dan wang berjuta yang kita tinggalkan.

Tidak ada jaminan anak-anak yang ditinggalkan harta yang banyak ini tidak akan joli dan hidup berfoya-foya selepas ketiadaan kita. Kegagalan anak-anak ini mengurus dan menggunakan harta dengan baik akan menyebabkan mereka jatuh miskin dan melalui kehidupan yang susah.

Hanya satu harta saja yang paling berharga yang paling baik untuk kita tinggalkan kepada mereka, harta itu tidak lain ialah demokrasi.

Demokrasi adalah sistem pemerintahan oleh rakyat yang dipilih oleh rakyat. Pemimpin yang dipilih melalui demokrasi adalah pemimpin yang membela kehidupan rakyat. Dalam sistem demokrasi, pemimpin tidak ada kepentingan diri, rakyat mempunyai peluang yang sama untuk berjaya, keadilan sentiasa ditegakkan.

Kita tidak terkilan kalau anak-anak kita menjadi miskin kerana mereka malas dan tidak mahu berusaha. Tetapi yang kita akan terkilan ialah kalau anak-anak kita terus hidup susah walaupun rajin berusaha, ini menunjukkan terdapat kepincangan dan sesuatu yang tidak kena dalam sistem pemerintahan yang mana rakyat tidak mempunyai peluang yang sama dan tidak ada keadilan sosial.

Demokrasi menjamin orang yang baik-baik, yang rajin berusaha akan mempunyai peluang yang besar untuk berjaya, manakala orang yang kurang bernasib baik akan mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Demokrasi yang cacat dan demokrasi yang dimanipulasi akan merosakkan matlamat dan tujuan baiknya. Kepimpinan Negara akan menjadi hak milik keluarga dan kelompok mereka. Di bawah demokrasi yang telah dimanipulasi, kepimpinan Negara akan menjadi seperti dinasti dan institusi raja. Mereka akan terus memanipulasi demokrasi supaya kepimpinan Negara akan terus menjadi warisan keluarga dan kelompok mereka.

Mereka tidak tidak boleh terima pemerintahan Negara jatuh kepada pihak lain. Pemerintahan Negara dianggap seperti telah menjadi harta kepunyaan emak bapak mereka. Mereka tidak boleh terima anak-anak mereka akan jadi penoreh getah dan pengait kelapa sawit, kerana mereka sudah biasa hidup mewah, mempunyai pemandu, pembantu rumah, tukang kebun, tinggal di rumah agam berhawa dingin.

Itu sebablah mereka sedaya upaya sanggup menggunakan segala macam taktik yang tidak bermaruah dan melanggar rukun dan prinsip demokrasi itu sendiri demi untuk meneruskan penguasaan tampuk pemerintahan Negara.

Tidak kepalang harta Negara dibelanjakan dengan sewenang-wenangnya untuk menampung gaya kehidupan mewah mereka dan keluarga mereka. Projek-projek kerajaan di bahagi sesama kelompok mereka. Selain dari menjadi ADUN dan Wakil Parlimen, mereka dan keluarga terus bergantung dengan keuntungan dan komisyen yang tinggi dari projek-projek mega kerajaan dalam menampung gaya hidup mewah mereka.

Sebenarnya kita, rakyat yang membayar cukailah yang akan membayar dan menampung segala kos kehidupan mewah mereka itu.

Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya kepincangan dan ketidakadilan sosial dalam Negara kita. Rakyat tidak mendapat peluang secara adil, merit dan kebolehan tidak mendapat tempat yang wajar.

Sungguh malang, demokrasi di Negara kita terus dicabul, sehingga rakyat tidak tahu lagi bagaimana wajah demokrasi yang sebenar.

Pemimpin negara boleh dengan muka selamba tanpa segan silu berucap dalam dalam TV kerajaan (RTM) meminta orang ramai memberi sokongan kepada UMNO dan BN, walhal RTM bukan dibiayai oleh wang UMNO untuk menjadi alat kempen mereka. Kalau di Britain, kesalahan seperti ini sudah cukup untuk pemimpinnya ditolak dalam pilihanraya.

Ramai rakyat Negara kita masih buta demokrasi, mereka tidak faham demokrasi selain dari aktiviti membuang undi dalam pilihanraya. Mereka tidak sedar dan tidak tahu pun demokrasi di Negara ini telah banyak dicabul oleh pemerintah. Kita tidak pernah pun belajar subjek demokrasi di sekolah. Kita tidak pernah tahu apa yang betul dan apa yang salah dalam amalan demokrasi.

Pilihanraya yang bersih, bebas dan adil adalah sebahagian dari hak kita dalam demokrasi. Pemerintah sekarang ada sebab kuat untuk menghalang pilihanraya yang bersih dan adil dari dilaksanakan. Pilihanraya yang kotor adalah satu dari mekanisma untuk meraih kemenangan dan mengekalkan kuasa mereka. Mereka tidak mementingkan kebaikan masa depan rakyat, sebaliknya hanya berminat untuk mengekalkan hidup mewah dinasti mereka.

Secara sistematik, media perdana, institusi mufti, makamah, pihak berkuasa seperti polis dan tentera, semuanya dikawal dan dikuasai untuk menyokong mereka. Dengan itu suara bantahan oleh rakyat dapat disenyapkan.

Kita tidak kesal kalau anak-anak kita dihukum penjara kerana telah melakukan kesalahan dan jenayah. Tetapi kalau makamah telah korup, dan anak kita dijatuhkan hukum penjara kerana hanya tidak mampu untuk membeli hakim, apakah yang dapat kita lakukan di masa itu, nasi sudah menjadi bubur.

Oleh itu adalah menjadi kewajiban dan tanggung jawab kita semua untuk membela demokrasi dari dicabul. Hak-hak dan prinsip demokrasi mesti sentiasa terpelihara dengan baik dan harus kita perjuangkan untuk kebaikan kita dan anak-anak yang kita akan tinggalkan.

Insyallah kalau kita mati dengan demokrasi terpelihara dengan baik, kita akan mati dengan mata tertutup. Sama-samalah kita pastikan demokrasi yang bebas dan adil terus tertegak gagah dan dihormati di bumi Negara kita ini, kerana dengan itu saja nasib anak-anak yang kita tinggalkan akan terbela.

Tidak sangsi lagi, kita adalah berada di atas landasan yang betul untuk menyertai sokongan terhadap pemulihan demokrasi yang bebas dan adil, dan menyokong kuat untuk mendapatkan sebuah pilihanraya yang bersih, bebas dan adil.

Tuesday, May 01, 2012

BERSIH 3.0 memang memalukan, tetapi ia adalah ubat yang mujarab

Memang kita faham, kesan dari demonstrasi besar-besaran yang membantah polisi kerajaan Perdana Menteri (PM) akan memalukan dan menjatuhkan maruah PM. Tetapi PM kenalah terima hakikat bahawa kebebasan berhimpun, kebebasan menyuarakan pendapat adalah sebahagian dari ciri-ciri sistem demokrasi yang kita junjung ini.


Kami juga tahu, PM juga suka kepada demontrasi tetapi demontrasi yang diadakan oleh PERKASA, PEKIDA dan Hassan JATI.

Kami juga tahu, PM akan berasa lega dan teramat suka kalau perhimpunan atau demontrasi yang dianjurkan oleh BERSIH hanya dapat menarik kehadiran orang ramai sejumlah 500 orang sahaja. Dan pada hari besoknya akan keluar di muka depan akhbar utama, “PERHIMPUNAN BERSIH TIDAK MENDAPAT SAMBUTAN”.

Kerana seronok dengan tajuk-tajuk berita macam inilah maka PM telah menggunakan media, makamah dan agensi-agensi penguatkuasa yang ada termasuk polis dan DBKL bagi menghalang perhimpunan dari diadakan, tujuannya tidak lain ialah bagi menakut-nakutkan orang ramai menyertai perhimpunan atau mengurangkan bilangan orang ramai yang hadir.

Antara halangan-halangan yang dilakukan dalam usaha mengurangkan orang ramai menyertai demontrasi bantah ini ialah dengan cara tidak memberi permit polis, atau beri permit polis tetapi tidak boleh buat di Stadium Merdeka, atau beri permit polis tetapi tidak boleh buat di Dataran Merdeka. Semua syarat-syarat ini diwujudkan bagi cubaan menghalang atau mengurangkan orang ramai untuk hadir.

Rakyat juga ditakut-takutkan, seperti pihak polis menemui beberapa bilah parang dan bom Molotov cocktail beberapa hari sebelum hari perhimpunan (sampai sekarang tidak ada tangkapan dibuat), guru-guru akan diambil tindakan jika menyertai perhimpunan BERSIH dan lain-lain ugutan lagi. Semua ini adalah sebahagian dari strategi halus bagi mengurangkan kehadiran orang ramai.

Halangan-halangan dan sekatan ini sengaja diadakan supaya di hari besoknya, selepas hari perhimpunan di adakan, akan keluar tajuk muka depan akhbar-akhbar utama, “PERHIMPUNAN BERSIH TIDAK MENDAPAT SAMBUTAN”. Tajuk berita seperti inilah yang sangat disukai oleh PM.

Sebenarnya PM cuba membohongi diri beliau sendiri, tidak mahu menerima kenyataan.

Di Negara-negara maju, pemimpin-pemimpin mereka tidak menghalang demontrasi bantah, mereka mengambil demontrasi sebagai petunjuk atau feedback kepada polisi-polisi yang mereka laksanakan. Kalau lagi ramai rakyat yang hadir dalam suatu demontrasi itu, ini dapat memberi isyarat awal kepada mereka untuk memperbaiki polisi-polisi yang mereka perkenalkan sebelum kepimpinan mereka di tolak oleh rakyat dalam pilihanraya.

Masih ingatkah lagi akan demontrasi jalanan Hindraf pada masa PM Tun Abdullah Ahmad Badawi dulu? Tun Abdullah terlalu terpesona dengan khabar-khabar indah yang disampaikan oleh Samy Velu yang dikatakan sebagai saluran yang betul untuk kaum India menyampaikan masalah mereka.



Kumpulan Hindraf dipandang remeh dan dianggap masalah kecil, malah suara mereka disenyapkan. Oleh kerana demontrasi jalanan Hindraf tidak diberi permit malah mereka diugut, kerajaan telah tidak dapat melihat dengan jelas berapa besar saiz ‘bungkah ais’ yang berada di bawah permukaan. Sehinggalah bila melihat kepada keputusan pilihanraya umum 2008, barulah Tun Abdullah tahu besarnya ‘bungkah’ yang tidak kelihatan itu. Kapal Titanic pun boleh tenggelam.

Nampaknya PM Najib pun tidak mahu belajar dari kesilapan PM Tun Abdullah dalam menghadapi demontrasi jalanan. Seperti Tun Abdullah dan Tun Mahathir, PM Najib juga menganggap demontrasi bantah sebagai perkara yang memalukan dan tidak pernah mengambilnya sebagai ubat pahit yang mujarab.

Friday, April 27, 2012

Menjadi kewajiban kita untuk memperjuangkan pilihanraya yang bersih

Pilihanraya yang bebas dan adil adalah rukun utama dalam sistem demokrasi. Demokrasi tidak bermakna kalau tanpa pilihanraya yang bebas dan adil.


Banyak pemimpin-pemimpin Negara ketiga telah memunipulasi pilihanraya untuk memastikan mereka dapat terus mengekalkan kuasa mereka. Bertopengkan demokrasi untuk mengabui dunia, tetapi menggunakan mekanisma pilihanraya yang kotor dan tidak telus untuk memastikan keputusan pilihanraya akan sentiasa berpihak kepada mereka.

Demokrasi adalah satu kaedah di mana pemimpin yang terbaik yang disukai rakyat dapat terpilih untuk memimpin mereka tanpa melalui kekerasan dan pertumpahan darah. Islam, agama yang menyanjung tinggi keamanan, kedamaian dan keselamatan, sudah tentu Islam juga akan menyokong sistem yang baik seperti ini.

Dalam sejarah Islam pun telah banyak berlaku peperangan sesama sendiri dalam merebut kuasa politik, sehingga mereka pasrah untuk mengambil sistem dinasti dan raja untuk mengatasi berlakunya pertumpahan darah sesama umat ini. Alhamdulilah, kini kita telah ada sistem yang lebih baik dari sistem dinasti dan raja, iaitu demokrasi bagi menentukan pemimpin Negara.

Tetapi kita hanya akan dapat manafaat yang betul dan nasib rakyat akan terbela kalau sistem demokrasi yang kita dukung ini dapat berjalan dengan baik dan betul, barulah ia dapat mencapai matalamatnya.

Oleh itu demi kebaikan kita semua dan Negara kita, setiap dari kita mestilah sentiasa berusaha dan berjuang untuk memastikan amalan dan prinsip demokrasi sentiasa dipatuhi dan pilihanraya yang mendukung demokrasi ini hendaklah bebas, adil dan telus.

Pilihanraya hendaklah dijalankan dan dikendalikan secara adil, bebas dan telus, sehingga semua pihak yang bertanding berpuas hati.

Saya menyokong penuh usaha dan perjuangan Puan Ambiga dalam kapasitinya sebagai pejuang kepada pilihanraya yang bersih, bebas dan adil. Perjuangan beliau adalah setaraf dengan pejuang demokrasi Aung San Suu Kyi di Myanmar. Kepada saya Puan Ambiga adalah Aung San Suu Kyi Malaysia.

Adalah hak kita dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi untuk mendapat sebuah pilihanraya yang bersih, bebas dan adil.

Friday, April 20, 2012

Kalaulah monyet-monyet ini ada geran tanah



Rasa kesihan pun ada melihat monyet-monyet ini. Hari-hari ada saja warga monyet ini yang mati kena langgar kereta.


Monyet ini walaupun dikatakan sepesis haiwan yang paling hampir dengan sepesis manusia, tetapi semasa melintas jalanraya memang mereka tak pandai. Maklumlah monyet ini bukan pernah pergi sekolah macam kita. Manusia yang pergi sekolah ini pun kadang-kadang kena langgar juga oleh kereta semasa melintas jalan.

Agaknya semasa melintas jalan, monyet ini pandang kanan saja, sebab itu selalu kena langgar kereta, patutnya kenalah pandang kiri kanan barulah lintas.

Harap-harap pihak Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) dapat mengadakan talian jejantas untuk monyet-monyet ini menyeberang di kawasan biasa mereka melintas jalan. Kalau ada talian jejantas ini, bolehlah monyet-monyet ini menyeberang jalan dengan selamat dengan cara bergayut melalui tali-tali tersebut.

Talian jejantas ini mudah dan tidak mahal untuk dibina, hanya perlukan dua tiang yang ditanam di tepi kiri kanan jalan, kemudian tali atau kabel diikat bagi menyambungkan dua tiang ini bagi memudahkan monyet bergayut untuk menyeberang jalan.


Tidak dinafikan ramai juga yang tidak suka dengan kehadiran monyet-monyet ini. Monyet-monyet ini kadang-kadang mendatangkan kemarahan penduduk tempatan kerana merosakkan tanam-tanaman mereka, menyelongkar tong-tong sampah dan merosakkan harta-benda milik mereka.


Agaknya selama ini kebanyakan penduduk banyak buat aduan kepada MPJBT meminta pihak MPJBT menghapuskan monyet-monyet yang banyak mengganggu kehidupan mereka, bukan buat aduan untuk selamatkan monyet ini dari dilanggar kereta, sebab itu jugalah MPJBT tidak tergamak hendak membina talian jejantas seperti yang saya cadangkan di atas.

Penduduk lebih suka kalau monyet-monyet ini dilanggar mati oleh kereta, sekurang-kurangnya secara tidak langsung dapat mengurangkan jumlah monyet-monyet yang terdapat di kawasan kejiranan mereka dan semakin kuranglah gangguan dari monyet-monyet tersebut.

Sebenarnya siapa yang menceroboh kawasan siapa. Adakah monyet menceroboh kawasan manusia atau manusia yang telah menceroboh kawasan monyet? Taman perumahan ini dulu sebenarnya adalah bekas kawasan hutan belantara, di masa itu monyet-monyet lah yang menjadi penghuni kawasan ini. Ketika itu tanah dan hutan ini adalah tempat kediaman monyet yang sah, tetapi sayang mereka tidak mempunyai geran tanah sebagai bukti hutan dan tanah itu milik mereka.

Kalau bawa kes ini ke makamah pun monyet-monyet ini akan kalah, sebab mereka tidak ada geran dan bukti. Hutan tempat kediaman asal monyet-monyet ini telah dirampas oleh manusia. Manusia semakin rakus meneroka kawasan hutan untuk membina rumah-rumah dan bangunan bagi kegiatan hidup mereka, sedangkan kawasan kediaman monyet-monyet pula semakin sempit dan tidak siapa mahu ambil peduli tentang masalah kehidupan mereka.

Mungkin gangguan-gangguan yang ditimbulkan oleh monyet-monyet ini kepada penduduk di kejiranan yang berhampiran adalah sebagai protes menyedarkan manusia bahawa kawasan habitat kehidupan mereka semakin sempit dan sedang ditekan oleh pembangunan yang dilakukan oleh manusia.

Nabi Muhammad itu diturunkan bagi membawa rahmat kepada alam. Bukan sahaja manusia akan mendapat kebaikan dari ajaran Islam tetapi seluruh alam, termasuk haiwan seperti monyet ini juga harus mendapat kebaikan juga.

Setiap haiwan dan manusia dilahirkan oleh Tuhan ke dunia ini telah disediakan dengan keperluan asas yang sudah selesa untuk hidup dan disediakan habitat yang cukup sesuai yang dapat menyokong kehidupan mereka termasuklah oksigen, air dan tumbuh-tumbuhan.

Monyet-monyet ini Tuhan tumbuhkan bulu di seluruh badannya bagi melindungi badannya dari kesejukan. Mereka boleh hidup dengan selesa berumahkan pokok. Mereka tidak perlukan selimut dan atap genting bagi melindungi diri dari kena hujan. Kalau 200 tahun dulu, air hujan mungkin suci tanpa ada pencemaran, tetapi sekarang, saya tidak boleh bayangkan bagaimana monyet-monyet ini boleh bertahan menghadapi hujan asid dan toksid. Sedangkan mereka tidak ada hospital dan klinik untuk mendapatkan ubat kalau demam dan sakit.

Dalam begitu asyik memerhatikan sekumpulan monyet berhampiran taman perumahan saya, saya terlihat beberapa ibu monyet yang sedang mendukung anak-anak kecil mereka. Dalam hati kecil saya berkata, “Mereka tidak perlukan kereta sorong bayi (baby stroller) seperti manusia untuk membawa anak-anak mereka berjalan”.

Itulah beza haiwan lain dengan manusia. Walaupun manusia itu telah dijadikan Tuhan, selesa dengan keperluan asas yang disediakan tetapi Manusia sentiasa mencari dan mencipta keadaan yang lebih selesa. Mereka cipta berbagai mesin untuk memudahkan kerja dan urusan mereka.

Mereka telah cipta aircond untuk menyejukkan udara bilik kediaman mereka agar rasa lebih selesa. Mungkin mereka tidak sedar, aircond adalah mesin yang mengeluarkan haba panas yang terdapat dalam bangunan dan memindahkannya ke bahagian luar bangunan. Akhirnya udara luar akan menjadi lebih panas dari biasa. Tanpa kita sedar, apabila kita menambah keselesaan diri kita, sebenarnya dalam masa yang sama kita telah mengurangkan keselesaan di bahagian lain, itu adalah hukum perimbangan alam.

Cuaca buruk yang melanda dunia, gempa bumi dan berbagai bencana lagi berlaku hari ini adalah kesan dari tindakbalas bagi mencapai titik perimbangan yang telah diusik oleh manusia dalam kerakusan mengejar ‘keselesaan’.

 

Saya terdorong untuk menulis artikel ini kerana dalam perjalanan ke tempat kerja siang tadi saya terlihat seekor monyet sedang menggeletek menahan kesakitan di tengah-tengah jalan kerana dilanggar oleh kereta semasa melintas. Saya hanya mampu mengelak dari terus melanggarnya tanpa berdaya berbuat apa-apa untuk membantunya, hendak berhentikan kereta, bimbang kalau kereta di belakang akan melanggar kereta saya. Saya hanya mampu berdoa agar Tuhan memudahkan kematiannya dan menghapuskan penderitaannya. Sesungguhnya kehadiran mereka di dunia ini adalah sebahagian penyumbang manafaat kepada kehidupan kita manusia juga.

Thursday, April 19, 2012

PM Najib, Negarawan atau Durjanawan?

Semua orang mahu jasa dan nama mereka dikenang selepas mati, dan sudah tentu mereka mahu dikenang sebagai orang yang baik, bukan sebaliknya.


Pemimpin-pemimpin Negara yang telah banyak menabur jasa akan diingat sebagai negarawan, manakala pemimpin yang jahat akan diingat sebagai Durjanawan.

Abraham Lincoln dan Mahatma Ghandi adalah tokoh negarawan dunia yang akan diingat masyarakat dunia sepanjang masa. Mereka adalah pemimpin politik yang berpolitik secara bersih.

Hosni Mubarak bekas presiden Mesir mungkin dianggap negarawan oleh rakyat Mesir semasa era pemerintahaannya, dan sedikit masa lagi dia mungkin dilabel sebagai durjanawan.

Hosni mengamalkan politik kotor untuk memastikan beliau sentiasa menang dalam setiap pilihanraya yang diadakan.

Di zaman dahulu biasa kita dengar seorang pahlawan tidak akan membunuh musuhnya yang tidak bersenjata. Apabila Hang Jebat menyerahkan dirinya kepada Hang Tuah untuk membunuhnya, tidaklah Hang Tuah itu melakukannya sedemikian melainkan diberinya Hang Jebat sebilah keris untuk bertikam.

Itulah jiwa pahlawan Melayu di masa dulu, mereka lebih rela mati ditikam musuh dari membunuh musuh yang tidak bersenjata. Mereka itu lebih mengutamakan maruah dari kemenangan. Sepatutnya nilai mulia seperti ini perlu dilanjutkan kepada segala aspek kehidupan rakyat Malaysia hari ini termasuklah dalam cara kita berpolitik.

Kalau Hang Tuah di masa itu terus saja menikam dan membunuh Hang Jebat dalam keadaan Hang Jebat tidak melawan dan tidak bersenjata. Rasanya tentulah kita di hari ini tidak akan memberi pengiktirafan kepada Hang Tuah sebagai pahlawan sejati.

Ada di kalangan orang UMNO yang begitu lantang bersuara, “Demi survival orang-orang Melayu, kita akan bermatian-matian (by hook or by crook) untuk pastikan parti UMNO ini menang”.

Bermaruahkah kemenangan UMNO kalau tangan parti pembangkang diikat supaya tidak mampu untuk melawan?

Suratkhabar perdana menjadi alat kempen BN.

TV dan Radio Kerajaan, TV dan Radio Swasta menjadi alat kempen BN.

Terus berdalih dan mengelak dari mengamalkan piliharaya yang bersih dan adil.

Bolehkah pemimpin Negara seperti ini boleh terus diingat oleh rakyat sebagai negarawan, sepertimana kita mengingati Hang Tuah sebagai pahlawan sejati?

Monday, April 09, 2012

Apa kejadahnya suruh pensyarah university dapatkan P.E

Beriya-iya sangat nak suruh pensyarah di university dapatkan gelaran Professional Engineer (P.E) tu kenapa?


Kalau sekadar nak memenuhkan statistic university supaya mempunyai jumlah pensyarah yang ada P.E bagi menaikkan ranking university, rasanya macam buat kerja yang kurang cerdik.

Persepsi masyarakat di luar sana, melihat university sebagai tempat orang-orang cerdik, oleh itu eloklah kurangkan buat kerja yang kurang cerdik ini.

Cubalah teliti semula maksud tersirat dalam perkataan professional itu. Ia bukanlah sekadar gelaran saja, tetapi ia bermaksud mahir dan berpengetahuan luas dalam suatu bidang itu. Walaupun kita tidak pernah memanggil professional kepada seorang tukang ukir kayu, tetapi kalau dia mempunyai kemahiran yang tinggi dan telah lama bekerja dalam bidang tersebut, tidak ada salahnya kalau kita mengiktiraf beliau sebagai yang professional.

Apakah cukup seorang pensyarah itu diberi gelaran P.E dengan menjalani latihan industry atau membuat kerja praktikal dalam masa hanya setahun? Lebih memalukan lagi projek yang dinilai untuk mendapatkan P.E itu ada yang sekecil projek sebuah bus stop saja.

Beri sajalah gelaran P.E itu khusus kepada jurutera-jurutera yang telah lama bekerja dalam bidangnya dan kemahirannya yang memang tidak boleh dipertikaikan itu. Kenapa pula pensyarah yang kerja sepenuh masanya mengajar dan membuat penyelidikan di university disuruh pula mendapatkan P.E?

Kalau pun diberi gelaran P.E kepada pensyarah-pensyarah ini, dengan syarat-syarat minima yang telah ditetapkan, apakah gelaran P.E yang mereka dapat itu betul-betul melambangkan mereka mahir atau professional dalam erti kata yang sebenar?

Dengan pengalaman amali setahun itu saja dan kemudian kita tinggalkan untuk beberapa lama, sudah tentu kita tidak akan boleh menjadi mahir, kerana kemahiran itu hanya boleh dicapai jika sesuatu kerja atau aktiviti itu diamalkan secara berterusan, di mana pengetahuan baru dan pengalaman sentiasa bertambah untuk melayakkan diri kita dipanggil professional.

Kita tidak pertikaikan kalau ada pensyarah yang membuat atau mengamalkan kerja-kerja kejuruteraan di luar sana, dan dalam masa yang sama mengajar di university, kemudian di anugerahkan kepada mereka P.E di atas kemahiran dan pengalaman yang bertahun-tahun penglibatan mereka itu. Memang mereka layak untuk mendapat pengiktirafan itu.

Tetapi kepada pensyarah-pensyarah yang sepenuh masanya menumpukan kepada kerja-kerja pengajaran dan penyelidikan di university, rasanya tidak perlulah kita desak mereka untuk mendapatkan gelaran P.E.

Biarlah pensyarah menjadi professional dengan kerja pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan, dengan kata lain professional dalam profesyen mereka sendiri. Malah gelaran professor yang sinonim dengan kerjaya pensyarah di university itu sendiri melambangkan pengiktirafan kepada diri mereka sebagai seorang yang professional dalam bidang ilmu mereka.

Berlaku jujurlah dengan diri kita. Janganlah terlalu mabuk dengan gelaran. Sehingga semua gelaran yang ada hendak direbut, tanpa memperdulikan apakah gelaran-gelaran itu betul-betul layak untuk dipakaikan kepada diri kita? Takut nanti dengan gelaran-gelaran itu bukan membuatkan masyarakat menyanjung kita seperti yang diharapkan tetapi sebaliknya menjadi bahan cemuhan masyarakat kepada kita.

Kata orang, “dengar cakap enggang makan buah beluluk, dengar cakap orang terjun masuk lubuk”.

Monday, April 02, 2012

Myanmar telah berubah, hanya Malaysia dan Singapore yang belum

Kita di Malaysia telah memerhati dengan dekat perkembangan politik yang terbaru di Myanmar. Kita rasa teruja bila melihat rakyat Myanmar telah berani membuat perubahan yang begitu besar. Hari ini arus kebangkitan rakyat dan demokrasi tengah melanda ke serata rantau di dunia ini.


Tahniah kepada rakyat Myanmar. Tahniah juga kepada pemimpin Junta Tentera Negara itu kerana telah mengembalikan kuasa kepada rakyat melalui saluran demokrasi yang bebas dan adil, tidak sampai memaksa rakyat untuk turun ke jalanraya dan memberontak bagi menghalau pemimpin kuku besi ini.

Nampaknya pemimpin kerajaan Junta Tentera Myanmar telah bertindak bijak dan mengambil pelajaran dari perkembangan yang berlaku di dunia hari ini, terutamanya di Negara-negara Arab.

Indonesia telah berubah, demokrasi telah berjalan dengan baik di sana, pemimpin-pemimpin dari berbagai parti politik telah silih berganti menjadi pemimpin di Negara itu, mengikut selera rakyat Negara itu.

Kini hanya tinggal Malaysia dan Singapore sahaja Negara di bawah kelompok ASEAN yang masih belum membuat apa-apa perubahan politik sejak merdeka lebih 50 tahun dahulu.

Saya percaya perubahan politik ke arah demokrasi yang bebas dan adil, pemerintahan kuasa rakyat, sebenarnya adalah momentum yang sedang berada dalam setiap diri manusia sekarang ini. Semua pemikiran manusia dan rakyat adalah ke arah tersebut.

Rakyat Malaysia juga tidak ketinggalan untuk bergerak dan sedang bergerak ke arah tersebut. Mereka telah mual dengan sistem dan parti pemerintahan yang ada sekarang. Mereka bukan sekadar mahu transformasi tetapi yang mereka mahukan ialah perubahan total. Order lama tidak sesuai lagi, mereka mahu menghirup udara baru di bawah kepimpinan dan gaya baru.

Saya rasa Pakatan Rakyat perlu bersedia dan mempersiapkan diri untuk mengambil peranan sebagai alternatif kepada order lama ini. Semua rakyat mahukan perubahan, dan mereka memerlukan pemimpin yang boleh mereka percayai yang mampu membawa perubahan itu. Rakyat Malaysia mahukan seorang pemimpin pembangkang yang kental seperti Aung SanSuu Kyi.

Tidak menoleh ke belakang lagi.

Monday, March 26, 2012

Kapal dah nak tenggelam, sekarang PM Najib beri rakyat ikan, bukan lagi kail

Nasi dah jadi bubur, sudah tidak boleh buat apa-apa. Begitulah keadaan UMNO sekarang ini, seperti tidak boleh dibaiki lagi. Mungkin UMNO tidak sekadar memerlukan transformasi untuk memperbaiki parti itu, tetapi lebih dari itu, mungkin reformasi lebih sesuai.


Sejak prestasi buruk dalam pilihanraya tahun 2008, UMNO masih belum menampakkan pemulihan sokongan rakyat kepada parti itu walaupun berbagai usaha telah dilakukan oleh pucuk pimpinannya.

Pendek kata, UMNO bukan setakat sakit demam tetapi telah ditimpa penyakit barah yang tidak boleh diubati, hanya menunggu ajal saja. Sekarang sudah masuk tahun ke empat penggal pilihanraya, dengan kata lain sudah memasuki pusingan terakhir. Tahun 2012 ini adalah tahun yang amat kritikal sebelum pilihanraya diadakan menjelang Mac 2013 nanti.

PM Najib sendiri telah membuat pengakuan dalam satu majlis di PD baru-baru ini, akan ada lebih banyak lagi pengumuman yang menguntungkan rakyat bakal akan diumumkan oleh beliau menjelang pilihanraya akan datang ini. PM Najib memang seorang PM yang suka membuat pengumuman. Buat masa ini beliau memang sinonim dengan gelaran Bapa Pengumuman.

Di pusingan akhir ini PM Najib banyak memberi hadiah kepada rakyat dalam bentuk ‘ikan’, bukan lagi berbentuk ‘kail’ seperti tahun-tahun sebelum ini. Ibarat menghadapi peperangan, politik mesti ada strategi dan perkiraan.

Bermula dengan duit bantuan RM100 untuk setiap pelajar sekolah, diikuti bantuan R500 untuk setiap keluarga berpendapat rendah, kenaikan gaji penjawat awam bermula Januari 2012, penghapusan dan pengurangan bayaran tol di beberapa lebuhraya.

PM Najib nampak betul-betul bermurah hati kepada rakyat, sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh PM-PM yang lain sebelum ini.

Mungkin juga PM Najib sendiri tidak yakin UMNO dan BN boleh menang pada pilihanraya tahun 2013 nanti. Dengan itu beliau ‘memperjudikan’ wang simpanan Negara yang ada. Beliau seperti sudah nekad, kalau menang dalam pilihanraya nanti, alhamdulilah dan kalau kalah, beliau tidak akan berputih mata. Tidak berputih mata kerana semua wang simpanan Negara telah kering kerana telah ‘ditabur’ kepada rakyat, dan tidak berputih mata juga kerana parti pembangkang mengambil alih kerajaan dengan tabung Negara yang kosong.

Kerana tidak yakin boleh menang, ramai juga pemimpin-pemimpin UMNO mengambil peluang dari sisa-sisa nyawa UMNO yang ada ini untuk membuat kekayaan. Banyaklah projek-projek mereka rembat untuk membuat keuntungan dan komisyen atas angin.

Kalau rakyat biasa diberi RM500 sekeluarga, tetapi pemimpin-pemimpin UMNO pula mungkin mendapat lebih dari RM5 juta setiap orang hasil keuntungan yang diperolehi dari bisnes dan projek yang menggunakan kedudukan mereka. Kalau tidak percaya, cubalah periksa nilai harta-harta yang dimiliki oleh mereka itu. Nazri Aziz sendiri pun takut untuk mengistiharkan jumlah hartanya atas alasan takut akan dirompak. Betulkah beliau takut dirompak atau beliau takut dituduh oleh rakyat sebagai ‘perompak’ kekayaan Negara?

Sikap pemimpin-pemimpin UMNO dan BN yang menggunakan kedudukan mereka untuk memperkayakan diri dan keluarga telah menjadi sebati dan amalan biasa dalam kehidupan mereka. Ia tidak lagi dianggap sebagai perbuatan yang tidak bermaruah. Sikap inilah yang sukar dikikis dari ahli-ahli UMNO masa kini, dan sikap inilah sebenarnya yang banyak menyumbang kepada kehancuran UMNO.

Ucapan slogan memperjuangkan agama, bangsa dan Negara bukan lagi ucapan yang datang dari hati mereka seperti yang pernah diucapkan oleh datuk dan moyang kita dahulu, tetapi slogan ini diucapkan sekadar untuk mengabui mata rakyat, agar rakyat terus memberi mandat kepada mereka dan dengan itu juga mereka dapat terus menimbunkan kekayaan untuk diri dan keluarga.

Sampai bila rakyat dapat diperbodoh dan ditipu? UMNO dan BN tidak boleh terus kekal dengan menipu dan memperbodohkan rakyat. Cara berfikir mereka harus berubah dengan perubahan dunia sekarang. Kalau rakyat Arab pun sekarang ini sudah pandai berfikir, apakah rakyat Malaysia juga masih bodoh?

Taktik menakut-nakutkan orang Melayu akan hilang segala-galanya kalau orang Cina memerintah, supaya orang Melayu mengundi UMNO, dan taktik menakut-nakutkan orang Cina dengan hukum hudud kalau PAS memerintah, supaya orang Cina mengundi MCA adalah amat keji sekali dan bukan amalan politik orang yang bertamadun.

Berpolitiklah dengan cara yang lebih matang, berakhlak, sesuai dengan rakyat masa kini yang rata-ratanya berilmu dan berpelajaran. Jauhi taktik kotor dan keji yang akan merendahkan martabat diri kita sendiri.

Ban Ki-Moon, Setia Usaha PBB, yang melawat Malaysia baru-baru ini telah memperingatkan pemimpin Malaysia supaya memastikan pilihanraya yang dijalankan di sini benar-benar telus dan ada kredibiliti. Kenapa belia menimbulkan isu ini dalam ucapannya? Sudah tentu beliau bercakap berasaskan fakta dan maklumat. Yang jelasnya beliau masih tidak cukup puas hati dengan perjalanan pilihanraya dan sistem demokrasi di Negara ini. Ironinya sebelum ini pemimpin BN terus mendabik dada memberitahu rakyat bahawa pilihanraya di Negara ini adalah bebas dan adil. Apakah Ban Ki-Moon yang bodoh?

Ada orang kata, UMNO perlu kalah dulu sebelum bangkit semula dan membetulkan kesilapan untuk mencapai kemenangan pada masa akan datang.

UMNO adalah satu-satunya parti politik berasaskan kaum yang masih berkuasa di dunia. Amalan Apartheid telah lenyap di dunia dan ditentang oleh manusia sejagat, oleh itu UMNO harus menjauhkan partinya dari elemen dan amalan Apartheid, kalau mahu UMNO disokong oleh rakyat semula.

Umno tidak harus mengambil pendekatan berperang dengan rakyat atau menggalakkan ‘permusuhan’ di kalangan rakyat. Sebaliknya UMNO harus bekerja bersama-sama rakyat tanpa mengira kaum untuk membawa Malaysia ke arah yang lebih gemilang. Dasar pecah dan perintah yang diwarisi dari penjajah demi untuk mengekalkan kuasa tidak patut menjadi amalan parti UMNO, kerana ia tidak baik dan tidak membantu untuk menuju kearah pembentukan Negara bangsa.

Thursday, March 22, 2012

Mencanangkan pilihanraya awal adalah strategi politik PM Najib mengelak didesak letak jawatan

Semasa Pak Lah jadi PM semula selepas BN menang pada tahun 2008, walaupun gagal mencapai majority dua pertiga, beliau tidak ada niat untuk mengadakan pilihanraya lagi sekali pada masa yang terdekat. Sebaliknya beliau sedaya upaya akan mencukupkan tempoh sepenggal (lima tahun) lagi untuk menjadi PM, atupun sekurang-kurangnya empat tahun lagi.
Tempoh lima atau empat tahun memang agak lama, ini membuatkan ahli-ahli UMNO tidak boleh bersabar. Mereka mahu Pak Lah turun sebelum UMNO dan BN bertambah tenat. Mereka mahukan perubahan kepada kepimpinan untuk memperbaiki keadaan BN yang telah mula hilang sokongan rakyat. Pak Lah telah dipersalahkan, beliau dijadikan kambing hitam atau kambing korban oleh UMNO.
‘Kelemahan’ Pak Lah telah dijadikan batu loncatan oleh DS Najib dan DS Muhyiddin untuk naik ke atas.
Yang jelasnya, perubahan pucuk kepimpinan UMNO dan BN kepada DS Najib tidak juga dapat meningkatkan sokongan rakyat kepada BN.
Sejak mula DS Najib mengambil alih pucuk pimpinan UMNO, tidak pernah lekang dari mulutnya untuk mengadakan pilihanraya awal bagi mendapatkan mandat baru. Sebagai PM baru setelah mengambil alih dari Pak Lah, orang ramai merasakan beliau perlu mendapatkan mandat baru dari rakyat.
Oleh kerana rakyat dan khususnya orang UMNO percaya PM Najib akan membubarkan Parlimen dalam masa terdekat selepas beliau mengambil alih jawatan PM, maka ahli-ahli UMNO tidaklah berasa tidak sabar untuk mengharapkan beliau meletakkan jawatan, walaupun demam UMNO dan BN masih juga belum boleh dikatakan pulih.
Sekarang sudah lebih tiga tahun beliau menjadi PM tanpa diganggu oleh suara-suara dari ahli UMNO yang mahukan beliau meletakkan jawatan. Cakap-cakapnya untuk mengadakan pilihanraya awal telah menjadi strategi yang paling baik yang dapat menyelamatkan dirinya untuk terus kekal menjadi PM hinggalah tempohnya tamat pada tahun 2013 nanti.
Selain dari itu, strategi mengheboh-hebohkan untuk mengadakan pilihanraya awal ini juga dapat memberi peringatan atau amaran kepada semua ahli-ahli UMNO supaya sentiasa dalam keadaan siap sedia untuk menghadapi pilihanraya.  Semua ahli akan terus bersemangat untuk bekerja bagi memenangkan parti dan terus berkempen hinggalah menjelang pilihanraya sebenar.

Fikiran ahli-ahli UMNO sentiasa tertumpu kepada untuk menghadapi piliharaya yang akan diadakan dalam masa terdekat, sehinggakan terlupa untuk melihat kepada kelemahan pentadbiran PM Najib. Bilakah masa yang terdekat itu? hanya PM Najib sahaja yang tahu. Mungkin langsung tidak ada sehinggalah tamat penggal pada Mac 2013 nanti.

Sunday, March 04, 2012

Dasar pendidikan negara kita pincang

Apa yang kita semai, itulah yang kita akan tuai.


Semasa pemimpin-pemimpin menamkan cerucuk asas pendidikan Negara kita kira-kira lebih 40 tahun dahulu, mereka hanya menekankan untuk memberi ilmu pengetahuan sains, teknologi dan kemahiran kepada anak-anak sekolah bagi menyediakan dan memabawa Malaysia kearah Negara maju.

Tetapi setelah melihat kepada ciri masyarakat yang terbentuk hasil melalui sistem yang ada ini, dapatlah kita membuat kesimpulan, terdapat sesuatu yang tidak kena dalam sistem pendidikan kita.

Pendidikan di sekolah dan di rumah sangat memberi kesan kepada pembentukan sahsiah sesuatu masyarakat.

Kita di semenanjung, terdiri dari tiga kaum yang terbesar iaitu Melayu, Cina dan India. Tiga-tiga kaum ini menerima pendidikan di peringkat tadika dan sekolah rendah secara berasingan. Selalunya kelompok tempat tinggal mereka juga berasingan. Kalau masa dulu, orang Cina ramai tinggal di kawasan Bandar, orang Melayu di kampong dan orang India di estet.

Di masa ini pun, walaupun ketiga-tiga kaum ini tinggal di taman perumahan, mereka masih cenderung untuk tinggal dalam kelompok kaum mereka.

Pengasingan sekolah dan kawasan penempatan mengikut kaum ini menyebabkan peluang untuk mereka berkenal lebih rapat dan bersahabat antara kaum sangat sukar sekali. Mereka hanya bertemu dalam aktiviti yang tertentu sahaja, seperti dalam urusan jual beli dan urusan pekerjaan sahaja, selain dari itu mereka seperti tidak bergantung antara satu sama lain.

Amat jarang sekali tiga kaum utama ini berpeluang menjalankan aktiviti kehidupan bersama. Ekoran dari itu, tiga kaum ini tidak berpeluang mengenal antara satu sama lain dengan lebih dekat, hasilnya mereka mempunyai aspirasi yang berlainan. Mereka tidak dapat merasakan kehendak, kemahuan dan keperluan kaum lain. Sebaliknya semua tindak tanduk dan aktiviti mereka hanya berkisar kepada kaum mereka sahaja.

Pemisahan kaum-kaum ini telah melebarkan jurang perbezaan antara mereka, akhirnya mereka terus selesa dengan keadaan demikian, mereka menganggap kaum yang lain itu sukar untuk didekati dan dicampuri. Jauh dari menjadi sahabat, sebaliknya mereka menganggap kaum lain itu sebagai ‘musuh’ yang boleh menyusahkan hidup mereka. Suatu kaum akan berusaha untuk ‘membunuh’ atau mengalahkan kaum yang lain.

Perasaan curiga dan prasangka kepada kaum lain sentiasa wujud dalam pemikiran masyarakat Malaysia. Baru-baru ini telah terjadi pergaduhan antara pekerja restoran KFC berbangsa Melayu dengan pelanggannya berbangsa Cina. Masyarakat tidak melihat siapa yang bersalah dan berkelakuan buruk secara individu yang telah menyebabkan pergaduhan itu, tetapi sebaliknya masyarakat Malaysia melihat insiden itu dengan kacamata perkauman dan melabelkan kaum A atau kaum B sebagai kurang ajar atau biadap.

Parti-parti politik yang wujud juga tidak terlepas dari mengikut polarisasi kaum dan ia sebenarnya adalah lanjutan hasil dari pemisahan kaum dalam kehidupan sebenar mereka. Dalam meraih sokongan, ahli politik lebih suka dilihat untuk menjadi hero kepada kaumnya.

Bila bercakap soal untuk membasmi kemiskinan dan membantu golongan miskin, mereka lebih suka bercakap untuk memperjuangkan taraf ekonomi dan kehidupan orang Melayu. Padahal kalau dia kata untuk meningkatkan ekonomi rakyat yang miskin, yang akan dibantu adalah orang Melayu juga, kerana kaum Melayu lah yang paling ramai miskin. Tetapi disebabkan untuk meraih sokongan politik, mereka lebih suka bercakap untuk membantu dan membela orang Melayu.

Sikap dan tabiat orang Melayu, orang Cina dan orang India juga berbeza. Orang Melayu dikatakan baik hati tetapi malas, orang Cina dikatakan tamak tetapi rajin, orang India pula dikatakan taat tetapi culas. Apakah sikap dan tabiat setiap kaum itu diwarisi atau dididik dari kecil. Tetapi kalau kita letakkan kesalahan ini kepada sistem pendidikan pun ada kebenarannya, kerana mereka dididik dan melalui sistem persekolahan yang berbeza, sudah tentu hasilnya juga akan berbeza.

Ada kemungkinan kalau ketiga-tiga kaum ini bersekolah dalam sistem sekolah yang sama, sikap dan tabiat mereka akan menjadi lebih kurang sama atau hampir seragam.

Orang Jepun terkenal dengan memiliki sikap-sikap yang murni seperti tidak mementingkan diri, jujur, telus, tidak mencuri, rajin, gigih, sabar, tidak membuang sampah merata-rata, bebaris mendapatkan giliran tanpa memotong barisan, sikap ingin belajar dan ingin tahu, berbangga untuk membuat kebaikan, membantu orang yang memerlukan.

Kenapa Jepun boleh menghasilkan manusia yang berakhlak mulia tetapi kita tidak boleh? Ini mesti ada yang tidak kena dengan sistem pendidikan kita. Kita patut belajar dari Jepun.

Nilai yang murni tidak cukup sekadar diceramah dan diberitahu sahaja, tetapi ia perlu dilatih untuk melakukannya supaya ia akan menjadi amalan dan budaya masyarakat.

Di universiti sekarang ini begitu ghairah dan sibuk sekali menekankan latihan generic skill atau soft skill atau kemahiran keterampilan diri. Bagi saya generic skill ini mesti bermula dan dilatih diperingkat tadika lagi, bukan di universiti baru hendak diperkenalkan kepada mereka, kerana ia melibatkan sikap, amalan dan budaya.

Kenapa anak-anak muda Melayu kita suka merempit dan melepak? Kenapa anak-anak muda kita banyak terjebak dalam masalah sosial, menghisap rokok, penyalahgunaan dadah, seks bebas. Semuanya ini memerlukan kita melihat semula kepada sistem pendidikan yang dilalui oleh anak-anak kita samada di sekolah mahupun di rumah.

Anak-anak sekolah kita lebih berbangga untuk menjadi jahat, mereka bangga kalau kenal samseng atau gangster di luar sekolah, sebaliknya murid yang ingin membuat perkara yang baik sering diperli, dikutuk dan diejek.

Penguatkuasa banyak terlibat dengan rasuah, mereka tidak amanah. Masyarakat kita juga dibelenggu dengan masalah perbezaan status yang diukur mengikut pekerjaan dan tahap ekonomi mereka. Pemungut sampah dianggap golongan rendah. Amat memalukan kalau berjalan kaki atau menggunakan pengangkutan awam. Sebaliknya menaiki dan memiliki kereta Mercedes dan BMW di pandang tinggi.

Apakah semua masalah dan kemelut yang kita hadapi hari ini ada kaitan dengan kepincangan dalam sistem pendidikan kita?

Tetapi yang pastinya, kalau kita semai benih lalang tidak mungkin kita akan menuai padi.

Friday, March 02, 2012

Ada spesis manusia yang lain di bumi sebelum Adam

Cuba perhatikan terjemahan surah Al Baqarah ayat 30 ini:


Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”. Ayat 30 Surah Al Baqarah.

Bagaimana Malaikat boleh tahu sifat manusia itu suka membuat bencana dan menumpahkan darah? Sudah tentu mereka mengetahuinya dari pengalaman yang lalu. Ayat ini menunjukkan bukti, Tuhan pernah mencipta manusia dari spesis yang lain sebelum Tuhan jadikan manusia jenis spesis Adam.

Gambar-gambar yang dipaparkan di sini menunjukkan rangka manusia yang dikatakan hidup sezaman dengan zaman dinosaur, iaitu 230 juta tahun yang lalu.

Sedangkan manusia dari spesis Nabi Adam hanya wujud tidak sampai dari 20 ribu tahun yang lalu. Kalau kita jejaki semula susur galur keturunan Nabi Muhammad hingga ke Nabi Adam, dengan merujuk kepada umur nabi-nabi sebagai rujukan umur manusia yang hidup pada zaman mereka, kita boleh anggarkan jarak masa antara manusia sekarang dengan manusia pertama (Nabi Adam) adalah antara 10 ribu hingga 20 ribu tahun sahaja.

Oleh itu kalau ada rangka manusia yang ditemui lebih dari jangka masa 20 ribu tahun, apalagi kalau 230 juta tahun seperti dalam gambar itu, ada kemungkinannya mereka bukan manusia yang sama spesis dengan kita.

Inilah Skeletons ( atau orang gergasi ) yang hidup di sezaman dengan zaman dinosaur ( Zaman Mesozoik) sejak 230 juta tahun dahulu.Penemuan bersejarah ini telah dibuat oleh Dr.Richard Owen seorang saintis yang mengkaji kehidupan manusia sejak 230 juta tahun dahulu. Dan penemuannya sungguh menggempar dunia.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com